Memaparkan catatan dengan label 05 September 2018 - Phnom Pehn Kemboja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 05 September 2018 - Phnom Pehn Kemboja. Papar semua catatan

Jumaat, 7 September 2018

Itinerari (Phnom Pehn, Kemboja - 05 September 2018).

If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary (this part);
  • Travel Guide - Phnom Pehn, Cambodia;
  • Journey.


Di pinggir bulatan Tugu Kemerdekaan Kemboja.

Panduan:
 =  Riel Kemboja (KHR), matawang Kemboja. Secara amnya, kadar tukaran:  1000 = RM1.00.
US$ = Dollar Amerika Syarikat (USD), matawang Amerika Syarikat tetapi digunakan di Kemboja. Secara amnya, kadar tukaran: US$1.00 = RM4.20 atau RM1.00 = US$0.24.
Waktu tempatan bagi Kemboja adalah UTC +7 iaitu 1 jam lewat dari waktu Malaysia (UTC +8), contohnya jika Kuala Lumpur pada pukul 4:00 petang, Phnom Pehn adalah pada pukul 3:00 petang.
Persediaan Pra Perjalanan
Bil
Butir
RM
1
AirAsia: (29 Julai 2018) menempah tiket dari klia2 ke LTA Phnom Pehn (PNH) AK536 (05 September 2018) & dari PNH ke klia2 AK535 (05 September 2018) (RM153.20) + bas shuttle SkyBus (RM17.80) + makanan (RM10.00).
181.00
2
Menukar wang RM41.00 ke US$10.00 di Merchantrade Giant Taman Permata, Ulu Klang, Selangor pada kadar jualan US$1.00 = RM4.10 pada 14 Ogos 2018.

3
Daftar masuk dan cetak pas kemasukan penerbangan AK536 & AK535 melalui web pada 22 Ogos 2018.

4
Hantar emel kepada Kedutaan Malaysia di Phnom Pehn pada 22 Ogos 2018 untuk memaklumkan kehadiran di Phnom Pehn. Juga mengisi borang di sistem eKonsular untuk tujuan yang sama.



Jumlah
RM181.00
Hari 1  - 05 September 2018 (Rabu)
Bil
Butir
Matawang Asing ( @ US$)
RM
1
Bangun pagi pada pukul 03:45 pagi, segera membersihkan diri dan kemudian bersiap sambil memeriksa beg dan keperluan. Bergerak dengan menunggang motorsikal meninggalkan rumah pada jam 04:10 pagi menuju KL Sentral. Tiba di Brickfields pada pukul 04:22 pagi dan terus segera ke kaunter tiket bas Skybus untuk menebus tempahan tiket bas yang telah dibeli bersama semasa tempahan tiket penerbangan. Bas bergerak meninggalkan KL Sentral pada pukul 04:40 pagi. Dalam perjalanan, saya memeriksa kemudahan pengeluaran wang antarabangsa bagi ATM Maybank dan CIMB saya. Bas tiba di klia2 pada pukul 05:30 pagi.


2
Terus ke kiosk daftar masuk untuk mencetak pas pelepasan bagi kedua-dua penerbangan, tetapi rupa-rupanya kedua-dua pas pelepasan perlu disahkan dokumennya dahulu. Jadi untuk penerbangan AK536 (KUL-PNH) dahulu, manakala bagi penerbangan AK535 (PNH-KUL) akan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Pehn (PNH) apabila balik nanti. Kemudian, saya melihat dahulu papan kenyataan berlepas, alamak, pintu pelepasan saya adalah P21. Jauh paling hujung di sayap P. Selepas itu, saya mengesahkan pas pelepasan saya, agak ramai tapi kebetulan masa itu kaunter V3 baru dibuka, jadi cepat sedikit. Selepas itu, terus saya melakukan prosedur imigresen dan kastam dan terus ke sayap P untuk pemeriksaan keselamatan. Selepas itu, saya terus solat kerana waktu Subuh sudah masuk. Usai solat, terus ke pintu P21 yang kebetulan dibuka pada masa itu (06:15 pagi).


3
Masuk ke pasawat (9M-AJI). Penerbangan AK536 bergerak meninggalkan terminal pada pukul 06:40 pagi dan berlepas meninggalkan bumi Sepang pada pukul 06:55 pagi. Dalam penerbangan, saya pun menikmati makanan yang saya tempah. Sepatutnya dalam pesawat ini mempunyai WiFi Rokki, tapi saya tidak boleh menggunakannya, sama ada silap saya atau silap teknikal, tak tahulah. Tidak dapat menikmati pengisian hiburan yang ada di dalamnya yang boleh didapati secara percuma. Borang ketibaan imigresen Kemboja dan borang perisytiharan kastam Kemboja diedarkan di dalam pesawat, jadi saya tulis siap-siap agar mudah urusan apabila tiba di PNH nanti.


4
Selamat mendarat di PNH pada pukul pada pukul 07:40 pagi waktu Kemboja (selepas ini, waktu adalah waktu Kemboja sehingga dimaklumkan sebaliknya), dan selamat tiba di pintu ketibaan 6 pada pukul 07:45 pagi. Terus ke tingkat bawah untuk urusan imigresen, amat cepat urusannya. Selepas itu, terus melalui pemeriksaan kastam dan sudah tiba di luar yang mana tiada pendingin hawa lagi di landside. Mencari pengurup wang, tetapi dimaklumkan di dalam airside. Rasanya macam tiada sahaja atau terlepas pandang. Jadi, saya terus ke kaunter-kaunter telco untuk kad SIM yang berada tidak jauh dari sebelah kiri pintu ketibaan. Majoriti kaunter-kaunter itu menjual pakej lebih US$5, tidak menjual pakej kurang daripada itu. Hanya Seatel sahaja menjual pakej data sahaja pada US$1/hari. Sesuailah untuk keperluan saya. Kemudian mengeluarkan wang US$100 dari mesin ATM Maybank Kemboja (hendak keluar dominasi lebih kecil tapi tidak boleh). RM420 ditolak dari akaun bank saya untuk tujuan tersebut.
US$1
4.20
5
Setelah itu, saya keluar dari PNH  dan menunggu bas henti-henti no. 3 di perhentian bas yang terletak sebelah kiri pintu keluar (kira-kira 50 meter). Bas yang pertama sampai, namun tidak dapat menaikinya kerana saya tiada wang Riel (). Paling kecil saya ada US$1 (sekitar 4000) dan tambang bas adalah 1500 sahaja. Jadi saya membeli sebotol Coca-cola daripada penjaja yang berdekatan. Dapatlah wang kecil.
1500
1.50
6
Menaiki bas henti-henti no. 3 dari PNH ke Pasar Pusat (Central Market - Psar Thmey) Phnom Pehn (kira-kira 45 minit).
1500
1.50
7
Sampai di Central Market pada pukul 9:15 pagi. Saya berjalan mencari restoran Malaya Café di Preah Chey Chetha St. (118), namun ia tidak buka lagi. Ingat hendak sarapan pagi (ia buka hanya pada pukul 10:30 pagi). Seterusnya saya berjalan-jalan di Central Market. Banyak barangan dijual di situ. Seterusnya saya mencari bank terdekat untuk menukarkan US$100 saya tadi ke dominasi lebih kecil. Dapat menukarnya di ABA Bank yang terletak di tenggara Central Market. Selepas itu saya menukar US$5 ke 20 000 dengan dominasi lebih kecil di hadapan kedai barangan kemas yang berada di sebelah ABA Bank.


8
Seterusnya saya berjalan untuk mencari perhentian bas untuk laluan no. 2 untuk ke Tugu Kemerdekaan Kemboja. Boleh sahaja untuk berjalan kaki tapi saya hendak simpan tenaga. Menaiki bas di hadapan Agensi Anti Rasuah Kemboja.  (Sudah tiada wang kecil 500, maka bayar menggunakan 2000).
2000
2.00
9
Sampai di Tugu Kemerdekaan Kemboja selepas 3 perhentian (sebenarnya 2 perhentian sudah boleh sampai tapi saya terlambat membunyikan loceng). Bersiar-siar dari Tugu Kemerdekaan Kemboja dan  Patung Memorial Putera Norodom Sihanouk yang berada di dalam Taman Neak Banh Teuk serta Tugu Kebebasan Kemboja-Vietnam di Taman Wat Botum di sebelahan. Selanjutnya saya ke Taman Istana DiRaja Kemboja. Istana ditutup pada hari tersebut. Seterusnya saya menyusuri tebingan Riverside Sungai Tonle Sap (terdapat beberapa tarikan di sepanjang jalan) sehingga ke Restoran Halal Restaurant (saya berjalan kira-kira 3 kilometer).


10
Tiba di Halal Restaurant pada pukul 12:00 tengahari. Walaupun kedai ini ada menyediakan makanan Malaysia, saya ingin merasa makanan Kemboja. Saya pesan Amok Daging + Nasi (9500) dan teh jasmine (3000).
12500
12.50
11
Usai makan, saya bergerak ke Masjid al Serkal dengan menaiki GrabBike. (Kadar adalah kadar pertukaran kad debit BigPay yang digunakan dalam pembayaran Grab Pay).
5200
5.32
12
Setelah usai solat dan menyerahkan sumbangan jariah kepada masjid, saya berjalan kaki ke hadapan Pusat Kesihatan Ibu dan Anak Kebangsaan (National Maternal and Child Health Center) di Jalan Perancis (France Street), untuk menaiki bas no. 3 bagi ke lapangan terbang PNH. (Sudah tiada wang kecil 500, maka bayar menggunakan 2000).
2000
2.00
13
Setelah 40 minit perjalanan, dalam pukul 2:00 petang, tiba di PNH. Sebelum masuk ke balai berlepas untuk daftar masuk, saya ke pintu ketibaan untuk membeli aiskrim bersalut coklat Dairy Queen (harga 6200). Bagi melepaskan lelah.
US$1.00 + 2000
6.20
14
Masuk ke balai berlepas. Hanya boleh mendaftar masuk 2 jam sebelum penerbangan (2:40 petang). Setelah mendaftar masuk, terus ke tingkat atas untuk masuk ke airside dengan melakukan prosedur imigresen dan keselamatan. Selesai prosedur, terus ke pintu 6 untuk menunggu pelepasan. Namun penerbangan AK535 lewat sikit dan hanya masuk ke pesawat pada pukul 5:00 petang dan pesawat 9M-AHX hanya berlepas pada pukul 5:30 petang. Memesan pakej Nasi Kandar + air mineral Pendang + Kacang Tanah Goreng untuk makan di dalam penerbangan.

20.00
15
Penerbangan AK535 ini tiba di klia2 pada pukul 8:10 malam (waktu Malaysia dan selepas ini menggunakan waktu ini), dan saya terus bergegas ke untuk urusan imigresen dan kastam, seterusnya ke stesen bas klia2. Solat dahulu di surau di situ. Kemudian menaiki bas Skybus untuk ke KL Sentral dan bergerak meninggalkan klia2 pada pukul 9:00 malam. Tiba di di KL Sentral pada pukul 9:50 malam. Terus ke parkir motorsikal untuk pulang ke rumah. Tiba di rumah pada pukul 10:10 malam. (Anggaran penggunaan minyak motorsikal).

2.00
16
Singgah makan malam bersama keluarga di medan selera berhampiran rumah. Usai makan terus pulang ke rumah pada pukul 10:45 malam.

9.00


KHR 26,700
Jumlah
US$ 2.00
RM66.22
Jumlah perbelanjaan keseluruhan:
KHR 26,700
US$ 2.00
RM247.22





Di Pasar Pusat Phonm Pehn.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary (this part);
  • Travel Guide - Phnom Pehn, Cambodia;
  • Journey.

Rabu, 5 September 2018

Pra Kembara (Phnom Pehn, Kemboja - 05 September 2018) - Kunjungan Singkat Ke Phnom Pehn.

If want to read in English: 

  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary;
  • Travel Guide - Phnom Pehn, Cambodia
  • Journey.



Phnom Pehn.

Pengenalan.

Pada perjalanan kembara saya dari Siem Reap, Kemboja ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam dengan menaiki bas selama 14 jam itu, saya dan sahabat-sahabat sepengembaraan hanya transit sejam setengah di stesen bas Mekong Express di Phnom Pehn. Tidak sempat berbuat apa pun. Takut kalau saya bersiar-siar, mahu terlepas bas nanti. Jadi apabila AirAsia membuat promosi tambang murah memasukkan sekali Phnom Pehn, saya pun segera mengambil kesempatan. Cuma kali ini pun saya hanya pergi sehari sahaja, sahaja nak mencuba mengembara cara baru, ala kesempitan duit, huhuhu. Mari kita berkenalan serba sedikit dengan Phnom Pehn.

Phnom Pehn, merupakan ibu negara Kemboja (Cambodia). Keluasannya 678 kilometer persegi dengan 1.5 juta orang penduduk (data 2012). Walaupun agak mundur berbanding bandaraya utama Asia Tenggara yang lain, kerana pemulihan dari perang saudara terutama semasa diperintah oleh Khmer Rouge, yang agak kejam dengan pembunuhan berlaku secara beramai-ramai, kini ia semakin maju. Jadi perjalanan kali ini saya ingin melihat kemajuan yang berlaku sepanjang 4 tahun bezanya.

(Sumber dari Wikipedia). 




Peta: Phnom Pehn, Kemboja.



Peta: Kemboja.

AirAsia baru sahaja dianugerahkan syarikat penerbangan tambang murah terbaik di dunia oleh Skytrax untuk 10 tahun berturut-turut. Jadi sebagai menghargai pelanggan-pelanggannya, AirAsia membuat promosi harga tempat duduk asas dari serendah 10 sen sahaja! Jadi saya mengambil kesempatan untuk melihat destinasi yang ada harga tersebut atau jika tidak pun dapat harga murah. Oleh kerana sebelum ini, perjalanan kembara saya dari Siem Reap ke Bandaraya Ho Chi Minh hanya transit sahaja di Phnom Pehn, maka saya rasa lebih baik saya ke Phnom Pehn agar saya dapat melihat lebih dekat apa yang saya hanya lihat menerusi tingkap bas sahaja.

Saya mendapat harga keseluruhan RM153.20 untuk perjalanan pergi balik. Jadi saya pun membayar dengan menggunakan kad debit BigPay, yang juga merupakan produk kumpulan AirAsia, yang mana tidak perlu membayar caj tambahan bagi penempahan sebagaimana yang dikenakan jika membayar menggunakan kad kredit atau debit yang lain (RM8.00/orang/perjalanan) atau membayar dengan debit terus dengan akaun bank (RM4.00/transaksi). Juga, kita juga boleh mendapat mata AirAsia BIG juga. Kelebihan kad BigPay ini berbanding kad lama keluaran kumpulan AirAsia lain adalah ia boleh ditambah nilai dengan menggunakan kad kredit. Jadi senang la sikit. 

Untuk memudahkan perjalanan saya ke klia2 nanti, saya juga menempah tiket bas SkyBus sektor KL Sentral-klia2 yang boleh dipilih sebagai penambahan (add-on) kepada penempahan penerbangan AirAsia kita. Ia lebih murah berbanding kita beli di kaunter yang mana berharga RM12.00 sehala atau RM22.00 pergi balik. Ia juga lebih murah juga jika kita beli di laman web Skybus (RM11 sehala atau RM21.00 pergi balik). Jika beli sebagai penambahan penempahan AirAsia kita, ia cuma RM8.90 sehala atau RM17.80 sahaja untuk pergi balik.

Saya juga menambah makanan untuk perjalanan pergi sahaja yang berharga RM10.00. Hidangan yang saya pilih adalah Wrap (Balutan) Ayam Vietnam (RM10.00) penerbangan pergi ke Phnom Pehn dari klia2. Saya memang pilih hidangan yang saya belum pernah cuba lagi sebenarnya. Jadi jumlah keseluruhan tambang tiket penerbangan untuk perjalanan kali ini adalah sebanyak RM181.00 sahaja.

 
Promosi AirAsia Julai 2018


Penempahan penerbangan AirAsia.


Saya menukar wang Ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika Syarikat (USD) untuk bekalan perjalanan nanti di Merchantrade Giant Taman Permata, Ulu Klang, Selangor yang merupakan pengurup wang terendah pada 14 Ogos 2018 di kawasan tersebut, setelah meninjau kadar tukaran semua pengurup wang di situ. Kadar pada hari tersebut adalah US$1.00 = RM4.10. Saya cuma tukar US$10.00 (RM41.00) sahaja kerana saya akan mengeluarkan wang Dollar Amerika Syarikat di mesin ATM Maybank Kemboja iaitu bank di bawah kumpulan yang sama dengan Maybank Malaysia dengan menggunakan kad ATM Maybank Malaysia. Cara ini lebih murah kerana tiada caj pengeluaran luar negara dikenakan (umpama mengeluarkan wang di mesin ATM Maybank di Malaysia) dengan syarat kita mengaktifkan kemudahan ini di perbankan internet Maybank2u terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Sekurang-kurangnya US$10.00 itu adalah satu langkah persiapan untuk sebarang keperluan sebelum dapat mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Untuk pengetahuan, Kemboja menggunakan dwi-matawang dalam transaksi harian domestik penduduk Kemboja, iaitu menggunakan matawang USD dan juga Riel Kemboja (KHR). Bagi nilai lebih US$1.00 kebiasaan di bandar-bandar besar dan bandar-bandar pelancongan Kemboja akan menggunakan USD manakala bagi nilai kurang USD1.00, matawang KHR akan digunakan, kerana penggunaan duit syiling USD (termasuk nilai US$1.00 ke atas) tidak diterima di Kemboja. Namun ada juga transaksi di bandar dan juga terutamanya di luar bandar, akan menggunakan matawang KHR sepenuhnya termasuk bagi nilai lebih US$1.00. Satu lagi diingatkan, pastikan matawang USD adalah dalam keadaan masih cantik dan tidak koyak atau buruk atau teramat renyuk, secara amnya maih kurang cacat cela. Jika tidak, wang anda tidak akan diterima. Juga pastikan, matawang USD adalah dari versi terkini, bukan versi terdahulu.


US$10.00 = +- RM41.00

Pada 22 Ogos 2018 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran saya di Phnom Pehn kepada pihak Kedutaan Malaysia di Phnom Pehn. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama. Ini penting, agar pihak kedutaan ambil maklum kehadiran saya di sana. Ini bagi memudahkan mereka melakukan tugas mereka, disamping dapat memudahkan urusan kita jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. Kita kena bersedia mengjangkakan perkara yang tidak terjangka. Dengan makluman kehadiran saya ke kedutaan, mereka sekurang-kurangnya akan membantu mana yang boleh. Barulah betul adat dan tatasusila orang Malaysia.

Emel makluman saya di Phnom Pehn, Kemboja yang dihantar ke 
Kedutaan Malaysia di Phnom Pehn.


Rasanya sudah hampir lengkap persiapan saya untuk perjalanan pada kali ini. Cuma tinggal menunggu masa pemergian sahaja. Doakan perjalanan saya kali ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan, insya Allah, amin.

Bersambung ke Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 

  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary;
  • Travel Guide - Phnom Pehn, Cambodia
  • Journey.