Petunjuk: Waktu di Mauritius adalah UTC +4 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Saint Louis pula pukul 8:00 pagi.
Hari 4 (20 Mac 2017 - Isnin).
Setelah selesai kami semua mendaftar masuk bagi penerbangan AirAsiaX D7 7, masa pun menunjukan melepasi pukul 12:00 tengah malam. Kami mengambil keputusan untuk terus masuk ke dalam airside, iaitu dengan terus membuat pemeriksaan keluar imigresen Mauritius, kerana jika tunggu di balai berlepas itupun, tiada apa yang ada. Saya melihat wang-wang syiling dan kertas yang saya sempat simpan untuk kenangan. Juga nasib baik saya mengambil gambar matawang yang besar iaitu Rs. 500 (+- RM67.50) dan Rs. 1000 (+- RM135.00) yang sempat saya gunakan sepanjang perjalanan kami di Mauritius ini.
Kami terus ke kaunter imigresen, di mana sebelum itu, kami perlu mengimbas pas pelepasan kami di mesin pengimbas sebelum boleh memasuki kawasan kaunter imigresen ini. Jadi jika kita sudah siap-siap mencetak pas pelepasan awal-awal, maka pas pelepasan kita itu tidak laku. Itu sebabnya kami mendaftar masuk di kaunter walaupun kami sudah mendaftar masuk di web. Di sebabkan pas pelepasan ini perlu dimbaslah sebenarnya.
5 cents Mauritius = +- RM0.007 (kurang 1 sen)
Rs.1 Mauritius = +- RM0.14
Rs.5 Mauritius = +- RM0.68
Rs.10 Mauritius = +- RM1.35
Rs.25 Mauritius = +- RM3.38
Rs.50 Mauritius = +- RM6.75
Rs.100 Mauritius = +- RM13.50
Rs.200 Mauritius = +- RM27.00
Rs.500 Mauritius polimer (depan) = +- RM67.50
Rs.500 Mauritius polimer (belakang) = +- RM67.50
Rs.500 Mauritius kertas (depan)= +- RM67.50
Rs.500 Mauritius kertas (belakang) = +- RM67.50
Rs.1000 Mauritius (depan) = +- RM135.00
Rs.1000 Mauritius (belakang) = +- RM135.00
Di kaunter imigresen, oleh kerana orang tidak ramai, kerana cuma yang akan masuk adalah penerbangan AirAsiaX ke Kuala Lumpur sahaja, maka barisan adalah pendek sahaja. Semasa tiba giliran saya, saya ditanya oleh pegawai imigresen tersebut, adakah saya seorang Muslim. Sudah tentu saya kata ya, dan dibalas dengan ucapan salam kepada saya. Pegawai imigresen itu bernama Abu Backer kalau tidak silap, sempat berbual dengan saya sambil membuat pemeriksaan. Setelah selesai, dia sempat mengucapkan agar selamat kembali semula ke Mauritius pada masa akan datang. Insya allah, kata saya.
Setelah itu, saya menyertai rakan-rakan yang lain yang berbaris untuk pemeriksaan keselamatan. Tiada sebarang masalah. Kemudian kami terus ke depan pintu pelepasan 26 di mana pintu inilah yang akan kami gunakan untuk masuk pesawat nanti. Di kawasan airside ini, terdapat beberapa gerai makanan yang dibuka seperti gerai Subway. Cuma mereka menerima matawang Rupee Mauritius sahaja. Jadi tidak dapatlah kami hendak beli kerana semua wang rupee sudah ditukar tadi.
Saya juga difahamkan di airside ini terdapat surau berdekatan dengan pintu pelepasan 22 dan 23. Saya pun ke sana untuk melihat kemudahannya. Memang betul terdapat surau namun perlu mengambil air wuduk di bilik air berdekatan yang agak jauh juga. Setelah menunjau surau, saya pun kembali ke pintu pelepasan 26.
Saya melihat kaunter tuntutan cukai VAT daripada kastam Mauritius dibuka. Difahamkan, jika kita berbelanja lebih Rs. 2000 (+- RM270) barulah kita boleh menuntut jumlah cukai VAT yang telah dibayar. Namun perlu ada semua resit dan disahkan di kaunter kastam di landside bersebelahan dengan pintu masuk ke kaunter imigresen tadi. Saya walaupun melebihi namun ia lebih disumbang kepada sewa kereta yang mana tiada resit yang menyatakan VAT diberikan. Jika tidak boleh sahaja saya buat tuntutan.
Sementara menunggu waktu pintu pelepasan dibuka, saya pun mengambil keputusan untuk tidur di bangku yang ada. Tidur pun agak tidur-tidur ayam juga, kerana suasana yan terang akibat lampu dipasang.
Pada pukul 2:55 pagi, waktu sepatutnya pesawat ini berlepas, namun pintu masih tidak dibuka. Ini kerana pada masa itu, pembantu-pembantu penerbangan baru sahaja memasuki pesawat. Dua puluh minit selepas itu barulah ia dibuka dan kemudian setelah semua penumpang menaiki pesawat, pad apukul 3:45 pagi, barulah pesawat 9M-XXS ini berlepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, Mauritius menuju kembali ke tanah air tercinta.
Cop keluar Imigresen Mauritius.
Pintu pelepasan 26 MRU.
Bilik sembahyang (bertentangan dengan pintu pelepasan 23 & 23 MRU).
Penumpang yang ada di dalam penerbangan ini tidak memenuhi keseluruhan muatan yang ada, terutamanya barisan saya, cuma saya sahaja yang ada, jadi dapatlah baring di ketiga-tiga tempat duduk ini.
Saya sebenarnya menunggu masa untuk makan, kerana saya tidak makan berat sejak pukul 1:00 tengahari hari sebelumnya iaitu semasa di Central Market, bermakna ketika jam pertama di dalam pesawat sudah 14 jam saya tidak makan berat (adalah makan ringan semasa di Pantai St Felix, iaitu makan lempeng Mauritius). Tetapi saya dikecewakan dengan pengumuman bahawa makanan hanya diedarkan setelah lima jam penerbangan, iaitu ketika pukul 12:00 tengahari di Kuala Lumpur. Ini bermakna saya hanya akan makan setelah 18 jam baru saya boleh makan. Sudah macam berpuasa pula.
Sementara itu, suasana dalam pesawat digelapkan bagi memudahkan penumpang-penumpang tidur, malahan ditegah oleh petugas kabin untuk penumpang membuka penutup tingkap pesawat. Saya pun tidur walaupun sebenarnya kurang nyenyak, maklumlah perut lapar.
Setelah lima jam penerbangan, masa dinantikan pun tiba, masa makanan diedarkan. Alhamdulillah dapat juga saya menikmati nasi dagang dan nasi baryani vegetarian dengan rasa nikmat sekali.
Setelah usai makan, saya pun duduk di tingkap dengan sekali-sekala membuka penutup tingkap untuk melihat permandangan di udara. Sekali sekali, nampak juga suasana di permukaan bumi sama ada lautan dan juga daratan (ketika sejam sebelum mendarat) Sempat juga saya mengambil gambar.
Pesawat 9M-XXS sedang meluncur di udara.
Akhirnya pesawat ini mendarat di landasan terbang ketiga KLIA sekitar pukul 2:00 petang. Alhamdulillah, sampai juga ke Malaysia. Saya menunggu Najib dan Farish ketika keluar, namun tidak nampak abang Din, mungkin dia sudah memecut untuk pulang ke rumah. Kami berjalan bersama-sama sehingga melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam. Ketika di kawasan Gateway@klia2, saya pun meminta untuk berpisah dengan Najib dan Farish untuk segera mengejar bas shuttle ke KL Sentral terawal pada masa itu.
Penerbangan D7 7 yang selamat tiba di klia2.
Saya, Najib & Farish yang baru keluar dari pesawat AirAsiaX D7 7.
Alhamdulillah, saya sempat tiba tatkala bas yang ada ketika itu mempunyai beberapa tempat duduk sahaja lagi. Saya serahkan tempahan penerbangan yang termasuk sekali tempahan bas shuttle ini kepada petugas di depan bas dan tiket diberikan kepada saya. Bas ini kemudian meluncur ke KL Sentral dari stesen bas klia2 tepat pukul 2:50 petang.
Bas ini sampai di KL Sentral pada pukul 3:40 petang. Saya terus ke kompleks membeli-belah Nu Sentral untuk menukar wang Euro dan Dolar Amerika Syarikat yang ada kepada Ringgit Malaysia. Seterusnya saya medepositkan wang tersebut ke dalam mesin deposit akaun bank saya, agar saya dapat terus membayar bayaran kereta sewa apabila jumlah tersebut dikreditkan ke dalam akaun kad kredit saya.
Tiket bas shuttle klia2-KL Sentral
Resit tukaran wang dari Euro dan US$ ke RM.
Saya kemudian membuka aplikasi Grab di dalam telefon bimbit saya untuk memesan perkhidmatan menghantar saya ke bengkel kereta Sutera Sensasi di Kg Baru, yang mana isteri saya telah menghantar kereta saya untuk diperbaiki sistem penghawa dinginnya. Alhamdulillah terus dapat dan jalan pun cuma sesak sikit sahaja. Saya tiba dalam masa 15 minit dengan bayaran RM8.00 sahaja.
Sampai di sana, isteri dan anak-anak saya berada di situ, dan saya terus bersolat di surau bengkel ini. Memang bengkel kereta ini merupakan bengkel tetap kami. Oleh kerana kereta belum siap (hampir siap sebenarnya), dan saya agak lapar juga (makanan di dalam penerbangan tidak cukup, huhuhu), saya pun membawa keluarga saya makan di Restoran Asam Pedas Kg Baru yang tidak jauh. Jumlah keseluruhan makanan kami adalah RM27.00 sahaja dengan dua jenis hidangan asam pedas (kepala jenahak dan tetel).
Setelah itu kami kembali ke bengkel dan kereta pun siap. Bayaran terus dibuat dan kami pun terus pulang ke rumah. Kami tiba di rumah sepuluh minit kemudian.
Alhamdulillah selesai juga perjalanan saya dan rakan-rakan ke Mauritius ini. Maka sudah 21 negara di dunia ini yang telah saya jejaki.
Mauritius ini sememangnya agak cantik, cuma ia agak mahal sikit. Boleh dikatakan kos hidup umpama di negara Eropah, walaupun infrastruktur tidak maju mana. Namun bagi saya infrastruktur di Mauritius agak baik berbanding banyak negara membangun lain.
Mauritius ini sememangnya agak cantik, cuma ia agak mahal sikit. Boleh dikatakan kos hidup umpama di negara Eropah, walaupun infrastruktur tidak maju mana. Namun bagi saya infrastruktur di Mauritius agak baik berbanding banyak negara membangun lain.
Malangnya, AirAsiaX sudah tidak lagi ke Mauritius, dengan penerbangan pulang kami ini merupakan penerbangan ketiga terakhir dari Mauritius. Namun Air Mauritius masih menjalankan penerbangan dari Kuala Lumpur. Selain itu, cara lain adalah melalui Dubai dengan menggunakan penerbangan Emirates dari Kuala Lumpur atau Singapura. Itu yang terdekat.
Insya Allah, selepas ini saya akan meneruskan lagi pengembaraan saya, yang mana jika tiada aral, saya dan beberapa orang rakan-rakan saya akan menjalani misi mendapatkan 22 buah cop pasport di Sarawak - Brunei - Sabah, pada akhir April dan awal Mei. Doakan yang terbaik buat kami.
Semoga kalian tetap menunggu catatan selanjutnya dari saya. Jadi saya ingin memetik kata-kata pelakon, Qi Khusairi di dalam program pengembaraan "The Street", "Jadilah Pengembara, Bukan Pelancong". Semoga berjumpa lagi, assalamualaikum dan salam sejahtera.
Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
Jika mahu lihat catatan:
If want to read in English:
- PreJourney;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4 (this part); or
- Travel Guide - Mauritius.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan