Selasa, 11 April 2017

Hari 3 (Mauritius - 17 hingga 20 Mac 2017) - Hari Minggu di Mauritius.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 



If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3 (this part);
  • Day 4; or
  • Travel Guide - Mauritius.


Pelangi petang dari Macondé Point.

Petunjuk: Waktu di Mauritius adalah UTC +4 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Saint Louis pula pukul 8:00 pagi.


Hari 3 (19 Mac 2017 - Ahad).


Hari ini merupakan hari terakhir kami di bumi Mauritius ini. Semalam pun kami sudah mengelilingi hampir keseluruhan pulau Mauritius ini. Jadi kami bermalas-malasan pada hari ini. Tambahan pula hari ini merupakan hari Ahad, dijangka banyak tempat tutup. Saya merancang untuk keluar dari penginapan agak lewat, kira-kira pukul 12:00 tengahari. Jadi pada pagi itu, adalah aktiviti bebas untuk kami di Mahebourg. 

Setelah bersarapan pada pukul 7:00 pagi, rakan-rakan bersiar-siar sekitar Mahebourg, manakala saya duduk di dalam bilik untuk berehat, kerana semalam seharian memandu seorang diri dan dijangka hari ini juga saya seorang yang akan memandu. Kadang-kadang rasa tidak adil juga, kerana sewa kereta ini dibahagi empat, bukan dibahagi tiga. Kiranya saya ini membayar untuk menjadi pemandu, bukan dibayar. Tidak mengapalah.

Selepas pukul 10 pagi, penghawa dingin dimatikan oleh Encik Gopi (sistem pendingin hawa hanya boleh dibuka dari pukul 6:00 petang hingga 10:00 pagi, bagi saya satu tindakan tidak wajar, kerana waktu tengahari suasana agak panas di Mahebourg ini), menjadikan suasana bilik menjadi lebih panas. Kebetulan dalam jam 10:15 pagi semuanya sudah kembali, jadi kami mengambil keputusan untuk daftar keluar dan keluar berjalan lebih awal iaitu pada pukul 11:00 pagi.

Selepas selesai urusan daftar keluar, dan segala beg kami dimasukan ke dalam kereta, maka kami pun menuju ke Port Louis untuk menghabiskan masa kami ini. Perjalanan agak berjalan lancar. Permandangan sepanjang Lebuhraya M2 dan M1 juga menarik juga. Selepas setengah jam, sampailah kami di kawasan Central Market, di tengah-tengah pusat bandar Port Louis.

Malangnya, rupanya Central Market sedang ditutup, kerana pada hari Ahad, operasinya hanya sampai pukul 11:30 pagi, dan hanya akan dibuka pada pukul 5:00 pagi keesokan harinya, sedangkan pada hari lain, ia akan dibuka 24 jam. 

Bukan Central Market sahaja, rupanya majoriti premis perniagaan di Port Louis ini ditutup pada hari Ahad selepas waktu tengahari. Menggaru kepala juga kami. Perut pun lapar ini. Nasib baik, berdekatan dengan Central Market ini, di Jalan Sir Robert Townsend Farquhar, menuju ke stesen bas Immigration Square, terdapat sebuah restoran masih dibuka, dan ia adalah restoran halal. Ia adalah Madina Restaurant. Alhamdulillah.

Jadi kami pun masuk ke dalam restoran ini yang susunannya agak sempit dan memilih untuk makan di tingkat atas. Kami melihat menu yang ada. Pilihan pun agak banyak, cuma pada masa itu, cuma ada makanan berasaskan ayam sahaja, jenis lain seperti daging lembu, kambing dan ikan tidak ada. Jadilah, jadi saya pun memesan Riz Frite au Poulet Oeuf  iaitu Nasi Goreng Ayam dan Telur. Najib yang saya tahu memesan Mine Frite au Poulet Oeuf  iaitu Mee Goreng Ayam dan Telur, manakala Farish saya lupa kerana tidak mengambil makanan yang dipesannya.

Dapat juga belajar Bahasa Perancis sikit-sikit pasal menunya menggunakan bahasa tersebut, namun ada beberapa makanan mempunyai terjemahan di dalam Bahasa Inggeris. Dapatlah tahu riz itu nasi, mine itu mee, poulet itu ayam, oeuf itu telur dan sebagainya. Semasa makan, memang di negara orang ini tidak akan jumpa sos cili botol macam di Malaysia, malah di restoran ini tiada sos tomato juga. Hanya ada minyak bawang putih yang menjadi penampah perisa makanan (agak sedap juga) dan juga di dalam sebuah bekas, terdapat sejenis chutney berwarna hijau yang agak pedas juga. Bagi saya, inilah nikmat di negara orang, dapat menikmati makanan tempatan, rasa chutney itu juga agak sedap, sampai agak banyak juga saya ambil. Untuk minuman, saya mengambil air teh hijau berbotol Lipton yang berbeza sikit rasanya berbanding minuman sama di Malaysia, dengan kurang manis, namun agak sedap juga.

Tidak cukup nasi goreng, saya memesan Grill Poullet iaitu Ayam Gril pula. Semua makanan sampai kepada kami dalam tempoh tidak lama. Oh lupa, abang Din cuma makan lempeng sepert roti capati yang diletak pelbagai jenis chutney dan tidak makan bersama kami. Entah ke mana dia pergi, saya pun tidak tahu, yang tahu saya minta agak kita berjumpa di Masjid Jumaah selepas solat zohor.

Setelah usai makan tengah hari, kami pun ke bawah untuk membayar. Jumlah bayaran makanan dan minuman saya kesemuanya dalam Rs. 205 (+- RM27.68). Bolehlah, lagipun wang masih banyak lagi. Selepas membayar, kami kembali ke kereta untuk membawa kereta terus ke Masjid Jumaah. Dalam perjalanan, memang hampir semua premis-premis di Port Louis ini ditutup. Lengang juga, berbeza berbanding hari sebelumnya. 

Kami pun parkir di sebelah masjid sahaja. Apabila masuk, rupa-rupanya walaupun azan Zohor telah berkumandang kira-kira setengah jam sebelum itu, solat berjemaah belum dididikan. Jadi sempatlah juga untuk kami bersolat berjemaah. Memang praktis di sini, solat jemaah akan dilakukan agak lewat berbanding waktu azan, kadang-kadang sampai sejam selepas azan, baru solat jemaah didirikan. 

Selepas solat jemaah didirikan, dan diikuti dengan solat qasar Asar, saya pun bersiar-siar sekitar masjid dan rupanya di belakang masjid ini terdapat sebuah makam seorang wali yang meninggal dunia di sini. Setelah itu, saya pun keluar untuk melihat sekitar kawasan luar masjid yang sudah lengang ini. Pada masa ini, baru saya tahu yang di sebelah timur kawasan masjid ini adalah kawasan Chinatown lagi Port Louis. Setelah semua berada di mana tempat parkir kereta, kami pun bergerak meninggalkan Port Louis.




Peta: Mahebourg ke Port Louis.

Keadaan lebuhraya M1 Mauritius.
Menu Madina Restaurant.

Menu Madina Restaurant.

Riz Frite au Poulet Oeuf (Nasi Goreng Ayam dan Telur) di Madina Restaurant.

Minyak bawah putih (bahan perisa di Madina Restaurant).

Mine Frite au Poulet Oeuf (Mee Goreng Ayam dan Telur)

Grill Poullet (Ayam Gril).

Suasana pusat bandar Port Louis yang lengang selepas tengahari Ahad.

Pintu masuk makam seorang wali di Masjid Jummah, Port Louis.

Makam seorang wali di Masjid Jummah, Port Louis.

Pintu masuk Masjid Jummah, Port Louis.

Pintu gerbang kawasan Chinatown Port Louis.


Destinasi kami adalah ke pusat membeli-belah Bagatelle, terletak di kawasan Moka, yang kami ternampak semasa perjalanan ke Port Louis tadi. Dalam perjalanan, di lebuhraya M1 dan M2 ini memang terdapat banyak kamera had laju. Ini boleh ditemui dengan tiang dan pelindung kamera berwarna kuning. Sebenarnya ia sudah kami jumpai semalam tetapi di jalan bukan lebuhraya, memang banyak terdapat. Lebih-lebih lagi di lebuharaya memang lebih kerap ternampaklah. Ia ala-ala sistem AES di Malaysia. Jadi hati-hati ketika memandu, jangan melebihi had laju yang ditetapkan, biasanya dalam 90km/j.

Setelah sepuluh minit memandu, akhirnya sampai juga kami di pusat membeli-belah ini. Agak luas juga ruang parkir pusat membeli-belah ini. Tujuan kami berada di pusat membeli-belah ini adalah untuk menghabiskan masa, selain kalau ada benda yang boleh dibeli dan juga dapat melihat gelagat hidup warga Mauritius. Kiranya inilah premis komersil yang terbesar di Mauritius. Itu sebab kalau melihat pada penanda pusat membeli-belah ini tertulis "Mall of Mauritius". 

Namun apabila sampai, barulah kami mengetahui, pada hari Ahad, pusat membeli-belah ini tutup pada pukul 3:00 petang. Kami pun sampai di situ hampir pukul 2:00 petang. Apalah nasib, ingat hendak duduk lama-lama di bawah kenyamanan pendingin hawa, kerana cuaca agak panas dan lembab juga. 

Jadi kami pun berpecah untuk membuat perkara yang disukai, asalkan pada pukul 3:00 atau lebih sikit akan berada kembali di kawasan kereta kami diparkir. Saya bersiar-siar di dalam pusat membeli-belah ini. Ramai juga orang walaupun cuma kurang dari sejam, ia akan beroperasi. Di dalam pusat membeli-belah ini mempunyai tiga buah pasaraya. Jadi saya ingin menghabiskan beberapa wang syiling Mauritius yang ada dengan membeli air minuman dan gula-gula di dalam sebuah pasaraya ini. 

Hendak kata besar tidak juga, kerana pusat membeli-belah ini cuma setingkat sahaja. Tetapi agak lengkap juga dengan ada beberapa buah bank dan juga kesemua syarikat telekomunikasi mempunyai cawangan di dalam Bagatelle ini. Harga barangan berjenama adalah lebih mahal di sini berbanding di Malaysia, walaupun setelah potongan harga. Di sini juga saya menjumpai, satu-satunya mesin pemerah tebu di Mauritius ini, walaupun ladang tebu seluas mata memandang, memang tiada kita dapat menjumpai orang menjual air tebu. Setelah merasakan saya sudah mencakupi keseluruhan pusat membeli-belah ini, kira-kira 45 minit lamanya, saya pun kembali ke kereta untuk menunggu rakan-rakan. Sempat lah juga saya melelapkan mata dengan menikmati pendingin hawa kereta.


Kamera had laju di jalan raya di Mauritius.



Peta: Port Louis ke pusat membeli belah Bagatelle, Moka.

Pusat Membeli-belah Bagatelle di Moka, Mauritius.

Tanda pusat membeli-belah Bagatelle.

Suasana di dalam pusat membeli-belah Bagatelle.



Resit pasaraya Intermart di Begetelle.


Pasa pukul 3:15 petang, setelah semua berada di dalam kereta, kami pun meninggalkan Bagatelle ini. Huh, ada masa lagi dalam 5 jam lebih lagi, kerana kami berjanji untuk memulangkan kereta kepada syarikat sewa kereta pada pukul 9:00 malam di lapangan terbang. Tidak tahu ke mana lagi hendak pergi. Semasa keluar dari tapak parkir Bagatelle menuju ke Lebuhraya M2, kami ternampak sebuah teksi yang menggunakan kereta Proton Wira.

Saya pun memandu kereta dan saya bercadang untuk ke lapangan terbang sahaja. Tetapi abang Din hendak pergi ke tempat lain. Jadi saya mencadangkan jika rakan-rakan hendak ke tempat yang diingini, mohon gantikan saya memandu kereta. Saya sudah hampir dua hari menjadi supir kepada semua, dan saya tidak dibayar untuk menjadi supir, malah rasanya saya yang lebih banyak berhabiskan dari segi wang, fikiran dan tenaga untuk perjalanan ini. Jadi jangan pentingkan diri sendiri, kata-kata saya yang terpaksa saya luahkan.

Akhirnya abang Din bersetuju untuk membawa kereta ini yang mana kami bertukar peranan dengan memberhentikan kereta di salah sebuah perhentian bas di tepi lebuhraya dan bertukar tempat duduk. Alhamdulillah, dapat juga saya berehat. Dapat saya tumpukan perhatian untuk melihat permandangan pula.

Abang Din bertujuan untuk ke tanjung berbatu Macondé. Agak jauh jauh juga, dalam sejam lebih perjalanan dari tempat kami berhenti itu, sekitar kawasan Nouvelle France. Tapi bagus juga, sekurang-kurangnya ada juga masa yang boleh digunakan. Jadi kami menuju ke Macondé di mana kami akan kembali menggunakan jalan yang pernah digunakan pada hari sebelumnya.

Apabila sampai di pekan Surinam, abang Din membelok ke kiri pada satu simpang di dalam pekan tersebut, di mana jika menggunakan jalan semalam, perlu jalan terus. Rupa-rupanya jalan tersebut juga boleh digunakan dan ia melalui jalan pesisir pantai. Malah lebih dekat. Tidak tahu kenapa hari sebelumnya, aplikasi Google Maps tidak membawa kami ke jalan ini.

Setelah dalam sepuluh minit lebih melalui jalan ini, kami tiba di pantai awam St Felix. Kami pun berhenti di situ. Bukan apa, sahaja jalan-jalan melihat suasana di situ. Ramai juga orang yang berada di pantai ini. Memang aktiviti orang Mauritius di waktu petang minggu adalah bersama keluarga di kawasan pantai.

Juga, kami dapat melihat beberapa orang lelaki Mauritius sedang bermain petangue. Petangue ini umpama bermain guli atau gasing pangkah atau juga seperti lawn bowl, di mana pemain akan menggunakan beberapa biji bola besi untuk dibaling dengan kaedah tertentu bagi mencapai kedudukan terdekat dengan sebiji bola kecil yang dinamakan jack. Pemain diisytihar pemenang jika mempunyai bola atau bola-bola yang paling dekat dengan jack. Lagi banyak bola mendekati jack lebih banyak mata. Bola yang dikira mata perlu berada di antara jack dengan bola lawan. Begitu antara peraturan ringkas tentang petangue. Ada lagi beberapa peraturan, tapi rasanya apa yang saya berikan itu boleh memberikan gambaran awal cara permainan ini. Lama juga kami melihat permainan ini. Memang orang yang bermain ini sudah pakar, kerana siap balingan sama ada hampir sangat dengan jack atau berjaya menolak keluar bola lawan.

Setelah sekian masa melihat orang bermain petangue, di tepi jalan berdekatan dengan ruang parkir, terdapat sebuah gerai menjual crepe atau lempeng ala Mauritius. Lempeng dibuat segar di situ dan kemudian lempeng ini akan di sapu dengan beberapa jenis sapuan atau chutney. Sapuan-sapuan ini pelbagai warna. Harga sekeping adalah Rs. 14 (+- RM1.90). Mulanya abang Din yang makan, ketika tiada orang. Setelah merasa ia sedap, kami pun memesan, namun tiba-tiba orang ramai memesan lempeng ini. Jadi kami kena mengunggu. Lama juga, kira-kira lebih 10 minit juga. Apabila dapat, kami pun memakan lempeng ini. Memang sedap, dengan pelbagai rasa ada, dengan manis, masam dan pedas, seumpama bendera negara Mauritius juga. Warna sapuan pun pelbagai warna. Farish membelanja saya, namun saya berikannya baki wang syiling namun tidak sampai Rs.14.

Teksi menggunakan kereta Proton Wira.

Pantai Awam St Felix, berhampiran bandar Surinam.

Penduduk tempatan sedang bermain petangue di pantai St Felix (ehsan Najib).


Peniaga sedang mencalit kuah pada lempeng/crepe tempatan (ehsan abang Din).

Peniaga sedang membuat  lempeng/crepe tempatan (ehsan abang Din).



Peta: Pusat membeli belah Bagatelle, Moka ke 
Macondé Point, Baie du Cap melalui pantai St. Felix, Surinam


Setelah menikmati lempeng tersebut, kami pun meneruskan perjalanan. Ketika itu, hujan telah turun sekejap. Lupa kami hendak berkongsi sebelum ini, jadi semasa perjalanan dari St Felix ke Macondé, sempat saya mengambil gambar sebuah perhentian bas yang jika diikutkan tiada penempatan atau bangunan berada berdekatan dengannya. Namun terdapat juga tiang papan tanda perhentian bas di situ. Itulah yang sentiasa kami nampak semasa di Mauritius. Banyak kali di tengah-tengah ladang tebu, tiba-tiba ada tiang perhentian bas. Begitulah di Mauritius.

Setelah dalam lebih setengah jam, maka sampailah kami di Macondé. Macondé umpama salah satu tarikan juga di Mauritius. Banyak juga kereta diparkir di tepi jalan. Nasib baik ada ruang. Macondé ini merupakan batuan yang berada di hujung sebuah tanjung yang juga berada di tepi jalan. Kami pun memanjat batuan ini yang mana sudah ada tangga dibina. Memang cantik dengan permandangan laut dan pantai. 

Kebetulan kami sampai pada waktu lewat petang dan selepas hujan pula itu. Maka ternampaklah sebuah pelangi yang indah terbit di langit di kawasan Macondé ini. Niat kami untuk berada di situ untuk melihat matahari terbenam, namun rasanya lama lagi. Jadi kami pun mengambil keputusan untuk berpatah balik. 

Perhentian bas di Mauritius.

Pelangi petang dari Macondé Point.

Macondé Point.

 Gunung Le Morne dari Macondé Point.

Matahari sedang terbenam dari Macondé Point (ehsan Najib).

Permandangan dari atas Macondé Point.

Permandangan dari atas Macondé Point.

Kaktus yang hidup di kaki batuan Macondé Point.


Permandangan dari bawah Macondé Point. (ehsan Najib).


Jadi kami berjalan pulang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Rangoolam (MRU). Pada masa itu baru pukul 6:00 petang. Apabila sampai di penempatan Baie du Cap, abang Din berhenti kerana ingin melihat lagi orang Mauritius bermain petangue. Najib juga keluar. Saya dan Farish hanya duduk di dalam kereta sambil menikmati permandangan lewat petang di situ. Kami melihat matahari terbenam di situ. Memang cantik permandangan di sini. Melihat matahari terbenam di Lautan Hindi.

Setelah seberapa ketika di Baie du Cap, setelah matahari terbenam, kami pun mula bergerak menuju ke MRU. Namun sebelum sampai ke MRU, penunjuk tangki minyak menunjukan hanya satu takat sahaja. Semasa kami ambil ia berada di takat kedua, jadi kami perlu isi minyak agar ia pada takat kedua, sebelum ia dipulangkan. Jadi kami pun mengisi minyak di stesen minyak Shell di Rose Balle terlebih dahulu. Selepas itu, kami terus ke MRU dan akhirnya sampailah kami di kawasan MRU, setelah sejam lebih memandu dari Baie du Cap. 



Peta: Macondé Point ke MRU.

Penduduk tempatan di Baie du Cap, sedang bermain petangue (ehsan abang Din).

Matahari terbenam di Baie du Cap (ehsan Najib).

Deretan pokok kelapa di tepi jalan ketika menghampiran bandar Souillac.

Pintu gerbang memasuki MRU.

Kami sampai di MRU pada pukul 8:15 malam. Jadi saya membuat panggilan telefon ke pejabat Ola Mauritius, syarikat sewaan kereta kami kerana tiada wakil syarikat berada di depan kawasan balai berlepas. Mungkin kerana kami agak awal. Setelah sepuluh minit, sampailah petugas itu, dan alhamdulillah tiada sebarang kecatatan berlaku. Pihak mereka berjanji akan mengembalikan sekatan kredit kad kredit selewat-lewatnya seminggu selepas kereta dipulangkan. 

Ada lagi tiga jam lagi sebelum kaunter daftar masuk dibuka untuk kami dan enam jam sebelum penerbangan kami dijangka berlepas. Jadi kami mengambil keputusan untuk duduk sahaja di balai berlepas ini. Saya sempat bersolat di belakang bangku sahaja di kawasan udara terbuka, bukan apa, malas nak mencari surau (memang tiada surau di bahagian landside balai berlepas MRU ini).

Kami kemudian masuk ke dalam ruang dalam balai berlepas, duduk di satu tempat yang mana bangkunya tiada mempunyai tempat rehat tangan. Senang bagi kami baring untuk berehat. Pada masa in agak ramai juga orang kerana banyak penerbangan dijadualkan sehingga pukul 11:00 malam. Namun selepas itu, bila dilihat pada papan tanda maklumat penerbangan, hanya ada penerbangan AirAsiaX ke Kuala Lumpur pada pukul 2:55 pagi dan seterusnya hanya akan ada penerbangan pada pukul 8:25 pagi. Bermakna pada awal pagi, hanya penumpang AirAsiaX sahaja yang ada. Bermakna lapangan terbang ini kami yang punya.

Balai berlepas ini dibahagi dua iaitu di bahagian A dan bahagian B. Bahagian A adalah untuk penerbangan selain Air Mauritius dan bahagian B khas untuk penerbangan Air Mauritius. Di tengah-tengah adalah pintu masuk ke kaunter imigresen dan ditepinya terdapat beberapa kaunter pengurup wang dan juga kaunter kastam untuk penisytiharan resit bagi tuntutan kembali bayaran cukai VAT. Saya sempat juga menukar wang baki Rupee Mauritius yang ada di salah sebuah pengurup wang ini kepada matawang Dolar Amerika Syarikat. Ada juga sebuah pengurup wang (lupa pula namanya) yang boleh menukar kepada Ringgit Malaysia, cuma ia akan dibuka untuk tukaran kepada Ringgit mulai pukul 11:00 malam. Lagipun saya percaya kadarnya tidak begitu baik (memang betul pun kerana kadar yang ditawarkan adalah Rs.100 kepada RM10.90, jadi 90 sen itu pun kira halal. Baik tukar kepada matawang utama dan tukar kembali ke Ringgit bila sampai ke tanah air, lebih banyak boleh dapat

Selepas itu saya bersiar-siar sekitar balai berlepas ini. Memang ada tugu khas memperingati Sri Seewoosagur Ranggoolam yang diambil namanya menjadi nama lapangan terbang ini. Beliau sebenarnya adalah Perdana Menteri pertama Mauritius selepas kemerdekaannya daripada Britain. 

Juga terdapat juga hiasan di ruang legar utama MRU yang mempunyai empat warna iaitu merah, biru, kuning dan hijau yang mana itulah warna bendera Mauritius. Hiasan ini adalah sempena kemerdekaan yang dirayakan pada 12 Mac pada setiap tahun. Kami cuma lambat lima hari semasa kami tiba ke Mauritius pada 17 Mac 2017 lepas.


Selepas itu, saya pun kembali ke tempat kami duduk dan saya berehat lalu tertidur sehingga pukul 11:00 malam.

Balai berlepas MRU.

Kawasan terbuka balai berlepas MRU (ehsan Najib).

Papan kenyataan pelepasan di balai berlepas MRU.

Keadaan di dalam kawasan tertutup balai berlepas MRU.

Tugu MRU.

Hiasan di MRU sempena Hari Kebangsaan Mauritius.

Pada pukul 11:40 malam, saya lihat kaunter daftar masuk pun dibuka. Kami pun ke sana, dan memandangkan tiada bagasi yang didaftar masuk dan juga sudah mendaftar masuk melalui web, kami terus ke kaunter khusus untuk tujuan tersebut. Alhamdulillah urusan berjalan lancar. Kami pun duduk sebentar di tempat duduk kami tadi dan bila semua dah selesai kami pun bergerak menuju ke pintu masuk ke kaunter imigresen.




Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3 (this part);
  • Day 4; or
  • Travel Guide - Mauritius.

Tiada ulasan: