Jumaat, 28 April 2017

Pra Kembara (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Misi 22 Cop Pasport.


If want to read in English:
  • PreJourney (this part);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or 
  • Day 4.

Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin di Bandar Seri Begawan.


Pengenalan.

Saya ada terfikir terfikir untuk membuat perjalanan mengumpul cop pasport Malaysia (Sarawak dan Sabah) dan Brunei yang boleh dapat kira-kira lebih 20 cop jika dibuat perjalanan pergi balik sama ada dari sebelah Sabah atau Sarawak, bagi perjalanan pergi balik, sebelum pasport saya terkini tamat tempoh. Namun rancangan itu tidak perlu menunggu tahun 2019 iaitu tahun pasport saya tamat tempoh, kerana ia mendapat sambutan apabila saya utara keinginan saya itu kepada rakan-rakan. Rakan pengembara saya seperti Pak Nasir (rujuk perjalanan ke Pulau Kundur, Kepri dan Sumatera Utara-Aceh pada tahun 2014), abang Din (rujuk perjalanan ke Yangon dan Macau-Hong Kong-Guangzhou pada 2015) dan Deddy Faisal yang sentiasa mengikuti perjalanan di blog dan Facebook, kini ingin mengikuti saya. Sebelum kita teruskan catatan, kita baca sikit maklumat ringkas mengenai Brunei.


Brunei, merupakan sebuah negara beraja mutlak yang terletak di utara pulau Borneo. Mempunyai dua bahagian yang dipisahkan oleh Bahagian Limbang, Sarawak, Malaysia kepada Brunei dan Temburong, sebenarnya kedua-dua bahagian ini dikelilingi oleh negeri Sarawak, Malaysia. Dengan keluasan sebanyak hampir 6 ribu kilometer persegi dan jumlah penduduk kira-kira 420 ribu orang, Brunei adalah dikira sebagai sebuah negara kecil. Namun pun begitu, Brunei ini kaya dengan hasil alam termasuk petroleum, sehingga dikatakan sebagai Kuwait Asia Tenggara. Ibu negaranya adalah Bandar Seri Begawan yang ditukar namanya daripada Bandar Brunei pada tahun 1967. Hampir 70% penduduk Brunei duduk di sini.



Peta: Brunei.


Selama beberapa bulan saya membuat pemerhatian terhadap harga tiket penerbangan ke Miri, sama ada dari Malaysia Airlines (MAS), AirAsia atau Malindo Air. Namun MAS tetap memberikan harga yang terbaik iaitu pada RM273.24/orang pergi balik. Syarikat-syarikat lain berharga lebih mahal dari itu. Lagipun MAS mempunyai beberapa penerbangan ke Miri dalam sehari. Jadi pada 27 Disember 2016, saya menempah tiket penerbangan untuk empat orang yang berharga RM1093.92, atau RM273.24/orang. Lagipun pada 01 Januari 2017, kadar caj perkhidmatan penumpang atau lebih senang dikenali cukai lapangan terbang (airport tax), akan dinaikan. Jesteru itulah, saya membelinya pada hari tersebut.



Tempahan penerbangan Malaysia Airlines ke/dari Miri yang telah ditempah.


Pada 18 Januari 2017, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi individu untuk perjalanan 1 hingga 5 hari ke zon 2 iaitu ke negara-negara Asia terpilih termasuk Vietnam, berharga RM52.20 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Emas yang berharga RM38.00 dan plan Perak berharga RM26.50, tetapi saya memilih plan Platinum pada kali ini kerana inginkan perlindungan yang komprehensif. 

Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen". Sekurang-kurangnya kos perubatan (difahamkan kos perubatan di Australia berkali-kali ganda lebih mahal berbanding kos perubatan swasta di Malaysia) dan kos pengurusan jenazah (minta jauh tapi kan maut itu pasti) telah termasuk dalam perlindungan, jadi tidak perlu mengemis dengan orang lain kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dan di luar jangka. Risau juga selepas berlaku beberapa tragedi menimpa orang Malaysia di luar negara sejak kebelakangan ini.


Nota Perlindungan Takaful Perjalanan eTiQa Takaful.


Pada 24 Mac 2017, saya menempah penginapan kami di Miri, Sarawak nanti melalui Hotels.com di Raja Inn Hotel. Kami memilih untuk menginap di sebuah bilik berkongsi empat orang selama 1 malam (28 hingga 29 April 2017). Harganya RM100.71 atau RM 25.18 bagi seorang. 


Juga, saya menempah penginapan kami di Limbang, Sarawak juga melalui Hotels.com di Hotel Seri Malaysia Lawas. Kami memilih untuk menginap di dua buah bilik berkongsi dua orang selama 1 malam (29 hingga 30 April 2017). Harganya RM155.80 setiap bilik (menjadikan ia sejumlah RM311.60) atau RM 77.90 bagi seorang. 

Pada 02 April 2017, saya menempah sekali lagi penginapan di di Raja Inn Hotel Miri, Sarawak nanti melalui Hotels.com untuk malam terakhir. Harganya sama seperti harga pada malam pertama.

Tempahan-tempahan hotel melalui Hotels.com.

Pada 25 Mac 2017, saya menempah kereta sewa Donz Car Rental melalui mesej di aplikasi Whatsapp di dalam laman webnya. Donz Car Rental berpusat di bandaraya Miri. Kadar bagi Perodua Viva adalah RM110.00/hari, kadar yang agak murah kerana ia mempunyai kemudahan lengkap yang disediakan oleh syarikat kereta sewa yang ternama lain, seperti perlindungan insurans dan sebagainya. Oleh kerana kereta ini akan dibawa ke Brunei, bayaran tambahan sebanyak RM50.00 dikenakan. Pembayaran akan dibuat semasa kami mengambil kereta ini ketika tiba di Lapangan Terbang Miri nanti.

Pada 16 April 2017 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Brunei kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama. Ini penting, agar pihak kedutaan ambil maklum kehadiran kami di Brunei. Ini bagi memudahkan mereka melakukan tugas mereka, disamping dapat memudahkan urusan kita jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. Kita kena bersedia mengjangkakan perkara yang tidak terjangka. Dengan makluman kehadiran kami ke kedutaan, mereka sekurang-kurangnya akan membantu mana yang boleh. Barulah betul adat dan tatasusila orang Malaysia.


Emel makluman kami di Brunei yang dihantar ke 
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan.


Saya telah mendaftar masuk bagi penerbangan pergi (MH2598) untuk semua kami yang akan pergi, melalui penggunaan aplikasi telefon pintar Malaysia Airlines pada pagi 26 April 2017 dan kemudian menyimpan salinan lembut pas pelepasan dengan kaedah fungsi cetakan semula di dalam modul daftar masuk di dalam web MAS, untuk saya cetak semula di pejabat saya.

Pas Pelepasan MAS setelah daftar masuk melalui aplikasi telefon bimbit.

Saya menukar wang Ringgit Malaysia kepada Ringgit/Dolar Brunei (BND atau B$) untuk bekalan perjalanan nanti di H. M. Ghazali Ahmad Sdn Bhd di Masjid India, Kuala Lumpur yang merupakan pengurup wang terendah pada 27 April 2017, setelah meninjau kadar tukaran semua pengurup wang di situ. Kadar pada hari tersebut adalah B$1.00 = RM3.12. Saya cuma tukar B$50.00 (RM156.00) sahaja kerana saya membawa sekali wang Dolar Singapura (SGD atau S$) yang mana ia diterima di Brunei juga. Malah nilainya sama iaitu B$1.00 = S$1.00. Saya juga menukarkan untuk rakan-rakan pengembara, jadi dapatlah not B$10.00 dan B$100.00.

B$10.00 = +- RM31.20


B$100.00 = +- RM312.00

Memandangkan sejak kebelakangan menghampiri hari perjalanan, keadaan cuaca di Kuala Lumpur sentiasa hujan pada sebelah petang, maka saya mengambil keputusan untuk menaiki bas shuttle Airport Coach dari KL Sentral ke KLIA sahaja. Tambang bagi sehala adalah RM10 dan jika kita beli tiket pergi-balik, maka harga tiket adalah RM18 sahaja. Masa dan tarikh bagi perjalanan perjalanan pulang adalah terbuka. Saya membelinya secara di dalam talian di laman web Airport Coach sendiri. Harga sama sahaja dengan kaunter, cuma saya suka untuk membeli lebih awal dan ia boleh dibayar secara kad kredit/debit jika di dalam talian, berbanding hanya tunai jika di kaunter. Jangan lupa untuk mencetak emel tempahan untuk kita tukarkan dengan tiket sebenar di kaunter nanti.


Tempahan bas shuttle Airport Coach.

Rasanya sudah hampir lengkap persiapan saya untuk perjalanan pada kali ini. Cuma tinggal menunggu hari pemergian sahaja. Doakan perjalanan saya dan rakan-rakan Geng KembaraGD kali ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan, insya Allah, amin.

Bersambung ke Hari 1.


If want to read in English:
  • PreJourney (this part);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.

Ahad, 16 April 2017

Panduan Kembara - Mauritius (Mauritius - 17 hingga 20 Mac 2017).

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or
  • Travel Guide - Mauritius (this part).

Tugu Pertempuran Grand Port, Mahebourg, Mauritius.


Mauritius, merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi. Negara yang mempunyai keluasan 2040 km2, bukan sahaja mempunyai pulau utama tetapi beberapa pulau lain juga ini merupakan sebahagian dari benua Afrika. Penduduknya adalah seramai 1.2 juta orang. Mauritius merupakan sebahagian daripada pertubuhan Komanwel kerana British merupakan penjajah terakhir sebelum ia merdeka pada tahun 1968. 

Walau Bahasa Inggeris menjadi bahasa kerja di perkhidmatan awam, Mauritius yang tiada bahasa rasmi, kebanyakan rakyat menggunakan Bahasa Perancis atau Bahasa Creole Perancis Mauritius. Ini kerana sebelum British, Mauritius dijajah oleh banyak penjajah Eropah yang mana yang paling lama dan berpengaruh adalah Perancis. Asal usul nama Mauritius adalah daripada Putera Maurice dari Nassau, ketua negara bagi negara Belanda pada 1585 hingga 1625, yang mana ketika itu Mauritius berada di dalam jajahan Belanda.


Peta: Mauritius.
WAKTU
Waktu di Mauritius adalah UTC +4 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Saint Louis pula pukul 8:00 pagi.


MATAWANG
Mauritius menggunakan matawang Rupee Mauritius (MUR) dengan singkatan Rs apabila digunakan di Mauritius. Kadar pertukaran semasa boleh dilihat di sini

Sebaiknya, kita tukar wang Ringgit Malaysia kepada matawang utama seperti Dolar Amerika Syarikat (US$) atau Euro (€) di Malaysia, kemudian barulah menukarnya kepada Rupee Mauritius, walaupun sebenarnya Ringgit Malaysia memang boleh ditukar terus di Mauritius, kerana kadarnya tidak menguntungkan jika menukar terus.

Dominasi yang Rupee Mauritius adalah:

Syiling: 

  1. 5 cents;
  2. 20 cents;
  3. 1/2 rupee (50 cents);
  4. 1 rupees;
  5. 5 rupees & 
  6. 10 rupees.

5 cents Mauritius = +- RM0.007 (kurang 1 sen)

20 cents Mauritius = +- RM0.03

Rs.½ Mauritius = +- RM0.07


Rs.1 Mauritius = +- RM0.14

Rs.5 Mauritius = +- RM0.68

Rs.10 Mauritius = +- RM1.35

Nota kertas: 


  1. Rs. 25 (ungu, terdapat juga dalam bentuk polimer);
  2. Rs. 50 (biru, terdapat juga dalam bentuk polimer);
  3. Rs. 100 (merah jambu);
  4. Rs. 200 (hijau);
  5. Rs. 500 (coklat, terdapat juga dalam bentuk polimer);
  6. Rs.1000 (biru kehijauan) &
  7. Rs.2000 (merah).

Rs.25 Mauritius (polimer) = +- RM3.38

Rs.50 Mauritius (polimer) = +- RM6.75

Rs.100 Mauritius = +- RM13.50

Rs.200 Mauritius = +- RM27.00

 Rs.500 Mauritius polimer (depan) = +- RM67.50

Rs.500 Mauritius polimer (belakang) = +- RM67.50

Rs.500 Mauritius kertas (depan)= +- RM67.50

Rs.500 Mauritius kertas (belakang) = +- RM67.50

Rs.1000 Mauritius (depan) = +- RM135.00

Rs.1000 Mauritius (belakang) = +- RM135.00


VISA
Pemegang pasport Malaysia yang ingin ke Mauritius atas tujuan melancong, dikecualikan visa (visa-free) sehingga 90 hari, jadi jika lawatan dalam tempoh itu, tidak perlu mohon visa. 

Jika ingin membuat lawatan lebih dari masa itu, perlu memohon visa sama ada di Suruhanjaya Tinggi Mauritius (di negara-negara Komanwel termasuk Malaysia) atau Kedutaan Mauritius (di negara bukan Komanwel) atau semasa di dalam Mauritius, di Pejabat Pasport dan Imigresen Mauritius. Pemegang pasport negara lain atau ingin memohon visa lain boleh rujuk laman web Kementerian Luar Negara, Hubungan Serantau dan Perdagangan Antarabangsa Mauritius (juga boleh rujuk artikel Wikipedia).


Borang masuk Imigresen Mauritius.

Borang Perisytiharan Kesihatan Mauritius.

Cop masuk imigresen Mauritius.

Cop keluar Imigresen Mauritius.



KETIBAAN

Udara
Di pulau Mauritius ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam yang terletak di Plaisance di tenggara pulau Mauritius ini, adalah satu-satunya lapangan terbang yang ada. Bagi satu-satunya penerbangan domestik iaitu ke pulau Rodrigues (560 kilometer ke timur pulau Mauritius) juga diambil dari lapangan terbang ini. 

Buat masa ini, cuma penerbangan Air Mauritius sahaja yang menjalankan perkhidmatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, manakala AirAsiaX telah menutup perkhidmatannya mulai 27 Mac 2017. Selain itu, kita perlu mengambil penerbangan yang mempunyai transit sebelum ke Mauritius seperti di Dubai atau Paris.

Pengangkutan ke bandar:

  1. Teksi, boleh mengambil teksi di balai ketibaan;
  2. Kereta sewa, terdapat banyak kaunter kereta sewa di balai ketibaan;
  3. Pengangkutan yang disediakan oleh pihak pengurus penginapan atau pakej pelancongan, jika disediakan.
  4. Terdapat perkhidmatan bas di pekan Plaine Magnien (kira-kira 3 kilometer berjalan kaki) ke beberapa destinasi di Mauritius.


TELEKOMUNIKASI

Kad SIM Prabayar
Bagi pengetahuan, syarikat telekomunikasi tidak membuka kaunter khas menjual kad SIM Prabayar di lapangan terbang. Di situ hanya agen yang menjual kad SIM tersebut. Jadi mereka mengambil kesempatan dengan memberikan harga tinggi. Jadi ia boleh dibeli terus dari cawangan syarikat telekomunikasi atau agen-agennya di bandar-bandar utama, yang lebih murah.

Terdapat beberapa syarikat telekomunikasi di Mauritius antaranya:

Orange (dimiliki oleh Mauritius Telecom);
Emtel;
Chili (by MTML - Mahanagar Telephone Mauritius Ltd).

Bagi perjalanan saya pada 17 hingga 20 Mac 2017 ini, saya menggunakan kad SIM Prabayar daripada Emtel yang saya beli di pejabat cawangan Emtel di Mahebourg. Ia boleh dibeli pada harga bernilai Rs.100 (+- RM13.50) yang mana di dalamnya terdapat nilai kredit Rs. 87 (+- RM11.75) setelah ditolak VAT (GST) 15%. Daripada kredit itu, barulah kami boleh memilih plan data internet. Kami memilih plan data 750MB yang sah selama seminggu berharga Rs.99 (+- RM13.37), namun oleh kerana kredit tidak cukup kami menambah kredit Rs. 20 (+- RM 2.70) bagi mencukupkan (kerana Rs. 20 adalah amaun minima tambah nilai kredit Emtel). Jadi jumlah semuanya adalah Rs. 120 (+- RM 16.20). (Sebenarnya tidak perlu tambah nilai Rs. 20 itu, kerana terdapat bonus kredit Rs. 20 untuk kad SIM prabayar baru). Talian akan aktif setelah 15 minit selepas itu. 

Kad SIM Prabayar Emtel.

Internet
Terdapat beberapa tempat yang boleh kita gunakan perkhidmatan WiFi seperti di restoran makanan segera (KFC atau McDonald's atau Subway).


PENGANGKUTAN BANDAR

Pengangkutan Awam

Bas
Terdapat banyak pengangkutan di meliputi pulau Mauritius ini, di mana inilah cara palik ekonomik untuk mengembara ke seluruh pulau Mauritius. Terdapat banyak operator yang beroperasi antaranya:

  1. National Transport Corporation (NTC), +230 426 2938;
  2. United Bus Service (UBS), +230 212 2026;
  3. Mauritius Bus Transport (MTB), Long mountain, +230 245 2539;
  4. Triolet Bus Service (TBS), +230 261 6725.
  5. Operator kecil lain seperti Apollo and Turbo.



Teksi
Seperti tempat lain, teksi amat banyak di Mauritius, malah ia merupakan pengangkutan terbaik untuk mengelilingi pulau Mauritius. Ia juga boleh disewa khas. Cuma pastikan kita berurusan dengan teksi berdaftar sahaja.

Kereta Sewa
Merupakan cara terbaik untuk menjejalahi pulau Mauritius, malah ia cara paling berbaloi jika mengembara secara berkumpulan. Lebih-lebih lagi, pemanduan kenderaan di Mauritius adalah pemanduan sebelah kanan kenderaan (bergerak di sebelah kiri jalan), sama seperti di Malaysia. Kadar yang ditawarkan agak berdaya saing dari semurah Rs. 150 (+- RM115.00). Banyak operator utama seperti Sixt, Budget, Eurocar, Avis dan sebagainya serta yang tempatan. Saya menggunakan perkhidmatan Ola Mauritius kerana kadarnya yang murah tetapi mempunyai kemudahan seperti operator utama.


Bot
Pesisir pantai Mauritius mempunyai banyak pulau-pulau peranginan seperti Pulau Ile aux Cerfs dan sebagainya untuk tujuan island hoping  atau untuk menyelam (snorkeling atau scuba diving). Untuk ke pulau-pulau ini, boleh mengambil bot dari pekan-pekan berdekatan dengan pulau ini seperti di Trou d'Eau Douce atau di Balle Mare untuk ke Ile aux Cerfs, atau di Grand Baie untuk ke pulau-pulau berdekatannya.


PENGINAPAN
Terdapat pelbagai jenis penginapan di Mauritius ini sama ada jenis mewah, sederhana, kos rendah, inap desa (guest house) dan asrama. Kebanyakan penginapan ini berada di kawasan tarikan utama di Mauritius seperti di Port Louis, Grand Baie, Mahebourg dan penempatan-penempatan pesisir pantai.

Ketika dalam perjalanan kami di Mauritius ini, kami tinggal di:
Le Bamboo Guest House
25 Rue Marianne
Mahebourg
CO35ZN
Mauritius


Penginapan kami, Le Bamboo Guest House.

BEKALAN ELEKTRIK
Soket plug elektrik digunakan di Iran adalah dari soket jenis C dan jenis G (sama seperti Malaysia). Bekalan elektrik pula menggunakan voltage 230V 50Hz.

Soket elektrik yang digunakan di Mauritus, jenis G, sama seperti di Malaysia.


TEMPAT MENARIK / LAWATAN

Port Louis.
Merupakan ibu negara Mauritius. Terdapat banyak tarikan seperti Central Market, pelbagai muzium, kota lama Fort Adelaide, Masjid Jumaah dan sebagainya.


Mahebourg.
Antara bandar terdekat dengan lapangan terbang, merupakan ibu kota lama semasa zaman penjajahan Perancis. Terdapat pantai Blue Bay dan juga kawasan Mahebourg Waterfront yang boleh kita bersiar-siar.


Grand Baie.
Kawasan utama pelancong di Mauritius. Terdapat pelbagai kemudahan dan juga merupakan tempat pelancong boleh mengambil bot untuk bersiar-siar di pulau-pulau pesisir.


Le Mourne.
Terkenal dengan pantainya, malah Le Mourne ini juga merupakan imej utama yang dipaparkan jika merujuk kepada Mauritius. Terletak di barat daya Mauritius, di sini juga terdapat juga Tugu Laluan Perhambaan. 


Chamarel.
Terletak di pengunungan di barat laut Mauritius, tarikan utama adalah 7 Colours Earth, dan juga Air Terjun Chamarel.


7 Colours Earth.

Air Terjun Chamarel.

Terdapat  banyak lagi tempat tarikan terutama dari segi keindahan alam sekitar, pulau, pantai, pergunungan dan banyak lagi.


MAKAN / MINUM
Negara Mauritius ini merupakan negara yang majoritinya bukan Islam, namun tidak sukar mencari makanan halal. Malah daging mentah halal amat mudah diperolehi. Difahamkan daripada saudara Islam kita di Mauritius, restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald's adalah boleh di makan dan Subway adalah halal di makan.

Madina Restaurant, Port Louis.
Dalam perjalanan ini, kami makan di restoran ini yang menyediakan makanan seperti nasi goreng, makanan berasaskan mee dan juga ala barat.


BELI-BELAH

Central Market.
Pasar harian utama di Port Louis, pelbagai barangan boleh didapati dari barangan basah, barangan kering, daging mentah, pakaian dan juga cenderahati. Bangunan utama terdapat dua tingkat manakala bangunan lain hanya setingkat. Ia dibuka sepanjang masa kecuali dari pukul 11:30 pagi hari Ahad hingga pukul 5:00 hari Isnin ia ditutup. Cenderahati di sini adalah termurah di Mauritius, terutama jika kita jenis suka tawar menawar.
Pusat bandar Port Louis.


Central Market, Port Louis.

Grand Baie.
Merupakan bandar peranginan utama di Mauritius, kira-kira 20 minit ke utara Port Louis. Jadi tidak hairan jika kita boleh lihat pelbagai premis perniagaan di sini. 

Permandangan di Grand Baie.

Bagatelle - Mall of Mauritius.
Merupakan pusat membeli-belah utama dan terbesar di Mauritius. Terletak betul-betul di sebelah Lebuhraya M2, kira-kira 15 minit ke selatan Port Louis. Di dalam ini terdapat pelbagai kedai-kedai yang menjual barangan berjenama, juga mampunyai tiga buah pasaraya: Intermart, Monoprix dan Food Lovers' Market. Ruang parkir amat luas dan ia adalah percuma
Moka.

Tanda pusat membeli-belah Bagatelle.

Pusat Membeli-belah Bagatelle di Moka, Mauritius.


Makanan / Minuman

Pelbagai pasaraya dan pasar harian.
Pasaraya moden banyak terdapat di sekitar Mauritius ini seperti Super U, Intermart, Monoprix, Super Saves dan sebaganya, yang menyediakan pelbagai barangan makanan yang boleh kita beli. Ini juga boleh didapati juga di pasar-pasar harian di penempatan-penempatan di Mauritius seperti Central Market di Port Louis. Daging mentah halal juga boleh didapati di sini, cuma di beberapa pasaraya, daging tidak halal diletakan bersebelahan dengan daging yang halal.


PATUT TAHU / PETUA

Ladang tebu di Mauritius adalah seluas sejauh mata memandang, namun jangan harap kita berjumpa dengan penjual air tebu di tepi jalan atau di mana-mana. Hanya satu tempat yang saya menjumpainya iaitu di Bagatelle. Tebu digunakan untuk diproses menjadi gula mentah atau pun menjadi minuman keras rum.

Masa operasi tempat-tempat lawatan yang diuruskan oleh kerajaan di Mauritius adalah mengikut masa kerja kerajaan iaitu Isnin hingga Jumaat, pukul 9:00 pagi hingga 4:00 petang dan Sabtu 9:00 hingga 12:30 tengahari. Ia ditutup selain dari masa itu. 

Juga, banyak premis perniagaan ditutup selepas pukul 7:00 malam termasuk kebanyakan stesen minyak. Malah pada hari Ahad, sebahagian besar premis swasta, perniagaan apatahlagi kerajaan ditutup selepas pukul 12:00 tengahari sampai keesokan pagi. Jadi kita perlu merancang perjalanan kita semasa di Mauritius.

Kebanyakan tempat di Mauritius tidak memerlukan kita membayar bayaran parkir, jika parkir di tepi jalan kecuali di pusat bandar Port Louis di mana mengikut masa kerja pejabat kerajaan, Isnin hingga Jumaat, pukul 9:00 pagi hingga 4:00 petang dan Sabtu 9:00 hingga 12:30 tengahari, ia perlu dibayar bayaran parkir dengan kupon yang boleh kita dapati di beberapa premis perniagaan berhampiran dengan petak parkir kita letakan kenderaan kita. Kadarnya adalah Rs. 10 (+- RM1.30) setiap setengah jam. Kupon dijual secara berbuku sepuluh keping dalam dominasi berbuku 10 keping Rs.10 (untuk 10 kali setengah jam) atau berbuku 10 keping Rs.20 (untuk 10 kali sejam).

Pemanduan di Mauritius adalah sama seperti di Malaysia iaitu pemanduan sebelah kanan kenderaan dan memandu di sebelah kiri jalan. Sistem lalu lintas juga agak sama. Di lebuhraya dan beberapa tempat di luar bandar, terdapat banyak bulatan di persimpangannya. 

Perlu berhati-hati, terdapat banyak kamera perangkap had laju berwarna kuning didapati di jalan raya di Mauritius terutama di lebuhraya. Jadi jangan seronok sangat membawa kenderaan sehingga lupa had laju.

Kamera had laju di jalan raya di Mauritius.

Walaupun Mauritius ini agak selamat, namun kita tidak boleh mengambil sambil lewa dengan keselamatan. Jangan tinggalkan barangan berharga yang boleh dilihat di dalam kereta. Kita juga tidak digalakan berjalan berseorangan terutama semasa keadaan gelap. 

Oleh kerana ekonomi Mauritius juga bergantung juga kepada sektor pelancongan, maka scam dan tout adalah satu yang mesti kita berhati-hati dalam berurusan.

Jangan menaiki teksi yang tidak berlesen, di Mauritius masih belum mempunyai perkhidmatan Uber atau Grab atau seumpanya. Ini kerana banyak kes jenayah melibatkan teksi tidak berlesen.


KESIMPULAN

Mauritius ini agak selamat untuk kita mengembara namun perlu juga berhat-hati. Ada banyak tempat menarik dan yang paling penting laut dan pulaunya umpama kita berada di syurga. 



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or
  • Travel Guide - Mauritius (this part).