Isnin, 9 Jun 2014

Hari 2 Bahagian 1 (Batam & Bintan, Indonesia - 23 hingga 25 Mei 2014) - Mencari Asal Usul Di Pulau Penyengat.

Sambungan dari Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat:



If want to read in English: 

  • Day 2 Part 1 (this part); 
  • Day 2 Part  2;
  • Day 1; or 
  • Day 3.




25 Mei 2014 (Ahad)

Akhirnya, sampai juga kami di Pulau Penyengat. Jeti pun warna kuning. Rasa macam bangga dan bersemangat hendak melihat tinggalan Kesultanan Riau ini. Keadaan jeti agak baik, cuma permukaan jalan sahaja yang agak rosak sedikit, mungkin kerana jeti ini merupakan pintu masuk keluar utama bagi penduduk Pulau Pengengat ke dunia luar. Ingat semasa melihat bot penambang sebelum kali berlepas dari Dermaga Pulau Penyengat di kota Tanjung Pinang, sebuah almari dibawa menaiki bot penambang. Begitulah kehidupan penduduk di Pulau Penyengat ini.


Pulau Penyengat ini pernah diceritakan bahawa telah menjadi mas kahwin perkahwinan Sultan Mahmud (mangkat dijulang) dengan Engku Putri Raja Hamidah. Bukan calang-calang pulau ini rupanya. Yang menariknya, semasa kemangkatan Sultan Mahmud, Engku Putri menjadi pemerintah bagi kawasan Kepulauan Riau, termasuk Batam, jadi tidak hairan dataran di Batam Centre itu dinamakan Dataran Engku Putri. Nak tahu lebih lanjut, rajin-rajin Google atau selain itu baca Wikipedia Bahasa Melayu atau Indonesia mengenai Pulau Pengengat ini.

Kami berjalan dari kawasan kami berlabuh ke kawasan dataran, dan Azmi menunjukan saya sekeping iklan yang ada di tepi jalan, "JANGAN RUSAK BUMI MELAYU DENGAN SAMPAH". Begitu mendalam maksudnya, Azmi pun bersetuju dengan saya. Bukan sahaja ia bermakna tersurat iaitu agar kita menjaga kebersihan Pulau Penyengat ini, juga iklan ini mungkin mengingatkan agar bumi Penyengat ini bebas dari anasir bukan Melayu yang cuba mempengaruhinya. Agakan saya... Saya amat bersetuju dengan kenyataan tersebut.


Sampai di pangkat jeti itu, tersergam bangunan yang sudah nampak dari Tanjung Pinang iaitu Masjid Sultan Riau. Warna kuning memang warna utama melainkan untuk bumbung sahaja. Agak ramai juga wisatawan (pelancong) menziarahi masjid ini.


Di luar masjid ini juga banyak juga beca (di sini dan serata Indonesia dipanggil becak), beratur di luar masjid ini. Menariknya beca di sini, ia menggunakan motorsikal bukannya basikal dan reka bentuk tempat duduknya berupa rumah limas seperti rumah tradisi Johor. Namun kami tidak menggunakan khidmat beca kerana kata Azmi, semua tempat di Penyengat ini boleh dicapai dengan berjalan kali sahaja. Saya pun akur, lagipun boleh selamat bajet saya.


Kemudian kami berjalan ke sekeliling masjid ini, tempat pertama kami singgah adalah Perigi Putri, yang terletak ke utara masjid atau jika mengadap masjid dari jeti, ia mengambil jalan sebelah kanan. Malang sekali papan tandanya tidak terjaga. 


Dikatakan bahawa dahulu perigi ini menjadi tempat bersiram puteri-puteri diraja. Airnya masih ada walaupun sudah berkurun ia ada di situ. Menariknya airnya tetap tawar walaupun gigi air laut berada kira-kira 15 meter dari tempatnya. 


Tidak jauh dari Perigi Puteri, terdapat sebuah perigi yang airnya masih jernih dan masih dalam lagi airnya, kita boleh mencapai takat airnya jika cuba menyentuhnya. Yang menariknya adalah ia merupakan sumber air utama penduduk kampung sekitar, dan paip-paip air begitu banyak kelihatan. Semuanya dipam menggunakan kuasa elektrik dan dipam terus ke rumah penduduk.



Selanjutnya, kami berjalan menuju ke belakang Masjid Sultan. Di sebelah kanan terdapat sebuah gedung yang dinamakan Gedung Mesiu iaitu gudang alat bedil dan senjata api untuk tentera diraja. Binaannya amat kukuh dan dindingnya amat tebal. Dikatakan ia merupakan pintu masuk ke ruangan bawah tanah, namun saya tidak menjumpai sebarang pintu masuk, mungkin sudah ditutup.


Kami memanjat bukit untuk melawat makam Raja Abdul Rahman iaitu Yang Dipertuan Muda Riau VII dan kaum kerabatnya. Kubur-kubur di sini semua nisannya dibaluti dengan kain kuning. Ketika ini, hujan gerimis mulai turun. Kami berselisih dengan penjaga kubur ini. Banyak maklumat kami perolehi daripadanya. Semasa kami berbual, beliau sering kali menunjukkan tangan saya. Saya hairan juga. Bukan sekali tapi beberapa kali. Beliau mengatakan bulu roma saya berdiri, saya berkata mungkin kesejukan hujan gerimis, namun beliau tanya saya hati saya ada berdebarkah. Saya kata tiada macam biasa sahaja, selepas itu beliau mengatakan bahawa saya merupakan anak cucu (keturunan) daripada kerabat diraja di sini. 

Terkejut saya, tujuan asal memang saya hendak mengkaji asal usul saya di Bintan (kerana memang jelas si nenek sebelah ibu saya mempunyai keturunan Bentan, susur galur Laksamana Megat Seri Rama atau Laksamana Bentan) tetapi rupanya saya mempunyai juga keturunan kerabat diraja Riau. Jadi seperti biasa di setiap perkuburan, saya sedekahkan surah al Fatihah lebih-lebih lagi mengetahui saya merupakan nasab si mati.



Seterusnya Azmi membawa saya naik ke atas bukit lagi untuk melihat Kota Penyengat, kota pertahanan Pulau Penyengat daripada serangan tentera Belanda. Kedudukan bukit ini , iaitu Bukit Kursi memang strategik boleh melihat permandangan 360 darjah sekeliling.


Di kota ini juga terdapat lebih kurang 10 pucuk meriam dan kebanyakannya merupakan meriam Belanda, kerana terdapat cop logo VOC iaitu cop Syarikat Hindia Timur Belanda. Ini menunjukan bahawa Belanda pernah berada di kota ini dan juga Belanda pernah tewas di sini. Serupa dengan Kota Melawati di Kuala Selangor.



Kami turun semula ke bawah untuk ke masjid bagi menunaikan solat Zohor tidak lama selepas itu (kerana bacaan al Quran mula berkumandang ketika kami di atas kota. Semasa hampir sampai, hujan lebat turun dan membasahi bumi Penyengat dan kami.

Jadi semasa bersolat Zohor di sini, kami basah lenjun. Setelah usai solat Zohor berjemaah, saya meneruskan dengan solat qasar Asar pula. Setelah itu, saya mengambil gambar, namun semua gambar di dalam masjid ini tidak jelas dan tidak cantik. Selepas itu baru saya difahamkan, kawasan masjid ini tidak boleh mangambil gambar. Padanlah, mungkin disebabkan titah sultan agaknya. Cuma gambar naskah al Quran lama tulisan tangan ini yang saya kira jelas untuk diambil. Semasa kami bersolat Zohor tadi sebenarnya hujan mulai reda... Alhamdulillah.



Kemudian, kami meneruskan perjalanan, ambil gambar yang menarik di sekitar Pulau Penyengat ini ketika ke tempat tumpuan lain. Gambar atas merupakan papan tanda mengenai Riwayat Pulau Penyengat dan di bawah ini dahulunya merupakan sebuah rumah sakit atau klinik. Begitu teguh binaan orang zaman dahulu. 



Seterusnya kami menuju ke kompleks makam beberapa lagi kerabat diraja Riau yang menempatkan juga Engku Puteri yang pulau ini dijadikan mas kahwin baginda, Raja Abdullah (Yang Dipertuan Muda Riau IX), Raja Ali Haji, bapanya Raja Ahmad dan ramai lagi. Selain Engku Puteri yang jadi tumpuan Raja Ali Haji juga antara tumpuan. 



Beliau merupakan seorang ulama, ahli sejarah, serta, pujangga Melayu-Bugis. Antara sumbangan beliau adalah pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa bahasa Melayu melalui Pedoman Bahasa, buku Pedoman Bahasa,  buku yang telah menjadi piawai bahasa Melayu. Bahasa Melayu baku inilah yang ditetapkan sebagai bahasa Indonesia, bahasa rasmi negara Indonesia, di dalam Kongres Pemuda Indonesia pada 28 oktober 1928. Antara kayra utama lain beliau adalah Thfat an Nafis (1865), Salasilah Melayu dan Bugis (1890) dan Gurindam Dua Belas. Beliau telah diisytihar sebagai Pahlawan Nasional Indonesia pada 05 November 2004. Bacaan lanjut tentang beliau boleh diperolehi di Google, Wikipedia Bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris.

Raja Ali Haji diabadikan namanya di sebuah universiti di Tanjung Pinang, yang dinamakan Universitas Maritim Raja Ali Haji atau singkatannya UMRAH. (* Terima kasih atas ingatan Azmi melalui Facebook Messenger pada 1712 (5:12 petang) pada 09 Jun 2014).




Kemudian kami berjalan kir-kira 500 meter ke kompleks makan Yang Dipertuan Muda Riau (YDPMR) lain seperti Raja Jaafar (YDPMR VII) dan Raja Ali (YDPMR VIII). Agak keliru kerana nama banyak kerabat menggunakan nama Ali dan Haji menyebabkan kami keliru adakah ini Raja Haji Fisabilillah (Marhum Ketapang) dan Raja Ali Haji (pujangga seperti di atas). Namun semakin lama agak jelas sikit. Di sini juga terdapat kamar mandi yang terdapat mata air di dalamnya. Di katakan air ini mujarab untuk penyakit kulit, wallahu a'lam.



Di sebelah makam Raja Jaafar ini pula terletak Istana Bilik, yang merupakan sebuah istana pemerintah Riau namun kami tidak pasti yang mana satu. Namun yang saya perhatikan,seni binanya hampir serupa dengan Istana Kampung Glam di Singapura.



Kami meneruskan perjalanan lebih kurang 500 meter menuju ke Balai Adat, yang menghadap ke selatan. Ia lebih kepada Balai Rong Seri. Di kawasan Indonesia, orang-orang Melayu juga mempunyai rumah adat bukan hanya kepada orang Minang sahaja seperti di Malaysia (lebih tepat di Negeri Sembilan, kawasan Naning, Melaka dan daerah Hulu Langat, Selangor).


Kami singgah makan di sebuah gerai makan di hadapan Balai Adat ini. Kami memesan asam pedas ikan sembilang dan minum minuman rasmi kami, teh o beng hahaha... Wanita yang mengusahakan gerai ini sebenarnya anak tempatan dan berketurunan kerabat Melayu Bugis juga, cuma catatan saya hilang di mana nama beliau ada tertulis. Yang penting namanya ada Raja di hadapan. Beliau masa terus pesanan kami, bukannya sudah masak siap-siap. istimewa itu. Makanannya memang sedap, boleh datang lagi. Sedapnya sehingga lupa hendak ambil gambar, hehehe. Kalau tak, jadi satu lagi artikel dalam blog SantapanGD.


Usai makan, kami meneruskan jejakan kami ke kompleks Istana Kantor pula. Istana ini juga merupakan istana penginapan dan juga pejabat (kantor dalam Bahasa Indonesia) bagi Raja Ali (YDPMR VII). 


Yang masih selamat adalah struktur batu, manakala struktur kayu sudah tiada, dimamah zaman.


Sebenarnya kami sesat semasa mencari Istana Kantor ini. Istana ini sebenarnya mudah dicari, namun kerana di Pulau Penyengat ini kurang dari segi tanda arah, jika ada pun agak kecil dan keadaannya menyedihkan. Papan tanda berpeta langsung tiada. Sewajar ini dapat dipertingkatkan demi memudahkan para pelancong/wisatawan untuk meneroka sejarah diraja Riau.


Sebenarnya sejak selesai solat keadaan baju saya basah kuyup akibat hujan dan saya tidak mahu tukar bajunya takut hujan lagi. Nasib baik beg galas saya yang dari jenis Deuter Futura 28l jenis spara kalis basah, dan beg ini juga terdapat pelindung hujan yang di simpan di komponen bawah.


Seterusnya acara kemuncak, yang mana Azmi sendiri berkata walaupun sudah beberapa kali beliau datang ke mari, masih belum pernah sampai lagi kerana kekurangan tanda arah iaitu makam Pahlawan Nasional yang namanya diabadikan pada banyak mercu tanda di Indonesia terutama yang ada kaitan dengan Kepulauan Riau. Baginda adalah Raja Haji Fisabilillah (Marhum Teluk Ketapang). Raja Haji (jangan keliru dengan pujangga Raja Ali Haji, yang juga cucu banginda) merupakan penentang kuat kehadiran Belanda di Tanah Melayu dan Sumatera. Disebabkan itu baginda diisytiharkan Pahlawan Nasional Indonesia. Baginda merupakan Yang Dipertuan Muda Riau IV dan merupakan anak Daeng Celak dan adik kepada Raja Lumu (Sultan Sallehuddin), Sultan Selangoryang pertama.

Antara mercutanda utama yang menggunakan nama baginda adalah Lapangan Terbang Raja Haji Fisabilillah, Tanjung Pinang, Bintan, Kepri (kod IATA: TNJ) dan jambatan pertama gugusan Jambatan Barelang, Batam iaitu Jambatan Raja Haji Fisabilillah, ikon kota Batam. Maklumat lanjut tentang Raja Haji Fisabilillah boleh di dapati di Google, Wikipedia Bahasa Melayu dan Indonesia.



Pendek kata, semua nisan dibaluti kain kuning adalah persemadian kerabat diraja Melayu Bugis. Difahamkan,kerabat diraja Johor dan Selangor selalu datang menziarahi makam-makam ini.



Jam menunjukan pukul 1530 (3:30 petang WIB), kami terus ke jeti dan pulang ke Tanjung Pinang untuk pulang ke Telaga Punggur, Batam. Alhamdulillah, sampai sahaja, terus ada bot penambang untuk ke Tanjung Pinang. Terus bayar Rp12ribu (+-RM3.60) untuk dua orang, dan bot meluncur. Selepas dua puluh minit, maka sampai kami di jeti Dermaga Pulau Penyengat di Tanjung Pinang. Sempat la ambil gambar di atas dan di bawah ini. Suka dengan gambar di bawah, GenRe Generasi Berencana, Budak Melayu Budak Berencana. Bermakna Anak Melayu Anak Berwawasan, bagus slogan ini.


Kami terus ke jeti Sri Bintan Pura untuk ke Batam dan terus mendapat feri pukul 1500 (3:00 petang) alhamdulillah. 




Pukul 1655 (4:55 petang), kami sampai di Telaga Punggur. Walaupun pukul 1700 (5:00 petang), keadaan sebenarnya macam pukul 1800 (6:00 petang) kalau di Malaysia.


Inilah motorsikal (plet merah) yang menjadi pengangkutan kami di Batam. Ia kepunyaan kakak ipar Azmi. Plet merah bermaksud kenderaan kerajaan.


Kami terus ke Batu Aji, iaitu penginapan kami di Batam yang merupakan rumah kakak ipar Azmi. Perjalanan dari Telaga Punggur ke Batu Aji mengambil masa sejam suku. Di tengah perjalanan, Azmi ingin mengisi minyak ke dalam motorsikal, namun tempt duduk seakan susah untuk dibuka. Namun dapat saya mengambil gambar harga petrol RON85 yang dinamakan benzin atau premium untuk golngan tidak mampu. Ia berharga Rp6500 (RM2.00) seliter. RON 92 dinamakan Premium dijual pada harga Rp9500 (+-RM3.15) seliter dan RON 95 pula (saya tidak ingat istilahnya dijual Rp10200 (+-RM3.50) seliter. Kalau diesel diberi nama solar dijual Rp7000 (+-RM2.10) seliter.

Kami terus ke rumah dan menanti isteri Azmi, Yanti, anak-anak Azmi, anak kedua ipar Azmi dan ibu Yanti (ibu mertua Azmi). Keluarga ipar Azmi tiada di rumah kerana anak sulung mereka memasuki wad di hospital.

Kami kemudian membersihkan diri dan bersolat di masjid berhampiran. Di kawasan perumahan ini terdapat dua buah masjid berdekatan, di mana saya difahamkan masjid lebih besar di bawah kelolaan perkumpulan agama Nahdatul Ulama dan masjid yang lebih kecil di mana kami bersolat Maghrib dari perkumpulan Muhamadiyah. Saya terus membuat solat qasar Isyak selepas solat maghrib berjemaah. Masjid dari perkumpulan Muhamadiyah ini mendapat bantuan dari kerajaan Arab Saudi.

Selepas pulang bersolat, saya pun makan malam bersama Azmi di rumah ipar Azmi dengan hidangan istimewa yang bahan-bahannya dibawa dari Kerinchi. Antaranya belut dan ikan darat. Huh, memang sedap. Alhamdulillah, terima kasih Yanti dan ibunya atas hidangan yang sedap.


Malamnya Azmi membawa kami ke gedung membeli belah berdekatan. Kena hantar dua kali perjalanan kerana motrsrikal hanya ada satu sahaja. Semasa trip saya, Azmi mengisi minyak di penjual petrol jalanan.Jenuh juga hendak membuka tempat duduk motorsikal, akhirnya berjaya juga. Di penjual jalanan ini petrol benzin (RON 85) dijual dengan harga Rp13ribu sebotol (kurang dari 1.5 liter). Kira mahal 25% dari nilai pasaran. Beginilah Indonesia, akibat kesusahan, benda yang dikawal pun dijual baik demi mencari sesuap nasi.


Di gedung tersebut, sempat saya membeli pelbagai barangan untuk dijadikan cenderahati kepada keluarga di rumah. Harga di sini lebih murah dari di Nagoya. Gedung ini sebenarnya untuk warga tempatan, jadi tidak hairan banyak benda murah. Sempat saya menukar dompet saya yang sudah dua tahun setengah tidak ditukar.

Pulang di rumah, saya gatal-gatal tanya pada Azmi ada wang syiling kah untuk jadi koleksi saya. Lalu keluarga Azmi memberikan saya duit-duit syiling yang sekarang ini jarang digunakan lagi. Terima kasih Azmi dan sekeluarga.

Rp 200 (2003) = +- 6 sen Malaysia.

Rp 500 (2002) = +- 15 sen Malaysia.

Rp 1000 (2010) = +- 30 sen Malaysia.

Selepas itu saya berborak dengan keluarga Azmi terutama ibu kepada Yanti yang duduk di Kerinchi, Jambi, Sumatera. Banyak kisah yang saya dapat dari beliau. Beliau siap ajak saya untuk ke Kerinchi. Insya Allah ibu, jika ada umur, memang saya mahu pergi ziarah.

Kemudian kami pun tidur untuk berehat bagi aktiviti esoknya.


Akan bersambung ke Hari 3.

Atau ingin melihat:


If want to read in English: 

  • Day 2 Part 2 (this part);
  • Day 1; 
  • Day 2 Part  1; or 
  • Day 3.

Tiada ulasan: