Ahad, 10 April 2016

Hari 4 (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - Bersiar-siar Dalam Kedinginan Seoul.

Bersambung dari Hari 3 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5. 

Saya di halaman Istana Gyeongbokgung.

Hari 4 (09 Mac 2016 - Rabu).

Pagi ini, kami bangun seperti biasa dan makan di penginapan. Kami keluar dari penginapan pada pukul 9:00 pagi. Memandangkan pada waktu awal pagi, hujan membasahi bumi Seoul ini, maka suhunya lebih sejuk berbanding pagi-pagi biasa kami di sini. 

Kami menaiki Metro Seoul Laluan 3 (oren) menuju ke Stesen Gyeongbokgung yang mengambil perjalanan 3 stesen dari Stesen Eujiro 3(sam)-ga. Kami keluar dari stesen dan rekabentuk Stesen Gyeongbokgung ini agak menarik iaitu bertemakan tembok kota lama. Kami mengambil pintu keluar nombor 5 dan kami keluar di laman Muzium Istana Kebangsaan Korea (National Palace Museum of Korea), iaitu di sebelah barat pintu masuk ke kawasan Istana Gyeongbokgung.



Peta: Perjalanan Penginapan ke Istana Gyeongbokgung.

Muzium tidak dibuka lagi pada masa itu, dan hanya akan dibuka pada pukul 10:00 pagi. Bayaran masuk adalah sebanyak ₩3000 (+- RM10.50). Kami memilih untuk tidak memasukinya kerana kebanyakan dari kami hampir habis bajet termasuk saya. Jadi kami ke laman Istana Gyengbokgung untuk melihat Upacara Pertukaran Pengawal Istana.


Halaman Istana Gyeongbokgung dan pintu Hyeungnyemun.

Masa operasi dan harga tiket Istana Gyeongbokgung

Istana Gyeongbukgung adalah istana diRaja utama pada zaman dinasti Joseon. Ia dibina pada tahun 1395 dan merupakan istana yang terbesar di kalangan Lima Istana Agung Seoul yang ada berdekatan. Bayaran masuk ke dalam kawasan istana ini berharga ₩3000 (+- RM10.50) dan ia juga meliputi bayaran masuk ke Muzium Rakyat Kebangsaan (National Falk Museum) yang terletak dalam kompleks istana. Masa operasi istana ini berbeza mengikut bulan, pada masa kami datang ini iaitu bulan Mac, dan sehingga bulan Mei, istana ini dibuka dari pukul 9:00 pagi ke 5:00 petang.


Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung, Seoul, Korea Selatan (Bahagian 1). 

Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung, Seoul, Korea Selatan (Bahagian 2). 

Kami tidak masuk ke dalam kompleks istana ini, cukup berada laman utama istana di antara pintu utama Gwanghwamun dan pintu dalam Hyeungnyemun di mana di sini terletaknya kaunter-kaunter tiket. Di sini juga pada masa-masa tertentu, akan ada Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung. Pada sebelah pagi, ia diadakan pada pukul 10:00 pagi. Jadi inilah tujuan kami hadir ke istana ini.


Saya di halaman Istana Gyeongbokgung.

Gambar Aplikasi Instaweather di halaman Istana Gyeongbokgung.

Upacara pertukaran pengawal ini mengambil masa selama kira-kira setengah jam. Agak ramai juga yang menunggu pertukaran pengawal ini. Menariknya, pengawal tersebut tidak memakai pakaian tentera moden tetapi pakaian tentera tradisional Korea.

Pintu gerbang selatan (Gwanghwamun) dan yang utama Istana Gyeongbokgung.

Saya dan Ketua Pengawal Istana Gyeongbokgung.


Selepas upacara tersebut, pengunjung berpeluang untuk bergambar dengan para pengawal yang ada di Pintu Utama/Selatan Gwanghwamun. Pengawal-pengawal yang bertugas ini agak tinggi dan sasa. Tinggi mereka lebih dari 180 sentimeter. Terasa saya ini pendek pula.


Tugu Raja Sejong di Dataran Gwanghwamun.


Selepas itu, kami menyeberangi jalan di hadapan pintu Gwanghwamun untuk berjalan-jalan di Dataran Gwanghwamun pula. Di sekeliling dataran ini terdapat banyak bangunan-bangunan utama Seoul yang dimiliki oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Paling utama, Bangunan Kerajaan Korea Selatan dan Bangunan Pihak Berkuasa Metropolitan Seoul berada di sini.

Di tengah-tengah dataran yang berbentuk segiempat tepat dan memanjang ke arah selatan ini terdapat sebuah tugu. Tugu ini merupakan Tugu Raja Sejong dari Dinasti Joseon, iaitu raja yang paling terkenal di mana zaman baginda merupakan zaman kegemilangan Korea di bawah disnasti Joseon. 

Raja Sejong ini juga yang memperkenalkan tulisan Korea yang dikenali sebagai tulisan Hangul, di mana sistem tulisan ini merupakan sistem tulisan paling sistematik di dunia. Tulisan ini dikatakan paling mudah untuk dipelajari dimana baginda pernah berkata di mana tulisan ini boleh dipelajari oleh seorang bijaksana dalam masa satu pagi dan bagi yang paling dungu akan mengambil masa 10 hari. Sebelumnya, Korea menggunakan tulisan Cina trasional atau dikenali di Korea sebagai Hanja, yang memerlukan untuk menghafal setiap karektor khas bagi setiap perkataan. Tulisan Hanja pun hanya golongan bangsawan sahaja yang mengetahui, jadi Raja Sejong memperkenalkan tulisan Hangul untuk memajukan bangsa Korea. 


Gambar Aplikasi Insta Place di Dataran Gwanghwamun.

Permulaan Sungai Cheonggyecheon.


Seterusnya kami meneruskan perjalanan dan sampai di permulaan Sungai Cheonggeycheon. Sungai ini juga yang mengalir berhampiran penginapan kami dan kami melaluinya pada Hari 1 dan Hari 3 perjalanan ini. Sungai ini memang merupakan sungai utama di Seoul. Dahulu banyak penempatan terletak di tebing sungai ini. Boleh dikatakan ia nadi bandaraya Seoul. Tetapi akibat pembangunan yang tidak terkawal, ia menjadi kotor dan tercemar. Pada pemerintahan Presiden Korea Selatan yang ketiga, Park Chung-hee, telah menutup keseluruhan sungai ini dengan konkrit pada tahun 1958 dan sepuluh tahun kemudian, sebuah lebuhraya dibina di atas turapan konkrit tersebut.


Batu perkisahan pemulihan semula Sungai Cheonggyecheon.

Pada tahun 2003, Datuk Bandar Seoul pada masa itu, Lee Myung-bak telah membuat keputusan untuk meruntuhkan lebuhraya dan membina semula Sungai Chenggyecheon ini untuk menghijaukan kembali serta mengubah suasana bandaraya Seoul agar lebih hidup dan semula jadi. Akhirnya pada September 2005, projek pemulihan Sungai Cheongyecheon ini telah disiapkan dan dibuka secara rasmi. Oleh kerana aliran sebenar sungai ini sudah mati, maka air sebanyak 120 ribu tan perlu dipam dari Sungai Han. Akhirnya sepanjang sungai ini kini menjadi tumpuan bukan sahaja warga kota Seoul tetapi juga menjadi tarikan perlancongan juga.

Aliran Sungai Cheonggyecheon.

Upacara Pertukaran Pengawal di Istana Deoksugung.


Setelah seberapa ketika di Sungai Cheonggyecheon, kami meneruskan perjalanan kaki kami untuk menuju ke Namdaemun. Perjalanan kami terberhenti dengan satu lagi upacara pertukaran pengawal istana, cuma kali ini di Istana Deoksugung pula. Istana ini betul-betul berlawanan dengan permulaan (hulu) Sungai Chenggyecheon tadi.

Setelah lima belas minit, upacara ini pun selesai. Sempat juga saya mengambil informasi mengenai istana ini di mana tiket masuknya berharga ₩1000 (+- RM3.50) sahaja. Namun kami semua tidak memasuki istana ini (insya Allah akan saya masuki kesemua istana ini pada kunjungan akan datang).


Kaunter tiket Istana Deoksugung.


Dalam perjalanan, saya terasa lapar dan singgah di sebuah kedai serbaneka GS25 untuk membeli Gimbab atau dalam Bahasa Jepun dipanggil Onigari atau lebih mudah kita panggil nasi kepal yang mempunyai isi tuna untuk menghilangkan rasa lapar akibat cuaca sejuk. Selain itu tujuan saya adaah untuk menghabiskan wang syiling Korea yang ada pada saya. Harganya adalah ₩800 (+- RM2.80), betul-betul jumlah syiling yang ada. Nasi ini boleh dimakan tetapi kena perhatikan isi yang digunakan. Ini kerana ada isi yang tidak halal juga ada dijual. Kalau isi tuna, salmon atau makan laut lain, insya Allah boleh dimakan.


Gimbab Tuna yang dibeli di kedai serbaneka GS25 semasa berjalan dari Dataran Sejong ke Pasar Namdaemun.


Kami meneruskan perjalanan, dan terjumpa bangunan ibu pejabat konglomerat Samsung berhampiran dengan Namdaemun. Jadi kami ambil kesempatan untuk mengambil gambar bersama.


Saya dan sahabat-sahabat bergambar di hadapan ibupejabat syarikat Samsung.

Pintu gerbang Namdaemun.


Kami meneruskan berjalanan kaki dan akhirnya tiba di kawasan pintu gerbang Namdaemun yang bermaksud Pintu Gerbang Besar Selatan setelah lebih sejam berjalan dari Pintu Gwanghwamun Istana Gyeongbokgung tadi (maklumlah berhenti banyak kali).


Pasar Namdaemun.


Sebenarnya perjalaan kami tidak berhenti di situ kerana destinasi sebenar adalah ke pasar Namdaemun yang tidak berapa jauh dari pintu gerbang Namdaemun ini. Di pasar Namdaemun ini mempunyai banyak barangan yang dijual. Ia bukan seperti pasar tradisi sebagaimana Pasar Gwanjang, tetapi lebih kepada beberapa buah bangunan. 


Keadaan di dalam pasar kerongsang di Pasar Namdaemun.

Pasar kerongsang di Pasar Namdaemun.


Antara yang papular di pasar Namdaemun ini dalah terdapat satu bangunan yang menjual kerongsang yang dibuat disitu juga. Harganya agak murah juga. Kami berhenti di sini dalam empat puluh lima minit kerana ada kawan-kawan yang hendak membelinya sebagai cenderahati. Saya pun terbeli juga, walaupun asalnya tidak mahu beli.


Pintu 5  Pasar Namdaemun.


Setelah selesai, kami berjalan-jalan di sekitar Pasar Namdaemun ini. Terdapat banyak barang yang menarik yang hendak sahaja saya beli seperti buah-buahan segar. Ketika ini merupakan musim strawberi, buah tembikai susu Korea dan sebagainya. Malangnya, budaya Korea memang tiada potongan cubaan rasa. Jadi tidak tahu ia manis atau sebaliknya. (Setelah saya bertanyakan kawan-kawan yang sedang/pernah duduk atau melancong di Korea, rupanya buah-buahan memang manis, peniaga di Korea tidak menipu pembeli). Jadi kami tidak membelinya, walaupun harga di sini antara termurah.

Destinasi seterusnya adalah ke Menara Namsan. Kami tetap berjalan kaki untuk ke sana, kerana bagi saya ia tidak begitu jauh, dan demi ingin menjimatkan wang kami (atau lebih kepada saya, huhuhu). Dalam perjalanan (masih dalam kawasan Pasar Namdaemun), kami membeli jagung rebus, keledek rebus dan kebab yang sedap di makan panas-panas dalam cuaca sejuk ini.


Pandangan Menara Namsan dari jauh.

Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.


Setelah dalam lima belas minit berjalan dari Pasar Namdaemun, maka kami sampai di kaki bukit Bukit Namsan ini. Untuk mendaki bukit menuju ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan, kami ada pilihan untuk memanjat tangga atau menaiki lif funikular yang tiada bayaran. Jadi kami mengambil pilihan menaiki lif funikular ini untuk mendapat pengalaman. Lagipun di Malaysia tiada sistem seperti ini. Terasa seperti menaiki kereta kabel Bukit Bendera di Pulau Pinang pula, cuma ia agak pendek.


Lif funikular dari kaki bukit Namsan ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan (Bahagian 1). 

Pintu masuk Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.

Permandangan Menara Namsan dan Kereta Kabel Namsan.


Sampai di Stesen Bawah Kereta Kabel, saya bertanya kepada kawan-kawan saya, sama ada hendak menaiki ke Menara Namsan kah? Kerana tambang menaiki kereta kabel pun sudah ₩8500 (+- RM29.80). Itu belum lagi hendak naik Menara Namsan lagi dengan tambahan ₩8500 (+- RM29.80). Jadi kami tidak jadi untuk menakluki Bukit Namsan. Kami duduk seketika di stesen kereta kabel, di mana saya baru perasan Kedutaan China terletak disebelah stesen ini. Ramai pula yang beratur untuk memohon visa atau berurusan dengan pihak konsular China agaknya.


Kaunter tiket di Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.

Lif funicular dari kaki bukit Namsan ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan (Bahagian 2). 



Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Myeondong ke Jongno 5(O)-ga.

Kami kembali turun ke bawah dan berjalan menuju ke stesen Merro Seoul terdekat iaitu Stesen Myeondong kira-kira 1 kilometer dari kaki Bukit Namsan. Dari situ kami mengambil tren Laluan 4 (biru tua) melalui 4 stesen untuk bertukar laluan di Stesen Dongdaemun untuk ke Laluan 1 (biru tua) bagi ke Stesen Jongno 5(o)-ga iaitu satu stesen selepasnya. Tambang cuma ₩1250 (+- RM4.40). Tujuan kami adalah untuk kembali ke Pasar Gwanjang, untuk membeli kain fabrik.


Kain-kain sutera Korea yang dibeli di Pasar Gwanjang.


Di Pasar Gwanjang, kami mencari kedai-kedai yang menjual kain sutera Korea. Setelah mencari, akhirnya kami menjumpainya, bukan satu kedai tetapi banyak juga. Kesemua kedai-kedai ini menjual kain yang sudah dipotong 4 meter. Kain-kainnya pun merupakan berbidang 45. Harganya pun mengejutkan kami iaitu cuma ₩10 000 (+- RM35.00) sepasang! Ini menyebabkan saya tidak dapat menahan diri lalu membeli juga tiga pasang (dan akhirnya duit saya tinggal kurang ₩10 000 (+- RM35.00)  sahaja, huhuhu). Selepas itu, sementara menunggu kawan-kawan saya selesai membeli-belah, saya cuba bertanya di sebuah kedai tukang jahir, berapa harga jika saya menempah sepasang suit dua pieces (kot dan seluar), dan dijawab cuma ₩40 000 (+- RM140.00) dengan kain yang agak cantik. Cuma ia boleh siap 10 hari.


Penutup lubang jalan di Seoul.

Usai kawan-kawan membeli belah, kami berjalan kaki untuk pulang ke penginapan. Di sini kami baru faham, rupanya setiap kawasan di sini memang mempunyi perniagaan yang terfokus. Contohnya satu blok kawasan menjual hanya barangan pertukangan (hardware) iaitu di kawasan penginapan kami. Kawasan lain kalau menjual peralatan elektrik, maka hanya menjaul peralatan eletrik sahaja, begitu juga yang lain. Akhirnya selepas dua puluh minit iaitu pada pukul 5:00 petang kami sampai di penginapan kami. Saya berehat dahulu dan kemudian membersihkan diri untuk bersolat.



Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Euljiro 3(sam)-ga ke Itaewon.

Pada pukul 7:30 malam, walaupun saya tidak mahu mengikut, setelah dipujuk, akhirnya saya akur untuk mengikut mereka untuk makan malam di Itaewon. Ini pun setelah mereka ingin membelanja saya makan. Jadi kami ke Itaewon dan terus mencari restoran yang sesuai untuk makan malam. Sementara itu, Mahathir sibuk mencari susu pisang yang berkotak agar mudah untuk dimasukan ke dlam bagasi untuk pulang Malaysia. Akhirnya menjumpai walaupun bukan jenama Binggrae di kedai pasaraya di Itaewon. Kami kemudiannya ke Foreign Restaurant untuk makan Nasi Baryani Kambing berharga ₩11 500 (+- RM40.30). Kedai ini yang merupakan restoran India Utara yang halal juga ada menawarkan hidangan buffer yang terdiri dari makanan India Utara dan Korea pada harga ₩17 500 (+- RM61.30).


Kad perniagaan Foreign Restaurant, Itaewon.



Resit makan malam kami di Foreign Restaurant, Itaewon.

Setelah usai makan, kami pun  berpecah dimana saya dan dua lagi sahabat balik ke penginapan, manakala baki empat orang meneruskan perjalanan untuk ke Dongdaemun untuk membeli-belah habis-habisan saat akhir. Apabila sampai di pebginapan, saya mula mengemas beg saya dan apabila selesai, saya menonton televisyen . Masa inilah saya terjebak menonton drama bersiri Descendants of the Sun di saluran KBS2, tidak tahu pun yang drama ini semakin popular dan menjadi trend semasa. Saya melekat tengok drama ini pasal ada pelakon wanita Song Hye-kyo, minat sejak drama Autumn In My Heart lagi. Pelakon lelakinya, Song Joong-ki, sejak keluar dari kerahan tentera ini, nampak macho sikit, dulu kurus kering sahaja dia ni, muka budak-budak la dulu. Menariknya, tengok tanpa sari kata, terpaksa guna Google Translate untuk faham sikit-sikit. Selepas itu layan cerita lain. Saya pun tidak sedar bila saya tertidur.

Bersambung ke Hari 5.

Jika mahu lihat: Pra KembaraItinerari, Hari 1Hari 2Hari 3 Bahagian 1 atau Hari 3 Bahagian 2

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5. 

Sabtu, 9 April 2016

Hari 3 Bahagian 2 (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - Menjejak Kaki di DMZ, Perbatasan Dua Negara Bersaudara Bersengketa.

Bersambung dari Hari 3 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1 (this part)
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5. 

Saya di halaman Terowong Ketiga di DMZ.

Hari 3 (08 Mac 2016 - Selasa) Bahagian 2.

Selepas dari Kampung Tongilchon, bas membawa kami ke Terowong Ketiga DMZ, setelah masuk dan keluar beberapa kem askar (sebenarnya tidak perlu pun untuk masuk kem-kem askar ini, tapi kenapa entah bas ini melalui kem-kem pun tidak difahami, huhuhu), akhirnya sampai juga ke kawasan terowong ini.

Kami turun diminta untuk menyimpan segala beg-beg yang ada di ruang penyimpanan khas yang mana terdapat kunci tersendiri di setiap ruang penyimpanan. Jadi selepas meletakan beg, kunci ruangan tersebut dan kemudian kita simpan kunci itu untuk dibawa bersama. Kemudian, kami diminta untuk memakai topi keselamatan seperti yang dipakai oleh pekerja binaan atau pekerja lombong.


 Bersedia untuk memasuki Terowong Ketiga. Topi keselamatan wajib dipakai untuk langkah-langkah keselamatan.


Selepas itu, kami disuruh untuk menaiki monorel khas (rasanya bukan monorel kerana menggunakan landasan selari biasa) di mana perlu duduk bertiga-tiga (kecuali kalau empunya badan mempunyai siaz yang agak besar), walaupun agak sempit juga. Setelah semua mengambil tempat, monorel ini pun bergerak menuju ke sebuah terowong. Suasana kemudian agak gelap dan kemudian terasa monorel ini bergerak secara condong ke bawah.

 Bergerak dengan monorel memasuki Terowong Ketiga.


Terowong yang monorel lalui ini semakin lama, semakin dalam dan ada bahagian agak sempit. Nasib baik kami diwajibkan memakai topi keselamatan, kerana ada beberapa kali, ramai penumpang yang terhantuk dinding atau bumbung terowong. Monorel ini membawa kami menembusi bumi sejauh lebih sikit dari 300 meter dengan kedalaman lebih 75 meter dari aras tanah iaitu dari mula kami memasuki terowong tadi.

 Suasana dalam perjalanan di dalam terowong.

Rupanya, terowong yang monorel lalui itu merupakan terowong baru yang dibina khas untuk laluan monorel ini sahaja, bukannya terowong asal. Terowong asal adalah di terminal di mana monorel ini berhenti. Bermakna Terowong Ketiga DMZ ini terletak pada kedalaman lebih 75 meter dari aras tanah!

Suasana dalam perjalanan di dalam terowong.


Terowong Ketiga DMZ ini sebenarnya adalah antara terowong-terowong yang dikorek oleh pihak tentera Korea Utara bertujuan untuk menakluki Korea Selatan. Kesemua terowong-terowong ini termasuk Terowong Ketiga ini dikorek menuju ke bandaraya Seoul. Terowong Ketiga ini merupakan terowong yang ketiga dijumpai oleh pihak keselamatan Korea Selatan dari empat terowong yang didedahkan dijumpai. Tidak tahulah sebenarnya berapa banyak terowong yang dijumpai sebenarnya, juga berapa banyak yang telah dikorek oleh pihak Korea Utara sebenarnya.

 Terdapat petunjuk kedudukan di dalam terowong.

Terowong yang ketiga ini dijumpai pada 17 Oktober 1978, semasa dijumpai, ia telah dikorek sejauh 1600 meter dari kawasan DMZ belah Korea Utara. Jika terowong ini berjaya dikorek sehingga ke Seoul, bermakna terowong ini akan mencapai sejauh 60 kilometer! Luas terowong ini adalah secara puratanya 2 meter x 2 meter, antara yang terluas di antara keempat-empat terowong. Dikatakan, jika siap, seramai 10 000 orang anggota tentera boleh dihantar menerusinya dalam masa 2 jam sahaja!

 Monorel yang membawa kami dari pemukaan ke stesen bawah tanah.


Dikatakan jika terowong pertama dan kedua siap, ia lebih panjang dari pada terowong ketiga dengan kepanjangan melebihi 100 kilometer! Bila mendengar kesungguhan pihak Korea Utara mengorek terowong ini, demi untuk menakluki Korea Selatan demi penyatuan Korea ala mereka, rasa gerun pun ada, juga rasa kagum pun ada.

 Berjalan kaki di dalam Terowong Ketiga sebenar.

Di terowong asal, kami perlu berjalan sejauh hampir 400 meter juga. Keadaan terowong ini ada bahagiannya agak sempit dan ada bahagian agak rendah. Beberapa kali juga antara kami terhentak kepala pada siling atau dinding terowong yang terdiri daripada batu granit! Sampaikan ada tempat perlu menelengkan kepada, ada juga yang perlu membengkokan lutut. Agaknya kalau tiada topi keselamatan, berdarah atau berlubang atau kemek juga kepala kami. Macam manalah hendak ke hospital, kena naik terowong lagi dan berkejar ke hospital terdekat tang terletak di luar kawasan DMZ.

 Kebanyakan tempat memerlukan untuk menundukan kepada atau menelengkan kepala.

Kalaulah terowong ini siap, memang hormatlah semangat tentera-tentera yang akan dikerahkan melalui terowong ini. Saya walaupun ada latar belakang ketenteraan pun rasa kagum dan sedikit mengah, apatah lagi yang tiada. Sepanjang terowong, ada kawasan agak kering dan ada kawasan agak basah. Dikatakan, semasa ditemui, sebahagian terowong ini digenangi dengan air. Memang nampak juga air-air mengalir perlahan di dinding terowong.

Kami menyusuri terowong ini bersama seorang tentera darat Korea Selatan sejauh hampir 400 meter. Itu pun ketika dihujung perjalanan yang dibenarkan, masih ada lagi 300 meter untuk ke Garisan Penandaan Tentera (Military Demarcation Line - MDL) yang menjadi sempadan de facto bagi kedua-dua Korea Selatan. Kami berada di dalam terowong ini hampir 20 minit sebelum kembali semula ke terminal bawah monorel ke atas kembali.

 Tayangan mengenai Perang Korea dan keadaan pasca perang.

Selepas sampai semula di atas, kami memulangkan semula topi keselamatan dan kemudian mengambil semula beg-beg kami yang kami tinggalkan di ruang penyimpanan khas tadi. Kemudian kami dibawa ke dewan teateret untuk tayangan video khas. Semasa di dewan teateret, kami perlu menunggu semua batch kami sampai baru tayangan boleh dimulakan. 

Ketika itu, layar belum diturunkan dan terdapat sepasang pintu yang terbuka di ruang belakang layar jika layar diturunkan. Ia agak memberikan satu perasaan ingin tahu kepada kami terutama pada salah seorang pengunjung juga (telahan saya dia merupakan warga Korea sendiri, namun salah seorang rakan saya mengatakan dia adalah pelancong dari tanah besar China), sehinggakan dia berjalan terus menuju ke ruang tersebut. Betul-betul tiba di situ, tiba-tiba pintu tersebut tertutup dan layar diturunkan. Dia terperangkap di dalam ruang yang telah menjadi bilik itu. Tergelak semua penonton-penonton yang sudah duduk kesemuanya. Memang dia tidak dapat masuk kembali ke dewan teateret tersebut. Itulah, terlampau ingin tahu sehingga tidak sabar, ambil kau, hahaha.

Oh, lupa pula, sebelum masuk ke dewan teateret tadi, kepada pengunjung bukan berbangsa Korea, akan diberikan headphone yang merupakan pengalih bahasa mengikut bahasa yang ada seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Cina Mandarin dan Bahasa Jepun, kerana tayangan akan menggunakan Bahasa Korea sepenuhnya. Tayangan dimulakan dengan menceritakan tentang Perang Korea, perkembangan selepas perang termasuk penemuan terowong-terowong tersebut. Pengisiannya bagi saya lebih merupakan propaganda Korea Selatan untuk menyalahkan Korea Utara juga (mungkin kalau kita melawat DMZ sebelah Korea Utara, saya percaya, kandungan maklumat juga berbaur propaganda menyebelahi Korea Utara). Pada pengakhiran tayangan, menunjukan bahawa kawasan DMZ kini menjadi kawasan perlindungan alam sekitar dan harapan untuk menyatukan kedua-dua Korea.

 Tugu Penyatuan Korea di Terowong Ketiga.

 Plak mengenai Tugu Penyatuan Korea.

Selepas tayangan yang mengambil masa hampir 25 minit, kami keluar semula dan mengambil beberapa gambar di beberapa buah tuju di halaman Terowong Ketiga ini sementara menunggu bas kami bersedia. Dalah satu tugu yang ada berupa sebuah sfera yang terbelah kepada 2 hemisfera yang mana terdapat beberapa orang cuba menolak kedua-dua hemisfera untuk bersatu kembali. Di setiap muka hemisfera tersebut terdapat acuan timbul (male) setiap Korea dan baki negara Korea lain yang tengelam (female). Mungkin maksudnya adalah dunia berusaha untuk menyaksikan penyatuan Korea.

 Hemisfera yang mempunyai acuan Korea Selatan.

 Hemisfera satu lagi yang mempunyai acuan Korea Utara.

Satu lagi yang wajib di ambil gambar terutama secara selfie adalah tugu berupa huruf-huruf D, M dan Z yang terdapat sedikit retakan pada huruf M dan terdapat sekuntum bunga di sebelahnya. Selain itu terdapat juga tugu berupa replika bola Supernova yang bola tersebut merupakan bola rasmi yang digunakan semasa Piala Dunia FIFA (Bola Sepak) 2002 yang mana Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama dengan Jepun. Tugu replika ini adalah bersama-sama juga replika Piala Dunia.


Saya di halaman Terowong Ketiga di DMZ.

 Kami semua bergambar di pintu masuk Taman Keamanan Dorasan.

Kemudian kami menaiki bas dan kami menuju ke destinasi terakhir pakej kami iaitu ke Taman Keamanan Dorasan (Dorasan Pece Park). Bas kami menurunkan kami di sini dan memaklumkan bahawa kami perlu berjalan kaki untuk ke Stesen Dorasan yang berdekatan. Kami bertujuh sempat bergambar bersama-sama di depan pintu masuk ke taman ini.

 Salah satu arca yang ada di Taman Keamanan Dorasan.

 Taman kipas  berwarna-warni.

Taman ini mempunyai banyak arca dan simbol yang mempunyai maksud tersirat. Contohnya taman kipas berwarna-warni mungkin bermaksud mereka meraikan kehidupan yang ceria yang berwarna-warni seperti kipas ini yang kelihatan cantik setiap kali angin berhembusan. Selain itu ada juga taman rusa di dalam taman ini.

 Taman rusa.

 Kereta Perisai Pengangkut Anggota-anggota Keselamatan Amfibia Tentera Marin 
Republik Korea (Korea Selatan) model LVT-P7A1 buatan Amerika Syarikat.

Di sudut belakang, terdapat dua kenderaan tentera Korea Selatan yang diletakan kan untuk tatapan umum. Dalam pemikiran saya, ini mungkin bermaksud, dalam setiap keamanan, akan ada orang (tentera) yang sedia berkorban, sedia berperang, demi mempertahankan keamanan ini.

 Kereta kebal M48A2C Tentera Darat Republik Korea (Korea Selatan) buatan Amerika Syarikat.

Akhir sekali di Taman Keamanan Dorasan ini, kami melawat ke Pusat Pameran Taman Keamanan Dorasan yang memamerkan kehidupan-kehidupan liar yang ada di dalam DMZ ini. Kita boleh melihat tayangan secara dimensi 3D, seolah-olah kita sendiri bersama dengan hidupan liar terbabit.

 Pusat Pameran Taman Keamanan Dorasan.

 Stesen Keretapi Dorasan.

 Dalaman Stesen Keretapi Dorasan.

Setelah selesai mengelilingi Taman Keamanan Dorasan ini, kami semua pulang semula ke Stesen Dorasan dengan berjalan kaki. Sebenarnya bukan dekat sangat pun, kira-kira dekat 1 kilometer juga kami berjalan kaki. Sudahlah cuaca pun agak sejuk. Kami tiba dalam pukul 2:30 petang di stesen itu, bermakna terdapat lagi sejam setengah untuk keretapi berlepas kembali untuk pulang ke Stesen Seoul. Dalam masa menunggu tersebut, terdapat seorang petugas memberikan taklimat, namun taklimatnya dalam Bahasa Korea, walaupun majoriti penumpang adalah pelandong dari luar Korea.

Oleh kerana tidak faham, maka saya pun berpusing-pusing sekitar stesen ini. Agak besar juga stesen ini, malah terdapat tersedia kemudahan pemeriksaan imigresen dan kastam bermakna stesen ini memang tersedia kemudahan sebagai pintu gerbang antarabangsa. Selepas itu, saya ke kedai cenderahati pula. Lebih kurang sama sahaja dengan kedai-kedai cenderahati yang ada di DMZ yang lain. 



Helaian cop kenangan-kenangan Stesen Dorasan bersama cop-copnya.

Saya berjalan-jalan ke kaunter informasi, terlihat ada cop kenangan, maka saya pun mengeluarkan buku nota saya untuk mengambil cop-cop ini. Melihat saya mengambil cop ini, petugas di kaunter ini kemudian memberikan saya helaian untuk saya gunakan untuk mengambil cop. Cuma ingatan, memang ada yang mengecop cop-cop ini pada pasport, ia sebenarnya tidak digalakan. Biarlah pasport dicop dengan cop pas masuk/keluar imigresen dan visa sahaja, jika ada cop-cop lain, dirisaukan akan terdapat masalah dikemudian hari, terutama jika kita berkehendak untuk memasuki Korea Utara pula nanti, contohnya.

Setelah beberapa ketika, oleh kerana saya merasakan menunggu itu satu penyiksaan, maka saya pun mengambil wuduk untuk bersolat. Berpandukan kompas di dalam telefon bimbit, saya bersolat jamak qasar Zohor Asar di bumi DMZ ini. Walaupun tiada surau, namun Stesen Dorasan ini agak besar dan boleh sahaja memilih di mana-mana untuk bersolat. Usai solat, rupanya penumpang-penumpang telah dimaklumkan bahawa kami boleh untuk masuk ke platform menuju ke keretapi. Saya orang kedua terakhir masuk ke platform. Rupanya, tentera-tentera Korea Selatan dan staf KoRail memang menghitung setiap seorang penumpang. Mereka akan mencari mana yang tertinggal, mungkin risau tertinggal di DMZ.

Tiket keretapi DMZ dari Stesen Dorasan ke Seoul.

 Sekitar kawasan Platform Penyatuan.

Tiba di platform, saya ingatkan kesemua penumpang termasuk kawan-kawan saya sudah memasuki keretapi, rupa-rupanya sibuk mengambil gambar monumen-monumen yang ada di platform. Terdapat pameran yang memaparkan kemajuan pembinaan Stesen Dorasan ini dan tugu wawasan untuk menyambungkan sistem keretapi Korea Selatan ke jaringan keretapi Trans Siberia sehingga ke Eropah.

Selain itu, terdapat juga sebuah gerabak keretapi bagi tujuan perkhidmatan am yang di tinggalkan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat (United States Army) yang kini menjadi salah satu tugu yang ada di Stesen Dorasan ini.

 Gerabak Keretapi Tentera Darat Amerika Syarikat.

 Memasuki kawasan awam biasa setelah keluar dari DMZ.

Akhirnya kami semua menaiki keretapi dan apabila semua penumpang telah ada, keretapi ini bergerak kembali menuju ke Stesen Seoul mengikut jadual. Semasa perjalanan pulang, sempat juga saya mengambil beberapa keping gambar, tempat-tempat berkaitan dengan Perang Korea yang tidak kami lawati, kerana ia berada di luar DMZ iaitu di Imjingang, seperti tinggalan lokomotif terakhir meninggalkan kawasan DMZ sebelum ia dikuatkuasakan dan juga Tugu Peringatan Korea Selatan - Amerika Syarikat. Oh, sebenarnya di DMZ kami juga tidak dapat ke kawasan JSA (Joint Security Area - Kawasan Kawalan Keselamatan Bersama) iaitu tempat di mana pihak Tentera Korea Selatan, Tentera Korea Utara dan Tentera Pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) termasuk Tentera Amerika Syarikat berkawal. JSA ini terletak di Panmunjum. Mungkin kerana demi keselamatan kami.

 Kawasan Tugu Peringatan Korea Selatan - Amerika Syarikat.

Gambar kenangan yang diambil oleh staf Keretapi DMZ.


Muka depan poskad kenang-kenangan keretapi DMZ.

Semasa perjalanan pulang, kami diambil gambar oleh pramugari keretapi DMZ ini dan kemudian ketika hendak sampai ke Stesen Seoul, gambar-gambar kami ditayangkan di layar televisyen. Gambar-gambar ini boleh didapati salinannya dengan memberikan alamat emel kepada pramugari ini di kaunter di kantin. Juga di kaunter kantin ini terdapat poskad di mana ia boleh ditulis mesej dan digantungkan di kawasan kantin untuk tatapan penumpang pada masa akan datang. Saya tidak menulis mesej tersebut, tetapi mengambilnya untuk dicop dengan cop-cop khas keretapi DMZ sebagai kenangan disamping saya mengecop di buku nota saya.

Selain itu, di kantin ini juga terdapat jualan cenderahari berupa model kertas keretapi pelancong KoRail berharga ₩4000 (+- RM14.00) dan sekotak pensil khas keretapi-keretapi pelancong KoRail berharga ₩2000 (+- RM7.00). Cuma masa itu model kertas keretapi ini hanya yang ada adalah keretapi pelancong A-Line sahaja, keretapi yang lain termasuk keretapi DMZ tiada. Apa-apa pun berharga ₩6000 (+- RM21.00) telah dihabiskan membeli cenderahati ini.



Muka belakang poskad kenang-kenangan keretapi DMZ dengan cop-cop kenangannya.


Kepala keretapi kelajuan tinggi KTX sedang keluar dari Stesen Seoul.

Sahabat-sahabat sedang merasa pelbagai kimchi di dalam Lotte Mart, Seoul Station.

Akhirnya kami sampai juga ke Stesen Seoul. Kami bersiar-siar dahulu di Lotte Outlet (gedung pakaian) dan kemudiannya Lotte Mart (pasaraya) di sebelah stesen ini. Di Lotte Mart, mencuba pelbagai jenis kimchi yang disediakan untuk dibua, seperti kimchi kobis biasa, kimchi sotong, kimchi ikan bilis dan sebagainya. Sampai dekat habislah kimchi-kimchi tu, huhuhu. Kami kemudian membeli keperluan-keperluan yang sudah habis, disamping kami membeli susu pisang di sini. Harga di sini lebih murah berbanding di tempat lain. Kami membeli 6 botol pada harga cuma ₩5500 (+- RM19.30) sahaja. Saya beli sekali kimchi kobis dan rumpai laut kering di sini.



Peta: Perjalanan Keretapi dan Metro Seoul dari Dorasan ke Jongno 5(o)-ga.

Selepas itu, kami menaiki tren Metro Seoul Laluan 1 untuk ke Stesen Jongno 5(o)-ga (melalui sebanyak 3 stesen dengan tambang ₩1250 (+- RM4.40)), untuk ke Pasar Gwanjang. Pasar ini adalah antara pasar tradisi yang masih kekal di Seoul. Secara amnya, pasal ini terletak berhampiran dengan kawasan Dongdaemun di dalam kawasan Jongro, kiranya, dekat juga dengan penginapan kami. Tujuan kami di sini, adlaah untuk membeli kain-kain, kerana ada kawan-kawan saya sibuk suruh saya mencari tempat membeli kain, katanya untuk hadiah kepada orang rumah. Terpaksalah saya bawa mereka ke sini (sambil memikirkan duit saya yang akan terbang, huhuhu, risau, bajet sudah hendak memcapai 0).

Pintu gerbang utara Pasar Gwanjang.

Dari Stesen Jongno 5(o)-ga, kita boleh mengambil pintu keluar 7 untuk ke pintu timur pasar ini atau pintu keluar 8 untuk ke pintu utara pasar Gwanjang ini. Kami mengambil pintu 8 dan saya amat mengesyorkannya kerana di pintu timur adalah terdapatnya kawasan menjual makanan panas, di mana ia kurang sesuai dilalui oleh orang yang tidak biasa lalu atau fobia di kawasan makan tidak halal, kerana akan menjumpai pelbagai bahagian haiwan najis mughallazah termasuk ekor springnya dan hidung tonyoknya, huhuhu.

Suasana Pasar Gwanjang.


Sampai di pintu masuk utara, sudah nampak banyak benda tempatan yang boleh dibeli, malah ia lebih murah dari lain-lain tempat seperti pasar malam Myeondong, pasar Dongdaemun, pasar Namdaemun dan sebagainya. Saya memang kalau ke tempat negeri asing ini, suka ke pasarraya moden seperti Lotte Mart kerana dapat harga murah dan juga pasar tradisi seperti Pasar Gwanjang ini kerana dapat melihat budaya dan kehidupan sebenar warga tempatan.


Kad perniagaan kedai kimchi di Pasar Gwanjang.

Sampai di persimpangan di tengah-tengah pasar, terlihat pula kedai-kedai kimchi berbaris. Maka kami pun buat perkara yang sama di Lotte Mart ini. Menariknya, pemilik kedai ini agak sporting bagi je apa yang nak dicuba. DI sini kimchinya lebih sedap, kerana ia dibuat segar dan banyak jenis. Rempahnya pun rasa seperti seimbang (cheh, dah macam orang Korea pula!). Jadi bebrapa antara kami termasuk saya terbelilah kimchi-kimchi ini.  Harga pun murah, lebih murah dari Lotte Mart, dengan kimchi kobis biasa sekilo dalam ₩10000 (RM35.00) sahaja) dan kimchi sotong dalam 500 gram pada harga yang sama.


Kedai menjual pelbagai jenis kimchi di dalam Pasar Gwanjang.

Kami kemudian terus ke belakang (sekitar kawasan berhampiran pintu selatan) untuk mencari kain, namun memandangkan pada masa itu sudah hampir pukul 7:00 malam, maka kedai-kedai kain pun hampir dan sudah tutup. Nampak gaya kena datang lagi esoknya.


Sungai Cheonggyecheon pada waktu malam.

Seterusnya kami keluar melalui pintu selatan Pasar Gwanjang ini dan kemudian melusuri Sungai Cheonggyecheon yang betul-betul mengalir di depan pintu selatan Pasar Gwanjang. Cantik juga permandangan di sungai ini pada waktu malam. Kami berjalan-jalan menuju ke kawasan utama Dngdaemun dalam cuaca yang amat sejuk (ketika itu saya melihat telefon bimbit saya, suhu mencapai -2oC!).

Saya bergambar di hadapan Gerbang Dongdaemon.

Di kawasan Dongdaemun ini, saya dapat perhatikan, setiap blok bangunan menjual pelbagai jenis pakaian. Manariknya setiap blok mempunyai tema iaitu seluruh bangunan itu akan menjual  jenis pakaian yang sama contohnya seluruh bangunan akan menjual hanya pakaian wanita sahaja, bangunan sebelahnya pula hanya menjual pakaian dalam sahaja. Bermakna, setiap kedai hanya menjual sejenis pakaian sahaja dan di dalam setiap bangunan terdapat banyak kedai.

Dalam perjalanan berjalan-jalan dalam sejuk ini, saya ternampak Gerbang Dongdaemun nya, iaitu pintu kota lama Seoul sebelah timur, bersesuaian dengan namanya, Dong (동) bererti timur, Dae () bererti besar dan Mun () bererti pintu jadi Dongdaemun bererti Pintu Besar Timur, lebih kurang macam Bahasa Cina Mandarin juga (Dōngdàmén - 东大门 atau 東大門) bunyinya. Apa lagi tangkaplah gambar kenang-kenangan. Di hadapan pintu gerbang besar ini terdapat Hotel JW Marriot yang agak mewang juga. Insya Allah di lain masa akan meginap di sini pula.


Pusat Rekebentuk Dongdaemon
(Bangunan ini adalah di antara rekaan arkitek terkenal Zaha Hadid (kebanyakan rekaannya adalah rekaan komtemporari yang telah meninggal dunia pada 31 Mac 2016 yang lepas).

Seterusnya kami ke aras Taman Sejarah dan Kebudayaan Dongdaemun pula, kerana dikhabarkan terdapat pasar malam di situ. Tujuan kami adalah untuk mencari kemeja-t terutama yang ada ciri-ciri Korea Selatan atau ada I love Seoul atau I love Korea. Kalau di pasar malam Myeondong, sehelai dalam ₩10 000 (+- RM35.00). Akhirnya jumpa dan dijual ₩5000 sehelai (di Itaewon juga dijual harga lebih kurang, difahamkan boleh dapat murah di Insadong, cuma kami tidak berkesempatan ke sana). Saya belilah empat helai dan meminta (saja mencuba) untuk menawar dengan bercakap Korea sedikit (ahjuma atau makcik menjual kemeja-t ini tidak boleh berbahasa Inggeris sangat). Tapi cuma dapat diskaun ₩1000 (+- RM3.50). Memang betul harga sudah tetap sebenarnya. Satu lagi percubaan saya untuk mendapat lebih diskaun, kerana kawan-kawan saya sibuk menggangu ahjuma ini bertanya baju itu ada ke, saiz ini ada ke, juga sibuk menawar untuk dirinya  dan sebagainya, tatkala saya tengah buat tawar menawar (dan saya cuba menawar untuk semua sebenarnya). Tidak mengapalah, agaknya mereka tidak faham peraturan membeli belah ini, dimana jangan menggangu tat kala salah seorang sedang tawar menawar. Maafkan mereka, huhuhu.



Peta: Perjalanan Metro Seoul dari 
Dongdaemun History and Culture Park ke Euljiro 3(sam)-ga.

Selesai sahaj di pasar malam Dongdemun, kami pun pulang ke penginapan dengan menaiki Metro Seoul menerusi Laluan 2 dengan satu stesen sahaja (tambang tetap ₩1250 (+- RM4.40) juga). 

Sampai di penginapan, petugasnya mengatakan kami perlu berpindah ke bilik berempat. Kami pun berpindah akhirnya, dan bilik kami bersebelahan dengan bilik yang satu lagi. Bilik yang baru ini ada kebocoran sedikit, tapi saya letak sahaja tuala terpakai untuk menutup kesan titisan. Tapi yang paling seronoknya, terdapat pemanas yang menyerupai kipas angin di dalam bilik ini. Jadi dapatlah kami tidur yang selesa dangan kurang kesejukan. Setelah selesai mengemas dan membersihkan diri, saya pun menonton televisyen dan kemudian televisyen menonton saya pula.

Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1 (this part)
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.