Khamis, 8 Januari 2015

Hari 5 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Medan Penantian.

Bersambung dari Hari 4.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or  
  • Day 6.

24 Disember 2014 (Rabu)

Bas berhenti untuk solat antara selepas sempadan provinsi Aceh dan Sumatera Utara dan sebelum sampai di Pangkalan Beradan pada jam di tangan saya menunjukan pukul 6:15 pagi. Kepala saya masih pening-pening akibat aroma asap rokok keretek yang dilepaskan di dalam pendingin hawa bas. Sebenarnya sudah lewat juga subuh ini kerana cahaya matahari mulai menampakan sinarnya. Saya ke tandas untuk membuang apa yang patut dan membersihkan diri sedikit. Tetapi tandas masjid sedikit sahaja. Memang masjid ini agak kecil dan sempit, dan ia terletak betul-betul di bahu jalan. 

Terpaksa menunggu untuk menggunakan tandas. Apabila sebuah tandas telah kosong, saya masuk dan terlihat di lubang tandas, najisnya tidak dijirus, dan terus, wweeekkk, saya termuntah. Pertama kali dalam hidup saya, saya muntah akibat mabuk perjalanan. Atau sebenarnya saya muntah kerana kegelian. Entahlah. Agak banyak juga muntah yang keluar, habis makan malam saya. Selepas itu saya mendapat kelegaan, alhamdulillah. Dijirus tinggalan saya dan terus saya keluar, mengambil wuduk dan solat Subuh. Usai sahaja, saya terus menaiki bas, selang 5 minit kemudian, bas pun mula bergerak menuju ke Medan.

Saya kepenatan akibat muntah tadi, dan melelapkan mata, lambat lagi hendak sampai, kurang-kurang dua jam lagi. Tapi mata tidak boleh tidur. Pekan Pangakalan Beradan, Tanjung Pura, Stabat (juga dikenali sebagai Langkat) dan Kota Binjai dilepasi. Selepas melepasi Kota Binjai, jalan sudah mula sesak menunjukan sudah hampir sampai ke Medan. Namun perjalanan dari Kota Binjai ke terminal bas Pusaka mengambil masa hampir sejam setengah. Kami sampai di terminal bas Pusaka pada jam 9:15 pagi. 

Turun sahaja di terminal bas, kami mencari tempat untuk berehat. Di terminal ini terdapat juga kemudahan untuk membersihkan diri. Kami bergilir-gilir mandi dan menjaga beg-beg kami. Selepas mandi, perlu memberikan sedikit wang kepada penjaga, dalam kes mandi, perlu bayar Rp3000 (+- RM1.00). Semasa saya keluar, rupanya Pak Darwis dan isterinya telah sampai. Isteri Pak Darwis memberikan kami hasil tangan kerja kaum wanita di kawasan perkampungan tempat mereka duduk, iaitu serbuk halia segera, yang boleh dicampurkan ke dalam minuman. Dalam labelnya ditulis JAHE INSTAN. Jahe adalah halia di dalam Bahasa Indonesia.

Memandangkan jalan di hadapan terminal bas Pusaka ini tidak banyak angkot lalu, Pak Darwis menghantar kami ke jalan yang ada banyak perkhidmatan angkot. Mula-mula dibawa Azmi, kemudian saya, Pak Nasir baru isterinya menaiki kereta eh silap motorsikalnya. Jangan keliru, di Medan mereka memanggil motorsikal itu sebagai kereta, kereta itu sebagai mobil atau motor. Jadi boleh keliru juga kita, huhuhu.

Kemudian kami mendapat angkot, dan kami berpisah dengan Pak Darwis dan isterinya di situ. Kami meminta angkot itu menghantar kami ke terminal bas Makmur, untuk mendapatkan perkhidmatan bas ke Dumai. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai. Di sini kami melalui beberapa jalan yang sesak dengan kenderaan. Disiplin lalu lintas jangan cakaplah. Dengan angkot yang tiada penghawa dingin dan penumpang selang turun naik dan apabila penuh, tempat agak sempit, bersabarlah kami. Jadi saya tidak hairan kenapa beza perangai orang Indonesia di Malaysia, kerana penghidupan mereka di Indonesia memang sebegini.

Kami melalui beberapa kawasan di kota Medan seperti kampus Universitas Sumatera Utara (USU), pusat membeli-belah Carrefour, kembali ke kawasan Padang Bulan dan akhirnya sampai juga ke terminal bas Makmur yang terletak di kawasan Amplas.


Kesesakan lalu-lintas di Medan.


Kami sampai di terminal bas Makmur pada jam 12:00 tengahari, sejurus sebelum azan Zohor. Terus ke loket (kaunter) bas, dan mendapatkan bas ke sana. Terdapat beberapa perkhidmatan dari pukul 4:00 petang ke pukul 9:00 malam. Kami mendapat bas pukul 6:00 petang, alhamdulillah. Namun perkhidmatan kami itu adalah perkhidmatan ekonomi, yang mana bas kami tiada penghawa dingin. Alamak, macam mana ni, dah lama tidak rasa bas tiada pendingin hawa. Lagilah kuat orang Indonesia ini merokok. Ini kerana pemerhatian bebas yang saya buat, kira-kira 75% lelaki dewasa Indonesia, tidak termasuk remasa awal belasan tahun, adalah perokok. Tidak mengapalah, asalkan dapat bas. Tambang yang kami dapat adalah Rp145ribu (+- RM44).


Pak Nasir bertanyakan kepada saya, hendak ke kita pergi ke Istana Maimun atau tempat-tempat lain di Medan. Saya rasa tidak mahu lagi hendak mengharungi kesesakan lalu lintas Medan lagi. Tidak mengapalah tiada cenderahati. Jadi kami duduk sahaja di terminal bas itu sehingga bas bertolak. Kira-kira enam jam juga kami di situ. Kami rehat & tidur di tempat duduk di situ. Solat terdapat surau (tetapi bahagian lelaki dan wanita hanya dipisahkan dengan sekeping papan sahaja. Masjid pun ada dekat terminal ini. Terdapat juga kantin. Jadi agak selesa juga menunggu di sini.


Akhirnya tiba masa kami berangkat. Bas kami meninggalkan terminal bas pada jam 6:15 petang tanpa menunggu solat Maghrib. Saya berdoa agar adalah berhenti untuk solat. Sembang-sembang dengan orang tempatan, perjalanan sejauh 450 kilometer ini mengambil masa selama 12 jam juga. Huhuhu, memang kematu punggung, kerana ini perjalanan lebih 12 jam ketiga dalam masa 5 hari kami di Sumatera ini. Memang patutpun lambat, pasal jalan utama di Sumatera ini adalah Jalan Lintas Sumatera yang kebanyakannya hanya dua lorong (selorong sehala) dan banyak penempatan ada di bahu jalan ini. Semua kenderaan, dari motorsikal, kereta, lori kontena dan trailer melalui jalan ini. Juga, pemandu suka menekan hon, kerana di sini hon bermaksud saya di sini, sila bagi laluan, harap maklum.

Hendak lepas Medan pun ambil masa dekat dua jam (iaitu hendak sampai ke simpang ke Lapangan Terbang Kualanamu). Jadi saya cuba tidur dengan kebingitan bunyi hon, bau asap rokok kretek dan kadang-kadang air hujan yang masuk melalui lubang udara di bumbung dan tingkat bas. Namun saya cuma boleh tidur-tidur ayam sahaja. Lagipun bas ini tidak disediakan selimut.


Pada pukul 10:30 malam, kami sampai di Simpangampat, di mana bas berhenti untuk berehat. Alhamdulillah, di dalam sebuah restoran Minang, terdapat surau, dapat saya laksanakan solat. Di sebelah surau terdapat juga tandas. Seperti biasa, perlu diberikan sumbangan walaupun kemudahan ini di dalam restoran.

Setengah jam kemudian, bas meneruskan perjalanan menuju ke Dumai. 


Akan bersambung ke Hari 6.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or  
  • Day 6.

Rabu, 7 Januari 2015

Hari 4 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Hari Kedua di Banda Aceh.

Bersambung dari Hari 3.


Jika ingin membaca catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part); 
  • Day 5; or  
  • Day 6.


23 Disember 2014 (Selasa)

Hari kedua saya di Banda Aceh. Hujan turun tidak berhenti sepanjang malam. Risau juga kerana di berita televisyen melaporkan banjir teruk di serata Asia Tenggara. Di Jakarta dan Bandung, banjir amat teruk. Di dalam Facebook dan WhatsApp saya berdentum ceruta banjir di beberapa tempat di Malaysia terutama di Pantai tumur dan di Kajang. Hati saya risau, kisah sebegini menyebabkan mood saya untuk mengembara menjadi tidak membara. Risau keadaan di tanah air. Rakan-rakan ada yang mengajak saya untuk jadi sukarelawan. Nampak gaya, terpaksa juga saya memendek kembara saya. 

Namun terdapat hutang lagi, beberapa tempat yang belum dikunjungi. Jadi saya doakan yang terbaik untuk semua. Kami dijamu sarapan pagi oleh keluarga Anton. Sempat juga saya bermain-main dengan anak mereka. Alhamdulillah, cuaca semakin baik, jadi kami keluar. Asalnya kami hendak keluar sendiri, kerana Anton bekerja. Namun tiba-tiba anton kembali ke rumah dengan memanggil sebuah betor untuk kami berjalan-jalan ke Banda Aceh untuk melawat tempat yang belum dilawati semalam.


Tempat pertama, kami ke Pasar Atjeh (Aceh mengikut ejaan lama) untuk membeli tiket bas ekspres untuk kembali ke Medan. Kami ke loket (kaunter mengikut Bahasa Indonesia) bas Kurnia yang juga menjual tiket bas ekspres Anugerah dan Pusaka yang juga merupakan satu kumpulan syarikat dengan Kurnia. Alhamdulillah masih ada tapi bukan dengan Kurnia tetapi dengan bas Pusaka. Harga pun dapat murah sikit iaitu Rp190ribu (+- RM63) sahaja.



Setelah dapat membeli tiket, kami ke Ulee Lheue (bunyi sebutan seperti Ulele) pula. Di sinilah impak tsunami yang paling dahsyat kerana pantai ini merupakan tempat pertama ombak melanda pada tragedi tsunami tersebut. Kami singgah ke Masjid Baiturrahim. 


Seperti tiada kesan cacat akibat tsunami, sememangnya ia satu keajaiban. Masjid ini tidak rosak dan masih utuh walaupun ombak tsunami membadai dengan kuasa yang amat hebat. Malah ia menjadi tempat penduduk sekitar menyelamatkan diri. Itulah kekuasaan Allah, subhanAllah, Allahu akbar! 



Seterusnya kami ke pantai Ulee Lheue. Keadaan memang berubah, dahulu tempat ini penuh dengan manusia, terdapat perkampungan di sini, kini lanskapnya berubah sama sekali. Pantainya telah terhakis. Kawasan yang dahulunya kampung kini telah menjadi sebahagian daripada kawasan laut. Terdapat benteng batu yang mengikut pesisir pantai lama menjadikan kampung dulunya, kini menjadi tasik buatan. Memang tidak dapat saya bayangkan perbezaannya. Terdapat juga puing-puing rumah yang ditinggalkan. Kawasan ini memang ditinggalkan dan sekarang riada sebuah rumah pun di sini.


Yang masih kekal adalah Pelabuhan Ulee Lheue yang menjadi jeti utama ke pulau-pulau berdekatan terutamanya ke Pulau Weh atau juga dikenali sebagai Sabang. Asalnya kami mahu ke pulau ini kerana ada daya tarikan di situ, antaranya tugu kilometer nol (kosong dalam Bahasa Indonesia), yang menandakan ia titik paling barat negara Indonesia. Tapi apakan daya, setelah berbincang dengan Pak Nasir dan Azmi, kami membatalkan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan.


Pintu masuk Perkuburan Massal (Beramai-ramai Ulee) Lheue.


Kemudian, kami ke Perkuburan Massal Ulee Lhueu yang tidak berapa jauh dari situ. Di sini dikebumikan seramai 14 800 jiwa yang terkorban secara beramai-ramai dalam beberapa liang lahad yang besar. Mangsa-mangsa yang dikebumikan tidak kira jantina lelaki dan wanita, usia dewasa dan kanak-kanak. Cuma terdapat pengasingan dari jantina dan usia sahaja. Mayat-mayat mangsa tidak dapat disempurnakan seperti dikafankan dan disembahyangkan. Semuanya dikebumikan dengan keadaan sebagaimana dijumpai. Sedih sekali saya memikirkannya.




Perkuburan ini merupakan perkuburan kedua terbesar berkenaan mangsa tsunami di Aceh. Perkuburan terbesar terletak berdekatan dengan Bandar Udara (Lapangan Terbang) Iskandar Muda dengan kira-kira dekat 30 000 orang mangsa dikebumikan. Kawasan perkuburan di Ulee Lheue ini dahulunya merupakan kawasan hospital. Kini hospital berkenaan hanya tinggal puing sahaja.


Semasa kunjungan kami di Aceh, terdapat banyak kain pemidang, banner, bunting dan sebagainya yang memperingati ulangtahun ke-10 peristiwa tsunami berkenaan. Sebenarnya, semasa kami di sini, persiapan sedang giat dilakukan sempena majlis berkenaan yang diadakan tiga hari selepasnya (26 Disember 2014).



Selanjutnya, Pak Nasir mempunyai hajat untuk memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim Tsunami. Kami kemudiannya ke rumah anak-anak yatim khas tsunami di Pante Pirak untuk merealisasikan hasrat Pak Nasir. Kami berjumpa dengan pentadbir rumah ini dan memberikan sumbangan kami di mana saya juga menyumbangkan sedikit untuk kegunaan mereka.


Kami kembali semula ke pusat bandar Banda Aceh dengan meminta betor menghantar kami ke Blang Padang. Anton sudah kembali ke tempat kerjanya kerana pegawai atasannya memanggilnya pulang, mungkin ada tugas mustahak. Kami membayar betor kami dengan bayaran Rp40ribu (+- RM12), setelah membawa kami agak jauh. Blang Padang ini adalah kepunyaan Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Darat (TNI-AD) di bawah pemerintahan Komando (Pemerintahan) Daerah Militari Iskandar Muda (KODAM IM) yang merangkumi provinsi Aceh.


Tempat pertama kami kunjungi adalah Tugu Penerbangan Pertama Indonesia, yang merupakan kapal terbang pertama Republik Indonesia yang dihadiahkan rakyat Aceh kepada pemerintah Indonesia di awal kemerdekaannya.


Disebelahnnya terdapat juga satu lagi tugu, Tugu Peringatan Tsunami. Alang-alang sudah ada di situ, apa lagi, gambar ditangkaplah.



Seterusnya, berdekatan, terdapat tugu Aceh Thanks The World, yang sedang diselenggara ketika kami hadir di situ. Tugu ini bertujuan untuk berterima kasih kepada negara-negara yang telah membantu Indonesia dalam pasca tragedi tsunami 2004.



Di sekeliling padang di Blang Padang ini juga sebenarnya terdapat plak khas untuk setiap negara. Pada masa kami di situ, persiapan untuk majlis peringatan ulangtahun kesepuluh tsunami sedang giat dibuat.




Setelah itu, kami kembali melunaskan hutang kami dengan ke Museum Tsunami Aceh yang tidak jauh dari situ. Alhamdulillah, ia dibuka hari ini. Masuk pun percuma sahaja. Masuk je ke dalam, akan melalui lorong yang gelap dan sejuk, digambarkan itulah suasana ketika tsunami melanda. Selepas itu, di hujung lorong akan nampak cahaya yang mana di sini adalah ruang yang terdapat beberapa kiosk peribadi yang mempunyai paparan kisah tsunami.


Setelah selesai melihat paparan kisah tsunami, terdapat lorong yang berpilin (berpusing) yang menuju ke ruang pameran utama. Terdapat satu tempat yang dinamakan sumur (telaga) tsunami yang mana terdapat nama-nama mangsa-mangsa yang telah terkorban di dalam bencana ini. Terdapat tulisan Arab nama Allah di atas sumur ini.




Sampai ruang ruang utama pameran, terdapat jambatan yang merentangi kolam di mana di atas terdapat bendera-bendera negara-negara yang membantu Indonesia di dalam pemulihan pasca tsunami. Di ruang pameran utama, terdapat tiga tingkat yang menceritakan kisah silam Aceh, kisah pra, semasa dan pasca tsunami. Juga terdapat juga pameran seni yang berkait dengan tsunami Aceh. Ketika kami hadir di sini, terdapat ramai pengunjung tidak kira dari Indonesia dan negara lain, termasuk ada pengunjung Malaysia. Sempat juga saya menegur mereka. Sesungguhnya pameran di sini amat terkesan terhadap saya. Maaf, bukan saya tidak mahu kongsikan bahannya, saya rasa sebaiknya anda ke sini untuk melihatnya.

Antara bahan pameran yang ada di Museum Tsunami Aceh.


Dipamerkan juga di ruang luar, adalah kenderaan-kenderaan yang musnah akibat tsunami ini seperti trak dan helikopter polis. Juga trak Palang/Bulan Sabit Merah yang digunakan semasa pemulihan pasca tsunami.



Seterusnya kami berjalan kaki untuk ke Gunongan yang juga dinamakan Taman Putroe Phang. Maaf, gambar terlupa diambil. Taman ini adalah dibina sebagai tempat khas permaisuri Aceh yang merupakan seorang puteri dari Pahang. Tidak lama juga di sini, hanya melihat dari luar sahaja.

Seterusnya destinasi kami adalah Makam Sultan Iskandar Muda. Sepanjang perjalanan, terdapat banyak papan tanda yang mengingatkan kita untuk berzikir mengingatiNya. Sebelum sampai ke makam ini, terdapat rumah Gabenor Provinsi Aceh yang dahulunya merupakan Balairong Seri bagi kerajaan Kesultanan Aceh.




Sebaik sahaja melepasi pintu masuk rumah gabenor, maka kami sampai juga ke pintu masuk ke Makam Sultan Iskandar Muda.


Sultan Iskandar Muda (1583 - 1636) merupakan Sultan Kerajaan Kesultanan Aceh keduabelas yang amat masyhur. DI bawah pemerintahannya, Aceh telah berkembang menjadi satu kerajaan yang kuat dan terkenal di seantero dunia. Di bawah pemerintahan baginda, kekuasan kerajaan Aceh meluas ke hampir seluruh Sumatera dan juga beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di kompleks ini juga terdapat makam kerabat diraja Aceh dan juga beberapa meriam lama dan baru.



Di sebelah Makam Sultan Iskandar Muda, terletaknya Muzium Aceh. Kami tidak berapa lama di sini kerana hampir masuk waktu Zohor. Menarik di sini adalah Rumah Aceh dan juga Loceng Besar Aceh di perkarangan Muzium ini.

Lonceng Cakra Donya
- hadiah dari Kerajaan China untuk Aceh pada 1409, dibawa Laksamana Cheng Ho.


Memandangkan waktu Zohor hampir tiba, dan kami berada tidak jauh dari Masjid Raya Baiturrahman, kami ke masjid tersebut untuk bersolat. Semasa berjalan, terlintas sebuah keretapi lama. Rupanya di tapak itu dahulunya merupakan stesen keretapi lama Banda Aceh dan keretapi tersebut pernah digunakan semasa zaman Belanda. 

Di sebelahnya terdapat sebuah pusat membeli belah dan di hadapan pusat membeli belah ini, sekumpulan lori kecil yang telah diubahsuai menjadi sejenis pengangkutan seperti angkot di kota-kota lain di Indonesia, cuma ia dinamakan labi-labi. Ia dicat dengan warna hitam, sebagaimana warna labi-labi.



Kami bersolat di Masjid Raya Baiturrahman dan kemudian kami bersiar-siar di keliling masjid yang terletaknya Pasar Atjeh. Banyak barang dijual di sini. Tapi yang paling signifikan adalah banyaknya kedai emas di sekitar masjid. Ini menunjukan, orang Aceh terutama wanita memang meminati emas. Ketika ini hujan mulai turun dengan lebat, jadi membantutkan kami untuk ke tempat-tempat lain seperti perahu penyelamat yang mendarat di atas sebuah rumah. 


Oleh kerana hujan masih turun dengan lebat, kami pusing-pusing sekeliling Pasar Atjeh ini. Di belakang masjid terdapat dua pengurup wang. Jadi jika anda mahu tukar wang, boleh di sini, cuma kadar tidak sebaik di Malaysia. Tapi masih baik berbanding tukar ditempat lain di Indonesia. Siapa mahu ke kawasan utara Sumatera, sebaiknya tukar siap-siap di Malaysia atau mengeluarkan wang di mesin ATM sahaja. Di Pasar Atjeh juga terdapat juga pasar moden yang berhawa dingin, cuma ia belum siap sepenuhnya.


Kami berjalan-jalan dan kemudian terjumpa beberapa kedai menjual cenderahati. Saya membeli di kedai Putra Aceh, harga pun murah, lebih murah dari tempat lain di Banda Aceh. Kemudian kami pun pulang ke rumah Anton setelah selasai waktu Asar dan hujan mulai reda.



Kami berehat dahulu dan makan malam bersama keluarga Anton. Pada jam 6:30 malam, Anton telah memanggilkan teksi untuk kami ke terminal bas Banda Aceh. Dia sudah siap bayarkan. Jadi rasa sedih pula untuk meninggalkan keluarga Anton atas layanan yang amat mesra mereka kepada kami sepanjang di Bandar Aceh ini.


Dalam 30 minit, kami sampai di terminal bas, kami bersolat dan makan malam dan pada jam 8:15 bertolaklah kami kembali ke Medan. Seperti perjalanan pergi, siksaan yang sama melanda semasa kami di dalam bas. Dengan orang merokok kretek di dalam penghawa dingin, bunyi hon yang seperti permainan pemandu bas dan jalan agak bengkang-bengkok saya cuba lelapkan mata. Dalam cubaan melelapkan mata, dapat dilihat jalan di Aceh ini digenangi air. Risau juga saya kerana takut terkandas di bumi Sumatera ini, namun alhamdulillah bas dapat mengharunginya. Jadi saya pun tidak sedar bila masa saya terlelap.



Akan bersambung ke Hari 5.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part); 
  • Day 5; or  
  • Day 6.