Jumaat, 19 Disember 2014

Pra Kembara (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Merangka Jejak Pertama Ke Sumatera.

Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part); 
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.




Pengenalan.

Kembara kali ini sebenar telah diutarakan oleh Pak Nasir (dari Melaka) dan Azmi (dari Pulau Kundur, Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia), iaitu rakan-rakan pengembara saya sudah lama. Memang kami merancang untuk melawat wilayah atau provinsi Aceh dan Sumatera Utara (dalam Bahasa Indonesia dipendekan menjadi Sumut) yang berada di utara pulau Sumatera (pulau terbesar di Indonesia, malah lebih besar dari Semenanjung Malaysia) pada bulan Disember 2014. Namun ada kala ia tidak pasti. Banyak kali juga saya menanyakan kepada mereka, jadi atau tidak.

Azmi mempunyai saudara mara dan sahabat taulan di kedua-dua wilayah ini. Jadi mungkin dari segi penginapan tiada masalah. Insya Allah, katanya.



Saya pun ada membuat penyelidikan tentang perkhidmatan feri dari Semenanjung ke Sumatera. Pelabuhan terdekat dengan Medan (ibu wilayah Sumatera Utara) yang mana akan menjadi destinasi pertama kami dan juga tempat berkumpul kami adalah di Belawan. Jika perkhidmatan feri atau kapal domestik Indonesia, di situlah pelabuhannya, namun dari Semenanjung tiada perkhidmatan ke sana. Paling dekat adalah dari Pelabuhan Klang ke Tanjungbalai yang dahulunya terletak di bawah pentadbiran kabupaten (daerah jika di Malaysia) Asahan, Sumatera Utara. Kini ia mempunyai pentadbiran sendiri sebagai kota (bandar) yang berasingan dari pentadbiran kabupaten Asahan. Namun ia masih terkenal sebagai Tanjungbalai Asahan, juga bagi membezakan dengan Tanjungbalai di pulau Karimun, Kepulauan Riau di selatan Semenanjung.

Saya siap ke Pelabuhan Klang untuk mendapatkan maklumat lanjut. Harga tambang feri dari Pelabuhan Klang ke Tanjungbalai Asahan adalah RM135.00 sehala bagi seorang dewasa termasuk cukai pelabuhan Pelabuhan Klang dan RM250.00 dua hala bagi seorang dewasa termasuk cukai pelabuhan Pelabuhan Klang, tetapi tidak termasuk cukai pelabuhan Tanjungbalai Asahan. Dikhabarkan cukai pelabuhan untuk feri antarabangsa di pelabuhan Tanjungbalai Asahan adalah Rp100 000 (+- RM30). Jadual keberangkatan feri dari Pelabuhan Klang adalah setiap pukul 11:00 pagi setiap hari kecuali Ahad. Penumpang yang ingin menaiki feri ini perlu ada di jeti 2 jam sebelum masa keberangkatan.




Juga saya memperolehi maklumat tentang feri dari Dumai, Riau, Indonesia, dengan perkhidmatan Feri MV Indomal Express dan MV Malaysia Express kelolaan Tunas Rupat Follow Me Express Sdn Bhd (boleh klik untuk laman webnya). Manalah tahu jika saya akan berlepas dari sana. Apa maklumat yang saya perolehi adalah dari Dumai, bukan sahaja akan ke Pelabuhan Klang, tetapi juga ke Port Dickson dan Melaka. Namun, maklumat feri-feri tersebut (kecuali dari Pelabuhan Klang) tidak dapat diperolehi di Pelabuhan Klang, namun ia boleh didapati di laman webnya. Tambang feri dari Pelabuhan Klang adalah seperti di bawah dengan tambahan RM20 untuk cukai pelabuhan contohnya tambang dewasa sehala RM110.00 + RM20.00 (cukai pelabuhan) = RM130.00 (jumlah tambang). Waktu keberangkatan juga ada dengan peringatan perlu ada di jeti dua jam sebelum waktu keberangkatan.




Pada bulan September 2014, melalui mesej Facebook, Pak Nasir dan Azmi memberitahu saya yang rancangan kembara ini jadi dan Azmi sedang mencari jalan untuk menempah tiket kapal dari Tanjungbalai Karimun ke Belawan. 

Asalnya saya dan Pak Nasir merancang untuk menaiki feri, namun pada satu hari (11 Oktober 2014), saya terlihat di laman web AirAsia, tambang dari klia2 ke Lapangan Terbang Kualanamu, Medan semurah RM79!!! Lebih murah dari menaiki feri. Sedang pada sebelumnya, harga sudah malah, lebih RM 180. Penerbangan ini juga mungkin trip baru rasanya, dan memang rezeki saya. Terus saya menghubungi Pak Nasir melalui telefon mengkhabarkan perkara ini. Beliau terus setuju dan akan memindahkan wang kepada saya bila ada masa. Saya menggunakan wang saya dahulu untuk menempah penerbangan ini. 

Saya membeli sekali tiket Skybus dari KL Sentral ke klia, kerana beli bersama tiket AirAsia adalah lebih murah dari beli di kaunter atau atas bas, baru RM7.70 sehala.


Beberapa hari kemudian, Azmi memberitahu saya bahawa dia juga akan menaiki pesawat Citylink (anak syarikat Garuda Indonesia) dari Batam ke Kualanamu, Medan kerana tiket kapal sudah habis kerana masa itu dekat-dekat Hari Natal (Krismas) yang mana ramai warga Indonesia akan bermudik (balik kampung). Harga pesawat pun agak mahal katanya. Tapi semangat hendak mengembara mengatasi segalanya.

Masa berjalan dengan pantas, akhirnya masa 14 hari sebelum penerbangan pun tiba, dimana pada 06 Disember 2014, saya mendaftar masuk kedua-dua kami melalui aplikasi AirAsia di telefon bimbit saya. Ada mendapat kod bar 2D di telefon bimbit namun ia perlu ke kiosk cetakan pas masuk juga untuk cetakan. Jadi, selepas itu, saya ke laman web AirAsia untuk mendapatkan pas masuk versi cetakan (pdf).


Selaku agen takaful am, saya tiada masalah untuk membuat takaful perjalanan antarabangsa ini, cuma RM71 untuk 6 hingga 10 hari perjalanan ke kawasan 2 iaitu negara-negara Asia yang terpilih (kebanyakan negara Asia). Kalau tolak komisen harganya adalah lebih murah, saya berikan harga biasa. Jika anda mahukan takaful perjalanan ini boleh hubungi saya melalui mesej Facebook saya atau kaedah-kaedah lain.



Tiba-tiba saya teringat, bagi keselamatan dan kebajikan kami sebagai rakyat Malaysia di perantauan, saya menghantar e-mel pada 14 Disember 2014 kepada pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta, Konsulat Besar Malaysia di Medan dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru. Penting juga, manalah tahu, jika terjadi apa-apa, sekurang-kurangnya pihak kedutaan tahu kehadiran kami di sana.



Saya telah mempunyai Rp 450 ribu di dalam simpanan, baki dari perjalanan ke Indonesia yang lepas (kali terakhir ke Batam dan Bintan bulan Mei 2014 lepas, bersama Azmi). Jadi pada 17 Disember 2014, saya menukar lagi sebanyak Rp 600 ribu dengan RM171.00 di HM Ghazali Ahmad Sdn Bhd di Masjid India. Jadi adalah dalam Rp 1.05 juta untuk bekalan. Jika perlu lebih, saya akan menggunakan mesin ATM CIMB Niaga Indonesia untuk pengeluaran menggunakan kad ATM CIMB Islamic Malaysia saya. Ia tanpa caj, jadi kadar lebih baik dari tukaran wang di pengurup wang.



Perlu diingatkan di Indonesia, soket elektrik adalah berbeza dengan Malaysia (kecuali di kawasan Kepulauan Riau, ada beberapa tempat boleh munggunakan soket jenis G yang digunakan di Malaysia, Singapura dan Brunei). Di Indonesia, soket elektrik yang digunakan adalah dari jenis F (soket sebelah kiri gambar di atas), jenis A dan C (soket sebelah kanan gambar di atas). Untuk mengetahui jenis-jenis soket elektrik ini, boleh layari laman web World Standard. Jadi perlulah membawa adapter soket, jika tidak, tidak boleh caj bateri telefon atau lain-lain. Malaysia juga ada memakai soket jenis C seperti radio dan beberapa jenis pengecas telefon, mungkin jika peralatan anda mengunakan soket jenis C, maka tidak perlu bawa adapter soket. Tapi tidak rugi jika membawanya.

19 Disember 2014 (Jumaat)


Saya sudah bersiap semua kelengkapan saya untuk kembara ini. Moga tidak ada yang tertinggal. Agak banyak juga, maklumlah, lebih seminggu dijangkakan kembara ini.



Di dalam WhatsApp, Pak Nasir memaklumkan bahawa dia akan sampai di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada jam 9 malam. Maka, saya dan isteri ke sana untuk mengambil beliau. Pak Nasir sampai pada jam 9 malam tepat dengan mengatakan beliau berlepas dari Alor Gajah jam 7:30 malam.



Saya membawanya ke Husin Sup di belakang Masjid al-Ehsan, pekan Setapak kerana Pak Nasir hendak makan sup. Jadi saya bawalah tempat yang terbaik di Kuala Lumpur ini. Namun restoran tersebut telah tutup, mungkin kerana sudah malam. Oleh itu saya membawanya ke Idris Sup di Jalan Raja Bot, sebelah bangunan bekas Keramat Supermarket lama di kawasan Chow Kit.



Selepas itu, kami ke KL Sentral untuk mengambil Skybus ke klia2, kerana kami ingin merasa tidur di sana. Saya pun tidak pernah tidur di lapangan terbang di dalam Malaysia, kalau di luar negara, ada juga lah. Kalau di Malaysia ini, pernah rasa tidur di stesen bas atau keretapi sahaja. Kami tiba pada jam 11:05 malam, bermakna kami terlepas trip pukul 11:00 malam. Kira oklah, pasal perkhidmatan bas ke klia2 akan tamat pada jam 12:00 tengah malam iaitu trip terakhir dan hanya bersambung kembali 3 jam kemudian (3 pagi). Kalau lambat, habis terlepas. Kami naik bas trip 11:30 malam walaupun ada bas Aerobus pada jam 11:15 malam, tapi bayaran dengan AirAsia tidak laku, kerana ia hanya boleh digunakan untuk bas Skybus sahaja. Jadi menunggulah kami untuk trip 11:30 malam. Tepat jam 11:30 malam, bergeraklah kami dari KL Sentral menuju ke klia2. 


Akan bersambung ke Hari 1 Bahagian 1.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part); 
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.

Rabu, 10 Disember 2014

Hari 5 (Siem Reap, Kemboja & Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 19 hingga 23 Oktober 2014) - Tạm Biệt Sài Gòn (Selamat Tinggal Saigon).

Bersambung dari Hari 4.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part);or 
  • Day 5.



23 Oktober 2014 (Khamis)


Hari terakhir Kembara KH/VN (kod kembara ini yang diberikan oleh saya sendiri). Pagi ini, kami masih ada sedikit masa untuk melawat sekitar kawasan pusat bandar Saigon ini, yang mempunyai tarikannya yang tersendiri. Walaupun ibu negara Vietnam adalah Hanoi, di utara, namun Saigon ini lebih besar dari segi keluasan, bilangan penduduk, kepesatan dan juga pusat ekonomi utama Vietnam. 

Oleh kerana penerbangan pulang kami adalah waktu petang, pada pukul 4:20 petang, walaupun pada asalnya penerbangan pulang kami adalah pada waktu malam (jam 9:10 malam). Jadi adalah sedikit masa untuk melawat sekitar pusat bandar. Lagipun hostel kami tidak jauh dari tempat-tempat yang hendak di lawati. Antara yang dirancang untuk dilawati adalah:

1. War Remnant Museum (Muzium Peninggalan Perang);
2. Gereja Notre Dame Saigon;
3. Pejabat Pos Saigon;
5. Bangunan Dewan Perbandaran Saigon lama (old Municipal Hall buiding);
6. Dewan Teater Perbandaran Saigon;
7. Masjid Musulman, Saigon;

Jadi itulah itinerari lawatan pada pagi ini, yang akan berakhir di pasar Ben Thanh, seterusnya ke Malaysian Street untuk makan tengahari.


Senarai harga Budget Saigon Hostel.

Pada jam 8:00 pagi, kami ke bawah hostel untuk makan sarapan. Saya memang menantikan sarapan ni pasal suka makan roti perancis (baton  atau mini baguette). Memang lembut, roti di Deli France di Kuala Lumpur pun tidak boleh lawan kelembutan dan kesedapan roti ini. Tambahan pula dengan kopi Vietnam yang disediakan, memang kaw. Pencuci mulut dengan pisang montel, nyummy.


Jam 8:30 pagi kami memulakan perjalanan kami dari hostel kami. Destinasi pertama adalah Muzium Peninggalan Perang di Jalan Vo Van Tan, kira-kira hampir 2 kilometer dari hostel kami. Sambil berjalan, saya melihat sekeliling. Antaranya yang menarik hati saya (sebenarnya sejak datang ke Saigon ini, baru kali ini nak ambil gambar) adalah keserabutan wayar elektrik di atas kepala kami. Memang serabut, sebagaimana di Thailand juga. Kalau di Malaysia ni, mahu kena masuk berita TV atau akhbar, huhuhu...



Selanjutnya, kami melalui salah satu taman. Memang di dalam bandaraya Saigon ini mempunyai banyak taman. Di dalam taman juga tidak putus-putus orang bersenam dan pelbagai aktiviti lain. Bunga-bunga dan tumbuhan juga dijaga baik. Pohon-pohon agak rendang, dapat meredupkan suasana dan kehangatan siang di Saigon ini.


Dalam perjalanan ini juga, saya sempat mengambil gambar, bagaimana motorsikal-motorsikal yang memang banyak di Saigon ini disusun di parkir motor. Memang teratur,dan terjaga, kerana ada petugas yang akan menyusun motor-motor ini. Tidaklah macam di Kuala Lumpur, parkir motorsikal memang huru hara, tidak berdisiplin.


Seterusnya perjalanan diteruskan, dan kami terjumpa pula Dewan Teater Boneka Air Saigon. Asalnya memang saya hendak ke sini pada hari pertama sampai di sini, tetapi tidak sempat. Esok malamnya pula terpula agenda ini. Tapi rasanya pada waktu ini, tiada persembahan, tidak mengapalah, lain masa datang ke Saigon akan ke sini, insya Allah.


Sebelah dewan teater boneka air tersebut, terdapat sebuah kelab rakyat tempatan. Dapatlah dari luar, kami melihat warga emas Saigon sedang berlatih menari, mungkin sebagai mengisi masa lapang atau sebagai senaman. Tidak lama kemudian, terdapat seorang lelaki tua sedang mengandar sesuatu menegur kami. Asalnya kami buat tidak layan sahaja, tapi dia masih berusaha, malah siap menyuruh saya dan Halim mengandar barang yang dikandarkan itu. Huh, memang berat. Rupanya yang dikandarnya itu adalah barang jualan, iaitu kelapa yang disejukkan di dalam air berais. Dia masih mengikut kami, seolah-olah tahu kami hendak ke Muzium Peninggalan Perang. Ketika hampir sampai, dia sempat menahan saya dan memaksa membeli 2 biji kepala darinya dengan harga ₫100 000 (+- RM16) setiap satu. Alamak, saya dah kena scam, yang selama ini amat saya jauhi. Ahli kembara lainnya meninggalkan saya. Lalu saya menawar beli satu sahaja (tidak sampai hati kerana dia sudah tebuk kedua-dua kelapa tersebut), dan akhirnya dapat beli satu kepala dengan harga ₫50 000 (+- RM8). Lagipun itu sahaja duit dong yang besar yang tinggal. Saya anggap bersedekah, cuma caranya semacam tidak molek. Begitulah cara orang mencari rezeki. Ingatan kepada saya agar berhati-hati pada masa hadapan. 

Kaunter tiket Muzium Peninggalan Perang.


Akhirnya, kami sampai juga ke Muzium Peninggalan Perang ini. Alhamdulillah, Zain menawarkan untuk membelanja kami bayaran masuk muzium, yang berharga ₫15 000 (+- RM 2.50) setiap seorang, bermakna dia membayar ₫90 000 (+- RM15). Terima kasih banyak diucapkan.



Kereta Kebal Sherman & Helikopter Chinook.

Di dalam muzium ini dipaparkan banyak tinggalan-tinggalan peperangan seperti senjata berat yang dirampas daripada tentera Amerika Syarikat macam kereta perisai, kereta kebal (seperti model Sherman), helikopter (model Chinook dan Huey) dan kapal terbang (seperti jet pejuang F-5).


Helikopter Huey.


Antara bahan siksaan: Gilotin.


Selain itu juga, dipamerkan tentang bagaimana kekejaman askar Amerika Syarikat dan kuncunya Vietnam Selatan menahan tahanan perang dan bagaimana mereka menyeksa tahanan-tahanan ini.


Selanjutnya pameran-pameran berkaitan Perang Vietnam sebanyak 3 tingkat. Banyak gambar saya ambil, cuma saya tidak sampai hati untuk menyiarkan di sini. Memang banyak pengajaran dapat diperolehi di dalam Perang Vietnam ini. Memang amat dicadangkan datang ke sini bagi mendapat perspektif Vietnam tentang perang ini yang mana selama ini kita hanya dimomokkan dengan perspektif Amerika Syarikat. Sesungguhnya ramai yang menjadi mangsa peperangan ini.


Setelah selesai lawatan di Muzium Peninggalan Perang, kami berjalan kami semula dan melalui di hadapan Istana Penyatuan (Reunification Palace) atau juga dikenali sebagai Istana Kemerdekaan atau Istana Presiden. Bangunan ini merupakan kediaman presiden negara Vietnam Selatan (pro Amerika Syarikat) sebelum ia dirampas oleh tentera Vietcong (Vietnam Utara - pro komunis), di mana pintu pagarnya dilanggar oleh kereta kebal bernombor 843 yang replikanya dipamerkan di laman istana ini. Jatuh bangunan ini bermakna kalahnya Vietnam Selatan dan Amerika Syarikat dan bersatunya dua negara Vietnam menjadi satu.

Untuk masuk ke Istana Penyatuan ini, tiket berharga ₫30 000 (+- RM5) tetapi kami tidak masuk. Cukuplah bergambar dari luar.

Sayup-sayup kereta kebal 843 di halaman Istana Penyatuan.

Kaunter tiket Istana Penyatuan.



Dihadapan Istana Penyatuan terdapat taman lagi. Memang orang Saigon suka duduk di taman. Malah yang menarik, setiap pokok di taman ini diberikan nombor. Memang taman ini dijaga dengan baik.


Gereja Notre Dame Saigon (kiri) dan Pejabat Pos Saigon (kanan).

Tidak jauh dari taman ini, sampailah kami ke destinasi seterusnya iaitu Gereja Notre Dame dan Pejabat Pos Saigon yang sebelah menyebelah. Memang banyak pelancong berada di sini. Memang ia merupakan tempat tumpuan pelancong. Kedua-dua bangunan ini merupakan peninggalan penjajah Perancis. Di dalam Pejabat Pos Saigon, masih terdapat perkhdimatan pejabat pos yang masih aktif. Juga banyak kedai cenderahati terdapat di dalam pejabat pos ini. Cuma harga agak mahal sikit.



Di luar bangunan pejabat pos, terdapat pergambaran iklan, jadi saya mengambil kesempatan untuk mengambil gambar model wanita Vietnam, hehehe...

Pejabat Pos Saigon.


Oleh kerana saya terlupa membawa air minuman, kami semua kehausan, jadi saya pergi ke kedai serba guna di depan pejabat pos ini. Di sini saya menghabiskan duit dong saya untuk membeli air minuman botol (mineral).


Setelah menghilangkan dahaga kami, kami meneruskan perjalanan kami ke bangunan Dewan Perbandaran Saigon lama. Namun dataran di hadapan bangunan ini ditutup untuk projek pembangunan antaranya pembinaan stesen MRT Saigon. Jadi gambar dari tepi sahajalah yang dapat diambil.


Perjalanan kami diteruskan, dan kami terjalan dihadapan Dewan Teater Perbandaran Saigon. Memang menarik bangunan-bangunan tinggalan penjajah Perancis yang masih dijaga oleh pihak berwajib.



Bangunan pejabat dan bilik kelas di Masjid Musulman, Saigon.

Akhirnya kami sampai ke Masjid Musulman yang terletak di sebelah hotel Shereton Saigon. Masjid ini 1935 oleh peniaga berketurunan India Muslim. Ini antara beberapa masjid yang ada di bandaraya Saigon, menunjukan Islam subur d bumi Vietnam ini. Terdapat juga kelas agama di sini. Paling menarik, terdapat kenyataan di dalam Bahasa Melayu di dalam masjid ini. Sempat kami bersolat Dhuha, kerana waktu Zohor masih belum masuk lagi. Di sekitar masjid ini terdapat juga kedai makanan halal, yang menggunakan Bahasa Melayu di dalam menunya.




Dalam perjalanan pulang ke pasar Ben Thanh dari Masjid Musulman, saya terpandang sebuah bangunan yang terdapat papan tanda Maybank.

Bangunan tertinggi di Saigon: Bangunan Bitexco Financial.


Kami meneruskan perjalanan, kerana kami perlu kejar masa, hendak makan tengahari lagi, solat dan bergegas ke lapangan terbang. Namun jalan yang kami ambil melalui bangunan tertinggi di Saigon iaitu bangunan Bitexco Financial. Di bangunan ini, terdapat tarikan baru iaitu Saigon Sky Deck, di mana boleh melihat permandangan sekitar bandaraya Saigon di atasnya. Tiketnya berharga ₫200 000 (+- RM32) setiap seorang bagi sekali naik. Namun bukan rezeki saya kerana duit dong saya sudah habis dan rakan-rakan juga tidak mahu naik. Lagipun kami berkejar dengan masa. Terus kami meneruskan perjalanan.




Setelah 20 minit berjalan dari Masjid Musulman, akhirnya kami sampai ke pasar Ben Thanh. Saya sempat membeli magnet peti ais untuk ketua pejabat saya (kena bagi yang cantik punya). Malah siap boleh tawar lagi sehingga dapat 50% dari harga asal. Boleh dibayar dengan matawang ringgit Malaysia sahaja. Siapa kata di pasar Ben Thanh tidak boleh tawar. Di bawah ini merupakan pelan pasar Ben Thanh. Malah terdapat juga plan jenis elektronik. 



Makan tengahari kami kali ini adalah di Kedai Halal Amin yang terdapat di Malaysian Street. Kedai ini adalah paling murah dengan harga makanan kami (saya dan Zain memesan Pho, bihun sup Vietnam dan 4 yang lain nasi goreng) setiap satu berharga hanya ₫50 000 (+- RM8). Kami bayar dengan duit ringgit Malaysia sahaja. 

Di bawah ini adalah antara duit-duit dong Vietnam yang dapat saya kumpul sepanjang perjalanan kami di Vietnam selain ₫100 000 yang saya dapat semasa menukar wang sebelum kembara. 

VND (dong) ₫500 = +- 8 sen Malaysia

VND (dong) ₫1000 = +- 16 sen Malaysia

VND (dong) ₫2000 = +- 32 sen Malaysia

VND (dong) ₫5000 = +- 80 sen Malaysia

VND (dong) ₫10 000 (polimer)= +- RM1.60 

VND (dong) ₫20 000 (polimer)= +- RM3.20

VND (dong) ₫50 000 (polimer)= +- RM8.00


Setelah selesai makan, kami segera pulang ke hostel. Kami telah daftar keluar sebelum kami berjalan tadi dan meninggalkan beg kami di depan kaunter. Jadi ada kami yang bersolat dan membersihkan diri mana yang sempat. Saya siap menukar baju. Dalam masa 15 minit kami segera berjalan menuju ke perhentian bas terdekat untuk mengambil bas henti-henti bernombor 152 untuk ke lapangan terbang. Menunggu di stesen bas tidak lama, dalam 5 minit terus dapat bas. Tiket ke lapangan terbang adalah đ5000 (+- 80 sen Malaysia) sahaja. Baru saya perasan, saya masih ada ₫5000 terakhir di dalam beg saya. Alhamdulillah. Dalam masa 20 minit sampailah kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Soon Nhat, Saigon, Vietnam.





Setelah sampai di tingkat 1 (aras tanah), kami naik ke aras 3 untuk memasuki balai pelepasan. Walaupun kami sudah daftar masuk secara web, namun kami masih perlu ke kaunter daftar masuk tanpa bagasi khas untuk yang telah daftar masuk, bagi memeriksa dokumen. Semasa kami sampai, kaunternya belum buka lagi tetapi di kaunter lain telah ramai yang beratur. Di kaunter kami, kami antara yang pertama. Namun baru saya tahu yang di sini akan menimbang bagasi kabin yang akan dibawa masuk. Ahli-ahli kembara lain, mula mengemas beg agar cukup-cukup sekitar 7 kilogram. Namun saya memang risau kerana walaupun nampak kecil, tapi berat beg saya pasti berat, kerana saya menyusun isi kandungan beg saya dengan optima, dengan menggulung pakaian dengan kaedah tentera (saya mempunyai latar belakang ketenteraan). Memang betul, apabila saya menimbang beg saya, ia seberat 11 kilogram lebih. Macam mana ini, saya pun bersiap-siap dengan kad kredit, mana tahu tidak lepas.

Kaunter dibuka, saya mengumpul semua pasport dan pas masuk (boarding pass) saya dan rakan-rakan walaupun berlainan nombor tempahan. Kemudian saya diperiksa akhir  sekali. Semua telah selesai, beg di timbang, saya segera menurunkan beg saya di hadapan kaunter. Ditimbang beg orang lain dulu. Nampak gaya, petugas itu tidak meletakan sebarang tanda, maka saya mendapat idea. Satu demi satu beg ditimbang, semuanya lepas kerana berat sekitar 6 hingga 8 kilogram. Pada beg terakhir, saya mengambil beg Akmal yang telah ditimbang untuk ditimbang sekali lagi, beg saya pula diambil oleh Halim, seolah-olah telah ditimbang. Beberapa rakan terkejut dengan tindakan saya, namun senyap, tapi petugas itu tidak sedar juga dan berkata "All bags are passed, you can proceed to immigration, thank you (Semua beg lepas, anda boleh terus ke imigresen, terima kasih)". Alhamdulillah. Selamat.



Seterusnya kami segera bergerak untuk urusan imigresen. Sebelum itu, kami membuka semua beg kami untuk membuang yang mempunyai logam berbahaya (seperti pisau, gunting, benda tajam) dan barang-barang cecair yang lebih 100ml serta menyimpan barang yang mempunyai logam seperti tali pinggang, kasut, jam tangan, telefon bimbit dan sebagainya ke dalam beg untuk pemeriksaan keselamatan sebelum imigresen dan selepas imigresen. Ya, terdapat dua kali pemeriksaan.

Setelah selesai pemeriksaan pertama, kami ke kaunter imigresen. Zain, Halim, Din dan Abe di kaunter lain, saya dan Akmal di kaunter lain. Kaunter saya dan Akmal agak lama sedikit pemeriksaan kerana pegawai imigresen menanyakan di mana cop keluar Malaysia. Mungkin dia tidak pernah memeriksa orang Malaysia kot. Saya memaklumkan bahawa pemegang pasport Malaysia tiada cop kerana kami menggunakan cip dan pintu automatik. Pegawai tersebut bertanyakan kawan setugasnya, dia pula dimarahi, kerana sudah apa yang saya kata itu benar. Dengan sipu-sipu dia mengecop pasport saya. Akmal pun ditahan lama juga. Apa-apa pun semuanya berjaya menyelesaikan prosedur imigresen Vietnam. Secara rasmi kami sudah keluar dari Vietnam.



Seterusnya ke pemeriksaan keselamatan kedua. Di sini agak ketat, namun kami lepas juga dengan jayanya, yeah...


Kami ke pintu berlepas nombor 16. Cuaca di luar mula hujan dengan lebat. Nampak gaya macam tertunda pula penerbangan kami. Sudah ada beberapa penerbangan yang ditunda. Sambil itu saya meneroka airside lapangan terbang ini.

Tiba-tiba, kami diumumkan untuk bertukar pintu pelepasan ke pintu 9 pula. Saya segera ke pintu 16 dan memaklumkan rakan-rakan saya yang masih tidak sedar. Maka kami semua ke pintu 9 pula.

Hujan semakin teduh tidak lama kemudian, dan pada jam 3:30 petang, terlihat sebuah kapal terbang AirAsia mendarat dan menuju ke arah pintu 9 dengan bendera Malaysia di hadapan kapal terbang tersebut. Alhamdulillah nampak gaya penerbangan kami mengikut jadual.



Pada jam 4:00 petang, kami pun mula menaiki kapal terbang tersebut dan 20 minit kemudian, kapal terbang ini bergerak dan kemudian berlepas meninggalkan bandaraya Saigon. 

Sejam 45 minit kemudian kami sampai ke terminal klia2. Alhamdulillah, kembara ini selesai dengan jaya tanpa sebarang masalah yang besar. Kami bersalaman dan kemudian berpisah menuju ke destinasi masing-masing.


Saya menunggu isteri saya mengambil kerana dia membawa bersama ibu mertua saya (ibunya) untuk dihantar ke rumah kakak ipar saya (kakaknya) di Salak Tinggi. Setelah menghantar ibu mertua saya, kami ke pekan Salak (tempat biasa kami makan kalau ke kawasan sekitar KLIA) untuk makan. Selesai, makan kami pun pulang ke rumah kami.

Alhamdulillah, selesai sudah catatan pengembaraan ke dua negara ASEAN. Ini juga bermakna saya telah menjejaki kesemua kesepuluh-sepuluh negara ASEAN. Tercapai juga impian saya, dalam masa 6 bulan saya telah menjejaki semua negara tersebut.

Semoga catatan ini dapat memberikan maklumat kepada pembaca agar dapat gambaran jika mahu ke sini. Harap boleh setia membaca catatan saya selepas ini, insya Allah pengalaman ke Sumatera Utara (Medan) dan Aceh pada bulan Disember 2014 nanti.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part);or 
  • Day 5.