Sabtu, 19 April 2014

Betong, Yala, Thailand - 28 hingga 30 Mac 2014 - Sempadan Paling Selatan Thailand.

Click here if want to read in English version.


Semasa saya dan isteri pulang dari Makkah dan Madinah (11 November 2013), setelah menunaikan haji, kami diambil oleh Sobri (id Facebook Mohd Sobri) bersama-sama ibu saya dan anak-anak kami di KLIA. Oleh kerana kali rindu sangat dengan makanan Malaysia (eerrr ke Siam?), kami menyuruh Sobri untuk membawa kami makan di tempat biasa kami makan di pekan Salak, Sepang (tempat yang sama dinyatakan pada posting Bercuti Kembara Bersama Keluarga ke Brunei & Kota Kinabalu).

Semasa kami dengan selera makan nasi beras wangi bersama Tom Yam Pok Tek, Tauhu Ladna, Kailan Ikan Masin, Udang Mentega dan lain-lain, Sobri, yang merupakan adik angkat kami, juga merupakan orang yang menjaga kedua-dua kereta Proton kami (beliau merupakan seorang pengurus di Sutera Sensasi, sebuah bengkel rasmi Proton Edar di Kampung Baru, KL), menyatakan bahawa beliau akan berkahwin pada bulan Mac 2014 ke atas. Kami pun, bergembira apabila mendengar kenyataan itu.


Apabila mendapat kad jemputan kahwin daripada beliau pada akhir bulan Februari, betapa ralatnya saya kerana tidak dapat menghantar beliau untuk majlis akad nikah dan kenduri persandingan beliau dengan pasangan di Kuala Lipis, Pahang pada 21 dan 22 Mac 2014, kerana saya sudah menempah tiket kapal terbang ke Miri untuk bercuti bersama keluarga ke Brunei pada pagi 21 Mac 2014. Oleh sebab itu, saya berjanji yang kami akan berkunjung ke majlis persandingan di sebelah lelaki di Sungai Petani pada minggu depannya iaitu pada 29 Mac 2014. 


Sambil itu, saya membuat sedikit kajian tentang pekan (mueang (เมืองdalam bahasa Thai) Betong di dalam daerah (ampoe (อำเภอ) dalam bahasa Thai) Betong, terletak di dalam wilayah (changwat (จังหวัด) dalam bahasa Thai) Yala, di negara Thailand. Ini kerana, pertamanya, ia adalah pintu sempadan terdekat dengan pekan di sebelah Malaysia adalah Pengkalan Hulu, Gerik (Hulu Perak), Perak, yang terletak 85 km dari Sungai Petani dan 100 km dari Perai. Keduanya, ini antara tiga sempadan darat yang belum saya seberangi selain Kota Putra (Durian Burung), Padang Terap, Kedah dan Bukit Bunga, Jeli, Kelantan (satu-satunya saya pernah hadir tetapi belum bersempatan untuk menyeberanginya). Sahaja hendak melawat tempat orang dan hentak tahu apa keistimewaannya.


28 Mac 2014 (Jumaat)

Apabila saya kembali ke tempat kerja setelah pulang ke rumah untuk solat Jumaat, saya dan keluarga saya serta ibu saya, bersama-sama menaiki kereta agar terus ke Lunas, Kulim, Kedah, untuk bermalam. Ini supaya jika kami pulang dan memulakan perjalanan lewat sedikit, kemungkinan kami akan sampai lebih lambat, kerana keadaan jalan akan lebih sesak selepas pukul 17:00 (5:00 petang). Di Lunas, kami akan bermalam selama dua malam di sana, di mana di sana terletaknya rumah sepupu isteri saya, yang kami kenali sebagai Kak Ani.



Jam 16:40 (4:40 petang), kami memulakan perjalanan menggunakan jalan persekutuan 1 (jalan lama) melalui pekan Rawang, kemudian belok ke kiri di simpang Sungai Choh ke jalan negeri B54 terus ke Sungai Buaya. Kami kemudian menggunakan pula Lebuhraya Utara Selatan di persimpangan baru siap dibuka iaitu Persimpangan Sungai Buaya. Jalan agak lancar sepanjang perjalanan kami sehingga kami berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah arah utara, untuk bersolat asar. Selepas setengah jam kami di R&R Tapah arah utara, pada jam 18:40 petang, kami meneruskan perjalanan sehingga R&R RTC Perak di Gopeng, untuk solat Maghrib dan Isyak secara jamak qasar secara berjemaah. Selepas solat, pada kira-kira jam 20:15 (8:15 malam), kami makan di medan selera di RTC Gopeng. Harga di sini adalah lebih mahal dari harga R&R lain, mungkin kerana ia tidak diselia oleh pihak pengendali lebuhraya, PLUS Expressway Berhad, sebaliknya oleh pengurusan RTC Gopeng. Nasib baik kami ada membawa bekalan dari rumah. Pada pukul 21:15 (9:15 malam), kami meneruskan perjalanan ke destinasi kami. 

Pada pukul 22:50 (10:50 malam), kami telah hampir sampai di persimpangan Bandar Cassia menuju ke Jambatan Kedua Pulau Pinang. Di sini terdapat papan tanda menunjukan keadaan aliran lalu lintas di Jambatan Pertama dan Jambatan Kedua. Saya nampak kedua-dua jambatan tidak sesak. Memandangkan Jambatan Kedua atau nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim yang dikendalikan oleh Jambatan Kedua Sdn Bhd, akan mula mengenakan tol lagi 49 jam lagi (2 hari lebih), maka saya ambil kesempatan untuk menyeberang ke Pulau Pinang secara percuma bagi ke pulau (harga tol adalah seperti di sini), namun perlu membayar tol Lebuhraya Utara Selatan sebanyak RM 22.00. Bila lagi hendak mencubakan.



Jambatan kedua ini lebih panjang daripada jambatan pertama. Jika tiada kesesakan, jambatan pertama akan mengambil masa kira-kira tujuh ke sepuluh minit, namun dengan jambatan kedua ini, hampir dua puluh minit diperlukan untuk sampai ke Batu Maung. Almaklumlah, jambatan pertama yang dari Perai di tanah besar Semenanjung ke Batu Uban di pulau sejauh 6 km sahaja jambatannya atau 13 km jika keseluruhan komponen jambatan, kalau jambatan kedua yang dari Batu Kawan di tanah besar ke Batu Maung di pulau (kira tidak berapa jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas) pula adalah sejauh 17 km bagi jambatan dan 24 km bagi keseluruhan komponen jambatan. Sempatlah kami jalan-jalan di pulau sepanjang Lebuhraya Tun Lim Chong Eu sampai ke Pengkalan Weld. Cuma simpang lampu isyarat di antara Batau Maung dengan simpang Bayan Baru di hadapan pusat membeli-belah Queensbay Mall, melambatkan perjalanan. Nampak kawasan tengah jalan ditutup, mungkin untuk membuat pembinaan naik taraf jalan, mahu dibina jejambat agaknya.

Asalnya kami mahu ke tanah besar kembali dengan menggunakan perkhidmatan feri di Pengkalan Weld, namun saya dapati kenderaan tidak bergerak langsung semasa kereta kami di dalam barisan. Jesteru itu, saya ambil keputusan untuk menggunakan jambatan kedua dan seterusnya Lebuhraya Butterworth Kulim dikendalikan PLUS Expressway Berhad, untuk ke Lunas. Hanya perlu bayar RM1.60 sebanyak dua kali (jadi jumlahnya Rm3.20) di Plaza Tol Kubang Semang dan Lunas. Akhirnya pada jam 00:30 (12:30 tengah malam) kami sampai di rumah Kak Ani.



29 Mac 2014 (Sabtu)

Kami bergerak ke rumah pengantin di Taman Nilam, Sungai Petani, Kedah pada jam 12:15 tengah hari. Kami melalui pekan Padang Serai, kemudian ke kampung Pinang Tunggal, Pulau Pinnag dan Kedah (sebuah kampung di dua buah negeri, dipisahkan oleh Sungai Muda), dan terus tiba ke detinasi 13:00 (1:00 tengah hari). Kami disambut oleh keluarga Sobri dan seperti keluarga. Saya dan anak lelaki saya pun bersolat di surau taman, sementara menunggu pengantin. Namun pengantin tidak sampai lagi sehingga jam 14:45 (2:45 petang). Mungkin disebabkan kesesakan semasa perjalanan. Namun majlis agak meriah.













Pada jam 15:15 (3:15 petang) kami meminta izin untuk meminta diri kami. Nampak gaya saya terpaksa menyesuaikan masa kerana masa agak suntuk jika saya hendak berjalan-jalan di Betong. Memandangkan takat minyak kereta hampir habis, ditambah ibu dan isteri saya belum bersolat, maka saya singgah di sebuah stesen minyak untuk menunaikan tujuan-tujuan berkenaan. 



Setelah selesai, kami meneruskan perjalanan melalui Kuala Ketil seterusnya ke Kupang dan Baling sebelum ke Pengkalan Hulu untuk menyeberang sempadan di Bukit Berapit. Sepanjang jalan ini saya memerhatikan nama pekan-pekannya. Kuala Ketil, Tawar, Kuala Pegang, Kupang dan Baling di Kedah. Kebanyakannya berkaitan dengan perbuatan dengan tangan (Ketil lebih kurang kutil, Pegang dan Baling). Hehehe... Ini pertama kali saya melalui jalan ini.



Sambil memandu, saya sempat mengambil gambar bukit berhampiran dengan pekan Baling. Ia amat menarik hati saya. Semasa di sini, baru saya teringat, saya terlupa membawa geran kereta. Alamak macam mana ini. Nampaknya kena redha sahaja, sambil itu memohon kepada Allah agar dipermudahkan perjalanan. Dalam sebuah hadis pun ada berkata, doa seorang musafir insya Allah dimakbulkan, Insya Allah.



Kira-kira jam 17:00 (5:00 petang), kami pun sampai di Kompleks Imigresen Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak. Pengkalan Hulu satu ketika dahulu namanya adalah Kroh. Namun menjadi tempat istirehat Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Shah, maka ditukar namanya menjadi nama sedia ada. 

Satu kilometer sebelum kompleks terdapat pusat pemeriksaan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sejurus selepas pekan Ayer Panas. Jumlah kereta di sini tidak begitu banyak. Pintu sempadan pun dibuka sehingga pukul 23:00 (11:00 malam waktu Malaysia), bermakna sehingga pukul 22:00 (pukul 10:00 malam waktu Thailand). Di sini kena set jam dan minda kerana waktu Thailand adalah sejam lambat berbanding Malaysia. Kereta saya bergerak menuju ke kaunter imigresen pandu lalu. Kaunter pandu lalu imigresen di sini ada palang automatik, unik, tiada di pintu masuk lain. Mungkin untuk keselamatan. Lima buah pasport diserahkan, ia semua diimbas oleh pegawai imigresen. Saya ada meminta untuk pasport saya dicop sebagai kenang-kenangan. Pegawai imigresen itu ada mengiakan permintaan saya, tanda dia mendengarnya. Tidak lama kemudian semua pasport itu diserahkan kembali.


Kemudian kami singgah di Kompleks Bebas Cukai The Zon, selepas kompleks imigresen Malaysia sebelum pintu gerbang Malaysia. Saja mahu tengok apa di dalam. Lagipun Kak Ani telah berpesan untuk membeli coklat di sini. Banyak barangan bebas cukai dijual di sini seperti coklat, pinggan mangkuk, periuk, rokok dan barangan haram untuk orang Islam seperti arak. Selain itu juga, perkhidmatan pertukaran wang asing juga ada di dalam kompleks ini. Harga yang ditawarkan pun agak berpatutuan.

Sambil itu saya periksa pasport-pasport kami. Tiada pun cop keluar imigresen Malaysia di Bukit Berapit ini. Sabar sahajalah.


Di hadapan sedikit dari The Zon, adalah barisan kedai-kedai menjual pelbagai barangan. Kebanyakan barangan ini adalah daripada Thailand. Keadaan ini serupa seperti di Wang Kelian. Cuma dari segi harga, barangan di sini lebih mahal dari Wang Kelian, malah lebih mahal dari harga di pasar malam di KL. Kami cuma tengok-tengok sahaja di sini, setelah melihat harga agak mahal. Kami meneruskan perjalanan ke sebelah Thailand pula.








Apabila tiba di pintu gerbang selamat jalan ini, yang menandakan sempadan sebenar Malaysia-Thailand, seorang anggota polis Pasukan Gerakan Am yang bertugas menanyakan geran kereta saya. Saya kata terlupa nak bawa, lagipun kami dari Kuala Lumpur, datang majlis perkahwinan, kebetulan lalu di sini dan kebetulan kami membawa pasport, dengan muka kasihan saya. Polis berkenaan seolah-olah memberikan nasihat, agar pada lain masa jangan lupa bawa dan melepaskan kami ke Betong, selepas melihat di dalam kereta ada lima orang. Alhamdulillah. Lepas juga. Syukur.



Kemudian bila kami masuk ke kompleks imigresen sebelah Thailand (istilah digunakan adalah Rumah Kastam (Custom House), hujan mulai renyai-renyai membasahi bumi dan kereta kami. Dalam keadaan begitu, saya perlu memarkirkan kereta saya, untuk kami turun bagi urusan imigresen di kaunter. Urusan imigresen di pintu masuk Thailand, tiada kaunter pandu lalu seperti di Malaysia, Singapura atau Brunei, dimana setiap orang perlu turun untuk prosedur imigresen Thailand, antaranya muka anda perlu diambil gambarnya untuk pengecaman biomatrik. Sudahlah pembinaan bangunan baru sebelum Rumah Kastam ini dalam berjalan. Namun ada juga ruangan untuk kami parkir. Selamat tidak banyak kenderaan, kalau ramai seperti di Bukit Kayu Hitam, saya tidak dapat bayangkan, kerana di sini ruangan untuk parkir kereta agak sedikit.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai itu, keluarga saya termasuk anak-anak saya turun untuk prosedur imigresen. Sampai di kaunter, saya tanyakan borang ketibaan/berlepas imigresen Thailand (berdasarkan pengalaman, staf imigresen Thailand yang bertugas di sempadan Malaysia boleh berbahasa Melayu dialek Patani yang kedengaran seperti Kelantan). Namun dia menunjukan ke arah kaunter petugas berpakaian awam yang sedang menulis borang-borang itu untuk pengujung sedia ada. Nampak gaya kena bayar juga ni. Memang pun, setiap pengisian perlu dibayar RM2.00. Dalam terpaksa, saya serahkan lima buah pasport, untuk dituliskan borang ini. Setelah siap, saya berikan RM10 walaupun hati tidak ikhlas (kerana saya sendiri boleh isikan borang itu sendiri, dan setahu saya borang ini adalah percuma). 

Kemudian saya menyerahkan pula pasport-pasport itu kepada staf imigresen bertugas dan ahli keluarga saya bersiap di belakang saya agar mudah ke kaunter apabila diperlukan. Satu-satu pasport kami diperiksa, dan pemilik pasport perlu menunjukan diri untuk diimbas mukanya. Anak-anak saya pula perlu diangkat agar muka mereka boleh diimbas. Setelah selesai, RM10.00 lagi perlu diberikan kepada petugas imigresen Thailand. Kalau seorang RM2.00, bayangkan kalau yang lalu di sempadan ini setiap shif 100 orang atau seribu. Agak-agak sebulan berapa boleh dapat. Tidak mengapalah, kita masuk di tempat mereka, terpaksalah akur.  Setelah selesai, kami pulang ke kereta untuk meneruskan perjalanan ke pekan Betong. 


Sebenarnya, kalau ikut prosedur sebenar, saya perlu ke kaunter kastam untuk mengisytiharkan kemasukan (atau istilahnya mengimport masuk secara sementara) kereta saya ke Thailand (sebelum ini saya pernah membawa kereta ini ke Hat Yai, jadi prosedurnya lebih mudah dan cepat). Namun disebabkan saya tertinggal geran, kerana itu perkara penting yang perlu ada dalam prosedur tersebut, saya terpaksa abaikan. Kira memperjudikan nasib, kerana jika ada pemeriksaan, kereta saya boleh disita oleh pihak berkuasa Thailand kerana tidak mengisytiharkan kemasukan kereta saya ke Thailand. Ya Allah, tolonglah jangan terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini semasa kami ingin menziarah bumimu ini, doa hati saya sentiasa, walaupun ibu dan isteri saya agak cuak. Muka saya agak tenang dan berkata tiada apa-apa, tapi dalam hati Allah sahaja yang tahu.


Kemasukan kami ke Betong disambut dengan hujan yang agak lebat sedikit, namun apa bila sampai di perkampungan Ban Ka Pae Hu Lu, iaitu kampung pertama kita akan jumpa selepas melepasi sempadan Pengkalan Hulu dan Betong, cuaca menjadi lebih baik dengan hujan pun berhenti. Kami teruskan perjalanan dengan jalan agak bengkang-bengkok namun dua lorong setiap hala, agak memudahkan saya memandu, lebih-lebih lagi keadaan kereta tidak banyak. Lima ke tujuh minit kemudian, kami sampai ke pinggir pekan Betong ini.





Tempat pertama saya (kerana yang lain, kecuali anak sulung saya, duduk dalam kereta sahaja) singgah adalah Masjid Jamek Al Ahmadi Betong atau juga dikenali sebagai Masjid Biru yang merupakan masjid pusat atau daerah Betong. Ini menunjukan Islam bersyiar mekar di bumi Betong ini walaupun diperintah oleh kerajaan Buddha. Alhamdulillah. Memandangkan saya sudah solat jamak qasar di Sungai Petani tadi, maka saya tidak bersolat di sini, tambahan pula saya mahu kejar masa.



Setelah itu, saya terus ke bulatan utama pekan Betong ini untuk mengambil gambar antara mercu tanda pekan Betong iaitu Menara Jam dan Peti pos lama. Peti pos ini pernah menjadi peti pos terbesar di dunia, di mana ia dibina pada 1924 setinggi 3.2 meter dan selebar 2.4 meter. Di atasnya dahulu diletakan transmiter radio semasa Perang Dunia Kedua. Peti surat ini masih digunakan, walaupun tidak menjadi peti pos terbesar di dunia lagi (tetapi pekan Betong masih memegang gelaran ini, nak tahu di mana, sila ikuti lanjut catatan ini). Gambar di bawah adalah bukti kereta saya sudah sampai di Betong. 



Selepas puas bergambar di bulatan utama pekan Betong, kami pergi pula menuju ke Terowong Mongkolit, yang saya difahamkan satu-satunya terowong kenderaan di seluruh negara Thailand. Di atas terowong ini adalah Taman Perbandarannya (saya tidak sempat menerokanya kerana masa agak terhad).





Saya meneruskan perjalanan ke dalam terowong ini untuk mengetahui apa di seberang hujung terowong sana. Rupanya agak meriah juga, dengan ada pasar lambak di sini. Juga terdapat juga theateratte mungkin untuk majlis-majlis keramaian dan yang paling menarik hati adalah di ada patung dua ekor ayam gergasi. Rupa-rupanya Betong ini dikenali dengan keenakan ayamnya yang rasa lain dari ayam-ayam di tempat lain. Ayam-ayam Betong ini juga tidak boleh dikahwinkan atau dikacukkan dengan ayam tempat lain untuk dijaga keasliannya. Info ini baru saya dapat kemudian apabila bertanyakan maksud sebenar tugu ayam ini.

Selain itu juga, ada versi lain yang akan boleh masuk akal juga. Ada sahabat saya berkata, di sebalik terowong ini merupakan kawasan "syurga" dunia lelaki (atau neraka sebenarnya), di mana di sebelah kawasan tugu ini merupakan kawasan pelacuran. Maka tugu ini mengambarkan suburnya "ayam-ayam" di sini. Tapi saya di sini cuma nak ambil gambar sahaja.





Ada cerita gambar-gambar ini. Saya tidak puas hati dengan bapak ayam kerana asyik bising berkokok, lalu saya cekik ayam jantan ini sehingga mati.



Oleh kerana kehilangan lakinya, ayam betina ini bersedih dan semakin geram dengan saya. Kegeraman itu menyebabkan ia semakin besar dan ingin membalas dendam atas kematian lakinya itu. Lalu ia mematuk saya di perut.  Lalu saya mengalami kesakitan. (Sebenarnya keesokannya saya mengalami sakit perut akibat gastrik, "mungkin" juga akibat "patukan" ayam betina ini, huhuhu).





Untuk meredakan kemarahan ayam betina ini lalu emak dan anak perempuan saya memberikan ia makan jagung bakar yang diberi di hadapan taman tugu ini. Huhuhu... Amacam, ada kesinambungan ke cerita dongeng saya, hahaha...

Pasar lambak ini sebenarnya lebih kepada ala-ala fun fair, tak banyak barang dijual. Namun ada juga gerai yang menjual pakaian agak murah. Lalu isteri saya belikan saya seluar boxer yang berharga ฿30 (+-RM3.00) sehelai. Dibeli tiga helai dan beberapa batang lain. Tetapi saya juga yang bayar pasal dia tiada Baht dalam beg duit dia, huhuhu. Antara bakinyahg sata dapat antaranya ฿10 (+-RM1.00) versi lama sebagaimana gambar di bawah ini yang belum ada lagi di dalam koleksi saya. Apa lagi, ia disimpan dibuat koleksi.


Seterusnya kami menaiki kembali kereta dan memandu masuk balik ke terowong tadi ke arah bulatan dan terus ke hadapan. Sampai pula di hadapan sebuah bangunan yang dikatakan sebuah pusat konvensyen. Di hadapannya terdapat sebuah lagi peti surat yang besar. Inilah peti surat terbesar di dunia mengalahkan peti surat asalnya tadi. Bolehlah tengok betapa besarnya peti surat ini. Untuk pengetahuan, peti surat ini juga berfungsi sebagai peti surat, bukan sekadar tugu peringatan.


Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke utara menuju ke Air Panas Betong, Terowong Piyamid dan, Air Terjun Namtok Imthason (untuk pengetahuan namtok itu adalah air terjun di dalam bahasa Thai). Di dalam perjalanan ke tempat-tempat berkenaan, terdapat beberapa sekatan jalan oleh pihak berkuasa Thailand (seperti gambar di bawah, sekatan oleh tentera darat, betul-betul sebaik keluar dari pekan Betong). Saya amat cemburu dengan keadaan jalan di Thailand, agak baik dengan kurang lubang (bukan sahaja di Betong tapi di tempat lain juga). Sewajarnya pihak Jabatan Kerja Raya atau lain-lain pihak berkaitan seperti syarikat pembinaan, menganbil contoh bahan asas penurapan jalan yang dibuat oleh pihak Thailand. 

Gambar di bawah ini juga bertujuan untuk menunjukan pengguna jalan raya di sana boleh melakukan apa yang tidak boleh dilakukan di Malaysia, seperti duduk di belakang trak pickup yang terbuka dan lori membawa muatan yang berlebihan dan tiada penutup untuk mengelakan muatan jatuh.

Setelah berjalan kira-kira 3 km dari simpang ke tempat-tempat tersebut, baru saya sedar bahawa jam di tangan saya sudah menunjukan pukul 18:00 (6:00 petang waktu Thailand) iaitu pukul 19:00 (7:00 petang waktu Malaysia). Sudah lewat, dan tidak mungkin dapat merasai pengalaman di ketiga-tiga tempat itu. Lalu kami patah balik ke pekan Betong. Tiada rezeki buat kali ini. Insya Allah lain kali kami akan ke sana. 



Alang-alang berada di Betong, ingin saya pergi ke tempat makan. Hendak membeli belah, banyak kedai sudah tutup. Hairan kerana, rakan-rakan saya kata, kedai-kedai di Betong ini agak lambat tutup. (Kemudian baru saya difahamkan bahawa keesokan harinya warga Thailand akan mengundi dalam pilihanraya, padan la). Tidak dapat kami hendak beli barang-barang seperti toto atau beras wangi... Lalu saya ke tempat yang dikatakan iaitu Halal Kitchen. Lalu dipesan makanan Tomyam campur, sup daging, sup perut, kailan ikan masin, kerabu mangga, kerabu betik (somtam) dan air teh o beng (ais). Cuma kerabu kaki ayam sahaja tiada. Ibu saya kata agak masam, tapi bagi saya amak sesuai. Sedap sampai licin... Yang best tu, air kosong tiada had. Jumlah keseluruhan adalah RM34.00 sahaja. Bayar menggunakan Ringgit sahaja.


Selepas makan, kami pun pulang menuju ke Malaysia kembali. Sekali lagi dalam keadaan hujan yang agak lebat, kami perlu berhenti memarkirkan kereta kami untuk urusan imigresen. Akhirnya selesai urusan, terus ke kompleks imigresen Malaysia pula. Alhamdulillah, tiada apa yang terjadi, walaupun tidak membuat perisytiharan masuk kereta dan tiada insurans kereta Thailand. Cuma ini pertama dan terakhir saya lakukan insya Allah.



Di kaunter pandu lalu imigresen Malaysia, seperti kaunter keluar ke Thailand, kaunter masuk ke Malaysia pun ada palang automatik. Pasport-pasport diserahkan. Seperti biasa saya meminta untuk dicop, namun jawapan dari pegawai imigresen, di sini kalau sudah imbas tidak boleh dicop. Teringat pengalaman semasa di Johor Bahru. Saya mengalah kerana hanya ini sahaja kaunter dibuka dan tidak mahu menghalang kenderaan di belakang. Seterusnya ke kaunter kastam pula. Ini pertama kali saya disuruh untuk membuka bonet belakang. Mungkin di sini terlalu selalu berlaku penyeludupan. Alhamdulillah tiada masalah, terus saya memandu kembali menuju ke Lunas untuk bermalam kembali di rumah Kak Ani. Pada pukul 21:15 (9:15 malam) sampailah kami ke rumah Kak Ani. Selepas makan dan berborak dengan Kak Ani sekeluarga, kami pun tidur.



30 Mac 2014 (Ahad)

Asalnya saya merancang untuk pulang ke KL pada paginya, namun perut saya mulai pedih. Penyakit gastrik kembali menyerang. Mungkin kerana makan makanan Siam yang agak masam (rasa masam Thai adalah kegemaran saya), atau disebabkan "dipatuk" ayam batu? Hahaha. Akhirnya kami bergerak selepas Zohor iaitu pada pukul 14:45 (2:45 petang), setelah saya merasa sihat sedikit. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kak Ani sekeluarga atas layanan yang amat baik kepada kami. Kak Ani pun keluar kerana nak menghantar anak beliau, Idham ke Kolej Vokasional Pengkalan Hulu.

Saya mengambil jalan Taman Teknologi Kulim untuk memintas laluan biasa Kulim yang agak sesak disebabkan simpang lampu isyarat yang banyak. Kemudian saya melalui pekan Serdang untuk masuk ke Lebuhraya Utara Selatan di persimpangan Bandar Baharu. Saya singgah sebentar di pekan Serdang untuk membayar zakat. Dari persimpangan Bandar Baharu jalan adalah lancar sehingga dua kilomerer ke persimpangan Changkat Jering. Saya ambil keputusan untuk melalui jalan lama Bukit Gantang untuk memintas kesesakan ini. Namun jalan ini juga sesak kerana lampu isyarat di simpang Bukit Gantang. Tetapi lebih baik terus menggunakan Lebuhraya Utara Selatan. 

Selepas 30 minit saya kembali masuk ke Lebuhraya Utara Selatan di persimpangan Kuala Kangsar. Namun di sini sebaik sahaja masuk, jalan terus sesak, dengan berjalan agak perlahan. Disebabkan kami agak lapar, maka kami singgah makan di R&R Sungai Perak arah selatan selepas setengah jam memandu tersengguk-sengguk. Makan ikan patin masak tempoyak. Harga pun murah.

Seterusnya, selepas setengah jam di R&R, kami kembali mengharungi kesesakan hampir 2 jam dari  R&R Sungai Perak ke Terowong Menora. Selepas Terowong Menora jalan kembali lancar sehingga saya membaca paparan di papan mesej elektronik sebelum persimpangan Simpang Pulai, yang menyatakan kesesakan berlaku selepas persimpangan Simpang Pulai sehingga persimpangan Slim RIver. Jauh tu. Lalu saya ambil jalan lama. Tiadalah rasa ralat rugi bayar tol yang mahal. Saya singgah dahulu  RTC Gopeng untuk ke Mydin bagi membeli makanan untuk kudapan.

Jalan di jalan lama agak lancar kecuali di beberapa bahagian terutama bila mahu masuk ke pekan, agak sesak sikit, kerana ada persimpangan lampu isyarat. Saya teruskan pemanduan sehingga tiba di Bidor untuk mengisi minyak kereta. Setelah selesai saya kembali memandu walaupun perut rasa sakit-sakit sedikit. Sampai di persimpangan Slim River saya kembali masuk ke dalam Lebuhraya Utara Selatan. Jalan lancar namun tidak lama, lima kilometer sebelum persimpangan Bukit Tagar, jalan kembali bergerak amat perlahan. Rupa-rupanya setelah saya merujuk app Waze dan Google Maps, sesaknya sampai ke Klang!!! Jadi selepas mengharungi dekat sejam lebih, apabila sampai persimpangan Bukit Beruntung, saya terus keluar dan ikut jalan lama menuju ke KL. Jalan agak lancar kecuali antara Sungai Choh ke Rawang, disebabkan lampu isyarat. Selepas itu terus lancar.

Kami singgah dahulu di Petronas di Taman Wahyu untuk solat jamak qasar Maghrib & Isyak. Akhirnya pada jam 23:00 (11:00 malam) kami sampai ke rumah. Esoknya selama dua hari saya MC kerana gastrik dan kepenatan.

Itulah pengalaman kami sekeluarga berjalan-jalan ke utara Semenanjung Malaysia sehingga Betong. Harap penulisan saya ini dapat memberikan manfaat kepada anda. Sehingga berjumpa lagi, insya Allah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Hari 5 (Brunei & Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia (melalui Miri, Sarawak, Malaysia & Labuan, Malaysia) - 21 hingga 25 Mac 2014) - Terbang Pulang Kembali ke Semenanjung.

Sambungan dari Hari 4.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.



25 Mac 2014 (Selasa)

Hari ini hari terakhir kami di bumi KK dan Sabah. Oleh kerana semalamnya, kami sudah beli barang-barang yang ingin bawa pulang ke KL di Pasar Malam Sinsuran dan Pasar Filipina, maka plan asal untuk kembali ke pusat bandar KK lama dibatalkan. Sebaliknya, kami akan terus ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KK (KKIA) pada pukul 08:30 pagi.

Pagi itu kami membuat persiapan akhir dengan mengemas homestay kami dan beg-beg kami. Bukan kerana kami risau kerana berat bagasi, kerana Malindo Air memberikan elaun bagasi percuma sebanyak 15 kg setiap orang, bermakna kami mempunyai elaun bagasi percuma sebanyak 60 kg . Tetapi kerana bagasi kami mempunyai ruangan yang terhad. Nasib baik kami membawa sekali 2 buah beg galas tambahan disamping 2 beg galas sedia ada. Bolehlah menampung apa yang tidak boleh masuk di dalam beg tarik.

Pengangkutan dari KLIA ke rumah juga telah diuruskan dengan Abang Azhar akan mengambil kami di KLIA nanti, dimana plan asal untuk menaiki bas Airport Coach ke KL Sentral, seterusnya menukar ke LRT Laluan Kelana Jaya menuju ke stesen Seri Rampai dan akhirnya menaiki bas Rapid KL laluan T302 untuk kembali ke rumah di batalkan.

Pada jam 08:20 pagi, ketika kami hampir selesa, Ezanita menelefon kami, menanyakan bila kami di mana. Saya berkata bahawa kami masih di homestay dan sudah mahu keluar. Dia hairan kerana dia masih ingatkan saya mahu ke Pasar Besar KK. Saya kata, saya sudah beli apa yang mahu, dan kini terus mahu ke KKIA terus. Terus dia berkata, saya tidak perlu bawa kereta ke sana, biar mereka sahaja hantar kami. Saya kata ok je, tiada masalah.

Sepuluh minit kemudian, kami selesai berkemas, dan memeriksa homestay buat kali terakhir. Setelah berpuas hati, kami pun turun ke parkir kereta dan tidak lama kemudian, Pariaman dan Ezanita pun sampai bersama-sama anak-anak mereka. Terus kami dihantar ke KKIA.


Kami sampai di KKIA pada pukul 09:25 pagi. Kami sempat bergambar (seperti gambar di atas), bersalam-salaman dan memulangkan kunci-kunci rumah dan kereta. Saya bersalam dengan Pariman dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada dia atas layanan yang diberikan. 

Setelah itu, kami dan Ezanita masuk ke dalam Balai Berlepas dan mencari kaunter daftar masuk untuk drop in beg kami. Beg kami sebelum ke kaunter, perlu diimbas untuk pemeriksaan keselamatan oleh pihak keselamatan lapangan terbang. Selepas itu, barulah, kami ke kaunter. Namun, kami perlu beratur seperti untuk daftar masuk, cuma nasib baiknya kami telah ada nombor tempat duduk. Semasa beratur itu, Ezanita siap beri bekalan coklat kepada anak-anak kami yang dibeli di KKIA ini. Sempat juga Ezanita menangkap gambar kami di bawah ini. Kemudian Ezanita meminta dirinya untuk pulang. Terima kasih Ezzi (panggilan saya kepadanya) atas layanan anda kepada kami.


Gambar yang ditangkap oleh Ezanita (kredit gambar: Ezanita Syawal).


Semasa kami mengantar kami untuk drop in, kami diberikan juga pas pelepasan seperti di atas, walaupun kami sudah ada pas pelepasan secara kod bar 2 dimensi di iPhone5 saya. Di pas pelepasan itu juga dilekatkan tag beg kami seperti di bawah.



Sebelum kami memasuki pintu pelepasan, saya sempat juga melawati keseluruhan Balai Berlepas (di Tingkat 3) dan Balai Ketibaan (di Tingkat 1) KKIA ini.


Pada jam 10:15 pagi, kami perlu memasuki kawasan pintu pelepasan. Sebelum itu seperti biasa kami ke laluan pintu pelepasan penerbangan antarabangsa/ke Semenanjung/Sarawak/Labuan untuk kami melalui pemeriksaan keselamatan terlebih dahulu. Agak panjang juga beratur untuk barisan keselamatan ini. Selepas selesai, kami ke kaunter imigresen pula, dimana saya menyerahkan keempat-empat pasport. Nampak gaya, pegawai imigresen itu agak lama memeriksa pasport kami, mungkin kerana tidak jumpa cop masuk ke Sabah. Saya memberitahu bahawa kami masuk melalui Jesselton Point dari Labuan di mana kami serahkan pasport tapi pegawai di sana tidak berbuat apa-apa terhadap pasport kami. Selepas mendengar penjelan tersebut, barulah pegawai tersebut mengimbas semula pasport kami dan memberikan kami cop keluar Sabah seperti gambar di atas.


Seterusnya kami ke pintu pelepasan 7 untuk menunggu pesawat kami. Di kawasan parkir masih belum ada pesawat Malindo, kerana belum sampai lagi. Jadi saya berjalan-jalan sekitar kawasan pintu-pintu pelepasan. 20 minit kemudian, peasawat Malindo Air pun mendarat setelah terbang dari KLIA dan memarkir di parkir 7. Penumpang-penumpang yang tiba, kemudian keluar dari pesawat menuju ke Balai Ketibaan. Dalam 10 minit kemudian, petugas-petugas Malindo Air mengarahkan untuk penumpang beratur dengan penumpang kelas perniagaan dan berkeluarga di hadapan di sebelah kanan dan yang lain-lain di sebelah kiri. Saya agak, sebelah kanan akan pergi terlebih dahulu. Pada mulanya ya, namun pemeriksaan agak kurang lancar, dan penumpang di sebela kiri mula dilepaskan (kebanyakan penumpang tiada anak kecil), menyebabkan kami yang ada anak-anak kecil ini masih belum diperiksa. Saya cuba menanyakan hal ini, dan jika boleh dilepaskan kami, kerana biasanya jika penumpang tanpa anak kecil masuk dahulu, biasanya pasti ada masalah di dalam pesawat. Namun saya ditegur dengan kasar oleh petugas wanita tersebut. Tidak mengapalah.

Akhirnya kami masuk juga ke dalam pesawat, cuma keadaan sesak sedikit. Ini agak menyusahkan sedikit di mana kemasukan agak lambat dan menyusahkan sedikit kami yang ada anak kecil ini. Jika kami masuk dahulu, sudah tentu tidak berlaku masalah sebegini. Memang petugas daratan Malindo Air ini tidak berapa cekap.


Kami pun duduk di tempat duduk kami. Tempat duduknya agak besar sedikit  kira-kira 33 inci berbanding tempat duduk MAS (30 inci )atau AirAsia (29 inci). Terdapat juga skrin hiburan individu di setiap tempat duduk. Cuma pendingin hawanya tidak berapa kuat sebagaimana di dalam MAS dan AirAsia. Jam 11:15 pagi, barulah kapal terbang ini bergerak dari tempat parkir dan sepuluh minit kemudian, barulah ia berlepas.


Di udara, saya baru tahu, untuk mendengar skrin hiburan ini, penumpang perlu menyewa earphone daripada pramugari dengan harga RM15.00 sebuah. Saya sudahlah terlupa bawa earphone sendiri, kasihan kepada anak sulung saya, dia amat teruja, namun tidak boleh mendengar. Jadi kami sekadar tengok sahaja.

Satu lagi, sebenarnya kami belum makan lagi sejak pagi. Di dalam laman web, saya difahamkan, ada makanan disediakan, rupanya memang disediakan tapi perlu bayar seperti AirAsia. Nampaknya maklumat di dalam laman web tidak diterangkan secara terperinci ataupun sengaja dibuat begitu sebagai strategi pemasaran. Memang tidak patut buat begitu. Terpaksalah kami membeli makanan (nasi lemak, nasi baryani ayam merah dan dua cawan Maggi) dan membayarnya dengan harga RM36.00. Tidak mengapalah, ini pengalaman, namun menyebabkan saya hanya akan mempertimbangkan Malindo Air sebagai pilihan kedua.



Selepas 2 setengah jam di udara, akhirnya kami sampai di Terminal Utama KLIA. Pendaratan agak kasar, namun sampai juga ke pintu ketibaan A9.


Kami terus ke tempat mengambil bagasi dan tak sampai sepuluh minit, beg kami sampai. Kami solat jamak qasar Zohor dan Asar di surau di kawasan pengambilan bagasi itu. Kami segera keluar dan alhamdulillah Abang Azhar, Kak Ija dan anak-anak mereka, ditambah dua orang anak Abang Epul (abang isteri saya) pun ada sekali. Akhirnya pada jam 15:00 (3:00 petang, kami pun sampai ke rumah kami.

Itulah perjalanan pelbagai mod pengangkutan, pelbagai negeri dan pelbagai negara kami. Sesunggunnya percutian kami ini lebih kepada kembara. Semoga semangat pengembara ini dapat mengalir subur di dalam jiwa anak-anak kami. Insya Allah.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Ingin melihat 


If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.