Selasa, 15 April 2014

Hari 1 (Brunei & Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia (melalui Miri, Sarawak, Malaysia & Labuan, Malaysia) - 21 hingga 25 Mac 2014) - Perjalanan ke Salak Tinggi.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.




Persediaan Awal.


Saya mula memikirkan percutian ini ketika mengerjakan haji lagi. Anak sulung saya mula bersekolah pada tahun 2014, jadi kalau hendak bercuti, perlu dalam masa cuti sekolah. Lagipun saya belum pernah menjejakkan ke Brunei dan Labuan dan sudah lama tidak menjejakan kaki di Sarawak dan Sabah. Dalam masa umur dah nak masuk 34 tahun ni, saya masih belum melengkapkan kesemua negeri dan wilayah di dalam Malaysia serta negara yang bersempadan dengan Malaysia. Kiranya, matlamat peribadi, jika selesai percutian ala kembara ini, maka lengkap semua negeri/wilayah di dalam Malaysia (sekiranya tiada negeri/wilayah tambahan selepas ini) dan negera yang bersempadan daratan dengan Malaysia telah saya jejaki. Kalau dalam ASEAN, bermakna akan menjadi lima dari sepuluh negara yang telah saya jejaki.   

Setelah kepastian tentang tarikh cuti sekolah bagi tahun 2014 diperolehi pada awal percutian keluarga saya di Shanghai, China, pada bulan November 2014, saya mula gatal-gatal melayari laman web MAS (Malaysia Airlines) , Air Asia dan Malindo Air untuk melihat harga tiket-tiket bagi penerbangan trip kami ini. Perancangan saya adalah untuk menaiki kapal terbang ke Miri kemudian memasuki Brunei melalui Sungai Tujuh, Miri. Selepas itu, menaiki feri dari Muara, Brunei ke Labuan dan kemudian ke Kota Kinabalu (KK). Akhirnya dari KK, kami pulang ke KL menaiki kapal terbang. Mungkin ada perubahan jika berlaku beberapa perkara seperti harga tiket dan sebagainya.

Pilihan utama untuk penerbangan sudah pastinya MAS kerana kemudahan yang ada seperti pelepasan di KLIA dengan menggunakan jambatan udara, daftar masuk yang cekap, ada disediakan makanan, selimut (atas permintaan) dan jika pesawat baru, ada kemudahan hiburan berskrin individu. Paling penting, layanan kru kabin yang paling mesra penumpang serta berdasar pengalaman, pengendalian pesawat oleh juruterbang yang amat baik dan lembut berbanding pengendalian juruterbang pesawat pengendali yang lain.

Kebetulan pada 02 Disember 2014, saya melihat tambang MAS adalah yang terbaik dan termurah pada masa itu berbanding Air Asia. Dengan harga RM600.00 dengan khidmat penuh, saya tidak teragak-agak untuk menempah dan membayarnya. Kira tiada pandang belakang atau berpatah balik dengan keputusan untuk bercuti kali ini.


Esoknya, saya lihat untuk penerbangan KK ke KL pula. MAS memberikan harga termurah, Malindo Air hanya berbeza RM39.00, lagipun kami belum merasai penerbangan Malindo Air menggunakan pesawat Boeing 737-800ER. Sebelum ini saya pernah merasai khidmat Malindo Air dengan pesawat ATR72-500 ke Kuala Terengganu sahaja. Bolehlah pula merasai pesawat lain pula, boleh jadi tanda aras dalam pemilihan akan datang, kerana jika saya sudah merasai kesemua kapal terbang domestik berjadual kecuali Berjaya Air. Jadi, saya pun menempah dan membayar tempahan ini.



Sahabat saya Sopiee (id facebook: Sani Sofiee) yang saya kenali sejak bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (TIKL) berkata beliau akan menunggu di Lapangan Terbang Miri. Kami di TIKL memanggil beliau dengan Sopek. Isteri Sopek, Syida, merupakan rakan sekelas semasa di TIKL, Matrikulasi UPM dan rakan sekursus (juga beberapa kali rakan sekuliah) di UPM. Malah ambil periksa memasuki perkhdimatan PTD pun sama, huhuhu...


Oleh kerana sebelumnya saya telah berjanji dengan sahabat FB saya Nams Najihin (id Facebook Nams Najihin) untuk bersama, jadi terpaksa saya berhubung dengan beliau untuk menemani saya di Brunei. Tapi saya kata, boleh berjumpa di Bandar Seri Begawan, bawa saya jalan-jalan.

Asalnya memang Sopek hendak bawa kami tetapi selepas segala itinerary ditempah, beliau kata semasa kami ke sana, beliau mahu bercuti di Turki. Jadi saya mohon pertolongan Najihin. Alih-alih, Sopek sekeluarga awalkan percutian mereka ke Turki. Jadi perancangan kembali ke asal.

Oleh kerana saya risau tiada penginapan tiada di sana, maka saya ke AgodaBooking.com, Hotels.com dan Asiarooms untik mencari hotel. Akhirnya saya menempah di Agoda untuk menempah Palm Garden Hotel, disebabkan ia nampak baru dan kemudahan yang baik serta dekat dengan kawasan tarikan. 



Pada 22 Februari, saya menerima pula emel dari Malindo Airmengatakan penerbangan saya dari KK ke KL dijadual semua ke 11:05 pagi dari asalnya 10:15 pagi. Tidak mengapalah, hari itu pun saya bercuti. Tidak perlu tergesa-gesa.


Pada 17 Mac 2014 (Isnin), saya telah menukar Brunei Dollar atau dalam bahasa Melayu Ringgit Brunei (BND) $100.00 dengan nilai RM261.00, di pengurup wang kebiasaan saya iaitu di Akbar Money Changer Sdn Bhd (di hadapan stesen LRT (Aliran Kelana Jaya) Masjid Jamek dan Bank Muamalat). Saya lihat kadar tukarannya adalah BND $1.00 = RM2.63 (jualan) & RM2.54 (belian). Ingat jika kita nak tukar RM ke wang asing, lihat nilai jualan. Dapatlah 5 keping nota BND $1.00 versi lama, 5 keing nota BND $1.00 versi baru & 9 keping BND $10.00 versi baru. Boleh lihat gambarajah wang BND di bawah.


BND $1.00 (versi 1996) (masih guna) = +- RM 2.60

BND $1.00 (versi 2011) = +- RM 2.60

BND $10.00 (versi 2011) = +- RM 26.00


Saya google feri dari Serasa, Muara ke Labuan dan antara keputusannya saya klik laman web PKL Jaya Sdn Bhd yang mengendalikan feri RORO (Roll On Rool Off, senang cerita yang bawa kenderaan) MV Shuttle Hope. Jadi oleh kerana ini sahaja yang boleh terima tempahan, maka saya tempahlah feri ini. Tempahan melalui borang seperti di bawah dan borang ini perlu diemel atau difaks kepada pihak PKL Jaya Sdn Bhd. Kebetulan feri ini adalah feri paling lambat berlepas dari Terminal Feri Serasa iaitu pukul 09:00 pagi (sebelum tu ada feri penumpang pukul 07:00 pagi dan 08:00 pagi), kira rezekilah. Setelah hantar emel pada 18 Mac 2014, keesokannya saya terima jawapan tempahan diterima. Jadi kena asingkan B$46.00 sahaja untuk belanja feri tersebut.



Pada 18 Mac 2014 juga saya cuba menelefon beberapa syarikat feri di Labuan, untuk menempah tiket feri dari Labuan ke Kota Kinabalu, tapi saya diberitahu tiket perlu dibeli di kaunter. Saya menghantar mesej kepada Sopek melalui app WhatsApp untuk memohon bantuan. Sopek menghubungi bekas rakan sekerjanya di Labuan, iaitu Hishamuddin (id Facebook Dato Dino) untuk belikan. Saya minta juga butiran perhubungan Hishamuddin atau lebih senang  dipanggil Dino dari Sopek untuk berurusan terus dengan Dino agar tidak mengganggu kerja Sopek. Alhamdulillah, tiket-tiket berkenaan telah selamat dibeli. Terima kasih saya ucapkan kepada Sopek dan Dino.


Pagi-pagi Khamis, pada jam 08:30 pagi, saya pun segera membuat daftar masuk bagi penerbangan MAS saya di dalam web daftar masuk MAS. Perkhidmatan ini hanya boleh dibuat dalam tempoh 48 jam sehingga 4 jam sebelum masa penerbangan berlepas. Alhamdulillah, selesai dan cuma tinggal nak drop in beg sahaja di kaunter drop in di KLIA nanti. Saya pun mencetak pas pelepasan kami untuk kegunaan pelepasan nanti.


Bila saya semak, permohonan cuti saya sudah lulus. Selepas itu, kebetulan permohonan cuti tanpa rekod selama 2 hari, kerana telah bertugas pada hari Sabtu dan Ahad, pun telah diluluskan juga. Saya bertemu dengan ketua kerani bagi hal sumber manusia bahagian saya untuk menukarkan cuti biasa kepada cuti tanpa rekod. Dapat simpan cuti tahunan. Alhamdulillah.

21 Mac 2014 (Jumaat)


Perjalanan dimulakan pada jam 19:00 (7:00 malam), iaitu sebelum Maghrib. Bukan tidak mahu Maghrib dahulu, tetapi saya berniat untuk solat secara jamak qasar dengan Isyak di KL Sentral. Lagipun jika bertolak lewat, risau kita tergesa-gesa. Kami menunggu bas RapidKL laluan T320 di perhentian bas untuk ke stesen LRT Sri Rampai. Harga tambang pun cuma RM2.00 sahaja (RM1.00 seorang, kanak-kanak tidak perlu bayar). Tidak lama juga menunggu, 15 minit, dah sampai bas tersebut. Perjalanan ke stesen LRT cuma ambil masa 15 minit juga.




Seterusnya kami bertukar mod pengangkutan kepada LRT RapidKL pula. Laluan di stesen LRT Sri Rampai ini adalah Laluan Kelana Jaya, yang akan melalui stesen KL Sentral tanpa perlu bertukar laluan lain. Harga tiket pula adalah RM2.30 bagi seorang dewasa (bermakna RM4.60 semuanya). Seronok anak-anak terutama yang kecil ini, apabila menaiki bas dan LRT.


Sampai di KL Sentral, bersolat dahulu di surau KL Sentral. Semasa ini agak ramai, tapi dapat juga kami bersolat dalam masa 10 minit. KL Sentral ini memang besar, cuma saya agak ralat, walaupun empunyanya Suasana Sentral (pemegang sahamnya adalah MRCBKTMB dan AZRB yang semuanya syarikat bumiputera (kecuali KTMB yang merupakan syarikat kaitan kerajaan) perlu buat sebuah masjid di kompleks KL Sentral ini, jangan hanya melihat komersil sahaja.

Selesai solat, kami beratur untuk membeli tiket KTM Komuter untuk ke Nilai. Bila sampai giliran kami, tiba-tiba mesin buat hal pula. Nasib baik petugas KTMB yang peka dan membawa saya terus ke kaunter tiket tanpa perlu beratur. Mungkin dilihat kami ini membawa anak kecil. Sudahlah tu, anak sulung kami sepatutnya kena bayar kerana berusia lebih 4 tahun, tidak perlu dibayar. Syukur. Harga tiket dari KL Sentral ke Nilai adalah RM4.70 seorang, bermakna perjalanan ini tambangnya RM9.40.
  

Seterusnya kami terus turun ke platform untuk menunggu tren sampai. Anak sulung saya menanyakan kenapa di platform ini panas, tiada penghawa dingin ke? Saya kata, platform memang tiada penghawa dingin. Namun di hati saya yang terbuku sekian lama berkata, jika di stesen lain bolehlah tiada pendingin hawa kerana ia boleh dikira terbuka. Di KL Sentral ini sudah jadi seperti stesen bawah tanah, jadi perlulah ada pendingin hawa. Suasana sini memang panas. Jadi pihak KTMB (selaku penyedia pengangkutan dan pemilik aset) atau Suasana Sentral (selaku pihak pengurusan hartanah KL Sentral) perlu prihatin dalam hal ini. Lagipun stesen ini sudah berusia lebih 10 tahun, sewajarnya ia perlu diadakan, selaras imej KL Sentral yang gak itu.


Apabila tren sampai, alahai, yang datang tren adalah tren 3 koc versi tahun 2003 buatan Korea tu, bukan tren baru 1Komuter 6 koc buatan China tu. Maka makin sesak lah dalam koc. Kami semua tidak dapat tempat duduk. Penumpang yang duduk seolah-olah tidak perihati dengan isteri dan anak-anak saya dengan tidak mahu memberikan tempat duduk. Maka berdirilah kami sehingga stesen Kajang (kira-kira 45 minit jugalah). Sampai duduk di atas lantai terus tertidur anak sulung saya. Anak kecil kami pula tertidur di atas dokongan ibunya (apabila saya mahu dokong dia, dia menangis mahukan ibunya mendokongnya). Selepas stesen Kajang, barulah kami semua dapat duduk. Di dalam tren, dapat diperhatikan, keadaan kawasan Kajang yang agak meriah, kerana di dalam tempoh berkempen Pilihanraya Kecil N25 Kajang yang akan berlangsung lagi 2 hari lagi.



Akhirnya pada jam 21:30 (9:30 malam), kami semua sampai di stesen KTM Komuter Nilai setelah perjalanan mengambil masa sejam sepuluh minit. Di situ kami menunggu Kak Ija, kakak kepada isteri saya yang duduk di Bandar Baru Salak Tinggi. Kami menunggu di stesen bas pekan Nilai lama, di mana di situ terdapat sebuah pasaraya Mydin. Sempat juga saya beli beberapa barang yang perlu untuk perjalanan kali ini.


Selepas 25 minit, maka sampailah Kak Ija dengan Abang Azhar (suaminya) bersama-sama anak-anak mereka dengan kereta mereka. Kami membawa mereka ke kedai makanan Thailand di pekan Salak, di mana saya sekeluarga selalu makan jika berada di kawasan itu. Kali terakhir ke sini, ketika saya dan isteri pulang dari mengerjakan haji (seperti dinyatakan juga di dalam kisah saya sekeluarga ke Betong). Kedai ini terletak di simpang lampu isyarat ke Kampung Jijan, betul-betul di hujung pekan Jijan jika dari Nilai. Jika dari Sepang atau Litar F1 Sepang, ia adalah sebelum masuk pekan Salak. Memang sedap. Cuba Tomyam Pok Tek (seafood, siap ada ikan, udang galah & ketam) dan Tauhu Ladna. Harga pun tiada mahal sangat.

Selepas kenyang, kami pun ke rumah Kak Ija untuk beradu. Esok nak berjalan jauh, lagipun kena datang ke KLIA awal pagi kerana penerbangan pada jam 08:30 pagi. Selewat-lewatnya pukul 07:00 dah kena ada.

Akan bersambung ke Hari 2.


Atau ingin melihat:


If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.

Tiada ulasan: