Sambungan dari Hari 1.
Jika mahu lihat:
If want to read in English:
22 Mac 2014 (Sabtu)
... Akan bersambung ke Hari 3.
Jika mahu lihat:
If want to read in English:
- Day 1 (this part),
- Day 2,
- Day 3,
- Day 4,
- Day 5 or
- itinerary.
22 Mac 2014 (Sabtu)
Pagi-pagi sebelum subuh saya dan isteri sudah bangun. Kami kejutkan anak-anak terutama anak lelaki kami, yang agak liat nak bangun. Kak Ija dan Abang Azhar pun sudah bangun dan siapkan sarapan. Mmebersihkan diri. Anak sulung saya yang mula-mula merengek, kini tidak sabar pula. "Bila nak naik kapal terbang ni" tanya dia berulang kali. Setelah azan berkumandang, maka bersolatlah kami.
Selepas itu, bersiap-siap buat kali terakhir. Biasalah, kalau bawa anak kecil ni ada sahaja kerenahnya. Tambahan pula kena buat persiapan pada beg tarik kami. Salah satu roda dia pula tercabut. Maklumlah beg dari China. Memang lawan, bercorak harimau bintang, namun kerana beli di China, mutunya agak kurang baiklah. Nasib baik ada Abang Azhar. Dia tolong begakan beg ini. Setelah selesai, urusan nak bungkuskan beg ini dengan pakailan "baju", dan tali, agar tidak terbuka semasa di dalam perjalanan. Risau menjadi bagasi-bagai rakan jemaah sekapal terbang, yang beg mereka terbuka semasa pulang dari haji tempohari. Risau juga saya, jam 06:30 pagi baru keluar rumah menuju ke KLIA.
Sebenarnya semasa ini, genap 14 hari kehilangan pesawat MH370. Saya buat-buat tenang, tatkala isteri saya bertanyakan bahawa yakin ke kami nak naik kapal terbang ni. Naik MAS pula tu. Hati saya pun risau dan seriau juga. Tapi saya membalasnya, kita berserah kepada Allah. Jika nasib kita seperti penumpang MH370, kita perlu redha, kerana mungkin itu yang terbaik. Lagipun ia kes terpencil, satu dalam berpuluh ribu. Namun kita perlu berdoa kepadaNya agar dijauhkan dari sebarang perkara yang tidak diingini.
Sampai ke KLIA pada jam 07:10 pagi. Alamak, saya rasa macam dah lewat. Walaupun kami sudah daftar masuk, tetapi kami perlu drop in beg tarik kami di barisan kaunter B. Alamak, nak drop inkan beg pun beratur panjang. Alhamdulillah, seorang petugas MAS amat prihatin, menanyakan kami jadual penerbangan kami. Mungkin kerana kami membawa anak kecil dan riaksi muka saya yang tidak begitu selesa dengan keadaan itu. Menyedari masa penerbangan saya tidak lama lagi, terus dia mencadangkan kami ke kaunter D16 untuk lebih drop in beg kami dengan lebih cepat. Ini saya katakan perkhidmatan MAS memang cekap. Alhamdulillah, sempat juga kami drop in beg kami sebelum masanya. Kami memang bawa beg galas (ada 4 lagi) cuma biasalah keperluan anak kecil ni menyebabkan kami terpaksa membawa beg tarik.
Si manja, siap bergaya menelefon pula. Seronok betul dia nak naik kapal terbang.
Selepas itu terus kami menuju ke pintu pelepasan A7. Lebih baik tunggu di situ. Di sana, banyak gambar di ambil. Oleh kerana pintu A7 agak hampir dengan hujung bangunan contact pier, maka sempat juga saya ambil gambar dari jauh KLIA2 yang sudah siap serta di hadapannya Kompleks Bunga Raya. Insya Allah, saya akan mencuba KLIA2 pula selepas dibuka, insya Allah pada bulan Mei 2014 nanti.
Isteri dan anak-anak bergambar berlatar belakangkan pesawat Boeing 737-800ER milik MAS yang kami naiki.
Jam 08:10 pagi, staf pelepasan memanggil untuk semua penumpang naik ke dalam pesawat. Kami dapat naik dahulu kerana penumpang berkeluarga yang mempunyai anak kecil selain penumpang kelas perniagaan dapat menaiki pesawat terlebih dahulu. Inilah kali pertama isteri dan anak-anak kami menaiki MAS. Sebelum ni naik pesawat lain. Anak-anak pula kali kedua selepas pertama kali naik Air Asia X ke Shanghai, baru-baru ini. Akhirnya, 08:25 pagi, pesawat pun bergerak dari parkir A7 dan tepat jam 08:30 pagi, ia berlepas dengan selamatnya menuju ke Miri.
Baru betul naik kapal terbang. Selain ada makan nasi lemak lauk sotong (bukan nasi lemak telanjang tau), ada skrin hiburan peribadi lagi setiap tempat duduk. Earphone diberikan dan apa lagi saya layan lagulah, nak tengok cerita takut tak sempat habis. Anak lelaki saya lagilah seronok. Tengok kartun lagi.
Setelah lebih sedikit dari dua jam, maka pesawat kami hampir sampai ke Lapangan Terbang Miri. Kawalan yang baik, cuma pendaratan agak keras, mungkin kerana landasan di Miri ini kasar (sebagimana di maklumkan oleh Sopek). Apa-apapun kami selamat tiba di Lapangan Terbang ini. Ini bermakna, kali pertama isteri dan anak-anak saya menjejakkan kaki ke negeri Sarawak Bumi Kenyalang dan juga pulau Borneo.
Menuju keluar dari pesawat, saya sudah bersiap sedia dengan pasport kami sekeluarga. Apa, pasport? Bukan dalam Malaysia ke? Sebenarnya boleh menggunakan MyKad, cuma lecehnya, kena simpan borang imigresen itu sahaja. Kalau pasport, ia akan dicop dan tiada sebarang kertas perlu disimpan. Lagipun kami akan ke Brunei. Untuk pengetahuan, Sarawak mahupun Sabah mempunyai kuasa autonomi dalam imigresen, sebagaimana perjanjian mereka semasa mahu masuk ke dalam Persekutuan Malaysia dahulu. Kuasa autonomi ini tertakluk di bawah Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan. Lagipun sebelum bergabung di dalam Malaysia, Sarawak dan Sabah adalah sebuah negara ya. Rakyat Malaysia dari Semenanjung hanya boleh diberikan visa 90 hari untuk duduk di Sarawak ini. Kalau nak duduk lama, sila buat permohonan Dokumen Perjalanan Terhad di Jabatan Imigresen Malaysia. La, macam cikgu sejarah atau pengajian am pula, hehehe.
Kami melalui kaunter imigresen di lapangan terbang ini. Alhamdulillah, giliran kami tidak berapa lama, kerana kaunter dibuka 6 kaunter dari 8 yang ada. Saya menyerahkan empat buah pasport kami. Dup dup dup, bunyi pasport dicop, dan diserahkan kembali. Ambil kau, walaupun rakyat Malaysia, dapat juga visa untuk memasuki Malaysia, huhuhu... Itu yang saya suka. Kumpul cop pasport.
Seterusnya kami ke bawah untuk mengambil beg. Semasa menunggu mengambil beg, Sopek menelefon, menyatakan mereka sampai lambat sikit, kerana mereka masih di Kompleks Imigresen Sungai Tujoh, Brunei, kerana kesesakan. "Ramai orang Brunei mahu ke aMIRIka ke?" tanyaku. Tergelak Sopek. Tidak mengapalah, boleh jalan-jalan sekeliling lapangan terbang.
Setelah beg kami sampai dan diambil, kami melalui lorong kastam, saya sempat semasa menunggu beg tadi memakai sport jacket yang ada logo jata negara. Alhamdulillah, disuruh jalan terus sahaja oleh pegawai kastam berkenaan.
Ok juga Lapangan Terbang Miri ini. Ramai pun ramai, penerbangan pun banyak. Rupa-rupangan lapangan terbang ini merupakan antara hub MASWings iaitu syarikat penerbangan serantau di pulau Borneo ini, juga merupakan anak syarikat MAS. Kemudahan pun banyak dan kedai-kedai seperti kedai telefon, kedai syarikat komunikasi, kedai barangan am, kedai kek lapis Sarawak dan macam-macam lagi. Restoran makanan segera Marry Brown dan kedai makan pun ada di atas iaitu balai berlepas.
Sopek, Syida dan anak-anak tiba kira-kira setengah jam kemudian. Kali terakhir berjumpa adalah semasa kami mengerjakan umrah pada Februari 2013 yang lepas. Masa itu kami berdua, kali ini kami berempat pula. Sekejap je anak-anak kami berkawan.
Sopek membawa kami melalui bandar Miri. Agak besar, dan agak bernyawa. Mungkin kerana warga Brunei datang berbelanja dan Miri ini juga adalah bandar utama industri minyak di Sarawak. Ada juga bekas telaga minyak dijadikan tugu sepanjang perjalanan. Cuma kami tidak melalui Grand Old Lady, iaitu telaga minyak pertama di Malaysia.
Saya meminta untuk menukar wang dari Ringgit Malaysia ke Dollar (atau Ringgit) Brunei. Sopek membawa ke tempat selalu beliau tukar semasa di Miri. Nilai pertukaran yang terbaik pernah saya dapat. Lain kali, kalau hendak ke Brunei melalui Miri, tidak perlu tukar tempat lain, tukar sahaja di Miri. Boleh rujuk resit di bawah sebagai rujukan. Sambil itu, pertama kali saya memperolehi nota BN$ 50.00 selain mendapat juga BN$ 10 sebanyak 5 keping.
Selepas itu, kami singgah ke Masjid an Naim di pekan Lutong, untuk bersolat. Saya dan isteri bersolat jamak Zohor & Asar, manakala Sopek & Syida bersolat Zohor.
Setelah usai bersolat, kami meneruskan perjalanan menuju ke pintu sempadan di Sungai Tujuh. Sebelum tiba di Sungai Tujuh, kami perlu menyeberangi Sungai Baram dengan menggunakan jambatan sejauh kira-kira tidak sampai 1 km. Namun selepas sampai di seberang, ada sebuah plaza tol menunggu dan kami dikenakan tol sebanyak RM10.00. Ya, SEPULUH RINGGIT!!! Inilah tol termahal dengan jambatan yang tidak berapa jauh. Lagi mahal dari Jambatan Pulau Pinang sama ada pertama atau kedua. Itu pun perlu dibayar di kedua-dua hala, tidak seperti Jambatan Pulau Pinang yang dibayar ketika hendak masuk ke pulau sahaja, keluar dari pulau tidak perlu bayar. Paling kasihan, terdapat kampung di seberang sungai ini. Macam manalah penduduk kampung hendak ke Miri ya, kerana setiap kali pergi, perlu bayar RM20.00.
Oh terlupa pula saya, kereta Sarawak di sini kebanyakan bernombor plat QMx yyyy (x adalah abjad dan y adalah nombor) menunjukan kereta dari Miri jika baru dan Mx yyyy Q jika lebih lama. Jika bernombor Q tetapi huruf lain pula, maka ia datang dari bahagian lain di Sarawak. Cuma saya keliru ketika awal-awal Sopek membawa kami ke keretanya. Saya tanya pada Sopek, yang dia bawa kereta dari Selangor ke, kerana plat keretanya bermula dengan B. Dia menjawab, tidak, ini kereta Brunei, di Brunei kalau kereta itu didaftarkan di Bandar Seri Begawan, maka akan bermula dengan B dengan format Bx atau Bxx yyyy, manakala jika didaftarkan di Kuala Belait (bandar terdekat selepas pintu sempadan Sungai Tujoh), maka ia bermula dengan K (dengan format Kx yyyy). Ooo, baru saya faham. Sebagi contoh seperti gambar di bawah.
Menghampiri Kompleks ICQS (Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Sungai Tujuh, Miri, Sarawak, di mana ia terletak tidak berapa jauh dari tol tadi, kira-kira 500 meter. Kompleks ini terletak pada pukul 1 (terus tetapi ke kanan sedikit) daripada bulatan selepas tol Sungai Baram. Jika ke pukul 9 (ke kiri) bulatan, menuju ke Kampung Kuala Baram. Ketika kami sampai di kompleks ini, kenderaan mula beratur 150 meter dari kaunter imigresen iaitu dari gambar di atas diambil. Alhamdulillah, belum banyak lagi kenderaan..
Kaunter imigresen di sini sama seperti kaunter imigresen lain di pintu-pintu masuk darat di Malaysia, kaunter pandu lalu. Lapan buah pasport diserahkan kepada pegawai imigresen itu, hehehe. Tidak lama pun, dalam dua setengah minit, selesai semua lapan-lapan pasport diimbas dan dicop. Dapatlah kenangan dapat cop seperti di bawah. Sekarang, debaran memasuki negara yang belum pernah masuk seumur hidup ini. Sebelum itu, satu lagi sekatan, kastam. Nampak lambaian ke belakang, bermakna teruskan perjalanan. Huh, lega... Alah, apa nak takut, bukan ada nak seludup apa pun.
Selepas Kompleks ICQS, terdapat deretan rumah kedai. Sopek kata ini adalah kompleks bebas cukai, di sini banyak menjual arak dan ada rumah urut!!! Dulu ia terletak di luar kawasan bebas cukai, iaitu sebelum kompleks imigresen yang lama. Kini setelah kompleks yang baru siap, ia terletak selepas kompleks, jadi di dalam kawasan bebas cukai. Kemudian, kami melalui kompleks imigresen yang lama, yang betul-betul sebelum sempadan Malaysia-Brunei. Nampak buruk tinggalan bangunan lama ini, bilalah nak dirobohkan. Buat menyemak mata memandang sahaja. Akhirnya selepas tanda selamat jalan, berjata negeri Sarawak ini, maka secara tidak rasmi, kami sudah berada di kawasan Brunei. Tidak rasmi kerana belum menjalani prosedur imigresen lagi.
Seterusnya, setelah seolah-olah bermain zigzag, jalannya sebenarnya lurus, tetapi kena ke kiri dan ke kanan mengikut arahan papan tanda, sampailah kami ke kompleks imigresen Brunei pula. Bangunannya warna putih kekuningan, berbumbung merah (semasa di sini, perasaan penuh teruja, sampai lupa nak tangkap gambar, huhuhu). Kaunter pandu lalu juga, mudah, yang penting, tiada perlu untuk menulis borang imigresen bagai. Sekali lagi lapan buah pasport diserahkan dan kali ini agak lama sedikit, dalam lima ke enam minit, baru selesai. Padanlah sesak je pintu sebelah Brunei ini, huhuhu.
Seterusnya kami terus ke laluan kastam, hanya lambai sahaja, kerana menggunakan kereta Brunei. Kata Sopek, kalau kereta Malaysia, kalau pertama kali atau permit masuk tamat, perlu berhenti untuk memohon permit masuk di kaunter kastam ini. Permit masuk boleh laku selama tiga bulan, di mana ia boleh digunakan berulang kali. Apabila melepasi kompleks imigresen Sungai Tujoh, Brunei, nah ambil, penuh kereta ingin keluar dari Brunei. Sejauh 1.5 km pula tu (jalan selepas imigresen Brunei ini dari Malaysia hanya selorong sehala, sebab tu nampak macam jauh). Tapi memang banyak lah yang hendak ke Miri atau orang Brunei kata aMIRIka.
Papan tanda pertama yang dijumpai selepas pintu sempadan adalah seperti gambar di atas, "BERBANGGALAH MENGGUNAKAN BAHASA MELAYU", di dalam tulisan jawi dan rumi. Amat bangga dengan papan tanda ini.
Selepas itu kami meneruskan perjalanan sehingga kira-kira tujuh kilometer dari kompleks imigresen, terdapat satu tol yang agak ringkas binaannya. Inilah Plaza Tol Sungai Rasau. Ingat pula dengan Lebuhraya Senai Desaru (SDE) di Johor. Dengan jalan selorong, pun dikenakan tol. Sudahlah jambatan lebih pendek dan ringkas dari Jambatan Sungai Baram tadi, tol pula hampir sama, cuma murah sedkit, iaitu BN$ 3.00 (+-RM7.80). Kena juga bayar.
Sopek tidak membawa kami terus ke Bandar Seri Begawan yang lagi 130 km, sebaliknya membawa kami berjalan ke Seria, bandar industri petroleum Brunei. Agak besar juga kawasan ini. Bila tengok kuarters kakitangan Shell di sini seperti kuarters JKR atau tentera pada zaman dahulu. Kemudahan agak lengkap, seperti kemudahan sukan dan rekreasi, malah ada kelab khas untuk pegawai-pegawai, macam pentadbiran British pada zaman penjajahan dulu pula. Tidak hairanlah kerana Shell merupakan syarikat Inggeris dan Belanda. Cuma saya agak ralat, gambar Tugu Pengeluaran Ke Sebillion Tong, gambarnya tidak menjadi.
Hadapan ibu pejabat Shell Brunei.
Di tengah-tengah tanah lapang, ada telaga, ada pengepam, memang banyak sekali.
Di Brunei, stesen minyak yang memonopoli pasaran adalah Shell.
Setelah membawa kami berjalan-jalan, Sopek kemudian membawa kami ke rumahnya di Lumut, Sungai Liang, Seria. Mereka menyewa di sebuah rumah rakyat, yang dibina oleh kerajaan Brunei untuk rakyatnya. Rumahnya agak besar, dua tingkat. Lebih menarik, ruang belakangnya agak luas, saya agak boleh menempatkan sebuah gelanggang badminton. Sempat saya bergurau, kalau kongsi empat buah rumah, boleh buat gelanggang tenis, kalau kongsi lapan, boleh buat gelanggang futsal.
Di rumah mereka tidak berapa lama, sejam kemudian, kami keluar semula. Kami singgah dahulu di Masjid Kampung Lumut, kerana Sopek dan Syida perlu menunaikan Asar. Saya dan isteri tidak perlu kerana sudah jamak di Lutong, Miri tadi.
Selepas selesai bersolat, Sopek membawa kami berjalan-jalan. Sempatlah dia menunjukan tempat beliau bertugas. Seterusnya, kami terus dibawa ke Jerudong. Rupa-rupanya kami dibawa untuk makan di Restoran Aminah Arief di Sengkurong. Isteri saya membuka menu dan terus memesan ambuyat dan disokong oleh Sopek dan Syida. Cheh, reti ke dia makan? Saya pun tak pernah makan ambuyat ni. Selain tu pesan makanan lain juga. Rupa-rupanya Sopek dan Syida ni tak makan ambuyat, tapi kenapa menyuruh kami. Apa punya tuan rumah la... Rugi woo tak cuba...
Ambuyat ini merupakan tepung sagu yang dilikatkan. Cuma saya tiada idea nak makan macam mana. Cuma pernah lihat di televisyen, kalai nak makan, kena pusing-pusing ambuyat ini dengan sebatang kayu seperti kayu sepit cuma tidak berpisah (seperti kayu ayam percik). Rupa-rupanya makan ambuyat ini macam makan nasi. Risau juga takut tak habis ambuyat yang dihidangkan. Paling sedap, ambuyat ini dimakan bersama sambal seperti sambal belacan tetapi agak cair yang dicampurkan binjai dan tempoyak. Huh, orang Brunei makan tempoyak juga ya. Perkhhh, memang sedap. Saya makan macam orang Malaysia makan nasi, ambuyat yang telah digulungkan di kayu, dan cecahkan pada kuah, atau tuangkan kuah pada ambuyat itu. Sambil tu saya, saya lihat di meja sebelah, orang Brunei makan ambuyat. Huh, memang hebat, mereka pusingkan kayu tu tanpa pusingkan tangan, cukup guna jari je, ambuyatnya pula melekat cantik, tak macam kami punya. Mereka makan macam orang cina makan (bukan Malaysia) makan nasi, iaitu makan ambuyat asing dan lauk asing. Ooo, macam tu.
Selepas selesai, masa pun menunjukan pukul 18:00 (6:00 petang), nampak seperti sudah pukul 19:00 (7:00 malam). Kami terus ke Kiulap, untuk ke hotel kami. Sopek sekeluarga juga menempah hotel, semata-mata hendak menemani kami, huhuhu, rasa terharu kami. Jam 18:45 (6:45 petang), kami pun sampai ke hotel kami, Palm Garden Hotel, di kawasan Kiulap, tidak berapa jauh dari Q-Lap Mall dan Masjid Jame 'Asr Hasanil Bolkiah.
Prosedur daftar masuk amat mudah, saya cuma berikan voucer Agoda, dan itu sahaja, kunci diberikan. Bilik kami dan keluarga Sopek sebelah menyebelah sahaja. Namun, lif pula rosak. Nasib baik bilik kami di tingkat 1. Satu lagi baru perasan, hotel ini hanya ada WiFi di lobi sahaja. Di bilik hanya ada LAN sahaja (bermakna perlu ada kabel Ethernet). Saya memang bawa netbook dan kabel, cuma kalau nak layari internet menggunakan telefon pintar bagaimana pula? Sudahlah saya tidak membeli kad SIM Brunei. Dengan murah hati, Sopek membuka tethering telefonnya dan dapatlah kami melayari internet, Facebook dan WhatsApp, walaupun asalnya saya ingin membuka perayauan data yang hanya RM36.00 sehari jika menggunakan isyarat DST.
Di Brunei ini terdapat dua penyedia perkhidmatan komunikasi iaitu b-mobile dan DST. Disebabkan pek permulaan prabayar Yes (b-mobile) dan Easi (DST) berharga BN$30.00 (+- RM78.00) setiap satu, saya rasa tidak berbaloi untuk mendapatkan pek ini dan rela menggunakan perayauan antarabangsa.
Hotel kami agak selesa, walau hanya bertaraf 3 bintang atau hotel kelas perniagaan sahaja. Tapi kalau dikira dengan harga di Malaysia, agak mahal. Hotel ini saya dapatkan di Agoda, pada harga BN$70.00 (+-RM 182.00) (dan selepas cukai 7% + 10% perkhidmatan, BN$ 83.00 (+- RM 216.32)). Namun ia gak murah di Brunei, dan kira dekat juga dengan pusat bandar (perlu menaiki kenderaan). Bilik saya ini asalnya berkunci elektronik meggunakan kad. Tetapi alatnya pula rosak dan terpaksa memakai secara kunci manual.
Tidak lama kemudian, rakan saya, Nams Najihin, menefon saya bertanyakan saya sudah sampai, dan memberitahu bahawa dia akan mengambil saya untuk berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Begawan (BSB) pada jam 20:30 (8:30 malam). Saya pun bersiap , tetapi saya hanya seorang, kerana Sopek dan Syida ingin membawa isteri dan anak saya berjalan-jalan juga. Saya tidak mahu menghampakan Nams Najihin sebenarnya, maklumlah kami ni masuk ke kawasannya.
Nams Najihin pun sampai dan membawa saya melawat Masjid Jame 'Asr Hasanil Bolkiah. Masjid ini mempunyai kubah emas, berjumlah 23 buah kubah semuanya. Masjid ini dibina sempena pemerintahan 30 tahun Sultan Hasanal Bolkiah, iaitu pemerintah sekarang. Ruangnya agak besar, dan sempat juga saya ke ruang solat di sebelah dalam. Sejuk kerana pendingin hawa sedang dipasang. Memang cantik permandangan ruang solat dan juga keseluruhan masjid ini.
Gambar saya dengan Nams Najihin.
Seterusnya, saya dibawa ke pusat bandar BSB pula. Sambil saya bertanyakan latar belakang Nams Najihin, rupanya beliau ini seorang dari suku kaum Dusun yang dulunya bukan Islam dan semasa kecil, beliau masuk Islam bersama-sama semua keluarganya. Beliau telah menunaikan haji pada tahun 2011 tidak silap saya. Banyak juga latar belakang Nams yang saya dapat tahu.
Kami sampai di pusat bandar dan berhenti di hadapan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien (ayahanda Sultan Hasanal Bolkiah), iaitu masjid lama BSB dan marcu tanda utama BSB. Di sekitar masjid ini juga terdapat padang Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien yang menjadi tempat utama majlis rasmi kerajaan, bangunan kerajaan dan juga Bangunan Alat-lat Kebesaran Diraja (Royal Regalia) (sayangnya saya sampai waktu malam, kebanyakan tempat ini sudah ditutup).
Sempatlah saya menangkap gambar sekitar masjid ini. Kami berkesempatan masuk ke dalam Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien, cuma kami tidak dibenarkan mengambil gambar.
Seterusnya kami ke Tebingan (Waterfront) dan melihat dari sini, Kampung Air di seberang sungai. pusat bandar BSB ini agak lengang. Banyak juga promosi pihak kerajaan agar dapat menghidupkan pusat bandar BSB ini, namun kata Nams Najihin, kebanyakan orang lebih suka pergi ke Gadong.
Kami sempat juga ke Gadong. Di sini merupakan pusat komersil utama, di mana, penduduk Brunei membeli barang keperluan di sini, dari alat elektrik, barang runcit, barang keperluan harian dan sebagainya. Pada waktu malam, ada pula pasar malam. Memang meriah di sini. Memang pusat tumpuan utama, malah satu-satunya restoran McDonald's di Brunei dibuka di sini. Siap dengan tulisan jawi lagi. Ingat nak berhenti di sini, tapi cari punya cari, tidak jumpa tempat parkir di kawasan pusat membeli belah Gadong. Kereta di sini boleh dijumpai jenama yang tiada di Malaysia. Kereta mewah jangan katalah, Ferarri, Lamborghini, Maseratti adalah antaranya. Tapi paling bangga, banyak juga kereta Proton di sini. Jadi jangan kata orang Brunei tidak pandang kereta buatan Malaysia, malah mereka penyokong kuat, walaupun mereka mampu membeli kereta mewah.
Nams kemudian membawa saya melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang baru siap pengubahsuaian naik tarafnya. Dulu katanya, lapangan terbang ni hanya setingkat, macam LCCT, katanya (dululah, sekarang LCCT pun dua tingkat kalau dikira di sebelah antarabangsa). Sekarang dah besar, semegah nama Brunei. Paling saya suka, tulisan jawi. Ingat saya semasa kecil, semasa Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dahulu, terutama di Terminal 1 Antarabangsa (sudah tiada sekarang ini, telah dirobohkan), terdapat tulisan jawi seperti ini. Sewajarnya KLIA, KLIA2 dan lain-lain lapangan terbang perlu mendaulatkan tulisan jawi terutama Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bahru, Kelantan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, Johor Bahru, Johor.
Selepas itu, kami ke Pusat Komesil Jaya Setia di Berakas untuk ke Megamall. Tujuannya hendak makan, tetapi tiada macam tiada tempat sesuai. Namun saya sempat tangkap gambar kedai The Coffee Beans & Tea Leaf di sini. Namanya di dalam jawi tertulis "Biji kopi dan Daun Teh", bahasa Melayu tu. Bangga-bangga...
Nams mmebawa saya ke restoran yang tidak jauh di situ, untuk makan nasi katok dan milo ais gergasi. Nasi ini ringkas sahaja, nasi, ayam goreng dan sedikit sambal. Nasi ini biasa dijual waktu malam, namun waktu siang pun ada. Biasa dijual pada harga BN$1.00 (+- RM2.60) sahaja. Kira murah taraf Brunei la. Nasi katok ni cerita asalnya dijual dari pintu ke pintu pada waktu malam, maklumlah pada waktu itu, malamnya lebih awal kerana Brunei ini tiada orang sunyi, maka tiada kehidupan malam, tidak seperti sekarang. Penjual mengetuk pintu, dan sebab itu dipanggil nasi katok. Katok dalam loghat Brunei bermasuk ketuk. Kira di Malaysia setaraf burger la.
Kemudian kami setelah selesai makan, saya dibawa pusing-pusing di beberapa tempat seperti Stadium Negara Hasanal Bolkiah dan Jabatan Perdana Menteri. Di tepi-tepi jalan, banyak papan tanda zikir, mengingatkan pengguna jalan raya untuk berzikir.
Destinasi terakhir adalah ke Istana Nurul Iman. Cuma nasib tidak menyebelahi saya, ketika sampai di sana, hujan pula turun amat lebat. Istana ini merupakan rumah terbesar di dunia, dengan 1788 buah bilik yang bukan kecil di dalamnya. Istana ini adalah kediaman bersemayamnya Sultan Hasanal Bokiah dan kerabat diraja Brunei (di Brunei dipanggil orang bukit). Tidak mengapalah, ini menyebabkan saya mahu ke Brunei lagi selepas ini, insya Allah.
Akhirnya pada jam 22:45 (10:45 malam) Nams menghantar saya pulang. Terima kasih Nams kerana sudi jadi pemandu pelancong saya pada malam itu. Kalau datang ke KL, bagitahulah awal-awal, saya bawa jalan-jalan pula.
Saya pulang ke bilik, namun bilik berkunci. Saya memang tidak membawa kunci kerana saya keluar dahulu. Kunci pun satu sahaja. Lalu saya mengetuk pintu. Lama juga saya mengetuk pintu, dekat sepuluh minit. Asalnya saya ingatkan belum balik lagi. Bila saya lihat ke bawah, kereta Sopek ada. Jadi saya ketuk pintu Sopek, ada orangnya. Saya minta Opek call bilik, namun tiada jawapan. Lalu saya ke bawah minta bantuan staf hotel. Namun kunci tidak boleh buka. Saya ketuk lagi, dan baru isteri saya buka. Huh, bikin risau sahaja. Ingat apa-apa terjadi, rupanya tidur mati. Penat sangat sampai tak sedar dunia.
Setelah semua selesai, kami pun tidur. Esok ada perjalanan jauh lagi.
... Akan bersambung ke Hari 3.
Atau ingin melihat:
If want to read in English:
- Day 1 (this part),
- Day 2,
- Day 3,
- Day 4,
- Day 5 or
- itinerary.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan