If want to read in English:
- PreJourney (this part);
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4; or
- Day 5 & 6.
Pengenalan.
Antara impian saya adalah untuk melawat kesemua tujuh keajaiban dunia yang baru. Saya telah melawat Tembok Besar China pada tahun 2003. Saya juga sudah ke Piramid Giza yang merupakan salah satu tujuh keajaiban dunia lama dan dikira hali kehormat tujuh keajaiban dunia baru pada tahun 2013. Taj Mahal merupakan salah satu keajaiban dunia yang baru tersebut dan ia antara paling dekat yang belum saya ziarahi lagi.
Kebetulan, di televisyen ada memaparkan kembali siri lama yang popular di TV3 pada awal 2000an, "Salam Taj Mahal", lakonan Umie Aida dan M. Nasir. Jadi meluap-luap hendak pergi melawat istana cinta Maharaja Kerajaan Mughal India iaitu Shah Jehan terhadap isterinya yang digelar Mumtaz Mahal (bermaksud permata istana dalam bahasa Hindi/Urdu).
Kebetulan ketika ini, Malindo Air mempunyai perkhidmatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi, New Delhi, India. Taj Mahal terletak di Agra iaitu 210 kilometer dari Delhi. Kebetulan pada awal November 2014, Malindo Air mengadakan promosi tiket murah ke Delhi dengan semurah RM521 seorang untuk pergi balik. Setelah berbincang dengan isteri yang juga ingin ke sana, kami menempah tiket berdua ke sana pada 05 November 2014. Kiranya ini berbulan madulah kami di sana tanpa anak-anak bersama. Harga yang kami dapat untuk tiket berdua pergi balik adalah RM1042 sahaja.
Pada 29 November 2014 pula, saya mendapat emel daripada pihak Malindo Air, mengatakan penerbangan kami balik ke Malaysia iaitu OD206 pada 04 Mei 2015 (di Malaysia sudah 05 Mei 2015) di awalkan dari pukul 22:40 (10:40 malam) waktu India (UTC +5:30) kepada pukul 22:05 (10:05 malam). Kira diawalkan 35 minit.
Saya menempah Hotel Raj Bed & Breakfast di Agra terlebih dahulu pada 25 Januari 2015 di Hotels.com selama semalam (02 hingga 03 Mei 2015) pada harga RM63.91, namun saya hanya membayar RM49.79 sahaja kerana saya menuntut RM14.13 yang saya kumpul melalui program Welcome RewardsTM oleh Hotels.com.
Pada 12 Februari 2015, saya telah menempah Hotel Sita International, New Delhi, India melalui Hotels.com bagi semalam (03 hingga 04 Mei 2015) yang berharga RM82.76 (termasuk cukai). Saya menggunakan Welcome RewardsTM saya di mana saya mempunyai satu malam percuma sehingga RM77 (tidak termasuk cukai). Jadi saya hanya perlu membayar cukai sahaja iaitu RM12.27 sahaja.
Pagi 14 Februari 2015, saya menempah kembali Hotel Sita International, New Delhi, India melalui Hotels.com, tetapi untuk 2 malam (30 April hingga 02 Mei 2015) pula. Ia berharga RM154.00 (termasuk cukai), bermakna setiap malam berharga RM77.00 sahaja. Maka selesai tempahan penginapan bagi kembara ini.
Kenapa saya pilih hotel ini, adalah kerana ia berada di kawasan Pahar Ganj, maka ia dekat dengan stesen keretapi New Delhi, bermakna berdekatan dengan beberapa tempat tumpuan utama seperti Masjid Jame, Old Delhi, Connaught Place dan banyak lagi. Kemudahan pengangkutan pun mudah seperti Metro Delhi dan keretapi, maka mudahlah untuk ke dan dari Agra. Lagipun, hotel ini paling murah menyediakan sekali WiFi percuma dan sarapan yang mana tidak disediakan oleh hotel lebih murah lain. Paling penting, ia berada di jalan besar iaitu Jalan DB Gupta, dan bukan di jalan-jalan kecil atau celah-celah bangunan, keselamatan perlu diutamakan.
Sebagaimana yang diketahui, keretapi merupakan mod pengangkutan utama di India, di mana, jaringan landasan keretapi di India merupakan ketiga terpanjang di dunia yang berselerak di serata India. Boleh dikatakan hampir segenap tempat di India dihubungkan dengan jaringan keretapi. Jadi pengurusannya pun agak serabut juga kita melihatnya.
Masalah untuk menempah tiket keretapi India juga menjadi satu masalah bagi kita yang tidak biasa dengan sistem penempahannya, terutama secara online. Jadi saya berkongsi cara-cara penempahannya melalui artikel Petua - Penempahan Tiket Keretapi India Secara Dalam Talian. Boleh rujuknya untuk maklumat lanjut.
Oleh kerana pada tahun 2015, penempahan tiket keretapi India hanya boleh buat 60 hari sebelum hari perjalanan, maka pada 04 Mac 2015, saya mencuba untuk membeli tiket di laman web ClearTrip, dan alhamdulillah ia boleh dilakukan. Untuk perjalanan pergi, saya mengambil perkhidmatan tren Jhelum Express dengan kelas Sleeper (antara kelas termurah) untuk merasai nadi denyut warga India. Harga untuk 2 orang untuk perjalanan 02 Mei 2015 (Sabtu) dari stesen keretapi New Delhi (NDLS) ke Agra Canttoment (AGC) hanya INR (₹) 304.15 (+- RM19.80 mengikut nilai dicaj di dalam penyata akaun bank) sahaja bagi 2 orang (harga seorang sila bahagi dua).
Perlu diingat, di bandaraya Delhi dan Agra, terdapat banyak stesen keretapi. Jadi jangan terkeliru, dan perlu peka dengan stesen berlepas dan tiba. Oleh kerana hotel saya terletak dekat dengan stesen NDLS maka saya ambil dari stesen itu. Di Agra, biasanya keretapi dari Delhi akan berhenti di stesen AGC, walaupun ada stesen lain tetapi untuk laluan dari bandar lain.
Saya membeli juga tiket perjalanan pulang selepas itu, dimana saya menempah perjalanan pulang pada 03 Mei 2015 (Ahad) dengan perkhidmatan NDLS Shatabdi Express kelas CC (Comfort Chair) yang agak mahal sikit, untuk memperolehi pengalaman lain pula, Lagipun mungkin balik Agra, kami penat sedikit. Harga bagi dua orang adalah ₹1143.59 (+- RM78.20 mengikut nilai dicaj di dalam penyata akaun bank) (harga untuk seorang sila bahagi dua). Kiranya harga tiket tidak sampai RM100 bagi dua orang perjalanan pergi dan balik.
Pada 30 Mac 2015, saya dan isteri pergi ke sebuah kedai gambar untuk membuat gambar profail diri untuk permohonan visa India. Saiz gambar profail diri untuk visa India adalah berbeza dengan saiz kebanyakan gambar profail lain. Visa India dan juga Visa Amerika Syarikat ditetapkan (sehingga tarikh artikel ini ditulis) adalah bersaiz 2 inci X 2 inci atau 5 cm X 5 cm dengan muka kita perlu 60% ke 75% dari tinggi gambar (sila lihat gambar di bawah. Jumlah yang perlu dibayar adalah RM30 iaitu masing-masing RM15 untuk setiap daripada kami. Saya juga meminta salinan lembut gambar isteri saya, sepatutnya dicaj RM2, tetapi pengurus kedai itu memberinya secara percuma kepada saya.
Salinan lembut gambar profail diri perlu diambil kerana ia akan digunakan untuk pengisian borang secara online nanti.
Seterusnya untuk maklumat lanjut tentang permohonan visa, saya cadangkan agar melayari laman web IVS WMS Sdn Bhd atau dikenali sebagai Indian Visa Centre Malaysia yang menjadi ejen pemprosesan visa India bagi pihak Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur yang telah disumber-luarkan kepada mereka. Ia wajib dibuat dengan mereka.
Borang perlu diisi secara online terlebih dahulu (kerana pengisian di Indian Visa Centre Malaysia akan dicaj RM20.00, boleh isi dahulu dan cetak bagi mengelak caj ini) di Indian Online Visa Application, yang merupakan laman web rasmi permohonan visa oleh Kementerian Dalam Negeri India. Maklumat lanjut boleh didapati di Indian Visa Online.
Setelah siap, cetak borang tersebut dan pergi ke mana-mana pejabat Indian Visa Centre Malaysia yang terdekat. Pejabatnya ada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan, Kota Kinabalu, Kuching, Ipoh, Melaka dan Seremban. Semua pemohon perlu hadir di pejabat Indian Visa Centre Malaysia kerana perlu diimbas semua cap jari dan muka untuk tujuan pengenalan biometrik. Maklumat lanjut mengenai permohonan visa India boleh membaca artikel saya mengenainya yang telah saya muat naik sebelum ini.
Saya dan isteri telah pergi ke pejabat Indian Visa Centre Malaysia di Lebuh Pasar Besar, Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka pada 06 April 2015. Alhamdulillah, orang agak kurang dari biasa dan tidak sampai 1 jam sudah selesai. Cuma pasportnya hanya boleh diambil selepas 3 hari bekerja iaitu selepas hari Rabu (08 April 2015). Bayaran perlu dibuat hari ini, dimana saya telah membayar sebanyak RM323.20 (sepatutnya cuma RM323.12 sahaja) di kaunter permohonan visa tersebut.
Pastikan simpan slip pembayaran dan slip nombor giliran disimpan dengan baik untuk tujuan mengambil pasport nanti. Untuk malumat lanjut mengenai pemohonan visa India, boleh layari artikel Petua - Permohonan Visa India di Kuala Lumpur di dalam blog ini.
Saya hairan, kenapa saya tidak boleh membuka pengurusan tempahan penerbangan ini di laman web Malindo Air. Jadi pada petang 07 April 2015, saya menelefon pusat panggilan Malindo Air, untuk menanyakan perkara ini. Alhamdulillah, ia dapat diselesaikan, tapi rupanya saya dimaklumkan ada sedikit perubahan pada masa penerbangan. Jadi saya memuat turun tempahan perjalanannya seperti di bawah ini. Hanya perubahan sedikit sahaja, jadi tidak terkesanlah sangat.
Pada 08 April 2015, saya telah meninjau pengurup-pengurup wang di Masjid India dan Ampang Park untuk melihat kadar tukaran Rupee India (INR atau ₹), kerana selepas dari tarikh itu, saya kemungkinan akan sibuk dengan tugas-tugas rasmi saya. Akhirnya saya ke pengurup wang Sky Xchange di Selangor Mansion (belakang Balai Polis Masjid India, sila rujuk artikel Petua: Pengurup Wang di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur) yang menawarkan harga terbaik iaitu RM595.00 untuk ₹10 000.
₹1000 (2011) = +-RM60
Pada petang itu, selepas balik kerja, saya terus menuju ke Indian Visa Centre Malaysia di Lebuh Pasar Besar semula untuk mengambil pasport yang sudah siap visa. Waktu pengambilan pasport hanya dari pukul 4:00 petang hingga 5:30 petang sahaja. Masuk sahaja, terus ke kaunter 2, terus berikan resit pembayaran tempoh hari. Tidak sampai dua minit sudah dapat pasport dan resit tadi dicop pasport telah diserahkan.
Pada 23 April 2015, seperti biasa, saya telah menghantar emel kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, bagi memaklumkan kehadiran kami di India. Ini bagi memudahkan pihak suruhanjaya tinggi dan juga kita jika berlaku sebarang perkara di India nanti. Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menjawab emel saya pada tengahari hari tersebut. Malah pegawai yang menjawab emel saya memaklum terdapat sistem pendaftaran eKonsular, bagi pendaftaran rakyat Malaysia di luar negara. Jadi pada masa ini dan masa akan datang saya akan menggunakan sistem eKonsular ini apabila hendak ke luar negara lagi.
Sebelah malamnya saya bertemu dengan sahabat saya, Nor Azam Aziz, yang sebelum ini iaitu pada awal tahun 2015, telah mengembara ke India. Oleh kerana beliau masih mempunyai baki wang Rupee India, jadi saya menukar wang tersebut untuk kegunaan saya. Sambil itu, sempatlah berborak-borak tentang pengalaman mengembara dan ambil petua dan tips mengenai perjalanan di India.
₹10 (2007) = +-RM0.60
₹10 (2012) = +-RM0.60
(*bezanya berbanding versi 2007 (di atas) adalah penggunaan simbol "₹")
₹50 (2014) = +-RM3
₹100 (2014) = +-RM6
₹500 (2007) = +-RM30
₹1000 (2012) = +-RM60
(*bezanya berbanding versi 2011 (di atas) adalah penggunaan simbol "₹")
Bagi persediaan perkara diluar jangkaan, seperti biasa, saya membeli takaful perjalanan antarabangsa daripada eTiQa Takaful (produknya International World Traveller Care Takaful) plan Platinum Pasangan bagi 6 hingga 10 hari ke zon 2 iaitu negara-negara Asia yang terpilih (kebanyakan negara Asia termasuk India pada 26 April 2014 berharga RM116.50 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain.
Pada 28 April 2015, saya mendaftar masuk penerbangan pergi ke Delhi kami (OD 0205) di laman web Malindo Air dan keesokan harinya saya mencetak pas kemasukan penerbangan di pejabat. Dapat juga duduk di hadapan sekali kelas ekonomi. Di belakang kelas perniagaan. Luas sedikit, dapatlah keselesaan, maklumlah penerbangan 5 jam.
Rasanya sudah siap persiapan hendak ke India ini, jadi tinggal menunggu masanya sahaja untuk terbang ke India bagi Salam Taj Mahal...
If want to read in English:
- PreJourney (this part);
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4; or
- Day 5 & 6.