Selasa, 10 Jun 2014

Hari 3 (Batam & Bintan, Indonesia - 23 hingga 25 Mei 2014) - Merentasi Barelang (Batam-Rempang-Galang.

Sambungan dari Hari 2 Bahagian 2.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 3 (this part);
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1; or 
  • Day 2 Part 2.




25 Mei 2014 (Ahad)


Saya terbangun pada pukul 0415 pagi. Terus membersihkan diri dan pada jam 0435 pagi, saya dan Azmi pergi masjid untuk solat Subuh berjemaah di masjid yang semalam kami bersolat Maghrib. Pulang dari masjid, kami bersarapan di rumah dengan nasi goreng, sambal dan belut kering (hidangan yang sedap semalam) yang dipanaskan. Memang enak.

Pada jam 0600 pagi, Azmi mengajak saya untuk ke Barelang, iaitu sekumpulan jambatan yang menghubungkan 6 buah pulau di selatan pulau Batam ini. Barelang sendiri merupakan singkatan daripada 3 pulau terbesar iaitu BAtam sendiri, pulau REmpang dan pulau gaLANG. Tumpuan utama adalah jambatan nombor 1 iaitu Jambatan Raja Haji Fisabilillah. Jesteru itu, saya perlu mengemas beg saya, kerana Azmi kata, kami tidak akan berpatah kembali ke rumah, Azmi akan terus menghantar saya terus ke jeti Batam Centre.

Oleh itu, setelah selesai, saya mengucapkan terima kasih kepada Yanti dan ibunya atas segala layanan yang mesra. Insya Allah kita akan berjumpa lagi.

Jam 0615, tayar motor mula bergolek meninggalkan rumah di Batu Aji ini. Saya melambai dan ucapkan selamat tinggal kepada yang tinggal.





Perjalanan dari Batu Aji ke Jambatan Raja Haji Fisabilillah mengambil masa kira-kira 35 minit. Jalannya agak baik walaupun hanya jalan selorong setiap hala. Pembangunan di sini tidak seperti di kawasan berdekatan dengan pusat bandar Batam, agak banyak kawasan kosong. Jika ada pembangunan, masih baru untuk dibangunkan.  Ketika hendak sampai, sudah kelihatan menara berkembar yang menjadi sokongan kabel yang menampung berat jambatan ini. Memang jambatan ini menjadi ikon kepada kota Batam sehingga menjadi logo bagi kota Batam itu sendiri.



Walaupun kota Batam ini dilihat kota yang lebih etnik bukan Melayu daripada etnik pribumi Melayu itu sendiri, oleh kerana kepesatan pembangunan yang dialami, menyebabkan transnigrasi dari serata Indonesia, namun ia masih berjuang demi jati diri bumi Melayunya. Ini jelas di dapati melalui gambar di atas.


Akhirnya sampai juga saya di jambatan ini. Memang jambatan ini indah. Untuk tahu lebih lanjut tentang jambatan-jambatan Barelang boleh klik Google, Wikipedia Bahasa Indonesia dan Inggeris.



Jambatan pertama ini agak tinggi juga kira-kira setinggi 30 meter tinggi dari atas laut. Memang jelas sehingga tebing jambatan ini tiada sebarang halangan. Gayat juga saya. Dari tebing ini juga saya dapat melihat air laut dan sungai bertemu.

Kami meneruskan perjalanan kami selepas berehat seketika di atas jambatan ini.

Permandangan Jambatan Raja Haji Fisabilillah (Jambatan 1) dari atas Jambatan 2.

Menghampiri Jambatan 3.

Permandangan Selat Melaka dari atas Jambatan 4, memasuki Pulau Rempang. Merentasi pulau ini agak lama dan jauh, kira-kira 20 minit bermotorsikal.

Menghampiri Jambatan 5 dari Pulau Rempang ke Pulau Galang.

Akhirnya kami sampai ke pulau Galang. Di pulau ini sebenarnya mempunyai bekas kem pelarian (pengungsi dalam bahasa Indonesia) Vietnam, serupa di Pulau Redang di Terengganu dan di Sungai Besi (kini merupakan tapak stesen minyak Shell dan Petronas di Taman Teknologi Malaysia. 


Sebenarnya kawasan bekas kem pelarian Vietnam ini tidak dibuka untuk umum pada masa kami hadir ke sini, kerana ia dalam proses pembaikan dan ubah suai. Namun oleh kerana kami sampai pada jam sebelum pukul 0800 pagi maka dengan selamba kami masuk. Mungkin kerana plet nombor motorsikal yang kami bawa ini berwarna merah, maka agak mudah kami masuk ke dalam. Jalan di dalam kawasan ini pun banyak dalam pembaikan terutama jambatan-jambatannya.


Mula-mula kami melawat tokong Quan An Tu yang dibina bagi pelarian yang menganut agama Taosime. Agak indah kawasan ini terutama di waktu pagi ini. Sampat juga saya mengambil gambar di hadapan pintu gerbang tokong ini.



Seterusnya kami memasuki lebih dalam dan bertemu dengan Hospital Palang Merah Indonesia (PMI). Tidak jauh dari situ terdapat sebuah patung yang diberi nama Patung Kemanusian, yang didirikan sempena kematian seorang pelarian wanita yang membunuh dirinya kerana dirogol beramai-ramai oleh pelarian lelaki lain.



Seterusnya masuk ke dalam lagi terdapat kawasan perkuburan pelarian yang tidak mengira agama, Taosime, Buddha atau Kristian ditempatkan bersama. Difahamkan bahawa sepetak kubur tersemadi bukan seorang tetapi semaksima lima mayat sekali.


Terkehadapan sedikit, terdapat gereja Kristian Protestant yang agak uzur, tunggu masa meranap menyembah bumi.



Kami kemudian sampai di kawasan utama, dan dialukan dengan tugu bot yang sebenar yang membawa pelarian ini ke sini.


Seterusnya kami di kawasan yang sepatutnya menjadi kawasan pameran utama, terdapat berek kawalan keselamatan yang menempatkan pasukan polis BriMob (Briged Mobiliti) iaitu pasukan seperti Pasukan Gerakan Am, Polis DiRaja Malaysia. Kini, berek ini masih diduduki pasukan BriMob.





Kawasan pameran yang ditutup diluar namun saya menghulurkan tangan saya ke dalam untuk mengambil gambarnya.




Muzium dan antara bahan pamerannya.



Antara peninggalan di kawasan kem ini, di atas merupakan hospital dalaman dan di bawah merupakan pusat belia.


Antara lori lama yang ditinggalkan.

Gereja Katolik.

Berek penginapan pelarian.

Antara rusa bintik yang dibela di dalam kawasan kem pelarian.

Pintu gerbang lama tokong Quan Am Tu ketika dalam perjalanan keluar kembali ke jalan utama.

Akhirnya kami selesai melawat kem ini. Ketika keluar, Azmi sempat singgah di pintu masuk dan ingin membayar bayaran masuk, tetapi petugas yang berkenaan menolaknya atas alasan sesama kerajaan (istilah yang digunakan seperti Bahasa Melayu Malaysia, tidak menggunakan istilah pemerintah yang digunakan dalam Bahasa Indonesia). Rupanya berdasarkan plet motor merah, petugas itu mengagakan saya sebagai pegawai tinggi (istilah Indonesia adalah pejabat) pemerintah Indonesia dari Jakarta. Huh, begitu sekali saya dipandang tinggi di Batam ini.  Setelah berbual kira-kira 5 minit, maka kami meminta diri.


Dalam perjalanan pulang, saya perasan bahawa terdapat tiga kem markas pasukan pakaian seragam bersenjata mewakili sebatalion tentera darat, sebatalion askar marin (tentera infantri bagi tentera laut) dan sebatalion BriMob.


Saya meminta Azmi singgah sebentar di Dataran Barelang untuk mengambil gambar di atas yang terletak di sebelah pulau Batam.


Dalam perjalanan pulang, Azmi menyuruh saya menangkap gambar penanda Stadiun Olah Raga (Stadium Sukan) Temenggung Abdul Jamal, Batam. Dia tanyakan siapa Temenggung Abdul Jamal, namun oleh kerana sejarah kita tidak menekankan tokoh ini maka saya kata tidak tahu dan akan mengkaji. (Selepas pulang saya mengkaji, dan rupanya Temenggung Abdul Jamal ini merupakan pengasas keluarga Temenggung Johor, yang mana pada masa kekuasan beliau di dalam kerajaan Johor, Sultan Johor telah menganugerahkan keluarga Temenggung untuk mengawal kawasan Kepulauan Riau termasuk Batam dan Singapura, daripada beliau maka turunlah kepada Temenggung Abdul Rahman, Temenggung Daeng Ibrahim, Sultan Sir Abu Bakar kepada Sultan Ibrahim pemerintah Johor sekarang ini).


Kami tiba di Batam Centre pada jam 1100 pagi dan Azmi terpaksa menghantar saya awal kerana beliau terpaksa mengejar feri untuk beliau dan keluarga pulang ke Prayun, Pulau Kundur. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Azmi sepanjang membantu saya dalam kembara ini. 

Saya segera ke kaunter Batam Fast di terminal Batam Fast ini untuk mengambil borang imigresen Singapura yang telah siap diisi maklumat saya di kaunter ini. Sempat juga saya tanya, kalau saya ingin menukar feri saya kepada lebih awal boleh kah? Ini kerana saya perlu menunggu lebih 4 jam untuk feri asal saya jam 1520 (3:20 petang) Rupanya boleh dan tanpa bayaran dengan syarat masih ada tempat duduk. Namun saya tidak segera menukar, kerana saya ingin bersiar-siar di pusat membeli belah Batam Centre yang dihubungkan dengan terminal Batam Centre melalui sebuah jejantas.


Saya terus menuju ke pasaraya besar Hypermart di aras besmen untuk membeli beberapa benda untuk dibawa balik selain bertujuan untuk menghabiskan sisan Rupiah yang masih ada terutama nota-nota kecil.

Memandangkan saya lapar kembali, maka saya pun memesan semangkuk bakso dan meminum minuman popular di Indonesia iaitu sebotol Sosro Teh Botol di medan selera di dalam Hypermart. Lebih kurang harga bakso itu Rp12ribu (+-RM4.00) dan Sosro Teh Botol berharga Rp5000 (+-RM1.70). Oleh kerana saya terletak sambel ijo (sambal hijau) terlebih ke dalam bakso, maka ia jadi lebih pedas. Maka saya membeli pula Frestea, versi Teh Botol yang dikeluarkan Coca-Cola Indonesia. Alhamdulillah.


Setelah sejam setengah saya bersiar-siar di dalam pusat membeli belah Batam Centre, maka saya mengambil keputusan untuk mengambil feri jam 1250 tengahari. 

Keadaan di dalam terminal feri Batam Centre.


Saya mencari pas pelepasan yang telah saya cetak untuk ditukarkan kepada pas yang baru, namun tidak dijumpai. Saya ke kaunter, memberi penjelasan, kerani tersebut bertanyakan nama saya dan jadual asal feri, dan seterusnya diberikan pas pelepasan dan kupon cukai pelabuhan yang baru (di terminal feri di Batam Centre ini tidak perlu bayar cukai pelabuhan asing sebagaimana terminal lain di Indonesia, kerana ia telah disekalikan semasa membeli tiket feri). Alhamdulillah.


Saya segera ke pintu pelepasan dan pas pelepasan saya diimbas kod bar 3Dnya sebelum memasuki balai imigresen. Saya perlu cepat kerana feri saya akan berlepas dalam masa 10 minit sahaja lagi.


Alhamdulilah urusan dengan imigresen Indonesia telah selesai dengan mudah dan tiada kerenah. Terus saya menuju ke feri.


Alhamdulillah, sempat juga saya menaiki feri Batam Fast 20. Feri ini tidak seperti feri Batam Fast yang biasa, di mana ia 100% tempat duduk berhawa dingin. Tepat jam 1250, bertolaklah feri Batam Fast 20 dari jeti Batam Centre menuju ke jeti HarbourFront, Singapura.



Sejam selepas itu iaitu 1500H (pukul 3.00 petang waktu Singapura, awal sejam dari waktu Indonesia), sampailah feri Batam Fast 20 di jeti HarbourFront. Setelah kira-kira 20 minit menunggu dan melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam Singapura, maka sampailah saya di pusat membeli belahHarbourFront Centre. 

Di sini saya kembali menukar kad SIM TelkomSel Prabayar simPATI saya kepada kad SIM SingTel Prabayar Hi!, dan mengaktifkan pas Flexiroam Singapura saya. Saya cuba merangka hendak buat apa untuk 6 jam sebelum menaiki kapal terbang di Changi. Selepas 15 minit saya mendapat idea untuk menikmati Tulang Merah di Kampung Glam.




Boleh baca artikel Tulang Merah Restoran Al-Tasneem Kampung Glam di SantapanGD.blogpot.com untuk cerita dan maklumat selanjutnya di blog SantapanGD.



Selepas saya menunaikan solat jamak qasar Zohor Asar di Masjid Sultan, maka saya pun bergerak menuju ke Lapangan Terbang Changi menggunakan MRT, cuma kali ini saya cuba menaiki MRT laluan Circle (warna kuning) sehingga ke stesen Paya Lebar, seterusnya menukar ke laluan Timur Barat (warna hijau ke stesen Tanah Mrah dan menukar tren untuk ke stesen MRT Changi Airport.





Memandangkan saya telah mendaftar masuk melalui web, maka saya terus masuk untuk pemeriksaan imigresen Singapura.


Kemudian saya ke bilik sembahyang di Terminal 3 ini untuk menunaikan solat jamak qasar Maghrib Isyak. Selesai, saya terus pergi ke beberapa kemudahan yang ada di Terminal 3 ini sementara menunggu penggilan untuk masuk ke pintu pelepasan. Kebanyakan kemudahan yang ada adalah percuma seperti mesin urut kaki, kerusi khas multimedia untuk melihat televisen dan banyak lagi. Kemudahan WiFi juga percuma walaupun SIM SingTel Prabayar Hi! saya masih banyak datanya. Dapat saya melihat perlawanan akhir badminton Piala Thomas antara Malaysia dengan Jepun.



Akhirnya pada jam 2055 (8:55 malam) saya ke pintu pelepasa C30 untuk melihat adakah pintu sudah dibuka, dan ia dibuka. Terus saya masuk untuk menjalani pemeriksaan keselamatan seterusnya ke balai menunggu. Selang lima belas minit, diumumkan bahawa kapal terbang TigerAir TR2468 mengalami penangguhan. Hanya pada pukul 2155 (9:55 malam) baru pintu pelepasan dibuka. Jam 2220 (10:20 malam) barulah pesawat berlepas dari terminal.



Alhamdulillah, pada jam 2310, pesawat mendarat di landasan 3 klia2 dan sampai di pintu ketibaan Q3 sepuluh minit kemudian. Saya mengikut tanda arah menuju ke dewan imigresen, memang klia2 ini penumpang ketibaan tidak akan selisih langsung dengan penumpang berlepas. Alhamdulillah, imigresen dan kastam Malaysia amat efesyen, autogate pun banyak dibuka, lebih dari 10, tidak seperti di LCCT dulu, tidak banyak. Jam 2335 (11:35 malam) saya sampai di mesin membayar parkir di pintu masuk ke gateway@klia2 di tingkat CP4 (tingkat 2 klia2).



Saya membayar sejumlah seperti di atas, agak murah untuk parking lebih 2 hari. Akhirnya satu setengah jam kemudian saya sampai di rumah (kerana saya singgah di R&R Dengkil arah utara untuk makan malam). Alhamdulillah selesai sudah kembara saya ke Batam ini. Insya Allah akan ke sana lagi bila berkesempatan.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Ingin melihat:



If want to read in English: 

  • Day 3 (this part); 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1; or 
  • Day 2 Part  2.