Memaparkan catatan dengan label 23 hingga 26 Februari 2017 - Hanoi & Ha Long Vietnam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 23 hingga 26 Februari 2017 - Hanoi & Ha Long Vietnam. Papar semua catatan

Jumaat, 10 Mac 2017

Hari 2 (Hanoi & Ha Long, Vietnam - 23 hingga 26 Februari 2017) - Petang di Ha Long.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part);
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long. 


Permandangan perairan Teluk Ha Long dari bandar Ha Long (sebelah Ho Gai).

Petunjuk: Waktu di Vietnam adalah UTC +7 iaitu sejam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Hanoi pula pukul 11:00 pagi.

Hari 2 (24 Februari 2017 - Jumaat).


Pagi ini, kami bersiap untuk bergerak selepas waktu Subuh. Selepas solat kesemuanya, dalam pukul 6:00 pagi, kami keluar dari bilik dan pergi ke kaunter di bawah untuk daftar keluar. Memang awal kami di situ, kerana petugas-petugas masih tidur. Jadi dalam masih terkebil-kebil, mereka pun bangun mengemas tempat tidur masing-masing. Salah seorangnya membuat proses daftar keluar dan selesai. Cuma dia tanya, kami tidak mahu bersarapankan, kerana tempahan kami termasuk sarapan. Saya menjawab tidak perlu kerana kami perlu kejar bas awal ke Ha Long. 

Sambil itu, saya bertanya, stesen bas mana yang lebih baik untuk mengambil bas ke Ha Long, sama ada dari Stesen Bas Gia Lam atau My Dinh? Dijawabnya, lebih baik di Gia Lam kerana ia berada di timur Hanoi berbanding di My Dinh yang berada di barat bandaraya Hanoi. Jadi saya mengambil untuk menerima saranannya walaupun kalau baca di Wikitravel Ha Long Bay ia sebaliknya.

Kami pun kemudian berjalan kaki ke perhentian bas yang lebih dekat dari Stesen Bas Long Bien yang kami turun semalam. Perhentian bas ini memang bas-bas ke timur Hanoi merentasi Jambatan Cau Chuong Duong akan berhenti kerana ia berada sebelum persimpangan ke jambatan tersebut. Jadi kurang sikit bilangan tapak kaki yang akan diambil.


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Atrium Hotel Hanoi ke perhentian bas Long Bien.



Streetview: Perhentian bas Long Bien.

Dari perhentian ini sebenarnya, memang banyak bas yang ke Gia Lam, sama ada ke stesen basnya atau lalu berhampirannya. Ini kerana Stesen Bas Gia Lam bukan terletak di Jalan Nguyen Van Cu, tapi agak dekat juga dari jalan tersebut. Agak banyak juga perkhidmatan (nombor) bas yang ke Stesen Bas Gia Lam ini. Jika dilihat di dalam aplikasi Google Maps ketika itu bas seterusnya ke Stesen Bas Gia Lam secara terus adalah bas nombor 3 (jika ikut jadual), namun saya lihat juga, terdapat bas nombor 34 ke sana (malah di dalam Wikitravel Hanoi juga mencadangkan bas 34 untuk ke Stesen Bas Gia Lam) sampai dulu, jadi kami naiklah bas tersebut. Pada masa itu kira-kira pukul 6:15 pagi.

Tambang bagi bas nombor 34 ini adalah 7000₫ (+- RM1.40). Lupa hendak dimaklumkan bahawa tambang bas henti-henti dalam bandar Hanoi adalah sama tidak mengira jarak perjalanan. Tambang biasa dipamerkan di tepi badan atau cermin bas berdekatan dengan pintu depan. Jadi perlu tengoklah ia, kerana walaupun destinasi yang sama dengan jarak yang sama, tapi tambang berbeza (macam iklan Trivago pula) mengikut nombor perkhidmatan bas. macam bas nombor 34 ini tambangnya 7000₫ tetapi bas nombor 17 (yang semalam kami naiki dari Lapangan Terbang) tambangnya adalah 9000₫ (+- RM1.80).

Perjalanan bas nombor 34 ini dari perhentian bas yang kami naiki tadi sehingga ke Stesen Bas Gia Lam melalui Stesen Keretapi Gia Lam mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja. Mungkin kerana keadaan jalan kurang sesak agaknya.


Tiket bas bandar Hanoi nombor 34 
(Stesen Bas Long Bien ke Stesen Bas Gia Lam).



Peta: Perjalanan bas dari perhentian bas Long Bien ke Stesen Bas Gia Lam.

Sampai di stesen, kelihatan banyak gerai-gerai kecil orang menjual roti terutamanya roti baguette ala Vietnam (jika roti baguette atau roti perancis biasa, ia panjang tetapi kecil tetapi roti versi Vietnam, ia pendek tetapi lebar) yang agak murah juga. Selain itu, roti lain pun ada. Harga yang dijual pun agak murah, serendah 2000₫ (+- RM0.40), yang temopat lain sukar nak jumpa harga itu. Rata-rata harga dalam 5000₫ (+- RM1.00) macam roti baguette Vietnam itu (harga di Old Quarter dari 10 000₫ (+- RM2.00).

Masuk ke dalam stesen bas, terpandang sebelah bahagian kiri dewan stesen bas, terdapat banyak motorsikal diparkir di dalam kawasan tertutup. Tidak pasti bahawa itu parkir atau motorsikal yang dititipkan untuk dihantar ke tempat lain. Kemudian pandang ke hadapan dan terdapat banyak kaunter, saya perlu tengok destinasi yang hendak pergi. Tsaya mencari perkataan Ha Long atau Bai Chay kerana itu destinasi kami. Bai Chay kiranya seperti satu kawasan di Ha Long, di mana di situ hotel kami menginap di Ha Long terletak.

Saya nampak kaunter yang tertulis Bai Chay, di mana Ha Long memang tidak kelihatan (atau saya tidak perasan sebenarnya), dan saya pun ke situ untuk membeli tiket. Sekeping tiket berharga 180 000₫ (+- RM36.00), jadi saya belikan untuk tiga orang (kedua-dua abang akan bayar saya kemudian). Selepas membelinya, petugas kaunter itu memberikan tiket dan kemudian kami diiringi oleh seorang petugas yang kemudian mengambil tiket tersebut (tidak sempat saya hendak mengambil gambar tiket tersebut) dan segera membawa kami ke bas yang akan membawa kami ke Ha Long itu. Memang pasti bas tersebut, kerana terdapat paparan elektronik yang terpapar Ha Long di bahagian depan bas tersebut.


Kaunter-kaunter tiket bas di Stesen Bas Gia Lam.

Motorsikal yang di parkir di dalam Stesen Bas Gia Lam.

Bas yang membawa kami dari Gia Lam ke Ha Long.

Keadaan di dalam bas.

Bas berkenaan kemudian mulai bergerak pada pukul 7:50 pagi, namun berhenti kira-kira 10 minit sebelum pintu keluar dari stesen itu. Agaknya staf bas ini (terdapat 3 orang, yang mana masing-masing boleh menukar peranan daripada pemandu kepada konduktor) membuat urusan pelepasan agakna. Selepas itu, bas ini bergerak perlahan, bukan apa mereka mencari penumpang untuk memenuhkan bas. Lama juga ia berjalan perlahan malah bila sampai lebuhraya pun masih perlahan. Sabar sahajalah.

Semasa perjalanan boleh dikatakan, setiap perhentian bas, setiap pekan atau setiap jambatan akan diperlahankan bas untuk melihat jika ada penumpang yang hendak naik bas. Bas yang kami naiki ini menggunakan lebuhraya ke Hai Phong, jalannya luas, majoritinya terdapat sekurang-kurangnya dua lorong setiap hala malah ada bahagian lebih lagi. Cuma seperti lebuhraya di Thailand, terdapat simpang berlampu isyarat di sesetangah tempat walaupun ada juga persimpangan yang mempunyai persimpangan bertingkat. 

Walaupun begitu, bas ini bagi saya agak perlahan juga, pasal mereka mencari penumpang. Ada kala laju, kalau perjalanan pada masa itu melalui kawasan yang kurang perpenduduk.

Pada pukul 9:00 pagi, kira-kira 2 jam perjalanan, ketika di pekan Hai Duong, bas ini berhenti berehat di sebuah restoran bernama Nha Hang 559. Di sini saya cuma buang hajat sahaja pasal rasa was-was hendak makan makanan dijual. Ada pho, bun cha dan sebagainya. Ada juga gerai menjual buah-buahan, cuma tidak rasa hendak makan buah, kerana perut saya sebenarnya sudah terisi dengan dua buku roti baguette yang jadi bekalan saya bersama air kosong. Jadilah makanan untuk pengembara.

Setelah kira-kira 20 minit, bas ini pun berjalan semula dan kemudian memasuki jalan biasa (bukan lebuhraya) selepas pekan Hai Duong ini. Di sini perjalanan menjadi lebih perlahan dengan ada penumpang yang turun dan naik. Jalan pun agak sempit dan kenderaan pun agak banyak.

Selepas dua jam lebih perjalanan sejak meninggalkan kawasan rehat tadi, bas yang dinaiki menghampiri sebuah plaza tol menandakan hampir sampai dengan bandar Ha Long. Menariknya, plaza tol ini mempunyai logo UNESCO (United Nation Education, Scientific and Cultural Organization - Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) yang agak besar. Sinis juga di hati saya berkata di tengah-tengah jalan biasa bukan lebuhraya pun ada plaza tol di Vietnam ini. Satu lagi, bukan ini sahaja Tapak Warisan Dunia UNESCO di Vietnam, tapi Ha Long ini memang menggunakan logo UNESCO sebaik-baiknya.

Selepas itu, dari jalan raya, kita akan nampak permandangan pulau-pulau di Teluk Ha Long (Ha Long Bay) di sebelah kanan kita. Melihat pulau-pulau itu, rasanya tidak sabar untuk ke sana. Semasa perjalanan juga sebenarnya bas ini ada berhenti di hadapan bulatan jalan masuk ke Pulau Tuan Chao untuk memberhentikan orang. Di pulau ini sebenarnya terdapat Jeti Tuan Chao yang merupakan jeti bagi bot-bot pelancongan yang membawa pelancong-pelancong ke perairan Teluk Ha Long ini. Pada masa itu kami memang tidak tahu di situ sebenarnya tempatnya. Jadi kami terus menaiki bas ini.

Dalam lima minit kemudian, bas ini berhenti di sebuah simpang jalan dan menyatakan di situ adalah Bai Chay, maka kami perlu turun di situ. Kemudian bas itu meninggalkan kami dan meneruskan perjalanannya. Di sebelah kami turun itu, terdapat beberapa teksi berhenti. Di seberang jalan adalah Stesen Bas Ha Long nya. Pemandu-pemandu teksi ini pun cuba untuk memancing kami untuk menjadi pengangkutan untuk ke kawasan Bai Chay, yang di lihat dari dalam aplikasi Google Maps, kira-kira 6.5 kilometer! Bila bertanya harganya, 100 000₫ (+- RM20.00), kami tawar dan akhir sekali dapat 75 000₫ (+- RM15.00) sahaja, walaupun kami minta 60 000₫ (+- RM12.00). Jadi memang kami tidak ambil. Lalu kami tekat hati berjalan dan kemudian terdapat teksi menghon kami. Kami tanya berapa untuk ke Bai Chay, dan dia kata menggunakan meter, jadi kami pun naiklah.

Sampai di hotel kami iaitu Starlight Hotel, Ha Long, tambang yang dikenakan pada meter adalah 68 000₫ (+- RM13.60), dan pemandu itu genapkan menjadi 70 000₫ (+- RM14.00).

Tempat bas berehat sebentar di Hai Duong.

Bas menghampiri plaza tol Ha Long. (Terdapat logo UNESCO pada plaza tol ini).

Permandangan pulau-pulau Teluk Ha Long dari jalan raya.


Peta: Stesen Bas Gia Lam ke Starlight Hotel, Ha Long.

Selepas membayar tambang teksi, kami pun mencuba diri untuk mendaftar awal hotel tersebut walaupun pada masa itu baru pukul 12:20 tengahari. Alhamdulillah, kami dapat mendaftar masuk dan masuk ke bilik lebih awal tanpa sebarang bayaran. Pada masa itu juga, petugas kaunter hotel ini mempromosikan pakej bot untuk ke Teluk Ha Long. Saya sombong pada masa itu kerana kami hendak pergi sendiri katanya. Jadi tidaklah mengambil pakej tersebut dengannya. 

Selepas selesai urusan daftar masuk, petugas itu juga menawarkan perkhidmatan bas untuk balik ke Hanoi dengan harga 150 000₫ (+- RM30.00) seorang! Jadi saya berbincang sekejap dengan kedua-dua abang saya dan kami setuju mengambilnya. Lebih murah dari harga bas kami dari Hanoi ke situ. Malah tidak perlu bayar apa-apa tambang pengangkutan ke stesen bas kerana pengangkutan tersebut adalah dari hotel. Jadi saya pun bayarlah untuk bas tersebut pada masa itu untuk tiga orang.

Kami pun ke bilik kami yang berada di tingkat 1, tidak jauh dari kaunter daftar masuk tadi, cuma perlu naik sedikit tangga sahaja. Apabila kami masuk ke  dalam bilik kami, saya baru tersedar bahawa saya menempah bilik berdua bukan bertiga. Jadi kami terpaksa mencantumkan dua katil single untuk menjadi katil bersaiz king. Saya pun meminta maaf kepada kedua-dua abang saya itu atas kesilapan saya. Alhamdulillah mereka berkata tidak mengapa.

Pada ketika itu, abang Din berasa tidak berapa sihat sikit dan meminta ubat panadol daripada saya. Saya memaklumkan bahawa saya pun tertinggal terlupa bawa, namun abang Zul membawanya. Abang Din kemudiannya meminta untuk berehat dan tidur sebentar. Kami pun pada masa itu mengemas beg-beg kami dan membersihkan diri serta bersolat selepas itu. Selesai semuanya, kami pun berehat sebentar. 

Saya sempat melihat pengangkutan yang ada ke Jeti Tuan Chao dari kawasan Bai Chay, terdapat Uber juga namun keretanya tidak banyak dan caj paling minima ke sana adalah kira-kira 350 000₫ (+- RM70.00) per hala, agak mahal juga. Jika menaiki teksi dari stesen bas pun sudah 70 000₫ (+- RM14.00), sudah tentu menaiki teksi lebih lagi mahal lagi, biasanya akan lebih mahal dari Uber. Terdapat bas henti-henti di kawasan Ha Long ini tapi saya tidak pasti perkhidmatannya ada di Bai Chay ini walaupun ternampak beberapa perhentian bas. Mungkin masanya tidak kerap. Jadi pilihan kami ada untuk ke Teluk Ha Long adalah menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan yang ada banyak di Bai Chay ini.

Starlight Hotel, Ha Long, Vietnam.


Kadar walk-in Starlight Hotel.

Bizkad Starlight Hotel Ha Long.

Resit tempahan bas ke Hanoi daripada Starlight Hotel Ha Long.

Peta Ha Long Starlight Hotel Ha Long (depan).

Peta Ha Long Starlight Hotel Ha Long (belakang).


Keadaan bilik kami di Starlight Hotel.

Pada pukul 1:30 petang, kami pun keluar untuk berjalan-jalan dan melihat sama ada kami masih berkesempatan untuk pergi ke Teluk Ha Long. Kami bersiar-siar di sekitar kawasan Bai Vhay ini. Kawasan pesisir pantai kini sebahagian besarnya telah ditambak menjadikan garisan pantai lebih ke hadapan kira-kira 100 ke 200 meter. Di hadapan bulatan Bai Chay ini telah dibina beberapa lot kedai dan juga sebuah taman tema yang siap mempunyai beberapa buah tarikan permainan dan juga roller coaster! Malah kelihatan juga taman tema air juga.

Selain itu, terdapat juga sebuah stesen kereta kabel dengan sebuah dari kereta kabelnya yang agak besar, dua tingkat dengan kira-kira 60 orang maksima boleh menaikinya pada satu-satu masa (maaf baru saya sedar yang saya tidak mengambil gambarnya). Kereta kabel ini menuju destinasi bahagian bandar Ha Long di bertentangan seberang sungai, kawasan Hong Gai. Ini bermakna, tidak perlu menyeberang jambatan kabel seperti Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan kedua-dua belah bandar Ha Long ini. Cuma untuk menaiki kereta kabel ini perlu membeli pakej termasuk bayaran masuk taman tema, iaitu sebanyak 300 000₫ (+- RM60.00)! Stesen di sebelah Hong Gai berada di atas bukit, jadi kereta kabel ini akan menaik curam dengan tiang telah dibina begitu tinggi sekali.

Setelah penat bersiar-siar kira-kira setangah jam, kami pun kembali ke kawasan pekan Bai Chay ini untuk pergi ke beberapa syarikat agensi pelancongan yang ada di situ. Tujuannya untuk menyelidiki adakah pakej ke Ha Long pada petang ini, apakah jenis pakej yang ada dan berapa harganya. Kebanyakannya menyediakan pakej ke perairan Teluk Ha Long dari 4 jam lawatan, 8 jam lawatan malah ada sampai 2 hari. Bilangan masa itu adalah mengikut berapa banyak pulau yang dilawati. 

Kami cuba tanya harga untuk lawatan 4 jam kerana itu paling minima dan rasanya cukup masa untuk petang ini, rata-rata agensi-agensi yang ada memberikan harga dari 450 000₫ (+- RM90.00) ke atas. Cuma pakej ini memang tiada makan tetapi termasuk kos pengangkutan ke Jeti Chao pergi balik. Tetapi kebanyakan agensi mengatakan bahawa memang kalau untuk petang ini memang tidak sempat di mana waktu pengambilan pengangkutan adalah pukul 12:30 tengahari, jika mahu pun perlu menaiki pengangkutan khas ke Jeti Tuan Chao dan kemudian menaiki bot peribadi khas untuk kami sahaja yang berharga dari  750 000₫ (+- RM150.00)! Kalau macam tu lebih baik ambil pakej 1 hari dari Hanoi di Old Quarter Hanoi sahaja yang mana cuma US$35 (+- RM157.50) sahaja! Tidak perlulah macam itu sekali.

Akhirnya abang Din mendapat pakej 4 jam dengan harga 330 000₫ (+- RM66.00)/orang, tetapi untuk awal pagi esok jadi kami pun ke agensi tersebut. Kami pun mengambil pakej itu. (Boleh baca catatan Hari 3, kenapa harganya menjadi begitu, ada cerita sebaliknya, dan hanya diketahui pada keesokan harinya, sewaktu lawatan). Cuma masalahnya, pengangkutan balik ke Hanoi adalah pada pukul 12:00 tengahari, takut kami tidak sempat untuk pulang ke hotel untuk menaikinya. Pihak agensi mengatakan mereka boleh tolong uruskan untuk bas mengambil dari Jeti Tuan Chao, kerana syarikat pengangkutan mereka dan hotel kami (di mana tempahan bas ke Hanoi di buat) adalah syarikat yang sama. Baiklah, nanti saya akan maklumkan dan mendapat pengesahan dari pihak hotel. Jadi kami terima pakej itu dan membayar wang untuknya.

Abang Din juga sebenarnya membuat tawar menawar tentang sewaan motor. Biasanya sewaan motorsikal adalah mengikut hari di mana harganya adalah 150 000₫ (+- RM30.00)/hari sebuah motorsikal. Ia tidak termasuk petrol juga, yang mana biasanya kita akan dapat motorsikal yang mempunyai tangki yang hampir kosong. Biasanya tidak boleh menyewa kurang dari masa itu. Abang Din tawar menawar dengan staf agensi ini dan akhirnya mendapat 90 000₫ (+- RM18.00) sebuah untuk digunakan sehingga waktu pejabat agensi ini tutup (9:00 malam). Jadi kami sewa dua buah motorsikal jadi jumlahnya 180 000₫ (+- RM36.00) dan dikongsi setiap orang 60 000₫ (+- RM12.00). 

Kami kemudian dibawa ke kedai yang menyewa motorsikal tersebut, kira-kira dua kilometer dari pejabat agensi pelancongan terbabit. Sampai di sana, kami diberikan dua buah motorsikal dan juga mengambil topi keledar gaya Vietnam, yang seumpama topi kura-kura. Kami ambil gambar motorsikal berkenaan untuk mengambil bukti sebagai langkah persediaan jika berlaku perkara tidak diingini di kemudian hari. Motorsikal tersebut memang hanya diberikan minyak petrol agak sikit, rasanya cukup-cukup ke stesen minyak terdekat, kira-kira 200 meter dari kedai terbabit.

Lalu kami terus membawa motorsikal ke stesen minyak tersebut. Diingatkan, lalu-lintas (trafik) di Vietnam tidak sama dengan di Malaysia, di mana kita akan menunggang/memandu di sebelah kanan jalan (di Malaysia kita menunggang/memandu di sebelah kiri jalan). Sampai di sana, akan terdapat atendan pam minyak yang akan mengisi minyak ke dalam tangki motorsikal kita. Saya menyuruh untuk mengisi sebanyak 10 000₫ (+- RM2.00) tetapi dia tidak mendengarnya, diisinya sampai 40 000₫ (+- RM8.00). Hendak tidak hendak, bayar sahajalah. Saya lupa untuk mengambil harga minyak pada ketika itu. Abang Din mengisi minyak sebanyak 10 000₫. Abang Zul membonceng motorsikal dengan saya.




Agensi perlancongan yang kami dapatkan pakej lawatan Teluk Ha Long.

Kad perniagaan agensi pelancongan di Ha Long.

Resit Pakej Ha Long Bay.


Kedai kami mengambil motorsikal sewa.

Destinasi seterusnya, kami membawa motorsikal kami ke kawasan Hong Gai di seberang sebelah timur. Jadi kami menunggang motorsikal menuju ke Jambatan Cau Bai Chay untuk ke sana. Jambatan ini sebenarnya dibina dengan kerjasama pembiayaan daripada kerajaan Jepun. Sampai dihujung jambatan, kami pun sampai di kawasan Hong Gai. Kawasan ini lebih rancak kegiatan hariannya, di mana ramai penduduk tempatan di sini dan suasana lebih sesak dengan manusia dan kenderaan. Kiranya Bai Chay adalah bandar pelancong dan Hong Gai adalah bandar warga tempatan.

Setelah kami bersiar-siar di sekitar bandar ini, kami pun singgah di pesisir pantai, di mana abang Din hendak ke pusat membeli-belah Vincom Plaza yang berdekatan. Jadi saya dan abang Zul mengambil gambar pesisir pantai berlatar belakangkan pulau-pulau di perairan Teluk Ha Long dan juga sampan-sampan nelayan tempatan. Angin bertiup agak kuat juga, menyebabkan suhu agak sejuk di situ. Saya sempat buat satu live Facebook semasa di sini. Semasa di situ, kami terlihat di satu sudut di timur, terdapat bangunan berbentuk ikan paus. Musykil juga.

Kemudian abang Din kembali bersama kami, dan kami terus berjalan-jalan ke jalan pesisir pantai. Di sini dapat dilihat pembangunan pesat dengan beberapa buah hotel dan pusat perniagaan dibina. Memang setelah mendapat status salah satu dari New 7Wonders dalam alam sekitar pada tahun 2011 lepas, bandar Ha Long ini semakin membangun. Malah bangunan Muzium dan Perpustakaan Quang Ninh juga berbentuk moden. Kami tidak masuk ke situ bukan sebab mahal atau apa, cuma tiada rasa hendak masuk sahaja. Bayaran masuk adalah 30 000₫ (+- RM6.00).

Tidak jauh dari itu, baru kami ternampak, bangunan berupa seperti ikan paus itu adalah Pusat Konvensyen dan Pameran Teluk Ha Long. Bangunan ini sebenarnya baru siap dan belum lagi dibuka kepada umum. Sempat jugalah saya buat live FacebookKami di situ seberapa seketika dan kemudian meneruskan perjalanan kami berjalan-jalan dengan menunggang motorsikal.

Dalam tengah-tengah berjalan, motorsikal abang Din hampir kehabisan minyak. Jadi saya melihat dalam aplikasi Google Maps untuk melihat stesen minyak. Jadi saya membawanya ke stesen tersebut dan abang Din mengisi 30 000₫ (+- RM6.00). Sempat juga saya mengambil gambar untuk mengetahui harga minyak di Ha Long ini. Bagi petrol RON 92 berharga 18 090₫ (+- RM3.62)/liter manakala petrol RON 95 pula berharga 18 940₫ (+- RM3.88)/liter. Selepas itu kami pun menyambung perjalanan dan kemudian kembali ke Bai Chay setelah hampir dua jam setengah berjalan-jalan. Kami kembali ke pusat bandar Bai Chay kerana cuaca semakin sejuk tatkala hari semakin gelap.

Saya menaiki motorsikal di Ha Long.

Permandangan perairan Teluk Ha Long dari bandar Ha Long (sebelah Ho Gai).

Saya dan permandangan perairan Teluk Ha Long.

Lagi permandangan dari pesisir. (Di hujung ganbar, terdapat bangunan berupa "ikan paus").

Bangunan berbentuk "ikan paus" ini adalah Pusat Konvensyen dan Expo Ha Long.

Harga minyak petrol di stesen Petromex, Ha Long. 
RON 92 berharga 18 090 (+- RM3.62)/liter & RON 95 berharga 18 940₫ (+- RM3.79)/liter.



Peta: Perjalanan bersiar-siar dengan motorsikal kami di sekitar kedua-dua bahagian bandar Ha Long.

Oleh kerana hari semakin sejuk, dan kami sebenarnya tidak makan lagi sejak petang semalam kecuali roti yang dimakan untuk alas perut. Mencari makanan halal memang agak sukar. Puas juga kami berpusing-pusing mencari makan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk makan makanan laut sahaja di restoran yang berdekatan dengan hotel di pusat bandar Bai Chay.

Hidupan laut seperti ikan, udang, sotong malahan yang eksotik seperti belangkas, kima besar, udang lipan dan sebagainya adalah masih hidup, bermakna ia segar. Kami bertanya harga dan ia ditimbang sebelum dimasak. Jadi kami memilih sejenis ikan dan juga kerang yang masing-masing dipanggang sahaja, agar kami rasa selesa dengan kandungan masakannya, kerana kalau dibuat lain, rasanya akan masuk ramuan yang kami ragu-ragu. Kalau dah ragu-ragu bermakna sudah tidak boleh makan.

Setelah lima belas minit, siap kedua-dua makanan dengan kami juga memesan nasi juga. Memang masa sampai semuanya masih panas, maka sedap di makan di masa cuaca sejuk ini. Namun ia tidak lama, selang beberapa minit semua yang panas menjadi sejuk. Rasa makanan pun agak sedap dengan ikan dipanggang dengan bawang, jadi rasa ikan agak manis. Kami minum kopi Vietnam bersama makan malam kami itu.

Setelah makan, maka kami pun membayar apa yang kami makan untuk makan malam tersebut. Harganya adalah 620 000₫ (+- RM124.00) semuanya, bermakna setiap kami membayar kira-kira 210 000₫ (+- RM42.00). Agak mahal juga, tapi kena makan juga.


Suasana Bai Chay di waktu senja.

Restoran Hai Duong, Bai Chay, yang menjadi tempat makan malam kami.

Pelanggan boleh memilih belangkas sebagai hidangan.

Atau siput kima besar,

Ikan panggang antara hidangan kami.

Resit Makan Makanan Laut di Ha Long.

Gambar permandangan kawasan Hong Gai dari Bai Chay waktu malam.

Selepas makan malam, kami bersiar-siar lagi, permandangan malam agak cantik juga dengan permandangan jambatan dan roda Ferris yang berwarna-warni lampunya. Tapi setakat itu sahaja. Ingatkan mahu ke pasar malam Bai Chay, namun cuaca agak sejuk mencapai 14oC (namun yang sebenar lebih sejuk lagi dipengaruhi angin sejuk malam). Jadi kami balik ke hotel saya. 

Saya yang tadi agak tahan sejuk berbanding kedua-dua abang saya, kini menjadi sebaliknya. Kedua-duanya duduk di lobi hotel namun saya terus naik ke bilik, membersihkan diri, bersolat, menonton televisyen dan terus tertidur walaupun malam masih awal lagi.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part);
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long.

Selasa, 7 Mac 2017

Hari 1 (Hanoi & Ha Long, Vietnam - 23 hingga 26 Februari 2017) - Persinggahan Di Ibu Negara Vietnam, Hanoi.

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long. 



Dataran Makam Ho Chi Minh, mercu tanda Hanoi, Vietnam.

Petunjuk: Waktu di Vietnam adalah UTC +7 iaitu sejam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Hanoi pula pukul 11:00 pagi.

Hari 1 (23 Februari 2017 - Khamis).

Saya bangun pagi ini pada pukul 3:00 pagi, agak lewat dari dijangkakan. Ini kerana saya perlu ada di KL Sentral pada pukul 3:30 pagi sebagai mana saya berjanji dengan abang Zul. Setelah siap membersihkan diri, pukul 3:30 pagi barulah saya dan isteri saya bertolak dari rumah. Nasib baik beg galas saya sudah siap pada malam tadinya (tapi masih tertinggal beberapa perkara kecil seperti kayu swafoto (selfie stick aka monopod) dan earphone). Pukul 3:45, barulah sampai di KL Sentral, dan isteri saya pun pulang semula ke rumah dengan membawa kenderaan kami sekali. Abang Zul sudah menunggu di stesen bas.

Saya terus ke kaunter bas dan memberikan kertas tempahan AirAsia yang ada tambahan tempahan bas shuttle ke klia2. Lebih baik beli tambahan bas shuttle ini di atas penempahan kita di laman web AirAsia dari membeli tiket di kaunter, di mana kita boleh berjimat sehingga RM6.20! Rasanya sudah banyak kali saya kongsikan perkara ini. Satu lagi, di KL Sentral ini, bas ke klia2 beroperasi 24 jam berbanding bas ke KLIA hanya beroperasi 5:30 pagi ke 12:00 tengah malam sahaja. 

Saya kemudian diberikan dua set tiket dan saya terus memberikan salah satu kepada abang Zul. Kami pun segera menaiki bas yang kemudiannya bertolak tepat pada pukul 4:00 pagi. Jika ikutkan sudah agak lewat sebenarnya. Perjalanan dari KL Sentral ke mengambil masa kira-kira 45 minit. Kami terus ke Balai Berlepas klia2 untuk menunggu abang Din yang sedang dalam perjalanan ke situ. Abang Zul terasa hendak minum pagi pula, walaupun rasanya kami sudah lambat. Nasib baik kami sudah tidak perlu daftar masuk lagi, kerana saya sudah mendaftar masuk kami semua melalui aplikasi AirAsia di dalam telefon saya dan kemudiannya mencetak pas pelepasan (kerana saya dan abang Din dalam satu tempahan yang sama, jadi tidak memungkin untuk aplikasi tersebut memberikan pas pelepasan secara elektronik sebagaimana abang Zul yang hanya dia sahaja di dalam tempahannya). Jadi kami tunggu abang Din di Bibik Herritage.

Sambil menunggu kopi cap 434 (kopi popular tempat asal usul saya), saya ke tandas dan kemudian ke mesin ATM CIMB untuk mengeluarkan wang tunai dalam Ringgit Malaysia sebagai persediaan. Setelah itu, saya pun pulang semula ke Bibik Herritage dan kopi pun dah siap.  Abang Din belum sampai lagi, sambil-sambil itu, sempat juga saya menjeling ke tempat abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam disembur dan diserkup kepalanya yang berlaku kira-kira 10 hari sebelum itu. Bila ingatkan kembali, seriau pula rasanya. Abang Din pun sampai pada masa itu, dan terus saya menghirup dengan banyak baki kopi yang ada. Juga menolong menghabiskan roti bakar abang Zul. 

Jam menunjukan pukul 5:20 pagi, huh, kami masih di Balai Berlepas, pintu pelepasan kami pula di sayap Q, huh kena berlari ini, jadi kami pun segera masuk ke dalam kawasan airside dengan segera. Ada kelainan ketika di pintu masuk ke pemeriksaan imigresen. Terdapat mesin penimbang diletakan sebelum pemeriksaan polis bantuan. Tapi nasib baik tiada petugas, rasanya AirAsia mengetatkan polisi membawa beg ke kabin pesawat. Apa-apa pun memang rezeki kami agaknya. Kami terus masuk dan terus ke pemeriksaan imigresen. Ini pertama, barisan pintu automatik menunggu lebih lama daripada barisan di kaunter biasa. Selepas agak lama menunggu di pintu automatik, saya berpindah ke kaunter biasa setelah melihat pemeriksaan agak lama di pintu automatik.

Selepas itu, pemeriksaan kastam pula, macam biasa sahaja, selesai sahaja, kami berjalan laju menuju ke sayap Q. Nasib baik pemeriksaan keselamatan di sini tidak panjang. Semua barang berlogam di badan termasuk tali pinggang dan kasut but saya dibuka, dan terus melalui pemeriksaan tanpa sebarang bunyi. Dengan hanya berstokin, saya berjalan ke pintu Q3 yang tidak berapa jauh dari pos pemeriksaan keselamatan tadi dan memakai semula semua kelengkapan di sana. Pada masa itu, pintu pelepasan sudah dibuka, tetapi barisan masih panjang lagi, jadi kami mengambil keputusan untuk ke tandas dan saya memenuhkan botol air saya dengan air. Usai sahaja, kami terus memasuki barisan yang tinggal beberapa orang sahaja dan akhirnya kami pun selamat memasuki pesawat 9M-AQE yang menjadi pesawat bagi penerbangan AK 516 dari klia2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Noi Bai, Hanoi, Vietnam (HAN).


Tiket bas shuttle dari KL Sentral ke klia2.

Tiket bas shuttle dari KL Sentral ke klia2.


(Dari kiri) Saya, abang Zul dan abang Din sebelum memasuki airside 
di Balai Berlepas klia2.

Jambatan udara yang diambil dari jambatan pelepasan Q3 klia2, sebelum menaiki pesawat.

Tepat pukul 6:05 pagi, bergeraklah pesawat kami meninggalkan pintu Q3 menuju ke landasan berlepas. Mungkin masa ini agak banyak pesawat beratur untuk berlepas, jadi pesawat kami hanya berlepas pada pukul 6:20 pagi, pada masa sama, saya bersolat Subuh di atas tempat duduk secara duduk (saya memang sudah mengambil wuduk sebelum itu).

Selepas itu, saya terlihat di depan saya terdapat logo WiFi roKKi, bermakna di pesawat 9M-AQE ini, terdapat perkhidmatan tersebut. Satu lagi cara adalah ketika hendak masuk pesawat, kita akan nampak juga logo WiFi di tepi kanan pintu masuk pesawat, ini bermakna pesawat yang kita naiki itu mempunyai perkhidmatan WiFi roKKi. Sebenarnya kita pun boleh memeriksa pesawat yang bakal dinaiki mempunyai perkhidmatan WiFi ini melalui laman web roKKi, cuma sejak kebelakangan, keputusannya tidak memberikan jawapan sebenar.

Perkhidmatan WiFi roKKi ini tidaklah percuma, di mana ia perlu dibayar. Boleh layari laman web roKKi untuk maklumat lanjut. Ia boleh dibayar tunai dengan pembantu penerbangan atau dengan kad kredit. Malah jika kita mengetahui lebih awal, bayaran pra tempahan adalah lebih murah daripada bayaran di dalam pesawat. 

Perkhidmatan WiFi ini bukan hanya untuk internet sahaja, malah terdapat juga perkhidmatan hiburan di dalam pesawat juga. Paling mengembirakan, perkhidmatan in adalah PERCUMA. Cuma kita perlu klik ruangan "WATCH" dan terdapat beberapa kandungan yang boleh menemani kita sepanjang penerbangan. Sebaiknya perlulah menggunakan earphone untuk mendengar agar tidak mengganggu penumpang lain. Alhamdulillah, abang Din sudi meminjamkan seutas earphone untuk saya gunakan, di mana dia membawa dua utas. Jadi dapatlah saya melihat The Harith Iskander Show dan ada masa saya terlepas tergelak (ada penumpang melihat saya, agaknya ingatkan saya ini gila, gelak seorang-seorang). Kita juga boleh membaca dengan mengelik ruangan "READ" atau ingin membeli-belah dengan barangan bebas cukai yang disediakan, klik sahaja "SHOP".

Setelah dekat sejam penerbangan, saya sebenarnya tidak sabar untuk menunggu kehadiran kereta sorong yang akan mengagihkan makanan yang telah ditempah awal, kerana saya hanya sempat makan sedikit sahaja tadi, jadi agak lapar juga. Akhirnya dua hidangan yang saya tempah iaitu Nasi Baryani Bukhara Ayam dan Nasi dengan Gulai Udang sampai juga. Kali ini, pembungkusan pek makanan juga telah ditukar dengan bekas plastik yang nampak lebih cantik dan kemas, berbanding bekas foil aluminum yang digunakan selama ini. Selain itu, sejak awal tahun 2017, AirAsia telah membuka pilihan bagi minuman, jadi saya menukar minuman kepada kopi dan juga minuman ringan yang berupa cola (jenama Est Cola), kerana saya sudah memang membawa air. Apa lagi, habis semuanya saya habiskan sebelum penerbangan ini sampai ke Hanoi hahaha.

Pesawat 9M-AQE yang mempunyai perkhidmatan WiFi roKKi.

Laman web perkhidmatan WiFi roKKi di atas penerbangan
untuk melihat hiburan, ia adalah percuma.

Antara hidangan yang saya pra tempah.

Setelah hampir empat jam terbang di udara, akhirnya selamat juga pesawat ini mendarat di HAN. Setelah keluar, kami terus berjalan ke kaunter imigresen untuk urusan masuk ke Vietnam dan kemudian melalui kawasan pengambilan bagasi dan kaunter kastam, akhirnya sampai di Balai Ketibaan, Terminal Antarabangsa HAN.

DI balai ketibaan ini, agak besar sikit berbanding LTA Tan Soo Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh/Saigon (SGN), begitu juga lapangan terbangnya keseluruhannya. Tapi orangnya tidak seramai di SGN. Kami terus mengambil ke kiri balai ketibaan ini, pada masa sama, perayu teksi bertanyakan kami untuk perkhidmatan mereka, dan walaupun saya telah berkata tidak mahu, mereka masih berusaha. Kami buat tidak tahu sahaja. Sambil itu, sempat juga kami melihat kadar pakej pelancongan dan juga jualan kad SIM. Agak mahal dengan paling murah pun kad SIM dijual pada harga 300 000₫ (+- RM60)! Itu pun untuk 1GB sahaja. Memanglah, kerana sama seperti di SGN, di HAN juga tiada kaunter/gerai syarikat telekomnukasi rasmi, yang menjual kad SIM prabayar ini adalah agen juga. Jadi kami pun tidak mengambil dengan mereka dan mengambil keputusan untuk membelinya apabila sampai di Hanoi nanti.

Peta Laluan Pesawat AirAsia AK 516 23 Februari 2017 daripada FlightRadar24.

Cop pasport masuk imigresen Vietnam.

Kami keluar dari bangunan terminal dan terus terasa sejuk. Angin sepoi-sepoi bahasa menghembus ke badan kami. Tapi tidaklah sesejuk semasa kembara saya ke Tehran, Iran, lebih kepada sejuk semasa kembara saya ke Sydney, Australia sahaja. Kami berjalan kaki kira-kira dalam satu kilometer untuk ke Stesen Bas Terminal Domestik HAN. Dalam perjalanan ke stesen bas tersebut, saya ternampak perkhidmatan bas shuttle antara Terminal Domestik dan Terminal Antarabangsa, cuma kami tidak menaikinya kerana ia hanya diambil di aras berlepas dan kedudukan stesen bas lebih dekat, malah jika berjalan lebih jauh dari perjalanan yang kami ambil, itu belum dikira masa lagi yang lebih lama. Tapi kalau hendak guna tiada masalah. Lagipun jarak antara kedua-dua terminal ini agak jauh juga.

Setelah berjalan kaki kira-kira hampir 15 minit, maka sampailah kami di stesen bas. Stesen bas ini terletak hujung di kawasan parkir kereta betul-betul sebelah pondok bayaran parkir. Terdapat beberapa perkidmatan dari sini, namun fokus kami adalah untuk mengambil bas bernombor 17 yang akan terus ke Stesen Bas Long Bien yang terletak di sebelah kawasan Old Quarter Hanoi, malah agak dekat dengan hotel kami nanti. Sebenarnya terdapat juga bas lain malah bas tersebut beroperasi melalui Terminal Antarabangsa, cuma ia perlu bertukar bas lain apabila sampai di dalam bandaraya Hanoi seperti bas bernombor 7 yang akan ke Stesen Bas  Thang Long dan kemudian bertukar kepada bas-bas yang akan ke Old Quarter. Bagi saya, lebih baik ambil bas 17 sahaja, malah tambang pun lebih murah, iaitu cuma 9000₫ (+- RM1.80)/orang sahaja seperjalanan.

Apabila sampai, kami terus menaiki bas yang akan bergerak selepas itu di mana dalam masa 3 minit kemudian, bas ini pun memulakan perjalanannya. Bas ini memang tidak melalui Terminal Antarabangsa, di mana ia terus membuat pusingan U sejurus keluar dari pondok parkir iaitu setentang dengan jalan masuk ke terminal tersebut. Seterusnya kami menghayati perjalanan ke Long Bien yang melalui kawasan luar bandar, kerana bas ini memang tidak melalui lebuhraya untuk ke Hanoi. Memang nampak sawah padi dan kebun sayur di sepanjang perjalanan. Jalan pun tidaklah sesak sangat. 

Namun apabila melepasi sebuah jambatan yang juga berkongsi dengan landasan keretapi, bas ini mula memasuki memasuki kawasan perbandaran dan jalan agak sibuk sikit. Di sini mula nampak keVietnaman, kerana mula nampak banyak motorsikal dan sistem aliran trafik yang bagi orang Malaysia agak kelam kabut. Ironinya, tidak pula nampak kecelakaan berlaku. Oh lupa, di Vietnam, kenderaan dipandu di sebelah kiri dan menggunakan lorong di sebelah kanan, terbalik daripada sistem di Malaysia.

Keadaan lebih sibuk dan makin sesak apabila tiba di kawasan Gia Lam dan seterusnya apabila melintasi Sungai Merah dengan menggunakan jambatan besi (Jambatan Cau Chuong Duong). Luas sungguh sungai ini. Kenderaan seperti tidak putus-putus di atas jambatan ini. Tidak lama selepas melepasi jambatan ini, setelah berjalan kira-kira sejam suku, maka sampailah kami di Stesen Bas Long Bien pada pukul 10:30 pagi. 


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Terminal Antarabangsa HAN 
ke Stesen Bas Terminal Domestik HAN.

Terminal Antarabangsa, 
Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Noi Bai, Hanoi, Vietnam (HAN).

Kami berjalan kaki menuju Stesen Bas Terminal Domestik HAN.

Perkhidmatan bas shuttle antara Terminal Domestik dan Terminal Antarabangsa HAN.

Bas henti-henti bandaraya Hanoi nombor 17 di Stesen Bas Terminal Domestik HAN.

Suasana di dalam bas nombor 17.

Tiket bas bandar Hanoi nombor 17 
(dari Terminal Domestik Lapangan Terbang Noi Bai ke Stesen Bas Long Bien).


Suasana permandangan dari dalam bas ketika perjalanan ke Hanoi.

Suasana permandangan sawah padi dari dalam bas ketika perjalanan ke Hanoi.

Permandangan Jambatan Cau Long Bien merentasi Sungai Merah dari Jambatan Cau Chuong Duong.

Stesen Bas Long Bien.



Peta: Perjalanan bas dari Stesen Bas Terminal Domestik HAN ke Stesen Bas Long Bien.



Streetview: Stesen Bas Long Bien.


Sampai di situ, saya pun menggunakan aplikasi Google Maps yang saya simpan awal-awal peta Hanoi secara luar talian. Jadi kami pun berjalan kaki di kaki lima di jalanan Hanoi ini. Terdapat banyak motorsikal yang diparkir di atas kaki limanya, menyebabkan agak sukar sikit kami berjalan. Ditambah pula terdapat gerai jalanan terutama gerai makanan yang membuka bangku kecil yang disusun di kaki lima ini. Memang kerja kami mengelak halangan-halangan ini. Malah di atas kepala kami, hanya dalam beberapa jengkal (ada masa hanya sejengkal sahaja), kabel elektrik yang mempunyai arus hidup tergantung di sepanjang kaki lima. Memang melihat kabel elektrik ini agak berselirat dan berserabut.

Dalam perjalanan, kami ternampak juga Pintu Gerbang O Quan Chuong, antara pintu gerbang kota lama Hanoi yang masih kekal di Old Quarter ini. Ini memandakan destinasi kami akan sampai tidak lama lagi. Betullah, selepas sepuluh minit berjalan, akhirnya kami pun sampai di Atrium Hotel Hanoi, penginapan kami untuk hari dan malam ini, sebelum keesokan harinya yang kami akan ke Ha Long pula.

Kabel elektrik yang berselirat di atas ruang pejalan kaki di Hanoi.

Pintu Gerbang O Quan Chuong, Old Quarter, Hanoi.

Abang Zul di Atrium Hanoi Hotel.


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Stesen Bas Long Bien ke Atrium Hotel Hanoi.


Oleh kerana kami sampai di hotel masih awal, maka kami tidak boleh memasuki bilik lagi. Kami menitipkan beg kami dan saya tetap mendaftar masuk agak kami mendapat pengesahan bilik agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini seperti tiada bilik (satu alasan yang tidak munasabah tapi pernah berlaku tapi bukan dengan Hotels.com), atau jenis bilik yang diminta tiada atau paling tidak diingini, beg hilang. Sekurang-kurangnya, apabila kita sudah daftar masuk, beg kita menjadi tanggungjawab hotel. Sempat juga saya membuat live Facebook di situ.

Setelah itu, kami semua berjalan di sekitar kawasan Old Quarter di bandaraya Hanoi ini. Jalan-jalannya agak sempit, walaupun hanya boleh dimasuki sebuah kereta sahaja, tetapi jalannya itu merupakan jalan dua hala. Menariknya, ada jalan yang lebih lebar tetapi hanya sehala sahaja arahnya. Kita perlu berhati-hati ketika berjalan kerana motorsikal memang bersimpang-siur. Berjalanlah melawan arus iaitu sentiasa berada di kiri jalan, demi keselamatan. Tetapi inikan Vietnam, motorsikal terutamanya akan menggunakan arah jalan yang salah, sekurang-kurangnya kita sudah melakukan perkara yang mengurangkan risiko kecelakaan. Kami berjalan berpandukan aplikasi Google Maps dan juga peta yang juga menjadi rujukan alamat bagi hotel Atrium Hotel, yang disediakan mereka.

Berjalan-jalan akhirnya sampai juga ke kawasan tepi Tasik Hoan Kiem, iaitu umpama jantung bagi kawasan Old Quarter Hanoi ini. Kami sebenarnya bila dah sampai di kawasan ini, mempunyai tujuan iaitu ingin ke Pejabat Pos Hanoi, untuk membeli kad SIM prabayar Vinaphone. Kami memilih Vinaphone, berdasarkan pengalaman saya sebelum ini dan juga cadangan daripada staf Atrium Hotel yang lebih mencadangkan Vinaphone berbanding syarikat telekomunikasi mudah alih lain seperti ViettelMobifone atau Vietnamobile. Lagipun Vinaphone ini milik VNPT (Vietnam Post & Telecomunication), syarikat telekomunikasi utama Vietnam. Jadi hendak mencari cawangannya, memang mudah iaitu ia akan berada di pejabat pos.

Dalam perjalanan memang banyak tugu-tugu dan tempat-tempat menarik seperti Tokong Ngoc Son. Antara tugu utama adalah Tugu Ly Thai To (maaf gambarnya tidak saya ambil), yang mana Ly Thai To ini merupakan raja bagi Annam (kawasan Vietnam Utara yang merangkumi Hanoi) dan pemula bagi Dinasti Ly. Beliaulah yang membuka bandar Hanoi pada tahun 1010 dan menjadikan ia pusat pentadbirannya. Boleh baca Wikipedia untuk maklumat lanjut.

Peta kawasan Old Quarter Hanoi daripada Atrium Hotel Hanoi.


Suasana lorong sempit di Old Quarter, Hanoi.

Antara tugu di sekitar Tasik Hoan Kiem, Hanoi.

Tokong Ngoc Son di Tasik Hoan Kiem.

Di sebelah Tugu Ly Thai To adalah tempat tujuan kami, Pejabat Pos Hanoi. Sampai di pintu masuk, terdapat seorang lelaki datang pada kami dan bertanyakan kami mahu beli setem atau kad SIM, walaupun sebenarnya saya hendak ke pejabat VNPT yang ada di tepi itu sahaja. Saya sahaja ikut lelaki itu, oh rupanya ada juga tout atau perayu persendirian yang beroperasi di pejabat pos ini. Bila saya tanyakan pakej kad SIM prabayar, terus dia tuliskan dalam resit dengan harganya yang melambung lebih 200 000₫ (+- RM40) dengan harga kad SIM lain la, harga internet lain lah. Jadi saya kata tidak mengapalah, pasal saya cuma tanya bukan nak beli, terus saya berjalan laju masuk ke dalam pejabat VNPT. Lagipun pengalaman saya, pernah saya beli harga dalam 150 000₫ (+- RM30) sahaja semasa di Bandaraya Ho Chi Minh.

Di dalam pejabat VNPT, abang Din dah bersedia berurusan di kaunter.  Dia mendapat pakej data termurah sebanyak 150 000₫ yang mana akan mendapat data sebanyak 5GB dalam masa 30 hari! Wow, ini lebih baik dari pakej yang pernah saya dapat sebelum ini. Cuma tiada kredit untuk panggilan suara dan sms sahajalah. Bagi saya tidak mengapa buat kali ini kerana masing-masing memang perlukan lebih data. Jika ingin panggilan suara, banyak aplikasi media sosial seperti Whatsapp, LINE dan sebagainya yang membolehkan kita bukan sahaja menghantar mesej tetapi juga membuat panggilan suara malah panggilan video sekali! Jadi kami masing-masing pun mengambil pakej tersebut, yang mana yang paling murah ditawarkan.

Pejabat Pos Hanoi.

Kaunter VNPT, tempat kami membeli kad SIM.


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Atrium Hotel ke Pejabat Pos Hanoi.



StreetviewPejabat Pos Hanoi.

Kad SIM Vinaphone.

Selepas mendapat kad SIM berdata, yang mana ia terus diaktifkan pada masa itu, maka kami pun terasa lebih hidup. Walaupun kami ini pengembara, namun jika ada perkara seperti kad SIM berdata ini, lebih memudahkan kami. Jadi tidak perlu mengusung peta dan bukan Lonely Planet, cukup sekadar telefon bimbit berdata, semua maklumat yang diperlukan dengan hanya di hujung jari.

Kami terus bersiar-siar di Taman Tasik Hoan Kiem ini. Sempat juga saya membuat live Facebook di kawasan ini. Jadi kami pergi semula tempat yang hanya kami lalu tadi terutamanya Tokong Ngoc Son. Namun untuk masuk ke tokong ini dengan menggunakan jambatan kayu berwarna merah untuk menyeberangi tasik ini, perlu membayar 30 000₫ (+- RM6). Boleh sahaja untuk ke sana, tapi saya rasa macam tidak ada apa yang menarik jadi kami tidaklah masuk ke tokong ini. 

Di kawasan taman di tasik ini, banyak juga penjaja menjual makanan jalanan dan buah-buahan. Jadi saya membeli buah campur (terutama saya lebihkan mangga masam, kerana mengurangkan rasa loya di tekak pada ketika itu) dengan harga 26 000₫ (+- RM5.20), yang mana rupanya ia ditimbang, rasanya 90 000₫ (+- RM18)/kilogram. Agak mahal juga, mungkin pasal harga pelancong (harga di pasar Dong Xuan, Old Quarter lebih murah, malah boleh beli dengan harga minima 10 000₫ (+- RM2) sahaja).

Kami meneruskan perjalanan dan saya perasan dari hotel tadi, terdapat banyak kereta buggy elektrik di kawasan Old Quarter ini. Rupanya ia adalah salah satu pengangkutan di kawasan Old Quarter ini. Setiap kereta buggy mempunyai laluannya sendiri dan hanya bergerak apabila ada permintaan, bukan macam bas biasa. Saya lupa hendak bertanya berapa harga jika kita menaiki kereta buggy ini.

Seterusnya, abang Din berminat untuk menonton wayang boneka air yang panggungnya berada tidak jauh dari Tokong Ngoc Son tadi. Harga untuk menonton wayang ini adalah 100 000₫ (+- RM20) bagi dewasa dan 60 000₫ (+- RM12) bagi kanak-kanak yang ketinggiannya kurang 1.2 meter. Saya pun berminat juga, namun apabila di kaunter, kami dimaklumkan tiket untuk kesemua persembahan untuk hari tersebut telah habis. Tiket untuk persembahan pada hari-hari seterusnya juga agak terhad juga. 

Setiap persembahan adalah selama 1 jam dan setiap hari terdapat sekurang-kurangnya lima buah persembahan dan boleh ditambah kepada tujuh buah persembahan (seperti pada minggu kami pergi, terdapat persembahan tambahan pada Selasa malam dan tengahari Jumaat). Diingatkan bahawa jika membawa kamera biasa (kompak, SLR, DSLR dan semua jenis kamera) akan dikenakan bayaran 20 000₫ (+- RM4) dan kamera video pula sebanyak 60 000₫ (+- RM12)! Saya tidak pasti kalau telefon bimbit berkamera dikira juga.

Di sekitar kawasan ini, juga terdapat banyak penjaja makanan jalanan, yang membuka gerai di kaki lima jalan. Mereka ini akan menyusun bangku-bangku dan meja kecil dan pelanggan akan duduk makan di bangku-bangku dan meja kecil ini. Umpama seperti makan bercangkung cuma lebih sopan sikitlah.


Tasik Hoan Kiem.

Bunga yang berkembang segar di Taman Tasik Hoan Kiem.

Papan kenyataan Tokong Ngoc Son.

Jambatan kayu yang menghubungkan tanah besar dengan pulau Tokong Ngoc Son.

Lagi permandangan Tasik Hoan Kiem.


Kereta buggy yang menjadi pengangkutan (bas mini) di sekitar Old Quarter.

Panggung wayang boneka air Hanoi.

Kaunter tiket panggung wayang boneka air Hanoi.

Tiket untuk hari ini sudah habis.

Jika membawa kamera, terdapat bayaran tambahan di panggung wayang boneka air Hanoi.

Tempat makan jalanan di Hanoi.

Oleh kerana melihat ramai orang makan, maka kami pun mulai lapar, maka misi seterusnya mencari tempat makan tengahari. Di dalam aplikasi Google Maps dan juga berdasarkan bacaan saya sebelum ini, terdapat sebuah restoran yang menyajikan makanan halal terutama makanan Vietnam iaitu Nisa Restaurant yang juga memang tempat makanan halal terdekat. Kami pun berjalan kaki ke situ.

Akan tetapi bila kami sampai di situ, restorannya sudah tiada lagi. Sudah tutup terus. Sedih betul. Jadi saya kembali merujuk kepada Google Maps, dan tidak jauh dari situ, iaitu hanya dibelakang jalan sahaja, terdapat sebuah restoran makanan India halal, iaitu Tandoor Restaurant. Alhamdulillah, syukur. Jadi kami pun ke situ dengan kadar cepat dan cergas sekali!


Tandoor Restaurant
24 Hàng Bè, Hàng Bạc 
Hoàn Kiếm, Hà Nội
Vietnam
+84438245359

Apabila sampai di depan restoran tersebut, nampak macam biasa sahaja. Tiada yang luar biasa, ingat seperti keadaan premis perniagaan di Hanoi yang lain. Kami pun melihat menu yang ada di luar restoran. Agak mahal juga, namun apakan daya, itu sahaja pilihan yang kami ada. Lagipun kami masih di awal kembara, masih "kaya" (cash rich), hahaha. Namun apabila kami melangkah masuk, huh, nampak macam premis yang mewah juga. Kami mengambil tempat di tingkat atas.

Memang selesa juga apabila duduk di tempat duduk yang betul-betul di tepi tingkap. Malah sebenarnya, terdapat beranda di tingkap tersebut dan beranda itu kita boleh berada di situ untuk melihat suasana persekitaran dari tingkat atas. Dari tempat duduk kami pun sebenarnya boleh nampak suasana di bawah itu.

Pelayan memberikan menu untuk kami pilih dan terus beredar untuk melayan pelanggan lain. Tidak lama kemudian dia kembali dan mengambil pesanan kami. Saya memesan nasi baryani kambing dan minum air teh bunga teratai, kiranya gabungan antara citarasa India dan Vietnam.

Tempoh menunggu dari masa pesanan ke masa menerima hidangan yang dipesan agak lama juga, adalah dalam setengah jam juga. Nasib baik ada WiFi percuma, walaupun kami sudah ada plan data yang agak banyak, tapi adat bila jumpa WiFi percuma, pasti hendak menggunakannya, huhuhu. Dapat juga layan YouTube dan lagu-lagu. Setelah lama menunggu, akhir sampai juga hidangan kami. Apa lagi, upacara membaham pun bermulalah. Bahagian hidangan pun agak besar, jadi rasanya boleh lepas sehari juga tidak perlu makan lagi. Memang dasar sang bedal dan sang batik juga aku ini hihihi.

Setelah selesai makan tengahari, maka saya terus membayar keseluruhan hidangan kami bertiga dengan menggunakan kad kredit saya, di mana selepas ini, saya akan menuntut kepada kedua-dua abang saya itu. Keseluruhannya berjumlah 485 100₫ (+- RM97.02) (yang mana harga hidangan kami cuma 433 000₫ (+- RM86.60) sahaja, yang lebihnya 44 100₫ (+- RM8.82) tu adalah  10% VAT (Value Added Tax - Cukai Nilai Tambah) versi nama Vietnam bagi GST (Goods and Services Tax - Cukai Barangan dan Perkhidmatan) Malaysia, tapi macam lebih 10% sahaja). Bahagian saya, 190 000₫ (+- RM38.00) (172 000₫ (+- RM34.40) + 18 000₫ (+- RM3.60) 10% VAT). 

Restoran Tandoor, Old Quarter, Hanoi.


Peta: Perjalanan dari Pejabat Pos Hanoi ke Restoran Tandoor.



StreetviewRestoran Tandoor.

Keadaan dalaman Restoran Tandoor.

Nasi Baryani Kambing di Restoran Tandoor, Hanoi.

Resit Restoran Tandoor Hanoi.

Selepas membayar makan tengahari kami, kami pun keluar dari restoran dan saya membuka aplikasi Uber dan Grab yang mempunyai perkhidmatan di bandaraya Hanoi ini, untuk melihat yang mana memberikan perkhidmatan yang lebih murah, bagi perjalanan dari hadapan Restoran Tandoor ke destinasi seterusnya, Makam Ho Chi Minh (Ho Chi Minh Mausoleum). Akhirnya, Uber yang memberikan tambang lebih murah, iaitu sebanyak 26 000₫ (+- RM5.20). Dalam masa kurang lima minit, kereta yang kami pesan pun tiba. Cuma pemandunya tidak dapat berbahasa Inggeris sahaja.

Jadi perjalanan kami ke Makam Ho Chi Minh, asalnya dikatakan cuma mengambil masa 17 minit, menjadi 25 minit kerana jalan yang dilalui agak sesak. Nasib baik harganya telah ditetapkan awal, dan tidak ditambah kerana masa kesesakan tersebut. 

Apabila sampai, terdapat salah faham oleh pemandu Uber. Saya pun terlupa yang saya telah membuat tetapan pada aplikasi Uber di dalam telefon bimbit saya, bayaran secara kad kredit. Jadi walaupun pada telefon bimbit pemandu tersebut tercatat 0₫, tetapi saya membayar juga secara tunai, 30 000₫ (+- RM6.00). Pemandu tersebut juga tidak mengembalikan baki 4000₫ (+- RM0.80), saya ingat memang budaya di Hanoi agaknya.

(Setelah diperiksa akaun kad kredit saya beberapa hari selepas itu, ternyata saya telah dicaj, bermakna saya telah dicaj dua kali. Nasib baik apabila saya meneliti kembali sejarah tempahan saya di dalam akaun saya, saya memohon pengembalian wang kepada pihak Uber, dan mereka mengembalikan caj tersebut kepada akaun kad kredit saya beberapa hari selepas saya membuat aduan. Saya juga membuat aduan baki 4000₫ yang tidak dapat dan pihak Uber memberikan Uber Credit yang hanya boleh digunakan di Vietnam sahaja, sebanyak itu juga untuk digunakan selepas ini).

Akhirnya sampai juga ke mercu tanda utama bandaraya Hanoi ini. Makam Ho Chi Minh ini merupakan makam kepada Presiden dan juga Perdana Menteri pertama Vietnam selepas kemerdekaan daripada penjajah Perancis selepas Perang Dunia Kedua. Beliaulah ikon kemerdekaan Vietnam yang mana beliaulah peminpin perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Perancis. Juga semasa Perang Vietnam antara Vietnam Utara yang dipimpin beliau yang berfahaman sosialis dan komunis dengan Vietnam Selatan yang berfahaman demokrasi yang disokong Amerika Syarikat, beliau jugalah ikon yang menentang musuhnya, sehingga Vietnam Selatan dan Amerika Syarikat dikalahkan dan Vietnam kembali bersatu. Akhirnya bandaraya tersebar di Vietnam yang terletak di selatan iaitu Saigon, ditukar namanya dengan mengabadikan nama beliau. Beliau telah meninggal dunia pada 1969, tatkala Perang Vietnam masih giat berlaku dan makam ini didirikan untuk mengabadikan mayatnya yang sebenarnya bertentangan dengan wasiatnya yang ingin dikebumikan dengan cara sederhana. Boleh merujuk lanjut Wikipedia untuk artikel tentang Ho Chi Minh dan juga makamnya juga.

Dataran di depan makam ini merupakan tempat utama bagi menjalankan majlis utama negara seperti perarakan Hari Kebangsaan Vietnam dan sebagainya. Bertentangan dengan makam ini juga terdapat Dewan Perwakilan Rakyat iaitu seperti Parlimen bagi Vietnam. Di sekeliling dataran ini, terdapat pejabat-pejabat kerajaan, malah Istana Presiden lama yang kini menjadi galeri Ho Chi Minh dan juga Istana Presiden baru yang bertentangan dengan yang lama juga berada berdekatan dengan dataran ini.

Tatkala kami di situ, Makam Ho Chi Minh ini telah ditutup, bermakna kami tidak sempat untuk melihat tubuh terbujur Ho Chi Minh yang diawetkan, yang mana hanya dibuka setiap hari kecuali hari Isnin dan Jumaat dari pukul 8:00 pagi hingga 11:00 pagi sahaja. Makam ini dikawal oleh pengawal daripada pihak tentera yang beruniform serba putih.

Kami berada di dataran ini lebih kurang 20 minit dengan mengambil gambar dan juga berswafoto. Saya juga membuat live FacebookKetika itu juga, kami terlihat, terdapat petugas yang membuat kerja-kerja selenggaraan rumput di dataran itu. Memang teliti juga kerja mereka, asal ternampak lalang atau rumput yang bukan jenisnya, akan ditarik sehingga ke akar untuk dibuang.



Peta: Perjalanan kereta Uber dari Restoran Tandoor ke Dataran Ho Chi Minh, Hanoi.


Ringkasan perjalanan Uber kami.


StreetviewDataran Ho Chi Minh, Hanoi.


Dataran Makam Ho Chi Minh, mercu tanda Hanoi, Vietnam.

Dewan Perwakilan Rakyat (Parlimen) Vietnam.

Gambar Panorama Dataran Makam Ho Chi Minh, Hanoi.

Pekerja sedang menyelenggara rumput di Dataran Makam Ho Chi Minh.

Pekerja sedang menyelenggara rumput di Dataran Makam Ho Chi Minh.

Video: Bendera Vietnam sedang berkibar di Dataran Makam Ho Chi Minh, Hanoi, Vietnam. 

Selepas puas mengambil gambar di Makam Ho Chi Minh, kami pun segera bergerak ke destinasi seterusnya. Mula-mula kami ke Istana Presiden lama yang dulu merupakan kediaman rasmi Presiden Vietnam. Asalnya bangunan ini merupakan kediaman rasmi bagi Gabenor penjajah Perancis bagi Indochina (Vietnam, Laos dan Kemboja), yang mana Hanoi merupakan ibu negeri bagi keseluruhan Indochina, bukan sekadar Vietnam sahaja. Kini ia menjadi galeri bagi sejarah hidup Ho Chi Minh. Kami tidak masuk kerana dikenakan bayaran masuk sebanyak 40 000₫ (+- RM8.00) sahaja, lagipun akan mengambil masa juga jika kami masuk.

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan, dan alhamdulillah walaupun kami tidak dapat masuk, namun kami dapat juga mengambil gambar Istana Presiden lama ini. Sebenarnya pagar Istana Presiden ini telah ditutup agar orang tidak dapat mengambil gambar dari luar, namun di bekas pintu masuk utama, terdapat ruangan yang boleh kami ambil gambar yang jelas sekali. Jadilahkan.

Di situ juga, di seberang jalan, merupakan Istana Presiden yang baru, jadi kami ambil gambar depannya sahaja. Selepas itu, kami terus berjalan kaki untuk ke destinasi kami sebenarnya, Tugu John McCain. Perjalanan kira-kira hampir 2 kilometer dari Makam Ho Chi Minh ini, kami melalui juga Tokong Quan Thanh, tetapi kerana ia dikenakan bayaran masuk 30 000₫ (+- RM6.00) kami tidak masuk, bukan keinginan kami sebenarnya.

Kami berjalanan melalui tambak yang menjadi Jalan Thanh Nien yang merentasi Tasik Ho Tay yang merupakan tasik terbesar di Hanoi. Bandaraya Hanoi ini sememangnya mempunyai banyak tasik. Semasa kami berjalan itu, memang nampak permandangan cantik Tasik Ho Tay berlatar belakangkan bandaraya Hanoi. Terdapat juga orang yang membuat banyak aktiviti di sekitar tasik ini. Diperhatikan juga, sampai pulau di tengah-tengah tasik juga terdapat orang membuat kerja penyelengaraan dan juga terapat orang menangkap ikan. Malahan, terdapat beberapa orang menjual popia yang dieja bo bia oleh orang Vietnam. Setelah kira-kira setengah jam berjalan dari Makam Ho Chi Minh, sampailah kami di Tugu John McCain yang terletak di tengah-tengah tambak ini.

Tugu ini sebenarnya didirikan oleh kerajaan Vietnam bagi menandakan tempat di mana John McCain ditahan selepas pesawatnya ditembak jatuh ketika pada tahun 1967 ketika Perang Vietnam, dan beliau menyelamatkan diri dengan terjun dengan payung terjun sebelum pesawat itu terhempas tidak jauh dari situ. John McCain pada ketika itu merupakan juruterbang bagi Tentera Laut Amerika Syarikat, dan dengan penangkapan itu, beliau telah menjadi tahanan perang selama hampir enam tahun. Setelah pulang ke Amerika Syarikat, beliau aktif di dalam bidang politik dan menjadi Senator di Dewan Senat Amerika Syarikat mewakili negeri Arizona dari tahun 1987 hingga kini. Malah beliau menjadi calon parti Republikan di dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008, melawan calon Demokrat yang menang dalam pilihanraya tersebut iaitu Barack Obama. Cerita lanjut tentang Senator John McCain boleh dibaca di Wikipedia.


Papan maklumat Istana Presiden lama, Hanoi.

Pintu pagar utama Istana Presiden lama, Hanoi.

Istana Presiden lama, Hanoi.

Istana Presiden baru, Hanoi.

Tokong Quan Thanh.

Permandangan Tasik Ho Tay.

Pekerja-pekerja sedang menyelenggara sebuah pulau di Tasik Ho Tay.

APeniaga menjual popia di Tambak Thanh Nien (merentangi Tasik Ho Tay).

Seorang nelayan sedang menangkap ikan di Tasik Ho Tay.



Peta: Perjalanan kaki dari Dataran Ho Chi Minh ke Tugu John McCain.



StreetviewTugu John McCain.
Tugu John McCain.


Selepas seketika di Tugu John McCain ini, kami ke Pagoda Tran Quoc pula yang berada tidak jauh dari tugu ini. Pagoda ini masuk percuma. Senibinanya agak unik juga. Terdapat sami-sami Buddha yang membaca mentera ketika kami hadir di situ.

Di pagoda ini juga kami dapat melihat lebih jelas Tasik Ho Tay ini. Kami berada di pagoda ini cuma beberapa ketika sahaja, dan kami terus keluar dan menggunakan aplikasi Uber untuk mencari pengangkutan pulang ke hotel untuk mendaftar masuk. Tidak lama juga, terdapat pemandu yang sudi mengambil kami. Tambang dikenakan adalah sebanyak 25 000₫ (+- RM5.00). Kali ini jalan yang digunakan tidak berapa sesak. Dalam masa 10 minit, kami sudah sampai di hotel.

Kami pun mendaftar masuk dan diberikan bilik di tingkat 4. Nasib baik Atrium Hanoi Hotel ini mempunyai lif, tidak adalah termengah-mengah memanjat tangga. Cuma lifnya kecil sahaja. Sampai di bilik, kami diberikan sebuah katil bersaiz King dan sebuah katil bujang, sebagaimana yang dijanjikan dalam tempahan. Jadi kami bergilir-gilir membersihkan diri dan berehat untuk beberapa jam. Diperharikan juga, soket elektrik sudah pastinya berbeza dari di Malaysia. Ia lebih kurang seperti soket elektrik di Thailand iaitu yang boleh menerima plug elektrik dari  jenis A, jenis C dan jenis D. Jadi memang perlu ada penyuai soket untuk menggunakan plug jenis G seperti digunakan di Malaysia.


StreetviewPagoda Tran Quoc.


Pagoda Tran Quoc.

Tasik Ho Tay.



Peta: Perjalanan kereta Uber dari Pagoda Tran Quoc ke Atrium Hotel.


Bilik kami penginap di Atrium Hanoi Hotel.

Soket elektrik yang digunakan di Vietnam, jenis A, jenis C dan jenis D. 

Pada pukul 6:30 malam, iaitu selepas Maghrib yang masuk sekitar pukul 5:50 malam, setelah usai bersolat, kami pun berjalan-jalan ke sekitar kawasan Old Quarters ini. Bukan untuk membeli belah, hanya sekadar ingin melihat suasana malam. Memandangkan malam ini merupakan malam hari biasa, jadi tidak berapa meriah sangat. Memang banyak kedai-kedai masih dibuka cuma tidak serancang jika pasar malam dibuka pada malam minggu. Namun saya terbeli juga cenderahati tatkala berada di kawasan sekitar Tasik Hoan Kiem. Satu tindakan yang salah kerana harganya agak mahal seperti magnet peti ais dijual 30 000₫ (+- RM6.00) sekeping dan juga penutup muka juga dijual pasa harga yang sama. Agaknya pasal takut tidak jumpa, saya beli juga. Betul-betul selepas itu, ada satu kedai yang menjual penutup muka pada harga 10 000₫ (+- RM2.00) sahaja! Hah, menyesal. (Magnet peti ais dan rantai kunci lebih baik beli di pasar malam pada malam minggu atau di Pasar Dong Xuan yang tidak jauh dari Atrium Hanoi Hotel, boleh lihat di peta atau di aplikasi Google Maps).


Suasana malam biasa di Old Quarter, Hanoi.

Restoran Barack Obama, Old Quarter, Hanoi.

Selepas kira-kira 3 jam berjalan, kami pun pulang ke hotel. Dalam perjalanan, kami melalui kawasan yang banyak bar, memang hidup juga. Malah kami melalui sebuah restoran yang pernah dikunjungi bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, semasa kunjungan beliau ke Hanoi, di mana beliau makan bersama chef selebriti terkenal, Anthony Bourdain. Kini, restoran tersebut menggunakan nama beliau sebagai nama restorannya.

Sebelum sampai di hotel, saya membeli dua buku roti di kedai bakeri yang terletak di hadapan hotel, sebagai bekalan untuk keesokan harinya. Selepas itu kami menaiki ke bilik kami dan menyelesaikan hal perbelanjaan kami pada siang hari tadi. Selepas selesai, abang Din dan abang Zul turun ke bawah untuk bersiar-siar lagi agaknya dan saya pun merehatkan diri, terus tertidur.


Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long.