Hari 6 - 03 Februari 2015 (Selasa).
Pagi ini kami bangun pagi. Sebenarnya awal lagi saya dah bangun iaitu pukul 3:00 pagi,tapi suasana di Jakarta adalah sejam setengah lebih lewat, contoh kalau pukul 5:00 pagi umpama sudah pukul 6:30 di Malaysia. Maka buat apa yang patut.
Selepas solat subuh, saya dan isteri mengemas kembali beg-beg kami. Kebanyakan barang kami masukan ke dalam beg galas 90 liter kami. Baju-baju yang belum dipakai dimasukan di dalam beg galas 30 liter pula. Dokumen-dokumen dan kabel-kabel telefon bimbit dimasukan di dalam beg galas kecil.
Jam 8:30 pagi, kami mendaftar keluar. Memang cepat dan pantas perkhidmatan hotel ini. Kami pun berjalan kaki ke depoh bas Damri Kemayoran yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari hotel. Walaupun lagi 5 jam lagi dari masa berlepasnya penerbangan kami, tapi kami risau akan keadaan trafik dan jadual bas. Itu sebabnya kami bergerak awal dari hotel.
Kami melalui Jalan Garuda dan terpaksa berhenti sebentar di lintasan keretapi kerana terdapat keretapi melintas pada masa itu. Kami meneruskan perjalanan setelah jalan agak selamat, walaupun palang belum dinaikan lagi. Dalam perjalanan, kami singgah ke kedai sebaneka Alfamidi, untuk membeli sedikit kudapan semasa perjalanan. Oleh kerana kami belum bersarapan lagi, kami singgah di sebuah kedai makan nasi padang. Alhamdulillah, lega perut kami semua.
Setelah 20 minit menikmati makanan, kami pun bergerak. Lupa dimaklumkan, di Indonesia, memang tiada hidangan khas untuk sarapan, jadi jangan terkejut, pagi-pagi sudah kena makan nasi.
Kira-kira sepuluh minit kemudian, iaitu pada pukul 9:15 pagi, kami pun sampai ke depoh bas (atau di Indonesia dikenali sebagai pool) Damri Kemayoran di Jalan Angkasa. Kami terlepas bas pukul 9:00 pagi. Bermakna kami perlu tunggu trip pukul 10:00 pagi pula. Perkhidmatan bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) ini berlepas dari depoh ini setiap jam dari pukul 5:00 pagi sehingga pukul 7:00 malam. Bas sudah memang ada bersedia menunggu di tempat letak basnya. Jadi kami naik terus ke dalam bas (enjin telah dihidupkan dan juga penghawa dinginnya) dan menunggu sahaja di dalam bas.
Tepat jam 10:00 pagi, bas pun berjalan dan konduktor akan mengambil tambang daripada setiap penumpang. Saya membayar tambang untuk 3 orang kerana penumpang umur 3 tahun ke atas dikenakan tambang yang penuh. Tambang setiap orang adalah Rp40 ribu (+-RM12.00).
Perjalanan kami melalui Jalan Benjamin Shueb yang dulu merupakan landasan terbang bagi Lapangan Terbang Kemayoran yang merupakan lapangan terbang pertama Jakarta, dimana kod IATA (Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa - International Air Transport Association, badan penguasa penerbangan antarabangsa) nya adalah JKT. Kini lapangan terbang tersebut sudah tiada lagi dan dijadikan kawasan umum. Seterusnya bas ini melalui Jalan Tol Pantura (Jalan Tol Pelabuhan) dan Jalan Tol Prof. Setyamo (Jalan Tol Airport). Kebanyakan jalan tol ini merupakan lebuhraya bertingkat. Jadi dapat tengok kota Jakarta dari aras lebih tinggi.
Akhirnya dalam masa 20 minit sampai juga kami ke CGK. Bas ini pun pergi ke Terminal 3 dahulu. Jadi kami pun turun ke sini sekali lagi.
Kami terus masuk ke balai berlepas (keberangkatan) di mana kita perlu menyediakan dahulu dokumen berkaitan seperti pas pelepasan atau itinerari perjalanan atau tiket kapal terbang kepada pihak keselamatan lapangan terbang sebelum boleh masuk. Ini kerana hanya penumpang sahaja yang boleh masuk, yang lain seperti penghantar hanya dibenarkan setakat ruang tanpa penghawa dingin sahaja.
Selepas dokumen diperiksa, beg-beg perlu diperiksa dan juga pemeriksaan badan juga dilakukan. Jadi segala peralatan elektronik, benda-benda logam (termasuk tali pinggang, jam tangan malah kasut) perlu dibuka. Juga benda-benda cecair, perlu setiap satunya kurang 100 ml yang mana jumlah terkumpul kurang 1 liter. Alhamdulillah, kami semua lepas.
Seterusnya saya ke kaunter daftar masuk, bukan untuk mendaftar masuk, kerana kami sudah mendaftar masuk, tetapi saya ingin menimbang beg galas 90 liter. Alhamdulillah, ia hanya 23 kilogram sahaja, kerana saya hanya membeli berat bagasi 25 kilogram sahaja. Timbangan awal perlu agar kami dapat keluarkan barang jika timbangan terlebih. Namun ia tidak perlu.
Seterusnya, kami pergi ke tempat untuk membalut beg galas 90 liter saya agar ia lebih selamat dan kukuh semasa berada di dalam ruang bagasi di dalam kapal terbang nanti. Memang dibalut agak kukuh juga.Perkhidmatan ini cuma Rp50 ribu (+- RM15.00) sahaja.
Seterusnya kami menyerahkan beg galas 90 liter saya ke kaunter bag drop AirAsia. Di terminal ini, hanya ada kaunter bag drop sahaja. Daftar masuk perlu dilakukan melalui aplikasi mobile atau web. Ia juga boleh dilakukan di kiosk-kiosk daftar masuk yang ada luar balai berlepas iaitu sebelum pemeriksaan oleh pihak keselamatan lapangan terbang (ada 3 unit), atau di dalam balai berlepas lebih tepat di depan kaunter bag drop AirAsia sendiri.
Beg-beg lain saya jadikan beg kabin sahaja, kerana kurang 7 kilogram. Di kaunter bag drop ini juga perlu dibayar caj perkhidmatan penumpang atau biasa kita kenali sebagai cukai lapangan terbang (airport tax) sebanyak Rp150 ribu (+-RM45.00) setiap orang. Bermakna saya perlu membayar sebanyak Rp600 ribu (+- RM180.00) bagi 4 orang. Jadi jangan habiskan Rupiah anda sebelum ke lapangan terbang untuk pulang, asingkan siap-siap agar anda boleh bayarnya. Jika tidak anda tidak boleh naik kapal terbang anda atau boleh bayar dengan mata wang lain tapi kadarnya agak merugikan. Atau boleh sahaj tukar di pengurup wang di terminal ini (terletak di bawah eskalator) atau Bureau de Change bank-bank. Bagi yang tiada beg untuk daftar masuk, caj penumpang ini boleh dibayar di kaunter khas terletak di dalam balai daftar masuk ini.
Sebaik keluar dari balai daftar masuk, memasuki ruang legar utama yang dikongsi oleh penumpang yang tiba dan berlepas saya sempat melihat layar maklumat penerbangan yang ada di situ. Saja je, untuk melihat penerbangan kami ada atau tidak. Semestilah ada.
Di hadapan layar informasi ini, terdapat sebuah gerai kecil atau kiosk yang dipunyai oleh syarikat telekomunikasi Indosat. Ia menjual kad SIM (atau di Indonesia dipanggil kartu perdana), jadi kepada yang baru sampai ke Indonesia melalui Terminal 3 CGK, maka boleh beli di sini, dan harga jualannya adalah harga jualan asal bukan ditambah-tambah. (Semasa saya tiba tempoh hari, kiosk ini baru ditutup).
Sementara menunggu panggilan untuk masuk ke balai berlepas, kami ke zon permainan kanak-kanak untuk bermain-main di situ. Seronok juga mereka di situ. Isteri saya menunggu di situ untuk memerhatikan gelagat mereka.
Saya pula berjalan-jalan ke sekitar terminal ini. Di ruang legar ini iaitu di tingkat bawah, terdapat banyak kedai seperti beberapa kedai makan, pengurup wang biasa, pengurup wang bank dan beberapa kedai serbaneka antaranya Circle K. Terdapat juga barisan mesin ATM. Saya ke tingkat atas iaitu ke balai berlepas. Saya ternampak pula ada 2 barisan mesin ATM di sini, dan ternampak salah satunya mesin ATM CIMB Niaga dan pada barisan satu lagi mesin ATM BII Maybank. Jadi kepada rakyat Malaysia, bolehlah ke tingkat atas untuk mengeluarkan wang.
Di tingkat atas ini juga, kita boleh melihat permandangan pergerakan kapal terbang dengan jelas. Malah Terminal 2 juga kelihatan jelas. Jadi saya ambil beberapa gambar untuk dijadikan kenangan. Mahal saya bernasib baik kerana kebetulan semasa saya di situ, kapal terbang Garuda Indonesia yang badannya dicat dengan livery Garuda Indonesia semasa tahun-tahun awal penubuhannya (gambar di bawah). Bertuah sekali saya kali ini, alhamdulillah.
Pada jam 12:00 tengahari, saya ke bawah untuk memanggil keluarga saya untuk ke tingkat atas agar kami dapat melakukan urusan imigresen dan kastam Indonesia. Di tingkat atas ini juga terdapat banyak tempat duduk dan juga kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan dan makanan.
Kami terus bahagian pelepasan antarabangsa yang berada di sebelah kiri. Pelepasan domestik Indonesia pula di sebalah kanan. Kami segera ke kaunter imigresen, alhamdulillah tidak ramai orang. Kami memberikan pasport dan keratan kad imigresen kepada pegawai imigresen, alhamdulillah, urusan kami tiada masalah dan cop diletakan kepada semua pasport kami (ingat perlu periksa pasport anda agar dicop masuk atau keluar sebelum beredar dari kaunter imigresen agar tidak berlaku perkara tidak diingini kemudiannya). Keratan kad imigresen tadi juga dicop keluar oleh pegawai imigresen dan diberikan semula kepada kita.
Seterusnya beg kami diimbas, juga badan kami untuk pemeriksaan kastam pula (perlu diingatkan agar menanggalkan benda logam, alat eletronik termasuk telefon dan cecair sebelum pemeriksaan kastam ini). Seterusnya, pemeriksaan pas masuk dan dokumen oleh pihak AirAsia. Berikan pas pelepasan dan keratan kad imigresen tadi kepada mereka. Mereka akan mengambil keratan kad imigresen dan mengembalikan pas pelepasan kita. Seterusnya kita boleh duduk di zon pelepasan yang diberitahu untuk menunggu.
Kami menunggu di Zon 6, iaitu di hujung sekali. Zon 6 ini dekat sekali dengan tandas dan surau. Memandangkan semasa kami tiba di zon menunggu ini, waktu azan Zohor telah masuk, maka kami pun ke surau untuk solat jamak. Namun rupa-rupanya surau di sini hanya ada satu dan ia dikongsi oleh jemaah lelaki dan wanita, sama seperti keadaan di Pelabuhan Penumpang Dumai pada kembara saya yang lepas. Ini tidak mengejutkan saya tapi mengejutkan isteri saya. Jadikan ia sebagai pengalaman.
Di zon menunggu ini juga terdapat banyak soket untuk mengecaj peralatan elektronik, jadi ia agak memudahkan, kerana telefon saya semakin cepat hayat baterinya habis. Kerisauan untuk mengambil gambar dapat dikurangkan.
Akhirnya pada jam 1:00 tengahari, panggilan pelepasan untuk kami menaiki pesawat pun kedengaran. Kami beratur dan pas pelepasan kami diambil bahagian rujukan syarikat penerbangan, dan kami memegang bahagian rujukan penumpang. Kemudian kami turun ke tingkat bawah dan bas-bas telah menunggu kami untuk membawa kami ke apron di mana kapal terbang kami menunggu.
Setelah bas penuh, ia membawa kami menuju ke tempat parkir kapal terbang di apron. Selepas 5 minit, sampailah kami di tepi pesawat. Agak ramai juga di dalam bas ini. Namun selepas 15 minit kami tiba, kami masih tidak turun dari bas. Lima minit kemudian kami di bawa kembali ke zon menunggu. Rupa terdapat masalah mekanikal pada kapal terbang dan penerbangan ditunda selama satu setengah jam.
Pada pukul 2:30 petang, akhirnya kami turun kembali untuk menaiki bas dan kemudian apabila sampai di tepi bas, kami terus menaiki kapal terbang AirAsia Indonesia bernombor pendaftaran PK-AXG. Selepas 15 minit dengan semua penumpang telah duduk di tempat duduk masing-masing, maka bergeraklah pesawat QZ208 dari parkirnya. 10 minit kemudian pesawat ini berlepas dari CGK menuju klia2. Jadi kami mengucapkan selamat tinggal kepada Jakarta yang bermottokan Jaya Raya itu.
Penerbangan kali ini baik-baik sahaja, alhamdulillah. Anak-anak saya terutama yang lelaki agak lapar dan bila makanan yang kami tempah dihidangkan, mereka makan dengan tidak tertahan lagi. Tapi yang penting, mereka seronok dapat menaiki kapal terbang.
Sambil tu sempat saya ambil gambar tempat duduk di hadapan saya untuk mengambil istilah Indonesia bagi beberapa perkara yang ada di dalam kapal terbang ini. Dalam pesawat ini juga, saya sempat membeli beberapa cenderahati AirAsia terutama model kapal terbang dan magnet peti ais, kerana saya memang pengumpul benda-benda tersebut.
Akhirnya, pada jam 5:30 petang, kapal terbang kami mendarat di klia2 di sayap Q. Jauh sikitlah berjalan berbanding semasa datang.
Kami terus ke bangunan terminal utama untuk urusan imigresen. Setelah selesai, kami menunggu beg kami sampai. Setelah sampai, kami mengimbas beg kami dan terus ke tingkat 1 untuk mengambil bas Skybus ke KL Sentral. Namun kami terlepas bas pukul 6:00 petang kerana kami sampai pada jam 6:05 petang dan kami menunggu di dalam bas pukul 6:30 petang sahaja sehingga ia berjalan. Oleh kerana masa ada banyak, jadi saya pergi ke kedai serbaneka KK Mart untuk membeli air. Semasa pemeriksaan tiket dijalankan sebelum bas bergerak, Seperti biasa, saya menunjukan pas pelepasan AirAsia kerana tiket sudah beli siap-siap. Inspektor tiket itu memberikan sahaja tambang percuma untuk anak-anak saya. Terima kasih.
Pada jam 7:30 malam, kami sampai di KL Sentral, namun kami bersolat dahulu di situ sebelum meneruskan perjalanan dengan LRT dan kemudian dengan bas feeder. Alhamdulillah, pada jam 8:40 sampailah kami ke kawasan rumah namun kami singgah dahulu di food court kawasan perumahan kami untuk makan malam dan akhirnya sampai di rumah pada jam 9:30 malam setelah selesai makan.
Itulah perjalanan percutian secara kembara berkeluarga saya yang dapat dikongsikan. Memang banyak pengalaman, dan yang penting saya berharap ia dapat menanam minat anak-anak saya untuk mengembara. Semoga apa yang dikongsikan dapat beri manfaat kepada yang membaca, dan saya amat berharap agar blog ini boleh diwar-warkan agar ramai yang menerima manfaat.
Semoga bertemu lagi dalam coretan akan datang iaitu kembara saya ke Pulau Pinang pada 07 Februari 2015, dan lain-lain catatan. Insya Allah.
Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
If want to read in English:
- Pre Vacation;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4;
- Day 5; or
- Day 6 (this part).