Memaparkan catatan dengan label 23 hingga 26 Februari 2017 - Hanoi & Ha Long Vietnam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 23 hingga 26 Februari 2017 - Hanoi & Ha Long Vietnam. Papar semua catatan

Ahad, 12 Mac 2017

Hari 4 (Hanoi & Ha Long, Vietnam - 23 hingga 26 Februari 2017) - Tạm biệt Hà Nội! (Selamat Tinggal Hanoi!).

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4 (this part);
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long. 

Petunjuk: Waktu di Vietnam adalah UTC +7 iaitu sejam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Hanoi pula pukul 11:00 pagi.

Hari 4 (26 Februari 2017 - Ahad).

Hari akhir kami di bumi Vietnam ini, macam biasa saya bangun agak awal. Apabila masa makin hampir hendak solat Subuh, saya mengejutkan kedua-dua orang abang saya itu, dan saya terus membersihkan diri. Selepas selesai saya, makan giliran mereka pula. Sementara menunggu giliran, masing-masing mempersiapkan beg dan saya memakai baju. Tatkala telefon bimbit saya membunyikan azan menandakan waktu Subuh bagi kawasan tempatan, maka kami pun bersolat.

Pada pukul 6:00 pagi, setelah selesai dengan persiapan kami, dan memastikan tiada apa yang tertinggal, maka kami pun terus turun ke bawah untuk mendaftar keluar. Kami terpaksa tidak mengambil sarapan pagi kerana ia bermula pada pukul 7:30 pagi, jika mengambilnya bermakna kami akan terlepas masa untuk mendaftar masuk seterusnya akan terlepas penerbangan (sebenarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Noi Bai, Hanoi, Vietnam (HAN) ini, pas pelepasan melalui laman web atau aplikasi di telefon bimbit boleh digunakan, tidak semestinya perlu mendaftar di kaunter daftar masuk), melainkan jika kami mengambil perkhidmatan teksi, Uber atau Grab. Itu pun saya tidak percaya boleh sampai kerana keadaan lalu lintas di Hanoi ini kita tidak boleh jangka.

Sampai di meja pendaftaran, pekerja-pekerja hotel masih tidur di ruang lobi. Terpaksalah mereka bangun untuk proses daftar keluar. Lama juga, maklumlah mereka masih mamai, dalam pukul 6:20 pagi baru selesai prosesnya dan kami pun segera bergerak menuju ke perhentian bas (yang kami gunakan pada Hari 2 yang lepas untuk ke Stesen Bas Gia Lam seterusnya ke Ha Long), bagi mengambil bas bernombor 17 untuk ke Stesen Bas Terminal Domestik HAN. Dalam perjalanan, kami ambil jalan lain sikit, untuk mengambil sikit gambar kenang-kenangan di Old Quarter Hanoi ini.


Abang Din & Abang Zul di pintu gerbang O Quan Chuong, Old Quarter, Hanoi ketika berjalan menuju ke perhentian bas.


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Camel City Hotel ke perhentian bas Long Bien.

Sampai di perhentian bas, kami pun menunggu tidak lama, kira-kira tiga ke lima minit, sampailah bas yang dinantikan. Cuma susunan tempat duduknya agak lain di mana terdapat banyak kerusi satu tempat duduk di dalam bas ini, mungkin menumpukan orang berdiri agaknya. Setelah kami duduk dan bas bergerak, konduktor datang untuk bayaran tambang bas. Wang 10 000₫ (+- RM2.00) diberikan dan baki 1000₫ (+- RM0.20) diberikan.

Perjalanan bas ini ke destinasinya mengambil masa kira-kira lebih sikit dari sejam. Sampai di lebuhraya besar di hadapan kawasan terminal, bas ini bergerak perlahan pula, sebagai mana bas yang membawa kami dari Stesen Bas Gia Lam ke Ha Long dua hari sebelumnya. Kami sampai di Stesen Bas Terminal Domestik pada pukul 7:40 pagi. Sudahlah itu, tiba-tiba saya terasa terkucil hendak membuang air kecil pula. Maklumlah cuaca sejuk masa itu. Nasib baik tidak jauh, terdapat tandas. Selesaikan hajat dahulu.

Usai sahaja, kami semua terus berjalan laju menuju ke Terminal Antarabangsa yang juga dikenali Terminal 2 HAN. Jarak satu kilometer itu berjaya ditempuhi dalam masa kurang 10 minit dan terus kami naik ke aras 3 untuk ke aras balai berlepas HAN. Apabila di situ, saya melihat paparan skrin maklumat, menyatakan kaunter daftar masuk adalah di barisan A, kami di hujung satu lagi, apa lagi, masa di tangan menunjukan 5 minit lagi untuk pukul 8:00 pagi yang juga menandakan masa daftar masuk tamat.

Tiket bas bandar Hanoi nombor 17 
(dari Stesen Bas Long Bien ke 
Terminal Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Noi Bai (HAN)).


Papan iklan yang menyambut kedatangan kami ke LTA Noi Bai.


Peta: Perjalanan bas dari perhentian bas Long Bien ke Terminal Domestik, LTA Noi Bai.

Bergegas juga kami, dan apabila sampai di barisan A, kebetulan kaunter bag drop tiada orang, apa lagi, kami terus ke situ. Alhamdulillah, sempat juga. Pada masa itu, saya ditegur oleh seorang orang Malaysia yang menjadi penumpang bersedia (stand by). Ini kerana dia terpaksa pulang ke Malaysia kerana ada urusan kecemasan yang melibatkan ahli keluarganya di tanah air. Saya ucapkan takziah padanya dan semoga berjaya dalam mendapatkan tempat duduk. Perkhidmatan AirAsia ke Kuala Lumpur dari Hanoi cuma sekali sahaja sehari, namun syarikat MAS dan Vietnam Airlines juga mempunyai perkhidmatan yang sama. Cuma perkhidmatan dari Hanoi ini tidak sekerap yang ada dari Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon - HCMC).

Setelah itu, kami kemudian masuk ke dalam kawasan airside dengan mula-mula kami beratur untuk diperiksa tiket di pintu masuknya. Kemudian bila tiket disahkan, urusan keluar imigresen Vietnam pula. Alhamdulillah, tidak pula yang biasa terjadi di LTA Tan Soon Nhat di Bandaraya Ho Chi Minh (SGN), di sini pegawai imigresen memang sedar yang pemegang pasport Malaysia tiada cop keluar masuk imigresen Malaysia. Kami melepasinya dengan senang juga.

Seterusnya pemeriksaan keselamatan pula. Saya masukan semua benda-benda logam ke dalam beg saya dan sebelum masuk ke airside tadi, saya membuang segala benda cecair yang saya bawa. Sebelum melepasi pintu pengesan logam, saya membuka kasut but saya dan meletakkannya di dalam dulang disediakan yang agak kecil juga bersama-sama beg saya untuk diimbas pada mesin x-ray. Saya berjalan melepasi pintu pengesan, dan ia tidak berbunyi. Selepas itu, saya memakai kasut but saya di kerusi berhampiran dan kemudian ke pintu pelepasan 32 untuk menunggu pesawat kami. 

Jadi akhirnya, saya berjaya menyimpan 500 000₫ (+- RM100.00) yang belum saya dapat kumpul dalam koleksi matawang saya. Maka lengkaplah koleksi wang kertas/polimer Dong Vietnam saya. Bermakna, selepas ini jika ke Vietnam, maka catatan blog saya tidak lagi akan memaparkan wang Dong ini kecuali jika kerajaan Vietnam menukar rekabentuk wang Dong ini ke wang yang baru.

Sampai di pintu 32, pesawat 9M-AQP telah berada di kawasan parkirnya. Jadi bermakna, pintu pelepasan akan dibuka tidak lama lagi. Tapi ada masa lagi, jadi saya jalan-jalan di kawasan airside ini tapi tidaklah jauh, cukup sekadar sekitar pintu 32 sahaja. Diperhatikan bahawa, barang-barang dijual masih di dalam matawang Dong Vietnam, tidak seperti di SGN yang sepenuhnya menggunakan Dolar Amrika Syarikat (USD). Pada pukul 8:35 pagi, maka pintu pelepasan dibuka. Jadi kami pun masuk dan maka Tạm biệt Hà Nội! (Selamat Tinggal Hanoi!). 

Kami semua duduk sebaris di barisan 23 sebelah kiri pesawat. Setelah semua selesai, penerbangan AK517 ke Kuala Lumpur ini bergerak meninggalkan pintu pelepasan 32 untuk bersedia berlepas. Akhirnya pada pukul 9:10 pagi, berlepaslah kami menuju ke Kuala Lumpur.


Balai Berlepas Terminal Antarabangsa LTA Noi Bai.


Pas Pelepasan penerbangan AK517.



Cop pasport keluar imigresen Vietnam LTA Noi Bai.

Antara suasana di kawasan airside Terminal Antarabangsa LTA Noi Bai.


Antara suasana di kawasan airside Terminal Antarabangsa LTA Noi Bai.

Menghampiri pintu pelepasan 32 Terminal Antarabangsa LTA Noi Bai.

500 000 (polimer)= +- RM100.00
(dominasi lain telah saya dapati kembara saya sebelum ini 
(Oktober 2014 (Pra Kembara & Hari 5) dan Januari 2016 (Pra Kembara)))


Pesawat 9M-AQP yang sedang parkir di ruang parkir 32 LTA Noi Bai.



Video: Pesawat AirAsia AK517 berlepas dari Hanoi ke klia2. 


Oleh kerana kami tidak bersarapan, maka kami tidak sabar-sabar untuk mendapatkan tempahan makanan yang telah kami buat untuk penerbangan ini. Alhamdulillah sejam selepas penerbangan, kereta sorong yang membawa makanan yang telah ditempah tiba di barisan kerusi kami. Pembantu penerbangan membuat kepastian yang setiap kami memesan dua jenis hidangan makanan. Saya sempat berseloroh yang mana saya mengatakan kami mengambil dua hidangan kerana kami lapar. Tergelak dia mendengar selorohan saya.

Selepas makan, kami ambil kesempatan melelapkan mata kami. Apabila selepas 2 setengah jam penerbangan, pengumuman yang penerbangan ini akan tiba di klia2 diumumkan oleh petugas kabin, jadi saya melihat permandangan di luar pesawat. Memang jelas ternampak bandaraya Kuala Lumpur dari tingkap saya. Saya sempat juga mengambil gambar sebahagianya dan juga gambar KLIA dan klia2 ketika ia terbang berhampirannya sebelum pesawat ini membuat pusingan U di ruang udara Port Dickson. Akhirnya pada pukul 12:55 tengahari (waktu Malaysia (UTC +8), dan selepas ini semua waktu adalah waktu Malaysia) mendarat juga pesawat ini dan kemudiannya parkir di pintu Q7.


Ruang udara Bukit Jalil dan Puchong dari udara.

KLIA dari udara.

Berada di atas lorong teksi menuju ke terminal klia2.


Video: Pesawat AirAsia AK517 mendarat di klia2 dari Hanoi. 



Peta Laluan Pesawat AirAsia AK 517 26 Februari 2017 daripada FlightRadar24.

Kami pun selamat sampai dan keluar dari pesawat. Macam biasa, kami akan bergambar kenangan di walkalator selepas masuk ke bangunan terminal klia2. Selepas itu kami terus berjalan menuju ke kaunter imigresen. Pada masa itu saya dan abang Zul tidak sedar yang abang Din sudah tidak bersama kami. Tidak sempat nak ucap selamat jalan dan terima kasih serta meminta maaf. Pada masa sama, saya mendapat mesej dari sahabat pengembara, Zamzuri yang juga terkenal dengan blog Facebooknya, Backpackerz Beg Sekolah yang baru sampai juga dari Luang Prabang, Laos. Jadi kami akan berjumpanya di KFC gateway@klia2 nanti.

Setelah selesai melepasi pemeriksaan imigresen melalui pintu automatik, kami melepasi kastam tanpa perlu diperiksa beg kami dan saya ke CIMB Bank di aras berlepas dahulu untuk memasukan kembali wang Ringgit Malaysia yang saya keluarkan untuk kes kecemasan. Alhamdulillah tidak digunakan malah bertambah, kerana abang Zul membeli beg menggunakan kad kredit saya dan juga penggunaan kad kredit saya untuk perkhidmatan Uber yang mana bahagian kedua-dua abang saya ini telah diberikan kepada saya. Lebih baik saya masukan sebelum saya terpakai pula.

Seterusnya kami ke KFC untuk bertemu dengan Zamzuri. Dia bersama gengnya sedang memesan makanan. Agaknya rindu makanan yang diperbuat di Malaysia agaknya. Jadi kami sempatlah berborak terutama tentang perjalanan kami.

Pada pukul 2:00 petang, kami semua pun ke stesen bas di aras 1 di bawah untuk menaiki bas. Setelah Zamzuri berjaya membeli tiket bas ke Kelana Jaya untuk pukul 3:00 petang, kami bersolat dahulu di surau berdekatan. Selepas itu kami berpisah dengan Zamzuri, kerana bas ke KLIA akan bergerak bila-bila masa. Jadi kami memberikan kertas tempahan penerbangan kami yang mempunyai maklumat tempahan bas shuttle ke KL Sentral. Tepat pukul 2:20 petang, tayar bas pun bergolek meninggalkan Stesen Bas klia2.

Setelah hampir sejam, akhirnya sampailah bas ini di Stesen Bas KL Sentral. Saya berpisah dengan abang Zul di sini kerana saya hendak ke pusat membeli-belah Nu Sentral untuk menukar baki wang Dong Vietnam yang ada di dalam tangan saya. Jadi saya terus ke Nu Sentral dan menukar wang di pengurup wang GMT (Global Millennium Trading Sdn Bhd) setelah ia memberikan kadar terbaik dari tiga pengurup wang yang ada di Nu Sentral. 


 Kami akhirnya selamat tiba di klia2.



Saya dan abang Zul bersama sahabat kembara, Zamzuri di Stesen Bas klia2.

Tiket bas shuttle dari klia2 ke KL Sentral.


Resit tukaran wang baki Dong Vietnam ke Ringgit Malaysia 
di pengurup wang GMT Nu Sentral.

Setelah selesai urusan di Nu Sentral, saya pun ke Stesen LRT KL Sentral untuk menaiki LRT ke stesen LRT yang terdekat dengan rumah saya. Semasa di dalam LRT, isteri saya menelefon mengatakan saya tidak perlu menaiki bas feeder untuk sambungan dari stesen LRT ke rumah kerana dia akan mengambil saya di situ. Apabila sampai, isteri saya menunggu dan saya sampai juga di rumah pada pukul 4:10 petang.

Alhamdulillah, pengembaraan pendek saya kali ini bersama abang Din dan abang Zul telah berakhir. Rasanya saya amat gembira kerana saya telah tercapai untuk menjejaki New 7Wonders. Cuma di Asia Tenggara, saya belum sampai ke Pulau Komodo lagi. Pulau Jeju di Korea Selatan yang juga salah satu New 7Wonder berdekatan yang belum sampai lagi, insya Allah saya akan cuba mencapainya tidak lama lagi dan berusaha untuk sampai di tempat lain yang lebih jauh. Penting sekali saya telah selamat kembali ke rumah dan esoknya saya perlu bertugas di luar pejabat iaitu ke Alor Setar pula.

Jadi itu saya coretan kembara saya ke Hanoi dan Ha Long. Insya Allah saya akan menyambung catatan seterusnya, ke Mauritius yang mana diawalkan dari jadual asal yang sepatutnya bulan September 2017 tetapi pihak AirAsia X mengawalkannya kerana ingin menutup laluan pada akhir bulan Mac 2017. Nantikan ia dan sementara itu mengembaralah kita untuk mencari keredhaanNya. Assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.

Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4 (this part);
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long. 

Sabtu, 11 Mac 2017

Hari 3 (Hanoi & Ha Long, Vietnam - 23 hingga 26 Februari 2017) - Menyelusuri Teluk Ha Long.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3 (this part);
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long. 



Perairan Teluk Ha Long.

Petunjuk: Waktu di Vietnam adalah UTC +7 iaitu sejam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Hanoi pula pukul 11:00 pagi.

Hari 3 (25 Februari 2017 - Sabtu).

Setelah bersolat Subuh, masing-masing mengemaskan beg masing-masing kerana kami akan daftar keluar hotel dahulu dan kemudian akan ke Jeti Tuan Chao untuk berlayar di perairan Teluk Ha Long. Memandangkan hotel ini tidak menyediakan sarapan pagi, maka kami turun dahulu untuk bersarapan di kafe terdekat. Kami mengambil kafe yang betul-betul di hadapan hotel ini. 

Kami memesan kopi Vietnam secawan setiap orang. Sambil-sambil itu, kami memerhatikan kedai kafe ini. Pemiliknya, iaitu orang yang mengambil pesanan tadi, seorang yang berusian lebih separuh abad, sendiri yang membancuh kopi tersebut. Saya dapat melihat pemilik ini menggantung gambar-gambar dirinya dan keluarganya di luar negara termasuk sebuah gambar dirinya dan isteri berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas KLCC. Juga gambar lama dirinya juga. Mungkin dirinya seorang yang suka menggamit memori lalu.

Kopi panas pun sampai. Gelasnya kecil sahaja, namun diletakan di dalam sebuah mangkuk kecil yang berisi air panas. Saya pun terfikir, kaedah baru ke atau kami pun kena minum air dalam mangkuk ini. Rupanya kaedah ini adalah untuk mengekalkan kehangatan kopi di dalam cuaca sejuk ini. Kopinya agak pekat dan susunya juga agak manis, jadi kami meminta air panas untuk mencairkan kopi kami. Memang pekat, rasanya setelah diletak air panas, baru kena dengan selera kami, kira-kira tiga kali ganda dari sukatan asal. Untuk makan, kami mencicah roti yang abang Din beli semalam. Nikmat betul minum kopi panas sambil cicah roti dalam cuaca sejuk.

Setelah lebih dua puluh minit menikmati kopi Vietnam di pagi sejuk itu, kami pun kembali ke hotel untuk membawa keluar beg-beg kami ke lobi hotel. Saya pun buat proses mendaftar keluar dan sempat juga saya bergambar dengan petugas hotel ini. Kami menunggu bas yang akan membawa kami yang dijangka akan mengambil kami pada pukul 7:15 pagi. 

Pada pukul 7:15 pagi, terdapat seorang datang ke lobi hotel kami, mengatakan bahawa dia dari syarikat pengangkutan ke Teluk Ha Long. Lalu kami mengikutnya menuju ke hadapan agensi yang kami beli pakej semalam. Ramai juga yang menunggu di situ. Sambil-sambil itu, sempat juga saya mengambil gambar seekor kucing yang comel sambil-sambil menunggu bas.

Akhirnya bas pun sampai pada pukul 7:40 pagi dan semua orang di situ menaiki bas tersebut termasuk kami. Sebelum menaiki bas, saya tanyakan tentang pengangkutan pulang ke Hanoi, sambil menunjuk tempahan kami. Petugas tersebut berkata, perkara ini pihak hotel telah memaklumkan kepada mereka, jadi jangan risau, ia akan diuruskan, cuma maklumkan pada petugas di Jeti Tuan Chao nanti. Legalah juga mendengar jawapan begitu. Jadi kami pun dibawa ke Jeti Tuan Chao selepas itu.


Kami sedang minum kopi Vietnam di kafe berdekatan hotel di Ha Long.

Saya dan staf Starlight Hotel Ha Long sebelum meninggalkan hotel tersebut.

Seekor kucing di pejabat agensi perlancongan,
tempat kami menunggu bas ke Jeti Tuan Chao.

Pintu masuk ke Pulau Tuan Chao, Ha Long, Vietnam.



Peta: Perjalanan bas dari Starlight Hotel, Ha Long ke Terminal Feri Tuan Chao, Ha Long.


Bas kami tiba di perkarangan Jeti Tuan Chao pada pukul 8:00 pagi. Kelihatan ramai juga orang pada masa itu, mungkin disebabkan hari tersebut adalah hari Sabtu. Kami semua di bawa masuk ke dalam bangunan jeti ini dan melepasi kawasan ruang legar yang mana terdapat kaunter jualan tiket dan terus ke kawasan jeti. Masa di ruang legar, dapat saya perhatikan bahawa terdapat paparan skrin tentang jadual tentang harga tiket dan ternampak harga tiket untuk sesi 4 jam berlayar di perairan Teluk Ha Long adalah 190 000₫ (+- RM38.00). Terdapat harga pakej lain cuma tidak sempat. Juga terdapat harga-harga bagi perkhidmatan tambahan (add on), tapi tidak sempat juga hendak melihat mahupun mengambil gambar.

Kami pun tiba di kawasan jeti, di mana petugas-petugas ini mengira bilangan kami dan kemudian memberikan taklimat ringkas tentang perkara-perkara yang patut diketahui mula-mula di dalam Bahasa Vietnam dan kemudian di dalam Bahasa Inggeris pula. Setelah itu, kami diberikan dua tiket di mana tiket berharga 20 000₫ (+- RM4.00) adlaah untuk bayaran penumpang bagi Jeti Tuan Chao dan tiket 170 000₫ (+- RM34.00) untuk perkhidmatan bot dan juga sebagai tiket masuk ke tempat-tempat yang akan disinggahi nanti. Tiket ini perlu dijaga, kerana jika hilang, kita tidak dapat masuk ke tempat tersebut, malah jika hilang tiket 20 000₫, kita tidak boleh masuk ke dalam bot.

Pada ketika itu, terdapat persembahan boneka air di tengah-tengah kawasan Jeti Tuan Chao ini. Lama juga persembahan itu, jadi dapatlah mengubat hati kerana tidak dapat menonton persembahan yang sama di Hanoi tempoh hari.


Jeti Tuan Chao, Ha Long, Vietnam. Jeti bot pelancongan ke Teluk Ha Long.

Suasana di dalam bangunan Jeti Tuan Chao.


Tiket Bayaran Penumpang Bot Ha Long Bay.

Tiket Masuk Tarikan Ha Long Bay.


Suasana di Jeti Tuan Chao.

Terdapat pentas wayang patung air di dalam kawasan Jeti Tuan Chao.

Video : Di Jeti Tuan Chao, Ha Long, Vietnam sebelum berlayar ke perairan Teluk Ha Long. 


Betul-betul selepas persembahan boneka air selesai, kami pun di bawa untuk masuk ke kawasan berbayar dengan tiket 20 000₫ diperiksa. Setelah semua penumpang diperiksa, kami dibawa kepada bot yang akan menjadi pengangkutan kami untuk tempoh hampir empat jam nanti. Pastikan kita ambil gambar bot atau mengingat nama bot tersebut, kerana kita perlu naik bot yang sama sepanjang perjalanan. Lagipun kita akan turun naik ke tempat persinggahan perlu sangat langkah ini. Jika tidak, kita akan ditinggal atau tersalah bot nanti.

Semasa sedang menaiki bot, saya menegur salah seorang penumpang bot satu-satunya berkulit putih di kalangan kami. Dia adalah Valentin Crowe atau nama keluarga sebenarnya Witte yang berasal dari Berlin, Jerman. Dia memang agak fasih berbahasa Inggeris, tidak kedengaran telo Jermannya. Jadi, sejak itu, kami memang duduk bersama-sama. Memang banyak benda yang dikongsikan dan saya memang asyik mempromosikan Malaysia terutamanya Kuala Lumpur.

Bot ini sebenarnya agak besar dan agak selamat, jadi memang tepat bagi kami untuk membawa beg kami sekali. Pada pukul 8:30 pagi, maka bot kami mula berlayar meninggalkan Jeti Tuan Chao menuju ke pulau-pulau di perairan Teluk Ha Long. Ada saya membuat satu siaran video live Facebook.


Bot yang menjadi kenderaan kami berlayar di Teluk Ha Long.

Suasana di dalam bot.

Perairan Teluk Ha Long.


Video : Berada di atas bot di perairan Teluk Ha Long. 


Angin agak kuat juga diperairan Teluk Ha Long ini. Apatah lagi dengan kesejukan pagi yang agak sejuknya, tetapi ia menyegarkan juga. Akhirnya sudah rasmi saya mencapai ke New 7Wonders bagi Alam Semulajadi kedua saya dan New 7Wonders keseluruhan yang keenam (dari 21 kesemuanya) saya. Gembira pula rasa hati.

Destinasi pertama adalah di Pulau Thien Cung di mana terdapat sebuah gua di situ. Kami semua turun di sini dan mendengar penerangan mengenainya. Bagi memasuki gua ini, pintu masuknya perlu memanjat tangga kira-kira 200 anak tangga. Agak tinggi juga. Ketika ini, masih berjalan, kerja-kerja menaik taraf kemudahan yang ada di sekitar kawasan ini termasuk tangga. Namun kemudahannya walaupun dalam pembinaan, ia agak baik juga.

Gua ini sebenarnya tidaklah mempunyai keistimewaan sangat, tetapi binaan staglamit dan staglatit nya agak berbeza dari gua-gua di Asia Tenggara yang pernah saya masuki. Kebanyakannya berupa seperti obor-obor, namun ada juga yang ada bentuk lain, mengikut imiginasi kita. Gua ini dipancarkan cahaya lampu yang pelbagai warna, jadi tidaklah gelap di dalamnya. Siar pejalan kakinya juga agak teratur, ini memudahkan pengunjung melawat di dalamnya. Kami di dalam gua ini sekitar 25 minit juga, dengan orang yang agak ramai di dalamnya. 

Keluar dari pintu keluar gua, memang cantik permandangan, dengan boleh nampak bandar Ha Long dan juga jeti bot di bawahnya yang berbaris bot-bot menunggu para penumpangnya. Terdapat juga beberapa buah gerai menjual cenderahati di perjalanan turun balik ke jeti bot, cuma harganya agak mahal. Kami terus menuju dan menaiki bot dan selepas semua penumpang menaikinya, bot ini meneruskan perjalanan setelah lebih 45 minit di Pulau Thien Cung ini.



Papan maklumat tentang Gua Thien Cung.

Papan maklumat tentang perkara-perkara menarik di Teluk Ha Long.

Suasana di dalam Gua Thien Cung.

Antara suasana di dalam Gua Thien Cung.

Lagi suasana di dalam Gua Thien Cung.

Tambahan suasana di dalam Gua Thien Cung. (kredit abang Din).


Video : Di dalam Gua Thien Cung (terletak di dalam sebuah pulau di Teluk Ha Long). 


Seterusnya, bot ini membawa bersiar-siar ke sekitaran perairan Teluk Ha Long ini lagi. Pada satu masa, kami dimaklumkan terdapat satu batuan berbentuk seperti seekor anjing sedang menyalak di sebelah kiri bot. Bot ini sebenarnya menuju ke Perkampungan Air Pha Hang. Memang cantik permandangan ini. Sebelum sampai di perkampungan air itu, kami dimaklumkan bahawa salah satu pulau yang dilihat merupakan imej yang terdapat pada matawang 200 000₫, iaitu Pulau Setanggi (Incence Sticks Burn Island).



Permandangan Teluk Ha Long (bandar Ha Long di hujung gambar)
dari pintu keluar Gua Thien Cung.

Batuan berbentuk seperti seekor anjing.

Antara permandangan Teluk Ha Long.


200 000 (polimer)= +- RM40.00


Video : Perairan Teluk Ha Long sebelum ke Perkampungan Terapung Phang Hang, Teluk Ha Long, Vietnam. 


Bot kami pun singgah di jeti terapung di perkampungan terapung ini. Tadi semasa bot ini baru meninggalkan Jeti Tuan Chao, petugas bot ini bertanya kepada kami bertiga sama ada kami hendak menaiki kayak atau bot tradisi, di mana pakej kami tidak termasuk perkara tersebut. Padanlah harganya murah, pasal tidak masuk semuanya (not all in). Macam Valentin, dah memang masuk kerana pakejnya dibeli pada harga 500 000₫ (+- RM100.00)! Jika hendak menaiki kayak atau bot tradisi, kami perlu menambah 150 000₫ (+- RM30.00) dan dibayar kepada petugas tersebut. Abang Din sahaja yang membeli tiket dan memilih bot tradisi, saya dan abang Zul memilih untuk duduk di atas bot sahaja.

Jadi apabila sampai di perkampungan air, penumpang yang mempunyai pakej kayak atau bot tradisi diberikan tiket bot tersebut. Tiket tersebut berharga 30 000₫ (+- RM6.00) sahaja. Banyak betul harga di"mark up"! Jadi kami duduklah di atas bot melayan suasana di sekitar. Kami sebenarnya boleh sahaja untuk turun cuma tidak boleh menaiki perkhidmatan kayak dan bot tradisi sahaja. Kami di situ dalam dekat sejam juga lah. Jadi sebelum habis waktu itu, maka pulanglah penumpang yang menaiki bot tradisi (tiada siapa yang memilih kayak pada ketika itu).

Nasib baik ada abang Din yang pergi menaiki bot tradisi. Semasa dia menaiki kembali bot kami saya menanya pengalamannya. Dia mengatakan bahawa bot tradisi tersebut didayungi oleh orang tempatan, membawa mereka ke sekitar dan memasuki gua-gua kecil yang ada di situ. Perkara sama juga diberikan oleh Valentin kerana dia bersama abang Din atas bot yang sama.



Tiket untuk menaiki bot tradisi di Perkampungan Air Pha Hang.

Kelihatan pengunjung menaiki bot tradisi di Perkampungan Air Pha Hang.

Jeti bot tradisi di Perkampungan Air Pha Hang.

Bot tradisi di Perkampungan Air Pha Hang.
 (kredit abang Din).

Antara permandangan ketika menaiki bot tradisi (kredit abang Din).

Pengunjung yang menggunakan bot tradisi sedang bergambar (kredit abang Din).


Video : Abang Din sedang menaiki perahu tradisional di perairan Teluk Ha Long (kredit Abang Din). 


Setelah selesai di Perkampungan Air Pha Hang ini, bot ini pun meneruskan perjalanan melihat pulau-pulau yang ada sebelum pulang kembali ke Jeti Tuan Chow. Antara pulau yang diziarahi (tidak turun) adalah Pulau Ayam Menyabung (Fighting Cocks Island) yang diabadikan di dalam logo pihak berkuasa bandar Ha Long. Selepas berlayar kira-kira 45 minit maka kami sampai semula ke Jeti Tuan Chau. Maka berakhirlah pelayaran kami di Teluk Ha Long ini.



Video : Permandangan Teluk Halong (kredit Abang Din). 


Video : Permandangan Teluk Halong (kredit Abang Din). 


Selepas usai pelayaran, kami turun dari bot dan kembali ke tempat bas parkir. Cuma kami diuruskan untuk ke tempat lain. Maka kami pun berpisah dengan Valentin di situ. Kami kemudian di bawa ke sebuah kedai untuk menunggu bas di situ. Bagi yang lain termasuk Valentin, mereka menaiki bas tadi untuk kembali ke Bai Chay.

Selepas menunggu kira-kira 30 minit, pada pukul 12:45 tengahari, maka sampailah bas yang membawa kami ke Hanoi. Bas ini akan terus ke Old Quarter kerana ia lebih kepada bas pelancong sebenarnya. Penumpang yang menaikinya kesemuanya pelancong luar Vietnam, majoritinya daripada Eropah atau Amerika Utara atau Australia.

Perjalanan kami ini mengikut jalan biasa tidak melalui lebuhraya. Pada pukul 2:45 petang, bas ini berhenti di sebuah restoran yang terletak selepas pekan Sao Do. Semasa masuk, kita tidak jumpa pun restoran di mana ia lebih seperti gedung membeli-belah atau kedai bebas cukai. Terdapat jualan coklat, rokok, arak dan cenderahati. Juga terdapat juga jualan pakaian dan ubat-ubatan tradisi seperti ginseng. Terdapat juga petugas-petugas premis ini yang sedang membuat tenunan kain yang membuat tenunan berdasarkan imej lukisan. Memang lawa hasil usaha kain tenunannya, jadi harganya memanglah mahal.

Di bahagian belakang barulah ternampak restoran dan di bahagian luar terdapat kedai menjual buah-buahan dan makanan ringan. Saya tidak membeli apa-apa pasal harganya agak mahal juga. Jadi selepas ke tandas, saya menunggu bas sahaja (ketika itu terlupa untuk solat jamak pula).

Setelah setengah jam berhenti di situ dan semua penumpang telah menaiki bas, maka bas ini pun bergerak menuju ke Hanoi. Kami sampai di kawasan Old Quarter Hanoi kira-kira pukul 5:20 petang dan diberhentikan berhampiran dengan hotel kami. Maka kami pun berkejaran untuk ke hotel untuk daftar masuk dan berharap agar dapat masuk lebih awal kerana waktu Asar makin luput. Hanya sempat buat solat hormat waktu sahaja di dalam bas kerana lupa mengambil air wuduk (saya lupa saya membawa spray wuduk bersama pada ketika itu).


Bas yang membawa kami pulang ke Hanoi dari Ha Long.

Beberapa orang pekerja yang sedang menekat kain yang dijual sebagai cenderahati di tempat bas kami berhenti berehat (kredit abang Din).



Peta: Perjalanan bas dari Terminal Feri Tuan Chao, Ha Long ke Camel City Hotel, Hanoi.

Alhamdulillah, proses daftar masuk di Camel City Hotel Hanoi agak cepat juga. Cuma kami diberikan bilik di tingkat 4 dan tiada lif di hotel ini. Maka mendaki jugalah kami ke tingkat 4 itu. Setelah kami masuk, terus kami menyusun katil dan membuat ruang untuk solat. Alhamdulillah, sempat juga dalam waktu.


Kad perniagaan Camel City Hotel, Hanoi.


Bilik kami di Camel City Hotel, Hanoi.


Setelah semua selesai bersolat, kami pun semua keluar menuju ke Masjid An-Noor yang terletak kira-kira 700 meter dari penginapan kami ini. Ini kerana hendak mengejar waktu solat Maghrib. Kami pun berjalan dan dalam perjalanan, nampak pula gerai-gerai pasar malam sedang didirikan. Insya Alla, kami akan pergi ke situ kemudian.

Setelah 10 minit berjalan, kami pun sampai di masjid tersebut, dan sempat juga kami solat Maghrib berjemaah bersama jemaah di masjid ini.



Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Camel City Hotel ke Masjid An-nour, Hanoi.


StreetviewMasjid An-nour, Hanoi.


Pintu masuk ke Masjid An-Noor, Hanoi.

Ruang solat di Masjid An-Noor.

Usai bersolat Maghrib, kami pun ke sebelah sahaja masjid ini, yang mana terdapat sebuah kedai makan halal iaitu Halal Food Hanoi. Kedai ini kecil sahaja dengan hanya terdapat tiga buah meja makan. Kebetulan memang rezeki kami, terdapat sebuah meja yang kosong. Memang sesuai denga perut kami yang kosong pada ketika itu.

Harga makanan di kedai makan ini amat murah jika dibandingkan harga tempat makanan lain di Hanoi ini. Harga dari serendah 70 000₫ (+- RM12.00) untuk makanan dan 10 000₫ (+- RM2.00) bagi minuman. Air kosong diberikan percuma, alhamdulillah. Ada pelbagai hidangan berasaskan nasi dan juga mee. Abang Din memilih nasi dengan kebab kambing (80 000₫ (+- RM16.00)) dan air kopi panas (20 000₫ (+- RM4.00)), abang Zul memilih nasi dengan ayam masak manis masam (70 000₫ (+- RM14.00) dengan air kosong dan saya memilih nasi dengan daging lembu masak dengan cendawan (70 000₫ (+- RM14.00)) dengan air kosong.

Dalam tengah-tengah menunggu makanan, abang Din dan saya sempat menegur sekeluarga yang sedang makan di bahagian belakang kedai, yang lelakinya merupakan seorang pekerja di sebuah kilang di Hanoi. Mereka dari Surabaya dan sudah 3 tahun duduk di Hanoi. Kami berborak sampai makanan tiba (dalam masa 10 minit) dan ketika itu juga mereka meminta diri.

Sambil-sambil makan, abang Din melihat menarik dengan makanan abang Zul dan memesan untuk membungkus sebungkus hidangan tersebut untuk dibawa pulang. Abang Zul pula melihat makanan saya lebih menarik. Jadi saya menawar untuk abang Zul mengambil sebahagian lauk saya dan saya mengambil sikit lauk abang Zul.

Kala itu juga kami menegur sekumpulan empat orang wanita muda di bahagian hadapan kedai. Oh rupanya orang Malaysia. Mereka ini rupanya satu penerbangan datang dengan kami dan juga baru pulang dari Ha Long, tetapi mereka menginap di atas bot. Pada masa itu, mereka sebenarnya hendak ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan ke Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon) bagi meneruskan perjalanan mereka. Sempat juga kami berkongsi tip-tip di sana. Mereka kemudian meminta diri dan nampaknya akan menggunakan Uber atau Grab untuk ke lapangan terbang.

Berbalik kepada Kedai Halal Food Hanoi, kedai ini menghidangkan makanan Vietnam dan juga Asia Tenggara dengan halal. Waktu operasinya adalah dari pukul 11 pagi sehingga 8 malam sahaja. Memang kedai ini mendapat persijilan halal daripada pihak perkuasa dalam persijilan halal di Vietnam. Makanannya pun sedap sampai masih terimbau rasanya di bayangan saya.

Setelah hampir 45 minit di situ, kami pun selesai makan dan membayarnya masing-masing dengan sendiri.

Papan tanda Kedai Halal Food Hanoi.

Restoran Halal Food Hanoi.

Menu Restoran Halal Food Hanoi.

Menu Restoran Halal Food Hanoi.

Nasi dan daging masak cendawan di Restoran Halal Food Hanoi.

Sijil pengesahan halal oleh pihak berkuasa Islam Vietnam.

Waktu operasi Restoran Halal Food Hanoi.

Selepas itu kami pun ke yang terletak di sepanjang Jalan Hang Ngang dari bawah landasan keretapi (simpang Jalan Pho Gam Cau) sehingga ke bulatan dekat Tasik Hoan Kiem. Di sini peniaga-peniaga yang kebanyakan yang meniaga di pasar Dong Xuan, yang meniaga sepanjang jalan Hang Ngang dan juga peniaga-peniaga lain meniaga di malam minggu (hari Sabtu malam Ahad). Barang-barang di sini agak murah juga terutama cenderahari. Jika kita berada di Hanoi pada malam minggu lebih baik membeli cenderahati di pasar malam ini.

Pasar malam ini agak jauh juga. Walaupun agak murah, saya cuma membeli air tebu (10 000₫ (+- RM2.00)) dan buah-buahan sahaja.  Abang Din dan abang Zul ada juga membeli beberapa jenis barangan juga.

Apabila sampai di perkarangan Pasar Don Xuan, terdapat sebuah persembahan nyanyian lagu rakyat Vietnam. Kami singgah sebentar untuk menyaksikan persembahan tersebut. Selepas itu kami berjalan di pasar malam ini dari hujung ke hujung.

Setelah itu, kami pun berjalan-jalan sekitar kawasan utara Tasik Hoan Kiem. Kami sempat membeli air kopi ais Vietnam yang murah di kedai serbeneka Circle K yang hanya berharga 8000₫ (+- RM1.60) sahaja segelas. Selepas itu, abang Din dan abang Zul singgah di sebuah kedai untuk membeli baju sejuk. Saya pula ke kedai yang dua malam sebelum itu saya membeli penutup muka 10 000₫ (+- RM2.00) sepasang. Asalnya hendak membeli 3 pasang sahaja, penjual itu menyuruh saya mengambil lagi dua pasang untuk mencukupkan 50 000₫ (+- RM10.00).

Selepas selesai membeli belah, kami pulang melalui Jalan Ta Hien, kononnya ia jalan terdekat dengan hotel. Namun rupanya jalan itu terdapat banyak restoran dan ketika itu, restoran-restoran ini telah menyusun bangku-bangku dan meja kecil di tengah-tengah jalan sampai ruang pejalan kaki kecil sahaja, jadi jalan menjadi sesak. Kami berjalan beransur-ansur dan selepas 20 minit barulah sampai ke hotel.



Peta: Pasar Malam Dong Xuan (Old Quarter), Hanoi.



StreetviewPasar Dong Xuan, Hanoi.



Pasar Malam di depan Pasar Dong Xuan, Hanoi.


Video : Persembahan Lagu Rakyat Vietnam di Pasar Malam Dong Xuan, Old Quarter, Hanoi, Vietnam. 


Video : Persembahan Lagu Rakyat Vietnam di Pasar Malam Dong Xuan, Old Quarter, Hanoi, Vietnam (kredit Abang Din). 

Resit Circle K (belian kopi ais Vietnam).


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Circle K Tasik Hoan Kiem ke Camel City Hotel.

Pengunjung beberapa buah restoran di Jalan Ta Hien, Old Quarter, Hanoi yang sedang duduk di jalanan menikmati makanan dan minuman masing-masing.


Sampai di bilik, saya mula mengemas beg saya agar saya dapat tidur lama sikit, kerana esok kami akan pulang ke Malaysia. Setelah selesai, saya pun tidur, rasanya pada pukul 11:00 malam.


Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3 (this part);
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long.