Memaparkan catatan dengan label 23 hingga 25 Mei 2014 - Batam & Bintan Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 23 hingga 25 Mei 2014 - Batam & Bintan Indonesia. Papar semua catatan

Isnin, 9 Jun 2014

Hari 2 Bahagian 1 (Batam & Bintan, Indonesia - 23 hingga 25 Mei 2014) - Mencari Asal Usul Di Pulau Penyengat.

Sambungan dari Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat:



If want to read in English: 

  • Day 2 Part 1 (this part); 
  • Day 2 Part  2;
  • Day 1; or 
  • Day 3.




25 Mei 2014 (Ahad)

Akhirnya, sampai juga kami di Pulau Penyengat. Jeti pun warna kuning. Rasa macam bangga dan bersemangat hendak melihat tinggalan Kesultanan Riau ini. Keadaan jeti agak baik, cuma permukaan jalan sahaja yang agak rosak sedikit, mungkin kerana jeti ini merupakan pintu masuk keluar utama bagi penduduk Pulau Pengengat ke dunia luar. Ingat semasa melihat bot penambang sebelum kali berlepas dari Dermaga Pulau Penyengat di kota Tanjung Pinang, sebuah almari dibawa menaiki bot penambang. Begitulah kehidupan penduduk di Pulau Penyengat ini.


Pulau Penyengat ini pernah diceritakan bahawa telah menjadi mas kahwin perkahwinan Sultan Mahmud (mangkat dijulang) dengan Engku Putri Raja Hamidah. Bukan calang-calang pulau ini rupanya. Yang menariknya, semasa kemangkatan Sultan Mahmud, Engku Putri menjadi pemerintah bagi kawasan Kepulauan Riau, termasuk Batam, jadi tidak hairan dataran di Batam Centre itu dinamakan Dataran Engku Putri. Nak tahu lebih lanjut, rajin-rajin Google atau selain itu baca Wikipedia Bahasa Melayu atau Indonesia mengenai Pulau Pengengat ini.

Kami berjalan dari kawasan kami berlabuh ke kawasan dataran, dan Azmi menunjukan saya sekeping iklan yang ada di tepi jalan, "JANGAN RUSAK BUMI MELAYU DENGAN SAMPAH". Begitu mendalam maksudnya, Azmi pun bersetuju dengan saya. Bukan sahaja ia bermakna tersurat iaitu agar kita menjaga kebersihan Pulau Penyengat ini, juga iklan ini mungkin mengingatkan agar bumi Penyengat ini bebas dari anasir bukan Melayu yang cuba mempengaruhinya. Agakan saya... Saya amat bersetuju dengan kenyataan tersebut.


Sampai di pangkat jeti itu, tersergam bangunan yang sudah nampak dari Tanjung Pinang iaitu Masjid Sultan Riau. Warna kuning memang warna utama melainkan untuk bumbung sahaja. Agak ramai juga wisatawan (pelancong) menziarahi masjid ini.


Di luar masjid ini juga banyak juga beca (di sini dan serata Indonesia dipanggil becak), beratur di luar masjid ini. Menariknya beca di sini, ia menggunakan motorsikal bukannya basikal dan reka bentuk tempat duduknya berupa rumah limas seperti rumah tradisi Johor. Namun kami tidak menggunakan khidmat beca kerana kata Azmi, semua tempat di Penyengat ini boleh dicapai dengan berjalan kali sahaja. Saya pun akur, lagipun boleh selamat bajet saya.


Kemudian kami berjalan ke sekeliling masjid ini, tempat pertama kami singgah adalah Perigi Putri, yang terletak ke utara masjid atau jika mengadap masjid dari jeti, ia mengambil jalan sebelah kanan. Malang sekali papan tandanya tidak terjaga. 


Dikatakan bahawa dahulu perigi ini menjadi tempat bersiram puteri-puteri diraja. Airnya masih ada walaupun sudah berkurun ia ada di situ. Menariknya airnya tetap tawar walaupun gigi air laut berada kira-kira 15 meter dari tempatnya. 


Tidak jauh dari Perigi Puteri, terdapat sebuah perigi yang airnya masih jernih dan masih dalam lagi airnya, kita boleh mencapai takat airnya jika cuba menyentuhnya. Yang menariknya adalah ia merupakan sumber air utama penduduk kampung sekitar, dan paip-paip air begitu banyak kelihatan. Semuanya dipam menggunakan kuasa elektrik dan dipam terus ke rumah penduduk.



Selanjutnya, kami berjalan menuju ke belakang Masjid Sultan. Di sebelah kanan terdapat sebuah gedung yang dinamakan Gedung Mesiu iaitu gudang alat bedil dan senjata api untuk tentera diraja. Binaannya amat kukuh dan dindingnya amat tebal. Dikatakan ia merupakan pintu masuk ke ruangan bawah tanah, namun saya tidak menjumpai sebarang pintu masuk, mungkin sudah ditutup.


Kami memanjat bukit untuk melawat makam Raja Abdul Rahman iaitu Yang Dipertuan Muda Riau VII dan kaum kerabatnya. Kubur-kubur di sini semua nisannya dibaluti dengan kain kuning. Ketika ini, hujan gerimis mulai turun. Kami berselisih dengan penjaga kubur ini. Banyak maklumat kami perolehi daripadanya. Semasa kami berbual, beliau sering kali menunjukkan tangan saya. Saya hairan juga. Bukan sekali tapi beberapa kali. Beliau mengatakan bulu roma saya berdiri, saya berkata mungkin kesejukan hujan gerimis, namun beliau tanya saya hati saya ada berdebarkah. Saya kata tiada macam biasa sahaja, selepas itu beliau mengatakan bahawa saya merupakan anak cucu (keturunan) daripada kerabat diraja di sini. 

Terkejut saya, tujuan asal memang saya hendak mengkaji asal usul saya di Bintan (kerana memang jelas si nenek sebelah ibu saya mempunyai keturunan Bentan, susur galur Laksamana Megat Seri Rama atau Laksamana Bentan) tetapi rupanya saya mempunyai juga keturunan kerabat diraja Riau. Jadi seperti biasa di setiap perkuburan, saya sedekahkan surah al Fatihah lebih-lebih lagi mengetahui saya merupakan nasab si mati.



Seterusnya Azmi membawa saya naik ke atas bukit lagi untuk melihat Kota Penyengat, kota pertahanan Pulau Penyengat daripada serangan tentera Belanda. Kedudukan bukit ini , iaitu Bukit Kursi memang strategik boleh melihat permandangan 360 darjah sekeliling.


Di kota ini juga terdapat lebih kurang 10 pucuk meriam dan kebanyakannya merupakan meriam Belanda, kerana terdapat cop logo VOC iaitu cop Syarikat Hindia Timur Belanda. Ini menunjukan bahawa Belanda pernah berada di kota ini dan juga Belanda pernah tewas di sini. Serupa dengan Kota Melawati di Kuala Selangor.



Kami turun semula ke bawah untuk ke masjid bagi menunaikan solat Zohor tidak lama selepas itu (kerana bacaan al Quran mula berkumandang ketika kami di atas kota. Semasa hampir sampai, hujan lebat turun dan membasahi bumi Penyengat dan kami.

Jadi semasa bersolat Zohor di sini, kami basah lenjun. Setelah usai solat Zohor berjemaah, saya meneruskan dengan solat qasar Asar pula. Setelah itu, saya mengambil gambar, namun semua gambar di dalam masjid ini tidak jelas dan tidak cantik. Selepas itu baru saya difahamkan, kawasan masjid ini tidak boleh mangambil gambar. Padanlah, mungkin disebabkan titah sultan agaknya. Cuma gambar naskah al Quran lama tulisan tangan ini yang saya kira jelas untuk diambil. Semasa kami bersolat Zohor tadi sebenarnya hujan mulai reda... Alhamdulillah.



Kemudian, kami meneruskan perjalanan, ambil gambar yang menarik di sekitar Pulau Penyengat ini ketika ke tempat tumpuan lain. Gambar atas merupakan papan tanda mengenai Riwayat Pulau Penyengat dan di bawah ini dahulunya merupakan sebuah rumah sakit atau klinik. Begitu teguh binaan orang zaman dahulu. 



Seterusnya kami menuju ke kompleks makam beberapa lagi kerabat diraja Riau yang menempatkan juga Engku Puteri yang pulau ini dijadikan mas kahwin baginda, Raja Abdullah (Yang Dipertuan Muda Riau IX), Raja Ali Haji, bapanya Raja Ahmad dan ramai lagi. Selain Engku Puteri yang jadi tumpuan Raja Ali Haji juga antara tumpuan. 



Beliau merupakan seorang ulama, ahli sejarah, serta, pujangga Melayu-Bugis. Antara sumbangan beliau adalah pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa bahasa Melayu melalui Pedoman Bahasa, buku Pedoman Bahasa,  buku yang telah menjadi piawai bahasa Melayu. Bahasa Melayu baku inilah yang ditetapkan sebagai bahasa Indonesia, bahasa rasmi negara Indonesia, di dalam Kongres Pemuda Indonesia pada 28 oktober 1928. Antara kayra utama lain beliau adalah Thfat an Nafis (1865), Salasilah Melayu dan Bugis (1890) dan Gurindam Dua Belas. Beliau telah diisytihar sebagai Pahlawan Nasional Indonesia pada 05 November 2004. Bacaan lanjut tentang beliau boleh diperolehi di Google, Wikipedia Bahasa Melayu, Indonesia dan Inggeris.

Raja Ali Haji diabadikan namanya di sebuah universiti di Tanjung Pinang, yang dinamakan Universitas Maritim Raja Ali Haji atau singkatannya UMRAH. (* Terima kasih atas ingatan Azmi melalui Facebook Messenger pada 1712 (5:12 petang) pada 09 Jun 2014).




Kemudian kami berjalan kir-kira 500 meter ke kompleks makan Yang Dipertuan Muda Riau (YDPMR) lain seperti Raja Jaafar (YDPMR VII) dan Raja Ali (YDPMR VIII). Agak keliru kerana nama banyak kerabat menggunakan nama Ali dan Haji menyebabkan kami keliru adakah ini Raja Haji Fisabilillah (Marhum Ketapang) dan Raja Ali Haji (pujangga seperti di atas). Namun semakin lama agak jelas sikit. Di sini juga terdapat kamar mandi yang terdapat mata air di dalamnya. Di katakan air ini mujarab untuk penyakit kulit, wallahu a'lam.



Di sebelah makam Raja Jaafar ini pula terletak Istana Bilik, yang merupakan sebuah istana pemerintah Riau namun kami tidak pasti yang mana satu. Namun yang saya perhatikan,seni binanya hampir serupa dengan Istana Kampung Glam di Singapura.



Kami meneruskan perjalanan lebih kurang 500 meter menuju ke Balai Adat, yang menghadap ke selatan. Ia lebih kepada Balai Rong Seri. Di kawasan Indonesia, orang-orang Melayu juga mempunyai rumah adat bukan hanya kepada orang Minang sahaja seperti di Malaysia (lebih tepat di Negeri Sembilan, kawasan Naning, Melaka dan daerah Hulu Langat, Selangor).


Kami singgah makan di sebuah gerai makan di hadapan Balai Adat ini. Kami memesan asam pedas ikan sembilang dan minum minuman rasmi kami, teh o beng hahaha... Wanita yang mengusahakan gerai ini sebenarnya anak tempatan dan berketurunan kerabat Melayu Bugis juga, cuma catatan saya hilang di mana nama beliau ada tertulis. Yang penting namanya ada Raja di hadapan. Beliau masa terus pesanan kami, bukannya sudah masak siap-siap. istimewa itu. Makanannya memang sedap, boleh datang lagi. Sedapnya sehingga lupa hendak ambil gambar, hehehe. Kalau tak, jadi satu lagi artikel dalam blog SantapanGD.


Usai makan, kami meneruskan jejakan kami ke kompleks Istana Kantor pula. Istana ini juga merupakan istana penginapan dan juga pejabat (kantor dalam Bahasa Indonesia) bagi Raja Ali (YDPMR VII). 


Yang masih selamat adalah struktur batu, manakala struktur kayu sudah tiada, dimamah zaman.


Sebenarnya kami sesat semasa mencari Istana Kantor ini. Istana ini sebenarnya mudah dicari, namun kerana di Pulau Penyengat ini kurang dari segi tanda arah, jika ada pun agak kecil dan keadaannya menyedihkan. Papan tanda berpeta langsung tiada. Sewajar ini dapat dipertingkatkan demi memudahkan para pelancong/wisatawan untuk meneroka sejarah diraja Riau.


Sebenarnya sejak selesai solat keadaan baju saya basah kuyup akibat hujan dan saya tidak mahu tukar bajunya takut hujan lagi. Nasib baik beg galas saya yang dari jenis Deuter Futura 28l jenis spara kalis basah, dan beg ini juga terdapat pelindung hujan yang di simpan di komponen bawah.


Seterusnya acara kemuncak, yang mana Azmi sendiri berkata walaupun sudah beberapa kali beliau datang ke mari, masih belum pernah sampai lagi kerana kekurangan tanda arah iaitu makam Pahlawan Nasional yang namanya diabadikan pada banyak mercu tanda di Indonesia terutama yang ada kaitan dengan Kepulauan Riau. Baginda adalah Raja Haji Fisabilillah (Marhum Teluk Ketapang). Raja Haji (jangan keliru dengan pujangga Raja Ali Haji, yang juga cucu banginda) merupakan penentang kuat kehadiran Belanda di Tanah Melayu dan Sumatera. Disebabkan itu baginda diisytiharkan Pahlawan Nasional Indonesia. Baginda merupakan Yang Dipertuan Muda Riau IV dan merupakan anak Daeng Celak dan adik kepada Raja Lumu (Sultan Sallehuddin), Sultan Selangoryang pertama.

Antara mercutanda utama yang menggunakan nama baginda adalah Lapangan Terbang Raja Haji Fisabilillah, Tanjung Pinang, Bintan, Kepri (kod IATA: TNJ) dan jambatan pertama gugusan Jambatan Barelang, Batam iaitu Jambatan Raja Haji Fisabilillah, ikon kota Batam. Maklumat lanjut tentang Raja Haji Fisabilillah boleh di dapati di Google, Wikipedia Bahasa Melayu dan Indonesia.



Pendek kata, semua nisan dibaluti kain kuning adalah persemadian kerabat diraja Melayu Bugis. Difahamkan,kerabat diraja Johor dan Selangor selalu datang menziarahi makam-makam ini.



Jam menunjukan pukul 1530 (3:30 petang WIB), kami terus ke jeti dan pulang ke Tanjung Pinang untuk pulang ke Telaga Punggur, Batam. Alhamdulillah, sampai sahaja, terus ada bot penambang untuk ke Tanjung Pinang. Terus bayar Rp12ribu (+-RM3.60) untuk dua orang, dan bot meluncur. Selepas dua puluh minit, maka sampai kami di jeti Dermaga Pulau Penyengat di Tanjung Pinang. Sempat la ambil gambar di atas dan di bawah ini. Suka dengan gambar di bawah, GenRe Generasi Berencana, Budak Melayu Budak Berencana. Bermakna Anak Melayu Anak Berwawasan, bagus slogan ini.


Kami terus ke jeti Sri Bintan Pura untuk ke Batam dan terus mendapat feri pukul 1500 (3:00 petang) alhamdulillah. 




Pukul 1655 (4:55 petang), kami sampai di Telaga Punggur. Walaupun pukul 1700 (5:00 petang), keadaan sebenarnya macam pukul 1800 (6:00 petang) kalau di Malaysia.


Inilah motorsikal (plet merah) yang menjadi pengangkutan kami di Batam. Ia kepunyaan kakak ipar Azmi. Plet merah bermaksud kenderaan kerajaan.


Kami terus ke Batu Aji, iaitu penginapan kami di Batam yang merupakan rumah kakak ipar Azmi. Perjalanan dari Telaga Punggur ke Batu Aji mengambil masa sejam suku. Di tengah perjalanan, Azmi ingin mengisi minyak ke dalam motorsikal, namun tempt duduk seakan susah untuk dibuka. Namun dapat saya mengambil gambar harga petrol RON85 yang dinamakan benzin atau premium untuk golngan tidak mampu. Ia berharga Rp6500 (RM2.00) seliter. RON 92 dinamakan Premium dijual pada harga Rp9500 (+-RM3.15) seliter dan RON 95 pula (saya tidak ingat istilahnya dijual Rp10200 (+-RM3.50) seliter. Kalau diesel diberi nama solar dijual Rp7000 (+-RM2.10) seliter.

Kami terus ke rumah dan menanti isteri Azmi, Yanti, anak-anak Azmi, anak kedua ipar Azmi dan ibu Yanti (ibu mertua Azmi). Keluarga ipar Azmi tiada di rumah kerana anak sulung mereka memasuki wad di hospital.

Kami kemudian membersihkan diri dan bersolat di masjid berhampiran. Di kawasan perumahan ini terdapat dua buah masjid berdekatan, di mana saya difahamkan masjid lebih besar di bawah kelolaan perkumpulan agama Nahdatul Ulama dan masjid yang lebih kecil di mana kami bersolat Maghrib dari perkumpulan Muhamadiyah. Saya terus membuat solat qasar Isyak selepas solat maghrib berjemaah. Masjid dari perkumpulan Muhamadiyah ini mendapat bantuan dari kerajaan Arab Saudi.

Selepas pulang bersolat, saya pun makan malam bersama Azmi di rumah ipar Azmi dengan hidangan istimewa yang bahan-bahannya dibawa dari Kerinchi. Antaranya belut dan ikan darat. Huh, memang sedap. Alhamdulillah, terima kasih Yanti dan ibunya atas hidangan yang sedap.


Malamnya Azmi membawa kami ke gedung membeli belah berdekatan. Kena hantar dua kali perjalanan kerana motrsrikal hanya ada satu sahaja. Semasa trip saya, Azmi mengisi minyak di penjual petrol jalanan.Jenuh juga hendak membuka tempat duduk motorsikal, akhirnya berjaya juga. Di penjual jalanan ini petrol benzin (RON 85) dijual dengan harga Rp13ribu sebotol (kurang dari 1.5 liter). Kira mahal 25% dari nilai pasaran. Beginilah Indonesia, akibat kesusahan, benda yang dikawal pun dijual baik demi mencari sesuap nasi.


Di gedung tersebut, sempat saya membeli pelbagai barangan untuk dijadikan cenderahati kepada keluarga di rumah. Harga di sini lebih murah dari di Nagoya. Gedung ini sebenarnya untuk warga tempatan, jadi tidak hairan banyak benda murah. Sempat saya menukar dompet saya yang sudah dua tahun setengah tidak ditukar.

Pulang di rumah, saya gatal-gatal tanya pada Azmi ada wang syiling kah untuk jadi koleksi saya. Lalu keluarga Azmi memberikan saya duit-duit syiling yang sekarang ini jarang digunakan lagi. Terima kasih Azmi dan sekeluarga.

Rp 200 (2003) = +- 6 sen Malaysia.

Rp 500 (2002) = +- 15 sen Malaysia.

Rp 1000 (2010) = +- 30 sen Malaysia.

Selepas itu saya berborak dengan keluarga Azmi terutama ibu kepada Yanti yang duduk di Kerinchi, Jambi, Sumatera. Banyak kisah yang saya dapat dari beliau. Beliau siap ajak saya untuk ke Kerinchi. Insya Allah ibu, jika ada umur, memang saya mahu pergi ziarah.

Kemudian kami pun tidur untuk berehat bagi aktiviti esoknya.


Akan bersambung ke Hari 3.

Atau ingin melihat:


If want to read in English: 

  • Day 2 Part 2 (this part);
  • Day 1; 
  • Day 2 Part  1; or 
  • Day 3.

Ahad, 8 Jun 2014

Hari 2 Bahagian 1 (Batam & Bintan, Indonesia - 23 hingga 25 Mei 2014) - Terjumpa Makam DiRaja Johor Di Teluk Belanga.

Sambungan dari Hari 1.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 2 Part 1 (this part);
  • Day 2 Part  2;
  • Day 1; or 
  • Day 3.




24 Mei 2014 (Sabtu)

Pada jam 0000 (12:00 tengah malam), saya mulai keluar dari dalam kapal terbang menuju ke pintu pelepasan dan seterusnya menuju ke balai imigresen di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Namun saya tidak terus ke kaunter imigresen tetapi menaiki Skytrain untuk ke Terminal 2 yang tidak berapa jauh dari situ. Bukan apa, ini pertama kali saya tiba di lapangan terbang ini, jadi saya mahu mengenali dengan berjalan-jalan sekeliling terminal-terminal di Changi ini. Lagipun saya sudah terlepas MRT yang telah berlepas pada pukul 2318 (11:18 malam) tadi.

Skytrain ini merupakan sejenis keretapi yang menghubungkan terminal-terminal di Lapangan Terbang Changi ini. Ini menjimatkan masa jika perlu ke terminal lain dan yang penting, ia adalah percuma. Perkhidmatan ini bukan sahaja menghubungkan kawasan dalamkawalan imigresen satu terminal dengan terminal yang lain, malah kawasan luar kawalan imigresen antara terminal. Namun sudah pasti ia tidak menghubungkan kawasan luar dengan dalam kawalan imigresen. Terminal-terminal ini juga dihubungkan juga antara satu sama lain seperti sebuah bangunan, namun jika berjalan pastinya lebih lambat dan memenatkan.

Saya sampai di terminal 3, di mana penerbangan jarak jauh seperti ke Eropah dan Amerika Utara berpusat di sini. Ini adalah terminal terbaharu (sebenarnya terminal 4 atau LCCTnya lebih baru tapi sudah ditutup untuk naik taraf dan kebanyakan penyedia tambang murah berpindah ke terminal 3 kecuali AirAsia di terminal 1). Terminal adalah paling cantik dan moden. Pintu pelepasannya pula begitu besar juga dengan balai menunggunya.

Kemudian saya ke terminal 1 dan kemudian kembali ke terminal 2 dengan berjalan kaki atau menggunakan travelator. Pendek kata kemudahan di dalam kawasan selepas kawalan imigresen ini begitu banyak dan agak lengkap. Seumpama pusat membeli belah, namun kebanyakannya mahu tutup kerana hari sudah masuk awal pagi. Kemudahan seperti pengurup wang (RHB dan UOB sahaja) dan beberapa kedai dibuka 24 jam. Cuma di dalam tandasnya, jika ingin menggunakan tandas duduk, perlu membawa air siap-siap kerana di dalam kubikel tandas tidak disediakan paip air. Jika ada kubikel yang sediakan paip air cuma tandas cangkung dan biasanya setiap tandas hanya ada 1 unit sahaja.



Pada jam 0130 pagi, saya turun ke balai imigresen di terminal 2, tempat yang sepatutnya saya pergi tadi dan pergi ke kaunter. Sebenarnya di dalam pesawat tadi diberikan borang imigresen untuk diisi, namun saya sudah siap-siap menyediakan dari rumah kerana saya masih menyimpan banyak borang ini, disebabkan saya selalu ke Singapura. Di kaunter, memang nasib saya selama ini terutama selepas saya mula bekerja, kerana boleh dikatakan setiap kali saya diperiksa oleh pegawai imigresen Melayu. Nasib saya agak baik dengan pegawai imigresen Melayu ini kerana tiada banyak kerenah (namun orang lain pula lain pengalamannya). Cuma kali ini sistem yang digunakan adalah baru maka agak lama juga. Tidak mengapa pasal saya tidak tergesa-gesa kerana saya perlu menunggu hingga pukul 0530 untuk tren MRT pertama ke Harbourbay. 


Akhirnya selepas 20 minit, saya melepasi pemeriksaan walaupun hanya ada 3 orang sahaja semasa pemeriksaan saya dan menariknya ketiga-tiganya warga Malaysia.

Setelah melepasi imigresen dan kastam, maka saya tiba di balai ketibaan terminal 3 ini. Seterusnya saya ke kedai serbaneka Cheers untuk menambah nilai kad SIM SingTel Prabayar Hi! saya. Juga saya aktifkan pas Flexiroam Singapura saya.Asalnya saya ingin berjalan-jalan sekitar kawasan luar kawalan imigresen di ketiga-tiga terminal tapi saya mulai penat dan saya teringat bahawa saya pasti akan mengembara di bawa Azmi sepanjang hari nanti. Maka saya pergi ke beberapa barisan bangku di mana terdapat orang lain tidur di situ. Saya pun mengambil keputusan untuk tidur di situ. Saya memang rasa selamat untuk tidur di situ kerana ia bukan di Indonesia atau negara benua Asia Tenggara yang pastinya anda akan diganggu atau dalam bahasa kasarnya dipaw. Di sini insya Allah selamat seperti di Malaysia. Lagipun bangku ini berdekatan dengan pintu masuk ke stesen MRT Changi Airport yang ditutup pada masa itu.

Pada jam 0500 pagi, dengan tidur separuh nyenyak, saya pun bangun dan ke tandas untuk membersihkan diri. Setelah keluar dari tandas, saya segera menghantar mesej Facebook kepada Azmi, menyatakan ketibaan saya di Batam Centre nanti. 

Tepat jam 0520, eskalator ke stesen MRT pun mula bergerak dan saya pun menaikinya menuju ke stesen. Untuk tambang, saya tidak membeli tiket di mesin, sebaliknya saya membawa Autopass, sekeping kad yang tujuannya untuk kenderaan berdaftar luar Singapura masuk ke Singapura. Ia digunakan untuk membayar semua bayaran untuk kenderaan tersebut seperti tol pintu sempadan, permit masuk harian, ERP (Electronic Road Pricing - Pembayaran Jalan Elektronik, tol jalan-jalan di Singapura), parkir dan sebagainya. Kini saya ingin menggunakannya untuk MRT setelah mengetahui ia boleh digunakan untuk tujuan itu. Autopass ini adalah autopass kereta saya. Harga tambang pun lebih murah dari tambang tiket biasa contohnya tambang dari Changi Airport ke HarbourFront bernilai SG$2.50 (+-RM6.50) namun dengan kad Autopass yang ada logo EZ-link, hanya perlu bayar SG$1.98 (+-RM5.15) sahaja.

Jam 0528, pintu tren dibuka dan jam 0530, tren pun menutup pintunya dan meluncur menuju stesen MRT Tanah Merah untuk bertukar tren. Alhamdulillah, tren ke Joo Koon melalui stesen Outram Park sudah sedia menunggu dan selang seminit terus menuju ke Joo Koon melalui pusat bandaraya. Azan Subuh berkumandang melalui telefon saya semasa di atas tren, dan saya tiba di stesen MRT Ourtram Part pada jam 0610 pagi. Saya berjalan menuju ke platform tren ke HarbourFront sejauh 100 meter. Namun saya disebabkan ada seorang wanita yang agak lambat di hadapan saya semasa di atas eskalator untuk turun ke platform, maka saya tertinggal ten. Tidak mengapa, lima minit kemudian, sampai tren lain dan dalam 2 minit, sampailah saya di stesen MRT HarbourFront.

Oleh kerana saya sampai di kaunter tiket Batam Fast pada jam 0630 pagi, dan ia masih belum dibuka, tambahan pula saya masih belum bersolat Subuh, maka saya ke Masjid Temenggong Daeng Ibrahim, yang saya perolehi maklumatnya dari dalam aplikasi Google Maps di dalam telefon saya, di mana ia adalah masjid terdekat. 

 

Berjalan kaki lebih kurang 5 ke 7 minit juga. Sampai di sana, terkejut besar saya, kerana (sila lihat gambar di bawah)...


Masjid ini menggunakan jata negeri Johor dan alamatnya merujuk ia terletak di dalam Johor Darul Ta'zim, bukan Singapura!!! Malah bendera yang berkibar adalah bendera negeri Johor (maaf gambar tidak dipaparkan kerana ia gelap kerana suasana pada fajar hari).


Juga, yang menguruskan masjid ini adalah Jabatan Agama Johor (JAJ) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bukannya Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Alhamdulillah, sempat juga saya bersolat di masjid bersejarah ini. Masjid ini sebenarnya adalah masjid baru dibina pada tahun 1991 atas titah Sultan Johor atas keuzuran bangunan masjid lama, yang mana asalnya adalah Balai Rong Seri, Istana Teluk Belanga. Usia bangunan asal ini 20 tahun lebih lama dari Istana Kampung Glam. Sememangnya seni bina masjid baru ini seumpama seni bina masjid-masjid utama di negeri Johor.

Saya juga difahamkan bahawa tanah sekitar masjid ini merupakan tanah milik Sultan Johor. Ia memang tidak boleh diusik oleh pihak berkuasa Singapura. Ia seumpama sekeping tanah Johor/Malaysia nun jauh di selatan Singapura. Rasa bangga sebagai anak Johor pun ada. Mungkin selepas ini saya perlu lebih lama untuk mengkaji masjid ini dan kawasan persekitarannya.

Di kawasan ini juga terdapat kawasan perkuburan dan Makam DiRaja Johor. Antara yang dimakamkan di sini adalah Temenggung Abdul Rahman dan Temenggung Daeng Ibrahim. Sultan Ibrahim iaitu Sultan Johor kini merupakan generasi kelima Temenggung Daeng Ibrahim. Difahamkan baginda kerap kali menziarahi masjid dan makam ini terutama pada hari-hari raya, hari keputeraan dan hari hol. Dengan ini saya mengambil kesempatan kepada pembaca agar bertafakur sebentar dan menyedekahkan surah al Fatihah kepada ahli-ahli makam dan perkuburan ini, al Fatihah.


Setelah itu, jam saya menunjukan pukul 06:50 pagi, maka saya terus ke kaunter tiket Batam Fast untuk mengambil kad imigresen Indonesia yang siap diisi maklumatnya oleh pihak Batam Fast (kadnya tidak dapat saya paparkan kerana terlupa untuk mengambil gambar, namun boleh lihatnya di dalam blog kembara saya ke Pulau Karimun pada awal bulan Mac 2014). Masih ada lagi 40 minit untuk pelepasan. Saya ke balai pelepasan dan melakukan prosedur imigresen dan kastam. Kemudian saya menunggu di balai pelepasan. Selepas 20 minit, maka pintu pelepasan 4 dibuka untuk feri Batam Fast ke Batam Center pada pukul 0740. Penumpang tidak berapa ramai, mungkin kerana masih awal pagi. Urusan pun mudah, dengan mengimbas kod bar 3D pada pengimbas di pintu masuk. Seterusnya berjalan menuju ke pelantar 1 untuk menaiki feri err lupa pula nama feri Batam Fast ini. Tepat jam 0740 pagi, feri ini pun berlepas.


Seperti biasa, kalau naik Batam Fast, saya akan naik di tingkat atas, iaitu tempat duduk angin terbuka. Bolehlah tahan ramai yang naik feri ini rupanya. Sebenarnya Batam amat jelas kelihatan dari Singapura terutama di selatan Sentosa, CBD (pusat bandaraya) dan selatan Singapura. Kira-kira setengah jam, sudah nampak kawasan Batam Centre ini. Ketika ini saya menukarkan kad SIM SingTel saya kepada kad SIM TelkomSel Prabayar simPATI pula. Juga saya aktifkan pas Flexiroam Indonesia saya. Namun saya tidak boleh menelefon keluar atau menggunakan internet kerana kad saya tidak lagi aktif dan perlu diaktifkan dengan menambah nilai sekurang-kurangnya Rp20ribu. Berdoa agar Azmi ada di terminal feri, agar tidak perlu saya menefon beliau.


Sepuluh minit kemudian, feri pun berlabuh di terminal feri Batam Centre. Inilah pertama kali saya turun di pelabuhan ini. Saya terus menuju keluar dari feri dan berjalan laju agar cepat sampai di kaunter imigresen atau imigrasi kata orang Indonesia. Alhamdulillah, tidak begitu lama, setelah beratur dan diperiksa dokumen saya, dalam sepuluh minit selesai.


Jam 0740G (7:40 Waktu Indonesia Barat (WIB)) apabila keluar sahaja dari balai imigresen, terus nampak Azmi, terus saya memeluk beliau. Macam dah lama tidak jumpa.


Azmi terus membawa saya keluar dari kawasan terminal menuju ke keluar pagar, di mana beliau meletakan motorsikalnya. Beliau bertanyakan saya, sudah sarapan? Saya jawab belum, lalu di bawa ke gerai jalanan di sebelah kawasan meletak motorsikal. Azmi memesan lontong dan teh o beng (ais). Saya pun sama. Lontongnya agak berbeza, dengan ada keropok dan bihun goreng di atasnya. Rasa kuah lodehnya lebih berupa kuah masak lemak nangka muda. La, memang menggunakan kuah masak lemak nangka, memang sesuai rasanya. Saya sempat menghulurkan duit kepada peniaga berkenaan sebelum Azmi membayarnya. Sejumlah Rp22ribu (+-RM6.60) untuk semuanya. Ok lah...

Pintu masuk terminal fer Batam Centre.


Batam Centre ini bolehlah dikira pusat pentadbiran bagi Kota Batam, salah satu daripada dua kota di Provinsi Kepulauan Riau (Kepri) ini. Tidak jauh dari terminal feri, terletak Dataran Engku Putri, dataran utama di Batam ini. Terdapat astaka berbentuk kubah Masjidin Nabawi Madinah dalam persiapan untuk menjadi tuan rumah Musabaqah Tilawah al Quran (MTQ) peringkat nasional, yang mana pada tahun ini Provinsi Kepri menjadi tuan rumah keseluruhan 34 provinsi di Indonesia pada 05 hingga 14 Jun 2014.


Seterusnya kami pergi ke sekitar kawasan Batam Centre ini. Ambillah gambar Masjid Raya Batam, dikira sebagai masjid kota atau masjid daerah kalau di Malaysia. Di Batam Centre juga terdapat kantor (pejabat) wali kota (datuk bandar), dewan perwakilan daerah Batam (seperti dewan undangan daerah) dan pejabat Badan Perusahan Kawasan Pedagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Batam (BP Batam), agensi kerajaan khas yang memajukan ekonomi Batam yang dahulu dikenali sebagai Otoritas Batam. Sempat juga ambil gambar di mercu tanda Batam Centre.


Kemudian Azmi memberitahu bahawa dia akan membawa saya ke Pulau Penyengat berdekatan dengan Tanjung Pinang. Tanjung Pinang merupakan ibu provinsi Kepri yang terletak di dalam pulau Bintan. Namun Tanjung Pinang sendiri merupakan sebuah kota, jadi ia tidak termasuk di dalam pentadbiran kabupaten (daerah) Bintan. Pulau Penyengat seperti menyambung kesinambungan kembara kali ini seolah-olah mencari susur galur Kesultanan Johor Riau. Dikatakan juga bahawa saya mempunyai darah daripada kerabat ini. Maka bolehlah dikatakan saya mencari susur galur asal usul saya. Saya sebenarnya tidak pasti perkara ini.



Lalu Azmi membawa saya ke Pelabuhan Telaga Punggur, untuk ke Tanjung Pinang. Perjalanan ke sana seolah-olah saya kenal. Patutlah kerana jalan yang Azmi gunakan juga merupakan jalan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim Batam, kecuali pada bulatan sebelum ke lapangan terbang, Azmi simpang lain. Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit dari terminal feri Batam Centre.

Semasa tiba di terminal feri Telaga Punggur, kami dipanggil oleh kerani-kerani kaunter tiket untuk membeli dari mereka. Agak bingit juga. Sebenarnya feri ke Tanjung Pinang adalah setiap setengah jam satu. Terus Azmi membelikan tiket pergi balik siap-siap dengan MV Baruna. Saya berikan wang Rp200ribu tetapi Azmi menyuruh saya berikan Rp110ribu sahaja. Tiket sehala adalah Rp55ribu.


Memang rezeki kami, pada masa itu ada feri mahu hendak berlepas. Namun sebelum kami ke jeti, perlu dibayar pas penumpang atau biasa dikata cukai pelabuhan kalau di Malaysia, sebanyak Rp5ribu seorang. Terus saya berikan Rp10ribu untuk bayaran kedua-duanya.


Kami terus berlari dan sempat juga. Akhirnya pada jam 0930 pagi kami berlepas dari terminal Telaga Punggur.


Perjalanan dari Telaga Punggur ke Tanjung Pinang mengambil masa kira-kira satu jam. Semasa perjalanan, kami sebenarnya melewati Pulau Pengengat, ini menyebabkan semangat hendak ke sana meluap-luap lagi.


Akhirnya pada pukul 1030 pagi, kami sampai di Pelabuhan Seri Bintan Pura, Tanjung Pinang. Pelabuhan ini mempunyai 2 jeti berasingan di mana masing-masing untuk destinasi tempatan dan antarabangsa seperti Tanah Merah, Singapura atau Stulang, Johor Bahru. Di jeti antarabangsa terdapat perkhidmatan imigresen dan kastam.


Keluar sahaja dari terminal feri, sudah sampai di kota Tanjung Pinang. Saya memang merasa seperti sirih pulang ke gagang kerana yang saya pasti saya memang ada darah Bentan dari keturunan keluarga Megat Sri Rama, seorang laksamana Kesultanan Johor yang menyerang Sultan Mahmud sehingga baginda mangkat dijulang dan ditulahkan sebanyak 7 keturunan Bentan tidak boleh jejak bumi Kota Tinggi (lebih kepada bandar Kota Tinggi atau lebih tepat Kampung Makam) atau jika ingkar, muntah berdarah. Nasib baik saya merupakan keturunan ke sebelas dan keturunan ketujuh terakhir telah lama meninggal dunia.


Banyak juga jualan di dalam kota Tanjung Pinang (penduduk tempatan lebih senang panggil Pinang sahaja, sama juga di Telaga Punggur, cuma panggil Punggur sahaja), seperti kerepek dan otak-otak. Gaya dan loghat bahasa di sini mirip bahasa Melayu yang dicakapkan di Johor. Betul-betul rasa macam di kampung.


Di sini, saya menambah nilai SIM TelkomSel simPATI saya sebanyak Rp50ribu. Selepas itu saya menggunakan Rp30ribu untuk melanggan plan data 2GB untuk 30 hari berdasarkan muka depan pek kad SIM yang masih saya simpan. Alhamdulillah hidup kembali dan saya mendapat banyak mesej WhatsApp dan Facebook.


Seterusnya, kami ke jeti ke Pulau Penyengat. Jalan menuju ke jeti terletak di celah-celah bangunan, namun terdapat mural yang begitu cantik di dinding sepanjang ke jeti. Memang tangan seni bagi sang pelukis.




Di jeti ini ia lebih kepada bot penambang. Tambang dibayar kepada petugas yang duduk bersama sebuah meja. Setiap orang tambangnya Rp6000 (+-RM2.00). Bot hanya akan berlepas jika cukup 15 orang. 


Bot ini juga tiada jaket keselamatan. Jadi harap tidak terjadi apa-apa. Saya berkali-kali membaca doa naik kenderaan, takut terjadi perkara tidak diingini.


Gambar ini jelas kelihatan Pulau Penyengat dan bangunan terbesar berwarna kuning adalah Masjid Sultan Riau.


Saya tidak sempat ambil gambar tanda ingatan "Welcome To Tanjung Pinang" semasa sampai kerana masih dalam feri, maka saya ambil ketika di dalam bot penambang ke Pulau Penyengat. Sempat juga saya ambil gambar Azmi buat kenangan.



Saya ambil juga gambar penumpang-penumpang semasa di dalam bot penambang ini. Juga saya ambil kampung-kampung ketika menghampiri jeti Pulau Penyengat.


Akan bersambung ke Hari 2 Bahagian 2.

Atau ingin melihat:


If want to read in English: 

  • Day 2 Part 1 (this part); 
  • Day 2 Part  2;
  • Day 1; or 
  • Day 3.