Isnin, 23 Januari 2017

Hari 2 Bahagian 1 (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - به ایران خوش آمدید (Bih Iran Khush Amdid - Selamat Datang Ke Iran).


If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1 (this part);
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.


Saya di depan Terminal Bas Terminal-e Junoob, Tehran.

Petunjuk: Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


Hari 2 (06 Januari 2017 - Jumaat) Bahagian 1.

Macam biasalah, jika sedang mengembara ini, saya agak sukar untuk lena dalam tidur. Ada sahaja hendak terjaga. Biasalah, tidak berapa nyenyak. 

Semasa menunggu waktu Subuh pada pukul 5:45 pagi, isteri saya dan Linda pergi makan di restoran BBQ Chicken yang berada di aras G. Saya masih teringat lagi, satu ketika dahulu, terdapat cawangan BBQ Chicken (yang berasal dari Korea Selatan) di Kuala Lumpur, namun sekarang seperti tiada lagi. Mereka meminta set sarapan yang berupa sandwich, namun bahagiannya agak besar. Jadi saya yang menghabiskanya. Harga untuk berdua dengan minuman kopi Turki adalah 56,000 toman (560,000 rial - +- RM65.88), dimana mereka ingat hanya 56,000 rial sahaja. Memandangkan ada huruf t bermakna ia bermaksud toman, jadi inilah kekeliruan utama bagi orang luar di Iran. Jika dibahagi dua sarapan mereka, setiap mereka membayar 280,000 rial (+- RM32.94).

Apabila masuk waktu solat, surau di aras G agak penuh juga. Wuduk perlu diambil di tandas yang mempunyai tempat mengambil wuduk. Bagi mengelakan bersesakan dan juga untuk mengelakan dari bersolat berjemaah dengan orang Syiah, kami mengambil keputusan untuk bersolat di tempat kami berehat sahaja. Kami mengajak ahli kumpula GTCM untuk bersolat di tempat kami juga.

Apabila sinar mentari mula menyinar di bumi Iran ini, kami mengambil keputusan untuk menyewa teksi van bersama-sama ahli kumpulan GTCM, menjadikan kami semua 16 orang kesemuanya dan kami mengambil 2 buah teksi van. Setiap satu tambangnya berharga 800,000 rial (+- RM94.12), dengan setiap satunya akan dikongsi 8 orang, bermakna, setiap orang akan membayar 100,000 rial (+- RM11.76) sahaja. Jadi saya akan membayar untuk dua orang, 200,000 rial (+- RM23.53).

Agak padat juga teksi van ini jika duduk berlapan. Jadi kami semua dibawa oleh pemandu teksi van itu ke tempat yang saya minta iaitu ke stesen bas Terminal-e Junoob  (Farsi: ترمینال جنوب ترمینال مسافربری), iaitu terminal bas di bandaraya Tehran untuk ke destinasi di selatan Iran.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit melalui Lebuhraya Tehran-Qom. Dalam perjalanan, saya nampak permandangan padang pasir yang jauh saujana memandang. Juga ternampak Banjaran Alborz yang kebanyakan puncak-puncak gunung-gunung berwarna putih, maklumlah masih di dalam musim sejuk. Malah nun jauh di sebelah timur, saya ternampak sebuah gunung yang berbentuk kon yang hampir sempurna, itu adalah Gunung Damarvand. Semasa perjalanan juga, kami melalui sebuah plaza tol, ada tol juga lebuhraya di Iran ini dan selepas plaza tol ini, di sebelah kanan, terdapat sebuah bangunan berbentuk masjid yang agak besar. Kubah dan puncak keempat-empat menaranya kelihatan seperti daripada emas, ia adalah Masjid dan juga Makam bagi bekas pemimpin besar Iran iaitu Imam Khomeini. Beliau merupakan watak utama dalam Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang menumbangkan pemerintahan diraja Shah Iran. Beliau yang bertaraf imam dan ayatollah di dalam mahzab Syiah telah meninggal dunia pada tahun 1989.

Tidak lama kemudian, kami memasuki kawasan perbandaran bandaraya Tehran. Memandangkan ketika itu masih pagi lagi maka jalan tidak berapa sesak lagi. Masih terasa tenang dan aman sahaja sepanjang perjalanan. Jadi agak cepat juga kami sampai ke Terminal-e Junoob.

Dua kumpulan kembara bergabung bergambar di IKA, 
KembaraGD (beg galas) dan GTCM (Gang Travel Club Malaysia - beg troli).

Permandangan di lebuhraya menuju ke Tehran dari IKA.

Plaza tol sebelum masuk ke bandaraya Tehran.

Makam Imam Khomeini.

Keadaan jalan raya di dalam bandaraya Tehran (masih awal pagi, biasanya akan sesak).


Peta: Perjalanan teksi dari LTA Imam Khomeini ke Stesen Bas Terminal-e Junoob, Tehran.


Sampai sahaja kami di depan Terminal-e Junoob, ramai "ulat-ulat" tiket bas datang berkerumun teksi kami. Jenuh mereka menjerit, VIP! VIP! Kami pun tidak tahu adakah dimaksudkan kami ini VIP (perasan la sekejap) atau pasal kami naik teksi lapangan terbang (teksinya tidak lah megah sangat, penghawa dingin pun tidak dipasang (kerana musim sejuk, tapi kami berlapan, jadi berkuap juga lah). Saya terpaksa menjadi sombong, kerana memang kita terpaksa bersikap begini agar tidak kena scam dan juga diingatkan oleh pemandu teksi untuk membeli terus di kaunter.Jadi kami terus sahaja berjalan menuju ke bangunan terminal bas ini disamping "ulat-ulat" mengikut dan merayu tanpa henti. 

Semasa berjalan ke bangunan terminal yang tidaklah jauh sangat dari tempat teksi kami berhenti di tepi jalan itu, saya lihat bangunan terminal bas ini agak sistematik, di mana bentuk bangunan terminal ini adalah betul-betul bulat dan bas-bas diparkir di aras bawah. Jadi kita tidak perlu mengharungi bas-bas untuk ke bangunan terminal bagi membeli tiket. 

Sampai di dalam ruang dalam bangunan terminal, huh, lega rasanya, ada sedikit kehangatan, udara di luar agak sejuk juga. Jadi kami semua meletakan beg kami dan berehat sebentar.  Sambil itu, "ulat-ulat" tiket tadi masih tidak berhenti merayu agar khidmat mereka digunakan. Walaupun asyik merayu, tapu mereka tidaklah agak ganas sebagaimana yang boleh kita alami di India, yang mana sampai kita macam diugut jika kita tidak menggunakan mereka. Paling penting dalam situasi ini, kita perlu bertegas!

Tatkala saya mengambil gambar di dalam bangunan terminal bas ini, saya dihampiri oleh seorang anggota polis (bukan pengawal keselamatan) terminal bas ini, dan meminta gambar-gambar yang saya ambil di terminal bas ini dipadamkan. Asalnya saya tidak faham, kerana saya tidak memahami Bahasa Farsi, dan anggota polis berkenaan tidak fasih berbahasa Inggeris. Saya buat-buat juga tidak faham. Jadi anggota itu membawa saya ke dalam pondok polis. Jadi diminta telefon saya untuk dilihat gambar. Jadi saya memberi kerjasama dan saya memadam gambar-gambar yang diminta untuk dipadamkan, iaitu semua gambar yang ada gambar terminal bas ini. Huhuhu. Lagipun ada tujuan saya, kerana untuk mengalih tumpuan agar rakan-rakan lain tidak kena dan mereka peka dengan situasi ini. Selepas dipadam gambar, barulah saya di"bebas"kan. Jadi ingatan, jangan nampak sangat ambil gambar di bangunan-bangunan di Iran ini.

Keluar daripada pondok polis, saya memaklumkan agar jangan ada lagi yang mengambil gambar kepada semua rakan-rakan termasuk ahli kumpulan GTCM. Saya kemudian pergi ke beberapa kaunter tiket untuk meninjau harga tiket. Nasib baik saya agak faham tulisan Farsi ini yang agak sama dengan tulisan Arab. Jadi boleh juga saya membaca detinasi dan harga tiketnya. Semuanya yang dapat saya lihat (tidak semua kaunter) memaparkan harga tambang ke Isfahan berharga 330,000 rial (+- RM38.82) bagi kelas VIP (tiga tempat duduk sebaris) dan 200,000 rial (+- RM23.53) bagi kelas biasa (empat tempat duduk sebaris). Pada masa sama, saya ini umpama permata, di mana, akan sentiasa diikuti oleh "ulat-ulat" tiket walau dimana. 

Saya kemudiannya berbincang dengan Najib dan mencadangkan agar untuk mencuba berapa harga yang boleh didapati dengan menggunakan "ulat-ulat" ini. Salah seorang "ulat" ini menawarkan harga tiket serendah 280,000 rial (+- RM32.94), jadi kami mengambil dia untuk membeli tiket tersebut. Dia membawa kami ke kaunter tiket bas Hamsafar (Farsi: همسفر)  dan membeli tiket di kaunter tersebut. Jadi tidaklah macam "ulat" tiket di Malaysia, kita masih beruursan di kaunter juga. Namun saya bertanya boleh menggunakan Dolar Amerika Syarikat kerana tidak kedapatan pengurup wang di terminal bas ini, mereka akhirnya sudi menerimanya. Harga di dalam rial Iran adalah sebanyak hampir 2 juta rial (1,960,000 rial (+- RM239.59)  untuk lebih tepat) bagi tujuh orang, dibayar dalam US$54 (+- RM243.00), jadi saya dahulukan duit saya dan saya akan mengambil US$8 (+- RM36.00) setiap seorang. Jadi ada rugi sikitlah jika menggunakan Dolar Amerika Syarikat ini. Bas yang dijanjikan adalah bas pada pukul 8:30 pagi, dan masa pada masa itu adalah pada jam 8:10 pagi. Kira antara tercepat juga lah.

Semasa pembayaran dibuat, dan tiket sedang dicetak, duit Dolar Amerika Syarikat tadi diberikan kepada juruwang di kaunter. Namun selepas itu, "ulat" tiket tadi meminta saya untuk memberikan wang 100,000 rial (+- RM11.76) kepadanya. Rasanya macam upah atau komisen la. Huh, pandai juga ya, namun apabila memikirkan keselamatan kami dan usahanya yang dapat diskaun kira-kira 50,000 rial (+- RM5.88) setiap orang iaitu 350,000 rial (+- RM41.18) kesemuanya, jadi apalah kita anggap sedekah 100,000 rial itu. (Rupa-rupanya, dia pun mendapat juga daripada pihak bas, kerana harga pada tiket bas yang kemudian saya lihat, cuma 1,750,000 rial (+- RM 205.88), iaitu ada beza 210,000 rial (+- RM24.71)!).

Kemudian, saya diberikan tiket bas yang hanya sekeping. Saya tanya di mana baki enam tiket? Rupanya satu tiket ini merangkumi semua tujuh tiket kesemuanya. Huh, betul jimat kos operasi mereka ini. Jadi saya dan Najib kembali ke tempat kami semua meletakan beg kerana hendak mengejar masa (masa sudah pukul 8:20 pagi pada masa itu). Kemudian mengucapkan selamat jalan kepada ahli kumpulan GTCM untuk kami menaiki bas. Terminal bas Hamsafar ini betul-betul di belakang kaunter basnya, di mana terdapat sebuah tangga menghala ke aras bawah iaitu aras platform. Basnya terletak betul-betu di depan tangga tadi.


Saya di depan Terminal Bas Terminal-e Junoob, Tehran.

Bas-bas di platform bas di Terminal-e Junoob.

Bangunan Terminal-e Junoob.

Di dalam bangunan Terminal-e Junoob.

Tiket Bas Hamsafar (Tehran-Isfahan).

Kami pun menaiki bas tersebut, dan melihat keadaan dalamannya, agak selesa juga. Malah bagi saya lebih selesa bas di Iran ini berbanding bas yang sama jenis dengannya di Malaysia. Kadar tambangnya pun murah berbanding di Malaysia dengan di Malaysia kita perlu berdoa agar rezeki kita mendapat bas 3 tempat duduk sebaris berbanding 4 tempat duduk sebaris yang harganya adalah sama sahaja.

Rupanya, janji untuk berlepas pada pukul 8:30 pagi adalah janji manis sahaja, kerana ia tidak jalan pada masa itu. Sebaliknya, pada masa itulah baru beberapa penumpang baru naik ke dalam bas, dan ia hanya bergerak meninggalkan terminal bas ini setengah jam kemudian. Semasa menunggu bas ini berjalan, saya memeriksa telefon saya, dan alhamdulillah gambar-gambar yang dipadam tadi tidak terpadam sepenuhnya, sebaliknya ia memasuki folder Recently Deleted (Baru Dipadamkan) iaitu umpama Recycle Bin bagi telefon iPhone. Jadi saya pulihkan semua, alhamdulillah, selamat gambar-gambar saya.

Semasa bermula bergerak dari terminal bas Terminal-e Junoob ini menujuk ke Isfahan, kami diberikan setiap seorang, sebuah kotak yang mempunyai makanan ringat berupa dua jenis kek dan dua jenis biskut. Rasa boleh juga teralas perut sepanjang perjalanan ini. Juga diberikan, sekotak minuman kotak, saya mendapat minuman oren. Masing-masing mendapat minuman berbeza. Jika, kami boleh mengambil air minuman botol (air mineral) yang terletak di dalam penyejuk di tengah bas (di tepi tangga tengah bas). 

Jadi beransur-ansurlah bas ini bergerak meninggalkan kota Tehran ini menuju ke Isfahan. Namun di dalam perjalanan, bas ini ada berhenti untuk mengambil penumpang juga. Saya pun tidak sedar bilakah saya tertidur kerana bas ini agak selesa juga. Maklumlah, sebelum ini tidur pun tidak begitu nyeyak.

Bas ekspres Hamsafar yang membawa kami dari Tehran ke Isfahan.

Ahli-ahli kembara ini di dalam bas.

Kotak yang mengandungi snek makanan.

Air kotak yang diberikan.


Saya terjaga kerana bas ini berhenti. Rupanya kami sampai di pinggir bandar Qom, dan terdapat penumpang yang turun di sini. Juga terdapat juga penumpang yang naik. Bas ini rupanya tidaklah bas ekspres sepenuhnya, tetapi ada juga mengambil penumpang di tengah-tengah perjalanan. Jadi saya memakan kek yang diberikan tadi.

Setelah berhenti beberapa kali di beberapa kawasan di jalanraya di pinggir bandar Qom ini, bas ini berjalan meninggalkan bandar Qom. Kemudia setelah kira-kira dua puluh minit, bas ini berhenti berehat di sebuah premis umpama kawasan rehat dan rawat. Di sini kami boleh untuk makan dan minum cuma, kekangan duit rial yang tidak begitu banyak, menyebabkan kami tidak makan di sini. Kami hanya ke tandas, tapi perlu bayar pula. Bayarannya pula diminta 5,000 rial (+- RM0.59) pula dengan tandas tidaklah cantik sangat tapi agak bersih juga.

Sementara menunggu bas ini berjalan, Najib sempat membuat siaran langsung Facebook, kerana dia ada membeli kad SIM berdata Irancell. Ia boleh diikuti di FB Live: https://www.facebook.com/arejeeb.alhamra/videos/10211726837111526/  (Kredit Najib (FB: Are'jeeb Al-Hambra).


Restoran rehat & rawat selepas bandar Qom.

Keadaan jalanraya dari kawasan rehat & rawat.


Setelah setengah jam, bas pun menyambungkan perjalanannya semula. Perjalanan kami melalui permandangan padang pasir dengan sekali sekala ternampak banjaran gunung yang mempunyai puncak yang berwarna putih. Memang teringat saya dengan perjalanan saya di tanah Arab Saudi semasa menunaikan umrah dan haji, terutama perjalanan dari Makkah ke Madinah atau sebaliknya. Juga, sekali sekala ternampak kampung-kampung yang ala kadar sahaja binaannya. Juga melalui pekan-pekan kecil.

Semasa dalam perjalanan, baru saya sedar yang kami tidak melalui Lebuhraya Teluk Parsi (bernombor 7 biru di dalam peta, bertol) atau jalan lamanya (bernombor 71 hijau), tetapi melalui jalan lebih jauh iaitu dari Lebuhraya Tehran Qom (sebahagian Lebuhraya Teluk Parsi, nombor 7 biru) kemudian di bandar Qom, menghala ke barat dengan jalan raya laluan 56 hijau (di jalan ini kami berhenti rehat). Kemudian, barulah menghala semula ke selatan memasuki jalanraya laluan 65 hijau sejurus selepas sempadan antara wilayah Qom dan wilayah Markazi. Dari sini barulah terus ke Isfahan.

Jalan raya antara bandar di Iran ini, walaupun bukan bertaraf lebuhraya, namun ia kelihatan seperti lebuhraya, cuma ia akan melalui beberapa pekan-pekan yang menjadikan ia bukan lebuhraya tanpa halangan trafik. Kita akan melalui beberapa bulatan dan aga kurang lampu isyarat (rasanya hanya sekali sahaja). Malah, persimpangan jalan utama, akan menggunakan persimpangan bertingkat seperti lebuhraya. Apabila memasuki pekan agak besar seperti Delijan dan juga bandar Isfahan, pemandu bas akan berhenti dan turun untuk melapor diri di pondok polis lebuhraya di tepi jalan.

Permandangan padang pasir Iran.

Permandangan padang pasir Iran.

Video: Perjalanan bas dari Tehran (Terminal-e Junoob) ke Isfahan (Kaveh).

Permandangan sebuah tasik (empangan) di tengah-tengah padang pasir Iran.

Sebuah gunung semasa dalam perjalanan.

Keadaan jalan raya ketika menghampiri bandaraya Isfahan.


Peta: Perjalanan bas dari Stesen Bas Terminal-e Junoob, Tehran ke Stesen Bas Kaveh, Isfahan.


Setelah hampir enam jam perjalanan, akhirnya sampai juga bas kami di Terminal Bas Kaveh, di dalam bandaraya Isfahan ini. Bas menurunkan kami di kawasan luar di dalam kawasan stesen bas ini. Ini kerana kawasan bas Hamsafar adalah di situ, malah kaunter tiket pun di situ. 

Selepas itu, kami pun mundar mandir di kawasan terminal bas ini. Terminal bas ini agak cantik dan bersih juga. Mempunyai kemudahan agak lengkap dengan beberapa kedai makan dan juga kedai-kedai lain. Kemudahan surau (ditulis masjid/mosque) juga ada. Dalam berjalanp-jalan sekitar terminal bas ini, saya ternampak papan tanda hotel. Bagus juga kami hendak bertanya, pasal memang kami hendak mencari penginapan dalam masa terdekat ini. Lagipun waktu siang di Iran pada musim sejuk ini agak singkat, kira-kira 9 ke 10 jam sahaja. Kami pun sampai dalam pukul 3:15 petang, jadi masih rasanya ada 2 jam lagi waktu siang.  Kami pun ke hotel tersebut untuk pertanyaan lanjut.


Terminal Bas Kaveh, Isfahan.

Papan tanda mengucapkan selamat datang ke Isfahan di Terminal Bas Kaveh.



Keadaan di dalam Terminal Bas Kaveh.


Sampai di kaunter hotel tersebut, yang sebenarnya tidak jauh dari kawasan bas Hamsafar, yang terletak hujung utara terminal bas Kaveh ini, alhamdulillah, petugasnya boleh berbahasa Inggeris. Jadi saya bertanyakan dan cuba berunding untuk mendapatkan harga terbaik. Asalnya, kami mendapat harga 4,200,000 rial (+- RM 494.12) untuk tiga buah bilik, iaitu 1,400,000 (+- RM 164.71) setiap bilik setiap orang atau 600,000 rial (+- RM 70.59). Akhirnya selepas tawar menawar, kami mendapat 3,300,000 rial (+- RM 388.00) atau 1,100,000 rial (+- RM 129.41) setiap bilik atau 472,000 rial (+- RM 55.53) setiap orang. Alhamdulillah.

Kami minta untuk bayar dengan Dolar Amerika Syarikat, pihak hotel berkata mereka juga boleh menukar wang tersebut dengan kadar US$1.00 (+- RM4.50) = 36,000 rial. Kadar agak rugi berbanding di lapangan terbuang yang boleh dapat 39,000 rial! Jadi dengan itu kami membayar US$92.00 (+- RM414.00)! Kami bayar dahulu, agar mudah semasa daftar keluar nanti. Pasport kami dipegang oleh pihak hotel kerana ini polisi hotel di seluruh Iran, kata petugas. Najib bertanya, ok kah kalau berjalan tiada pasport, dijawab tiada masalah. Harapannya begitulah, insya Allah.



Hotel Kaveh di kawasan Terminal Bas Kaveh.

Pintu masuk ke Hotel Kaveh.

Gegantung iklan Hotel Kaveh.

Keadaan di lobi Hotel Kaveh.

Akuarium yang terdapat di lobi Hotel Kaveh.

Peti ais yang terdapat minuman ringan di lobi Hotel Kaveh.

Kad perniagaan Hotel Kaveh.

Setelah itu, kami pun terus ke bilik untuk membersihkan diri, solat dan selainnya. Kami berjanji untuk berjumpa balik setengah jam kemudian untuk melawat-lawat di tempat-tempat yang menarik di Isfahan ini.

Apabila melihat bilik, baru kami ingat yang sepatutnya, kami melihat dahulu bilik kami. Walaupun kemudahannya agak baik, dengan katil yang bagi saya bagitu baik dan kebersihan seluruhannya memang bersih, namun setiap bilik mempunyai kapasiti tiga orang dan juga salah satunya empat orang. Jadi sebenarnya kami boleh hanya sewa untuk dua buah bilik sahaja, cuma bilik berempat tu perlu padat sikit dan mencari kaedah untuk tidur bagi seorang lagi. Namun bagi kami, kami dah berjanji dan dah bayar pun, lagipun jika dikira, masih murah lagi jika dikira untuk seorang. Lebih baik begitu dari berkonfrantasi di tempat orang.

Kami pun pergi ke bilik masing-masing dengan saya dan Najib mengambil satu bilik dan tiga orang pencen (gelaran kami bagi kumpulan Haji Halig, Haji Kadir dan abang Zul) mengambil satu bilik serta kedua-dua wanita mengambil satu lagi bilik. Saya segerake bilik air  mengambil wuduk dan kemudian bersolat (saya berbuat demikian kerana seluar kecil saya terkenal najis ketika di kawasan rehat tadi, jadi tidak dapat bersolat dalam bas). 

Keadaan bilik kami di Hotel Kaveh.

Keadaan bilik mandi.

Soket plug di Iran.


Batu Karbala yang digunakan oleh penganut Mahzab Syiah untuk sujud semasa solat.


Semasa mengambil sejadah kecil yang memang disediakan, terdapat seketul batu disekalikan. Batu ini merupakan Batu Karbala, yang menjadi tempat sujud bagi penganut Mahzab Syiah. Jadi memang disediakan, jadi jangan pula dibuang atau menjadi kemusykilan. Lagipun memang kami kan berada di bumi majoriti rakyatnya penganut Syiah.

Selepas itu, giliran Najib dan saya pula menggunakan tandas kembali. Usai sahaja, maka saya pun melawat bilik geng orang pencen pula. Haji Halig memaklumkan bahawa Batu Karbala di bilik mereka pecah kerana terjatuh ketika mengambil sejadah. Jadi saya sengaja bergurau, yang mereka akan ditimpa sesuatu. Takut juga muka Haji Halig, jadi saya tenteramkan yang dan maklumkan gurauan saya itu. Cuma saya maklumkan agar lain kali berhati-hati.

Saya kemudian kembali ke bilik untuk mengecaj bank kuasa (power bank) saya yang mana sebelum itu mengecajkan telefon saya yang kini sudah 100%. Di Iran, mereka menggunaka soket kuasa yang berlainan dengan kita di Malaysia. Mereka menggunakan soket elektrik  dari soket jenis C dan jenis F. Bekalan elektrik pula menggunakan voltage 230V 50Hz. Jadi kita perlu membawa penyuai soket (socket adapter) yang bersesuaian atau membawa penyuai sejagat (universal adapter) untuk menggunakannya. Jika tidak, maka peralatan elektrik kita tidak bernyawalah, melainkan jika membawa bank kuasa (power bank).

Saya kemudian ke lobi hotel bersama Najib untuk menunggu yang lain bagi melawat-lawat di tempat-tempat yang menarik di Isfahan Sebagai persediaan, saya membawa bank kuasa kedua saya.

Bersambung ke Hari 2 Bahagian 2.

Jika mahu lihat: 





If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1 (this part);
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Tiada ulasan: