- Itinerari;
- Hari 2;
- Hari 3;
- Hari 4; atau
- Hari 5 & 6.
If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1 (this part);
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4; or
- Day 5 & 6.
Sayap pesawat 9M-XXZ yang sedang meluncur di udara.
Hari 1 (06 Mei 2016 - Jumaat).
Selesai sahaja solat Jumaat di masjid berhampiran rumah saya, saya terus membuat persiapan kecil dan mengambil beg galas saya yang sudah sedia barang-barang yang akan dibawa ke Taipei di dalamnya. Selelah bersalaman dengan semua ahli-ahli rumah saya, saya menuju ke skuter saya dan jam 2:40 petang, tayar skuter saya mula bergolek menuju ke klia2. Pada asalnya saya ingat saya hendak makan di atas penerbangan sahaja, namun saya berhenti juga di kawasan rehat dan rawat (R&R) Dengkel arah selatan untuk makan tengahari.
Papan maklumat penerbangan di klia2.
Setelah dua puluh minit di R&R Denkil arah selatan dan telah teralas perut ini, maka saya pun meneruskan perjalanan menuju ke klia2 dan alhamdulillah tiba di sana pada pukul 4:00 petang. Sampai di sana, setelah memakirkan skuter saya, saya terus ke balai berlepas untuk menunggu rakan-rakan sepengembara di situ. Tidak lama kemudian, Hafiz pun sampai dengan menaiki KLIA Transit dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Namun Abang DAN tidak sampai lagi kerana mempunyai hal saat-saat terakhir dan meminta kami masuk dahulu. Kami sudah daftar masuk dahulu dan tidak memerlukan untuk membuat pemeriksaan dokumen, jadi kami boleh masuk terus ke kawasan airside.
Saya dan Hafiz di hadapan pintu berlepas klia2.
Pesawat yang akan membawa kami (9M-XXZ).
Setelah melaksanakan urusan imigresen (imbas sahaja) dan kastam, kami terus ke Bangunan Satelit untuk solat dan kemudian duduk rehat di Sport Lounge, menantikan panggilan untuk pelepasan. Ini kerana pintu Q4 dekat sahaja dengan Sport Lounge itu.
Di depan pintu Q4.
Jam 6:00 petang, terkumandang pengumuman yang menyatakan bahawa pintu pelepasan D7 376 telah dibuka, jesteru itu kami pun lantas ke sayap Q untuk ke pintu pelepasan Q4. Sampai di kawasan pemeriksaan keselamatan polis bantuan Malaysia Airport Berhad, kami pun beratur. Walaupun orang tidak berapa ramai, namun kawalan agak ketat dan terdapat dua orang penumpang (bukan warganegara Malaysia) yang melambatkan pergerakan. Selepas melepasinya, kami terus ke pintu Q4 dan nasib baik ada beberapa penumpang yang masih beratur. Selang seminit dua, giliran kami tiba untuk pemeriksaan pas pelepasan dan pasport. Akhirnya kami pun memasuki pesawat dan terus ke tempat duduk kami yang berada di belakang sekali. Kami berjumpa juga dengan Abang DAN.
Saya, abang Daud (DAN) dan Hafiz, duduk di tempat duduk di dalam pesawat.
Penerbangan AirAsiaX D7 376 berlepas dari klia2 ke Taipei.
Pesawat 9M-XXZ yang membawa kami ini berlepas dari pintu Q4 pada jam 6:30 petang, kemudian melalui laluan teksi menuju ke landasan terbang. Kami meninggalkan klia2 pada pukul 7:00 malam.
Sayap pesawat 9M-XXZ yang sedang meluncur di udara.
Salah satu bandar di Taiwan ketika waktu malam dari udara.
Setelah lebih sikit dari empat jam penerbangan, pesawat kami terbang di ruang udara bandaraya Kaohsiung, iaitu sebuah bandaraya di selatan Taiwan. Ketika itu, waktu sudah pun waktu malam di sana. Hampir dekat 45 minit juga pesawat kami ini terbang di ruang udara Taiwan. Boleh dilihat, dari Kaohsiung ke utara Taiwan, cahaya menerangi di bahagian sebelah barat Taiwan. Tidak banyak ruang gelap didapati, kecuali di sebelah timur Taiwan. Mungkin kerana dilindungi banjaran gunung agaknya. Ini bermakna, Taiwan memang agak padat pembangunannya.
Penerbangan AirAsiaX D7 376 mendarat ke Taipei dari klia2.
Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan AirAsiaX D7 376 pada 06 Mei 2016.
Akhirnya setelah empat setengah jam, penerbangan AirAsiaX D7 376 telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan Taoyuan (TPE) pada jam 10:30 malam waktu Taiwan yang sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).
Mesej selamat datang ke Taiwan di pintu ketibaan.
Setelah 20 minit di atas landasan dan jalan teksi (taxiway), sampailah kami di pintu A7 Terminal 1 TPE. Oleh kerana kami duduk di belakang sekali, maka selepas 10 minit barulah kami keluar dari pesawat.
Kedai-kedai syarikat telekomunikasi sebelum pemeriksaan imigresen (sudah tutup).
Kami mengikut sahaja tanda arah ke imigresen. Huh, memang sebiji dengan permandangan yang saya dapat dalam Google StreetView yang saya lihat sebelum ini. Sebaik sahaja sampai di kawasan pemeriksaan imigresen, terdapat beberapa buah kedai-kedai syarikat telekomunikasi yang telah tutup. Memandangkan kami sudah ada kad i-Sim makan tidak perlu lagi kad SIM. Saya lihat juga kadarnya, agak ok juga, dari NT$300 untuk internet tanpa had bagi tiga atau lima hari tambah dengan sedikit nilai kredit.
Balai ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan Taoyuan (TPE)
(airside) sebelum pemeriksaan imigresen.
Borang Ketibaan Imigresen Taiwan.
Kami terus ke meja untuk mengambil Borang Ketibaan Imigresen Taiwan dan mengisinya, kerana borang tersebut telah kehabisan apabila krew penerbangan sampai ke tempat duduk kami. Borangnya agak mudah dan ringkas. Habis sahaja, kami pun beratur. Mungkin tatkala itu, penerbangan yang tiba tidak banyak, barisan beratur pun cepat surut, dan proses kemasukan kami agak pantas juga. Akhirnya, cop negara yang ke-18 saya telah lawati (walaupun tidak banyak negara mengiktiraf secara rasmi Taiwan sebagi sebuah negara, namun di kalangan mereka juga mengiktiraf secara tidak rasmi Taiwan ini, disamping ia mempunyai regim imigresen tersendiri walaupun kedaulatannya juga dituntut oleh Republik Rakyat China (tanah besar China atau China Komunis), maka saya mengira Taiwan sebagai sebuah negara).
Cop Masuk Imigresen Taiwan.
Balai ketibaan umum Terminal 1 TPE (landside) selepas melepasi pemeriksaan kastam.
Selepas selesai urusan imigresen dan kastam (kami hanya bawa beg galas sahaja, tidak perlu tunggu bagasi, semasa kami sampai di situ, bagasi tidak sampai lagi di conveyor), kami pun sampai di balai ketibaan Terminal 1 TPE. Kami ambil angin dahulu sebelum berbuat langkah selanjutnya. Di sebelah kanan pintu ketibaan, terdapat banyak kaunter perkhidmatan seperti Biro Pelancongan Taiwan, kereta sewa, pelbagai informasi dan juga kaunter syarikat telekomunikasi. Jika terlepas tidak beli di sebelum kaunter imigresen, beli di sini pun boleh, harga sama. Selain itu, banyak juga kaunter yang menawarkan perkhidmatan modem bergerak atau istilah popular MoFi.
Kedai telekomunikasi di balai ketibaan umum Terminal 1 TPE
(diambil pada hari akhir, sepatutnya sudah tutup ketika kami sampai).
Tanda arah ke stesen bas Terminal 1 TPE.
Kami meneruskan perjalanan ke arah kiri pintu ketibaan mengikut tanda arah ke stesen bas Terminal 1 TPE. Kami sebenarnya mengejar untuk mengambil bas sesegera mungkin untuk ke pusat bandar Taipei atau lebih tepat ke Taipei Main Station iaitu stesen keretapi utama Taipei. stesen bas terletak hanya searas di bawah balai ketibaan (aras 1) iaitu di aras B1. (Kita boleh merujuk laman web Taiwan Bus untuk mengetahui perkhidmatan bas seluruh Taiwan).
Kaunter tiket di stesen bas Terminal 1 TPE.
Sampai di sana, alamak, kaunter bas shuttle ekspres ke Taipei Main Station bernombor 1819 (kaunter 7 - nama penyedia Kuo Kuang Bus, harga tiket NT$125/orang) sudah panjang barisan beraturnya. Saya minta Hafiz dan Abang DAN untuk beratur dahulu di barisan tersebut. Saya mencari lagi di kaunter-kaunter lain untuk mencari alternatif. Bukan apa, oleh kerana kami dah tempah penginapan, maka kalau boleh nak cepat-cepat tinggalkan lapangan terbang ini.
Tiket bas City Bus bernombor 1961 ke Taipei Main Station.
Alhamdulillah, di kaunter 5 iaitu di kaunter City Bus menyatakan ada tiket untuk bas ke Taipei Main Station. Ini rasanya bas khas, kerana bas City Bus bernombor 1961, perkhidmatan terakhirnya adalah pada pukul 10:35 malam dari Dayuan (destinasi permulaan sebelum singgah di TPE) dan ketika itu sudah pukul 11:35 malam. Sebelum saya hendak beli, saya melihat barisan di kaunter 8 tadi, sudah tiada, saya bertanya kepada Abang DAN, rupanya, tiket bas 1819 sudah habis dan kena tunggu lagi sejam setengah lagi. Jadi saya terus membeli tiket bas City Bus bernombor 1961 ini untuk tiga orang. Harganya pun lebih murah iaitu NT$90/orang. Kami mendapat bas pukul 11:45 malam dan kami perlu menunggu di platform 10 di luar stesen.
Bas City Bus bernombor 1961 di platfotm 10 stesen bas Terminal 1 TPE.
Keratan tiket City Bus nombor 1961.
Kami menunggu di luar, suasana di situ agak hangat, tidak jauh berbeza dengan Kuala Lumpur juga yang ketika itu sedang menghadapi fenomena El Nino, sudah beberapa minggu terasa kehangatan sampai beberapa tempat di Malaysia mengalami kemarau. Tidak lama menunggu, bas bernombor 1961 pun sampai. Kami menaikinya dan tidak lama kemudian, bas ini pun berlepas meninggalkan stesen bas Terminal 1 TPE.
Peta: Perjalanan dari Terminal 1, TPE ke Terminal A, Stesen Bas Taipei Barat
Tempat kami diturunkan di Taipei Main Station.
Perkhidmatan City Bus 1961 ini merupakan bas henti-henti yang banyak berhenti di sepanjang laluan ini. Mujur ketika ini adalah waktu tengah malam (kalau ikut di Kuala Lumpur, sudah macam pukul 2:00 pagi), maka tidak banyak berhentinya. Walaupun ia bas henti-henti, namun dalaman bas ini seperti bas ekspres. Bas yang digunakan merupakan jenis chasis high deck dari jenama Daewoo. Terdapat tempat simpan beg yang boleh dimasuki dari ruang penumpang. Kami sampai di kawasan Taipei Main Station pada pukul 12:50 tengah malam.
.
Peta: Perjalanan dari Terminal A, Stesen Bas Taipei Barat ke Angels' Hostel.
Kad Perniagaan Angels' Hostel Taipei Ximen.
Dari tempat bas turunkan kami (lebih kepada tepi jalan sebenarnya), kami pun berjalan kami dengan mengikut aplikasi Google Maps untuk ke penginapan kami di Angels' Hostel Taipei Ximen. Sempat juga singgah di sebuah kedai serbaneka Family Mart, semasa perjalanan untuk membeli beberapa bekalan minuman dan sebagainya. Agak selamat juga berjalan di tengah malam di tengah-tengah bandaraya Taipei ini. Akhirnya setelah 20 minit, kami sampai juga ke penginapan kami ini.
Kaunter khidmat pelanggan di Angels' Hostel Taipei Ximen.
Ruang legar di Angels' Hostel Taipei Ximen.
Kami menunggu juga untuk mendaftar masuk kerana terdapat seorang pengunjung yang sedang mendaftar masuk pada ketika itu. Saya sempat melihat sekitar kawasan penginapan ini. Suasana agak bersih dan selesa dengan mempunyai pendingin hawa. Mempunyai pelbagai kemudahan termasuk terminal internet percuma, ruang santai di ruang legar, kawasan pantri yang mempunyai peti ais, dapur dan despenser air sejuk/panas, dilengkapi dengan kopi dan teh. Kemudahan bilik air adalah berkongsi, cuma tandas berada di luar premis tertapi berdekatan, perlu bawa kad kunci untuk membuka premis jika dari tandas tersebut. Macam biasa, tiada air paip dalam tandas, maka kena bawa botol untuk proses istinjak.
Waktu solat di Taipei daripada aplikasi Muslim Pro.
Setelah usai proses daftar masuk (perlu bagi semua pasport penginap), maka kami ditunjukkan katil kami. Terdapat katil 3 tingkat tapi bukan seperti katil bertingkat biasa, ada tangga biasa (bukan tangga panjat) yang dibina khas untuk ke katil tingkat 2 dan 3. Terdapat langsir di setiap katil yang dapat memberi ruang peribadi kepada penginap. Terdapat lampu kecil peribadi, peti keselamatan kecil dan plug soket elektrik universal yang mempunyai juga dua soket USB, tidak perlu menggunakan soket penyuai (adepter) universal lagi. Saya tukar baju dan membuka aplikasi Muslim Pro untuk mendapat waktu solat dan bersolat dulu. Usai solat saya terus merehatkan diri dan tidak sedar bila masa saya tidur.
Bersambung ke Hari 2.
If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1 (this part);
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4; or
- Day 5 & 6.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan