Bersambung dari Pra Kembara.
If want to read in English:
- Pre Journey,
- Day 1 (this part);
- Day 2;
- Day 3; or
- Itinerary.
Hari 1 - 30 Ogos 2014 (Sabtu)
Saya bangun pada pukul 0330 (3:30 pagi) untuk bersiap-siap dan membersihkan diri. Beg saya sudah siap pada petang Khamis (28 Ogos 2014) lagi. Almaklumlah, penerbangan pada pukul 0735 (7:35 pagi) dan saya ke klia2 dengan menggunakan perkhidmatan bas SkyBus di KL Sentral.
Dalam masa bersiap, saya mendapat khabar pada pukul 0345 (3:45 pagi) yang salah seorang rakan sepengembara iaitu Marzuewanie Mat Dris atau kami kenali sebagai Wanie yang sudah ada di Shah Alam (beliau tinggal di Melaka), tidak jadi pergi. Beliau sudah daftar masuk dan sejak seminggu sebelum kembara ini amat beria-ia dan tidak sabar untuk pergi pengembara. Namun atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan, beliau membatalkan pemergian beliau.
Pukul 0400 (4:00 pagi) saya pun bertolak dari rumah ke KL Sentral dengan dihantar oleh isteri saya. Kereta isteri saya terus meluncur ke KL Sentral dan tiba di jalan antara KL Sentral dan pusat membeli belah Nu Sentral pada jam 0415 (4:15 pagi) agar dekat dengan tangga/eskalator ke tingkat bawah iaitu terminal bagi bas-bas ke KLIA dan klia2. Alhamdulillah saya sempat menaiki bas pukul 0430 (4:30 pagi).
Perjalanan ke klia2 mengambil masa lebih kurang 45 minit melalui Jalan Istana, Lebuhraya MEX, Lebuhraya Elite dan terus ke klia2. Ini pertama kali saya menaiki bas ke klia2. Akhirnya bas tiba di Terminal Pengangkutan Awam klia2 di aras paling bawah. Moden juga terminal ini, cuma tidak berapa lengkap lagi kerana banyak kedai dan fasiliti belum siap.
Saya segera naik ke atas dengan menggunakan eskalator atau lebih tepat walkalator untuk ke aras berlepas. Mudah sahaja, tidak susah rupanya.
Saya pun sampai di aras berlepas di kawasan daftar masuk. Saya menunggu di hadapan kedai serbaneka KK Mart kerana kedudukannya berdekatan dengan surau. Saya berjumpa dengan rakan sepengembara iaitu tuan Daud Naim yang senang dikenali dengan nama DAN, yang sudah ada di situ. Cuma seorang lagi iaitu Mardihah Abdul Malik atau kami panggil Diha belum sampai lagi. Saya suruh tunggu di depan KK Mart, rupanya beliau tunggu di KK Mart di Terminal Pengangkutan Awam (Bas) di aras bawah. Terus saya suruh beliau ke aras berlepas. Alhamdulillah selepas 5 minit, bertemulah kami bertiga.
Kami mengambil keputusan untuk bersolat di surau di terminal satelit iaitu di bangunan terminal di mana pintu pelepasan kami (pintu P6) terletak. Ini kerana jika kami bersolat di surau balai berlepas, mungkin agak sesak. Jadi kami terus melaksanakan prosedur imigresen dan pemeriksaan kastam. Agak ketat sikit klia2 ini berbanding KLIA dan di LCCT dulu. Walaupun agak ramai, dalam masa 5 minit, selesai segala urusan, dengan kami menggunakan pintu automatik untuk pemeriksaan pasport kami. Agak banyak pintu automatik ini (saya kira ada lebih 10 unit). Setelah itu maka lalulah kami melalui jambatan udara yang menghubungkan bangunan utama dengan terminal satelit. Terus kami ke surau terminal satelit, alhamdulillah tidak berapa ramai orang.
Setelah usai solat Subuh, DAN mengajak kami untuk bersarapan di restoran makanan segera yang ada di situ. Beliau belanja, alhamdulillah dan terima kasih daun keladi. Setelah setengah jam, maka kami terus ke pintu P6 untuk menaiki pesawat. Sebelum sampai ke pintu pelepasan, perlu melalui pemeriksaan keselamatan terakhir oleh polis bantuan Malaysia Airport Berhad. Alhamdulillah, oleh kerana sudah biasa dan saya memang sudah bersedia awal (dengan membuka tali pinggang, jam tangan dan pelbagai lagi serta membuka kasut), pemeriksaan kami berjalan lancar. Setelah itu, semasa kami berjalan, terdengar pengumuman memanggil penumpang AK552. Tapi masa itu kami hampir sampai di pintu pelepasan P6. Masa tu baru pukul 07:05 pagi. Nampaknya awal juga pintu kapal terbang dibuka. Akhirnya kami berada di dalam perut kapal terbang.
Saya dan DAN berselfie semasa di dalam pesawat.
Jam 0725 (7:25 pagi) iaitu sepuluh minit awal, pesawat ini ditutup pintunya dan bergerak menuju ke landasan utama. Tapi perjalanan dari terminal melalui laluan teksi dan seterusnya ke landasan agak perlahan, mungkin kerana banyak pesawat berlepas pada masa ini. Akhirnya pada 0750 (7:50 pagi) barulah AK552 berlepas dari klia2, menuju ke Vientiane. Oleh kerana saya duduk di tepi tingkap maka saya dapat melihat suasana di luar.
Setelah 2 jam suku terbang di udara, akhirnya AK552 memasuki ruang udara Vientiane, Laos. Awan agak tebal tapi tidak ada banyak gegaran berlaku semasa pesawat menuruni ke altitud lebih rendah. Nampak gaya macam hari mahu hujan. Tapi memang suasana di udara amat indah. Akhirnya pada 0820G (8:20 pagi waktu Laos atau 9:20 pagi waktu Malaysia, waktu Laos memang sejam lewat berbanding waktu Malaysia), pesawat pun mendarat dengan selamat.
Pesawat akhirnya berhenti di tarmac Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay. Memang terminal penumpang lapangan terbang ini amat unik. Jika dilihat, seumpama sebuah jejantas sahaja. Pintu ketibaan pesawat kami pun tidak berapa jauh dengan balai imigresen.
Saya sempat mengambil gambar DAN dan Diha sebelum memasuki balai imigresen.
Borang imigresen Laos, siap ada iklan sebuah syarikat telekomunikasi lagi.
Alhamdulillah, prosedur masuk ke Laos tidaklah lama. Mula-mula semasa memasuki balai imigresen, agak ramai, terutama yang perlu visa semasa tiba (visa on arrival-VOA), tapi akhirnya makin kurang. Nasib baik kami tidak perlu VOA, pasal pemegang pasport Malaysia akan dapat 30 hari pelepasan visa (visa free). Cuma borang imigresen agak banyak benda yang hendak di isi yang tiada di borang imigresen negara lain seperti tempat pasport dikeluarkan, tarikh luput pasport dan sebagainya. Kena isi siap-siap untuk borang keluar juga. Diha agak lama juga prosesnya, tidak tahulah kenapa, saya di belakang, perhatikan sahaja. Lega bila tengok beliau lepas, tiba pula giliran saya. NAM lakukan proses imigresen ini di kaunter lain. Alhamdulillah, saya punya tak sampai seminit.
Seterusnya kami terus ke bawah untuk ke balai ketibaan. Kecil sahaja lapangan terbang ini, conveyor bagasi pun pendek sahaja. Kami pergi ke bilik hajat dulu untuk selesaikan segala hajat, hehehe. Seterusnya kami melewati kaunter kastam yang tiada orang menuju ke kaunter tukaran wang asing yang terletak selepas kaunter kastam.
Kami menukar wang US$100.00 (US$40.00 dari NAM dan masing-masing US$30.00 dari Diha dan saya). Kami mendapat ₭ 803 000. Bermakna RM320.00 mendapat jumlah tersebut. Kip Laos yang simbolnya ₭ (tapi saya hairan, tidak jumpa pun penggunaannya di Vientiane termasuk pada matawangnya) atau ISOnya LAK, hanya laku di Laos sahaja. Jika keluar dari Laos, ia tidak laku (saya berkata kalau keluar Laos, kip yang tinggal akan terus kena keep (simpan)), jadi ia perlu dihabiskan.
₭ 1000 = +- 40 sen Malaysia
₭ 2000 = +- 80 sen Malaysia
₭ 5000 = +- RM2.00
₭ 10 000 = +- RM4.00
₭ 20 000 = +- RM8.00
₭ 50 000 = +- RM20.00
Setelah selesai, kami terus ke balai ketibaan. Terasa seperti buakn sebuah lapangan terbang antarabangsa tapi lapangan terbang domestik. Suasana agak serupa dengan Lapangan Terbang Miri sahaja.
Kami terus keluar dan berjalan kira-kira 500 meter ke jalan utama bagi mendapatkan pengangkutan yang lebih murah. Jika kami mengambil teksi dari lapangan terbang, cajnya US$10.00 (+- RM32.00), dan jika guna tuktuk, harganya ₭ 50 000 (+-RM20.00).
Di jalan utama, kami nampak perjalanan kehidupan warga Vientiane. Sebenarnya pusat bandar Vientiane masih jauh, kira-kira 4 km lagi dari simpang lapangan terbang. Agak sibuk juga, tidak seperti sebahagian kata Vientiane ni tidak banyak lalu lintas. Mungkin kerana Laos sudah meningkat ekonominya.
Kalau dilihat pada gambar, keadaan langit agak mendung, dan kira-kira beberapa minit, hujan gerimis mulai turun. Keadaan sistem jalan raya panduan kiri dan menggunakan jalan sebelah kanan. Nasib baik kami berjalan kaki, kalau memandu dan yang memandu itu saya, harus keliru sebagaimana yang pernah saya alami di beberapa buah negara. Berhampiran simpang lapangan terbang di mana saya menunggu bas sebenarnya, terdapat sebuah bank yang amat saya kenali logonya, yang serupa dengan logo sebuah bank di Malaysia. Public Bank, sebenarnya ia adalah cawangan anak syarikat Public Bank Berhad Malaysia di Laos. Kira Malaysia ada bagi sumbangan terhadap ekonomi Laos.
Setelah lima minit, dan risau dari gerimis menjadi hujan, lagipun dengan kip yang banyak di tangan saya (setelah undi 2 lawan 1, saya dilantik menjadi "bendahari" kembara, dan saya memegang semua duit kip yang ada, huhuhu), maka kami menahan sebuah tuktuk. Nasib baik pemandunya faham bahasa Inggeris sikit, dan tambang seorang ke Thalat Sao, pasar pagi di tengah bandar Vientiane adalah ₭ 5000, kira-kira RM2.00. Oklah, saya berbanding ₭ 50 000 jika dari lapangan terbang.
Antara gambar-gambar kami di dalam tuktuk Vientiane.
Tuktuk di Vientiane ini rupanya seperti tuktuk Bangkok, cuma lebih besar dan boleh bawa kira-kira 8 orang berbanding hanya 3 di Bangkok, dan ia mempunyai 5 tayar. Kedengaran muzik Laos, yang kata Diha agak mendayu sedikit berbanding muzik Thai. Bunyi pun lebih kurang Thai juga, memang la kot, kerana asal kedua-dua bahasa itu dari cabang bahasa yang sama iaitu bahasa Tai (tiada H selepas T), bahasa dari benua China. Jalan agak lancar, cuma tuktuk ini seperti agak perlahan, jadi 3 - 4 km itu terasa seperti 13 atau 14 km sahaja.
Selepas 15 minit di atas tuktuk, kami pun sampai di Thalat Sao, cuma semasa hendak sampai, jalan agak sesak sikit, menunjukan bahawa Thalat Sao ini memang tempat tumpuan umum.
Perkara pertama kami buat adalah membeli tiket bas ke Bangkok. Terminal bas terletak di sebelah sahaja pasar Thalat Sao ini. Harga tiket bas ke Bangkok adalah sebanyak ₭ 248 000 atau kira-kira RM99.00. Memandangkan kami cuma ada ₭ 803 000, kalau guna duit ni nanti cuma ada baki ₭ 59 000, jadi kami bertanyakan boleh guna duit Baht Thai (฿). Jawapannya boleh, dan kami memberikan kepada kerani (syukur juga kerani kaunter tiket bas itu boleh bercakap bahasa Inggeris dengan agak baik) ฿3000, dan diberikan baki ₭6000 (duit Laos).
Sememangnya di Vientiane ini boleh digunakan 3 matawang iaitu Dolar Amerika (US$), Baht Thai dan Kip Laos, malah keutamaan adalah mengikutb urutan tersebut, bermakna matawang sendiri pun menjadi matawang kelas ketiga dibumi sendiri.
Selain itu, bas-bas di terminal ini kebanyakannya adalah bas tempatan, namun selain ke Bangkok, bas ke Nong Khai iaitu bandar sempadan Thai dan Udon Thani, bandar besar terdekat juga ada dari terminal bas ini. Kalau bas-bas jarak jauh lain kena ke terminal bas utara dan ke selatan ke terminal bas selatan. Harga pun ada dipaparkan, agak murah berbanding bas ke Bangkok, tapi kami tidak mahu ambil risiko (lebih dipengaruhi oleh DAN, huhuhu, jika tidak saya mahu je ambil bas ke Nong Khai dan ambil bas ke Bangkok dari situ), lebih selamat ambil bas terus ke Bangkok.
Setelah selesai beli tiket, kami berjalan-jalan di pasar Thalat Sao. Terdapat kompleks pasar biasa dan kompleks membeli belah moden. Boleh dikatakan segala keperluan ada di sini dari ikan, daging, sayur ke perabot, alatan elektrik malah cenderahati seperti magnet peti sejuk, kraftangan dan pelbagai lagi boleh di dapati di sini. Harga cenderahati paling murah adalah di sini namun jika banding standard Malaysia, harga agak mahal. Malahan harga keperluan harian pun lebih mahal dari Malaysia. Kesian pula saya lihat orang Laos, gaji kecil tapi harga barang mahal. Kuasa beli rendah berbanding kita. Saya amat bersyukur jadi rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia.
Kami bercadang hendak beli cenderahati tapi ingin lihat dulu harga di Patuxay kerana ada kata sana lebih murah. Lalu kami menyeberang jalan untuk mengambil perkhidmatan tuktuk bagi bersiar-siar sekeliling Vientiane ini. Banyak tutktuk dan teksi lepas di sini, kami memilih tuktuk pasal bukan ada di Malaysia pun walaupun teksi lebih selesa. Harga lebih kurang sahaja. Tapi harganya pun agak mahal, sejam ₭ 80 000 (+-RM 32.00). Kami nak tempah untuk 7 jam (10:30 pagi hingga 5:30 petang) jadi harganya akan jadi ₭ 560 000 (+-RM224.00)!!! Kopak!!! Saya pun buat tawaran, akhirnya dapat ₭ 200 000 (+-RM 80.00). Ok apa rezeki tuktuk tu, dah la susah nak tawar pasal tak berapa pandai berbahasa Inggeris. Tapi oklah. Ahli kembara cakap, terer saya tawar, saya cakap, ini pun pasal bantaun mereka juga, pasal DAN cakap kalau x dapat separuh jangan ambil, akhirnya bukan separuh, dah lebih 60% diskaun huhuhu...
Destinasi pertama, makan dulu, perut lapar pasal hanya makan di klia2 tadi, jadi kami minta pemandu itu (nasib baik dia faham) ke Fathima Restaurant, antara restoran makanan halal di sini. Dalam 5 minit sudah sampai.
Anak tauke Fathima Restaurant, Vientiane
Maklumlah, bermusafir ni cepat lapar. Jam baru pukul 11:00 pagi (waktu Malaysia dah 12:00 tengahari), ooo, dah 5 jam setengah tak makan rupanya. Padanlah lapar. Makanan di sini ala-ala makanan India begitu. Tapi ada juga citarasa Malaysia. Masing-masing mintalah nasi baryani kambing (yang lelaki) dan ayam (yang wanita). Khidmat pun laju. Sementara menunggu makanan sampai, anak tauke asyik mengendeng duduk tepi saya. Mungkin pasal saya asyik tengok telefon pasal di restoran Fathima ini ada WiFi percuma. Nak ambil gambar tapi pemalu, tapi sempatlah ambil juga. Di restoran ini boleh pesan guna Bahasa Melayu tapi jangan lebih-lebih pula atau guna bahasa slang sangat, mereka ni tahu asas je (pekerja la).
Sambil tu ambil kesempatan kerana ada ada suis elektrik, untuk mengecaj apa yang patut dicaj. Jauh perjalanan ni... (Boleh tengok gambar di bawah, kasihan Mardihah, bersilang-silang kepalanya dengan kabel telefon dan power bank).
Setelah makanan sampai, semua senyap. Menikmati makanan. Minum pula minta air buah, saya minta lassi mangga (jus mangga campur yogurt), tapi serius lassinya masam, mungkin kerana di sini gula mahal kot. Setelah usai makan, saya tanya, mana destinasi kita selepas ini? Abang DAN bersuara, "kita ikut je mana Hadi nak pergi." Pula, dah macam pemandu pelancong pula saya, sedangkan ini pertama kali saya ke sini. Lain la DAN. Bila saya minta DAN pimpin, dengan selamba dia berkata yang dia dah padamkan segala memori di Vientiane ni. Huhuhu... Sudah la saya jadi bendahari, jadi setiausaha, ni jadi pengerusi pun saya...
Kami pun minta bil dan bayar harga makanan. Macam biasa, makanan halal di negara bukan Islam lebih-lebih lagi Muslim minoriti kecil (di Laos cuma 1% sahaja Islam), makanan halal adalah mahal. Harga bil kami adalah ₭ 144 000 (+- RM57.60), kira kalau bahagi tiga, seorang makan RM19.20. Lebih mahal dari makan di Restoran Insaf di Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL. Tapi itu rezeki kami, alhamdulillah.
Kami pun minta bil dan bayar harga makanan. Macam biasa, makanan halal di negara bukan Islam lebih-lebih lagi Muslim minoriti kecil (di Laos cuma 1% sahaja Islam), makanan halal adalah mahal. Harga bil kami adalah ₭ 144 000 (+- RM57.60), kira kalau bahagi tiga, seorang makan RM19.20. Lebih mahal dari makan di Restoran Insaf di Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL. Tapi itu rezeki kami, alhamdulillah.
Seterusnya kami menaiki balik tuktuk yang tunggu kami dan saya meminta untuk bersolat zohor (dijamak dengan asar). Jenuh juga nak terangkan pada pemandu tuktuk tempat solat ke, masjid ke. Lama juga akhirnya faham juga dia. Dibawa ke sebuah masjid, yang saya nampak tidak jauh dari Kedutaan Brunei. Maaf tiada gambar yang diambil kerana saya terlupa mahu ambil, tambahan pula masa mahu masuk ke masjid itu hujan mulai turun tepai tidaklah lebat sangat.
Ketika itu sebenarnya sudah masuk waktu zohor tapi memang kebiasaan saya lihat di negara minoriti Islam (kecuali Thailand) seperti juga di China, mereka solat lambat. Masjid ini sederhana saya, maaf juga saya terlupa nak ambil nama. Masjid ini pun bukan di tepi jalan, tapi kena masuk jalan kecil tapi tidaklah jauh sangat ke dalam. Terdapat beberapa orang yang di dalamnya, sedang membaca al Quran.Jadi saya solat berjemaah sahaja dengan DAN. Ketika kami selesai solat, hujan makin lebat. Saya ingat sudah basah kasut saya, kerana letak di ruang tidak terlindung, tapi alhamdulillah ada hamba Allah yang alihkan kasut kami. Kami meneruskan perjalanan ke Patuxay.
Semasa perjalanan, hujan yang lebat tiba-tiba menjadi renyai, dan sejurus tiba di Patuxay, hujan berhenti. Seperti membenarkan pengembaraan kami ini, alhamdulillah.
Apa menarik Patuxay ni? Patuxay ini sebenarnya di kira tugu kebebasan Laos. Diinspirasikan dari Arc de Triomphe di Paris, ia adalah tanda kebebasan mereka dari penjajahan Perancis (ironi bukan). Ia dibina antara tahun 1957 hingga 1968 dari sumbangan bahan binaan dari kerajaan Amerika Syarikat untuk membantu kerajaan Laos membina lapangan terbang yang baru. Tapi mereka pergi buat tugu pula. Jika nak tahu lebih lanjut boleh baca di sini.
Ramai juga pelancong-pelancong ke sini, memang ia tarikan perlacongan di Vientiane ini. Tapi kebanyakan mereka hanya berlegar di bawah sahaja. Saya pun hairan, tidak boleh naik kah? Terus saya berpusing-pusing untuk melihat apa yang menarik. Pada masa tersebut, terus terjumpa kaunter tiket, apa lagi saya bertanya kepada ahli kembara, nak naik kah? Lagipun, inilah bangunan tertinggi di Vientiane, boleh lihat sekitar. Lagipun harga tiket cuma ₭3000 (+-RM1.20) sahaja. Kami pun naik lah struktur bernama Patuxay ini.
Nak kata menaik, boleh keta bertukar menjadi mendaki. Huhuhu... Banyak tangga dan agak tinggi juga. Sampai ke tingkat 4, ingatkan dah sampai ke atas, rupanya, ada macam pusat jualan cenderahati di sini. Padanlah di bawah tadi tiada gerai jual cenderahati yang biasa ada di kawasan tarikan pelancong. Tetapi harga di sini mahal sikit berbanding di pasar Thalat Sao tadi. Mahal 2 hingga 3 kali ganda. Menyesal pula tidak beli di pasar tadi.
Naik ke tingkat 5 pun sama, ada orang jual cenderahati juga, dari magnet peti ais, rantai kunci, T-Shirt hingga ke benda-benda eksotik seperti gigi harimau, gading gajah dan sebagainya.
Ini bukan patung anjing tetapi anjing betul!
Naik ke tingkat 6 pun masih gerai lagi, tapi di sudah ada ruangan terbuka untuk melihat permandangan sekitar Vientiane. Berbanding tingkat 4 dan 5 yang tertutup, di tingkat 6 ini sudah terbuka dan berangin sikit. Jadi sempatlah saya ambil video dan gambar di sini.
Saya naik juga ke tingkat 7 (tetapi tidak boleh ramai kerana ruang kecil dan tangga pun kecil). Memang cantik permandangan. Langit seperti terbelah 2, ada yang cerah dan ada yang mendung. Tanah Siam (Thailand) pun boleh nampak dari sini. Cuma tingkat atas sekali (tingkat 8) tidak dibuka untuk umum. Walaupun mengah naik tangga (macam mana nak daki gunung ni?) tetapi puas.
Setelah dekat 45 minit di atas Patuxay ini, kami pun turun. Sampai di bawah baru perasan, di siling tingkat bawah (kira lantai tingkat 4 la tu) terdapat seni yang amat cantik. Apa lagi tangkap gambar.
Sebelum ke tuktuk, kami ke taman untuk mengambil beberapa gambar buat kenangan.
Setelah selesai, kami ke tuktuk dan meminta pemandu ke That Dam atau Stupa Hitam. Sebenarnya, kami dah lalu semasa nak sampai ke pasar Thalat Sao tadi, tapi sekadar lalu, kali ini nak tengok apa yang ada. Dipercayai stupa ini dah lama ada di Vientaine. Di dalamnya dipercayai oleh penduduk tempatan terdapat naga berkepala 7 tinggal di situ, dan itulah yang melindungi kota mereka dari ditawan tentera Siam pada beberapa kurun yang lalu.
Selepas itu setelah dalam 20 minit di That Dam, kami meminta pemandu tuktuk untuk membawa kami ke Taman Buddha (Buddha Park) yang agak jauh dari bandar Vientiane ini. Kalau dilihat dari Google Maps, perjalanan kira-kira 16 km, akan melalui pintu masuk ke pintu sempadan Laos-Thailand di Thanaleng, tapi tak masuk la, melewati je. Semasa dalam perjalanan, pemandu tuktuk tu memasang kain kanvas menutupi tuktuknya untuk mengelakan kami dari basah, betul juga, tak lama kemudian, hujan lebat pun turun. Maka berjalanlah kami menuju ke Taman Buddha dalam keadaan hujan.
Tetapi kusangkakan hujan sampai ke malam, namun panas di waktu petang, hahaha. Dalam 15 minit, hujan teduh dan matahari muncul kembali. Wah, macam puitis pula. Dah dekat setengah jam pun, masih tak sampai lagi, macam jauh je.
Kami pun melewati pintu sempadan (kena belok kiri, kami terus), dan sebaik sahaja melepasi bawah Jambatan Persahabatan yang ke bandar Nong Khai, Thailand, jalan yang berturap cantik, menjadi berlubang-lubang dan tidak rata. Seumpama jalan kampung pada tahun sebelum tahun 1990an (di Johor, kerana selepas tahun 1990, program penurapan jalan kampung telah dijalankan). Sakit punggung juga. Adalah dekat 20 minit juga.
Akhirnya nak dekat sejam barulah sampai ke Taman Buddha ini. Rasa menyesal pun ada pasal nak datang ni pun tengok patung berhala. Tak apa lah dah sampai pun. Harga tiket ₭5000 (+-RM2.00).
Jadi ambillah beberapa gambar di sini. Saya pun keliru sebenarnya. Pasal berhala-berhala di sini bukan pasal agama Buddha sahaja mahal Hindu pun ada. Malah ada pula Buddha dalam cerita agama Hindu. Sama ada saya keliru atau orang di sini keliru, entahlah. Setelah dalam setengah jam, kami pun pulang ke Vientaine dan melalui jalan "mesin urut" sekali lagi. Kali ini, kami terus ke Taman Chong Anouvong di tepi Sungai Mekong.
Sampai di sini, rupanya taman ini berhadapan dengan Istana Presiden yang mana dahulunya merupakan rumah gabenor Perancis semasa penjajahan Perancis di Laos ini.
Tujuan ke sini sebenarnya nak ambi gambar patung ni sebenarnya, Anouvong yang dahulu merupakan seorang raja kerajaan Laos yang agong, yang berjaya mempertahankan Vientaine dan Laos dari tentera Siam.
Permandangan Sungai Mekong di taman ini juga agak indah dengan suasana petang. Kerajaan Laos sekarang memang mempromosikan bebas merokong terutama di kawasan-kawasan utama seperti taman, kuil, pejabat kerajaan, hospital dan sebagainya. Jadi papan tanda di bawah ini memang banyak di Vientaine.
Kami kemudian ke Restoran Nazim yang tidak jauh dari situ yang terletak di Chao Anou Road. Chao Anou Road merupakan kawasan utama bagi backpackers, di sini terdapat banyak hostel dan hotel serta restoran. Perkhidmatan lain seperti sewaan basikal, motorsikal, perkhidmatan kaitan perlancongan malah bas-bas shuttle ke stesen-stesen bas juga ada. Setiap petang, berhadapan dengan Sungai Mekong, terdapat pasar malam yang menjual barang-barang yang berharga amat berpatutan, cuma saya tidak sempat membeli belah kerana gerai-gerai baru bersiap nak dibuka, itupun tidak banyak lagi. Jika hendak ke Vientiane dan bermalam, bolehlah ke sini.
Di Restoran Nazim ini (maaf lupa nak ambil gambar, tapi boleh Google gambarnya) lebih kurang seperti Restoran Fathima cuma menu agak Malaysia sikit. Jadi kami minta Nasi Goreng dan Nasi biasa. Jumlah yang dimakan, ₭128 000 (+-RM51.20) menjadikan RM17.10 seorang.
Setelah kami makan, saya melihat jam, ia menunjukan pukul 5:20 petang! Alamak, bas kami ke Bangkok pukul 6:00 petang. Hendak beli cenderahari di pasar Thalat Sao lagi. Sempat ke. Terus kami bergegas ke stesen bas Thalat Sao. Sampai sana saya bagi sahaja pemandu tuktuk tu ₭250 000 (+-RM100.00) pasal bagi tup khidmat baik dia di samping pasal nak habiskan duit kip yang tak boleh di"keep" di luar Laos pasal tidak laku.
Alhamdulillah, bas masih ada lagi, tak jalan. Risau juga. Cuma yang tidak seronok, pasar Thalat Sao dah tutup. Rupanya ia dibuka sehingga pukul 4:00 petang sahaja. Jalan di sekitar yang tadinya sesak kita amat lengang, berbeza 180 darjah!!!
Akhirnya jam 6:05 petang, bas dua tingkat ini bergolek tayarnya meninggalkan stesen bas. Bermulalah perjalanan antara dua ibu negara.
Dalam perjalanan, bas melalui jalan di tebing Sungai Mekong. Dapatlah saya melihat matahari terbenam di ufuk langit berlatarkan Sungai Mekong dan negara Thailand.
Semasa kami duduk di dalam bas menuju ke pintu sempadan, kami diagihkan bekal. Ini menariknya perkhidmatan bas di Asia Tenggara belah benua ini, ada sedikit bekal. Kalau di Malaysia, mana ada. Adalah air mineral, air kota limau kasturi (ada logo halal), set minuman kopi panas (cuma tambah air panas je) dan 2 jenis roti. Malangnya salah satu roti itu intinya adalah kari dan saya tak pasti daging apa, jadi tidak makan. Nasib baik satu lagi tu adalah roti kacang merah. Boleh alas perut sikit.
Selain itu, diberikan juga selimut. Kalau perkhidmatan bas dan keretapi di Malaysia ada buat? Cuma khidmat VIP je ada, yang biasa, haram... Tempat duduk pun agak besar. Tandas pun ada dan bersih (takde la nak tunjuk gambarkan). Memang selesa perjalanan kami yang dijangka akan ambil masa 13 jam ini. Dah bayang kan nak zzz je.
Setelah setengah jam, maka kami pun sampai di pintu sempadan sebelah Laos. Kami turun daripada bas tapi tidka perlu bawa beg. Nasib baik ada DAN. Dia ingatkan agar pergi ke kaunter kastam (seperti di bawah) untuk membayar bayaran kastam, kerana kami melintasi sempadan pada luar waktu pejabat. Nasib baik ada duit kip lagi, jadi bayarlah kami seorang ₭10 000 (+-RM4.00). Kalau nak pakai baht Thailand pun boleh cuma rugi sikit la pasal kena bayar ฿45 (+-RM4.50).
Kalau
waktu pejabat, pemegang pasport selain pasport Laos, tidak perlu bayar. Selepas
itu, akan dapat sekeping kad seorang untuk digunakan melepasi pintu selepas
kaunter imigresen iaitu selepas pasport dicop. Kalau tak bayar bayaran kastam
ini, maknanya tak lepas sempadan Laos la. Duduk di Laos je, huhuhu.
Setelah selesai bayar bayaran kastam, kami ke kaunter imigresen. Agak efisen juga imigresen Laos ni. Barisan panjang sekejap je selesai. Akhirnya dapatlah saya cop masuk keluar Laos, begitu juga DAN dan Mardihah. Kami terus menaiki bas. Sebelum itu saya perhatikan terdapat bangunan yang agak hidup selepas pintu sempadan Laos. Kira di kawasan "no man land" la. Rupanya ia mini kasino dan pub. Faham-fahamlah ye. Kalau kat Malaysia cuma ada kedai bebas cukai je. Setelah semua penumpang selesai urusan pintu sempadan Laos, maka berjalanlah bas menuju ke pintu sempadan sebelah Thailand di Nong Khai.
Sampai di sebelah Thailand, kami turun sekali lagi dengan kini membawa beg. Prosedur biasa setiap kali masuk mana-mana negara, nak imbas barangan yang nak dibawa. Kami terus ke kaunter sebelum masuk ke balai imigresen untuk mengambil borang imigresen atau biasa orang panggil white card (untuk Thailand ni tak perlu saya berikan gambar borangnya, sudah banyak kali, kalau nak tengok juga, boleh rujuk artikel lepas-lepas). Di sini percuma je borangnya dan boleh isi sendiri.
Selesai mengisi borang di meja yang disediakan, maka kami beratur di dalam balai imigresen. Pendapat saya, khidmat imigresen di sini lebih baik dari di sempadan Malaysia. Tiada bayaran yang perlu diselitkan dan mereka (pegawai imigresen) tidak meminta. Maka setelah itu dapatlah saya cop masuk Thailand (boleh rujuk Hari 3 untuk gambarnya, disekalikan dengan cop keluar). Cop Nong Khai lagi.
Setelah pasport dicop, beg pula diimbas. Alhamdulillah kami semua lepas, tiada masalah. Terus kami menaiki bas dan selepas sepuluh minit, semua penumpang telah selesai. Kami pun meluncur ke Bangkok. Dalam perjalanan, saya dan DAN mengambil wuduk menggunakan spray wuduk dan bersolat jamak di atas bas sahaja, kerana kami tidak tahu bas ini akan berhenti atau jika berhentipun ada tempat solat. Usai kami solat, saya melihat di luar tingkat perjalanan kami dan tanpa di sedari, saya pun tertidur...
Akan bersambung ke Hari 2.
If want to read in English:
- Pre Journey,
- Day 1 (this part);
- Day 2;
- Day 3; or
- Itinerary.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan