Ahad, 30 November 2014

Hari 2 (Vientiane, Laos & Bangkok, Thailand - 30 Ogos hingga 01 September 2014) - Merdeka di Bangkok.

Bersambung dari Hari 1.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part); 
  • Day 3; or 
  • Itinerary.



Hari 2 - 31 Ogos 2014 (Ahad)


Rupanya bas ini berhenti dua kali. Kali pertama pada pukul 12:00 tengah malam di bandar Udon Thani (berdasarkan GPS Google Maps saya). Hanya berhenti di stesen minyak Caltex untuk mengisi minyak diesel. Sempat la beli beberapa benda yang halal yang boleh dimakan. Rupa-rupanya, banyak barang terutama konfeksioneri (biskut dan sebagainya) dan snek dibuat di Malaysia seperti coklat KitKat. 


Kali kedua, bas ini berhenti di dalam wilayah Nakhon Ratchasima atau pun lebih dipanggil penduduk tempatan sebagai Korat, tapi tidak tahu di mana secara tepat tetapi di bahagian utara. Persinggahan ini dalam pukul 3:00 pagi, dan berhenti dalam masa setengah jam. Di sini lebih kepada berhenti makan, namun kami hanya buang air dan basuh muka sahaja serta beli beberapa snek yang halal di kedai serbaneka. Hendak makan, tiada kelihatan makanan halal. Kena tunggu nampaknya sampai Bangkok nampaknya.


Saya terjaga pada jam 5:00 pagi apabila kelihatan hendak sampai di pinggir bandaraya Bangkok. Saya mengambil wuduk dengan spray dan bersolat subuh di atas bas. DAN yang terjaga sama juga berbuat sama dengan spray saya. Selang 20 minit kemudian bas ini berhenti seketika untuk mengisi diesel di stesen minyak PTT tidak jauh dari Terminal Penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng, Bangkok (lapangan terbang lama). Sempatlah kami basuh muka dan bersihkan diri di tandas stesen minyak ini. Tandas di stesen-stesen minyak terutatama di PTT (syarikat minyak negara Thailand) amat bersih, kalah tandas di Malaysia. Kami juga ke kedai serbaneka untuk membeli sedikit snek dan minuman halal untuk mengalas perut.


Bas meneruskan perjalanan dan dalam setengah jam kemudian, tibalah kami di Terminal Bas Mochit. Agak besar juga terminal ini. Kami diturunkan di pulau platform 3. Kami kena ke bangunan platform 1 yang terletak juga kaunter-kaunter tiket, kerana misi pertama saya dan Diha adalah untuk mendapatkan bas ke Hat Yai pada petang itu. Kaunter tiket pun bertingkat-tingkat (terngiang-ngiang lagu W.A.R.I.S. pula). Mula-mula kami ke tingkat 3 (kerana platform 2 dan 1 berhubung di tingkat 3), rupa-rupanya kaunter-kaunter di situ adalah untuk bas ke timur dan timur laut Thailand. Kami perlu ke tingkat 1 (tingkat aras tanah) untuk beli bas ke selatan. Agak kalut juga mencari, banyak juga kaunter, namun saya tetap mencari kaunter bas Transport Co. iaitu syarikat bas kerajaan. Akhirnya jumpa. Alhamdulillah.


Saya bertanyakan kerani kaunter tiket itu, boleh berbahasa Inggeris. Boleh juga dan saya minta untuk tiket ke Hat Yai untuk 2 orang bagi petang itu. Ditunjukkan skrin susunan tempat duduk, maknanya boleh pilih. Saya pilihlah di tengah-tengah bas dekat dengan tangga. Senang nak turun keluar bas atau ke tandas. Harga tiket adalah sebanyak ฿872 (+-RM87.20) seorang. Tiketnya adalah seperti di atas dan bawah (sama sahaja, cuma bawah itu versi diimbas dengan scanner dan tanpa kupon makan).



Seterusnya, tiket ke Hat Yai dah beli, kini saya perlu beli kad SIM pula. Terus ke salah satu 7-Eleven (ada banyak 7-Eleven di terminal ini) untuk membeli kad SIM prabayar Happy dari dtac. Saya ambil yang ฿299 (+-RM30) punya agar saya boleh buat hotspot peribadi telefon saya kepada DAN dan Diha.


Selepas itu, kami berjalan kaki kira-kira 2 kilometer menuju ke Pasar Minggu Chatuchak yang terkenal itu. Dalam peta nampak tidak jauh, hanya menyusuri jalan 6 lorong di hadapan terminal bas Mochit itu dan sampai. Atas tanah, boleh tahan juga, terutama hendak melintas jalan. Sebenarnya terdapat jejantas bukan satu tetapi dua, berdekatan dengan terminal bas, tapi entah bagaimana kami tidak naik, jadi malas nak patah balik, maka kami melintas di simpang tiga berlampu isyarat di hadapan. Memandangkan ini bukan Malaysia yang mana sistem lalu lintas agak berbeza, maka agak payah juga. Banyak kereta tidak berhenti dengan lampu isyarat merah bagi laluan terus. Namun berjaya juga. Seperti biasa, saya mengambil senarai harga minyak yang dipaparkan di hadapan sebuah stesen minyak PTT. Harga minyak di Bangkok ini 1/2 kali ganda ke sekali ganda dari harga di Malaysia


Dalam perjalanan menuju ke Pasar Minggu Chatucak, kami melalui sebuah taman. Dari Google Maps, saya dapat mengetahu bahawa taman itu adalah Taman Ratu Sirikit, Chatucak, Bangkok. Dengan suasana pagi yang menarik dan bendera Thailand yang ada, kami mengambil gambar dan video bersama bendera Jalur Gemilang yang dibawa bersama, bagi memperingati jejakan kaki kami pada pagi Hari Kemerdekaan Malaysia kami di bumi Thailand. Semalam di dalam bas, kami merancang nak menjerit MERDEKA, tetapi mungkin kepenatan, maka semua tertidur. Lagipun kalau menjerit nanti mahu kena halau dari bas tu. Jadi sebagai ganti, inilah gambar kenangan. Jangan marah, gambar-gambar ini termasuk di dalam akhbar Utusan Malaysia, melalui applikasi Instagram. 




Selepas bergambar di taman itu, kami meneruskan perjalanan kami ke destinasi kami. Sepanjang perjalanan sempat ambil beberapa gambar yang menjadi kenangan kerana keunikan dan mengingatkan kami sudah sampai di Bangkok. Inilah julung kalinya saya meneroka Bangkok secara backpack berbanding sebelum ini secara kumpulan pakej perlancongan, kebanyakannya sebagai transit sebelum atau selepas melancong di destinasi lain. 



Sampai juga ke pasar Chatucak ini (dalam gambar di bawah ia dieja sebagai Jatujak). Pasar ini merupakan pasar mingguan antara terbesar di Thailand, cuma malangnya, majoriti kedai tidak buka lagi. Kami sebenarnya nak cari sarapan halal. Ada satu kedai makan ini ada logo halal, kami siap duduk lagi kerana ingat ia halal, namun semasa pelayan kedai ini datang melayan kami untuk mengambil pesanan (pelayan ini merupakan seorang yang "lembut"), saya memberikan salam. Namun, dia jawab,"kom kom", terus DAN dan saya berpandangan. DAN memberitahu dia tidak sedap hati dan, saya kata dah terdetik was-was maka sudah tidak boleh makan. Biar lapar namun akidah dan ibadah kena jaga. Lagipun tidaklah lapar sangat, pasal sudah makan roti dan snek di dalam bas tadi. Lagipun keterujaan mengembara menghilangkan rasa lapar.

Saya membuat carian dalam internet untuk mencari kedai makan halal yang popular di pasar ini. Dengan berbekalkan petunjuk menara jam dan merujuk kepada plan pasar ini yang telah diambil semasa mula-mula melalui pintu masuk pasar ini, maka saya jumpa, tapi ia belum buka lagi, masih dalam persediaan. Hanya dibuka pada pukul 10 pagi tetapi sekarang baru pukul 7:30 pagi... Lama lagi tu.


Akhirnya, selepas berbincang dengan DAN dan Diha, kami ambil keputusan untuk ke Pasar Mae Klong yang terletak 60 km ke timur Bangkok di dalam wilayah Samut Songkhram. Pasar ini unik dan amat dikenali sebagai pasar paling berbahaya di dunia. Sebab apa, sila ikuti catatan ini seterusnya.

Kami perlu mangambil van ke Mae Klong yang boleh di dapati di kawasan Victory Monument (Tuga Kemenangan). Dari pasar Chatuchak, boleh ambil sistem keretapi BTS atau juga dikenali sebagai Sky Train, yang lebih kurang sistem LRT di Kuala Lumpur. Nama stesen tersebut adalah stesen Mochit (walaupun ia lebih dekat dengan Chatuchak). Stesen ini memang tidak jauh dari pasar Chatuchak dalam berjalan kaki 5 minit sahaja.



Rupanya stesen Mochit ini adalah terminal atau stesen terakhir BTS di sebelah utara (buat masa ini) dan di bawahnya terdapat juga stesen MRT bawah tanah tetapi menggunakan nama stesen Chatuchak. Kedua-dua stesen ini tidak berintegrasi dan perlu keluar kawasan berbayar dan membeli tiket berlainan.

Harga tiket BTS dari stesen Mochit ke stesen Victory Monument yang melalui enam stesen adalah sebanyak ฿31 (+- RM3.10) seorang sehala. Agak mahal berbanding harga tambang LRT atau Monorel apatah lagi KTM Komuter di KL. Tapi murah sikit berbanding teksi atau tuktuk. Ada juga perkhidmatan bas yang lebih murah, tapi kami nak cuba BTS ini. Lagipun bas di Bangkok masih banyak yang tiada penghawa dingin. Lagipun hendak kejar masa, jadi BTS ini kami percaya ia lebih cepat.

Tiket BTS perlu dibeli melalui mesin dan tidak boleh melalui kaunter. Namun di kaunter boleh tukar duit, jika kita tiada duit syiling sebagaimana kami. 



Selang 6 stesen kami pun sampai. Sebelum itu,ketika hendak sampai ke stesen Victory Monument ini, tren kami diperlahankan kelajuannya, saya pun hairan juga, rupanya ia sedang melalui landasan yang mengikut bulatan jalan bawahnya, mengililingi Tugu Kemenangan (Victory Monument). Menarik, jika tempat lain, landasan keretapi akan diluruskan, tetapi di sini ia seolah-olah "menghormati" tugu tersebut dengan mengelilinginya.



Keluar sahaja stesen, sepatutnya kami keluar di pintu keluar sebelah kanan pertama, seperti panduan, namun panduan tersebut tidak menyatakan perlu pergi ke bangunan Century Movie Plaza. Dalam keramaian orang, saya terlepas pintu keluar tersebut dan terus ke kawasan bulatan Victory Monument ini yang sememangnya seperti hub pengangkutan awam, terdapat perhentian bas dan van di setiap sudut bulatan. Saya bertanya beberapa kali dan ditunjukan sehingga stesen van ke Mae Klong di bawah jejambat lebuhraya yang tidak jauh dari bulatan. Agak menarik juga, dibawah jejambat landasan BTS, terbina juga jejantas pejalan kaki yang teduh dan disambungkan dengan bangunan berdekatan. Alangkah bagus jika LRT KL juga begini.


Kami sampailah ke stesen van ke Mae Klong, selepas berjalan lebih kurang 600 meter. Terus saya tanya van ke Mae Klong ke satu kaunter dan petugas kaunter itu menunjukan kaunter sebenar. Rupa-rupanya terdapat kaunter berasingan bagi destinasi berasingan. Dengan tambang ฿70 (+- RM7.00) seorang sehala, saya hulurkan ฿210 (+- RM21.00). Kira murah juga, perjalanan 60 km dengan van bersamaan dua kali perjalanan BTS dari Mochit ke Victory Monument. Sebenarnya dengan menaiki van, kita perlu tunggu sehingga van penuh. Itu yang DAN risau, takut kena tunggu lama. Namun nasib baik, dalam 5 minit, petugas kaunter memanggil kami dan van tersedia, dengan hanya 6 orang menaiki van ini, ia terus bergerak meninggalkan stesen. Rezeki kami.


Namun rupanya ia singgah ke stesen van di bangunan Century Movie Plaza yang betul-betul tidak jauh dari stesen BTS Victory Monument untuk ambil lagi 6 orang penumpang. Lagi dekat rupanya. Selepas van terus meluncur menuju ke pekan Mae Klong.


Perjalanan kami ke Mae Klong melalui lebuhraya dan jambatan tinggi merentasi Sungai Chao Phraya di bandaraya Bangkok ini. Jambatan ini agak tinggi sehingga dapat melihat betapa luasnya bandaraya Bangkok ini. Memang bila hendak bandingkan rupa-rupanya kecil je bandaraya Kuala Lumpur berbanding bandaraya-bandaraya lain di dunia ini.



Akhirnya setelah sejam setengah di dalam van yang agak padat. Maka kami sampailah di pekan Mae Klong. Hanya kami sahaja yang turun di pekan Mae Klong. Masa di jam tangan saya menunjukan pukul 10:10 pagi, bermakna hanya ada lagi 10 minit sebelum keretapi akan meninggalkan stesen, jika melihat jadual di dalam internet.

Kami sebenarnya bukan berkejar untuk menaiki keretapi tetapi inilah keistimewaan pasar Mae Klong, ia pasar paling berbahaya di dunia. Kenapa ia paling berbahaya, kerana pasar ini terletak di atas landasan keretapi yang masih aktif. Jadi kami perlu mengejar masa agar tidak perlu tunggu lebih lama hendak merasai pengalaman keretapi melalui di tengah-tengah kesibukan aktiviti pasar ini.


Mula-mula risau kerana kami tidak jumpa pasar atas landasan ini, kerana terdapat juga bahagian pasar yang tidak ada di atas landasan. Namun akhirnya jumpa juga. Ketika sampai, sudah kelihatan peniaga-peniaga sedang bersiap melipat bumbung kanvas menandakan keretapi akan melalui tengah-tengah pasar ini.



Pasar ini di kalangan orang Thai, dikenali sebagai Folded Umbrella Market  atau Pasar Payung terlipat.


Memang timing kami agak tepat pada kembara kali ini. Semuanya diatur agar kami tidak ambil masa begitu lama, dan tidak terlepas. Sementara menunggu keretapi melalui pasar ini, kami masuk ke dalam pasar ini lagi. Ia lebih kurang pasar biasa sahaja. Barang dijual dari buah-buahan ke sayur-sayuran ke hasil laut ke daging yang saya rasakan semua tidak halal. Harga pun agak murah, contohnya udang laut saiz XXL hanya berharga sekitar ฿150 (+- RM15) sekilo. Lebih murah dari pasar lain. Geram juga, pasal saya ni backpack, kalau bukan, mahu juga hendak borong barang-barang di sini, huhuhu...


Sedang kami memerhatikan aktiviti di pasar ini, sambil makan buah mata kucing yang dibeli oleh DAN, kami terdengar bunyi siren dari stesen (di mana di hujung hala kami, merupakan stesen keretapi) menandakan keretapi akan bergerak kurang dari seminit. Peniaga-peniaga yang tidak melipat dan menarik barang jualan mula melipat dan menarik (tempat jualan mereka dirodakan agar senang untuk menarik dan meletak kembali barang niaga mereka) apa yang berkenaan tanpa tergesa-gesa, seperti sudah biasa. Peniaga dan pengunjung-pengunjung mula mengambil tempat di tepi landasan agar tidak dilanggar keretapi. Ramai juga yang bersedia dengan peralatan visual mereka untuk mengambil gambar atau video kenangan termasuk saya.

Terdapat banyak juga barang jualan yang tidak ditarik masuk dan dibiarkan. Kalau orang yang tidak biasa seperti kami rasa macam barang tersebut akan digilis keretapi itu nanti. Tapi mereka lebih mengetahu kerana mereka biasa dengannya.


Tidak berapa lama, keretapi yang berwarna oren berjalur biru mula kelihatan bergerak. Memang betul agak bahaya kalau alpa, boleh sahaja dilanggar keretapi walaupun keretapi ini hanya meluncur perlahan. Makin lama, ia makin menghampiri kami dan terus melintasi di hadapan kami. Betul, memang peniaga-peniaga di sini sudah boleh jangkakan perjalanan keretapi ini. Tiada satupun barang niaga mereka digilis. Hebat. Al maklumlah, sehari lebih kurang lapan kali keretapi ini melintasi pasar ini. Cuma dalam hati saya, mereka ini tidak risau kah dan tidak muakkah untuk melipat dan menarik banyak kali.



Walaupun keretapi itu meluncur dalam seminit dua sahaja, tapi betul-betul ia pengalaman yang unit, kerana dalam pengalaman, pengetahuan dan pembacaan saya, pasar ini memang satu-satunya di dunia ini. Memang Thailand agak kreatif dan inovatif dalam perkara tarikan perlancongan ini. Perkara semudah ini pun boleh menarik pelancong seluruh dunia hadir ke kawasan ini. 


Setelah selesai, kami terus ke stesen keretapi Mae Klong untuk kenangan. Maaf tidak sertakan gambar di sini kerana saya perasan semua gambar agak kabur, sebenarnya sengaja juga, agar pembaca-pembaca boleh ke sini untuk melihatnya. Stesennya ada ringkas dan terletak di tebih Sungai Mae (Klong dalam bahasa Thai adalah sungai). Sebenarnya pekan Mae Klong ini juga adalah pekan Samut Songkhram iaitu nama wilayah ini. Difahamkan ditukar nama kepada yang terkini agar tidak keliru dengan sungai ini yang mengalir di beberapa wilayah lain.

Waktu kereta api akan melalui pasar ini adalah 6:20 pagi, 10:20 pagi dan 2:30 petang jika dari stesen keretapi Mae Klong menuju ke Banleam dan 9:50 pagi, 1:45 tengahari dan 6:22 petang jika dari Banleam ke stesen kereta api Mae Klong. 

Setelah sekian lama di stesen dan sempat minum air kelapa dan membeli beberapa cenderahati untuk orang di tanah air, kami pun ke stesen pengangkutan awam yang tidak jauh dari tempat kami diturunkan tadi (di simpang utama pekan ini). Sama seperti awal tadi, kami tidak tunggu lama untuk van kami bergerak menuju ke Bangkok kembali, hanya 10 minit menunggu dan terus kami meluncur pulang ke Bangkok.



Perjalanan pulang agak lama sedikit kerana van kami menurunkan dan mengambil penumpang di bandar Samut Sakhon yang agak sesak sikit. 

Juga kerana van kami ditahan oleh polis trafik kerana rupa-rupanya pemandu van ini tiada lesen. Ini yang kelakarnya. Kira pegawai polis berkenaan amat prihatin dengan penumpang, maka selepas agak panjang lebar bertelagah dengan pemandu (pemandu ini nampak agak ganas dengan tatu dan semasa memandu tidak pakai uniform, tetapi semasa dinasihatkan polis, dia diam sahaja), pegawai polis ini datang kepada kami dan mula bercakap Thai dengan semua penumpang termasuk kami. Menariknya semasa bercakap, dia asyik memandang kami sahaja. Kami memandang juga kepada dia walaupun tidak faham sepatah haram, tapi mulut macam terkunci dan kami macam terpaku dengan ucapan panjang lebar itu. Setelah agak panjang bercakap, dia semacam bertanya kepada kami. Macam masa dihentikan seketika dan selang beberapa saat, saya berkata, "Sorry sir, we can't understand what you said. We are Malaysians". Menarik nafas panjang pegawai polis tu. 

Ingat dia nak marah kami, namun rupanya dia cuba nak cakap dalam bahasa Inggeris pula walaupun tidak lancar dan beberapa frasa agak kelakar. Nak kongsi tapi biarlah saya, DAN dan Diha sahaja yang tahu. Cuma apa intipati kami boleh simpulkan, dia cuba berkata kalau apa-apa berlaku, umpama mati katak. Lebih kurang macam tu lah.

Risau juga kami, ingat kena jalan kaki atau apa-apa buruk ke, rupanya dilepaskan untuk hantar penumpang semua ke destinasi. Alhamdulillah. Tidak tahu bagaimana ia diselesaikan.

Akhirnya selepas 2 jam setengah, kami dihantar sehingga pasar minggu Chatuchak. Memang baik betul pemandu itu. Harga tetap sama iaitu ฿70 (+- RM7.00) seorang.


Kira-kira pukul 1 tengahari, kami mencari menara jam pasar minggu ini dan terus ke kedai makan Saman Islam ini. Perut dah keroncong, kerana makan berat kami adalah di Vientaine 19 1/2 jam yang lepas. Orang agak ramai di kedai ini, memang tumpuan, lagipun antara sedikit gerai makanan halal di sini.

Kami memesan banyak makanan, antaranya Pad Thai, Tom Yam, nasi goreng, pulut mangga, nasi putih dan minuman air teh o ais. Makanan memang sedap apatah lagi sedang lapar sangat. Ramai yang makan di sini adalah orang Malaysia (bukan Melayu sahaja malah Cina), Singapura, Indonesia malah orang Islam Thai sendiri, berdasarkan loghat percakapan. Kami menegur juga jiran meja kami yang merupakan orang Malaysia. 

Semasa kami makan, kami juga terperasan sekumpulan orang pengunjung kedai makan ini yang meminta dikirakan bayaran makanan mereka, meminta agar dikira semula. Muka mereka berkerut seorang tidak berpuas hati. Tapi oleh kerana kami memang kira agak lapar kena pula inilah makanan Thailand tersedap pernah kami makan (diakui juga DAN dan Diha), maka kami tidak ambil peduli tentang hal itu.

Setelah selesai, kami pun meminta dikira makanan kami untuk dibayar. Harganya kesemua makanan kami yang perlu di bayar adalah sebanyak ฿1860 (+- RM186.00) atau RM62 seorang!!! Padanlah kumpulan tadi macam tidak puas hati, rupanya inilah sebabnya. Mahal, lebih mahal dari makan di hotel. Makan tidaklah banyak mana, tapi sedap tidak boleh dipertikailah. Kami bayar je, pasal kami dah makan. Berkira-kira juga lain kali kalau nak makan di sini, kalau ikut harga. Tapi kalau ikut keenakan, memang pasti nak datang lagi.


Seterusnya kami ke pintu masuk lain pasar itu untuk mengambil teksi atau tuktuk ke hotel yang telah DAN tempah. Asalnya saya saran naik BTS je, tapi oleh kerana DAN kata dia belanja maka saya turutkan sahaja. Hotel tersebut (saya lupa namanya) terletak di Lorong Sukhumvit 7 (Soi 7 Sukhumvit). Kebanyakan teksi dan tuktuk meminta ฿350 (+- RM35) namun DAN dapat menawar dengan salah satu tuktuk dengan ฿200 (+-RM20) sahaja. Merasalah naik tuktuk. Berhimpit lah Diha di antara kami.


Walaupun tuktuk ini tiada penghawa dingin berbanding teksi, namun ini pengalaman yang tiada di Malaysia. Ligat juga tuktuk ini meluncur di jalanraya bandaraya Bangkok ini. Bau minyak dan asap pun sama, huhuhu. Semasa kami menaiki tuktuk ini, jalanraya di Bangkok ini agak sesak. Jadi ada sahaja jalan pintas yang digunakan, dan akhirnya kami sampai di destinasi dalam masa 20 minit sahaja. Kalau naik teksi agaknya tidak sampai-sampai.


Sampai sahaja di hotel, kami rehat sekejap dalam 15 minit sebelum saya dan DAN keluar berjalan ke kawasan sekitar bagi memberi peluang Diha untuk membersihkan dirinya. Kami berjalan di sekitar kawasan ini dan rupanya stesen BTS Nana tidak jauh dari sini. Mudahlah kami untuk kembali semula ke Mochit nanti. Juga terperasan Hotel Landmark yang pernah saya menginap sebelum ini. Sekitar kawasan ini juga banyak premis-premis perniagaan orang Arab, makan makanan halal dan sebahagian agak mudah. Selepas setengah jam, kami kembali semula ke hotel untuk saya pula membersihkan diri dan solat zohor dijamakan dengan asar.


Setelah selesai saya membersihkan diri, jam pun menunjukan pukul hampir pukul 4:15 petang. Maka saya dan Diha perlu kembali semula ke terminal bas Mochit untuk menaiki bas kami ke Hat Yai yang bertolak pada pukul 5:50 petang. Maka berpisahlah kami dengan DAN yang meneruskan kembara solo beliau ke Saigon, Vietnam dan Medan, Indonesia selepas itu. DAN menghantar kami sehingga stesen BTS Nana.


Kami menaiki BTS ini terus ke terminalnya di Mochit yang dekat dengan pasar Chatuchak tadi. Semasa perjalanan dapat lah lihat beberapa tempat tumpuan di Bangkok seperti kawasan membeli belah Siam Centre/Siam Paragon dan sebagainya. Tambangnya pula sebanyak ฿42 (+-RM4.20) seorang.

Sampai di stesen BTS Mochit dalam pukul 4:45 petang dan kali perlu berjalan ke terminal Mochit sejauh lebih kurang 2 km lagi. Cuma kami tersesat sedikit kerana kami melalui Taman Chatuchak (taman berbeza dengan Taman Ratu Sirikit cuma kedudukan tidak berapa jauh), iaitu laluan berbeza dari laluan kami datang. Namun alhamdulillah, kami berjaya sampai dalam pukul 5:35 petang, dan pintu pelepasan kami iaitu pintu 14 belum dibuka lagi. Kami ke 7-Eleven untuk membeli bekalan makanan dan minuman di atas bas.



Kami pun menaiki bas dan ia hanya bergerak pada pukul 6:20 petang. Semakin lama semakin sayup terminal Mochit ditinggalkan. Seperti bas Vientiane - Bangkok, bas ini juga kami diberikan bekalan. Cuma kali ini dapat roti berinti jem nenas, boleh lah makan. Selian itu serupa sahaja bekalannya cuma tiada air kotak sahaja.



Setelah melihat langit yang diyakini telah masuk waktu maghrib dan dirujuk melalui beberapa aplikasi di dalam telefon saya, maka saya pun solat maghrib dijamakkan dengan isyak. Ibadah perlu jaga, baru berkat perjalanan, insya Allah. Setelah itu, selepas melepasi sempadan wilayah Samut Sakhon, saya pun tertidur bersama-sama langit yang makin kelam.


Kemudian saya terjaga dalam pukul 10:30 malam ketika melepasi sempadan wilayah Phetchaburi dan Prachuap Khiri Khan. Tidak lama kemudian, kira-kira setengah jam kemudian, bas ini berhenti di salah sebuah restoran untuk berehat. Di sini terdapat surau, tapi saya sudah pun solat di atas bas tadi. Hendak makan tapi pasti tidak halal. Namun terlihat ada anak panah halal. Saya memanggil Diha untuk bersama melihat, dan rupanya ada makanan halal, di satu sudut restoran itu. Tapi bukan yang segar tetapi di dalam peti air. Ia perlu dipanaskan. Pelayan restoran itu memanaskan makan dan memberika set makanan itu beserta sebotol kecil air minuman (mineral). Saya tanya berapa baht, tapi jenuh juga hendak memahami. Lepas pelayan itu meminta tiket penumpang lain, baru saya faham, ada kupon di bawah tiket itu yang digunakan untuk makanan. Bagus juga perkhidmatan bas di Thailand ini.


Selepas setengah jam di retoran itu, bas kami meneruskan perjalanan ke Hat Yai. Oleh kerana lega perut telah diisi, saya pun tertidur...



Akan bersambung ke Hari 3.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part); 
  • Day 3; or 
  • Itinerary.

Tiada ulasan: