Jumaat, 19 Ogos 2016

Hari 4 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Terbang Ke Palawan.

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Pintu gerbang Perkampungan Islam Manila.

Hari 4 (03 Julai 2016 - Ahad).


Baru sahaja hendak terlelap, namun lampu masjid terpasang semula pada pukul 3:30 pagi untuk persediaan solat Subuh. Tapi saya rasa seperti bersemangat pula untuk beribadah. Jadi sebaik sahaja saya bersahur dengan buah dan air, saya segera ke tandas untuk membersihkan diri. Walaupun tekanan air di dalam tandas agak kecil, saya membasahkan badan dengan tuala kecil dan setelah selesai, terus mengambil wuduk di tempat ambil wuduk. Seterusnya membuat beberapa solat sunat sementara menunggu solat Subuh.

Habis sahaja solat Subuh berjemaah pada pukul 5:00 pagi, saya pun mengambil peluang ini untuk melangsaikan tidur saya, kerana terasa mengantuk pada ketika ini. Begitu juga dengan Akmal. Namun saya bagun semula pada pukul 7:00 pagi dan tidak boleh tidur semula. Jadi saya pun berjalan-jalan keluar untuk "membunuh" masa. Jadi saya ke kawasan Intramuros yang pernah saya datang dua tahun sebelum itu. Keadaan lebih kurang sama sahaja.

Selepas sejam 15 minit, saya pun kembali semula ke masjid. Betul-betul hari ini dan semalam, umpama waktu berjalan agak lambat. Ada hikmahnya itu. Ketika sampai, Akmal pun dah bangun. Saya berehat dahulu dalam setengah jam dan kemudian mengemas beg saya. Saya sempat melihat sekeliling masjid.

Pada pukul 9:15 pagi, Akmal berbincang dengan saya, dan berkata bahawa kita dah boleh bergerak sekarang. Saya bertanya tiada masalahkah kerana penerbangannya lebih lambat. Lagipun di Terminal 4 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila (MNL) perlu tunggu di luar (lebih tepat berpanas) terminal sebelum waktu daftar masuk. Dia kata tidak kisah. Maka pada pukul 9:30 pagi kami pun keluar menuju ke stesen LRT-1 Carriedo untuk ke stesen LRT-1 Baclaran (9 stesen).



Saya sedang berjalan menuju ke stesen LRT Carriedo.


Pintu gerbang Perkampungan Islam Manila.


Kami meninggalkan perkampungan Islam Manila dan dalam perjalanan, dapat melihat kegiatan harian orang tempatan yang lebih sibuk. Sampai sahaja ke stesen LRT dan membeli tiket, terus ke platform. Sementara menunggu tren sampai, sempat juga saya memerhati kawasan sekitar stesen ini. Kami menaiki tren seterusnya dan terus menuju ke Baclaran iaitu terminal paling selatan bagi sistem LRT-1 Manila.




Ibupejabat Bank of the Philippines Island (BPI).


Pusat membeli-belah Manila City Plaza.

Gedung pakaian Isetann.

Pasar di bawah stesen LRT Carriedo.



Peta: Perjalanan dari Masjid Emas Manila ke 
Terminal 4, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila.


Sampai sahaja di stesen Baclaran pada pukul 10:15 pagi, kami terus ke aras jalan untuk ke Terminal 4 MNL. Di aras jalan ini, terdapat pasar Baclaran yang menjual macam-macam barang keperluan terutamanya pakaian. Jadi sempat juga saya membeli beberapa pasang pakaian peribadi saya di sini. Selanjutnya kami meneruskan perjalanan ke Terminal 4 yang mengambil masa kira-kira 20 minit dari stesen LRT Baclaran.




Suasana dari atas stesen LRT Baclaran.


Tiba di Terminal 4, kami duduk sebentar menghilangkan lelah di tempat duduk di bawah khemah gazebo di depan terminal. Saya melihat, penerbangan saya telah dibuka kaunter daftar masuknya, lalu saya pun masuk. Akmal tinggal di situ kerana penerbangannya lewat 4 jam dari saya punya. Jadi saya pun masuk, sekurang-kurangnya ada penghawa dingin. Rasa bersalah pula pada Akmal, namun nak buat macam mana.

Apabila memasuki Balai Berlepas, semua penumpang perlu menunjukan tiket atau tempahan penerbangan kepada pengawal keselamatan, jika tiada, tidak boleh masuk. Kemudian semua beg perlu diimbas di mesin x-ray dan penumpang perlu melalui mesin pengimbas logam. Di pemeriksaan ini perlu dibuka segala tali pinggang, telefon bimbit dan peralatan logam yang ada di badan kita.

Setelah itu, barulah boleh ke kaunter daftar masuk yang ditetapkan atau mendaftar masuk di kiosk yang disediakan. Seperti saya yang sudah mendaftar masuk secara web, saya terus duduk di tempat duduk yang ada di hujung balai ini. Di sini terdapat stesen mengecaj telefon dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengecaj telefon dan bank kuasa saya. Maklumlah sudah hampir dua hari ia tidak tercaj.

Saya menunggu di situ walaupun sebenarnya saya sudah boleh ke dewan menunggu di pintu pelepasan, kerana saya percaya di sini lebih ramai yang menunggu. Sambil-sambil itu saya melihat kaunter daftar masuk untuk penerbangan saya tidak surut dengan penumpang. Setelah dekat dua jam di situ, saya pun masuk ke dewan menunggu.

Apabila hendak masuk, di sini pun perlu menunjukan pas pelepasan untuk masuk ke dalamnya. Setelah itu terdapat satu lagi pemeriksaan keselamatan. Berapa kali mahu periksa lah. Lagipun inikan penerbangan domestik sahaja. Peraturan sama sahaja, letakan beg yang ada beserta dengan peralatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya serta barang-barang yang mempunyai logam seperti tali pinggang, jam tangan dan sebagainya di mesin pengimbas x-ray. Diri kita pula perlu melalui mesin pengimbas logam. Setelah selesai dan pengawal keselamatan berpuas hati, baru kita boleh masuk.

Hah, kan betul agak ramai. Saya kemudiannya ternampak stesen mengecaj telefon bimbit di hujung seberang dari pintu masuk tadi. Saya pun ke sana untuk mengecaj saki baki yang belum tercaj. Sanggup berdiri bagi memastikan saya dan peralatan yang dicaj tidak jauh. Tidak berapa lama, terdapat tempat duduk kosong, maka saya pun duduklah.

Berhampiran dengan pintu masuk, terdapat juga kaunter menjual kad SIM oleh kedua-dua telco Smart & Globe. Saya ingatkan ketibaan antarabangsa sahaja ada, di pelepasan domestik pun ada. Di belakang dewan menunggu terdapat beberapa kedai makanan dan kedai lain-lain. Cenderahati pun ada cuma agak mahal. Saya perhatikan juga pada skrin paparan penerbangan yang akan berlepas, terdapat beberapa penerbangan yang dilewatkan.

Apabila melihat cuaca di luar, melalui kaca pintu pelepasan di hadapan, semakin gelap hendak hujan. Akhirnya tidak lama kemudian, hujan turun dengan lebatnya. Selepas itu, pengumuman mengatakan penerbangan saya juga dilewatkan. Huh, ambil kau. Setelah beberapa ketika, dimaklumkan masa pelepasan penerbangan baru ditunda dari pukul 1:45 petang ke pukul 4:15 petang. Hah ambil kau. Tapi bukan penerbangan saya, boleh dikatakan majoriti penerbangan di Terminal 4 pada masa itu juga ditunda. 

Tapi di sini, tidak berapa lama kemudian, penumpang-penumpang penerbangan yang saya naiki dipanggil ke hadapan. Rupanya kami diberikan sebuah kota berisi pelbagai makanan dan minuman. Alhamdulillah, semuanya boleh dimakan dan diminum. Rezeki juga penerbangan ditunda ini. Adalah bekalan saya berbuka nanti.

Pada pukul 3:30 petang, hujan sudah teduh. Akhirnya pada pukul 4:15 petang, penumpang penerbangan AirAsia Zest Z2 430 ke Puerto Princesa dipanggil untuk berlepas. Kami beratur di depan pintu pelepasan dan kemudian pintu dibuka dan kami terus menuju mengikut arah yang diarahkan. Kami berjalan di atas apron untuk ke pesawat. Akhirnya pada pukul 4:35 petang, berlepaslah pesawat ini menuju ke destinasinya.


Balai berlepas Terminal 4 MNL.


Kawasan airside Terminal 4 MNL.


Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan AirAsia Z2 430 pada 03 Julai 2016.


Kami sampai di Lapangan Terbang Puerto Princesa (PPS) dalam masa 45 minit dari terikh berlepas. Agak cepat juga. Langit amat cerah ketika penerbangan kami. Setelah selamat mendarat dan pintu pesawat dibuka, kami pun turun ke apron dan terus menuju ke bangunan terminal.



Bangunan terminal PPS dari kawasan apron.


Pesawat RP-C8994 yang menjadi penerbangan AirAsia Z2 430.



Peta: Perjalanan dari Lapangan Terbang Puerto Princesa ke Ezy Stay Pension.


Semasa keluar, terdapat kaunter-kaunter agen pelancongan di luar balai ketibaan. Saya terus sahaja keluar dengan mengambil jalan sebelah kanan. Selepas itu terdapat lorong khas untuk menaiki tricycle (beca motor), yang mana perlu mendapatkan tiket di kaunter sebelah kaunter agen pelancongan tadi. Di luar pagar, terdapat ramai pemandu tricycle persendirian sedang memanggil orang yang keluar dari lapangan terbang untuk mendapatkan khidmat mereka. Ada beza caj kedua-duanya, sudah pastilah caj yang di dalam kawasan lapangan terbang lebih mahal. 

Namun saya tidak mengendahkan kedua-duanya, saya terus berjalan mengikut Google Maps ke penginapan saya yang kurang satu kilometer sahaja dari lapangan terbang. Saya perlu cepat kerana Akmal akan tiba, jika penerbanganya tidak ditunda.



Keadaan penginapan kami: Ezy Stay Pension.


Kad perniagaan Ezy Stay Pension.


Suasana luar dari dalam Ezy Stay Pension.


Sampai di penginapan, iaitu di Ezy Stay Pension, saya terus ke kaunter untuk mendaftar masuk. Pengurusnya iaitu Ray, amat mesra. Dia berborak sambil memproses daftar masuk saya. Banyak juga sambil-sambil itu diborakan. Selepas itu, Ray membawa ke bilik yang diperuntukan kepada kami. Bagi saya ok juga. Saya pun rehat setelah penat seharian.

Oleh kerana waktu berbuka hampir masuk, maka saya pun ke kaunter untuk mengambil air. Cuma di penginapan ini, air minuman diambil dari dispenser dicaj ₱5 (+- RM0.45) bagi setiap botol 1.5 liter. Cuma saya uruskan agar ia dibayar ketika daftar keluar nanti. Jadi adalah air panas untuk saya buat maggi dan air milo, selain buah epal baki sahur pagi tadi. Kira besar sikit berbuka saya pada hari ini.



Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan di Ezy Stay Pension.


Kaunter petugas di Ezy Stay Pension.


Selepas saya berbuka dan bersolat, saya ke bawah untuk bertanyakan kepada Ray tentang pakej lawatan ke Sungai Bawah Tanah. Ray menawarkan ₱1400 (+- RM126.00) untuk pakej lengkap. Saya berkata, saya tidak makan kerana berpuasa, jadi tiada diskaun. Dia kata dia akan berbincang dengan empunya pakej. Saya jadi mengambil dengannya kerana harganya lebih murah berbanding tempat lain yang sempat saya lihat semasa perjalanan ke penginapan tadi.

Pada masa itu juga, Akmal menelefon saya mengatakan bahawa telah sampai di PPS. Rupanya bunyi pesawat mendarat tadi adalah pesawatnya. Jadi saya segera ke PPS dengan menahan tricycle yang ada di depan penginapan kerana Ray kata harga tambangnya kalau di sekitar kawasan bandar adalah ₱10 (+- RM0.90) sahaja. (Sebenarnya ia pun kurang tepat, ia adalah ₱8 (+- RM0.72) sahaja). 

Sampai di lapangan terbang, saya menelefon Akmal untuk ke luar pagar. Akhirnya jumpa juga dengan Akmal, dan terus saya ambil satu pemandu Tricycle untuk membawa kami kembali ke penginapan. Pemandu tersebut bernama Saldi dan agak fasih berbahasa Melayu. Dia siap kata, saya sombong pasal tidak mempedulinya semasa awal-awal saya sampai. Dia siap mencerita yang dia selalu ke Sabah menemui saudara-maranya. Juga dalam perjalanan yang singkat itu, banyak juga saya mengetahuinya. Pakej yang ditawarkan juga agak murah, contohnya untuk ke Sungai Bawah Tanah, cuma ₱1400 (+- RM126.00) sahaja. Tetapi saya tidak boleh ambil kerana saya sudah berjanji dengan Ray. Namun jika ada yang mahukan khidmat Saldi boleh telefon +63 906 104 8808.

Setelah sampai di penginapan, asalnya kami ingin keluar untuk berjalan-jalan di bandar Puerto Princesa, namun dibatalkan kerana kami penat. Kami duduk di dalam bilik, berborak tentang apa yang kami rasai di dalam perjalanan kami dan kami menonton televisyen Malaysia menerusi telefon bimbit kerana kelajuan internet di Ezi Stay Pension ini agak laju. Akhirnya kami pun tidur dengan agak nyenyak juga selepas beberapa hari tidur dalam keadaan kurang selesa.

Bersambung ke Hari 5.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Jumaat, 12 Ogos 2016

Hari 3 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Seharian Beriktikaf Di Masjid Emas Manila.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Masjid Emas Manila.

Hari 3 (02 Julai 2016 - Sabtu).

Saya bangun dari tidur yang nyenyak sikit dari tidur-tidur ayam, masa pada masa itu adalah pada pukul 12:30 tengah malam. Oh, rupanya kami sedang di pinggir Metro Manila dan memasukinya. Bas sedang berhenti di plaza tol untuk membayar tol bagi lebuhraya yang digunakan. Selepas itu, tidak lama kemudian, bas ini memasuki Lebuhraya EDSA yang mengililingi Metro Manila dengan bentuk C terbalik itu. 

Lebuhraya EDSA ini atau nama penuhnya Epifanio de los Santos Avenue, boleh dikira seperti Jalan Lingkaran Tengah II (MRR II) di Lembah Klang. Cuma keadaannya lebih padat dengan bangunan batu di kedua-dua tepi jalannya dan di tengah-tengah terdapat landasan MRT. Memang rasa sempit sahaja, tidak tahulah bagaimana hendak melebarkan lagi lebuhraya ini pada masa akan datang. Sudahlah kereta di sini sesuka hati letak atau berhenti di mana-mana. Bahaya juga.

Bas ini kemudian singgah berhenti untuk menurunkan bas Cubao. Pada masa ini saya sedar yang saya boleh ambil bas lebih awal dari Vigan. Jadi kalau hendak ke Manila, tidak sementinya ke Pasay, ke Cubao juga boleh. Lagipun ada perkhidmatan MRT dari Cubao ke Pasay dan serta tempat di Metro Manila ini, di mana terdapat stesen MRT Araneta Center - Cubao di sini. Cuma masa bas ini sampai sudah tengah malam, jadi saya tinggal sahaja di dalam bas ini untuk ke Pasay bersama beberapa orang yang ada.

Perjalanan dari Cubao ke Pasay tidak sejauh berpuluh kilometer, namun walaupun keadaan lalulintas pada awal pagi ini kurang berbanding waktu biasa, tetapi EDSA ini tetap berlaku kesesakan lalulintas. Hebat betul Lebuhraya EDSA ini, boleh sesak juga. Walaupun sesak disebabkan penyelenggaraan jalan, namun pengurusan lalulintas oleh petugas agak gagal juga. Sepatutnya dari Cubao ke Pasay, paling lama pun dalam setengah jam boleh jadi hampir sejam.

Akhirnya, pada pukul 2:15 pagi, sampailah bas ini di stesen bas Pasay. Akmal setia menunggu, kerana saya telah memaklumkan saya akan sampai menerusi telefon kepada beliau. Kami mengambil keputusan untuk menunggu sahaja di stesen bas sementara meninggu waktu perkhidmatan LRT dan MRT dibuka pada pukul 5:00 pagi. Saya bertanya kepada Akmal apa yang telah dibuat, dan beliau menceritakan perjalanannya kepada saya. Seterusnya, Akmal mencadangkan agar kami duduk di Masjid Emas Manila untuk sehari semalam bagi menjimatkan bajet, seolah-oleh menjadi orang Tabligh. Saya tiada masalah.

Setelah bersolat di stesen bas dan mengemas kembali beg-beg saya (saya satukan kembali beg-beg saya menjadi satu sahaja), maka pada pukul 4:30 pagi, bergeraklah kami ke stesen LRT-1 EDSA untuk menaiki tren ke Carriedo bagi ke Masjid Emas. Kami sampai di stesen pada pukul 4:45 pagi dan stesen masih belum dibuka. Tetapi orang ramai dah menanti di pintu masuk stesen. Sepuluh minit kemudian, pintu dibuka dan seperti biasa perlu melalui proses pemeriksaan keselamatan baru boleh membeli tiket di kaunter.

Kami menaiki LRT ke stesen Carriedo (8 stesen). Suasana agak tenang dengan fajar mula menyingsing.


Peta: Perjalanan dari Stesen Bas Partas Pasay ke Masjid Emas Manila.

(Gambar-gambar diambil Akmal pada Hari 2 kerana ketika itu, telefon dan bank kuasa saya kehabisan bateri, jadi tiada gambar dari saya dapat diambil. Itulah sebabnya gambar di sini nampak suasana siang bukan suasana waktu subuh.)


Akhirnya kami sampai di stesen Carriedo. Gerai-gerai belum dibuka lagi. Terdapat ramai juga gelandangan-gelandangan yang baru bangun tidur di kaki lima jalanan di bangunan-bangunan sekitar stesen LRT Carriedo ini. Sampah pula kelihatan agak menimbun membukit tingginya. Tetapi pada masa itu, kelihatan juga petugas perbandaran di sudut lain sedang sibuk membersihkan sampah-sampah ini.

Dipertengahan perjalanan, terdapat sebuah pasar yang menjual segala jenis barang, dari pakaian, peralatan rumah, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan-ikan, daging-daging dan banyak lagi. Cuma pasar ini berada di jalan yang terbuka untuk laluan kenderaan juga. Agak kelam-kabut juga, namun orang tidak berapa ramai ketika ini.

Jalan menuju ke Masjid Emas.

Jalan menuju ke Masjid Emas.

Pasar di jalan menuju ke Masjid Emas.

Pintu gerbang perkampungan Islam di Manila.

Akhirnya kami sampai juga pintu gerbang yang menandakan kami telah tiba ke perkampungan Islam di Manila. Kami terus berjalan menuju ke Masjid Emas. Ketika kami tiba di pintu masjid, terdapat seorang yang seolah-olah rajin dan menunjukan "kad" yang dia adalah pemungut zakat dan sedekah sah. Agak fasih juga dia berbahasa Inggeris. Hendak sahaja saya cakap, kami inilah yang layak mendapat zakat kerana kami sebahagian dari asnaf musafir, tetapi tidak sanggup. Lalu saya tanya di mana tandas dan tempat mengambil wuduk kerana kami hendak menziarah masjid dan solat Dhuha. Nasib baik dia tunjukan dan kemudiannya terlepaslah kami dari di"paw".

Masjid Emas Manila.

Masjid Emas Manila.

Masjid Emas Manila.

(Gambar-gambar selepas ini diambil pada Hari 3 oleh Akmal.)

Setelah membersihkan diri dan berwuduk, kami pun masuk ke dalam masjid untuk bersolat Dhuha. Usai solat, kami mencari tempat untuk duduk bagi 30 jam berikutnya. Agak ramai juga yang berehat di masjid ini dan terdapat juga jemaah-jemaah Tabligh. Cuma ketika bukan waktu solat, bekalan elektrik di masjid ini dimatikan dan tandas/tempat berwuduk dikunci.

Masjid ini agak besar cuma kurang terjaga sahaja. Sekeliling masjid ini terdapat rumah-rumah setinggan didirikan. Jadi memandangkan kembara kali ini di dalam bulan Ramadhan dan kami berpuasa serta ingin mengurangkan perbelanjaan, maka disinilah kami beriktikaf untuk 30 jam (perancangan tetapi akhirnya cuma 27 jam sahaja). Jadi kami umpama jemaah tabligh juga. 

Ketika bukan waktu solat, kami membuat pelbagai ibadah seperti solat sunat dan membaca al-quran. Ketika waktu solat kami pun sama bersolat jemaah. Cuma di masjid ini, setelah azan berkumandang, akan ada sesi ceramah tazkirah selama di antara 30 ke 45 minit dan kemudian barulah iqamah berkumandang seterusnya solat jemaah ditunaikan.

Di dalam Masjid Emas Manila.

Di dalam Masjid Emas Manila.

Di dalam Masjid Emas Manila.

Di dalam Masjid Emas Manila.

Di sebelah petangnya, terdapat satu majlis diadakan di perkarangan masjid, khabarnya ada pemimpin Islam tempatan mengadakannya untuk meraikan hari-hari akhir Ramadhan. Dalam majlis itu terdapat ceramah yang semuanya dalam bahasa Filipinos/Tagalog, malah 100 peratus komunikasi adalah dalam bahasa Filipinos, jadi saya tidak memahaminya. Kami duduk di dalam masjid sahaja. Terdapat juga sumbangan-sumbangan diberikan dan di akhir majlis terdapat makanan dan minum diagihkan. Tetapi tidak semua dapat termasuk kami.

Jadi saya keluar dari masjid dan pergi ke pasar untuk membeli buah-buahan. Sebenarnya di luar masjid ini terdapat banyak kedai-kedai dan gerai-gerai yang menjual makanan, namun oleh kerana soal kebersihan agak kurang dan juga oleh kerana membantu Akmal dengan semangat "espirit de corp" yang memang kekurangan bajet. Saya juga ke salah sebuah pasaraya yang saya terjumpa betul-betul di sebelah kawasan pasar, untuk membeli air minuman (air mineral), kerana air minuman lebih murah di pasaraya (pengalaman biasa di kebanyakan negara).

Terdapat satu majlis di perkarangan Masjid Emas Manila.

Terdapat satu majlis di perkarangan Masjid Emas Manila.

Pada waktu berbuka, kami pun berbuka dengan apa yang saya beli tadi. Jadi saya berjaya berpuasa selama dua hari dengan hanya berbekalkan air minuman dan buah-buahan saya. Di masjid ini tidak seperti di negara kita, tiada jamuan berbuka puasa disediakan oleh pihak masjid. Memang ala kadar kehidupan umat Islam di Manila ini. Malah tiada pasar ramadhan atau istilah membeli-belah sempena Aidilfitri di sini. 

Pada waktu malam, masjid ini agak meriah dari waktu Maghrib sehingga waktu Tarawikh. Masjid ini agak penuh sehingga rasanya terdapat berbelas-belas saf untuk solat Tarawikh. Oh lupa, pada solat waktu biasa waima Zohor atau Asar pun sekurang-kurangnya ada empat saf penuh jemaah yang bersolat jemaah. Walaupun ala kadar, tapi ia lebih baik dari keadaan di Malaysia.

Solat tarawikh di sini diimamkan oleh imam dari Arab Saudi. Malah bacaannya sungguh menarik hati, sehinggakan saya sendiri menangis mendengarnya, sama seperti saya menangis ketika beberapa imam terutama Allahyarham Imam Abdul Rahman as-Sudais membaca surah al-Quran. Solatnya agar cepat juga dengan tiga kali solat sunat Tarawikh dua rakaat, mengambil masa 15 minit sahaja dengan berjaya menghabiskan semua surah di dalam juzuk 30 al-Quran (Muqaddam). Cuma pada rakaat terakhir iaitu rakaat ke lapan, terdapat sujud sajaddah di mana doa sujud sajaddah agak lama kira-kira 20 minit juga. Dalam doa ini juga saya menangis kerana terdapat pelbagai doa yang minta kesejahteraan kehidupan dan meminta agak dapat merasai Ramadhan tahun hadapan (saya agak faham sedikit Bahasa Arab, jadi itu yang boleh sikit-sikit hadam apa yang didoakan). Selepas usai solat Tarawikh, lampu masjid ditutup dan kami serta beberapa orang berehat dan tidur. 

Di dalam Masjid Emas Manila pada waktu malam.

Solat tarawikh di Masjid Emas Manila.

Kemudian, pada pukul 1:00 pagi, kami dikejutkan untuk melakukan qiamulalil pula. Jadi kami semua mengadakan solat Tahajjud berjemaah dan diimamkan juga oleh imam dari Arab Saudi. Boleh dikatakan skrip solat Tarawikh tadi berulang kembali. Akhirnya pada pukul 2:30 pagi, kami bersambung berehat dan tidur selepas lampu masjid dimalapkan sekali lagi.

Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.