Rabu, 7 Januari 2015

Hari 3 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Sampai Jua Ke Bumi Iskandar Muda.

Bersambung dari Hari 2.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part); 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.


22 Disember 2014 (Isnin)

Sedang sedap dapat melelapkan mata, tiba-tiba terasa bas berhenti. Rupa-rupanya berhenti untuk bersolat. Kami berhenti di sebuah masjid di dalam kawasan kabupaten (daerah) Bireueh, di dalam provinsi Aceh. Masjid ini seperti separuh siap, dan seperti masjid-masjid lain di Sumatera, tandas dan tempat wuduk terletak di luar iaitu bangunan yang berasingan. Agak payah juga kerana ketika itu hujan sedang turun walaupun tidak berapa lebat. Tandas juga lebih kurang, hanya ada tandas cangkung dan terdapat kolah kecil (hampir sama dengan di Thailand) untuk mencebuk dan menjirus. Tiada tangki flush. Setelah selesai, tanpa membuang masa bas pun berjalan. Rupanya pemandu-pemandu kami tidak solat, mungkin kerana mereka adalah orang Batak, wallahua'lam.

Saya ingatkan siksaan berakhir setakat itu sahaja, rupanya masih ada lagi 3 jam lagi sebelum sampai Banda Aceh. Lagi, kami melalui kawasan Suelawah, di mana jalan di situ bengkang-bengkok dengan ada selekoh yang tajam. Hendak kata kawasan pergunungan, ia hanya merupakan kawasan lembah dikelilingi gunung terutama Gunung Suelawah di sebelah utara. Mungkin kawasan ini sahaja yang tidak perlu naik bukit. Lagipun Jalan Lintas Sumatera ini memang tiada perubahan jajaran sejak kemerdekaan Indonesia lagi. Mungkin kerana jalan agak kecil dan bas agak tinggi, saya terasa sedikit pening (mungkin mabuk?).



Pada jam 8:30 pagi, akhirnya sampai juga bas kami di terminal bas Banda Aceh. Namun kami tidak turun di sini kerana Pak Darwis memesan kami agar turun di depoh bas yang lebih hampir dengan pusat bandar Banda Aceh. Kami kekal di tempat duduk kami dan bas pun meneruskan perjalanannya. Dalam masa 15 minit, kami sampai di terminal bas ini di Jl Cut Nyiak Dien berhampiran simpang dengan Jl Teuku Umar dan Jl Jenderal Sudirman. Anton Hilman, anak Pak Darwis yang bertugas di Badan Latihan Kerja Industri (BLKI) Banda Aceh, iaitu sebuah institusi latihan kemahiran di bawah Kementerian Ketenagakerjaan dan Transmigrasi Republik Indonesia, sudah menunggu kami. Cumanya dia hanya membawa motorsikal. Jadi disewanya sebuah betor (kalau tidak ingat, nama penuhnya becak (beca) motor).

Dibawa kami ke rumahnya yang merupakan kuarters (di Indonesia dipanggil rumah dinas, dinas maksudnya adalah perkhidmatan atau secara kasarnya umpama jabatan di Malaysia) BLKI Banda Aceh. Kami disambut oleh isterinya, Karmila dan anak tunggal mereka. Agak mesra juga sambutan mereka. Setelah beberapa ketika kami berkenalan sesama kami. Kami pun merehatkan diri.


Terlelap juga kami dekat 2 jam. Pukul 12:00 tengahari kami bangun. Bergegas juga kerana kami ingin bersolat Zohor di Masjid Raya Bataiturrahman. Azan Zohor di sini pada masa ini adalah pada pukul 12:40 tengahari. Jadi selepas membersihkan diri dan kebetulan, Anton pulang ke rumah untuk rehat tengahari. Jadi Anton mengajak kami ke masjid, lagipun dia mempunyai dua buah motorsikal. Azmi dan Pak Nasir menaiki satu motor dan saya membonceng Anton.

Dalam perjalanan ke Masjid Raya Baiturrahman, sempat Anton menceritakan beberapa mercu tanda Aceh yang kami lalui. Antaranya Masjid Baitul Masyhadah, juga dikenali sebagai Masjid Teuku Umar Setui yang kubahnya agak menarik (sila lihat gambar di atas). Menurut Anton, kubah tersebut merupakan replika topi tradisional Aceh yang dipakai oleh Teuku Umar (yang merupakan kerabat diRaja Aceh) sendiri. Seterusnya kami melalui Kerkhof (perkuburan tentera penjajah Belanda), Gunongan/Putri Phang dan Taman Sari.


Akhirnya sampai juga kami ke Masjid Raya Baiturrahman, yang telah menjadi saksi kepada segala peristiwa di Banda Aceh dari zaman kegemilangan Kerajaan Kesultanan Aceh, penentangan terhadap penjajah, zaman kemerdekaan Indonesia, penentangan oleh Gerakan Aceh Merdeka (GAM) terhadap pemerintah Indonesia dan tsunami 2004. Ketika kami sampai, gerimis mula mengundang.

Masjid Raya Baiturrahman ini telah dibina oleh Sultan Iskandar Muda pada 1612. Masjid ini mempunyai 7 kubah yang mengambarkan 7 petala langit dan bumi. Masjid ini nampak seperti tidak terjejas ketika tragedi tsunami 26 Disember 2004 di mana dikatakan air tidak memasuki lantai masjid, hanya sekadar satu lagi tangga sebelum sampai ke lantai masjid, sedangkan di sekelilingnya, banjir akibat tsunami menenggelamkan satu ke satu setengah tingkat bangunan.

Baru saya perasan bahawa masjid dan surau di Sumatera ini, ruang solat wanitanya, tidak ditutup atau diasingkan sepenuhnya dengan pandangan jemaah lelaki. Di masjid ini, pemisah antara ruang solat wanita dan ruang lain hanya setinggi lutut sahaja, jadi semasa mereka memakai telekung, aurat mereka ternampak. Satu lagi, wanita di sini membawa telekung mereka sendiri, dan di masjid tidak disediakan telekung. Kalau tidak bawa, perlu pinjam dan diberikan (dipaksa) "sedekah" untuknya (bukan di Masjid Raya Baiturahan tapi di kebanyakan masjid di Sumatera ini).

Alhamdulillah, sempat juga kami bersolat berjemaah bersama dengan jemaah masjid. Ramai juga yang berjemaah walaupun solat Zohor di tengahari hari bekerja. Setelah selesai solat, kami berpusing di dalam ruang solat masjid ini untuk melihat keindahan masjid ini. Pak Nasir kebetulan berborak dengan salah seorang warga tempatan dan beliau menceritakan cerita semasa berlakunya tsunami. Nasib baik pada masa itu beliau berada di tingkat atas sebuah premis. Mendengar ceritanya, amat menyayat hati. Beliau berasal dari Calang, yang merupakan sebuah pekan di pesisir pantai barat Aceh, yang paling teruk terjejas akibat tsunami tersebut. Setelah lebih kurang 15 minit berbicara, kami berpisah untuk urusan masing-masing.



Seterusnya kami ke laman hadapan Masjid Raya Baiturrahman ini untuk mengambil gambar. Menara utama di hadapan masjid ini (gambar di atas) sebenarnya telah condong sedikit (kira-kira 5o), akibat dari gempa bumi yang menyebabkan tsunami 2004 itu. Dapatlah beberapa gambar yang menjadi kenangan kami.

Di hadapan Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh.



Dari kiri, Anton, saya, Pak Nasir dan Azmi, di hadapan Masjid Raya Baiturrahman.



Kemudian, kami ke belakang masjid, untuk ke restoran untuk makan tengahari. Kira makan ala-ala Aceh tapi cara hidangan seperti Nasi Padang, ambil mana yang diusik sahaja. Di sini, Pak Nasir yang belanja dengan harga Rp86ribu (+- RM27) untuk 4 orang makan.



Waktu lawatan Museum Tsunami Aceh

Selanjutnya, kami ke Museum (Muzium) Tsunami Aceh. Motorsikal diparkir di tepi jalan tapi perlu pula membayar kepada seseorang yang menjaganya sebanyak Rp5000 (+- RM1.50) setiap motorsikal. Sampai di sana, malangnya muzium ditutup kerana setiap Isnin memang ditutup. Agak hampa juga, namun kami bergambarlah di tempat yang tidak masuk di dalam ruang pameran yang ditutup. Insya Allah, akan ke sini esoknya.


Terjumpa batu yang tertulis MALAYSIA, sempena 
negara-negara yang membantu misi tsunami.



Di sebelah Museum Tsunami Aceh ini, terdapat satu lagi tempat bersejarah di Banda Aceh, iaitu Kerkhof. Kerkhof ini merupakan persemadian tentera-tentera penjajah Belanda yang mati semasa berlawan dengan pejuang-pejuang anti penjajahan Belanda di Aceh. 



Nama-nama tentera ini diabadikan di dinding pintu gerbang Kerkhof ini. Terdapat juga nama-nama yang berbunyi keIndonesiaan atau keJawaan, mungkin anak Indonesia yang dipaksa menjadi soldadu-soldadu Belanda. Di sini juga bersemadi salah seorang Jeneral Tentera Belanda yang mati semasa perang terbabit. Ini hanya satu-satu tempat di Indonesia yang menjadi tempat persemadian Jenderal Belanda, sebagai tanda betapa sengitnya perjuangan anti penjajah oleh anak Aceh. Sehingga kemerdekaan Indonesia, Aceh tidak jatuh ke tangan Belanda.


Dikatakan bahawa perkuburan Kerkhof ini merupakan perkuburan tentera Belanda yang tersebar di luar negara Belanda. Di pintu gerbang juga menunjukan takat paras air tsunami yang melanda Kerkhof ketika tragedi tsunami 2004.



Seterusnya kami ke Situs (Tapak) PLTD Apung 1, iaitu kapal penjana elektrik yang tersadai ke daratan kira-kira 5 kilometer dari Pelabuhan Ulee Lhueu. Kapal ini amat berat sehingga tidak dapat dialihkan atau diangkat dari tempat ia tersadai. Terus dijadikan tanda peringatan sempana tragedi tsunami. Tiada bayaran masuk dikenakan, tetapi terdapat tabung yang sumbangan ikhlas untuk pembangunan masjid kariah tempatan yang berada betul-betul di depan pintu masuk barat tempat ini.

Waktu lawatan Tapak PLTD Apung 1.

Tugu Tsunami di Tapak PLTD Apung 1.

Kapal PLTD Apung 1 yang tersadai 5 km ke daratan.


Di sini tidak dapat digambarkan batapa kuatnya arus ombak yang melanda Banda Aceh sehinggakan kapal ini dibawa sehingga 5 km ke daratan. Kapal ini sebenarnya di bina di Batam dan bertugas di Balik Papan, Kalimantan Timur sebelum dibawa ke Banda Aceh sebelum tsunami melanda. Juga dikekalkan, beberapa rumah yang menjadi puing-puing kesan tsunami tersebut. Dikhabarkan juga terdapat beberapa buah rumah dan mungkin terdapat penghuni-penghuni yang terperangkap di bawah kapal yang tersadai ini. Ngeri. 

Puing-puing rumah kesan landaan tsunami.

Jauhnya pantai dari tempat tersadainya kapal PLTD Apung 1.


Di atas kapal ini dapat melihat permandangan sekeliling Banda Aceh. Walaupun mempunyai waktu lawatan, namun tempat-tempat lawatan di Aceh ini akan tutup di ketika waktu solat. Jadi kami mulai sedar kami sedang menghampiri waktu azan Asar tidak lama lagi, jadi kami terus turun dari kapal dan ke galeri gambar yang tidak jauh dari situ.

Kapal PLTD Apung 1 dari depan.

Galeri gambar-gambar Tsunami.

Di galeri ini, dapat dilihat kesan kemusnahan akibat bencana tsunami. Amat menyayat hati saya. Sedih pun ada. Setelah melihat gambar-gambar itu, kami pun keluar dan ke kedai-kedai cenderahati di luar tapak kapal ini. Pak Nasir ada membeli, saya sekadar membeli beberapa barang sahaja. Kemudian kami pun pulang ke rumah Anton. Niat di hati untuk berehat sekejap sahaja namun sejurus sampai di rumah, hujan turun sehingga selepas waktu Isyak.



Menunggu hujan tidak teduh-teduh, akhirnya selepas Isyak, teduh juga. Pak Nasir mengajak kami semua untuk mengetah. Anton kata, kalau di Aceh tidak sah tidak rasa kopi Aceh. Saya kalau kopi, memang melonjaklah. Dibawa kami oleh Anton ke Dhapukupi di simpang empat Jl Teuku Imung Leung Bata, Jl Teuku Muhammad Hasan dan Jl Teuku Hasan Dek. Rupanya kopi Aceh memang popular di Indonesia. Sejak Aceh aman iaitu tiada ancaman dari GAM, budaya minum di restoran kopi ini popular. Banyak banyak didapati di segenam ceruk tempat di Banda Aceh ini.

Kopinya pun sedap. Makan sekali dengan kacang tanah rebus. Kata Anton, jika ada perlawanan bola, ramai akan duduk lepak kerana akan ada layar besar di kedai-kedai kopi ini. Siap ada WiFi lagi. Kiranya dah macam restoran mamak lah di Malaysia. Juga dikatakan, kopi Aceh ni ada ganja, tapi dakwaan itu disangkal oleh pekerja kedai itu. Kopi yang dihidangkan, walaupun kecil cawannya, amat puas hati. Harga pun tidaklah mahal, minum 4 orang dengan kacang tanah rebus, cuma Rp30ribu (+- RM10) sahaja. Selepas minum, memang terasa kelainannya, seperti awang-awangan sahaja. Risau juga, namun kami masih stabil.




Terdapat tiga jenis kopi Aceh yang popular iaitu kopi Ulee Kareng, kopi Gayo dan kopi Salong. Jadi saya ingin membeli kopinya untuk di bawa ke rumah. Tapi Anton kata kalau hendak beli serbuk kopinya, perlu ke tempat lain. Perlu ke Ulee Kareng, jadi dibawa kami ke sana. Sampai sana semata-mata hendak beli serbuk kopi. Jadi kami ke Restoran Solong Coffee di Ulee Kareng dan beli kira-kira 500 gram berharga Rp42ribu (+- RM14). Kalau beli 250 gram Rp22ribu (+- RM7.50) dan kalau sekilo Rp78ribu (+- RM26). Pak Nasir pun sama cuma dibeli 250 gram dua bungkus. 


Setelah dapat beli kopi, kami pun pulang. Entah bagaimana, Azmi dan Pak Nasir hilang tidak dapat mengikuti kami. Sesat sudah mereka. Lama juga kami menunggu mereka di simpang berdekatan kedai Daphukupi tapi tapi tidak sampai-sampai. Akhirnya selepas setengah jam dan beberapa menelefon mereka, kami semua mengambil keputusan untuk tunggu di Masjid Raya Baiturrahman sahaja. Bersatu juga kami dalam hujan rintik-rintik ini. Rupanya mereka sesat. Mungkin kesan kopi Aceh kata saya, tergelak semua. Kami pun pulang ke rumah Anton dan merehatkan diri.

Akan bersambung ke Hari 4.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part); 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.

Selasa, 6 Januari 2015

Hari 2 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Brastagi, Pergunungan Batak.

Bersambung dari Hari 1 Bahagian 2.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2 (this part); 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.


21 Disember 2014 (Ahad)

Pagi ini kami bangun dan merancang untuk ke Brastagi. Dikhabarkan di sini banyak perkara yang menarik dan barang-barang agak murah. Ingat di hati hendak pergi awal tapi Pak Darwis kata, pukul 8:00 pagi baru ada pengangkutan ke sana.



Kami bertolak dari rumah Pak Darwis dengan dihantar oleh Pak Darwis dan anaknya ke stesen bas di kawasan bernama Pinang Baris pada jam 7:45 pagi. Jadi kami berpisah dan mengucapkan terima kasih kepada keluarga Pak Darwis atas segala layanan baik yang telah diberikan.



Pinang Baris ini tidak berapa jauh dari rumah Pak Darwis. Dalam masa 20 minit, termasuk masa bersesak di simpang utama, kami sudah sampai di situ. Terus menaiki bas mini atau di sini dikenali sebagai mikrolet. Mikrolet ini tiada pendingin hawa. Nasib baik kami mendapat tempat duduk yang agak selesa, kerana susun atur tempat duduknya begitu sempit. Dalam sepuluh minit kemudian, mikrolet kami pun bergerak menuju ke Padang Bulan, yang merupakan simpang jalan utama menuju ke Brastagi, Kabanjahe dan Danau Toba dari Medan.



Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba mikrolet kami mengalami kerosakan. Hampir-hampir berhenti di tengah simpang, namun ia berjaya digerakan ke tepi jalan. Jadi kami menunggu apa tindakan seterusnya. Mikrolet ini tidak dapat berjalan kerana aci pandu (drive shaft)nya patah. Memang tidak boleh berjalan lagi. Alhamdulillah, pemandu mikrolet ini (yang merupakan seorang berketurunan Batak, mendengar dari bahasa pertuturannya) telah menghubungi mikrolet ganti. Dalam 10 minit kemudian sampailah mikrolet gantian, dan lagi satu rezeki, ia lebih selesa dari mikrolet asal.



Dalam perjalanan menuju ke Padang Bulan dan seterusnya ke Brastagi, kami dapat melihat aktiviti penduduk di sini. Antaranya, apabila di simpang jalan, ada yang mengemis, ada yang berjualan seperti rokok, koran (surat khabar) dan sebagainya, malah ada yang menjual labi-labi (seperti gambar di atas), tidak tahulah sama ada untuk peliharaan atau sebagai makanan.



Di Medan mahupun di Sumatera Utara ini khususnya dan Indonesia amnya, kita tidak boleh selesa dengan hal makanan halal. Di Sumatera Utara ini, terdapat beberapa suku kaum dari kaum Batak yang masih tidak Islam, jadi makanan utama mereka termasuk babi. Jadi tidak hairan jika banyak kali terlihat restoran menjual makanan yang haram dimakan oleh orang Islam di sini, sebagaimana yang ditunjukan di gambar di atas ini. Lagipun orang Batak di sini kelihatan sama sahaja dengan orang Melayu, Jawa atau Minang, malah ada yang bersongkok. Jadi berhati-hatilah di sini. Langkah selamat adalah makan di restoran Minang (Nasi Padang).



Perjalanan ke Brastagi sepatutnya hanya mengambil masa kira-kira 2 jam sahaja. Namun kali ini perjalanan kami mengambil masa lebih sedikit 4 jam. Ini kerana terdapat beberapa kemalangan yang menghalang jalan kami. Tapi pada masa itu saya, dapat melihat keindahan alam pergunungan Sumatera dan aktiviti penduduknya. Secara amnya sepanjang jalan, penduduknya majoriti adalah orang Batak yang menganut agama Kristian kerana banyak gereja di dapati sepanjang jalan. Juga terdapat juga warong makan yang ada tertulis B1 dan B2. Saya cuba tanyakan apa maksudnya pada salah seorang penumpang tempatan, dia memaklumkan bahawa B1 itu adalah anjing dan B2 adalah babi. Huh, termanggu sebentar saya. Memang betul kerana tidak lama kemudian di pekan Bandar Baru, terdapat sebuah restoran yang tertulis B1 panggang dan ada gambar anjing di sebelahnya, huhuhu...

Perjalanan kami ini melalui beberapa pekan seperti Karo dan Bandar Baru sebelum sambai ke Brastagi. Permandangan alam semula jadi juga amat indah dengan sungai pergunungan dan kabus yang menyelubungi. Kawasan dalam perjalanan kami juga terkenal dengan air pergunungan yang diambil dan kemudian dijual semula di Medan dan bandar-bandar lain, malah ke seluruh Indonesia. Tapi jalan menuju ke Brastagi adalah menaiki Banjaran Barisan, jadi ada tempat yang memang selekohnya amat tajam. Tambahan pula hujan renyai-renyai turun semasa perjalanan. Di satu tempat, dapat melihat permandangan bandar Medan dari pergunungan dan juga Selat Melaka.


Stesen Pengangkutan dan Pasar Brastagi.

Akhirnya pada jam 12:15 tengahari, kami pun sampai di Brastagi, di kawasan yang menempatkan stesen pengangkutan mikrolet, yang mana teletak di depan pasar utama di Brastagi. Memang ini tempat utama di Brastagi. Kami membayar tambang mikrolet yang hanya Rp10ribu (+- RM3.00) sahaja seorang.

Siput Sungai.

Barang yang dijual dijual di pasar Brastagi ini segar-segar dan murah pula. Sayangnya, tidak dapat beli pasal perjalanan kami di Sumatera masih jauh lagi. Kalau beli nanti, selain beg akan berat, kena uruskan kesegaranya, silap gaya boleh busuk.

Barisan gerai bunga segar.


Oleh kerana perut kami lapar, maka kami pergi ke sebuah restoran di depan pasar itu. Saya dan Azmi makan Soto Medan di sini, Pak Nasir pula hanya makan kuih lopes sahaja. Sambil itu sempat juga saya tangkap gambar antara tarikan di Brastagi, kereta kuda. 



Namun nasib tidak menyebelahi kami. Semasa kami makan di restoran ini, hujan turun dan ia berterusan agak lama. Asal kami ingin berjalan-jalan, terutama ke kawasan tugu yang menjual barangan cenderahati dan juga mercu tanda utama Brastagi, tapi apakan daya. Jadi sehingga pukul 2:30 petang, hujan masih tidak nampak surutnya, maka kami ambil keputusan untuk pulang ke Medan kerana risau terlepas bas ke Banda Aceh pada pukul 9:00 malam. Kerana kami ke Brastagi dari Medan pun sudah empat jam, jadi kami membuat pengiraan, jika jalan masih sesak, jika kami dari Brastagi pukul 3:00 petang, kami akan sampai ke Medan, yang mana kami tidak tahu di mana kami diturunkan, mungkin di Padang Bulan agaknya, pada jam 7:00 malam, dan ada sisih masa 2 jam untuk mencari pengangkutan ke terminal bas Kurnia lagi yang mana kami tidak tahu keadaan lalu lintas Medan yang memang sesak. Jadi kami pun meredah hujan kembali ke stesen mikrolet untuk menaiki bas ke Medan semula. Alhamdulillah, terus mendapat bas dan pada jam 2:45 petang kami meninggalkan Brastagi yang masih hujan itu dengan ralatnya.


Perjalanan balik ke Medan agak lancar dengan keadaan cuaca kejap hujan dan kejap teduh. Yang menariknya, perjalanan hanya ambil masa kurang 2 jam di mana kami sampai di Padang Bulan pada jam 4:30 petang. Semasa perjalanan turun saya tertidur di separuh perjalanan kerana mungkin kerana merasa sejuk sedikit akibat cuaca yang agak sejuk. Semasa turun dari mikrolet, saya terpandang sebuah kedai yang membuat papan ucapan (sila rujuk gambar di atas) yang banyak terdapat di Medan dan tempat-tempat lain di Indonesia. Memang budaya di sini mengucapkan tahniah atau apa-apa yang baik melalui cara ini. Rupanya inilah kedai yang membuatnya. Mereka menggunakan bahan seperti kelopak bunya palsu untuk hiasan tersebut. Amat menarik.

Simpang Jejambat Jamin Ginting, terletak di Padang Bulan, tempat berkumpul mikrolet ke Brastagi.

Oleh kerana masih ada masa, asalnya kami merancang untuk ke Istana Maimun, untuk membeli cenderahati, namun macam mencemburui kami, hujan tutun pula. Hujan turun lebih daripada sejam setengah. Jadi kami berteduh di salah satu kedai di kawasan berdekatan. Selepas hujan teduh, kami yang belum bersolat Zohor dan Asar, mencari masjid terdekat untuk menunaikan kewajipan. Kami bersolat di Masjid Shuhada, di Kelurahan Beringin, Kecamatan Selayang.



Usai solat, kami mengambil keputusan untuk ke terminal bas Kurnia, kerana keadaan cuaca dan ketidak tentuan lalu lintas yang tidak menyebelahi kami. Lalu kami cuba mencari pengangkutan ke sana. Di sini kami dapat melihat banyak angkot (van) cuma kami tidak tahu laluannya. Jadi kami mencuba menahan becak motor atau betor untuk ke sana. Betor ini seperti beca di negara kita, cuma ia tidak menggunakan basikal, tetapi motorsikal sebagai pendorongnya.



Kami dihantar oleh Samuel, penunggang betor ini ke kaunter bas Kurnia di Jl Gajah Mada. Walaupun sebenarnya kami meminta untuk ke terminal bas Kurnia. Lain disuruh lain yang dibuat. Menarik sekali, 3 orang lelaki dengan beg galas yang besar boleh duduk di dalam betor ini. Sempit dengan Azmi duduk macam tak duduk sahaja. Namun rupanya dari kaunter bas ini akan ada angkot khas yang menjadi shuttle ke terminal bas. Kami membayar Rp40ribu (+- RM 13.40) kepadanya. Dari perbualan kami, rupanya pendapatan purata sehari bagi penunggang betor adalah cuma Rp60ribu (+- RM20) sahaja. Jadi kami sahaja sudah berikan 2/3 dari pendapatan hariannya. Begitulah payahnya mencari sesuap nasi di Indonesia.


Semasa dalam perjalanan ke kaunter bas Kurnia di Jl Gajah Mada, saya terlihat satu restoran ini mempunyai berlonggok durian. Setelah tiba di kaunter bas, Pak Nasir bertanyakan saya sama ada saya berminat untuk merasai durian tersebut. Oleh kerana semasa perjalanan pergi dan balik ke Brastagi, saya melihat banyak durian, terasa pula ingin merasa durian Sumatera pula. Berjalanlah kami ke restoran tersebut yang tidak begitu jauh dari situ.


Restoran itu bernama Ucok Durian, yang terletak di Jl KH Wahid Hashim dan Jl Sei Tuntung. Keadaan restoran ini saya teringat gerai durian di Taman Seri Rampai di Kuala Lumpur dan SS2 di Petaling Jaya, kira lebih kurang. Pesan sahaja durian berapa biji terus diberikan kepada kami. Di meja terdapat air minuman percuma dan juga pulut yang dibungkus dengan daun pisang.



Sambil itu, di situ juga terdapat sebuah gerai sate padang. Jadi saya pesan 2 set untuk kami. Selepas setengah jam di situ, kami pun membayarnya. Tiga biji durian berharga Rp100ribu (+- RM30) dan sate padang berharga Rp36ribu (+- RM12). Bermakna sebiji durian RM10 dan sate padang satu set RM6. Agak mahal juga. Selepas itu kami pulang semula ke kaunter tiket bas Kurnia. Sampai sahaja, Azmi berkata shuttle baru sahaja berlepas namun ada lagi (ketika itu baru pukul 6:00 petang).



Kaunter tiket bas Kurnia ini agak strategik. Di hadapannya terdapat sebuah kedai serbaneka Indomaret, iaitu kedai seperti 7-Eleven. Sepanjang kembara ini saya tidak menjumpai satu pun kedai 7-Eleven tetapi banyak kedai Indomaret dan juga AlfamartJuga banyak kedai dan mesin ATM di sini.

Di kaunter ini juga terdapat kemudahan-kemudahan seperti surau, tandas dan bilik mandi. Kami mengambil kesempatan untuk mandi namun perlu membayar Rp5000 (+- RM1.50) untuk mandi dan menggunakan tandas, huhuhu. Tidak mengapalah, badan pun dah berlengas. Setelah lega dapat mandi dan bersolat, maka sampailah shuttle giliran pukul 7:00 malam punya. Kami pun naiklah shuttle tersebut dengan kira-kira 15 orang termasuk barang-barang dan ia tiada penghawa dingin.


Setelah 45 minit berada di dalam shuttle, sampailah kami di terminal bas Kurnia di Jl Lintas Sumatera juga dikenali sebagai Jl Medan-Binjai tidak berapa jauh dari Kampung Lalang. Dalam setengah jam kemudian, Pak Darwis dan anaknya sampai di situ untuk mengucapkan kami selamat jalan dan ingin menitipkan barang kepada anaknya yang satu lagi di Banda Aceh nanti. Uniknya bas di Sumatera ini, cermin hadapannya mempunyai gerigi besi yang bertindak sebagai perisai bagi mengelakkan dibaling batu agar tidak pecah. Di sekitar terminal ini juga mempunyai banyak gerai makan dan juga ada kedai khas menjual kek. Terdapat satu hidangan yang saya ingin rasa iaitu Bika Ambon. Bilalah dapat merasanya.




Akhirnya pada jam 8:45 malam, pengumuman mengatakan bas kami sedia untuk menerima penumpang, dan kami pun menaikinya. Menarik juga, terdapat selimut dibekalkan. Pada jam 9:10 malam, maka berjalanlah bas kami. Kami melambai kepada Pak Darwis dan anaknya. Di atas bas kami diberikan bekal yang mempunyi secawan air minuman, dua biji gula-gula penaja (Hexos) dan yang paling tidak sangka, bika Ambon. Alhamdulillah. rupanya sedap juga bika (atau di Malaysia dipanggil bingka atau bengkang) Ambon ini. Memang berbeza rupa dan rasa berbanding bingka di Malaysia.


Teg beg bas ekspres Kurnia.

Bermulalah perjalanan selama 12 jam dari Medan ke Banda Aceh. Memang selesa cuma tidak seselesa bas di Malaysia. Cuma satu yang saya tidak berkenan, di dalam bas yang berhawa dingin ini, selamba sahaja pemandu dan beberapa penumpang menghisap rokok, bukan sekadar rokok biasa, tetapi rokok kretek. Mahu sahaja ditegur, tapi takut disuruh turun. Hendak tidak hendak, terpaksa berselubung dengan menggunakan selimut  untuk mengurangkan bau rokok tersebut. Satu lagi, tiada plastik atau beg untuk muntah disediakan, kena cari kaedah sendiri. Sambil itu saya cuma memaksakan diri saya untuk tidur. Bunyi hon bas yang boleh dikatakan selang seminit, memang pemandu bas ini suka menekan hon. Kalau di Malaysia, mahu dah bergaduh dah. Di luar hujan membasahi bumi Sumatera ini sepanjang perjalanan.


Akhirnya saya pun dapat tidur.

Akan bersambung ke Hari 3.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2 (this part); 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.