Isnin, 24 Februari 2014

Bahagian 2 (Hat Yai, Thailand - 21 hingga 22 Februari 2014) - Jalan-jalan Sekitar Hat Yai & Balik ke Malaysia.

Sambungan dari Bahagian 1...
If want to read in English: This part or Part 1.
Untuk lihat itinerari / To see itinerary.



(Sila rujuk jadual baru jadual perjalanan KTM Intercity & KTM ETS di laman sesawang KTMB, kerana jadual perjalanan telah berubah mulai Oktober 2015, terima kasih).



22/02/2014 (Sabtu)




Setelah dekat 2 jam menunggu (keretapinya ada tapi kenapa entah tak jalan, daripada gerabak panjang kepada hanya 2 gerabak (satu untuk gerabak tidur (berth) satu lagi untuk gerabak duduk (seat)), sebuah gerabak penjana (generator) dan kepala lokomotif telah bertukar dari kepala KTMB kepada ROT (Railways of Thailand), akhirnya jam 11:10 (11:10 pagi), stesen master meniupkan wisel untuk memanggil penumpang untuk naik. Pukul 11:15 (11:15 pagi waktu Malaysia, ye masih waktu Malaysia) barulah roda keretapi digerakan.




Akhirnya Sawasdee krap, Jam 10:25 (10:25 pagi waktu Thai, ye, pasal Thai tolak sejam dari waktu Malaysia).



Penuh teruja, sampai tak ambil gambar ataun video semasa tren melintasi pagar memisahkan Malaysia dengan Thailand. Maklumlah pertama kali melintasi sempadan menaiki keretapi (insya Allah kali kedua lagi 2 minggu (08 Mac 2014, melintasi sempadan Malaysia - Singapura pula dengan menaiki keretapi KTM Intercity Tren 2 Senandung Sutera). Betul-betul selepas sempadan adalah pekan Padang Besar, Songkhla, Thailand atau orang tempatan baik Malaysia mahupun Thailand memanggilnya dengan Pekan Siam untuk membezakan dengan pekan Padang Besar, Perlis, Malaysia.




Permandangan landasan keretapi di Thai macam Malaysia di landasan sektor timur atau sektor utara selatan 10 tahun lepas. Persekitaran pun lain, jalannya, pekannya sebagainya. Kebanyakan Malaysia lebih baik cuma mungkin simen atau konkrit lebih baik.





Kalau permandangan di Jalan Phetkasem (Lebuhraya Thailand 4, Asian Highway AH2), ladang-ladang dan kebun-kebun serta dusun-dusun agak teratur, lain pula permandangan di kiri kanan landasan keretapi Thai ni. Agak tak tersusun, lebih kurang atau lebih teruk sikit dari Malaysia. Betul lah kata seorang penumpang (pelancong) kulit hitam dari Afrika Selatan (terdengar pasal duduk depan dia, dia tengah seronok berborak dengan pelajar-pelajar universiti Malaysia), Thailand ni luar bandarnya lebih mundur dari luar bandar Malaysia.



Bagus juga menaiki keretapi di negara orang, selain tak penat memandu (ada orang lain yang pandukan untuk kita), kita boleh tumpukan untuk melihat keindahan alam dan persekitaran.



Selepas sejam sepuluh minit, akhirnya sampai juga di stesen Hatyai atau lebih tepat stesen Hatyai Junction, kerana Hatyai ini merupakan persimpangan landasan keretapi menuju ke pantai barat Semenanjung Malaysia (melalui Padang Besar) dan menuju ke pantai timur Malaysia (melalui Sungai Golok, Narathiwat, Thailand (atau Sungai Kolok kata orang Thai)) ke Rantau Panjang, Kelantan, Malaysia ke landasan utama di Pasir Mas, Kelantan, Malaysia.



Stesen dia, mak oii, rasa macam stesen keretapi pendalaman Semenanjung Malaysia. Platform serupa macam tak ada, kena guna tangga tren untuk turun. Memang sah sampai ke sebuah bandar Thailand, pasal bau dia macam agak sama setiap bandar atau pekan. Keretapi KTM Senandung Langkawi berhenti di platform 4, masa nak menuju ke stesennya, terlihat gerabak keretapi yang hendak ke Bangkok. Perkhidmatan biasa (kelas 3) katanya. Mak oii, pakai kipas je, dah la tu tempat duduk pun pakai kayu je dan tegak je... Kelas ekonomi kat KTM Intercity (tak kisah perkhidmatan ekspres ke shuttle ke) masih berhawa dingin dan kerusi boleh laras. Di situ rasa bersyukur duduk Malaysia, taraf kita lebih sikit dari Thailand.








Lepas tu tak macam stesen di Malaysia, di sini kalau nak melintas landasan, boleh selamba melintas dengan syarat pagar pemisah antara landasan dibuka dan tiada keretapi melintas. Nasib kurang baik, masa kami hendak melintas, keretapi dari arah utara juga sampai. Jadi menghalang jalan kami. Jadi mana yang dah atas landasan tu, kena tunggu sehingga keretapi tersebut berhenti. Lepas berhenti kena lak naik gerabak keretapi tu untuk ke stesen. Satu kerja lagi. Jadi saya ada tengok semasa keretapi KTMB nak sampai ke stesen Hatyai ni, ada sebuah terowong, maka ambil keputusan nak guna terowong tu, alhamdulillah, tak ada lah jauh sangat. Cuma rasa macam jalan dalam terowong pembentung la, bukan kerana bau hancing tetapi bau hapak longkang. Terowong pun agak gelap tapi  nasib baik, terowong tak ada lah panjang sangat.



Naik sahaja terowong, terus ke kaunter tiket untuk hari ini. Semasa nak ke kaunter, ternampak surau. Jadi kalau terdesak, bolehlah solat di sini. Kedudukannya kalau dari platform ke kaunter, ia sebelah kanan, tak berapa jauh dari pintu untuk ke kaunter.




Di stesen ini kaunter untuk tempahan awal (advanced booking) dan tiket hari ini adalah berlainan dan berkedudukan setentang antara satu sama lain cuma agak jauh sedikit (di tengah-tengahnya adalah lobi stesen). Harap-harap tiket ke Padang Besar pukul 16:00 (4:00 petang) waktu Thailand adalah.




Tanya dengan kerani ke pegawai kaunter tu, "Excuse me, may you speak English?", tanya saya. Dia membalas "Can, can, yes sir, what can I help?" dengan gaya Thai (faham-faham lah macam mana ye). Saya tanya, tiket ke Padang Besar ada dijual, alhamdulillah dia kata ada dan harganya 57. Apa 57? Mahalnya (dalam fikiran ingat RM). Saya termanggu sekejap, lepas tu baru teringat, sekarang di Thailand la, bukan Malaysia, jadi saya tanya, "In ringgit or in baht?". "Thai money, sir" ujar dia. Oh, lega. La, kira murah dari beli tiket kat KL ya, yang harganya RM13 (rujuk bahagian 1 juga). Apa lagi keluar la dui฿ saya bernilai ฿60 dan dapat syiling ฿1 tiga keping. 



Selepas dapat tiket terus keluar stesen. Oh ya, di Thailand ni, orang yang terbabit dalam industri pengangkutan dan perlancongan dah ada sejak dari atas tren lagi!!! Mereka sanggup melompat naik tu, dan bukan setakat itu sahaja, banyak lagi nyang akan bertanya dari tren sampai ke luar station. Jadi kena bertegas atau kata "ma dai, ma dai" kalau tak nak. 

Cuba tengok depan stesen, beratur tuktuk, mini van & teksi motor (motorsikal dijadikan teksi, naik seorang sahaja la, pasal dengan penunggang dah dua orang, nak kenal, penunggang pakai vest, itulah teksi motor).


Antara wang Baht (฿) yang digunakan  di Thailand:

Syiling ฿1 (1 Baht) = +- 10 sen

Syiling ฿2 (2 Baht) = +- 20 sen

Nota ฿20 (20 Baht) = +- RM2

Nota ฿50 (50 Baht) = +- RM5

Nota ฿100 (100 Baht) = +-RM10


Lepas keluar stesen, apa lagi, terus lah menuju ke pusat bandar Hatyai... Tak berapa jauh sebenarnya stesen keretapi dengan pusat bandar.





Saya tunjukkan gambar Hotel Lee Gardens (di bawahnya ada pusat membeli belah) & Centara, yang merupakan pusat utama bagi bandar Hatyai.

Hatyai ini merupakan bandar ketiga terbesar di Thailand selepas Bangkok & Chiangmai. Walaupun bukan pusat pentadbiran bagi wilayah Songkhla (yang terletak di bandar Songkhla, sebuah bandar lebih kecil, 30 km ke arah timur laut Hatyai), tetapi bandar ini menjadi nadi kepada bukan sahaja kepada wilayah Songkhla, tetapi juga kepada kesemua bahagian Selatan Thailand. Hatyai sebenarnya adalah bandar yang agak muda berbanding bandar lain, dikatakan ia baru wujud pada awal abad ke-20 (1900an). Untuk perhatian, nama Melayu bagi wilayah Songkhla adalah Singgora. Biasa dengar bagi penggemar sejarah, tak apa nanti bila saya ke sana, kita kupas sejarahnya lebih lanjut. 


Tak jauh dari stesen juga terdapat sebuah gedung membeli belah Robinson (alah macam The Store kat Malaysia). Di bawah Robinson ni ada pasaraya, namanya Tops (bukan macam pasaraya kat Malaysia dulu yang namanya Tops gak).


Perasan kan, ada kereta Proton Savvy warna oren, Proton agak popular di Hat Yai.


Saya cuma ada masa 4 jam sahaja untuk pusing-pusing pusat bandar Hatyai, kerana tren akan ke KL semula jam 16:00 4 petang, eh bukan saya dah sebut kat atas ke, hehehe), lagipun tujuan utama kembara kali ini adalah untuk merasai pengalaman menaiki keretapi ke Hatyai, dan bajet tak berapa banyak, maklumlah ad hoc punya keputusan. Selain itu saya nak tinjau perkhidmatan pengangkutan dan logistik untuk perancangan kembara saya ke bandar sempadan Thailand - Myanmar iaitu Ranong dan Kawthaung, yang insya Allah akan saya laksanakan tak lama lagi. Cuma saya tidak akan ke stesen bas Hatyai, kerana ia agak jauh jika berjalan kaki, selain kekangan wang & masa. Rasanya seperti blog-blog lain, wikitravel, TripAdvisor.com dan lain-lain laman yang mengatakan stesen bas ini agak mudah seperti hub pengangkutan yang lain.


Saya sertakan peta bandar Hatyai untuk rujukan.





Jadi saya teruskan langkah ke kawasan Lee Garden untuk mencari kad SIM (bagi memudahkan perhubungan, lebih murah dengan cara ini, kalau pakai roaming agak mahal juga, contoh jika pakai maxis roaming menggunakan AIS, saya pernah menelefon ke telefon sahabat saya juga roaming maxis menggunakan AIS, dalam masa 10 saat sahaja dah dicaj RM6 untuk saya yang memanggil dan RM5 untuk sahabat saya yang menerima. Lebih baik saya beli kad SIM Thailand yang harga cuma dari ฿49 (+-RM5 sahaja). Terdapat 4 telco utama (tak termasuk MVP (Mobile Virtual Provider - contoh di Malaysia adalah TuneTalk yang guna isyarat CELCOM) iaitu AIS, dtac, True Move dan TOT 3G.


Saya ke 7-Eleven antara Lee Garden dengan Pink Ladies Market. Nasib baik cashier tu boleh cakap English sikit-sikit. Dia berikan saya Kad SIM dtac Happy Prepaid Tourist  yang berharga ฿49 sahaja. Sebenar ada pilihan antara yang ฿49 punya dan ฿299 di mana yang ฿299 ada internet tanpa had selama 7 hari percuma. Memandangkan saya hanya 4 jam sahaja, ambillah yang ฿49 punya. Kalau nak tau kadarnya boleh layari sini.


Pek Kad SIM dtac Happy Tourist ฿49 punya.

Kad SIMnya (di dalam peknya). Cuma ada SIM biasa (mini SIM) dengan micro SIM, saya pakai iPhone5, perlukan nano SIM, jadi potong sendiri lah, tu nampak macam rompong hehehe.

Kena masukkan kad SIM ini dalam telefon dulu baru boleh beli top up. Lepas dah boleh masuk, terus ke 7-E yang lain (kat kawasan Lee Garden banyak sangat 7-E ni). Top up ฿60. Cuba hantar mesej kepada Flexiroam untuk aktifkan perayauan antarabangsa dengan panggilan keluar dan masuk tanpa had dengan caj paling murah (caj sms antarabangsa bagi panggilan keluar dan caj panggilan tempatan Malaysia bagi panggilan masuk, dengan harga pas harian RM10 sahaja), tapi tiada balasan. 


Dalam kekecewaan tu, tetiba dapat mesej kata boleh dapat guna mobile internet tanpa had dalam sehari (tapi kelajuan 3G dihadkan sampai 150MB sahaja) dengan cuma ฿19 sahaja. Biasa ฿49 (rujuk http://www.dtac.co.th/en/prepaid/products/Happy-internet-package.html), kira kat Malaysia lagi murah, kebanyakan dari RM1 sampai RM3 je. Apa lagi terus la sms, malas nak tarik WiFi sana sini. boleh terus WhatsApp ke, FB ke, Tweet ke, yang penting nak guna map. Alhamdulillah.  


Lee Garden, pada tahun 2007 tak silap, pernah jadi pengeboman di sini. Jadi tak hairanlah nak masuk ke dalam pusat membeli belah di sini (Lee Garden, Centara & Odean) kena imbas beg dan badan dahulu. Macam kat lapangan terbang pula.




Perasan tak pada gambar instaweatherpro kat atas ni, ada McDonald's kan... Masa duduk kat dalam kompleks membeli belah Lee Garden ni (saja masuk, bukan nak beli apa, cuma nak hawa dingin sahaja, kata je 32 tapi rasa panas Hatyai lagi dari KL), duduk tengok harga set kat McD kat sini. Lebih mahal rupanya dari kat Malaysia (harga biasa ye, bukan harga McValue Meal, kalau kira harga McValue, lagi lah murah Malaysia!!! Syukur duk Malaysia, banyak benda lebih murah dari negara jiran yang kurang kaya dari kita, harga petrol & diesel tak payah kata lah, 2 kali ganda). Ada kat McD kat sini halal boleh makan, ada tengok orang pakai tudung makan, tapi pasal tak jumpa logo halal, takpe lah, lain kali kena buat penyelidikan lebih lanjut. Banyak kedai makan halal kat Hatyai ni.




Harga barang kat Hatyai ni nak kata murah, boleh la. Kira macam harga Wakaf Che Yeh atau Uptown kat KL je. Saya datang bukan masanya pasal kalau nak shopping murah kena datang malam, pasal kat area Lee Garden dan sekitarnya, ada pasar malam ala-ala Wakaf Che Yeh tu. Kalau siang ni pun boleh shopping, kat area sekitar  Lee Garden di Jalan Pratichipat, Jalan Niphat Uthit 3 & Jalan Sanehanusorn memang ada penjaja kaki lima jual pakaian, jam, jajan, kacang-kacang (yang ni aku suka) dan macam-macam lagi la. 


Di area dini juga boleh la kalau kaki membeli belah tu pergi ke banyak kawasan membeli belah seperti Pink Lady Market di Jalan Sanehanukorn tak berapa jauh dari Lee Garden. Nak tau dah sampai ke tidak, kalau bangunan tu warna merah jambu, kira dah berada di kawasan tu la. Selain tu, boleh juga pergi ke Yongdee Market, Suntisuk Market & Asia Market di antara Jalan Niphat Uthit 3 dan Jalan Niphat Uthit 2. Di sini sama juga macam penjaja kaki lima, cuma di sini mereka terletak di lot-lot gerai macam kedai-kedai kain di kawasan Masjid India di KL tu. Macam-macam ada di sini, kain, baju, makanan, jam tangan dan lain. Di sini juga redup sikit, takde la berpanas. Kalau nak buat pakaian bertempah macam suit juga di area sini.


Ayam goreng, udang galah goreng dan macam-macam goreng pun ada, tapi kena tengok la, kalau yang pakai tudung, ada Allah Muhammad, ada bulan sabit & bintang dan ada Bismillah, boleh la makan pasal Halal, yang masaknya Muslim Thailand, kebanyakan orang Melayu. Boleh kecek la selalu, demo semuo kecek mace oghe kelate tapi hok gayo sie deh... Hok alok, terkecek lak saya. Harga pun boleh la, 3 ekor udang galah saiz XL (seekor besar setonggol jagung kosong) dalam ฿200 (+-RM20). Oklah kan...


Jalan-jalan mencari kaunter bas ekspres ke Malaysia terutama ke KL. Jumpa satu betul-betul depan Lee Garden, kaunter Konsortium Bas Ekspress Semenanjung. Kemudian jalan ke Jalan Chee Uthit (pada peta Chee Uthit tapi pada papan tanda jalan Seeuthit Road, jangan keliru ek), tak jauh dari simpang dengan Jalan Sanehanusorn ada kaunter Alisan Travel & di Jalan Niphan Uthit 3 ada kaunter Sri Maju. Jadi dah tau la kat mana nak cari tiket di pusat bandar Hatyai ni. Kalau kat stesen harus ada (tapi bila baca blog dicadangkan untuk beli kat sini, pasal di stesen bas Hatyai adalah ejen, jadi harga pun naik sikit).


Jalan-jalan cari kaunter tu, jumpa lah beberapa kedai makanan Islam, agak banyak juga terutama di Jalan Chee Uthit (ada kedai makan Kelantan la, kedai makan Haron la). Sambil-sambil tu juga iPhone5 dah berbunyi pada pukul 12:30 tengahari, menandakan masuk waktu Zohor. Cari juga surau atau masjid, dalam app Muslim Pro kata kat area Jalan Thamanoonvitee ada masjid, tapi bila pergi, tak ada pun.


Akhirnya membawa diri balik ke kawasan Lee Garden untuk makan tengahari sambil jam di tangan menunjukkan pukul 13:30 (1:30 petang, di Malaysia dah pukul 2:30 petang). Perut lapar, tadi banyak lihat kedai makan halal, tapi nak cuba makan di Restoran Hamid. Restoran ni agak popular juga di Hatyai, kedudukan berdepan dengan Lee Garden.





Diberi menu, huh harga tak hingat, kira agak mahal berbanding Malaysia. Contoh tomyam campur harga dia  ฿120, tomyam dging sahaja atau ayam sahaja atau pok tek (seafood) harga  ฿90. Air buah dalam  ฿80. Buah-buahan  ฿100. Macam standard restoran mahal macam BarnThai, Sri Ayuthaya atau luar liga tapi masih dalam benda yang sama Sari Ratu!!! Jadi ambil je la Tom Yam Pok Tek, nasi putih & air kepala pandan. Rasa ok, boleh tahan, kira tomyam dia macam 2 orang makan... Cuma udang tetap 2 ekor je, isi ikan boleh lah banyak, tapi tang sup, best... Habis  ฿205 semua sekali... Alhamdulillah. Kemudian kat pelayan dalam bahasa Melayu (pasal masa ambil order tanya dalam baso kelate), di mana surau atau masjid terdekat. Hok aloh, dia tanya orang lain pula. Lepas tu yang kawannya tanya saya balik, tapi dalam bahasa Inggeris, la ingat boleh bahasa Melayu sepenuhnya... Buak penak kawe kecek kelate jo... Mereka bagitau boleh sembahyang di surau mereka di tingkat atas. Alhamdulillah... Tak perlu la saya nak menapak ke stesen keretapi nak solat atau cari tempat lapang, ambil wuduk guna spray, sejadah memang bawa.


Alhamdulilah, surau dia kira ok, selesai solat jamak qasar Zohor + Asar. Sekarang dah pukul 14:30 (2:30 petang), ada sejam setengah lagi sebelum keretapi berlepas. Ok segera ke stesen. 


Ada masa lagi, singgah dulu ke Robinson dulu, saja melawat. Tengok harga, bolehlah, kalau standard ni, murah Malaysia sikit atau lebih kurang pun ada. Barang tertentu ada lebih murah. 


Kemudian terus ke Tops di bawah untuk beli air mineral botol besar satu, botol kecil satu dan ternampak Coca Cola macam sedap je (ye lah, cuaca panas walaupun mendung sikit). Dah lama tak minum Coca Cola ni. 


Semua harganya  ฿29.50. Bagi  ฿40, dapat balik syiling ฿10 dan yang tak sangka 50 satang (kira 5 sen ), tak pernah dapat sebelum ni. Jadi koleksi lah.   

Syiling 50 satang = +- 5 sen

Syiling ฿10 (10 Baht) = +- RM1



Ok dah pukul 15:25 (3:25 petang) segera gerak ke stesen keretapi yang cuma 100 m je dari Robinson ni. Sambil tu ambil gambar bandar Hatyai buat kali terakhir.



Terus menujuk ke platform 4, duduk di bangku tak jauh dari tren, tertengok pada tren, eh ada orang naik dah. Apa lagi naik la, ada hawa dingin. Kurangkan sikit hangat di badan ni. Jam 16:10 (4:10 petang) bergeraklah roda keretapi ini menuju ke Padang Besar.

Di dalam keretapi ni juga seorang pegawai imigresen Thailand menaikinya untuk bertugas. Saya perasan dibelakang jaket sukannya bertulis "Thai-Malay Immigration". Baru teringat, saya ada baca beberapa laman web dan blog orang Thai, mereka merujuk Malaysia sebagai Malay atau Malayu atau Melayu. Jadi ini menunjukan bahawa mereka menganggap Malaysia sebagai tanah orang Melayu. Mungkin begitu perspektif mereka.


Jam 18:20 (6:20 petang) waktu Malaysia (ye kembali ke waktu Malaysia), sampai juga di Padang Besar dan buat kembali prosedur imigresen sama seperti masa datang cuma terbalik sahaja, Thailand dulu (yang best tak perlu sisi borang, berikan kembali borang Berlepas/Departure yang diisi masa datang dulu), kemudian Malaysia. Macam biasa di kaunter Malaysia, walaupun pasport kita tak perlu dicop, hanya perlu diimbas, tapi nak juga, buat kenangan.



Baru perasan kaunter tiket KTM di Padang Besar ni. Rupa-rupanya, patut tak perlu beli tiket kat KL Sentral pasal kalau beli di kaunter KTMB Padang Besar atau ROT Padang Besar, caj tambahan (sila rujuk Bahagian 1) tidak dikenakan, cuma kena ambil risiko (gamble) la sikit. Tapi tanya yang biasa naik, kebiasaannya tidak ramai yang naik selepas stesen Arau atau Alor Setar.

Kena tunggu lagi lebih 1 jam pasal keretapi akan hanya bergerak jam 19:30 (7:30 malam), jadi ada masa, tangkap gambar sekeling stesen keretapi & pekan Padang Besar, Perlis, Malaysia untuk kenangan. Insya Allah akan sampai lagi ke sini.








Sambil menuju pulang, permandangan matahari terbenam amat menarik dan cantik, lagi 11 jam akan sampai KL. Tapi kena solat jamak Maghrib + Isyak qasar di dalam tren. Wuduk spray lagi nampaknya. Solat atas tempat duduk sahaja. Apa-apa pun kewajiban yang rukun mesti dilaksana dan dijaga.





Lepas solat, mata pun redup macam langit yang makin gelap. Sepanjang perjalanan saya tidur sahaja. Adalah terbangun di Butterworth, Ipoh dan akhirnyan terjaga di Rawang. Akhirnya pada jam 06:35 pagi, sampailah KL Sentral. Terus ke surau untuk solat Subuh dan selesai terus ke motorsikal Modenas Krissku untuk berpulang ke rumah. Di rumah baru sedar, kepala charger iPhone hilang, disamping masa di atas tren dari Hatyai ke Padang Besar sedar, nano SIM DiGi milikku entah ke mana... Tak apa lah mungkin tu ujian Allah dan harap ia kifarah terdapat dosa yang silam.


Itulah pengalaman menaiki tren dari KL ke Hatyai pergi balik dalam sehari lebih. Seronok pun ada, penat pun hilang. Insya Allah akan buat lagi bila ada kelapangan. Tapi insya Allah akan ke selatan pun pada bulan 3 nanti. Nantikan postingnya.


Yang penting, JAUH PERJALANAN LUAS PERMANDANGAN (juga pandangan). Banyak pengalaman diperolehi walaupun hanya sehari lebih saya. Jumpa lagi, ilal likok, massalamah, assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh. 


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Atau ingin kembali untuk melihat Bahagian 1.

If want to read in English: This part or Part 1.
Untuk lihat itinerari / To see itinerary.

Bahagian 1 (Hat Yai, Thailand - 21 hingga 22 Februari 2014) - Perjalanan ke Padang Besar.

Jika mahu lihat catatan:  

If want to read in English: 


(Sila rujuk jadual baru jadual perjalanan KTM Intercity & KTM ETS di laman sesawang KTMB, kerana jadual perjalanan telah berubah mulai Oktober 2015, terima kasih).



21/02/2014 (Jumaat)

Pengembaraan tanpa perancangan, hendak hilangkan tekanan, ke Padang Besar menaiki keretapi KTM Intercity Tren 20 Senandung Langkawi, terus ke Hatyai. Beli tiket di KL Sentral pada 10:30 pagi ke Padang Besar bagi perjalanan malamnya pukul 21:30 (9:30 malam) untuk kelas ekonomi (biasa RM24, diskaun 25% Kad KTM iCard Tiger jadi RM19) tapi habis. Jadi beli tiket kelas 2 duduk (biasa RM44, diskaun jadi RM35). Beli juga balik ke KL keesokannya (Tren 21 Senandung Langkawi sila rujuk tiket keretapi di bawah).

 Tiket keretapi KTM dari KL Sentral ke Padang Besar.


Tiket keretapi KTM dari Padang Besar ke KL Sentral.

Bukan tidak mahu beli secara online, tetapi hanya di kaunter sahaja boleh guna kad diskaun seperti di bawah ini.





Kad diskaun KTM Tiger iCard.






Tips saya, jadilah ahli Kad diskaun KTM Tiger iCard, dengan hanya RM20 setahun, anda boleh dapat diskaun 25% atas tambang KTM Intercity & KTM ETS. Tapi ia tak termasuk KTM Komuter ya... Pergi balik KL Sentral ke HatYai dengan kelas 2 tempat duduk dah balik modal. 

Pengiraan diskaun adalah seperti berikut jika tiket KL Sentral ke Padang Besar harga biasa kelas 2 duduk adalah RM44 (di mana RM36 adalah tambang + RM8 adalah caj tambahan tetap*). Jadi harga tiket diskaun 25 % adalah RM35 (iaitu 25% dari tambang RM 36 = RM 27 + RM8 caj tambahan tetap).



* Caj tambahan tetap adalah seperti berikut: 

      RM4 bagi tempat duduk kelas ekonomi;
      RM8 bagi tempat duduk kelas 2;
      RM14 bagi tempat tidur bawah kelas 2;
      RM20 bagi tempat tidur atas kelas 2;
      RM8 bagi tempat duduk kelas 1;
      RM21 bagi tempat tidur bawah kelas 1;
      RM30 bagi tempat tidur atas kelas 1;


Jadi jangan keliru dengan diskaun 25% ye, bukan atas tiket tapi atas tambang. Jadi tiket Padang Besar - Hatyai harga biasa RM13, tapi lepas diskaun RM12 (patut RM10 sahajakan)... Ingat formula atas.

Satu lagi tiket di Malaysia dibundarkan kepada Ringgit seterusnya. 

Kemudian ke Low Yat beli power bank, maklum la nak jalan jauh... Nak tangkap gambar (maaf x pakai DSLR pasal kalau boleh backpacker kena ringkas), tulis log untuk dibuat blog dan lain-lain, banyak pakai bateri iPhone5 saya ni. Masa kat Low Yat baru teringat, kalau dah beli kelas 2 kenapa tak beli ke Hatyai terus???



  Power Bank jenama Pineng 11200 mAh


Lepas beli power bank cap Pineng 11200 mAh RM99 lepas diskaun, terus balik ke KL Sentral tapi kira nasib tak baik, kena beli malamnya nanti, pasal sistem dah lock untuk jualan jarak dekat (Padang Besar-Hatyai). Kenalah beli tiket Padang Besar-Hatyai kelas 2 yang harga RM13 (diskaun RM12) malam karang... Takut tak ada tiket lak kat Padang Besar kang... Macam mana nak ke Hatyai, nak tuktuk atau mini van (apa ntah dalam bahasa Thai, lupa lak), mahal... Kalau batal kemudian beli tiket dari KL-Hatyai lagi rugi... Apa ntah pemikiran semasa beli tiket tu, tak tahu lah... Setting nak beli tiket kelas ekonomi yang hanya sampai Padang Besar je kot... Kan dah rugi RM11 seperjalanan (kalau direct RM48 (RM38 diskaun), kalau KLSentral-Padang Besar (RM44 (RM35 diskaun) kemudian Padang Besar-Hatyai (RM13 (RM12 diskaun), jadi RM57 (RM47 diskaun)... Takpelah ada hikmah kot.


Balik rumah solat Jumaat, sambil kemas beg, antara barang bawa:
1. Beg galas Deuter Futura 28 liter;
2. Passport;
3. Duit Thai (Baht) - ada la sikit dalam ฿ 422 (422 Baht);
4. Sejadah & spray wuduk (memang bawa, sejak jadi haji ini, macam itu lah, solat kena jaga);
5. Extention 5 gang (standby je);
6. Selimut, bantai angin & tutup mata (dalam keretapi tak boleh tutup lampu, hehehe);
7. Power bank & kabel2;
8. Plug adapter (Thai pakai plug pin lain);
9. Pakaian, selipar & tuala;
10. Toiletries & plastik;
11. Gula-gula, jajan, air secukupnya.

Kena pergi awal ke KL Sentral pasal nak beli tiket Padang Besar-Hatyai pergi balik yang belum beli lagi. Ke KL Sentral naik motorsikal selepas maghrib & parkir sana sahaja pasal balik nanti pun akan ke KL Sentral juga.

Memakir motorsikal di KL amat mudah, paling dekat dan percuma pula tu adalah parking sementara (tapi macam tetap je) di tepi jalan Balai Ketibaan ERL (di kawasan ada RHB Bank, Starbucks, Subway, Kenny Roger's Roaster & Secret Recipe tu). Cuma agak terbuka dan terdedah kepada cuaca.
(Kemaskini 15 Mac 2015: Jangan parkir di kawasan ini, kerana sekarang ia kawasan larangan parkir motorsikal, jika parkir juga, akan disaman oleh Polis atau DBKL). Ada lagi di hadapan bangunan MIDA, SSM & Axiata (selepas susur ke Bukit Persekutuan/Muzium Negara/Jalan Mahameru, kira seberang bekas Balai Polis Jalan Travers). Kena bayar RM1.00 sahaja, tetapi masih terbuka. Satu lagi pilihan adalah parking di bawah Suasana Sentral. Percuma tertutup pula tu, cuma sunyi. Jadi pilihlah di mana anda mahu parkirkan motorsikal anda, atau naik sahaja pengangkutan awam yang ada, atau kalau naik kereta, parkir di parkir kereta (pilhan terakhir saya).  

Alhamdulillah dapat beli tiket Padang Besar ke Hatyai tapi Hatyai ke Padang Besar kena beli di Padang Besar atau Hatyai pasal ia tiket jarak dekat dan kurang 24 jam jadi tak boleh beli di KL Sentral, kena beli di mana-mana stesen tersebut. Kalau begitu rasa nak beli di Hatyai.

Tiket keretapi KTM dari Padang Besar ke Hat Yai.

Solat Isyak berjemaah di surau KL Sentral pada pukul 20:45 (8:45 malam) dan kemudian terus ke Pintu A (jam 21:00 / 9:00 malam) untuk menunggu masuk. Boleh tahan ramai. Jam 21:15 (9:15 malam) pintu dibuka dan jam 21:35 (9:35 malam) (sepatutnya tren bergerak 21:30 (9:30 malam)) roda keretapi Senandung Langkawi pun bergerak. 

Di Pintu Pelepasan A di KL Sentral.

Di tempat duduk dalam keretapi.

Gambar tempat duduk.

Gambar koc.


Peta perjalanan.

22/02/2014 (Sabtu)

Pasal Tren 20 Senandung Langkawi ini satu-satunya keretapi ke Hatyai dari KL dan malam pula tu, lebih baik tidur. Tapi kerana menaiki keretapi maka tidak berapa nyenyak. Banyak stesen berhenti, terjaga juga tapi tak lah bangun terus. Cuma yang pasti bila sampai di Bagan Serai pukul 04:00 (4:00 pagi) kerana berhenti agak lama. Juga berhenti di Bukit Mertajam  (BM) kali pertama jam 05:00 (5:00 pagi). Kira on time juga la. Untuk pengetahuan, keretapi Senandung Langkawi ini akan singgah BM dua kali kerana pertamanya tren akan singgah ke Butterworth dulu (kerana trek ke sini adalah trek cabang bukan trek utama) kemudian patah balik BM untuk kembali ke trek utama. Pukul 05:35 (5:35 pagi sampai ke Butterworth, keluar sekejap pasal berhenti lama juga di sini. Lama tak lihat stesen ni, dulu macam cikai sahaja, sekarang dah besar, selepas projek trek berkembar dilaksanakan, stesen-stesen pun diperbesarkan & dimodenkan. Alhamdulillah.


Oleh kerana azan Subuh berkumandang di iPhone5 ni pukul 06:20 (6:20 pagi) di antara Butterworth dan BM, maka solatlah secara duduk di dalam keretapi atau kapal terbang (insya Allah akan saya kongsikan kaedahnya). Wuduk pun menggunakan spray sahaja, tak perlu basah-basah lantai tren.



Perjalanan diteruskan, BM, Sungai Petani (kedua-duanya masih gelap ketika sampai). 07:30 (7:30 pagi) sampailah di Gurun, stesen pertama yang suasana dah terang. Cantik permandangan Gunung Jerai. Stesen pun cantik (belum siap sepenuhnya). Maaf tak sempat ambil gambar pasal iPhone tengah caj ketika ini. Cuma trek masih single lagi. Lambat juga proses pembinaan. Rasanya 2 setengah tahun lepas kali terakhir ke pekan Gurun ni pun dah mula (lebih awal lagi) kerja pembinaan.




Jam 08:00 (8 pagi) dah sampai di Alor Setar. Stesen lama kelihatan rendah dari stesen baru. Tapi alhamdulillah, stesen lama ni tak diruntuhkan. Selamat satu lagi khazanah negara







Jam 9:00 pagi pula sampai di Arau. Dapatlah lihat Masjid Negeri Perlis & Istana Arau dari dalam keretapi. Permandangan sawah padi dari Gurun hingga Bukit Ketri (lepas Arau sebelum sampai Padang Besar) memang cantik. Syukur ke hadrat Allah, permandangan cantik... Subhanallah, alhamdulillah, Allahu akbar. Musim lepas menuai, ada yang telah dibakar. Cuma permandangan di sini tak sejauh nun mata memandang bendang padi (kata orang Utara nooo) berbanding sawah padi di Tanjung Karang hingga Sungai Besar. Tapi lain tempat lain permandangannya, di sini unik tak sama dengan di Tg Karang - Sg Besar.


Permandangan unik Perlis pun amat menarik. Tak perlu ditulis, biar video menjadi saksi. Malah rasa macam musim luruh di negara 4 musim pula, bila melihat ladang getah yang teratur, pokoknya ada yang gondol dan ada yang daunnya perang...







Pukul 09:25 (9:25 pagi) dah sampai ke stesen Padang Besar. Keluar keretapi terus ke imigresen Malaysia, scan & minta pegawai imigresen cop buat kenangan (tak payah cop sebenarnya tapi saja minta, pasport pun banyak kosong (ada 28 muka lagi) & nak tamat tempoh lagi 10 bulan).








Selesai, ke imigresen Thai lak, tak jauh selang 10 meter je. Satu je tak berapa suka imigresen Thai ni, dah la suruh kita isi borang Ketibaan/Berlepas (Arrival/Departure) dulu tapi tak diletaknya borang, kena minta pula. Tak de masalah tapi selepas habis prosedur, main campak lak pasport. Sabar je. Cuma diingatkan, bahawa borang Berlepas (Departure) perlu disimpan agar semasa kita keluar kembali tidak jadi masalah. Alhamdulillah di Padang Besar ini (juga di Khuan Don/Wang Prachan (Wang Klian,Perlis), (Sungai Kolok (Rantau Panjang, Kelantan) & Tak Bai (Pengkalan Kubor, Kelantan)) borang ini akan dikepil (staple) sekali, tetapi pengalaman saya di Sadao/Dan Nok (Bukit Kayu Hitam, Kedah), ia tidak dikepilkan. Jadi jagalah agar kurang masalah bila di kaunter imigresen. Mahu nanti tak masuk Malaysia balik, hendak ke? Saya tak nak... Malaysia tetap tanah airku... 


Lepas tu, ada akak orang Siam bertudung, regular kat sini kot, offer jadi money changer tukar RM (Ringgit Malaysia) kepada ฿  (Thai Baht). Saya tanya berapa banyak dapat kalau tukar RM100? Dia tunjuk calculator nombor 970. Makna RM100 dapat ฿ 970. Ok la dari kat KL Sentral survey masa sebelum pergi RM100 dapat ฿ 945. Tapi tak boleh lawan yang dapat masa tukar kat Pekan Siam Padang Besar masa melawat guna kereta masa Tahun Baru Cina pada 02 Februari 2014 yang lepas, dapat ฿ 982 bagi RM100. Last-last aku tukar RM50, dapat ฿ 490 (untung ฿ 5, hehehe, alah 50 sen je nilainya)...









Makan dulu di tingkat atas, makan nasi lauk daging dan telur dan air suam, RM4.50 je. Ingat mahal, pasal biasa makan kat stesen keretapi agak mahal.





Kejap di kawasan Malaysia...


Kejap di kawasan Thailand...



Sambil tunggu juga tunggu tren nak gerak masuk ke Thailand... Di platform sebelah Tren 35 Ekspres Antarabangsa dari Bangkok ke Butterworth pun sampai...



Sambil tu tertangkap la gambar pekan Padang Besar Malaysia dari celah-celah gerabak kontena & Kompleks CIQS (Malaysia) Padang Besar...


Ingat nak beli tiket balik Hat Yai ke Padang Besar untuk perjalanan petang tu di stesen Padang Besar ni, tapi 1. tak jumpa pula kaunter tiket (maklum la pertama kali di stesen ni...), 2. ada orang kata semasa menunggu tren ke Thailand, harga tiket di Thailand lebih murah. Ahh... Beli kat Hat Yai lah...



Oklah, untuk cerita mengenai perjalanan masuk ke Thailand pula sila tunggu... Ia akan bersambung ke Bahagian 2...

Untuk lihat itinerari 

If want to read in English: 

Kembara GD - Salam Perkenalan...

Click here for English version.


 Gambar profil saya di hadapan Masjdil Haram semasa menunaikan haji pada tahun 1434H/2013M.


Assalamualaikum, saya Abdul Hadi As'ad bin Mohamad, juga di kalangan sahabat-sahabat mengenali saya sebagai GD. Sejak kecil, saya mempunyai minat untuk mengembara. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan, terutama selepas saya menunaikan haji, barulah saya diberi kesempatan untuk mengembara di luar Malaysia. Sebelum itu, alhamdulillah, saya telah mengembara ke hampir ke seluruh Malaysia.




Visa Haji tahun 1434H/2013M dan cop pasport Arab Saudi untuk musim haji.

Selepas saya menonton drama web Kali Pertama di saluran Tonton Original Movie di Tonton (bukan apa, suka tengok pelakon Hanis Zalikha ni, suka je tengok lakonan je tau, tak lebih dari itu), terdetik hati saya untuk membuat blog khas tentang pengembaraan atau perlancongan untuk perkongsian bersama dengan sahabat yang membaca. Dulu hanya membaca blog-blog untuk mendapat maklumat untuk penyelidikan tentang pengembaraan atau perlancongan yang bakal dibuat. Rasa asyik guna sendiri sahaja, seperti penting diri sahaja saya ni.


Screen shot dari Tonton untuk webdrama Pertama Kali lakonan Anis Zalikha.

Jadi inilah catatan bagi sebahagian kembara saya sejak akhir Februari 2014 (bagi sebelum itu, maaf tidak dapat dikongsikan, namun jika ada kesempatan, insya Allah akan dikongsikan.).

Selamat membaca, sudi-sudikan menghayati dan memberikan/berkongsi maklumat serta mengwarwarkan dengan orang lain, blog kembara ini.


Inilah bingkisan saya melalui Travel Blog saya. 


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Click here for English version.