Hari 1 - 14 Januari 2016 (Khamis).
Pada hari ini, saya mengambil kerja separuh hari. Saya sampai di rumah pada pukul 12:00 tengahari, saya segera pulang ke rumah dan segera menyiapkan diri untuk pergi. Isteri saya dan salah seorang kakaknya, yang kami panggil Kak Yah, sudah siap. Cuma menunggu saya sahaja.
Setelah selesai bersiap, di samping menyiarkan catatan pra kembara bagi perjalanan ini, maka kami pun bergerak dari rumah dengan menaiki kereta ke rumah mertua Kak Yah yang terletak di Putrajaya di mana seorang lagi kakak ipar saya, Idah, menunggu di sana. Sampai di sana, saya meletakan kereta kami di rumah mertua Kak Yah dan menukar kereta ke kereta bapa mertua Kak Yah yang mana beliau akan menghantar kami ke klia2.
Akhirnya beberapa minit sebelum pukul 2:00 petang, tibalah kami di balai berlepas klia2. Nasib baik kami telah mendaftar masuk melalui web dengan lebih awal. Jadi kami segera melalui pintu berlepas untuk membuat prosedur imigresen keluar Malaysia melalui auto-gate dan kemudian imbasan kastam. Kami melalui jambatan udara klia2 yang terkenal itu, kerana pintu pelepasan kami adalah di pintu Q9. Sampai di sayap Q klia2, kami diperiksa oleh polis bantuan Malaysia Airport Berhad, seterusnya kami ke surau untuk solat dahulu.
Usai solat kami ke pintu pelepasan dan kebetulan, ia baru dibuka untuk masuk ke dalam pesawat. Kami masuk ke dalam pesawat. Setelah berada di dalam pesawat, penerbangan terpaksa dilewatkan kerana terdapat penumpang yang telah mendaftar masuk tetapi tidak melapor diri untuk masuk ke pesawat. Jadi perlu mengeluarkan bagasinya. Akhirnya pada pukul 3:10 petang, barulah penerbangan AirAsia AK522 yang menggunakan pesawat 9M-AHJ berlepas meninggalkan klia2 menuju ke Bandaraya Ho Chi Minh yang juga dikenali sebagai Saigon.
Carta perjalanan penerbangan AK 522 pada 14 Januari 2016 (daripada FlightRadar24).
Pesawat kami mendarat di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, Saigon (SGN) pada pukul 4:30 petang waktu Vietnam (UTC +7, sejam lewat dari waktu Malaysia). Kami keluar dari pesawat dan terus menuju ke kaunter imigresen Vietnam untuk prosedur masuk ke Vietnam.
Cop imigresen masuk ke Vietnam melalui
Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.
Agen teksi, kad SIM dan sebagainya sebaik selepas pemeriksaan kastam Vietnam.
Selepas kami semua selesai prosedur imigresen, kami menuruni untuk melalui kawasan pengambilan bagasi dan kaunter kastam untuk ke balai ketibaan. Selepas kaunter kastam, terdapat beberapa kaunter yang menjadi ejen kepada teksi atau pelbagai perkhidmatan pelancongan serta menjual kad SIM. Melangkah keluar ke balai ketibaan, terdapat ramai yang menunggu di sini. Balai ketibaan di SGN ini merupakan kawasan terbuka tanpa penghawa dingin.
Ramai yang menunggu di balai ketibaan SGN.
Terdapat sebuah kaunter menjual kad SIM dan alat telekomunikasi di sebelah kanan pintu ketibaan.
Kami mengambil ke arah kanan untuk ke perhentian bas. Sebelum itu terdapat juga sebuah kaunter yang menjual alat komunikasi dan juga kad SIM. Harga di sini lebih baik dari kaunter-kaunter di dalam. Cuma di SGN ini tidak terdapat kaunter yang dikendalikan terus oleh syarikat tekomunikasi. Sebenarnya, lebih baik beli terus dengan syarikat telikomunikasi di Vietnam ini untuk harga lebih baik. Jadi saya tidak membelinya di situ.
Kami terus menuju perhentian bas yang tidak jauh dari tempat kami keluar dari pintu balai berlepas tadi. Dari situ, sudah nampak bas-bas bandar yang sedang parkir. Kita perlu menyeberang untuk ke "pulau" bagi ke perhentian bas ini.
Bas henti-henti nombor 152 Saigon.
Kami menaiki bas yang parkir di hadapan dan duduk di tempat duduk di dalam bas ini. Tidak lama kemudian, bas ini mula untuk bergerak. Sambil bas ini bergerak menuju ke terminal domestik dan seterusnya ke pusat bandar, konduktor bas ini bergerak kepada setiap penumpang untuk mengambil wang bagi bayaran tambang. Tambang bagi bas ini adalah ₫5000 (+- RM1.00) bagi setiap orang. Memandangkan kami cuma membawa beg galas (backpack) maka tiada bayaran tambahan. Terdapat juga penumpang yang membawa beg tarik atau beg besar, mereka ini dikenakan tambang tambahan dari ₫5000 mengikut saiz beg. Jadi sebaik-baiknya bawa beg galas sahaja. Majoriti yang menaiki bas ini merupakan penumpang penerbangan yang tiba di SGN.
Tiket bas nombor 152 dari SGN ke pasar Ben Thanh (₫5000 (+- RM1.00)).
Jalan raya menuju ke arah pusat bandaraya agak sesak juga, penuh dengan kenderaan terutamanya motorsikal. Maklumlah, ketika ini adalah waktu orang pulang dari kerja. Atau sebenarnya, memang Saigon ini memang sentiasa sesak pada waktu siang. Juga, bandaraya Saigon ini memang terkenal dengan motorsikalnya, sehingga dikenali sebagai Bandaraya Motorsikal. Setelah hampir 40 minit perjalanan, akhirnya sampai juga kami di stesen bas Ben Thanh.
Peta: Perjalanan dari SGN ke pasar Ben Thanh.
Peta: Berjalan kaki dari stesen bas Ben Thanh ke hotel Mifuki Inn.
Dari stesen bas Ben Thanh, kami berjalan kaki kira-kira hampir 300 meter untuk ke hotel kami. Hotel kami iaitu Mifuki Inn terletak tidak jauh dari pasar Ben Thanh. Asalnya kami masuk ke hotel sebelahnya iaitu Mifuki Hotel untuk mendaftar masuk, rupanya salah hotel. Kami perlu ke sebelahnya. Walaupun pemilik yang sama, tetapi tempat penyambut tetamunya berlainan, maklumlah standard yang berbeza. Mifuki Hotel lebih kepada taraf sederhana, manakala Mifuki Inn lebih kepada penginap bajet.
Di kaunter penyambut tetamu Mifuki Inn, saya menyerahkan cetakan emel tempahan Hotels.com saya. Diminta pasport kami semua untuk diambil gambar bahagian maklumat diri dan cop masuk imigresen Vietnam, kemudian diserahkan kepada kami semula. Seterusnya, kami diberikan kunci bilik kami. Dapat dilihat kadar walk in ke hotel ini lebih mahal berbanding tempahan melalui internet. Juga di lobi hotel ini, terdapat juga kaunter khas untuk perkhidmatan perlancongan. Paling bagus, terdapat alat timbang dan tempat pembungkusan barang juga di lobi hotel. Bagus sekali.
Kami menaiki lif yang agak kecil, cukup-cukup kami berempat dan beg galas kami. Bilik diberikan berada di tingkat 8 iaitu tingkat atas sekali. Kami dapat 2 bilik yang bersebelahan, mudah bagi kami untuk bertemu. Bilik yang diberikan agak selesa juga dan mempunyai kemudahan yang agak lengkap. Terdapat juga peti ais kecil, jag pemanas ais dan televisyen yang lengkap televisyen kabel. Terdapat lebih 70 buah saluran, namun majoritinya adalah saluran teristarial Vietnam (berbahasa Vietnam). Nasib baik saluran antarabangsa tidak "bercakap" dalam bahasa Vietnam.
Permandangan di bilik kami agak baik juga. Terdapat tingkap yang membolehkan kami melihat suasana luar. Namun bagi bilik kakak-kakak ipar saya, tiada tingkap pula. Ada pro dan kontranya. Jika ada tingkat, agak bising juga kerana kami berada berhampiran dengan pusat bandar iaitu kawasan bulatan Ben Thanh.
Satu lagi, plug soket elektrik di Vietnam berbeza berbanding di Malaysia. Seperti biasa, saya membawa penyuai soket yang dibawa dari Malaysia. Jika tiada, mungkin kena cari penyuai di kawasan sekitar.
Soket plug di Saigon.
Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Mufuki Inn Hotel
ke Jalan Nguyen An Ninh (Malaysian Street).
Seterusnya, setelah solat, kami pun ke Jalan Nguyen An Ninh yang juga biasa disebut sebagai Malaysian Street untuk makan malam. Rupanya sudah terdapat restoran bertemakan Malaysia yang halal. Malah Hajah Basiroh juga mempunyai beberapa kedai makan, yang mempunyai standard yang berbeza. Kami ke kedai yang di hadapan restoran yang asal yang harganya paling murah. Kedai Makan Hajah Basiroh yang kami makan ini tiada mempunyai penghawa dingin. Kami makan set nasi dengan ayam atau ikan atau telur sahaja, kerana faham-fahamlah, walaupun paling murah, makanan halal di Saigon ini agak mahal. Jumlah harga makanan kami adalah ₫220 000 (+- RM44.00), bermakna setiap orang harga makanannya adalah RM11. Terima kasih Kak Yah kerana belanja kami.
Selepas makan malam, kami berjalan-jalan sekitar namun pasar malam belum buka lagi. Sambil itu Idah membelanja kami air kopi ais yang berharga RM3.00 setiap satu. Boleh bayar dengan Ringgit Malaysia, malah lebih baik, kerana jika bayar dengan Dollar Amerika Syarikat, ia berharga US$1.00 (+- RM4.20) dan dengan Dong Vietnam, ia berharga ₫20 000 (+- RM4.00). Jadi kami pulang ke hotel sehingga kami datang semula ke tempat yang sama pada pukul 8:00 malam setelah pasar malam Ben Thanh dibuka sepenuhnya. Semasa perjalanan pulang sempat saya beli air mineral botol untuk bekalan minuman.
Resit belian barang di Circle K.
Susunan kelapa muda di pasar malam Ben Thanh.
Pada pukul 8:00 malam, kami pun pergi semula ke kawasan pasar Ben Thanh dan pasar malam sudah dibuka. Saya tidak membeli apa-apa barang-barang pada malam ini, kerana saya akan membelinya pada malam terakhir. Sebaliknya kakak-kakak ipar saya mula membeli-belah dengan giatnya. Biasalah wanita. Jadi saya tinggalkan mereka, kerana mereka sudah tahu jalan untuk ke hotel. Bukan jauh mana. Jadi sempat saya berpusing-pusing sekitar pasar malam. Banyak juga perkara yang menarik perhatian, terutama kelapa muda yang dikupas seperti kubah masjid dan disusun cantik.
Dewan Bandaraya Saigon pada waktu malam.
Dataran Bandaraya Saigon pada waktu malam.
Untuk mengisi masa, saya berjalan menuju ke Dewan Bandaraya Saigon, yang kena berjalan jauh sedikit. Semasa kunjungan saya sebelum ini pada Oktober 2014, kawasan Dataran Bandaraya Saigon di hadapan Dewan Bandaraya ini ditutup kerana proses pengubahsuaian. Kali ini ia sudah siap. Sebenarnya tujuan saya adalah untuk membeli kad SIM, kerana terdapat pejabat cawangan sebuah syarikat telekomunikasi, Mobifone, di kawasan dataran ini, namun saya tidak menjumpainya. Lagipun sudah malam, rasanya sudah tutup. Sambil-sambil itu, saya ambil kesempatan untuk mengambil gambar dan bersiar-siar. Dapatlah saya menangkap tugu "Pakcik Ho" iaitu Ho Chi Minh, presiden pertama Vietnam. Ramai juga orang pada waktu malam di dataran ini. Suasana pun agak meriah. Memang sesuai untuk bersantai pada waktu malam di sini.
Setelah itu, saya pulang ke hotel untuk berehat dan kemudian tidur...
Jika mahu lihat catatan:
- Pra Kembara;
- Itinerari; atau
- Hari 3.
If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1 (this part);
- Day 2; or
- Day 3.