Khamis, 18 Jun 2015

Hari 1 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - Terbang Ke Benua Kecil India.

Dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 




30 April 2015 (Khamis)

Eh, sudah hari Khamis lah... Sekejap sahaja sudah tiba hari yang dinanti-nantikan ini. Hari ini saya mohon cuti. Asalnya ingat nak separuh hari sahaja, tapi rasa tidak hendak tergesa-gesa, maka saya ambillah cuti. Lagipun cuti rehat tahunan banyak lagi, belum kira cuti gantian lagi (kerana bertugas hari Sabtu dan Ahad). Pagi ini saya dan isteri mengemas-ngemas beg pakaian kami. Namapun kembara backpacking jadi kami kemas beg galas sahaja la. Tiada beg-beg tarik. 

Oleh kerana Malindo Air ada berikan elaun bagasi sebanyak 20 kg seorang (jadi 40 kg jika digabung) maka kami bawa 3 beg galas! Dua buah beg galas saiz besar (20 liter ke atas) dan satu daypack yang akan dijadikan bagasi kabin. Kena ada juga bagasi kabin (yang dibawa naik sendiri ke kabin kapal terbang), pasal biasalah di lapangan terbangkan ada pemeriksaan keselamatan, terutama di klia2, siap kena buka tali pinggang dan kasut (jika pakai kasut berjenama, kerana ada tetulang besi). Jadi senang, satukan semua benda dalam beg, dan tak perlu susah bersepah di dalam dulang.

Kami bergerak dari rumah pada jam 2:30 petang selepas menghantar anak sulung kami ke sekolah agama. Kami ke klia2 dengan menaiki skuter sahaja. Bukan apa, mudah dan tidak renyah. Lagipun bayaran parkir klia2 untuk motorsikal cuma RM1/hari/masuk je. Skuter mudah, beg-beg galas kami diletakan di tempat letak kaki penunggang di depan. Dengan menaiki Lebuhraya MEX dan Lebuhraya ELITE, dalam masa kurang sejam, sudah sampai di klia2. Bahan api pun rasanya baru pakai dalam RM6.00. Nanti pulang baru tahu berapa digunakan.

Semasa di Lebuhraya ELITE, kami singgah dahulu di R&R Dengkil arah selatan, kerana kami hendak alas perut sahulu. Setelah 30 minit, kami sambung perjalanan. Akhirnya sampai juga klia2 pada jam 4:00 petang. Macam biasa, parkir sahaja di parkir motorsikal di Aras 1 bangunan parkir gateway @ klia2, naik ke Aras 4 bangunan parkir gateway @ klia2, untuk ke Aras 2 bangunan terminal klia2 seterusnya ke Balai Berlepas di Aras 3 bangunan terminal klia2.


Masuk sahaja kami ke balai berlepas, kami melihat paparan skrin besar, melihat maklumat yang perlu. Untuk daftar masuk/drop bag kami perlu ke barisan W dan pintu perlepasan kami di L9. Kami ke barisan W untuk drop bag. Alhamdulillah, sudah masuk untuknya, setelah itu kami terus beransur ke pintu masuk ke perlepasan antarabangsa dan membuat prosedur imigresen (imbas pasport) dan kastam. Senang sahaja, guna autogate dan terus ke pemeriksaan kastam.


Selepas itu, kami pun ke sayap L untuk meneruskan perjalanan ke pintu perlepasan L9, namun agak awal lagi. Lagipun mengikut pengalaman saya, ruang di sayap L ini agak membosankan. Terus kami ke kedai farmasi Caring Pharmacy, untuk membeli beberapa ubat-ubat yang tertinggal, terutama pil herba untuk cirit-birit atau sakit perut, maklumlah, India memang dikenali kebanyakan pelancong, setelah kembali, perut mereka akan mengalami ketidak selesaan. Namun baru perasan yang saya terlupa hendak mengeluarkan wang di mesin ATM CIMB. Sepatutnya saya mengeluarkannya di balai berlepas kerana terdapat mesin ATM CIMB di situ, namun tidak boleh ke sana kerana sudah membuat urusan imigresen.

Namun teringat pula saya yang di Bangunan Satelit (di antara sayap P dan Q) terdapat juga banyak mesin ATM termasuk CIMB. Berjalanlah kami ke sana, lagipun lambat lagi, ada sejam lebih lagi. Setelah dapat keluarkan wang, kembali ke sayap L (jauh juga berjalan, bersenam sebelum mengembara).

Apabila sampai ke pintu pelepasan L9, tetapi dimaklumkan bahawa penerbangan OD0205 telah ditangguhkan selama 2 jam. Jadi kami kembali semula ke Bangunan Satelit untuk makan di Popeye Louisiana Kitchen. Selepas itu, untuk mengisi masa, kami ke ruangan wayang gambar (movie lounge), dapatlah tengok sebuah cerita dari awal hingga habis (saya lupa cerita apa). Apabila jam penunjukan pukul 7:15 malam, kami pun perlahan-lahan kembali ke pintu perlepasan L9.



Saya terus ke surau untuk menunaikan solat maghrib dijamakan dengan isyak, risau tidak sempat. Usai solat, kembali ke pintu L9 di mana isteri saya menunggu, dia memaklumkan kepada saya bahawa penerbangan tangguh lagi sejam, pukul 9:05 malam baru berlepas. Pihak Malindo Air ada memberikan segelas kecil air minuman dan sebungkus biskut. Oklah walaupun saya sebenarnya merasakan boleh sahaja dapat lebih baik lagi. Dalam hati saya juga berdoa agar kalau nak tangguh, biar lebih 6 jam, agar dapat pampasan dari pihak syarikat penerbangan dan syarikat takaful, huhuhu. Lagipun kalau bertolak jam 9 malam bermakna kami akan sampai pada tengah malam, agak payah juga logistik pada masa itu.


Maka menunggulah kami menantikan kemasukan kami ke dalam pesawat. Sambil itu, di atas kaunter, terdapat borang imigresen dan kastam India untuk kegunaan kami. Maka saya ambil dan isikan untuk kedua-dua kami.


Pada masa menunggu itu, terdapat kekecohan berlaku sehingga pihak polis bantuan Malaysia Airport Berhad perlu hadir untuk mententeramkan keadaan. Ia dimulakan oleh sebahagian penumpang warga India dan merebak kepada beberapa orang lain (warga India juga), risau pula petugas Malindo Air kerana pada masa itu, petugasnya kesemuanya wanita. Rupa-rupanya mereka tidak berpuas hati atas penangguhan penerbangan ini, menyebabkan mereka terlepas penerbangan sambungan. Bagi saya begitulah risikonya jika hendak cari murah tapi berlainan penempahan. Sebaiknya, kita perlu beli penerbangan sambungan di dalam satu tempahan agar tidak rugi sepenuhnya, biasa pihak penerbangan akan menggantikan penerbangan sambungan terlepas. Kalau ke berbeza tempahan, maka yang terlepas itu kena ucapkan selamat jalanlah, jika ada insurans, bolehlah tuntut, jika tiada maka perlu dihalalkan, kerana ia silap kita. Begitulah, kita tidak perlu cari murah sangat tanpa mengira kesannya. Akhirnya kekecohan itu berakhir tapi tidak sepenuhnya. Dalam hati mereka tetap sentap, agaknya mereka takut masuk penjara. Sewajarnya orang-orang ini perlu belajar peribahasa "Di Mana Bumi Terpijak, Di Situ Langit Di Junjung".


Akhirnya pada jam 8:50 malam, pihak Malindo Air, telah membuka pintu pelepasan untuk penumpang-penumpang masuk. Yang bagusnya, pihak mereka memanggil kami dulu masuk. Yang lagi sukanya, tempat duduk kami di hadapan sekali di kelas ekonomi. Kira luas sedikit. Alhamdulillah. Sementara orang tiada, bolehlah kami ambil gambar kelas perniagaan di depan kami.



Penerbangan ini sebenarnya dipenuhi kira-kira 90 peratus oleh warga India. Boleh kiralah warga Malaysia dan negara lain. Warga India ini agak sombong walaupun beberapa kali saya cuba hendak memulakan perbualan. Cuma hendak dekat-dekat sampai ke Delhi barulah orang sebelah saya ini hendak berbual. 

Nasib baiklah penerbangan ini dibekalkan dengan makanan panas (ia PERCUMA macam penerbangan bukan tambang murah lain, jika AirAsiaX, jangan harap dapat, kena beli). Lega la pasa penerbangan ini lima setengah jam lamanya, mahu kebulur kalau tidak makan. Lagipun tiada pula pilihan makan semasa mengurus itinerari penerbangan di dalam laman sesawang Malindo Air. Namun kali ini seakan tiada pilihan, hanya diberikan makanan jenis vegetarian sahaja. Dapatlah nasi basmathi dengan kuah dal dan sayur bendi, ngap sahaja la. Air dan biskut juga diberikan, tapi saya simpan sahaja, pasal sebenarnya perut agak penuh juga. Saya ini jika mengembara, selera pun kecil (perut pun mengecil hahaha).


Di dalam penerbangan Malindo Air pesawat Boeing 737-800 ini mempunyai sistem hiburan dalam penerbangan (In Flight Entertaiment (IFE) system), jadi boleh la kita dihiburkan dan tidak termenung atau baca majalah sama berulang kali. Cuma pilihan agak terhad kepada beberapa tayangan wayang gambar dan permainan sahaja dan tiada lain-lain seperti lagu, radio dan sebagainya. (Peringatan juga, jangan lupa bawa sendiri earphone  atau headphone untuk menikmati sistem IFE ini. Pada penerbangan ini tiada pula ditawarkan untuk menyewanya, tapi pada sebelum ini, sewaan headphone adalah sebanyak RM15). Tapi ada maklumat dan peta penerbangan sudah baik untuk saya. Setelah keadaan mulai senyap (warga India ini agak kuat bercakap, menyebabkan kita kurang selesa), barulah saya boleh cuba melelapkan mata dengan memadamkan sinar cahaya IFE.


Akhirnya setelah lima jam penerbangan (dan setelah tiga jam tidur), maka pengumuman pramugari mengatakan penerbangan akan tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi, India (DEL) tidak lama lagi. Keadaan agak gelap kerana pada waktu itu adalah pada pukul 11:45 malam waktu India (2:15 pagi waktu Malaysia). Sempatlah berborak dengan jiran sebelah saya. Dia boleh pula ucapkan selamat bercuti kepada kami tapi dengan muka sinis. Tahulah kami datang waktu salah, iaitu waktu panas. Tapi saya rasa ada hikmahnya.



Tepat jam 12:00 tengah malam, maka mendaratlah pesawat kami di landasan DEL. Alhamdulillah. Pesawat ini akhirnya sampai di terminal, dan kami keluar menuju ke aras ketibaan. Agak besar juga Terminal 3 DEL ini, mungkin kerana persediaan untuk Sukan Komanwel pada tahun 2010 yang lepas.


Satu yang menarik hati saya ketika tiba di lapangan terbang DEL ini, adalah tandasnya, memaparkan imej lelaki India untuk tandas lelaki dan wanita India untuk tandas wanit, seperti di bawah ini. Menarik dan kreatif. Menunjukan juga budaya dan identiti India.



Setelah selesai menyelesaikan urusan yang tertangguh di dalam pesawat, maka kami berjalan menuju ke balai pemeriksaan imigresen. Sambil-sambil itu, ambil gambar di tempat yang "wajib" ambil apabila sampai di lapangan terbang New Delhi.


Itu baru di pintu masuk. Selepas itu, semasa menuruni dengan eskalator, maka sampai juga di balai imigresennya. Ternampak hiasan-hiasan berupa tangan di atas kaunter-kaunter imigresen. Tangan-tangan tersebut adalah "mudra" iaitu ekspresi tangan-tangan penari semasa menari tarian India klasik. Setiap satunya mempunyai maksudnya.


Agak ramai juga yang beratur di kaunter-kaunter imigresen ini. Agaknya kerana pada masa ini merupakan masa puncak penerbangan antarabangsa. Kaunter-kaunter untuk rakyat tempatan dipisahkan dengan warga asing. Rupa-rupanya, rakyat tempatan juga perlu mengisi borang untuk masuk kembali ke negaranya, cuma borangnya agak lain. Nasib baik kami telah mengisi borang awal-awal, terus beratur.

Akhirnya dalam lima belas minit beratur dan dalam kurang lima minit di kaunter imigresen (kami suami isteri ke kaunter bersama), maka kami menerima cop pasport imigresen India pada visa India kami, menandakan secara rasmi kami telah masuk ke dalam India secara sah. Cantik juga cop pasport India yang baru ini.


Seterusnya kami terus menuju ke tempat mengambil bagasi-bagasi kami. Di antara kaunter imigresen dan tempat mengambil bagasi, terdapat kedai bebas cukai, tapi kami teruskan perjalanan, takut terbeli pula, huhuhu.


Rupa-rupanya, tali sawat tempat mengambil bagasi telah tidak bergerak dan bagasi-bagasi kami telah diletakan di atas lantai. Kami ambil sahaja beg-beg kami dan terus melalui lorong hijau kastam dan kami telah berada di dewan ketibaan.

Kelihatan keadaan di sini masih hidup walaupun sudah pukul 12:45 tengahmalam. Ini termasuk juga barisan-barisan kiosk-kiosk yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Terdapat tiga kiosk yang menawarkan jualan kad SIM yang iaitu airtel, Aircel dan Vodafone India. Kiosk Aircel dan Vodafone terletak di sebelah kiri manakana airtel terletak di sebelah kanan pintu keluar dari lorong kastam.



Kami menuju ke kiosk airtel dan bertanyakan berapa harga untuk pek permulaan. Harganya 600! Bersamaan RM36.00! Agak mahal juga, walaupun ia termasuk 500Mb data. Tapi macam mana kami terus beli tanpa ke kiosk Aircel dan Vodafone. Mungkin saya mendapat tahu bahawa liputan airtel adalah terbaik di India. Tapi perlu ingat, sistem telefon tanpa wayar di India tertakluk kepada circle atau kawasan-kawasan yang ditetapkan. Jika keluar dari circle dan masuk ke circle  lain, maka dikira sebagai merayau (roaming) dan ada caj perayauan antara circle, tapi tidaklah mahal. Ini hanya tertakluk kepada perkhidmatan suara dan mesej (SMS dan MMS) dan tidak data. Perkhidmatan data dilitupi seluruh India asalkan mengggunakan penyedia perkhidmatan yang sama.

Jadi sediakan pasport anda untuk mereka fotostat (jika boleh bawa siap-siap, mana tahu mereka tiada mesin fotostat atau rosak) dan juga sediakan juga sekeping gambar pasport anda untuk pendaftaran bagi setiap satu talian. Pek prabayar airtel didatangkan dalam format nano SIM iaitu untuk iPhone5 ke atas, tapi terdapat penyuai kad SIM bagi saiz mini (biasa) dan mikro. Mereka amat baik untuk memasukkan kad SIM ke dalam telefon, tapi bagi saya tidak perlu, kerana mereka agak kasar, sehinggakan apabila hendak pulang, pembaca kad SIM isteri saya patah (kerana petugas ini telah memotong kad SIM isteri saya kerana tidak masuk katanya).

Satu lagi, perkhidmatan atau isyarat tidak dapat dengan serta-merta. Ia perlu ditunggu sehingga sehari baru ia boleh diaktifkan. Bagi kes kami, ia akan diaktifkan pada jam 11:00 paginya dengan menelefon nombor 59059 untuk tujuan pengesahan, baru ia diaktifkan. Itu sebab saya kata tidak perlu bagi petugas itu memasukan kad SIM pada masa itu. Lupa saya hendak memaklumkan, bahawa di India ini, anda kena faham maksud Bahasa Inggeris orang-orang di sana, di mana tidak semuanya fasih. Satu lagi, anda jangan berslang orang Amerika atau British sangat. Nanti anda juga yang susah.



Setelah selesai, kami pun keluar dari balai ketibaan ini untuk mencari pengangkutan. Nasib baik saya di kawasan sini terdapat WiFi, maka saya dapat mencari maklumat tentang bas. Perkhidmatan Metro Delhi sudah tamat pada pukul 11:30 malam. Jadi saya perlu mencari di mana bas bernombor Exp 4 untuk ke stesen keretapi New Delhi.


Keadaan suhu di kawasan ini seperti sama sahaja di Kuala Lumpur. Menarik lagi, terdapat anjing-anjing bebas berkeliaran di kawasan luar balai ketibaan ini. Cuma, anjing-anjing di sini jenis tidak kacau orang, malah buat hal sendiri. Kira tengah-tengah antara anjing Malaysia dan Thailand (anjing di Thailand amat mesra orang pula). Akhirnya sampai juga ke tempat menaiki bas setelah bertanya-tanya beberapa orang (tidak semua boleh bercakap Bahasa Inggeris, itu masalahnya). Cuma kami sebenarnya hampir terlepas, dan kami masuk ketika bas hampir penuh. Alhamdulillah, dapat juga naik.



Bas kami meninggalkan lapangan terbang menuju ke destinasi akhir di Kashmere Gate, di mana di situ merupakan stesen bas ke luar New Delhi. Pembayaran perlu dibuat pada konduktor bas. Tambang kami ke stesen keretapi New Delhi adalah sebanyak ₹75 seorang. Jadi pembayaran sebanyak ₹150 bagi dua orang. Pemanduan bas ini umpama roller coaster juga, terutama semasa di bulatan atau di simpang jalan. 


Perjalanan melalui Terminal 1 lapangan terbang DEL, kemudian melalui lebuhraya, Cannaught Place (atau dalam bahasa Hindi, Rajiv Chowk) dan akhirnya sampai ke stesen keretapi New Delhi. 



Namun ia berhenti di sebelah stesen Metro. Saya ingatkan ia berhenti di sebelah Pahar Ganj. Jadi kami cuba melalui jalan pintas melalui jejantas stesen keretapi, namun ia tidak boleh dilalui kerana ditutup. Maka terpaksalah kami mengikut jalan jauh sikit melalui Jalan DB Gupta. Di sini dapat tengok keadaan jalanan di New Delhi pada sebelah malam. Agak teruk juga, dengan jalan agak berdebu, terdapat tandas terbuka di tepi jalan, malah terdapat orang tidur di tengah-tengah ruang pejalan kaki yang tidak berapa nak ada. Nasib baik mereka tidak tidur di tengah-tengah jalan raya. Di atas jambatan terdapat sekatan polis bagi kenderaan. 



Akhirnya pada pukul 2:15 malam, kami sampai ke hotel kami, Hotel Sita International, yang pada mulanya tutup. Namun apabila saya berkata kami telah tempah, dibukakan juga kepada kami. Agak kelam kabut juga, kerana bilik kami sebenarnya telah diberikan kepada orang lain. Namun kami diberikan bilik ganti yang kurang berkualiti sikit. Jadilah, asalkan dapat rehat. Sudah penat sebenarnya. Akhirnya pada jam 3:00 pagi, dapatlah kami berehat dan tidur.

Bersambung ke Hari 2.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 

Sabtu, 9 Mei 2015

Itinerari (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015).

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary (this part);
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 




Panduan:

₹ = Rupee India (INR), matawang India. Secara amnya, kadar tukaran: ₹16 = RM1.00 atau ₹10 = RM0.60.



Bil
Butir
RM

1
Malindo Air (05 November 2014): tiket dari klia2 ke LTA Indira Ghandi, Delhi, India (DEL) OD205 (30 April 2015) x 2  & dari DEL ke klia2 OD206 (04 Mei 2015) x 2 (RM541/orang).
1,082.00

2
Hotels.com (25 Januari 2015): Hotel Raj Bed & Breakfast, Agra, India 02-03/05/2014 (RM63.92 - RM14.13 (tuntutan program kesetiaan Welcome Rewards Hotels.com)).
49.79

3
Hotels.com  (12 Februari 2015): Hotel Sita International, New Delhi, India 03-04/05/2014 (RM82.76 - RM70.49 (tuntutan program kesetiaan Welcome Rewards Hotels.com)).
12.27

4
Hotels.com (14 Februari 2015): Hotel Sita International, New Delhi, India 30/04-02/05/2014.
154.00

5
ClearTrip (04 Mac 2015): Perkhidmatan keretapi Indian Railway Jhelum Express kelas Sleeper dari stesen keretapi New Delhi (NDLS) ke Agra Canttoment (AGC) bagi 2 orang. (₹304.15).

19.80

6
ClearTrip.com (04 Mac 2015): Perkhidmatan keretapi Indian Railway NDLS Shatabdi Express kelas CC (AC Chair Car) dari stesen keretapi Agra Canttoment (AGC) ke New Delhi  ke  bagi 2 orang. (₹1143.59).

78.20

7
Gambar visa India 2 inci X 2 inci (diperlukan cuma 2 keping tapi di kedai gambar perlu cetak 4 keping) pada 31 Mac 2015. RM15 x 2.
30.00

8
Visa India 30 hari/masuk, kemasukan sekali, sah 6 bulan (RM161.60) x 2 pada 06 April 2015 di Indian Visa Centre Malaysia, Lebuh Pasar Besar, Kuala Lumpur. Siap tiga hari bekerja (08 April 2015).
323.20

9
Menukar matawang sebanyak ₹10 000 dengan RM595.00 di Skyxchange Selangor Mansion, Masjid India, KL pada 08 April 2015.

10
Hantar emel kepada Kedutaan Malaysia di New Delhi pada 23 April 2015 untuk memaklumkan kehadiran di India.


11
Mengisi permohonan Pendaftaran Rakyat Malaysia di Luar Negeri di dalam sistem eKonsular.


12
Menukar matawang sebanyak ₹2500 dengan RM130.00 pada 24 April 2015 dengan sahabat saya (Nor Azam Aziz).





 





13
Daftar masuk penerbangan Malindo Air OD205 melalui web pada 28 April 2015. Cetak pas kemasukan keesokan harinya.




14
eTiQa Takaful membeli melalui saya sendiriInternational World Traveller Care Takaful - Platinum Pasangan Zon 2 (Negara Asia) selama 10 hari (30 April - 09 Mei 2015).
116.50



Jumlah
1,865.76

Hari 1 - 30 April 2015 (Khamis)
Bil
Butir
Matawang Asing (₹)
RM
1
Bergerak dari rumah pada pukul 2:30 petang.


2
Singgah di R&R Dengkil arah selatan untuk makan tengahari selama setengah jam.

20.00
3
Sambung perjalanan ke klia2 dan tiba di klia2 pada pukul 4:10 petang.


4
Terus drop bag di kaunter W8.


5
Masuk ke pintu pelepasan utama, membuat urusan imigresen (autogate) dan kastam.


6
Membeli pelbagai ubat di Caring Pharmacy sayap L, klia2.

45.00
7
Masuk ke pintu berlepas L9, namun dimaklumkan penerbangan ditangguhkan selama 2 jam. Solat Asar di surau sayap L.


8
Pergi ke Bangunan Satelit untuk makan malam di Popeye Fried Chicken.

20.00
9
Membeli kabel Lighning Apple untuk iPhone saya (tersedar tertinggal) di kedai Machine di Bangunan Satelit (sayap Q).

79.00
10
Kembali ke pintu pelepasan L9, namun rupa-rupanya penerbangan ditangguh sejam lagi. Solat jamak Maghrib & Isyak di surau sayap L.


11
Akhirnya penerbangan OD205 berlepas juga dari klia2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi, New Delhi, India (DEL) pada pukul 9:15 malam.


12
Tiba di DEL pada jam 12:00 tengahmalam 01 Mei 2015,waktu India (UTC +5:30, iaitu pukul 2:30 pagi, 01 Mei 2015 waktu Malaysia).


13
Membuat urusan imigresen dan kastam India.


14
Beli 2 unit kad SIM prabayar airtel di balai ketibaan. Seunit berharga ₹600 (+-RM36.00).
1,200.00
72.00
15
Menaiki bas Exp. 4 dari DEL ke Pintu 2, Stesen Keretapi New Delhi. Tiket seorang berharga ₹75.
150.00
9.00
16
Tiba di Pintu 2, Stesen Keretapi New Delhi, berjalan kaki ke Hotel Sita Internasional.




Jumlah
245.00


Bil
Butir
RM
1
Bangun pagi dan bersarapan di hotel. Selepas makan yang percuma, tapi rasa macam tidak cukup tambah lagi.
264.00
16.00
2
Berjalan-jalan sekitar hotel seterusnya ke kawasan Pintu 1, Stesen Keretapi New Delhi, Main Bazar Pahar Ganj (kawasan backpackers), Cannough Place (Rajiv Chowk) dan terus ke India Gate dengan berjalan kaki.


3
Bersiar-siar di Dataran India Gate.


4
Menaiki auto (tuktuk) untuk ke Chadni Chowk (Old Delhi) di sekitar Jamaa Masjid. (Kena ingat, perlu tawar menawar dengan pemandu auto, walaupun ada meter, tetapi dengan pelancong mereka lebih suka letak harga, mereka buka harga dengan saya ₹250).
100.00
6.00
5
Sampai di Chadni Chowk, kami ke Masjid Jamaa (saya terlepas solat Jumaat) untuk solat jamak Zohor & Asar. Alhamdulillah masuk tidak diminta bayaran, sebenarnya masuk percuma dan bergambar perlu bayar ₹200. Pelancong biasanya dianggap semua ada kamera. Tandas perlu bayar ₹5 (+-RM 0.15). (Tips, pergi semasa atau beberapa ketika selepas solat Jumaat).


6
Bertemu dengan M Zhafran Omar di luar masjid.


7
Makan di restoran Jawahar tidak jauh dari masjid. Dibelanja oleh Zhafran. Makan Biryani Kambing (3 orang makan), Tandoori Ayam & beberapa makanan lain, air mineral. (₹750 (+- RM45.00).


8
Berjalan-jalan sekitar Chadni Chowk melusuri Matia Mahal Marg (Marg adalah Jalan/Road), Churi Walan Gali & Chittli Qabar Marg. Sempat minum the susu (cai) jalanan (₹10 secawan) dibelanja oleh Zhafran.


9
Menaiki auto dari kawasan Badi Masjid ke Main Bazar Road, Pahar Ganj.
80.00
4.80
10
Pergi ke sebuah kedai tukang jahit di Pahar Ganj untuk membuat sepasang jaket (kot), 2 pasang seluar dan sepasang baju kemeja x 2 (saya & isteri). Harga cuma ₹11 ribu sahaja (+-RM 660).
11,000.00
660.00
11
Pulang ke hotel.


32
Pelbagai.
200.00
12.00


Jumlah
698.80


Bil
Butir
RM
1
Bangun pagi, sarapan pagi (minta hantar ke bilik) dan keluar membeli top up telefon.
250.00
15.00
2
Pelbagai
50.00
3.00
3
Daftar keluar dari Hotel Sita International (tetapi minta tinggalkan beg besar kerana akan kembali menginap di sini, hanya bawa beg sederhana bagi pakaian 2 hari).


4
Berjalan menuju ke Stesen Keretapi New Delhi.


5
Menaiki keretapi Jhelum Ekspress (pukul 10:20 pagi) ke Stesen Keretapi Agra Cantt. Perjalanan mengambil masa 3 jam 50 minit.


6
Pelbagai
50.00
3.00
7
Tiba di Stesen Keretapi Agra Cantt. Pada pukul 1:40 petang (lambat sikit).


8
Menaiki auto dari stesen ke Hotel Raj (dekat dengan pintu selatan Taj Mahal).
130.00
7.80
9
Mendaftar masuk ke Hotel Raj Bed & Breakfast.


10
Menaiki auto dari hotel ke Indiana Restaurant (bayaran pergi balik).
100.00
6.00
11
Makan tengahari di Indiana Restaurant, Agra.
1,000.00
60.00
12
Balik ke hotel & berjalan-jalan sekitar kawasan Taj Ganj (sekitar hotel).




Jumlah
94.80


Bil
Butir
RM
1
Bangun awal pagi untuk masuk ke Taj Mahal.


2
Pergi ke Pintu Timur, menaiki buggy (percuma untuk pelancong luar India) untuk ke kaunter tiket (1 km jauhnya).


3
Beli tiket masuk Taj Mahal. Ambil penutup kasut dan air mineral. Harga ₹750 (+-RM45.00) seorang sekali masuk.
1,500.00
90.00
4
Masuk ke Taj Mahal dari Pintu Timur, kira-kira 5 jam di dalam, 3 jam selepas masuk, bertemu semula dengan Zhafran.


5
Keluar ke Pintu Selatan, ke hotel untuk daftar keluar dan makan sarapan (pihak hotel tunggu kami).


6
Bayar "pemandu pelancong". Dipaksa ambil dan bayar, Zafran bagi ₹200. Jumlah ₹700 (+- RM42.00).
500.00
30.00
7
Pulang awal ke New Delhi. Zafran belanja tiket am (kelas 3) keretapi, ₹90 (+- RM5.40) seorang.


8
Membatalkan tempahan tiket keretapi awal melalui internet (guna App). Tidak dapat penuh.
-810.00
-48.60
9
Menaiki keretapi Swarna Jayanti Superfast pada jam 1:40 petang. Nekad duduk di sleeper kelas 2 kerana kelas 3 sesak & padat.


10
Pelbagai.
100.00
6.00
11
Tiba di Stesen Keretapi Hazrat Nizamuddin pada jam 5:10 petang.


12
Menaiki auto ke Main Bazar untuk ke hotel. Kongsi bayar (₹80).
40.00
2.40
13
Singgah ke sebuah kedai lain untuk menempah baju kemeja 3 helai (2 untuk isteri dan 1 untuk saya).
1,900.00
114.00
14
Ke Hotel Sita International dan daftar masuk semula.


15
Menaiki auto ke Jamaa Masjid untuk makan malam. Dibayar Zhafran (₹100).


16
Makan malam di Karim's. Kongsi 2 dengan Zhafran.
400.00
24.00
17
Zhafran belanja makan 3 cucuk sish kebab & n2 cucuk tikka ayam (secucuk ₹10).


18
Menaiki auto ke ke Pahar Ganj untuk ke hotel masing-masing. Bayaran di kongsi (₹120).
60.00
3.60


Jumlah
221.40

Bil
Butir
RM
1
Bangun dan sarapan di bilik.


2
Daftar keluar pada jam 12:00 tengahari.


3
Menumpang bilik Zhafran bagi meletak beg.


4
Membeli belah saat akhir.
2,000.00
120.00
5
Menaiki auto ke Jama Masjid untuk makan malam.
100.00
6.00
6
Makan malam di Jawahar (kedai lain, di kawasan sama, pengurusan sama). Kongsi bayar (₹680).
350.00
19.50
7
Menaiki auto ke Main Bazar.
100.00
6.00
8
Mengucapkan selamat tinggal kepada Zhafran. Berjalan kaki ke stesen Metro New Delhi laluan Airport Express melalui Stesen Keretapi New Dehli dan Stesen Metro New Delhi. Tambang seorang ₹100. Perjalanan ambil masa 25 minit sahaja.
200.00
12.00
9
Pelbagai.
100.00
6.00
10
Tiba di DEL. Daftar masuk penerbangan OD206.


11
Membuat urusan imigresen, kastam & keselamatan India.


12
Solat di dalam terminal.


13
Berlepas dari DEL pada jam 10:30 malam waktu India.




Jumlah
169.50
Bil
Butir
RM
1
Tiba di klia2 pada jam 6:15 pagi waktu Malaysia.

2
Solat di balai ketibaan (di kawasan mengambil beg).

3
Membuat urusan imigresen dan kastam.

4
Membayar parkir motorsikal.
6.00
5
Pulang ke rumah. Singgah di kawasan Chan Sow Lin untuk makan soto ayam Sinarnor.
25.00
6
Mengisi petrol motorsikal.
11.00
7
Tiba di rumah pada jam 9:00 pagi.



Jumlah
42.00
Jumlah perbelanjaan keseluruhan:
RM3,337.26



Bermakna jika saya tolak harga tempahan kot, seluar & baju dalam RM 774.00, bermakna, kos keseluruhan saya cuma RM 2563.26 sahaja untuk pengembaraan 6 hari 5 malam (semalam dalam penerbangan) bagi 2 orang. Murahkan...




KembaraGD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary (this part);
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.