Khamis, 26 Januari 2017

Hari 4 Bahagian 1 (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - Malezi? So Happy! (Orang Malaysia? Gembira Sangat!)).


If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1 (this part); or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.


Saya dan Menara Azadi.

Petunjuk: Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


Hari 4 (08 Januari 2017 - Ahad) Bahagian 1.

Sebagai mana malam sebelumnya, saya bangun dari tidur agak awal. Sekitar pukul 3:00 pagi. Oleh kerana cuba untuk melelapkan mata, namun masih tidak boleh untuk tidur, jadi saya melayari internet dengan telefon bimbit dan komputer riba yang saya bawa. Saya menggunakan kemudahan WiFi yang disediakan oleh pihak hotel. Oleh kerana aplikasi VPN (Virtual Private Network - Rangkaian Peribadi Maya) di dalam telefon bimbit saya seperti tidak boleh digunakan, maka saya memuat turun aplikasi VPN yang baru. Setelah selesai memuat turut, saya mengaktifkan, kemudian, alhamdulillah, saya sudah boleh untuk melayari Facebook, Instagram dan Twitter. Jadi barulah saya boleh mengemas kini status saya di dalamnya. Lega, alhamdulillah. 

Namun memandangkan komputer riba saya merupakan milik majikan saya, yang mana terdapat sekatan untuk memuat turun perisian, maka saya tidak dapat melayari lebih lanjut internet di dalam komputer bimbit. 

Kemudian azan Subuh berkumandang, jadi saya segera menggunakan bilik air sebelum perlu menunggu untuk menggunakannya, maklumlah, kami berlima, dan bilik air cuma satu, jadi akan berlaku kesesakan. Selepas itu, saya pun bersolat Subuh. 

Pada pukul 7:30 pagi, kami semua turun ke restoran yang kami makan malam pada malam sebelumnya untuk bersarapan. Nampak gaya, sarapan di Iran ini lebih kurang sama sahaja, memang serupa sahaja dengan Hotel Kaveh di Isfahan yang kami menginap tempoh hari. Cuma ada lebih sedikit dengan roti nan mempunyai dua jenis, ditambah dengan sup kacang (macam kacang dal tetapi berwarna hitam) dan jem pula ada pelbagai jenis yang mana memang tidak dijumpai di  Malaysia.

Najib membawa sup cendawan Campbell's bersama, jadi adalah sedikit makanan yang biasa. Oleh kerana hari agak sejuk, jadi saya makan banyak sikit agar boleh tahan untuk hari ini. Sambil-sambil itu, memandangkan saya sudah boleh menggunakan Facebook saya, maka saya pun membuat siaran langsung, ia diikuti di https://www.facebook.com/hadiasad/videos/10211511484886554/. Cuma saya meminta maaf kerana siaran langsung ini tidak mempunyai suara, mungkin ada masalah liputan internet atau masalah VPN.

Bufet sarapan kami, ala Farsi.

Roti Iran macam roti nan.


Usai bersarapan, kami pun naik semula ke bilik kami dan mengemas beg kami. Ini kerana kami akan mendaftar keluar bilk berlima ini. Bilik ini hanya untuk semalam sahaja. Lagipun lima dari kami akan pulang ke Malaysia pada sebelah malamnya, manakala Haji Halig dan Haji Kadir akan tinggal untuk dua hari nanti.

Setelah selesai mengemas beg masing-masing, kami memindahkan buat sementara ke bilik berdua. Sebenarnya kedua-dua bilik ini berada di tingkat berbeza, bilik berlima terletak di tingkat lima, manakala bilik berdua pula berada di tingkat tiga. Jadi agak remeh sedikit juga. Akhirnya selesai juga urusan remeh ini, dan cuba untuk mendaftar dengan cuba menukar Dolar Amerika Syarikat dengan Rial Iran di kaunter hotel, namun pada pagi ini, pihak hotel berkata, mereka tiada wang tukar. Pulak dah! Jadi tidak dapatlah untuk daftar keluar. Nampak gaya, perlu menukar wang di tempat lain dan kembali sebelum pukul 1:00 tengahari, iaitu waktu paling lambat untuk daftar keluar.

Seterusnya, pada pukul 9:00 pagi, kami pun berjalan bersama-sama menuju ke Stesen Metro Panzdeh-e Khordad melalui Bazaar Besar Tehran. Cuaca pagi ini agak baik namun agak sejuk juga. Memang indah permandangan sepanjang perjalanan. Banyak kedai masih belum buka dan orang pun agak kurang pada masa ini. Sampai di depan kawasan Bazaar Besar, kelihatan kami yang melawan arus orang ramai yang mungkin ke kedai masing-masing untuk membuka kedai mereka. Selepas lima belas minit berjalan, kami pun sampai di stesen metro.

Hotel penginapan kami di Tehran, Hotel Shahriyar.

Jalan Saadi, Tehran, di mana terdapat banyak hotel kos sederhana.

Bunga yang mekar di musim sejuk.

Sebuah dataran sekitar kawasan Bazaar Besar Tehran.

Salah sebuah pintu ke Istana Golestan (tutup).

Suasana pagi musim sejuk di Tehran.

Suasana pagi musim sejuk di Tehran.

Salah satu lorong Bazaar Besar Tehran.

Suasana pagi musim sejuk di Tehran.

Dataran utama Bazaar Besar Tehran.

Peta: Berjalan kaki dari Hotel Shahriyar ke Stesen Metro Panzdeh-e Khordad.

Kami jangkakan, orang yang menggunakan perkhidmatan Metro Tehran ini agak kurang, tapi meleset. Orang agak ramai dan tren agak padat. Ketika ini barulah kami perasan, bahawa terdapat koc khas untuk wanita di kedua-dua hujung tren. Jadi kami mengambil koc yang berdekatan agar masing-masing kami boleh masuk ke koc mengikut jantina, tetapi masuk pintu berdekatan, agar setiap kami boleh melihat masing-masing. 

Memang sangat padat tren metro pada pagi ini, sampai saya hampir tidak masuk ke dalam tren. Susah juga bila ketua kembara terlepas, takut rakan-rakan pengembara hilang arah pula, huhuhu. Namun saya tetap bertegas, dapat juga saya menaiki tren metro.

Destinasi kami pada pagi ini adalah mercu tanda utama Tehran iaitu Dataran Azadi (Farsi: میدان آزادی  - Meydan Azadi). Jadi untuk ke sana, kami akan menaiki tren Metro Tehran Laluan 1 (merah) menghala ke Tajrish dengan melalui 3 stesen untuk turun di Stesen Davazeh Dowlat. Kemudian di stesen ini, kami transit ke Laluan 4 (Kuning) arah Ekbatan/Eram-e Sabz (Farsi: اکباتان / ارم سبز  ) dan kemudian melalui 8 stesen dan turun di Stesen Meydan Azadi. Tambang sehala cuma 7000 rial (+- RM 0.82) sahaja.

Semasa transit di Stesen Davazeh Dowlat ke Laluan 4, sekali lagi perlu merempuh kesesakan di dalam tren. Namun dapat juga memasukinya. Kemudian semakin hampir ke destinasi, kesesakan di dalam tren berkurangan.

Najib di dalam sebuah stesen Metro Tehran.

Papan kenyataan laluan 1 Metro Tehran di stesen Panzdah-e Khordad.


  Peta: Perjalanan Metro Tehran dari Stesen Panzdeh-e Khordad ke Stesen Meydan Azadi.


Sampai di Stesen Meydan Azadi, kami pun keluar dan agak hairan juga, pasal di stesen ini, kami tidak melalui pintu hadangan, kerana pintu hadangan hanya untuk memasuki kawasan berbayar sistem metro ini sahaja. Kemudian saya pun keliru untuk pergi ke mana, lalu membawa rakan-rakan mengambil tangga sebelah kiri. Tangga ini sebenarnya membawa kami ke Stesen Bas Terminal-e Gharb. Sepatutnya kami membelok ke kanan selepas keluar dari kawasan berbayar untuk ke tangganya yang agak dekat dengan Dataran Azadi.

Oleh kerana kami silap ambil tangga, maka, kami terpaksa melalui kawasan stesen bas dan kemudian terpaksa melintas jalan dengan mengharungi lalu lintas Tehran yang mana pemanduan kereta di situ agak ganas juga. Jadi saya set dalam minta, kalau di tempat yang lebih teruk lalu lintasnya seperti di Bandaraya Ho Chi Minh di Vietnam dan di Delhi, India pun saya boleh harungi, apalah sangat di Tehran, huhuhu. Akhirnya setelah melintas beberapa batang jalan, akhirnya sampai juga kami di Dataran Azadi ini.

Dataran Azadi ini sebenarnya sebuah bulatan jalan raya yang mana di tengah-tengahnya terdapat Menara Azadi (Farsi: برج آزادی - Burj Azadi). Sebelum Revolusi Iran pada tahun 1979, dataran ini dikenali sebagai Dataran Shahyad (Shah adalah gelaran bagi Raja Iran). Selepas revolusi, ia dikenali dengan nama sekarang yang bermaksud  Dataran Kemerdekaan. 

Menara Azadi pula telah dibina pada tahun 1971 dan ia direka oleh Hossein Amanat yang memenangi pertandingan rekacipta yang telah dianjurkan. Menara yang setinggi 50 meter ini dibina sempena ulang tahun 2500 Empayar Parsi. Marmar yang digunakan didatangkan dari Isfahan. Kedudukan menara ini seumpama mengucapkan selamat datang kepada pengunjung yang datang ke Tehran dari arah barat.

Di tingkat bawah tanah menara ini, terdapat sebuah muzium yang memaparkan sejarah menara ini dan juga kesenian serta kebudayaan. Harga tiket masuk ke dalam muzium ini adalah 150,000 rial (+- RM 17.65), namun kami tidak memasuki ke muzium ini.

Jadi kami sunggu gembira terutamanya saya kerana dengan hadirnya ke menara ini menandakan saya sudah tiba di Tehran. Jadi terkeluar kata-kata dari mulut abang Zul, "Malezi? So happy!" ("Orang Malaysia (Bahasa Farsi)? Gembira sangat (Bahasa Inggeris)!"). Ini terkeluar, kerana kerap kali semasa perjalanan kami ini, orang bertanyakan kami ini orang mana. Kebanyakannya, meneka kami orang China, ada juga yang meneka yang lain seperti Filipino, Thai dan sebagainya. Kami pun menjawab, kami orang Malaysia. Jadi dijawab mereka, "Ooh! Malezi". Agaknya pasal tidak ramai lagi orang Malaysia yang datang ke sini. (Hendak buat macam mana, pasal masih ramai orang Malaysia yang skeptikal dengan status Iran sebagai penganut Syiah, lagipun yang skeptikal itu tidak mempunyai banyak ilmu terutama bab agama (khususnya ilmu fiqh mahupun tauhid), jadi mereka ambil persepsi ikut ilmu dangkal mereka itu. Bagi saya, lebih baik mereka datang sendiri, kerana bagi saya bangsa Farsi ini walaupun mereka Syiah tapi kebanyakan mereka bukan ektremis agama. Eksemis syiah bagi saya adalah syiah Arab atau syiah Hindi (Pakistan). Agaknya jika mereka datang ke Iran, baru terbuka mata hati mereka itu.).

Jadi dari frasa "Malezi? So happy!" itu mengembang menjadi "Malezi? So lazy!", tatkala ada rakan-rakan yang malas atau "Malezi? So crazy!", tatkala kami membuat perkara yang agak gila macam di Dataran Azadi ini.

Sempat juga Najib membuat siatan langsung Facebook yang di Dataran Azadi ini. ia boleh diikuti di https://www.facebook.com/arejeeb.alhamra/videos/10211744289107815/ (kredit Najib (FB: Are'jeeb Al-Hamra).

Di dataran ini juga sempat kami melihat dengan lebih dekat motorsikal di Tehran ini, yang mana kami lihat terdapat perisai angin di depannya. Ia agak unik kerana di Malaysia memang tiada. Lagipun banyak motorsikal di Tehran ini adalah dari jenis jipang. Rupanya ia merupakan motosikal dari India berjenama Arshia yang mengambil teknologi Honda.

Susana di Dataran Azadi tidak berapa sempurna kerana ketika kami hadir ini, kerja-kerja baik pulih dan pengubahsuaian sedang giat dijalankan. Juga dapat diperhatikan, jalan raya di sekitar dataran ini agak sesak pada ketika kami di situ. Kami juga dapat melihat dan mendengar bunyi kapal terbang, ini kerana Lapangan Terbang Mehrabad begitu dekat sekali. Kami berada di dataran ini kira-kira 45 minit. Kemudian kami pun pulang semula ke Bazaar Besar Tehran dengan menaiki semula metro.

Dataran Azadi.

Salji memutih di salah sebuah puncak di Pergunungan Alborz.

Kesesakan jalan raya di Dataran Azadi, Tehran.

Saya dan Menara Azadi.

Video: Saya di Dataran Azadi di Tehran, Iran.

Tangga ke Kompleks Kebudayaan dan Artistik Menara Azadi.

Pelan lantai Kompleks Kebudayaan dan Artistik Menara Azadi.

Kaunter tiket Kompleks Kebudayaan dan Artistik Menara Azadi.

Sepasang motorsikal dengan perlindung.

Jenama motorsikal.

Menara Azadi dari bawah.



Saya dan isteri di hadapan Menara Azadi.


Foto seorang anak kecil Iran.

Jalan menuju ke Stesen Metro Meydan-e Azadi (logo Metro Tehran jelas kelihatan).

Papan tanda stesen Metro Meydan-e Azadi.

Tatkala kami hendak balik, Linda sempat pula mengambil gambar seorang anak kecil Iran yang agak comel.

Kali ini kami balik mengikut pintu stesen metro yang dekat dengan Dataran Azadi. Jadi kami membeli tiket (7000 rial/orang) untuk kembali semula ke Stesen Panzdeh-e Khordad untuk meneruskan perjalanan kami.


Jika mahu lihat: 





If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1 (this part); or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Rabu, 25 Januari 2017

Hari 3 (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - Musafir Dari Isfahan Ke Tehran.


If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 (this part);
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.


Seorang kanak-kanak yang satu bas dengan kami, sedang bermain dengan kami.

Petunjuk: Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


Hari 3 (07 Januari 2017 - Sabtu).

Pagi ini, saya sebenarnya kurang nyenyak tidur sebenarnya, maklumlah tidur dari pukul 10 malam. Tambahan pula jam biologi badan saya ini menyebabkan asyik terbangun sahaja, maklumlah, di Malaysia sudah pukul 6:30 pagi, di Isfahan ini baru pukul 3:00 pagi! Asyik-asyik terjaga sahaja la. Subuh di Isfahan ini awal sikit sekitar pukul 5:25 pagi.

Selepas subuh, saya keluar sebentar untuk berjalan-jalan sekitar terminal bas. Bukan ada, mana tahu terjumpa juga stesen Metro Isfahan, dapat juga saya hendak merasa menaiki metro di sini. Huh, cuaca agak sejuk, sampai berasap mulut terkeluar di mulut. Di Isfahan ini, memang terdapat juga dispenser air minuman tapi hanya keluar air sejuk sahaja. Apabila di luar ni, saya tidak lama, tidak tahan dengan kesejukannya walaupun pakaian berlapis. Jadi memang tidak terjumpalah dengan stesen Metro Isfahan.

Saya kembali semula ke dalam hotel dan terlihat sarapan pagi sudah sedia di ruang makan hotel ini dibuka. Saya naik ke bilik kami untuk memaklumkan sarapan sudah sedia. Saya kembali turun bersama isteri saya untuk bersarapan. Sarapan pagi di hotel ini biasa sahaja, roti seperti roti nan, telur, jem tomato, keju labneh, madu dan air teh (dengan pelbagai jenis gula). Juga terdapat timun dan tomato segar. Memang bukan makanan dan tekak orang Malaysia, tapi saya masuk sahaja, bagi saya inilah kenikmatan kita mengembara, dapat merasa makanan tempatan. Sebab itu juga saya biasanya tidak lama di sesuatu tempat, agar tidak muak dan dapat merasa kepelbagaian makanan.

Semasa sarapan, terdapat seorang orang Iran (bukan orang Isfahan) menegur Haji Halig, jadi sambil dia menegur, saya pun menyampuk. Dia adalah Encik Ali yang berkerja sebagai jurutera hidrologi yang pakar di dalam pembinaan empangan. Dia pernah datang ke Kuala Lumpur dan Putrajaya suatu ketika dahulu, dan mengangumi kemodenan dan keindahannya serta Putrajaya. Saya pun berkata, banyak bangunan di Kuala Lumpur dan Putrajaya mengambil rekabentuk bangunan daripada Isfahan, dan dia pun bersetuju. Banyak juga yang kami bertukar-tukar fikiran pelbagai perkara. Sampai tidak sedar bahawa kami berborak sampai pukul 9:00 pagi. Jadi saya pun meminta diri untuk balik ke bilik bagi bersiap untuk daftar keluar.

Permandangan dari bilik kami, cuaca agak sejuk.



En. Ali, yang juga penginap hotel sama dengan kami.


Oleh kerana saya memang sudah bersiap, maka saya cuma ambil masa lima minit sahaja untuk keluar. Jadi saya dan Najib terus ke bawah dan memaklumkan agar rakan-rakan yang lain untuk cepat keluar dari bilik agar kami boleh dapat tiket bas yang cepat untuk kembali ke Tehran. Sampai di bawah, saya pun menyerahkan kunci bilik kami, dan menguruskan proses daftar keluar. Lagipun proses menjadi lebih mudah kerana pembayaran sudah dibuat ketika daftar masuk semalam. Pasport dikembalikan walaupun tidak semua kunci diperolehi. Dalam masa saya menguruskan daftar keluar, geng orang pencen pun turun. Najib sempat juga membuat siaran langsung Facebook yang boleh diikuti di https://www.facebook.com/arejeeb.alhamra/videos/10211735409725836/  (Kredit Najib (FB: Are'jeeb Al-Hambra).

Tidak lama kemudian, isteri saya turun tanpa Linda. Alahai, kenapalah lambat pula kakak seorang ni. Linda turun pun lepas sepuluh minit kemudian dengan memakai seluar ketat (tight)! Saya kata, hah, jangan buat hal, lebih baik tukar sebelum jadi apa-apa. Sudahlah sejuk, dan negara ini yang agak tegas peraturannya. Jadi saya menyuruhnya tukar dengan segera, dan Linda cuma mengiakan tanpa tindakan. Saya pun kata, jika tidak bertindak juga, kalau jadi apa-apa, kami tidak bertanggungjawab dan kami tinggal sahaja. Biasalah, didik orang dewasa ini agak payah berbanding kanak-kanak. Jadi seterusnya terpulang kepadanya (memang selepas itu terjadi kes tidak diingini, sila baca di bawah nanti).

Kami pun daftar keluar dengan akhirnya semua kunci diberikan dan terus ke kaunter tiket yang dekat dengan pintu masuk hotel tersebut. Saya malas sebenarnya hendak buat tinjauan, pasal dah penat nak urus itu, ini. Jadi saya ambil je kaunter pertama yang kami jumpa iaitu kaunter bas Levan Nour dan terus bertanya dan seterusnya berunding harga. Macam biasa, harga asal adalah 330,000 rial (+- RM38.82)/orang/hala, tapi selepas saya dan Najib tawar-menawar, akhirnya kami mendapat 270,000 rial (+- RM31.76)/orang untuk bas kelas VIP (untuk kelas biasa masih sama iaitu 200,000 rial (+- RM 23.53)/orang). Jadi keseluruahnnya kami perlu membayar sebanyak 1,890,000 rial (+- RM222.35) kesemuanya. Untuk itu, kami menggunakan wang rial Iran daripada Haji Halig terlebih dahulu. Terima kasih Pak, atas jasa baik apak. Terus jadi bapa pula Haji Halig ini dalam pengembaraan kami ini. Huhuhu.

Tiket yang kami dapat adalah untuk perjalanan pukul 11:00 pagi. Jadi ada sejam setengah menunggu. Jadi kami menunggu di ruang menunggu yang disediakan di sebelah kaunter tiket Levan Nour. Agak selesa juga ruang menunggu ini, siap ada televisyen. Saya pun gunalah masa ini untuk berjalan-jalan di sekitar kerana cuaca lebih panas lagi berbanding pagi tadi.

Apabila sampai pukul 10:30 pagi, semasa saya berada di platform, bas yang patut kami naik sudah sampai. Apa lagi, saya pun kembali ke tempat menunggu dan memaklumkan yang bas kami sudah sampai. Jadi kami pun mengambil beg kami dan bergerak ke arah bas. Pada masa itu, abang Zul sempat berbual dengan seorang wanita Iran. Jadi kami pun sempat juga meminta kebenaran untuk bergambar bersama. Sekurang-kurangnya adalah gambar saya dengan wanita Iran. (Wanita tersebut sebenarnya isteri orang, yang menghantar saudaranya untuk menaiki bas yang saya lupa destinasinya).


Kami setelah mendaftar keluar dari hotel.

Kaunter tiket bas Levan Nour, Terminal Bas Kaveh.

Tiket Bas Levan Nour (Isfahan-Tehran).

Logo syarikat bas Levan Nour di bilik menunggu.

Saya dan seorang wanita Iran.

Di dalam bas ini, kami berkongsi bas dengan pelbagai warganegara seperti dari negara Arab (berdasarkan Bahasa Arab yang digunakan) dan juga sebuah keluarga dari Korea, disamping orang Iran dan juga kami. Kami menunggu di dalam bas ini, dan dua puluh lima minit kemudian, bas ini pun bergerak meninggalkan Terminal Bas Kaveh menuju ke Tehran.

Macam biasa, kami diberikan sekotak kecil yang mengandungi beberapa pek makanan ringan dan juga sekotak minuman kotak. Tapi lebih sedikit berbanding yang syarikat bas Hamsafar berikan semasa kami datang dari Tehran, hari sebelumnya.

Perjalanan lebih kurang sahaja dengan perjalanan kami sebelum ini, cuma berlawan arah sahaja. Dalam perjalanan, kami singgah rehat di sebuah kawasan selepas pekan Delijan selepas tiga jam perjalanan dari Isfahan. Di sini saya bersolat di suraunya dan menggunakan tandasnya yang bersih. Selepas itu, saya dan isteri membeli beberapa makanan ringan di kedai serbaneka untuk kudapan di dalam bas. Cuma di sini agak sukar kalau memberikan wang besar walaupun sebesar 100,000 rial. 

Selain itu, terdapat juga jagung kukus dijual dengan harga 50,000 rial (+- RM 5.88) secawan. Jagung kukusnya tidaklah seperti kita di Malaysia, ia digaul dengan mayonis dan krim masam, kemudiannya direnjis dengan beberapa rempah ratus. Jagung kukus ini sebenarnya lebih terasa lemak dan juga terasa rempah khasnya. Tiada rasa manis pun. Penjualnya mengatakan ia adalah makanan Mexico. Saya berikan wang 100,000 rial kerana wang 50,000 rial telah diberikan pada kedai serbaneka tadi. Agak berat juga, dan deminya, penjual itu sanggup untuk mencari tukar. Rupanya kawasan rehat ini tidak banyak yang datang, jadi jualan tidaklah banyak. Dalam itu, sempat juga saya berbual, penjual itu bertanya saya datang dari mana. Dia menceritakan bahawa hidup mereka tidak sesenang mana, sampaikan dalam hidup mereka, mereka hanya berjalan satu destinasi yang sama setiap minggu, iaitu ke masjid. Mereka tidak mampu untuk mengembara macam kami. Huh, sedih juga saya mendengarnya, bersyukurlah saya kerana kini saya mampu untuk mengembara ke tempat mereka walaupun hakikatnya, kembara saya tidaklah mewah mana, tapu masih mampu untuk bertebaran di bumi Allah ini.

Seterusnya setelah setengah jam berlalu, bas ini pun berjalan meneruskan perjalanan. Dalam masa ini, seorang anak kecil di hadapan tempat duduk kami, selalu memandang kami. Jadi kami pun bermain-main dan bergurau dengannya, teringat pula anak sulung lelaki saya tat kala seusia dengan anak ini. Agak lama juga bergurau sampailah dia tertidur sejam kemudian. Saya pula menikmati permandangan sepanjang perjalanan ini. Setelah beberapa kali berhenti menurun dan mengambil penumpang (anak kecil dan ibu bapanya turun di Qom), maka sampailah kami setelah enam jam perjalanan. Masa pun hampir menunjukan pukul 5:00 petang apabila sampai di stesen bas Terminal-e Junoon, Tehran.

Antara snek ringan yang diberikan oleh syarikat bas.

Minuman kotak yang diberikan bersama.

Bas yang membawa kami dari Isfahan ke Tehran.

Permandangan dari kawasan rehat dan rawat berhampiran Delijan.

Pintu masuk ke tempat makan.

Jagung kukus ala Mexico.

Seorang kanak-kanak yang satu bas dengan kami, sedang bermain dengan kami.


Peta: Perjalanan bas dari Stesen Bas Kaveh, Isfahan ke Stesen Bas Terminal-e Junoob, Tehran.


Bas kami ini berhenti bukan di platform, sebalik di ruang lapang di hadapan sebuah bangunan yang ada eskalator dan tangga menuju ke bawah tanah. Terdapat satu tiang berpapan tanda berwarna kuning, dan mempunyai logo yang menandakan sesuatu. Jadi sebenarnya saya hendak mencari jalan menuju ke Stesen Metro Tehran Terminal-e Junoob (Farsi: ایستگاه مترو ترمینال جنوب), tapi tidak ketahuan ke mana hendak pergi. Memandangkan hari pun semakin gelap menuju senja, jadi saya dengan tekad hati membawa rakan-rakan menuju ke tangga tersebut. Ia adalah sebuah terowong, dan ia sebenarnya menuju ke destinasi yang saya carinya tadi, ke stesen metro. Alhamdulillah, rupanya papan tanda tadi adalah logo Metro Tehran. 

Sampai di stesen metro, saya menyuruh rakan-rakan untuk duduk ke tepi dan saya membeli tiket metro untuk ke Stesen Pazneh-e Khordad (Farsi: پانزده خرداد ایستگاه مترو), yang mana stesen yang terdekat dengan Bazaar Besar Tehran (Tehran Grand Bazaar) (Farsi:  بازار بزرگ تهران)). Kedua-dua stesen ini berada di dalam Laluan 1 (Merah) Metro Tehran. Harga tambang adalah sebanyak 7000   rial (+- RM0.82)/orang bagi setiap setiap perjalanan. Jika tambang bagi perjalanan pergi balik dan juga menggunakan kad prabayar adalah lebih murah, namun oleh kerana kami mengjangka kami hanya guna beberapa kali sahaja, jadi kami beli tiket sehala sahaja. Jadi saya membayar 50,000 rial  (+- RM 5.88) untuk tujuh orang. Kami diberikan tiket yang membolehkan kami masuk ke dalam sistem.

Kami pun masuk ke dalam sistem dan menunggu di platform yang menuju ke Tajrish (Farsi: تجریش  ). Tidak berapa lama kemudian sampailah tren metro ini. Kami pun menaikinya. Keadaan dalaman metro ini agak bersih juga. Jadi kami menaikinya untuk tiga stesen sebelum sampai ke Stesen Panzdeh-e Khordad.

Sampai di stesen ini, berduyun-duyun orang keluar dari stesen ini. Linda kemudiannya mencari tiketnya. Sudah, memang hilang tiketnya. Saya suruh carinya pasal memang tidak boleh keluar sistem macam ini. Memang bermasalah betul dia pada hari ini. Sudahlah suruh pakai seluar untuk menutup seluar legging yang tidak diendahkannya. Akhirnya saya bagi cadangan agar menggunakan satu kad sahaja tetapi dua orang akan melepasi pintu hadangan. Alhamdulillah berjaya, dan saya berkata ia hanya guna sekali sahaja, minta agar menjaga tiket masing-masing selepas ini.

Kami pun kemudian mendaki menaiki tangga untuk ke aras tanah. Hari sudah gelap, namun suasana di sekitar kawasan itu agak meriah, dan jalan raya agak sesak. Saya pun tidak tahu hendak mencari di mana, akhirnya bertanya kepada pelayan di sebuah restoran untuk bertanyakan adakah hotel di sekitar ini. Dia mencadangkan agar kami pergi ke kawasan sekitar Stesen Metro Mellat, kira-kira dua stesen metro dari situ. 

Logo Metro Tehran.

Terowong dari Terminal Bas Terminal-e Junoob, Tehran ke Stesen Metro Terminal-e Junoob.

Peta Metro Tehran.

Tiket Metro Tehran keras.

Tiket Metro Tehran kami.

Jadual operasi Metro Tehran.

Tren Metro Tehran.

Kami bergambar bersama tren Metro Tehran.

Tren metro yang sampai ke platform.

Keadaan di dalam Metro Tehran.


Jadi kami pun kembali semula ke stesen metro untuk ke sana. Tapi saya agak teragak-agak juga, jadi kami duduk di tepi dahulu. Nasib kami baik kerana disapa oleh seseorang. Dia adalah Encik Hasan. Agaknya kerana melihat kami dengan beg galas dengan keadaan yang tiada arah, jadi dia datang membantu. Jadi dia sendiri membawa kami menaiki tren untuk ke Stesen Imam Khomeini (Farsi: ایستگاه متروی امام خمینی) yang masih di dalam Laluan 1 (merah), iaitu hanya satu stesen sahaja. Jadi kami membeli tiket tetapi kali ini dikenakan caj sebanya 10,000 rial (+- RM 1.18) setiap seorang. (Asalnya kami tidak sedar tetapi hairan juga, rupanya apabila diperiksa kembali setelah keluar sistem, tiket hanya berharga 7000 rial sahaja).

Jadi kami pun menaiki metro. Pada masa ini keadaan metro agak sesak, jadi oleh kerana Encik Hasan sudah masuk ke dalam tren, maka kami pun terus masuk, termasuk yang wanita termasuk ke dalam koc lelaki. Jadi keadaan jadi terhimpit-himpit. Walaupun hanya satu stesen, namun Linda telah diraba oleh seseorang. Apa lagi, menjeritlah Linda. Isteri saya juga hendak diraba, namun dia awal-awal lagi sudah tunjuk garang, jadi orang tersebut tidak jadi tetapi terus meraba Linda. Saya masih tidak faham apa berlaku pada masa itu sebenarnya. Nasib baik perjalanan hanya sekejap sahaja.

Selepas keluar, apabila mengetahui perkara sebenar, saya menegur keras Linda, dengan mengatakan inilah terjadi kalau degil. Saya sudah berpesan awal-awal, hormati tempat orang, jadi hari ini memang betul keadaan hendak tunjuk kepada Linda. Jadi saya kata, kalau hendak ikut saya selepas ini, kena ikut apa yang telah ditetapkan, jangan ikut kepala sendiri.

Encik Hasan kemudian membawa kami ke atas tanah dan kemudian membawa ke sebuah hotel bajet. Malangnya hotel terbabit sudah penuh biliknya. Seterusnya, dia membawa kami ke sebuah hotel kira-kira empat ke lima bintang iaitu Hotel Ferdowsi International Grand Hotel yang terletak di Jalan Ferdowsi. Hotel ini terletak di hadapan Universiti Tehran. Saya memang sudah agak, hotel ini diluar bajet kami walaupun mampu iaitu pada harga US$70 (+- RM 315.00) setiap malam bagi seorang. Dapat kurang tapi masih dalam US$50 (+- RM 225.00). Jadi kami semua berbincang untuk mencari hotel lain. 

Akhirnya Encik Hasan bersusah payah dan kemudian dia berbincang dengan pemandu teksi yang ada di hadapan hotel itu. Pemandu teksi itu (yang tidak berapa boleh berbahasa Inggeris) boleh mendapatkan hotel pada harga 1,100,000 rial (+- RM 129.41) semalam bagi seorang. Iaitu baru US$29.00 sahaja. Cuma perlu membayar 300,000 rial (+- RM34.39) bagi dua teksi untuk membawa kami ke sana. Jadi kami bersetuju. Kami berterima kasih kepada Encik Hasan kerana susah payah membantu kami menyelesaikan masalah penginapan kami.

Kami dengan En. Hasan yang membantu kami mencari hotel.


Tiket Metro Tehran biasa.


Peta: Perjalanan Metro Tehran dari Stesen Terminal-e Junoob ke Stesen Panzdeh-e Khordad ke Stesen Imam Khomeini.

Kami kemudian dibawa oleh pemandu-pemandu teksi itu ke Hotel Shahriyar (Farsi: هتل شهریار), , yang terletak di Jalan Saadi Selatan (Farsi: خیابان جاده جنوبی). Jadi kami bayarlah tambang teksi walaupun perjalanannya sebenarnya agak dekat. Tapi dalam keadaan yang gelap dan sejuk tambahan kami membawa beg galas, ia agak membantu. Seterusnya, kami pun ke kaunter pendaftaran untuk bertanyakan kadar.

Di kaunter pendaftaran, asalnya kami mendapat harga lebih sikit dari yang dikatakan oleh pemandu teksi tadi. Tapi saya dan Najib berunding, malah mengatakan bahawa lagi dua orang (Haji Halig dan Haji Kadir) akan duduk tambahan dua hari lagi, maka kami mendapat harga purata 1,080,000 rial (+- RM 127.76) atau keseluruhannya 7,600,000 rial (+- RM894.12) bagi sebuah bilik berlima dan sebuah bilik berdua. Sebenarnya harga bilik pun berbeza. Jadi untuk bilik berdua, saya berunding dan mendapat 2,700,000 rial (+- RM 317.65) bagi semalam. 

Rupanya apabila saya melihat Google Maps, hotel ini memang dekat dengan Bazaar Besar Tehran dan pelbagai tarikan lain dengan hanya berjalan kaki sahaja. Kira berbaloi jugalah, walaupun ia agak mahal sikit. Jadi saya pun membayar sedikit deposit, kira-kira 4,000,000 rial (+- RM 470.59), yang kami pinjam menggunakan wang Haji Halig dan Haji Kadir, kerana kami sudah kekurangan wang rial. Kami sisakan sedikit wang rial untuk beberapa perkara lain nanti. Walaupun hotel ini menerima wang Dolar Amerika Syarikat malah boleh menukarnya dengan kadar US$1.00 bersamaan 38,000 rial, tapi saya rasa lebih baik kami bagi deposit sedkit dahulu. Pasport setiap daripada kami diserahkan kepada pihak hotel dan akhirnya kami pun mendapat kunci.

Kami sampai di bilik dan kemudian cuma meletakan beg kami untuk kami bertemu kembali di lobi. Ini kerana kami ingin mencari makan malam kami. Jadi kami pun berjalan sedikit, namun suasana arah yang kami ambil agak gelap, kerana banyak kedai sudah tutup. Kemudian Najib berkata, sebenarnya hotel penginapan kami itu mempunyai sebuah restoran di bawahnya, kerana dia ada membaca sekeping risalah tentang restoran tersebut. Jadi kamipun berpatah kembali kecuali saya dan isteri yang singgah di sebuah kedai runcit untuk membeli buah delima, yang tiba-tiba isteri saya teringin memakannya.

Setelah membeli dua biji buah delima dengan harga 40,000 rial (+- RM 4,71), kami pun kembali ke hotel dan terus ke restoran di bawah hotel itu. Kami mengambil makanan mengikut pesanan masing-masing. Kebanyakan makanan adalah berasaskan daging seperti shish kebab, tetapi mempunyai pilihan ayam dan daging lembu. Hidangan lebih kurang sahaja dengan apa yang kami makan di Isfahan, malam sebelumnyaTambahan, hidangan tersebut mempunyai pilihan nasi, jadi semua kami memilih nasi. Baru dua hari, sudah mencari nasi. Saya pula sudah ada di depan mata, jadi ambil sahajalah nasi, hehehe. 

Selesai makan, kami pun membayar 1,470,000 rial (resit menunjukan harga 147,000 toman) (+- RM 172.94), namun pelayan restoran tiada mempunyai baki 30,000 rial, maka kami halalkan sahaja. Jadi setiap seorang puratanya membayar 208,000 rial (+- RM24.47) untuk makan malam ini. Sebelum menaiki atas, saya keluar untuk mengambil angin sejuk. Memang sejuk betul, di mana suhu pada masa itu sudah mencapai 4oCelcius! (Waktu awal paginya mencecah 2oCelsius!).


Peta: Perjalanan menaiki teksi dari Stesen Imam Khomeini ke Hotel Shahriyar Tehran.

Kad perniagaan Hotel Shahriyar, Tehran.

Keadaan bilik berlima.

Pamplet Restoran Shahriyar.

Shish kebab ayam, antara makan malam kami.

Resit Restoran Shahriyar Tehran.


Keadaan cuaca di Tehran.


Kemudian saya kembali ke bilik. Di bilik kami, terasa agak selesa, kerana terdapat pemanas udara. Walaupun terdapat pendingin udara, rasanya udara di luar lebih sejuk, jadi kalau hendak sejuk, cuma buka tingkap sahaja.

Kami bergilir membersihkan diri dan kemudian bersolat berjemaah jamak qasar Maghrib & Isyak. Selepas itu, kami pun menyelesaikan jumlah wang yang kami pinjam dan membayarnya kepada yang kami hutang terutamanya Haji Halig dan Haji Kadir, yang mana saya yang menjadi fasilitatornya. Wang dibayar dengan menggunakan wang Dolar Amerika Syarikat. Alhamdulillah selesai.

Kemudiannya, kami pun berborak terutama tentang pengalaman  kembara ini dan juga lain-lain perkara, terutama yang belum pernah berjumpa. Alhamdulillah, kembara ini menjadi wadah merapah ukhwah kami semua. 

Malam pun semakin pekat dan suasana pun lebih sunyi. Maka kami pun masing-masing tidur merehatkan badan dan minda kami. 

Bersambung ke Hari 4 Bahagian 1.

Jika mahu lihat: 





If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 (this part);
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.