Jumaat, 12 Ogos 2016

Hari 3 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Seharian Beriktikaf Di Masjid Emas Manila.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Masjid Emas Manila.

Hari 3 (02 Julai 2016 - Sabtu).

Saya bangun dari tidur yang nyenyak sikit dari tidur-tidur ayam, masa pada masa itu adalah pada pukul 12:30 tengah malam. Oh, rupanya kami sedang di pinggir Metro Manila dan memasukinya. Bas sedang berhenti di plaza tol untuk membayar tol bagi lebuhraya yang digunakan. Selepas itu, tidak lama kemudian, bas ini memasuki Lebuhraya EDSA yang mengililingi Metro Manila dengan bentuk C terbalik itu. 

Lebuhraya EDSA ini atau nama penuhnya Epifanio de los Santos Avenue, boleh dikira seperti Jalan Lingkaran Tengah II (MRR II) di Lembah Klang. Cuma keadaannya lebih padat dengan bangunan batu di kedua-dua tepi jalannya dan di tengah-tengah terdapat landasan MRT. Memang rasa sempit sahaja, tidak tahulah bagaimana hendak melebarkan lagi lebuhraya ini pada masa akan datang. Sudahlah kereta di sini sesuka hati letak atau berhenti di mana-mana. Bahaya juga.

Bas ini kemudian singgah berhenti untuk menurunkan bas Cubao. Pada masa ini saya sedar yang saya boleh ambil bas lebih awal dari Vigan. Jadi kalau hendak ke Manila, tidak sementinya ke Pasay, ke Cubao juga boleh. Lagipun ada perkhidmatan MRT dari Cubao ke Pasay dan serta tempat di Metro Manila ini, di mana terdapat stesen MRT Araneta Center - Cubao di sini. Cuma masa bas ini sampai sudah tengah malam, jadi saya tinggal sahaja di dalam bas ini untuk ke Pasay bersama beberapa orang yang ada.

Perjalanan dari Cubao ke Pasay tidak sejauh berpuluh kilometer, namun walaupun keadaan lalulintas pada awal pagi ini kurang berbanding waktu biasa, tetapi EDSA ini tetap berlaku kesesakan lalulintas. Hebat betul Lebuhraya EDSA ini, boleh sesak juga. Walaupun sesak disebabkan penyelenggaraan jalan, namun pengurusan lalulintas oleh petugas agak gagal juga. Sepatutnya dari Cubao ke Pasay, paling lama pun dalam setengah jam boleh jadi hampir sejam.

Akhirnya, pada pukul 2:15 pagi, sampailah bas ini di stesen bas Pasay. Akmal setia menunggu, kerana saya telah memaklumkan saya akan sampai menerusi telefon kepada beliau. Kami mengambil keputusan untuk menunggu sahaja di stesen bas sementara meninggu waktu perkhidmatan LRT dan MRT dibuka pada pukul 5:00 pagi. Saya bertanya kepada Akmal apa yang telah dibuat, dan beliau menceritakan perjalanannya kepada saya. Seterusnya, Akmal mencadangkan agar kami duduk di Masjid Emas Manila untuk sehari semalam bagi menjimatkan bajet, seolah-oleh menjadi orang Tabligh. Saya tiada masalah.

Setelah bersolat di stesen bas dan mengemas kembali beg-beg saya (saya satukan kembali beg-beg saya menjadi satu sahaja), maka pada pukul 4:30 pagi, bergeraklah kami ke stesen LRT-1 EDSA untuk menaiki tren ke Carriedo bagi ke Masjid Emas. Kami sampai di stesen pada pukul 4:45 pagi dan stesen masih belum dibuka. Tetapi orang ramai dah menanti di pintu masuk stesen. Sepuluh minit kemudian, pintu dibuka dan seperti biasa perlu melalui proses pemeriksaan keselamatan baru boleh membeli tiket di kaunter.

Kami menaiki LRT ke stesen Carriedo (8 stesen). Suasana agak tenang dengan fajar mula menyingsing.


Peta: Perjalanan dari Stesen Bas Partas Pasay ke Masjid Emas Manila.

(Gambar-gambar diambil Akmal pada Hari 2 kerana ketika itu, telefon dan bank kuasa saya kehabisan bateri, jadi tiada gambar dari saya dapat diambil. Itulah sebabnya gambar di sini nampak suasana siang bukan suasana waktu subuh.)


Akhirnya kami sampai di stesen Carriedo. Gerai-gerai belum dibuka lagi. Terdapat ramai juga gelandangan-gelandangan yang baru bangun tidur di kaki lima jalanan di bangunan-bangunan sekitar stesen LRT Carriedo ini. Sampah pula kelihatan agak menimbun membukit tingginya. Tetapi pada masa itu, kelihatan juga petugas perbandaran di sudut lain sedang sibuk membersihkan sampah-sampah ini.

Dipertengahan perjalanan, terdapat sebuah pasar yang menjual segala jenis barang, dari pakaian, peralatan rumah, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan-ikan, daging-daging dan banyak lagi. Cuma pasar ini berada di jalan yang terbuka untuk laluan kenderaan juga. Agak kelam-kabut juga, namun orang tidak berapa ramai ketika ini.

Jalan menuju ke Masjid Emas.

Jalan menuju ke Masjid Emas.

Pasar di jalan menuju ke Masjid Emas.

Pintu gerbang perkampungan Islam di Manila.

Akhirnya kami sampai juga pintu gerbang yang menandakan kami telah tiba ke perkampungan Islam di Manila. Kami terus berjalan menuju ke Masjid Emas. Ketika kami tiba di pintu masjid, terdapat seorang yang seolah-olah rajin dan menunjukan "kad" yang dia adalah pemungut zakat dan sedekah sah. Agak fasih juga dia berbahasa Inggeris. Hendak sahaja saya cakap, kami inilah yang layak mendapat zakat kerana kami sebahagian dari asnaf musafir, tetapi tidak sanggup. Lalu saya tanya di mana tandas dan tempat mengambil wuduk kerana kami hendak menziarah masjid dan solat Dhuha. Nasib baik dia tunjukan dan kemudiannya terlepaslah kami dari di"paw".

Masjid Emas Manila.

Masjid Emas Manila.

Masjid Emas Manila.

(Gambar-gambar selepas ini diambil pada Hari 3 oleh Akmal.)

Setelah membersihkan diri dan berwuduk, kami pun masuk ke dalam masjid untuk bersolat Dhuha. Usai solat, kami mencari tempat untuk duduk bagi 30 jam berikutnya. Agak ramai juga yang berehat di masjid ini dan terdapat juga jemaah-jemaah Tabligh. Cuma ketika bukan waktu solat, bekalan elektrik di masjid ini dimatikan dan tandas/tempat berwuduk dikunci.

Masjid ini agak besar cuma kurang terjaga sahaja. Sekeliling masjid ini terdapat rumah-rumah setinggan didirikan. Jadi memandangkan kembara kali ini di dalam bulan Ramadhan dan kami berpuasa serta ingin mengurangkan perbelanjaan, maka disinilah kami beriktikaf untuk 30 jam (perancangan tetapi akhirnya cuma 27 jam sahaja). Jadi kami umpama jemaah tabligh juga. 

Ketika bukan waktu solat, kami membuat pelbagai ibadah seperti solat sunat dan membaca al-quran. Ketika waktu solat kami pun sama bersolat jemaah. Cuma di masjid ini, setelah azan berkumandang, akan ada sesi ceramah tazkirah selama di antara 30 ke 45 minit dan kemudian barulah iqamah berkumandang seterusnya solat jemaah ditunaikan.

Di dalam Masjid Emas Manila.

Di dalam Masjid Emas Manila.

Di dalam Masjid Emas Manila.

Di dalam Masjid Emas Manila.

Di sebelah petangnya, terdapat satu majlis diadakan di perkarangan masjid, khabarnya ada pemimpin Islam tempatan mengadakannya untuk meraikan hari-hari akhir Ramadhan. Dalam majlis itu terdapat ceramah yang semuanya dalam bahasa Filipinos/Tagalog, malah 100 peratus komunikasi adalah dalam bahasa Filipinos, jadi saya tidak memahaminya. Kami duduk di dalam masjid sahaja. Terdapat juga sumbangan-sumbangan diberikan dan di akhir majlis terdapat makanan dan minum diagihkan. Tetapi tidak semua dapat termasuk kami.

Jadi saya keluar dari masjid dan pergi ke pasar untuk membeli buah-buahan. Sebenarnya di luar masjid ini terdapat banyak kedai-kedai dan gerai-gerai yang menjual makanan, namun oleh kerana soal kebersihan agak kurang dan juga oleh kerana membantu Akmal dengan semangat "espirit de corp" yang memang kekurangan bajet. Saya juga ke salah sebuah pasaraya yang saya terjumpa betul-betul di sebelah kawasan pasar, untuk membeli air minuman (air mineral), kerana air minuman lebih murah di pasaraya (pengalaman biasa di kebanyakan negara).

Terdapat satu majlis di perkarangan Masjid Emas Manila.

Terdapat satu majlis di perkarangan Masjid Emas Manila.

Pada waktu berbuka, kami pun berbuka dengan apa yang saya beli tadi. Jadi saya berjaya berpuasa selama dua hari dengan hanya berbekalkan air minuman dan buah-buahan saya. Di masjid ini tidak seperti di negara kita, tiada jamuan berbuka puasa disediakan oleh pihak masjid. Memang ala kadar kehidupan umat Islam di Manila ini. Malah tiada pasar ramadhan atau istilah membeli-belah sempena Aidilfitri di sini. 

Pada waktu malam, masjid ini agak meriah dari waktu Maghrib sehingga waktu Tarawikh. Masjid ini agak penuh sehingga rasanya terdapat berbelas-belas saf untuk solat Tarawikh. Oh lupa, pada solat waktu biasa waima Zohor atau Asar pun sekurang-kurangnya ada empat saf penuh jemaah yang bersolat jemaah. Walaupun ala kadar, tapi ia lebih baik dari keadaan di Malaysia.

Solat tarawikh di sini diimamkan oleh imam dari Arab Saudi. Malah bacaannya sungguh menarik hati, sehinggakan saya sendiri menangis mendengarnya, sama seperti saya menangis ketika beberapa imam terutama Allahyarham Imam Abdul Rahman as-Sudais membaca surah al-Quran. Solatnya agar cepat juga dengan tiga kali solat sunat Tarawikh dua rakaat, mengambil masa 15 minit sahaja dengan berjaya menghabiskan semua surah di dalam juzuk 30 al-Quran (Muqaddam). Cuma pada rakaat terakhir iaitu rakaat ke lapan, terdapat sujud sajaddah di mana doa sujud sajaddah agak lama kira-kira 20 minit juga. Dalam doa ini juga saya menangis kerana terdapat pelbagai doa yang minta kesejahteraan kehidupan dan meminta agak dapat merasai Ramadhan tahun hadapan (saya agak faham sedikit Bahasa Arab, jadi itu yang boleh sikit-sikit hadam apa yang didoakan). Selepas usai solat Tarawikh, lampu masjid ditutup dan kami serta beberapa orang berehat dan tidur. 

Di dalam Masjid Emas Manila pada waktu malam.

Solat tarawikh di Masjid Emas Manila.

Kemudian, pada pukul 1:00 pagi, kami dikejutkan untuk melakukan qiamulalil pula. Jadi kami semua mengadakan solat Tahajjud berjemaah dan diimamkan juga oleh imam dari Arab Saudi. Boleh dikatakan skrip solat Tarawikh tadi berulang kembali. Akhirnya pada pukul 2:30 pagi, kami bersambung berehat dan tidur selepas lampu masjid dimalapkan sekali lagi.

Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Jumaat, 29 Julai 2016

Hari 2 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Vigan, Tinggalan Penjajah Sepanyol di Filipina.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Saya di depan tugu New 7Wonders di Vigan.

Hari 2 (01 Julai 2016 - Sabtu).


Saya sebenarnya tidur-tidur ayam sahaja semasa menaiki bas Partas ke Vigan ini. Bukan apa, tempat duduknya agak sempit berbanding bas-bas ekspres di Malaysia. Kena pula yang duduk di sebelah saya adalah lelaki, jadi ruang digunakan agak besar juga. Lagipun bas ini ada berhenti menurunkan penumpang di tengah-tengah jalan. Vigan juga bukan destinasi terakhir kerana bas ini akan teruskan perjalanan ke Laoag, lebih utara lagi berbanding Vigan. Jadi kena bersedia.

Pada pukul 4:40 pagi, tat kala saya baru rasa terlelap kerana bersahur dengan epal dan air pada pukul 4:00 pagi (Subuh pada sekitar 4:20 pagi), tiba-tiba terasa bas berhenti, lampu dibuka dan kedengaran bunyi "Vigan! Vigan!". Rupanya sudah sampai Vigan. Saya pun turun dan termanggu-manggu di stesen bas Partas di Vigan ini.

Pertama sekali saya mencari tempat yang sesuai untuk bersolat subuh. Agak payah juga di Filipina ini berbanding dengan Thailand, walaupun kedua-dua negara merupakan negara bukan Islam, namun Thailand lebih mudah mencari kemudahan untuk ibadah Islam. Di Filipina ini baik dari tempat ibadah mahupun makan lebih sukar. Jadi saya pergi sahaja di mana tempat yang sesuai, di tepi kedai yang belum dibuka di pasar seberang sahaja stesen bas ini.


Stesen bas Partas di Vigan.

Seterusnya, saya duduk rehat di tempat menunggu di stesen bas ini. Di situ, saya melihat orang-orang yang mundar-mandir di situ dan bas-bas yang silih ganti berhenti menurunkan dan mengambil penumpang. Sempat juga saya dan beberapa orang di situ melihat rancangan di televisyen yang ada di situ.

Pada pukul 5:30 pagi, saya pun berjalan dari stesen bas menuju ke kawasan tarikan utama di Vigan iaitu Crisologo Street, yang merupakan antara lorong yang masih kekal tinggalan penjajah Sepanyol. Saya melalui Pasar Awam Vigan yang mula sibuk dengan kegiatan hariannya. Di Vigan ini, terasa tenang sedikit berbanding di Manila, agak tenang sahaja di waktu pagi ini. Saya tidak sedar bahawa saya berada lebih 400 kilometer dari Metro Manila. Di sini walaupun di bumi asing, namun terasa selamat sebenarnya.


Pasar awam Vigan.



Peta: Perjalanan dari Stesen Bas Partas, Vigan ke pusat bandar Vigan.


Setelah berjalan mengikut aplikasi Google Maps untuk ke Crisologo Street, maka saya pun sampai ke persimpangan lorong tersebut dengan Liberation Boulevard. Pada peringkat awal, lorong ini tidak begitu ramai orang. Bangunan-bangunan yang ada mempunya rekabentuk gaya Eropah pada abad ke-16. Malah jalannya juga merupakan daripada batu-bata. Dipasangkan pula dengan sinaran lampu, memang nampak agak cantik juga apabila gambar diambil.

Premis-premis perniagaan yang ada masih belum dibuka, maklumlah masih awal lagi. Jadi suasana agak tenang. Dengan ketenangan itu, saya pun bergerak menelusuri lorong ini dengan penuh minat sekali. Rasanya seperti berada di Melaka pun ada, cuma Melaka terasa sudah dikomersilkan sangat, tetapi Vigan ini masih lagi kurang tumpuan. 



 Keadaan pagi di Crisologo Street di Vigan.

   Keadaan pagi di Crisologo Street di Vigan.

Namun ketenangan itu hanya sampai dipertengahan. Rupa-rupanya di pertengahan lorong Crisologo ini, pengunjung agak ramai juga. Rupanya ramai yang berfikiran seperti saya, kerana ingin melihat suasana pagi di lorong tinggalan penjajah Sepanyol ini. Kebanyakan mereka ini rupanya datang dengan van pelancong, datang sejauh dari Manila. Di kawasan ini, bangunan-bangunannya lebih teratur. Tetapi kedai-kedai juga sama, belum dibuka.

  Orang ramai di waktu pagi di Crisologo Street di Vigan.

  Antara premis perniagaan di Vigan.

Kalaulah kedai-kedai dibuka ketika ini, rasanya banyak juga jualan boleh diperolehi. Pengunjung yang datang ini kebanyakannya orang Filipina sendiri, namun ada juga yang datang dari luar negara. Mereka pun sibuk mengambil gambar keunikan lorong warisan bandar Vigan ini. Vigan sebagaimana juga di Manila, mempunyai banyak patung yang menjadi tugu peringatan individu-individu yang diabadikan tersebut. 

  Antara tugu patung di sekitar kawasan Plaza Burgos, Vigan.

Semasa saya berjalan, terjumpa sebuah cawangan bank Maybank Filipina di tengah-tengah kawasan tumpuan. Ia terletak di hujung Crisologo Street dan Plaza Burgos. Saya pun cuba mengambil kesempatan untuk mengeluarkan wang ATM, cuma urusan ATMnya masih belum boleh membuat transaksi kad ATM luar Filipina.

  Cawangan Maybank di Plaza Burgos, Vigan.

Selanjutnya saya terus ke Plaza Burgos yang merupakan dataran utama di bandar Vigan ini. Van-van pelancong banyak diparkir di sini. Orang agak ramai juga pada pagi ini. Di dataran ini juga terdapat kereta-kereta kuda yang diwarisi dari zaman penjajahan, menanti pengunjung untuk menaikinya. Ia amat menarik hati saya, cuma saya tidak pula ingin mencuba menaikinya, mungkin risau dengan caj yang akan dikenakan. Cuma apa yang saya lihat, terdapat kantung khas di kawasan punggung kuda, yang menampung najis kuda. Tidak hairanlah, tidak kedapatan najis kuda di jalanan bandar Vigan ini. Satu kaedah yang perlu dibuat oleh pengusaha kereta lembu di Melaka.

  Peta bandar Vigan.

  Kereta kuda menanti penumpang di Plaza Burgos.

  Plaza Burgos, Vigan.

Saya teruskan perjalanan saya di Viga ini dan terjumpa dengan salah satu lagi ikon bandar Viga iaitu gereja Vigan Cathedral. Pada pagi ini, akan ada perhimpunan (mass) jadi ada ramai orang masuk ke dalam gereja ini. Gereja ini juga tempat di mana perisytiharan Vigan sebagai salah satu dari Bandar New 7Wonders telah di adakan.

Di antara gereja ini dan dataran Plaza Burgos, terdapat satu lagi mercu tanda iaitu Menara Jam Vigan. Sebaris dengan menara jam, terdapat sebarisan bangunan berekabentuk Sepanyol lama, saling tidak ubah kalai kita lihat cerita Zorro atau cerita koboi yang ada unsur Mexico. Bangunan-bangunan ini kini menempatkan restoran-restoran makanan segera seperti McDonald's, Jolly Bee's (rangkaian makan segera jenama tempatan yang popular di Filipina) dan Chow King (juga satu lagi rangkaian tempatan yang popular).

  Vigan Cathedral.

  Menara Jam Vigan.

  Sebarisan restoran-restoran makanan segera di Plaza Burgos, Vigan.

Di hadapan gereja Vigan Cathederal adalah satu lagi dataran iaitu Plaza Salcedo. Lupa di maklumkan bahawa Burgos dan Salcedo ini merupakan dua anak tempatan (anak watan rantau Ilocos) yang berjasa kepada Ilocos dan juga Filipina keseluruhannya. Jika di Plaza Byrgis merupakan dataran padang rumput, di Plaza Burgos ini pula terdapat kolam air. Juga beberapa tugu termasuk tugu Bapa Kemerdekaan Filipina, Jose Rizal yang mengadap Vigan Cathederal. Di sebelah dataran ini terdapat juga sebuah blok kedai lama yang mengekalkan senibina Sepanyol. Sukar dapat di tempat lain terutama di Asia ini, seni reka yang sama.

  Plaza Salcedo.

  Peta negara Filipina di Plaza Salcedo.

 Kolam air di Plaza Salcedo.

 Blok kedai lama di sebelah Plaza Salcedo.

 Plaza Salcedo.

Saya teruskan perjalanan menuju ke arah bahagian utara Plaza Salcedo. Di sini terdapat tugu perkataan wilayah di mana Vigan terletak iaitu wilayah Ilocos Sur (Sur adalah Selatan di dalam bahasa Sepanyol). Ini memang ada kaitan keraja di belakangnya iaitu di seberang jalan merupakan Capitol atau seperti Parlimen Wilayah atau Dewan Undangan Wilayah bagi Ilocos Sur. Di kawasan itu juga terdapat tarikan-tarikan di Vigan dalam bentuk mini. Di sebelah Capitol Ilocos Sur adalah bangunan Mahkamah Ilocos Sur.

 Tugu perkataan wilayah Ilocos Sur.

 Tarikan di Vigan bentuk mini.

  Illocos Sur Capitol (Dewan Undangan Wilayah).

 Mahkamah Vigan.

Selanjutnya, saya ke sebelah barat Plaza Salcedo. Di sinilah terletaknya bangunan Dewan Bandaraya Vigan. Di sini adalah tempat yang sebenarnya tujuan utama saya iaitu terdapatnya tugu New 7Wonders di sini. Vigan telah dipilih pada 07 Julai 2014 bersama enam bandaraya lain sebagai 7 Bandaraya-bandaraya New 7Wonders (New 7Wonders Cities) yang juga termasuk Kuala Lumpur (bandaraya yang saya duduki). Dengan ini maka saya telah ke lima dari 22 New 7Wonders yang ada (ini termasuk Piramid yang tiada dalam 7Wonders tetapi menjadi mercutanda kehormat kerana ia adalah 7 Keajaiban Dunia asal yang masih utuh).

Di sini juga saya ditegur oleh orang tempatan, yang bercakap Filipinos/Tagalog atau Ilocos dengan saya, saya pun tidak boleh beza. Saya mengatakan saya tidak boleh bercakap bahasa berkenaan dalam bahasa Inggeris, malah saya berkata saya orang Malaysia. Terkejut juga mereka, kerana inilah pertama kali mereka berjumpa pengunjung dari Malaysia. Memang agaknya tempat ini tidak popular di kalangan orang Malaysia agaknya.

Di sini juga terdapat tugu yang menceritakan sejarah bandar Vigan ini dari zaman Sepanyol. Terdapat plak asal yang diberikan oleh pemerintah Sepanyol yang memberikan status bandaraya pada abad ke-17 kepada Vigan ini. Dikatakan, dahulu Vigan ini lebih besar dari Manila dan menjadi pusat pentadbiran bagi Sepanyol satu ketika dahulu. Berdekatan dengan bangunan Dewan Bandaraya ini juga, terdapat Tugu Tapak Warisan UNESCO Vigan yang memperakui bahawa Vigan ini juga adalah salah satu dari Tapak Warisan UNESCO.

 Bangunan Dewan Bandaraya Vigan.

Saya di depan tugu New 7Wonders di Vigan.

 Tugu New 7Wonders di Vigan.

 Plak Tugu New 7Wonders di Vigan.

 Tugu bandar Vigan.

 Tugu Tapak Warisan UNESCO Vigan.

Matahari pun mula memberikan sinar dan bahangnya, lalu saya kembali ke Plaza Burgos dan kemudiannya kembali ke Crisologo Street. Alhamdulillah saya mendapat gambar yang agak menarik ketika ini.

 Tugu Burgos.

 Critologo Street dengan kereta kuda.

Saya kemudian berjalan-jalan ke seluruh bandar Vigan ini. Bandar ini tidaklah sebesar mana, namun sebahagian dari bandar ini masih terjaga dari segi rekabentuk penjajah Sepanyol. Namun terdapat juga kawasan yang mempunyai rekabentuk moden. Malah terdapat juga stesen minyak, bank dan pelbagai kemudahan di kawasan bahagian baru bandar ini. Dalam perjalanan, terdapat banyak juga anjing-anjing berkeliaran. Cuma anjing di sini tidak seperti di Malaysia, anjing-anjing ini agak takut kepada manusia. Malah terdapat jenis anjing yang tidak disangka-sangka berkeliaran secara bebas di sini. Saya terjumpa anjing jenis Chihuahua berkeliaran.

 Stesen minyak Shell di tengah-tengah bandar Vigan.

 Anjing kecil Chihuahua bebas berkeliaran.

 Bahagian baru bandar Vigan.

 Salah satu gereja di kawasan perkuburan utama di Vigan.

Setelah lebih tiga jam berjalan, saya kembali semula ke stesen bas Partas. Saya pun membeli tiket bas kembali ke Pasay, Metro Manila pada sebelah petang iaitu pukul 5:00 petang. Ia dijual pada harga ₱641 (+- RM58.00). Bas ini merupakan bas pertama ke Pasay pada hari itu selain waktu pagi (pukul 7:00 pagi). Selepas itu, saya pun duduk sebentar menghilangkan penat, lagipun saya sedang berpuasa. Masa pun masih awal, masih pukul 9:00 pagi, ada lagi 9 jam untuk berbuka puasa, tenaga perlu dikawal penggunaannya.

Menunggu bas di dalam stesen bas Partas, Vigan.

Tiket bas Vigan ke Pasay, Metro Manila.

Selepas 20 minit saya berehat, saya pun kembali ke Crisologo Street untuk membeli cenderahati, kerana saya percaya pada masa ini beberapa kedai cenderahati telah dibuka. Dalam perjalanan, terdapat beberapa perkara yang menarik hati saya, antaranya, meter elektrik di Filipina ada berbentuk bulat.

 Meter bacaan elektrik di Fulipina.

Muzium Crisologo.

 Permulaan Crisologo Streen, Vigan.

Dalam perjalanan, saya terjumpa Muzium Crisologo, walaupun ia percuma, namun saya tidak memasukinya, kerana pada masa itu terdapat satu bas pelancong sedang mengunjunginya. Jadi saya terus ke Crisologo Street. Sampai di sana, saya pergi ke kedai pertama yang saya sampai dan bertanya harga barang-barang yang saya ingin beli. Harga asal agak tinggi sedikit, contohnya kemeja T sebarang saiz, berharga ₱150 (+- RM13.50) sehelai dan magnet peti ais pada harga ₱50 (+- RM4.50) sebuah. Namun saya dapat tawar harga sehingga ₱500 (+- RM45.00)  bagi empat helai kemeja T dan tiga buah magnet peti ais.

 Antara kedai yang dibuka di Crisologo Street.

 AKemeja-T I love Vigan.


Setelah itu, saya ke cawangan Maybank tadi untuk mengeluarkan sedikit wang peso Filipina sebagai persediaan. Kadar yang diberikan lebih baik daripada pengurup wang di Malaysia (kalau di Filipina lebih mahal dari di Malaysia). Jika pengurup wang boleh tawar ₱8.6 = RM1.00, dengan pengeluaran ATM Maybank Filipina, selain tiada sebarang caj, kadar diberikan adalah ₱8.75 = RM1.00. Memang lebih baik.

 Resit pengeluaran ATM Maybank Vigan.

Setelah itu, saya kembali ke stesen bas untuk menunggu bas walaupun masih 6 setengah jam lagi untuk menunggu. Jadinya saya menjadi penunggu setia di stesen bas ini. Walaupun cuaca agak panas, tetapi di stesen bas ini terdapat kipas angin dan juga televsyen sebagai penghibur, walaupun kurang memahami. Saya solat di kawasan lapang di stesen ini. Dalam masa menunggu, saya dapat lihat banyak bas datang dan pergi,mengambil dan menurunkan penumpang, dari dan ke pelbagai destinasi. Antaranya Laoag, Cubao dan sebagainya. 

(Selepas sampai di Manila, baru saya tahu bahawa Cubao merupakan salah satu stesen bas di Manila. Bas-bas di Filipina tidak menyatakan destinasi Manila tetapi sebaliknya nama bandar di dalam Metro Manila seperti Cubao dan Pasay. Jika tahu lebih awal, saya naik sahaja bas ke Cubao, kerana ia mempunyai perjalanan lebih kerap).

Keadaan di dalam pasar awam Vigan.

Semasa sejam sebelum bas saya sampai, saya pun ke pasar awam Vigan untuk membeli buah-buahan untuk bekalan berbuka dan sahur nanti. Itu sahaja saya berani beli. Sambil itu saya berjalan-jalan di pasar ini untuk melihat keadaan di pasar ini. Masa operasinya sampai ke petang. Saya juga ke kedai 7-Eleven terdekat untuk membeli beberapa botol air minuman sebagai bekalan.

Bas ke Pasay sampai 10 minit sebelum pukul 5:00 petang dan tepat pukul 5:00 petang, setelah semua penumpang menaikinya, ia pun bergerak meninggalkan Vigan. Dari atas bas, saya dapat melihat lebih jelas suasana pinggir bandar Vigan. Oleh kerana masa ini masih siang, maka saya dapat juga melihat keadaan jalan di sini. Jalan raya di Filipina dibina dengan menggunakan simen dan konkrit, tidak seperti di Malaysia yang menggunakan batu bintumen atau tar.

Saya pun dapat melihat jambatan Vigan dan juga keadaan pesisir pantai semasa perjalanan. Ketika bas ini sampai di pekan Santa Cruz, telefon bimbit saya yang telah saya tetapkan waktu Vigan, menunjukan waktu Maghrib dan berbuka. Jadi saya berbuka dengan buah dan air mineral yang ada. Selepas itu saya cuba melelapkan mata setelah langit menjadi gelap. Bas ini berhenti di kawasan San Fernando pada pukul 10:00 malam untuk berhenti makan (saya hanya membuang air sahaja). Lepas setengah jam bas ini bergerak meluncur menuju ke Manila sambil saya tidur dengan tidur-tidur ayam.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.