Isnin, 20 Jun 2016

Hari 5 & 6 (Taipei, Taiwan - 06 hingga 11 Mei 2016) - 再見台北 (Zàijiàn Táiběi (Selamat Tinggal Taipei)).

Bersambung dari Hari 4.

Jika mahu lihat catatan:

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6 (this part).

Menanti Upacara Pertukaran Pengawal di dalam Dewan Memorial Dr. Sun Yat-sen.

Hari 5 (10 Mei 2016 - Selasa).


Hari ini merupakan hari terakhir kami di Taipei, Taiwan. Rasa macam sekejap sahaja kami di Taipei ini. Jadi sebelum bersarapan sesudah membersihkan diri dan bersolat, saya dan Hafiz membersihkan pakaian yang telah dipakai sepanjang di Taipei ini di mesin basuh berbayar. Bagi mod membasuh bayarannya adalah NT$50 (+- RM6.30) untuk setengah jam. Boleh membasuh sehingga 14 kilogram sekali basuh. Kemudian untuk mod mengering pula pada harga NT$10 (+- RM1.25) untuk 6 minit. Tapi kalau 6 minit tidak akan keringkan, jadi perlu sekurang-kurangnya setengah jam untuk mengering.

Setelah selesai, kebetulan masa untuk sarapan pun bermula. Setelah bersarapan, kami pun mendaftar keluar penginapan kami kerana kami takut kami terlajak lambat pulang pada had masa untuk mendaftar keluar iaitu pada pukul 12:00 tengahari. Beg-beg kami diletakan pada tempat yang disediakan.



Peta: Perjalanan dari penginapan ke Taipei Zoo.


Seperti biasa, kami ke Stesen Metro Ximen untuk ke destinasi seterusnya dengan menambah nilai kad EasyCard kami dengan NT$100 (+- RM12.50). Destinasi kami adalah untuk menaiki kereta kabel Maokong Gondola yang patut kami pergi pada Hari 3. Terminal utama Maokong Gondola terletak di sebelah sahaja Stesen Metro Taipei Zoo, malah ia tidak jauh dari Zoo Taipei itu sendiri. Jadi kami mengikut laluan yang sama untuk ke sana.



Notis pemberitahuan penggantungan perkhidmatan Maokong Gondola.


Setelah perjalanan mengambil masa hampir sejam, apabila kami sampai di Stesen Metro Taipei Zoo, kami ternampak notis pemberitahuan bahawa perkhidmatan Maokong Gondola digantung untuk penyelenggaraan besar tahunan dari 10 Mei 2016 (iaitu Hari 4 kami di Taipei) hingga 31 Mei 2016! Bermakna, hari kami ke Zoo Taipei tempoh hari merupakan hari terakhir perkhidmatannya sebelum ia digantung sementara. Huh, rasa kecewa pun ada, tiada rezeki kami. Memang ini antara menyebabkan saya kena pulang semula ke Taipei agaknya.




Peta: Perjalanan dari Taipei Zoo ke Dewan Memorial Nasional Sun Yat-sen.


Memandangkan kami sudah tidak dapat ke Maokong Gondola, maka kami kembali semula ke pusat bandaraya Taipei untuk ke Dewan Memorial Nasional Sun Yat-sen pula. Kami menaiki Metro Taipei sehingga ke Stesen Metro Sun Yat-sen Memorial Hall yang terletak di sebelah dewan peringatan ini. Ingat, dewan peringatan ini tidak sama dengan Dewan Memorial Chiang Kai-shek yang kami lawati semalamnya. Seperti biasa, cop khas stesen perlu diambil sebagai kenangan.



 Cop Stesen Metro Taiwan, Dewan Memorial Dr. Sun Yat-sen.


Kalau yang biasa mengikuti perjalanan saya selama ini, boleh dikatakan setiap bandar utama mempunyai mercu tanda peringatan terhadap Dr. Sun Yat-sen atau dikenali di kalangan masyarakat Cina dikenali sebagai Zhongshan. Jika sebelum ini di Shanghai kemudian di Macau, Hong Kong dan Guangzhou mempunyai memorial seperti ini. Siapa Dr. Sun Yat-sen ini?



Bergambar di depan patung-patung Dr Sun Yat-sen.


Dr. Sun Yat-sen boleh dikatakan sebagai bapa negara China moden. Daripada usaha beliaulah yang menjatuhkan pemerintahan Maharaja China pada tahun 1911 dan digantikan dengan Republik China berasaskan Parti Nasionalis atau Kuomintang (KMT). Beliau merupakan Presiden Republik China sehingga kematiannya pada tahun 1925. Bukan pihak Nasionalis (yang kini berundur dari tanah besar China ke Taiwan setelah kalah dalam perang saudara China pada 1949), malah seteru mereka di tanah besar China iaitu pihak Komunis. Tidak seperti Chiang Kai-shek yang segala imej dan kaitannya diharamkan di tanah besar China serta apa sahaja berkaitan dengan Parti Nasionalis termasuk bendera Taiwan tetapi Dr. Sun Yat-sen, walaupun beliau yang mengasaskan Parti Nasionalis, tetapi beliau diperakui juga oleh pihak Komunis China. Jadi imej beliau kekal di tanah besar China.



Menanti Upacara Pertukaran Pengawal di dalam Dewan Memorial Dr. Sun Yat-sen.


Di sini, juga terdapat Upacara Pertukaran Pengawal diadakan setiap jam dari pukul 9:00 pagi hingga pukul 5:00 petang. Kebetulan kami sampai, upacara tersebut akan dimulakan. Cuma kehadiran orang terutama datang dari tanah besar China agak ramai di sini dan ruang dewan yang agak kecil berbanding Dewan Memorial Chiang Kai-shek. Upacara tersebut juga mengambil masa sekitar 15 minit. Cuma sikap pengunjung dari tanah besar China ini agak menyakitkan hati saya. Tidak mengapalah, saya bersabar menghadapinya. Saya sebenarnya ada merakam dalam bentuk video menggunakan telefon bimbit Hafiz, namun terdapat masalah teknikal, saya tidak dapat memuat naiknya di sini. Insya Allah, jika ada penyelesaian akan saya muat naiknya di sini. 



 Antara cop di Dewan Memorial Dr. Sun Yat-sen.


 Antara cop di Dewan Memorial Dr. Sun Yat-sen.


 Antara cop di Dewan Memorial Dr. Sun Yat-sen.

Setelah usai upacara tersebut, kami meneruskan melawat pameran. Di sini dapat dilihat beberapa artifak Dr. Sun Yat-sen yang tersimpan di Taipei. Untuk sejarah hidupnya, saya tidak mengikuti sangat di sini, kerana sudah beberapa kali didedahkan baik di dalam bacaan (internet/buku) mahupun sepanjang kunjungan di mercu peringatan di bandaraya lain. Tapi di dewan peringatan ini, terdapat cop-cop yang boleh dikumpul untuk peringatan kita pernah datang ke sini.


Bergambar berlatar-belakangkan Taipei 101 di Dewan Memorial Dr. Sun Yat-sen.


Setelah selesai melawat pameran, saya dan Hafiz ke luar bangunan untuk mengambil angin dan mengambil gambar. Bangunan Taipei 101 memang jelas dari perkarangan dewan ini. Jadi kami ambil kesempatan untuk mengambil gambar. Cuma pencahayaan semula jadi daripada matahari tidak menyebelahi kami.




Peta: Perjalanan dari Dewan Memorial Nasional Sun Yat-sen ke Tamsui.


Selepas itu, kami semula ke stesen Metro untuk ke Tamsui semula walaupun kami telah pergi sama pada malam Hari 3. Kali ini kami hendak melihat suasana pada waktu siang pula. Jadi perjalanan menaiki tren Metro ke sana mengambil masa hampir sejam dengan sekali pertukaran laluan.



Permandangan Sungai Tamsui dan kawasan Bali (bukit) dari bandar Tamsui.

Persisiran Sungai Tamsui.

Siar jalan di pesisir Sungai Tamsui di bandar Tamsui.

Sampai di Tamsui, kami pun bersiar-siar melalui tempat yang kami jalan pada malam Hari 3 lepas. Kali ini jelas sedikit permandangannya dan premis-premis perniagaan terbuka. Hafiz membelanja untuk makan dan minum, tapi biasalah, harganya lebih mahal dari Pasar Shilin. Kali ini kami masuk ke dalam bandar lama Tamsui. Suasana bandar lama Tamsui ini agak hidup juga. Banyak barangan yang dijual. 

Jalanan di dalam bandar Tamsui.

Jalanan di dalam bandar Tamsui.


Di sini juga kami menemui beberapa pengunjung yang datang dari Malaysia. Kami berbual seketika tentang pengalaman kami. Oleh kerana cuaca agak mendung dan kemudian menjadi rintik-rintik, maka kami pun mengambil keputusan untuk pulang ke penginapan.




Peta: Perjalanan dari Tamsui ke penginapan.


Cop WOW Hostel Ximen.

Sampai di penginapan, kami duduk sebentar di ruang utama penginapan, kerana masih awal lagi, iaitu pukul 2:45 petang. Sementara itu, kami tinggalkan kenangan kami di WOW Hostel Ximen ini. Pada pukul 4:00 petang kami ambil keputusan untuk terus ke lapangan terbang, rasa tidak selesa untuk mereput di penginapan. Lagipun kalau berjalan pun cuaca mendung, takut bila berjalan pula hujan pula. Selain itu, untuk mengurangkan penggunaan wang New Taiwan Dollar yang tinggal nyawa-nyawa ikan ini.


Kenangan kami di WOW Hostel Ximen - Wang RM1 lama.

Gambar dengan staf WOW Hostel Ximen.


Jadi semasa kami hendak keluar, sempat kami bergambar kenangan dengan staf-staf WOW Hostel Ximen yang memang mesra dan banyak membantu. Ketika sampai di bawah, saya sempat mengambil seketika video lori sampah di Taipei. Bersih dan siap ada lagu. Menarik sekali bagi saya.



Lori sampah di Taipei.



Peta: Perjalanan dari penginapan ke Stesen Bas Taipei Barat Terminal A.


Kaunter bas di Stesen Bas Taipei Barat Terminal A.


Barisan untuk menaiki bas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan (TPE).


Kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja dari penginapan ke Stesen Bas Taipei Barat Terminal A. Oleh kerana tiada orang di kaunter tiket, maka saya terus membeli tiket bas di kaunter, walaupun pada awalnya saya ingin mencuba membeli di mesin tiket sahaja. Seperti pada Hari 3, tiketnya berharga NT$125 (+- RM15.70) per orang sahaja. Jadi kami terus sahaja ke pintu platform, tidak ramai orang, mungkin kerana masa ini bukan masa puncak orang ke lapangan terbang. Cuma bas belum tiba. Tidak lama kemudian, bas pun tiba dan kami meletakan beg kami di ruang beg di bawah bas. Terdapat pengasingan untuk penumpang ke Terminal 1 dan Terminal 2. Kami letakan di tempat bagasi Terminal 1 dan diberikan tag untuk beg kami.



Teg bagasi bas Kuo-Kuang Bus.


Bas nombor 1819 ke TPE.

Terdapat port USB di setiap tempat duduk bas.


Meninggalkan bandaraya Taipei.

Setelah menaiki bas, kami pun menaiki bas. Perkhidmatan bas ini lebih selesa berbanding dengan perkhidmatan bas yang membawa kami dari lapangan terbang ke Taipei semasa kami tiba tempoh hari. Malah, pada setiap tempat duduk, terdapat port USB yang boleh digunakan untuk mengecaj telefon bimbit. Tempat duduknya pun berkonfugirasi 2+1, jadi lebih luas. Bas ini kemudiannya berlepas meninggal stesen bas menuju ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan Taoyuan. Selepas 40 minit, sampai bas ini di destinasi, agak cepat juga.



Peta: Perjalanan dari penginapan ke Stesen Bas Taipei Barat Terminal A.


Tiba di balai berlepas Terminal 1 TPE.

Kami sampai agak awal di lapangan terbang iaitu pada pukul 5:30 petang. Masih ada masa 3 jam untuk mendaftar masuk dan lagi 3 jam lagi (jumlah 6 jam menunggu) untuk kapal terbang berlepas. Jadi untuk "membunuh" masa, saya pun bersiar-siar di kedua-dua terminal di lapangan terbang ini di mana Hafiz menjaga beg ini. Apabila selesai, Hafiz pula berbuat demikian. Apabila masuk waktu, saya bersolat sahaja di tepi kerusi yang saya duduk menunggu itu.

Balai berlepas Terminal 1 TPE.


Kiosk mengimbas resit untuk tuntutan balik cukai.

Akhirnya, setelah menunggu, terdapat beberapa orang mula beratur di depan kaunter daftar masuk AirAsiaX kira-kira setengah jam sebelum ia dibuka. Kami pun masuk ke dalam barisan beratur itu. Pada pukul 8:15 malam, kaunter dibuka dan proses mendaftar masuk pun berjalan lancar. Cuma beg kami ditimbang dan beg saya terlebih berat (11 kilogram) dari berat dibenarkan (7 kilogram). Berat beg Hafiz pula ringan sikit dari 7 kilogram. Mungkin kerana terdapat benda yang patut saya keluarkan seperti laptop dan sedikit minuman saya lupa keluarkan. Saya maklumkan bahawa saya akan mengeluarkan dan membahagikan dengan Hafiz, tetapi sebenarnya itu alasan sahaja.


Keratan pas pelepasan (simpanan penumpang).

Setelah mendaftar masuk kami pun terus ke pintu berlepas untuk menyelesaikan prosedur imigresen keluar Taiwan dan kastam. Saya kongsikan wang-wang Taiwan yang menjadi koleksi saya untuk disimpan sebagai kenangan di bawah ini.


NT$10 = +-RM0.13


NT$5 = +-RM0.63


NT$10 (lama) = +-RM1.25

NT$10 (baru) = +-RM1.25

NT$50 = +-RM6.25


NT$100 = +-RM12.50


NT$500 = +-RM62.50


Cop Keluar Imigresen Taiwan.

Urusan imigresen dan kastam berjalan lancar. Kami kemudian berjalan menuju ke pintu pelepasan A9. Jadi kami masih ada 2 jam lebih untuk menunggu. Saya mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di kawasa airside lapangan terbang ini. Saya melewati keuda-dua terminal tetapi hanya pada sayap utara saya. Setelah agak penat, saya kembali semula ke pintu pelepasan A9.

Pada pukul 10:00 malam, pesawat 9M-XXC milik AirAsiaX pun tiba dari Kuala Lumpur. Setelah menurunkan penumpang, pada pukul 10:45 malam, panggilan untuk kami, penumpang penerbangan D7 377 untuk menaiki pesawat. Agak awal juga. Jadi kami pun menaikinya. Apabila di dalam pesawat, dilihat dari tingkap pesawat, hujan yang tadi renyai-renyai, kini semakin lebat. Kasihan pula dengan petugas yang sedang bertugas memunggah bagasi dan lain-lain perkhidmatan sokongan penerbangan yang mengharungi hujan lebat ini. Apakan daya, demi mencari sesuap nasi dan melancarkan penerbangan.

Pada pukul 11:10 malam, pesawat ini meninggalkan pintu pelepasan. Namun setelah lebih setengah jam, ia tidak berlepas meninggalkan lapangan terbang, tetapi hanya berlegar di landasan laluan teksi lapangan terbang. Akhirnya, pada hampir tengah malam, pesawat kami meluncur di landasan terbang dan terbang meninggalkan Taiwan. 再見台北 (Zàijiàn Táiběi - Selamat Tinggal Taipei).


Hari 6 (11 Mei 2016 - Rabu).


Penerbangan kami berjalan lancar. Saya yang agak lapar akhirnya dapat menghilangkannya dengan makanan yang sedap yang memang saya tempah awal untuk dimakan di dalam penerbangan.



Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan AirAsiaX D7 377 pada 10 Mei 2016.

Penerbangan kami akhirnya tiba di landasan nombor 2 KLIA pada pukul 4:15 pagi. Pesawat kami tiba di pintu ketibaan P6 pada pukul 4:35 pagi dan kami mula masuk ke dalam Bangunan Satelit klia2 pada pukul 4:50 pagi. Macam biasa di klia2 perlu berjalan kaki untuk ke Bangunan Utama klia2 untuk urusan imigresen dan kastam. Akhirnya pada pukul 5:30 pagi, selesai semua. Saya mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada Hafiz yang mana selepas itu dia mengambil tren KLIA Transit untuk ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk pulang ke penginapannya.

Saya pula ke parkir motorsikal untuk mengambil skuter saya, setelah membayar bayaran parkir RM5 untuk hampir 6 hari diparkir. Saya meninggalkan klia2 dan berhenti di kawasan rehat dan rawat Sri Kembangan di Lebuhraya MEX untuk solat Subuh. Sampai di kawasan Kuala Lumpur, saya singgah di beberapa buah bank untuk menyimpan wang Ringgit Malaysia yang ada lebih (tinggalkan mana yang perlu sahaja) dan juga membayar sedikit penggunaan kad kredit saya di Taipei. Setelah itu, sebelum sampai di rumah, saya singgaj di sebuah restoran Mamak berhampiran untuk sarapan. Akhirnya pada pukul 7:00 pagi, saya sampai di rumah dengan selamat, alhamdulillah.

Jadi itulah catatan perjalanan saya untuk perjalanan ke Taipei. Semoga ia dapat memberi manfaat kepada yang akan pergi ke sana atau merancang ke sana. Sebenarnya ada banyak lagi tempat yang tidak dilawati di dalam perjalanan ini. Tetapi yang penting kita dapat pergi ke tempat yang tidak pernah kita jejaki sebelum ini. Insya Allah, saya akan meneruskan catatan kembara ini untuk perjalanan seterusnya. Insya Allah saya akan ke Filipina untuk ke Manila kemudian ke Viga untuk menziarahi salah satu bandar yang termasuk dalam senarai Bandaraya 7Wonders Dunia. Setelah untuk kembali ke Manila untuk transit ke Puerto Princesa di pulau Palawan untuk melawat sungai bawah tanah yang terpanjang di dunia yang juga termasuk di dalam senarai 7Wonders Alam Semulajadi. Nantikan catatannya.

Sementara itu, nikmati kehidupan kita dan mengembaralah tat kala hidup kita masih ada dan kita mampu untuk melakukannya. 


KembaraGD - Terokai Dunia, Nikmati Kehidupan.

Jika mahu lihat catatan:
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6 (this part).

Ahad, 19 Jun 2016

Hari 4 (Taipei, Taiwan - 06 hingga 11 Mei 2016) - Menjejaki Nasionalisme ROC di Taipei.

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan:

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5 & 6.
Dewan Memorial Chiang Kai-sek.

Hari 4 (09 Mei 2016 - Isnin).


Pada pagi setelah bersarapan pagi, saya dan Hafiz pun keluar untuk meneruskan perjalanan kami di Taipei ini, setelah kepulangan Abang DAN ke tanah air. Pagi ini, destinasi pertama kami adalah Dewan Memorial Chiang Kai-sek. Seperti biasa kami menggunakan Metro Taipei untuk ke sana, jadi kami ke Stesen Metro Ximen dan menambah nilai kad EasyCard kami terlebih dahulu. 



Peta: Perjalanan dari penginapan ke Dewan Memorial Chiang Kai-sek.


Cop Stesen Metro Taiwan, Dewan Memorial Chiang Kai-sek.


Apabila sampai di Stesen Metro Dewan Memorial Chiang Kai-sek, singgah dahulu untuk mendapatkan cop. Setelah itu, kami naik ke permukaan untuk ke perkarangan Dewan Memorial Chiang Kai-sek yang di sebelah sahaja pintu masuk stesen. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan ini.



Pintu Gerbang Dewan Memorial Chiang Kai-sek.

Dewan Persembahan Nasional Taiwan.

Panggung Seni Taiwan.

Kawasan ruang legar Dewan Memorial Chiang Kai-shek agak luas. Dahulunya kawasan ini merupakan markas utama Tentera Republik China (Taiwan). Dewan utama dan bina-binaan yang lain mula dibina pada tahun 1976 dan siap sepenuhnya pada tahun 1980. Selain dewan utama terdapat juga bangunan Dewan Persembahan Nasional Taiwan pada sebelah kanan jika dari Pintu Gerbang, manakala sebelah kirinya pula adalah Panggung Seni Taiwan. Boleh layari Wikipedia untuk maklumat lanjut.


Dewan Memorial Chiang Kai-sek.

Tugu Chiang Kai-shek.

Sampai sahaja kami di kaki Dewan Memorial ini, kena menaiki tangga pula untuk sampai ke tempat tujuannya. Jadi kami perlu menaiki tangga sebanyak 89 anak tangga yang ada itu. Rupanya bilangan anak tangga tersebut mempunyai makna iaitu umur Chiang Kai-sek ketika beliau meninggal dunia pada tahun 1975. Bagi yang tidak mengetahui, Chiang Kai-sek atau di dalam masyarakat Cina dikenali sebagai Zhongzheng, merupakan Presiden pertama Republik China di Taiwan. Kiranya beliaulah Bapa Taiwan. Dewan ini dibina bagi memperingati beliau yang merupakan pemimpin Parti Nasionalis atau Kuomintang (KMT) yang mendominasi politik Taiwan. Beliaulah pemimpin yang membawa kerajaan KMT dari tanah besar China ke Taiwan setelah kalah perang saudara kepada lawannya dari Parti Komunis China pada tahun 1949.

Pengawal di Tugu Chiang Kai-shek.

Pusat Sejarah Dewan Memorial Chiang Kai-sek.


Kami tiba di kawasan yang terletaknya Tugu Chiang Kai-shek pada pukul 8:45 pagi. Sebenarnya kami adalah untuk melihat Upacara Pertukaran Pengawal yang dibuat setiap jam, dari pukul 9:00 pagi ke pukul 5:00 petang setiap hari. Jadi terdapat lagi 15 minit, saya ke Pusat Sejarah Memorial Chiang Kai-sek di mana di sini menceritakan sejarah pembangunan Dewan Memorial ini, yang terletak di tepi sebelah kiri dewan ini.


Tugu Chiang Kai-shek dan pengawal-pengawalnya.



Upacara Pertukaran Pengawal di Dewan Memorial Chiang Kai-sek, Taipei, Taiwan.


Kemudian setelah seketika di Pusat Sejarah, kami kembali semula ke dewan utama untuk menyaksikan upacara yang dinantikan. Orang sudah mula ramai, dan mula digerakan ke tepi dewan, kerana memberi ruang untuk upacara tersebut. Jadi upacara tersebut dimulai dari sebelah kiri dewan, boleh saksikan video di atas untuk upacara penuh.



Upacara Pertukaran Pengawal di Dewan Memorial Chiang Kai-sek.


Upacara ini memang menunjukan kesegakan dan kekuasaan Tentera Republik China (Taiwan). Selain itu, ia tanda pihak tentera menjunjung penuh prinsip Nasiolisme yang didokong di Taiwan. Upacara tersebut mengambil masa kira-kira hampir 15 minit. Setelah selesai upacara tersebut, kami berjalan keluar dan menuju ke perhentian bas terdekat dengan pintu masuk Stesen Metro untuk menunggu bas bagi ke destinasi seterusnya, Martyr's Shrine (Tugu Pejuang).




Peta: Perjalanan dari Dewan Memorial Chiang Kai-sek ke Martyr's Shrine (Tugu Pejuang).


Kami mengambil bas bernombor 208 dari Dewan Memorial Chiang Kai-sek ke Martyr's Shrine (Tugu Pejuang). Kami menunggu tidak lama, dalam sepuluh minit untuk bas tersebut. Bas ini melalui laluan utama di tengah-tengah bandaraya Taipei dan sampai di Martyr's Shrine setelah hampir 50 minit dari Dewan Memorial Chiang Kai-sek.



Pintu masuk Martyr's Shrine, Taipei.

Pengawal pintu masuk Martyr's Shrine.

Bas berhenti di perhentian bas yang tidak berapa jauh dari pintu masuk Martyr's Shrine, jadi kami berjalan tidak jauh untuk ke pintu masuk. Di pintu masuk terdapat dua orang pengawal sedang mengawal pintu masuk ini. Pengawal-pengawal ini memakai pakaian berwarna putih, tidak seperti di Dewan Memorial Chiang Kai-sek yang berwarna biru. Kami sebenarnya baru terlepas Upacara Penukaran Pengawal di sini. Tidak hairan semasa kami sampai, terdapat banyak bas-bas pelancong berada di depan pintu masuk untuk mengambil pelancong-pelancong.

Dataran Martyr's Shrine.

Martyr's Shrine.

Kami pun masuk ke dalam kawasan Martyr's Shrine ini dengan tanpa sebarang bayaran. Memang nampak kesan kasut kawad tentera di Dataran Martyr's Shrine hasil dari upacara pertukaran pengawal. Kami terus masuk ke dalam untuk ke Martyr's Shrine nya. 

Mural emas di sebelah kanan Martyr's Shrine.

Mural emas di sebelah kiri Martyr's Shrine.

Martyr's Shrine ini merupakan bangunan yang kelihatan seperti sebuah tokong yang tujuannya memperingati pengorbanan anggota-anggota Tentera Republik China (Taiwan) yang berjuang mempertahankan Republik China (Republic of China - ROC) atau China Nasionalis sekian lama terutama dari lawan mereka di tanah besar China, Tentera Pembebasan Rakyat China atau lebih mudah dikenali sebagai China Komunis. Di pintu masuknya di kiri kanan terdapat mural emas yang menunjukan pertempuran-pertempuran utama Tentera Republik China (Taiwan). Maklumat selanjutnya boleh didapati di Wikipedia.

Martyr's Shrine.

Martyr's Shrine.

Di dalam Martyr's Shrine juga terdapat dua orang pengawal yang mengawal Martyr's Shrine ini. Tidak kira pengawal-pengawal Martyr's Shrine ini dan juga pengawal-pengawal di Dewan Memorial Chiang Kai-shek, memang tidak bergerak walau sedikit pun, serupa seperti patung. Renungan mereka agak serius dan tidak ada sebarang riak emosi kelihatan semasa mengawal. Setelah dua puluh minit di Martyr's Shrine, kami pun mengambil keputusan untuk beredar. Tidak larat hendak mengunggu Upacara Pertukaran Pengawal yang lama lagi hendak dimulakan.

Pengawal Martyr's Shrine.

Kotak-kotak transformer agihan elektrik yang cantik.


Kami berjalan kaki dari Martyr's Shrine menuju ke Grand Hotel yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Martyr's Shrine. Dalam perjalanan sempat juga saya mengambil gambar kotak-kota transformer agihan elektrik yang cantik dilukis.



Peta: Perjalanan dari Martyr's Shrine (Tugu Pejuang) ke 
Grand Hotel kemudian ke Stesen Metro Taipei Jiantan.

Untuk sampai ke bangunan Grand Hotel, oleh kerana jalan yang kami lalui ini hanya melalui kaki bukit yang terletaknya Grand Hotel, maka kami perlu mendaki tangga yang menghubungkan jalan utama dengan jalan ke hotel ini di atasnya. Kiranya seperti jalan pintaslah untuk pejalan kaki.


Tangga menuju ke Grand Hotel, Taipei.

Grand Hotel, Taipei.

Permandangan Taipei dari Grand Hotel, Taipei.

Sampai sahaja kami di bahagian atas tangga tersebut, tersergam bangunan Grand Hotel. Sebelum adanya bangunan Taipei 101, bangunan Grand Hotel inilah yang menjadi ikon Taipei disamping Dewan Memorial Chiang Kai-shek. Hotel ini agak unik kerana bangunan ini memaparkan seni bina Cina sepenuhnya, seperti tokong China yang bertingkat-tingkat. Bangunan utama hotel ini siap pada tahun 1973, namun hotel ini sebenarnya bermula lebih awal pada tahun 1952 lagi.  

Lobi Grand Hotel, Taipei.


Hotel ini memang agak mewah. Di ruang parkir kereta, banyak kereta mewah diletakan di situ, lagipun pada masa kami datang itu merupakan waktu-waktu akhir makan tengahari. Bangunan ini terletak di Bukit Yuan, yang mana memang jelas permandangan bandaraya Taipei dari hotel ini. Di dalam lobinya, warna tema adalah merah dan perhiasan berasaskan budaya Cina diletakan. Untuk tahu lebih lanjut tentang Grand Hotel boleh rujuk Wikipedia.



Peta: Perjalanan dari Stesen Metro Taipei Jiantan ke penginapan.


Setelah seberapa ketika di Grand Hotel, kami berjalan kaki menuju ke Stesen Metro Jiantan untuk makan tengahari sebelum pulang ke penginapan. Kami menaiki Metro dan turun di Stesen Taipei Main Station. Semasa kami berjalan dari stesen Metro menuju ke restoran untuk makan tengahari, kami ternampak iklan yang mengiklankan sebuah restoran Mamak yang sudah pasti menyajikan makanan Malaysia, cuma apabila melihat alamatnya, berada jauh dari kawasan sekitar itu. Perlu menaiki Metro dalam beberapa stesen untuk sampai ke tempatnya.



Iklan sebuah restoran mamak di stesen Metro Taipei Taipei Main Station.

Restoran tempat makan tengahari kami.


Kami memilih untuk makan di sebelah restoran yang kami makan pada Hari 2 tempohari. Hidangan utamanya sama, iaitu mee sup daging, cuma ada sedikit perbezaan. 



Restoran tempat makan tengahari kami.


Antara menu.

Muka depan menu utama.

Muka dalam menu utama (dalam tulisan Cina tradisional).

Harga kebanyakan makanan di sini lebih kurang dengan makanan restoran di sebelahnya. Cuma minuman di sini yang utama adalah air soya sejuk dan cham (campuran teh dan kopi) o sejuk. Untuk memesan, kena tunjuk gambar, kerana tidak banyak yang bertulisan selain Cina Tradisional. Petugas yang bertugas pun tidak begitu memahami Bahasa Inggeris.

Suasana dalaman restoran.

Orang yang makan di sini pun agak ramai, walaupun ia sudah melewati masa untuk makan tengahari. Bukan orang Islam sahaja yang makan di sini, tetapi yang bukan Islam juga. Memang nampak ia diminati orang-orang di Taipei.

Mee sup daging.

Saya dan Hafiz memilih untuk makan mee sup daging. Supnya rasa agak berlainan sedikit dan agak kurang pekat berbanding restoran sebelahnya.

"Cham" (campuran teh dan kopi) ais dan soya ais.


Secara amnya, makanan di sini masih sedap cuma bagi saya lebih sedap lagi restoran yang makan dua hari sebelumnya. Cuma cham dan air soyanya tetap sedap. Selepas makan dan selesai bayar, kami pun pulang ke penginapan kami.



Peta: Restoran tempat makan tengahari kami.


Kami rehat agak lama juga, kerana pada petang itu, hujan yang amat lebat melanda bumi Taipei ini. Jadi kami berehat saya, dan saya melayan telefon bimbit serta televisyen di ruang umum penginapan.



Bangunan merah Ximen.

Pada sebelah malam, kami mula keluar pada pukul 8:00 malam setelah hujan teduh. Kami ke Bangunan Merah Ximen untuk mengambil gambar. Selama ini hanya lalu sahaja. Maklumlah malam ini merupakan malam terakhir kami di Taipei. Kami kemudian menaiki Metro untuk ke Pasar Shilin melalui Stesen Metro Jiantan.

Antara kemeja-T yang dijual di Pasar Shilin. Tulisannya (kemeja-T putih) agak menarik hati.


Bergambar bersama pejual kemeja-T di Pasar Shilin.

Aktiviti utama kami adalah untuk membeli beberapa cenderahati yang ingin kami beli terutama kemeja T dan rantai kunci. Jadi kami beli di kedai yang kami memang murah berdasarkan survey pada dua malam sebelum itu. Secara amnya, sepasang kemeja T berharga NT$130 (+- RM16.25) sehelai. Tidak boleh banyak yang boleh ditawar, kalau boleh tawar pun kalau membeli dengan banyak itu pun tidak banyak. Setelah selesai, kami pun menghabiskan masa dengan berjalan-jalan lagi di pasar malam ini.

Gerai menjual sotong bakar berperisa.

Tempat masak kedai menjual telur dadar tiram.

Telur dadar tiram sedang dimasak.

Saya mengambil kesempatan pada kunjungan kali ini untuk merasa makanan-makanan yang boleh dimakan di pasar malam ini. Antaranya, sotong raja (besar) goreng, sotong panggang dan telur dadar tiram. Memang sedap sangat, berbanding dengan rasa benda yang sama di Tamsui. Sehinggakan saya rasa hendak datang lagi ke Taipei semata-mata makanan ini. Saya juga membeli biskut berinti yang agak sedap untuk dibawa balik ke tanah air.

Anak-anak kucing yang comel di dalam sebuah kedai haiwan peliharaan.


Sebelum pulang, kami merasai kembali air blue cherry yang kami nikmati semalam dan kemudian pulang ke penginapan tatkala malam makin melabuhkan tirainya.



Bersambung ke Hari 5 & 6.

Jika mahu lihat catatan:
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5 & 6.