If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4 (this part); or
- Day 5 & 6.
Dewan Memorial Chiang Kai-sek.
Hari 4 (09 Mei 2016 - Isnin).
Pada pagi setelah bersarapan pagi, saya dan Hafiz pun keluar untuk meneruskan perjalanan kami di Taipei ini, setelah kepulangan Abang DAN ke tanah air. Pagi ini, destinasi pertama kami adalah Dewan Memorial Chiang Kai-sek. Seperti biasa kami menggunakan Metro Taipei untuk ke sana, jadi kami ke Stesen Metro Ximen dan menambah nilai kad EasyCard kami terlebih dahulu.
Peta: Perjalanan dari penginapan ke Dewan Memorial Chiang Kai-sek.
Cop Stesen Metro Taiwan, Dewan Memorial Chiang Kai-sek.
Apabila sampai di Stesen Metro Dewan Memorial Chiang Kai-sek, singgah dahulu untuk mendapatkan cop. Setelah itu, kami naik ke permukaan untuk ke perkarangan Dewan Memorial Chiang Kai-sek yang di sebelah sahaja pintu masuk stesen. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan ini.
Pintu Gerbang Dewan Memorial Chiang Kai-sek.
Dewan Persembahan Nasional Taiwan.
Panggung Seni Taiwan.
Kawasan ruang legar Dewan Memorial Chiang Kai-shek agak luas. Dahulunya kawasan ini merupakan markas utama Tentera Republik China (Taiwan). Dewan utama dan bina-binaan yang lain mula dibina pada tahun 1976 dan siap sepenuhnya pada tahun 1980. Selain dewan utama terdapat juga bangunan Dewan Persembahan Nasional Taiwan pada sebelah kanan jika dari Pintu Gerbang, manakala sebelah kirinya pula adalah Panggung Seni Taiwan. Boleh layari Wikipedia untuk maklumat lanjut.
Dewan Memorial Chiang Kai-sek.
Tugu Chiang Kai-shek.
Sampai sahaja kami di kaki Dewan Memorial ini, kena menaiki tangga pula untuk sampai ke tempat tujuannya. Jadi kami perlu menaiki tangga sebanyak 89 anak tangga yang ada itu. Rupanya bilangan anak tangga tersebut mempunyai makna iaitu umur Chiang Kai-sek ketika beliau meninggal dunia pada tahun 1975. Bagi yang tidak mengetahui, Chiang Kai-sek atau di dalam masyarakat Cina dikenali sebagai Zhongzheng, merupakan Presiden pertama Republik China di Taiwan. Kiranya beliaulah Bapa Taiwan. Dewan ini dibina bagi memperingati beliau yang merupakan pemimpin Parti Nasionalis atau Kuomintang (KMT) yang mendominasi politik Taiwan. Beliaulah pemimpin yang membawa kerajaan KMT dari tanah besar China ke Taiwan setelah kalah perang saudara kepada lawannya dari Parti Komunis China pada tahun 1949.
Pengawal di Tugu Chiang Kai-shek.
Pusat Sejarah Dewan Memorial Chiang Kai-sek.
Kami tiba di kawasan yang terletaknya Tugu Chiang Kai-shek pada pukul 8:45 pagi. Sebenarnya kami adalah untuk melihat Upacara Pertukaran Pengawal yang dibuat setiap jam, dari pukul 9:00 pagi ke pukul 5:00 petang setiap hari. Jadi terdapat lagi 15 minit, saya ke Pusat Sejarah Memorial Chiang Kai-sek di mana di sini menceritakan sejarah pembangunan Dewan Memorial ini, yang terletak di tepi sebelah kiri dewan ini.
Tugu Chiang Kai-shek dan pengawal-pengawalnya.
Upacara Pertukaran Pengawal di Dewan Memorial Chiang Kai-sek, Taipei, Taiwan.
Kemudian setelah seketika di Pusat Sejarah, kami kembali semula ke dewan utama untuk menyaksikan upacara yang dinantikan. Orang sudah mula ramai, dan mula digerakan ke tepi dewan, kerana memberi ruang untuk upacara tersebut. Jadi upacara tersebut dimulai dari sebelah kiri dewan, boleh saksikan video di atas untuk upacara penuh.
Upacara Pertukaran Pengawal di Dewan Memorial Chiang Kai-sek.
Upacara ini memang menunjukan kesegakan dan kekuasaan Tentera Republik China (Taiwan). Selain itu, ia tanda pihak tentera menjunjung penuh prinsip Nasiolisme yang didokong di Taiwan. Upacara tersebut mengambil masa kira-kira hampir 15 minit. Setelah selesai upacara tersebut, kami berjalan keluar dan menuju ke perhentian bas terdekat dengan pintu masuk Stesen Metro untuk menunggu bas bagi ke destinasi seterusnya, Martyr's Shrine (Tugu Pejuang).
Peta: Perjalanan dari Dewan Memorial Chiang Kai-sek ke Martyr's Shrine (Tugu Pejuang).
Kami mengambil bas bernombor 208 dari Dewan Memorial Chiang Kai-sek ke Martyr's Shrine (Tugu Pejuang). Kami menunggu tidak lama, dalam sepuluh minit untuk bas tersebut. Bas ini melalui laluan utama di tengah-tengah bandaraya Taipei dan sampai di Martyr's Shrine setelah hampir 50 minit dari Dewan Memorial Chiang Kai-sek.
Pintu masuk Martyr's Shrine, Taipei.
Pengawal pintu masuk Martyr's Shrine.
Bas berhenti di perhentian bas yang tidak berapa jauh dari pintu masuk Martyr's Shrine, jadi kami berjalan tidak jauh untuk ke pintu masuk. Di pintu masuk terdapat dua orang pengawal sedang mengawal pintu masuk ini. Pengawal-pengawal ini memakai pakaian berwarna putih, tidak seperti di Dewan Memorial Chiang Kai-sek yang berwarna biru. Kami sebenarnya baru terlepas Upacara Penukaran Pengawal di sini. Tidak hairan semasa kami sampai, terdapat banyak bas-bas pelancong berada di depan pintu masuk untuk mengambil pelancong-pelancong.
Dataran Martyr's Shrine.
Martyr's Shrine.
Kami pun masuk ke dalam kawasan Martyr's Shrine ini dengan tanpa sebarang bayaran. Memang nampak kesan kasut kawad tentera di Dataran Martyr's Shrine hasil dari upacara pertukaran pengawal. Kami terus masuk ke dalam untuk ke Martyr's Shrine nya.
Mural emas di sebelah kanan Martyr's Shrine.
Mural emas di sebelah kiri Martyr's Shrine.
Martyr's Shrine ini merupakan bangunan yang kelihatan seperti sebuah tokong yang tujuannya memperingati pengorbanan anggota-anggota Tentera Republik China (Taiwan) yang berjuang mempertahankan Republik China (Republic of China - ROC) atau China Nasionalis sekian lama terutama dari lawan mereka di tanah besar China, Tentera Pembebasan Rakyat China atau lebih mudah dikenali sebagai China Komunis. Di pintu masuknya di kiri kanan terdapat mural emas yang menunjukan pertempuran-pertempuran utama Tentera Republik China (Taiwan). Maklumat selanjutnya boleh didapati di Wikipedia.
Martyr's Shrine.
Martyr's Shrine.
Di dalam Martyr's Shrine juga terdapat dua orang pengawal yang mengawal Martyr's Shrine ini. Tidak kira pengawal-pengawal Martyr's Shrine ini dan juga pengawal-pengawal di Dewan Memorial Chiang Kai-shek, memang tidak bergerak walau sedikit pun, serupa seperti patung. Renungan mereka agak serius dan tidak ada sebarang riak emosi kelihatan semasa mengawal. Setelah dua puluh minit di Martyr's Shrine, kami pun mengambil keputusan untuk beredar. Tidak larat hendak mengunggu Upacara Pertukaran Pengawal yang lama lagi hendak dimulakan.
Pengawal Martyr's Shrine.
Kotak-kotak transformer agihan elektrik yang cantik.
Kami berjalan kaki dari Martyr's Shrine menuju ke Grand Hotel yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Martyr's Shrine. Dalam perjalanan sempat juga saya mengambil gambar kotak-kota transformer agihan elektrik yang cantik dilukis.
Peta: Perjalanan dari Martyr's Shrine (Tugu Pejuang) ke
Grand Hotel kemudian ke Stesen Metro Taipei Jiantan.
Untuk sampai ke bangunan Grand Hotel, oleh kerana jalan yang kami lalui ini hanya melalui kaki bukit yang terletaknya Grand Hotel, maka kami perlu mendaki tangga yang menghubungkan jalan utama dengan jalan ke hotel ini di atasnya. Kiranya seperti jalan pintaslah untuk pejalan kaki.
Tangga menuju ke Grand Hotel, Taipei.
Grand Hotel, Taipei.
Permandangan Taipei dari Grand Hotel, Taipei.
Sampai sahaja kami di bahagian atas tangga tersebut, tersergam bangunan Grand Hotel. Sebelum adanya bangunan Taipei 101, bangunan Grand Hotel inilah yang menjadi ikon Taipei disamping Dewan Memorial Chiang Kai-shek. Hotel ini agak unik kerana bangunan ini memaparkan seni bina Cina sepenuhnya, seperti tokong China yang bertingkat-tingkat. Bangunan utama hotel ini siap pada tahun 1973, namun hotel ini sebenarnya bermula lebih awal pada tahun 1952 lagi.
Lobi Grand Hotel, Taipei.
Hotel ini memang agak mewah. Di ruang parkir kereta, banyak kereta mewah diletakan di situ, lagipun pada masa kami datang itu merupakan waktu-waktu akhir makan tengahari. Bangunan ini terletak di Bukit Yuan, yang mana memang jelas permandangan bandaraya Taipei dari hotel ini. Di dalam lobinya, warna tema adalah merah dan perhiasan berasaskan budaya Cina diletakan. Untuk tahu lebih lanjut tentang Grand Hotel boleh rujuk Wikipedia.
Peta: Perjalanan dari Stesen Metro Taipei Jiantan ke penginapan.
Setelah seberapa ketika di Grand Hotel, kami berjalan kaki menuju ke Stesen Metro Jiantan untuk makan tengahari sebelum pulang ke penginapan. Kami menaiki Metro dan turun di Stesen Taipei Main Station. Semasa kami berjalan dari stesen Metro menuju ke restoran untuk makan tengahari, kami ternampak iklan yang mengiklankan sebuah restoran Mamak yang sudah pasti menyajikan makanan Malaysia, cuma apabila melihat alamatnya, berada jauh dari kawasan sekitar itu. Perlu menaiki Metro dalam beberapa stesen untuk sampai ke tempatnya.
Iklan sebuah restoran mamak di stesen Metro Taipei Taipei Main Station.
Restoran tempat makan tengahari kami.
Kami memilih untuk makan di sebelah restoran yang kami makan pada Hari 2 tempohari. Hidangan utamanya sama, iaitu mee sup daging, cuma ada sedikit perbezaan.
Restoran tempat makan tengahari kami.
Antara menu.
Muka depan menu utama.
Muka dalam menu utama (dalam tulisan Cina tradisional).
Harga kebanyakan makanan di sini lebih kurang dengan makanan restoran di sebelahnya. Cuma minuman di sini yang utama adalah air soya sejuk dan cham (campuran teh dan kopi) o sejuk. Untuk memesan, kena tunjuk gambar, kerana tidak banyak yang bertulisan selain Cina Tradisional. Petugas yang bertugas pun tidak begitu memahami Bahasa Inggeris.
Suasana dalaman restoran.
Orang yang makan di sini pun agak ramai, walaupun ia sudah melewati masa untuk makan tengahari. Bukan orang Islam sahaja yang makan di sini, tetapi yang bukan Islam juga. Memang nampak ia diminati orang-orang di Taipei.
Mee sup daging.
Saya dan Hafiz memilih untuk makan mee sup daging. Supnya rasa agak berlainan sedikit dan agak kurang pekat berbanding restoran sebelahnya.
"Cham" (campuran teh dan kopi) ais dan soya ais.
Secara amnya, makanan di sini masih sedap cuma bagi saya lebih sedap lagi restoran yang makan dua hari sebelumnya. Cuma cham dan air soyanya tetap sedap. Selepas makan dan selesai bayar, kami pun pulang ke penginapan kami.
Peta: Restoran tempat makan tengahari kami.
Kami rehat agak lama juga, kerana pada petang itu, hujan yang amat lebat melanda bumi Taipei ini. Jadi kami berehat saya, dan saya melayan telefon bimbit serta televisyen di ruang umum penginapan.
Bangunan merah Ximen.
Pada sebelah malam, kami mula keluar pada pukul 8:00 malam setelah hujan teduh. Kami ke Bangunan Merah Ximen untuk mengambil gambar. Selama ini hanya lalu sahaja. Maklumlah malam ini merupakan malam terakhir kami di Taipei. Kami kemudian menaiki Metro untuk ke Pasar Shilin melalui Stesen Metro Jiantan.
Antara kemeja-T yang dijual di Pasar Shilin. Tulisannya (kemeja-T putih) agak menarik hati.
Aktiviti utama kami adalah untuk membeli beberapa cenderahati yang ingin kami beli terutama kemeja T dan rantai kunci. Jadi kami beli di kedai yang kami memang murah berdasarkan survey pada dua malam sebelum itu. Secara amnya, sepasang kemeja T berharga NT$130 (+- RM16.25) sehelai. Tidak boleh banyak yang boleh ditawar, kalau boleh tawar pun kalau membeli dengan banyak itu pun tidak banyak. Setelah selesai, kami pun menghabiskan masa dengan berjalan-jalan lagi di pasar malam ini.
Gerai menjual sotong bakar berperisa.
Tempat masak kedai menjual telur dadar tiram.
Telur dadar tiram sedang dimasak.
Saya mengambil kesempatan pada kunjungan kali ini untuk merasa makanan-makanan yang boleh dimakan di pasar malam ini. Antaranya, sotong raja (besar) goreng, sotong panggang dan telur dadar tiram. Memang sedap sangat, berbanding dengan rasa benda yang sama di Tamsui. Sehinggakan saya rasa hendak datang lagi ke Taipei semata-mata makanan ini. Saya juga membeli biskut berinti yang agak sedap untuk dibawa balik ke tanah air.
Anak-anak kucing yang comel di dalam sebuah kedai haiwan peliharaan.
Sebelum pulang, kami merasai kembali air blue cherry yang kami nikmati semalam dan kemudian pulang ke penginapan tatkala malam makin melabuhkan tirainya.
Jika mahu lihat catatan:
- Pra Kembara;
- Itinerari;
- Hari 1;
- Hari 2; atau
- Hari 3
If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4 (this part); or
- Day 5 & 6.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan