Jumaat, 4 April 2014

Hari 2 (Pulau Karimun & Pulau Kundur, Kepulauan Riau (Kepri), Indonesia - 28 Februari hingga 02 Mac 2014) -Perjalanan Kukup-Tanjung Balai, Karimun-Pulau Kundur dan Mengelilingi Pulau Kundur.

Sambungan dari Hari 1.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 




01/03/2014 (Sabtu)


Sepanjang perjalanan, memandangkan ia adalah perjalanan waktu malam, maka secara automatiknya saya pun zzz... Bukan nampak apa pun... Kalau siang pun, perjalanan ini agak biasa bagi saya, kerana ia adalah sekitar kampung saya... Setelah nyenyak tidur (maklumlah bas 27 seater dan saya duduk di tempat duduk seorang), saya terasa bas berhenti... Rupa-rupanya dah sampai tol Tangkak. Jam pun menunjukkan pukul 01:00 pagi... Saya sambung le tidur, esok nak guna tenaga banyak...

Kemudian semasa saya tidur, saya rasa macam bas berhenti lama. Oh, berhenti makan rupanya pemandu & penggantinya di kawasan Parit Jawa rasanya, tak berapa pasti pasal mata macam berat je. Jam pun dalam pukul 02:15 pagi... Saya sambunglah tidur, malas nak makan. Nanti sampai Pontian saya makan.

Ada satu ketika saya tidur-tidur ayam, nampak macam kenal je, Rupanya atas atas simpang lampu isyarat Jalan Rugayah, Batu Pahat rupanya. Berkira-kira dalam 1 1/2 jam lagi sampai la Pontian. Tak tengok jam masa ni.

Akhirnya saya terjaga pasal terdengar bunyi brek angin bas. Bas berhenti depan Hospital Pontian, nak turunkan seorang penumpang. Bermakna saya tak boleh tidur, pasal dah nak sampai. Akhirnya pukul 04:25 pagi sampailah ke Terminal Pengangkutan Awam Pontian di kawasan  Bandar Baru Pontian (kawasan tambak). Terminal ni pun baru lagi ni. Saya pun turun.


Turun sahaja di terminal, alamak semua tutup & berKUNCI... Termasuk surau & tandas... Hhmmm macam mana ek???


Hah, masa nak masuk ke Terminal ni, di simpang jalan utama bandar Pontian menuju ke Batu Pahat, Kukup & JB, ada nampak terbinanya restoran McDonald's (McD)... Yang bestnya ia buka 24 jam... Huh maju juga Pontian ni... Apa lagi saya ke sana la... Nak makan ke nak buang ke nak cuci ke, boleh di McD ni... Ada WiFi lagi... Ada la beberapa brother ni hendak ke Kukup juga... Borak je sikit-sikit dengan diorang ni... Cuma tak tanya tujuan mereka... Moga-moga tujuan yang baik...


Sudah habis makan, muka pun dah segar. Tapi hati saya terdetik, macam ada yang tertinggal, la, baru teringat, topi kulit hitam yang beli di Suzhou, China bulan November lepas, tertinggal dalam bas. Tak apa lah, tiada rezeki. Kembali semula ke terminal bas. Semasa jalan, saya mengambil batu, persediaan kerana anjing liar banyak pula, ada dalam lima ke tujuh ekor. Manalah tau... Alhamdulillah masa sudah sampai, tiada apa yang berlaku. 



Antara gambar-gambar di ambil di terminal bas. Ada satu lagi penyedia bas ekspres di sini selain Mayang Sari, iaitu SS International Express. Jam 06:05 pagi, azan sayup-sayup kedengaran. Memandangkan semasa di dalam McD tadi saya sudah mengenakan wuduk, maka saya bentangkan sejadah sahaja di kawasan lapang untuk mengerjakan solat Subuh (berhampiran dengan kedai Anasta di atas).

Kemudian jam 06:20 pagi. Pak Nasir menelefon saya, dia sudah sampai, alhamdulillah. Lega hati saya, dan terus saya di bawa menaiki kereta MyVi kepunyaan adik ipar beliau, yang dikenali dalam Facebook sebagai Ruzita Jelita...  Mereka belum solat lagi, maka mereka ke Masjid Bandar Pontian untuk melaksanakan solat Subuh. Sambil-sambil tu, saya pun solat sunat tahyatul masjid (walaupun saya sudah solat Subuh, di mana tiada solat yang boleh dikerjakan kecuali bersebab, solat sunat tahyatul masjid ini bersebab kerana kita menghormati memasuki masjid) dan mengambil gambar di sekitar masjid. 




Selesai sahaja solat Subuh, kami segera menuju ke Kukup yang kira-kira 26 km dari Pontian. Kena kejar masa kerana berdasarkan maklumat dalam internet, feri pertama adalah pukul 08:00 pagi iaitu dari syarikat MV Tuah dan feri seterusnya pukul 11:00 pagi. Dalam perjalanan terdapat beberapa kawasan yang agak teruk kesan jerebunya, kesan dari pembakaran di Provinsi Riau katanya, tapi saya rasa kawasan tempatan pun ada. Bau asap agak kuat. Akhirnya pada jam 07:25 pagi kami sampai di Kukup. Namun, tiket MV Tuah untuk pukul 08:00 pagi sudah penuh... Aduh, kena tunggu pukul 11 la gamaknya. Tapi kaunter kata, hari ini kaunter sebelah nanti buka untuk feri pukul 08:30 pagi... Alhamdulillah, nasib baik lah Ocean Indoma ini ada feri seterusnya, alhamdulillah. Tapi kaunter belum buka lagi. Jadi makanlah dulu di kedai tepi terminal feri ini.



Inilah Pak Nasir. Masih hemsem & bergaya... Hehehe... (Ketika saya sedang menyelesaikan posting ini, Pak Nasir sudah pun menyelesaikan bahagian pertama posting kembaranya ini pada 02 April 2014 (Rabu). Boleh melayari blog Sepanjang Jalan Kehidupan terutama bahagian pertamanya untuk melihat perjalanan kembara beliau). Sambil makan, saya yang dah makan tadi ushalah kaunter tiket feri Ocean Indoma, yang baru nak buka, saya segera beratur di depan. Jadi saya belilah tiket sehala sahaja, keseluruhannya dalam RM95.00 sahaja (di mana tambang feri RM75.00 + bayaran masuk jeti (boarding fee) RM10.00 dan yuran pemprosesan (pihak kaunter isikan borang Ketibaan & Keberangkatan (istilah Indonesia saya lupa pula, dalam borang ini cuma ada Bahasa Inggeris sahaja) Imigresen Indonesia. Huh, buat duit sungguh... Dulu orang kata cuma bayar RM2.00 je pada orang perseorangan AKA ulat yang buatkan. Sekarang ulat tak buat, tapi kaunter buat lagi dia caj mahal, huhuhu... Terpaksa la, pasal borang  ni tak ada letak kat mana-mana di terminal, rasa-rasanya di Jeti Tanjung Balai pun nanti tak ada. Redha & rela je la...




Kad Pas Masuk ni sahaja yang dikutip balik oleh syarikat feri, yang lain-lain boleh bawa pulang... Selamat sempat ambil gambar.





Huhuhu... Kalau beli tiket pergi balik, harganya keseluruhanya RM110.00 sahaja iaitu harga tambang feri RM90.00 + bayaran masuk jeti RM10.00 & yuran pemprosesan RM10.00... Contoh gambar tiket pergi balik yang diambil daripada tiket Pak Nasir. Kira beza tambang sehala dan pergi balik cuma RM15.00 sahaja... Tapi nanti saya beritahu masa nak berangkat keluar dari Jeti Tanjung Balai Karimun nanti ada caj lain. Tapi sebenarnya memang untung beli pergi balik dari sehala sahaja. Dan, tiket baliknya nanti terbuka selama sebulan dari tarikh beli.




Ambil gambar Pak Nasir & keluarga, nak bye bye kata mereka... Hehehe... Kira-kira jam 08:15 pagi dah nak masuk ke kaunter imigresen Malaysia untuk prosedur imigresen. Sampai situ je boleh hantar...  Tata...


Sampai giliran saya di kaunter imigresen, dengan selamba saya minta nak cop... Alhamdulillah pegawai tu (lelaki tau) bagi sahaja tanpa tanya...

Kemudian saya, Pak Nasir dan lain-lain penumpang pun menaiki feri. Inilah pertama kali saya naik feri untuk ke negara lain. Penumpang pun ramai orang Indonesia (tak berani tulis Indon macam orang Malaysia kata mereka, pasal saya ada rakan-rakan warga Indonesia yang akan baca, lagipun maksud Indon dalam loghat mana entah saya lupa pula, bermaksud agak kasar (tak perlu saya kongsikan)) juga orang Malaysia. Majoriti lelaki... Entahlah, harap maksud baik lah mereka ke Karimun ni. Tepat jam 08:35 pagi, bergeraklah feri dari jeti...














Akhirnya jam 08:30 pagi waktu Indonesia Barat (jam 09:30 pagi waktu Malaysia) , feri sampai di Tanjung Balai, Karimun, Kepulauan Riau, Indonesia. Hehehe... Alhamdulillah... Macam biasa, tangkap gambar & posing... 



Gambar di bawah ni juga jadi gambar profail page Facebook KembaraGD (tapi versi kosong, bukan versi Instawheather di bawah ni).



Lepas posing, baru teringat, orang dah ramai menuju ke balai imigresen. Ye lah, dah masuk negara lain, kena lalu prosedur imigresen... Huhuhu... Jadi antara orang terakhir beratur... Panjang pula. Lama juga menunggu satu-satu, sampai sampai pula belakang kami penumpang dari Singapura (pasal tengok nampak pasport Singapura). Warga Indonesia diberi keistimewaan, mereka masuk laluan ekspres. Sambil-sambil menunggu, salah seorang pegawai imigresen Indonesia ini memang peramah... Cakap macam orang Johor. Tapi ramah bermakna, rupa nak pancing kita untuk "laluan pantas" tapi dengan bayaran... Ini yang malas... hehehe... Akhirnya, dia pun macam bosan apabila ajakan laluan pantas itu tidak diendahkan kami berdua. Nasib baik kami ni warganegara yang mana tidak memerlukan (kalau di Indonesia kata membutuhkan, bukan mencarut ye) visa. Dah la tu, kaunter yang buka untuk pasport bukan Indonesia cuma satu (jumlah semua kaunter boleh buka ada 4), kaunter untuk warga Indonesia pula, walau sudah tiada warga Indonesia lagi, namun pegawai buat tak tahu sahaja, bukan nak panggil kami... Begitu la gamaknya...

Kalau rakyat negara yang perlukan visa untuk memasuki Indonesia, skim Visa-On-Arrival (VOA) disediakan di Pelabohan Tanjung Balai, Karimun ni (tak ada istilah jeti di sini). Dengan USD $25 untuk visa 30 hari. Adalah dua tiga orang rakyat India (terlihat pasport) mereka yang memohon VOA ini. Gambar yang diambil ini pun secara curi-curi kerana tidak boleh tangkap gambar di balai imigresen sebenarnya, di mana-mana pun.


Setelah dekat 35 minit menunggu giliran, akhirnya setelah sekian lama, dapat juga cop pasport Indonesia... 


Akhirnya dapat juga keluar dari terminal. Keluar sahaja pintu ketibaan, huh diharungi ramai "ulat" tanya itu ini... Macam tu la keadaan di Indonesia. Tetiba Pak Nasir dipanggil. Oh, rupanya Azmi (id Facebook: Muhamad Azmi), rakan yang akan membawa kami jalan-jalan di sini. Dia juga akan membawa Pak Nasir ke kampung isterinya di Kerinchi, Riau (Sumatera) nanti, yang mana saya tidak dapat mengikutinya (kerana tidak memohon cuti dan ada tugas (Perasmian Menara MARA oleh Perdana Menteri Malaysia). 

Selepas berjabat tangan, saya terus tanya dengan Azmi , bagaimana nak beli kad SIM di Tanjung Balai ni. Sambil dia berjalan, dia berfikir. Dia kata dia akan bawakan. Sambil-sambil melihat kedai-kedai makan di luar Perlabohan Tanjung Balai ni, kebanyakannya nasi padang. Lauknya pun menarik, menyelerakan, nyum nyum... Nantilah bila balik nanti kalau sempat saya makan di sini, niat di hati...

Sampai di jalan, la kira tak jauh la pekan Tanjung Balai ni, keluar je kawasan pelabuhan (jeti sebenarnya) dah kira pekannya. Jalan agak sempit, macam jalan-jalan di pekan kat Thailand. Kenderaan pun agak banyak, ada teksi motor yang dipanggil ojek di sini, juga ada teksi menggunakan van atau lori yang dipanggil angkot (singkatan angkutan kota). Ramai yang memanggil, tapi kerana kami ikut Azmi, maka ikut je la... Rupa-rupanya Azmi membawa saya ke sebuah kedai yang ada jual kad SIM di dalamnya.

Banyak jenis rupanya jenis-jenis kad SIM prabayar di Indonesia ni... Ada banyak penyedia yang telco atau MNVP. Di kedai ini dijual kad SIM dari Telkomsel, IndosatAxis & XL Axiata. Itu baru dari penyedia (sebenarnya ada banyak lagi). Dari segi penyedia pun ada banyak produk-produknya seperti Telkomsel ada simPATI, kartuHalo, Kartu As dan Loop. Loo... Pusing gue... 

Saya tanya mana yang ok, penjual (orang Cina Indonesia, fasih keIndonesiaannya) tu kata Telkomsel mempunyai liputan yang terbaik, dan itu kalau dibuat penyelidikan, memang benar. Kalau buat carian menggunakan telefon pun biasa dapat isyarat Telkomsel ni. Dia juga tanya saya nak pakai macam mana? Nak internetan (guna internet) saja atau nelpon (menelefon) saja atau SMS (disebut as-am-as)? Saya jawab kalau boleh semua dan internet bagi banyak sikit. Jadi dia bagi pek simPATI seperti di bawah. Harga cuma Rp 15 000 sahaja (+- RM 4.50). Tapi katanya isiannya cuma Rp 3000 sahaja & internetan enggak banyak pak kalau mahu tambah Rp 20 000 lagi untuk 600 MB bagi 30 hari. Entah kenapa macam kena pukau je, saya terima... Huhuhu... Lalu saya serahkan Rp 100 000 yang ada dan dapat baki Rp 65 000. 

Lepas tu terus jalan, baru perasan di hadapan pek SIM tu ada promo Rp 30 000 dapat 2GB lagi... Beza Rp 10 000. Tapi ada hikmahnya, dua kali pergi Indonesia pun selama 2 minggu tak habis data plan tu, tak sampai separuh pun guna, huhuhu... Lepas ni nak cari tempat, nak potong kad SIM kerana ia hanya diberikan dalam bentuk Mini SIM (saiz biasa). Tak apa,Azmi kata nak ajak minum dulu. DI restoran tu insya Allah boleh potong. Gunting menang bawa.





Hah, ni dia gambar si Azmi ni... Hensem kan... Hehehe... Dia bawalah ke satu restoran ni. Macam biasa sahaja tapi ada WiFi kau... Hehehe, apa lagi upload gambar kat Facebook la saya & Pak Nasir. Sambil tu saya buka pek SIM tadi & potong la SIM menjadi nano SIM untuk dimasukkan ke dalam iPhone5 saya... Tu sebab gambar kad SIM tu macam rompong je kan hehehe... Lupa nak tangkap masa ia dalam keadaan Mini SIM.


Azmi suruhlah kami pesan makanan, segan pula. Tapi dah berulang kali, nanti rezeki tak masuk pula. Orang nak beri rezeki, kalau dah berulang kali, memang ikhlas la. Jadi tengok la menu, nak cari yang pelik, nasi goreng macam biasa (walaupun mungkin lain), mie goreng (kat Indo, mee dieja mie), err... Hah, ni memang tak pernah dengar, Ayam Rawit. Tanya Azmi, apa tu Ayam Rawit. Dia pun tak tau (atau buat-buat tak tau), kata dia, makanan orang pulau Karimun, dia orang Daik, Lingga, duduk di pulau Kundur, jadi kurang arif. Jadi sambil pesan air teh oh beng (sebutan di sini bagi teh o ais), pesanlah Ayam Rawit.

Lepas selang 5 minit, Ayam Rawit pun sampai, disertakan sekali dengan nasi. Di Indonesia, memang makanan berkuah atau bersup, kalau tak ada jenis-jenis mee kat dalam, akan dihidangkan dengan nasi. Rasa la Ayam Rawit, emmm sedap... Lepas 2-3 sudu suap, walaupun sedap, macam soto (lebih sedap dari soto, mungkin rempahnya), mula terasa terbakar mulut, TERBAAABOOO!!! MELETOP ANUGERAH MELETOP!!! Pedasnya, sampai keluar hingus dan berpeluh dahi... HAH!!! Akhirnya minta 2 gelas ais kosong...


Habis sahaja makan, Azmi membawa kami berjalan-jalan di sekitar bandar (atau lebih sesuai pekan) Tanjung Balai. Dari blog-blog dan sahabat-sahabat yang pernah datang ke sini dan bandar-bandar lain di Sumatera, Tanjung Balai, Karimun (kena sebut Karimun, kerana di Sumatera ada pekan lain yang juga Tanjung Balai, yang terletak di Sumatera Utara (ibu provinsi atau negerinya Medan, yang dikenali sebagai Tanjung Balai, Asahan kerana dahulu ia terletak di dalam kabupaten (atau daerah dalam Bahasa Melayu Malaysia) Asahan), kini merupakan dinaikkan taraf menjadi kota ini agak membangun berbanding dengan kota-kota lain di Sumatera. 

Kami di bawa dahulu ke Pasar Sri Karimun Jaya, tempat jualan pelbagai jualan terutama cenderahati di Karimun. Jadi saya belilah baju kenang-kenangan untuk anak-anak di sini. Asalnya untuk 3 helai baju, saya diminta untuk Rp 200 000. Saya pun terkejut, kenapa mahal sangat (cakap dalam hati) tetapi dengan pantas Azmi menawarkan untuk saya. Akhirnya dapat Rp 80 000 sahaja (kira-kira RM24.00). Terima kasih Azmi. 



Seterusnya, Azmi menahan sebuah angkot untuk ke pasar apa saya lupa pula, untuk melihat kegiatan di dalamnya. Lebih kurang macam di Malaysia cuma saya lihat kurang guna duit syiling. Maklumlah duit duit kertas termurah Rp 1000 pun bernilai lebih kurang 30 sen Malaysia sahaja. Duit kertas paling mahal iaitu Rp 100 000 pun bernilai cuma RM30.00 sahaja. 


Sebenarnya Azmi ingin mencari selipar untuk anaknya. Jadi dia membawa kami ke pasaraya terdekat untuk selipar anaknya. Jadi berjalanlah kami ke sana. Sambil itu ternampak bangunan menarik di atas bukit. Kata Azmi, ia adalah sebuah rumah orang kaya. Huh, kira kaya sungguh la ye, rekabentuk pun menarik. Jadi kami ke pasaraya, alhamdulillah, sejuk sikit kena penghawa dingin. Pak Nasir bayarkan selipar anak Azmi.    



Kemudian, Azmi membawa kami ke Pelabuhan Rakyat Sri Tanjung Gelam, iaitu jeti untuk perkhidmatan feri tempatan, di mana beliau akan membawa kami ke rumahnya di Pulau Kundur. Sampai sini mulut masih rasa pijar akibat makan Ayam Rawit tadi...



Keadaan persekitaran jeti ini macam pasar pun ada. Cuma keadaan sini kurang formal seperti jeti feri ke destinasi antarabangsa atau serantau. Alhamdulillah beli tiket dan terus dapat naik feri yang kemudiannya terus berlayar. Kira macam naik bas henti-henti pula. Kini kami menuju ke Pulau Kundur.





Sebenarnya ada banyak penyedia perkhidmatan feri tempatan Tanjung Balai ke Selat Beliah ni, MV Asia Permai antaranya. Jadi ada 3 perjalanan dalam sehari kalau dengan MV Asia Permai ini. Yang lain pun ada jadualnya yang lain dari MV Asia Permai. Boleh diperkirakan selang sejam setengah ada sahaja feri antara Tanjung Balai ke Selat Beliah.


Selepas 20 minit berlayar, maka feri pun sampai ke jeti Tanjung Makam atau ada yang tulis Tanjung Maqom. Penduduk tempatan lebih memanggil tempat ini Selat Beliah.


Kampung Tanjung Makam, Pulau Kundur diambil dari jeti.


Di atas bukit ini ada sebuah makam seorang kiyai. Dari sini Tanjung Makam dapat nama.


Kambing pun ada di kawasan jeti.


Untuk pengetahuan, semasa kami datang ke sini, Indonesia sebenarnya sedang bersedia untuk mengadakan pilihanraya (atau di Indonesia disebut pemilu - pemilihan umum) bagi pentadbir tempatan seperti Bupati (seperti Pegawai Daerah di Malaysia), walikota (Datuk Bandar), perwakilan untuk Dewan Perwakilan Daerah - DPD (seperti Dewan Undangan Negeri), Dewan Perwakilan Rakyat - DPR (seperti Dewan Rakyat) & Majlis Permesyuaratan Rakyat - MPR (seperti Dewan Negara). Jadi banyak la bendera parti-parti yang berkibar. Tarikh pilihanrayanya pun lambat lagi iaitu pada 09 April 2014, kira masa berkempen la ni. Tapi yang saya terkejut tu, salah satu kedai makan di jeti Selat Beliah ni ada bendera salah satu parti politik di Malaysia... Ini musykil ni... Atau mereka sekadar pasang sahaja... Jelas parti ini ada peminat di Indonesia.



Di jeti, isteri Azmi bernama Yanti dan anak-anaknya Arul & Irfan. Suka Arul & Irfan apabila bapanya balik. Terus dibawa pulang ke rumah mereka. Macam buat tatu tentera pula, dengan 2 buah motorsikal kami ke sana. Azmi dan isteri bersama Irfan menaiki sebuah motorsikal, manakala saya mengunggang satu lagi dan dibonceng oleh Pak Nasir dan Arul.

Azmi sebenarnya berasal dari Daik, Pulau Lingga, Kepri dan bekerja di PT Timah, salah sebuah syarikat pemerintah Indonesia yang terbabit di dalam industri perlombongan terutamanya perlombongan bijih timah. Keluarga Azmi tinggal di kawasan kuaters PT Timah yang terletak di Prayun, utara Pulau Kundur. Infrastruktur agak baik di sini. Bertuah juga dapat duduk di kuarters ini, dimana bekalan air & elektriknya adalah percuma. Cuma bekalan sentiasa terganggu iaitu selalu terputus.

Sampai di rumah Azmi ini, kami di jamu makan tengahari. Memang mesra dan dilayan macam orang besarlah kami. Selepas melaksanakan solat jamak qasar Zohor & Asar berjemaah, saya pun tertidur... Zzz...


Pada jam 15:30 (3:30 petang) saya terbangun dan kebetulan Pak Nasir pun tertidur pun terbangun. Kami berborak la dalam sepuluh minit, kemudian Azmi mengajak kami berjalan-jalan sekitar pulau... Kami menaiki dua motor, satu Azmi membawa Pak Nasir dan satu lagi saya bawa seorang-seorang...

Lokasi pertama adalah penempatan Orang Laut (antara suku orang asli di sini, kalau di Malaysia, Orang Laut ini termasuk dalam salah satu dari suku Orang Asli Melayu Lama (Proto Malay), seperti suku Seletar dan Jakun). Sebenarnya, Orang Laut ni pun ada kat Malaysia. Boleh jumpa mereka terutama di Batu Pahat (lebih-lebih lagi di kuala Sungai Batu Pahat (Minyak Beku & Bagan serta di pasar Batu Pahat sebagai penjual ikan) dan di Johor (di Senibong & Kong Kong, kebanyakan kedai ikan bakar milik mereka). Bila tengok keadaan perkampungan Orang Laut ini, amat berbeza. Nampak gaya kebajikan Orang Asli di Malaysia lebih terbela dari semua aspek seperti kesihatan, pendidikan, prasarana dan lain-lain. Di sini, mereka amat daif, boleh nampak jalan masuk ke kampung mereka, sampai kawasan mereka, jalan tak berturap, kebajikan mereka apatah lagi. Mungkin kesilapan ini di pihak pemerintah Indonesia tak kira di peringkat pusat, provinsi (wilayah/negeri), kabupaten (daerah), kecamatan (mukim) mahu setempat oleh kerana negara Indonesia agak luas dan tumpuan diutamakan di pulau Jawa. Atau sikap masyarakat Orang Laut sendiri yang tidak mahu memajukan diri, tidak mahu berubah atau selesa dengan keadaan sedia ada. Masing-masing ada salah mereka dan bukan salah mereka.

Orang Laut ini menganggap Pulau Kundur milik mereka. Segala benda di pulau ini dimilik merekakan. Itu sebab penduduk lain tidak membela haiwan ternakan dan peliharaan. Azmi kata, di depan mata pemiliknya pun dengan selamba haiwan itu diambil atau dibunuh untuk jadi makanan atau di bawa pulang. Barang-barang lain terutama berasaskan logam (besi dan sebagainya) habis diambil untuk dijual. Memang mereka tidak mahu belajar hukum atau tak belajar dek saman. Malah ada mereka mencari sesuap nasi dengan cara ini, ada kami ternampak semasa berjalan pun membawa tombak!!! Takut...





Kegiatan utama Orang Laut ini lebih tertumpu di bidang perikanan secara kecil-kecilan. Rumah-rumah mereka juga agak ringkas. Tapi bahagian yang menariknya, selain ayam itik berkiaran sekeliling rumah mereka (sebagaimana keadaan kampung biasa), ada haiwan lain berkiaran, iaitu ba alif ba ya, babi... Azmi berpesan agar membawa motor berhati-hati agar tidak melanggar benda alah itu kerana ganti rugi hingga berjuta-juta rupiah!!! Hati saya berkata, hai, benda tu paling tinggi pun cuma Rp27 ribu ke 30 ribu (RM80-90), pampasan lebih lak. Sabar sahaja lah.

Masuk kandang lembu menguak, masuk kandang kambing mengembek. Di mana bumi berpijak di situ langit di junjung. Azmi berpesan, tingkah laku kena jaga. Jangan kutuk mereka depan-depan atau sampai didengari. Itu piawai. Juga pesannya, paling penting, jangan meludah di kawasan mereka, pantang paling utama. Kalau tak jaga semua ni, tak keluar dari kampung ni. Saya teringat pula cerita "Cannibal Holocaust" di minda ini. Tolong!!!





Namun di sudut positifnya, kelainan dan keunikan kehidupan Orang Laut agak menaik perhatian saya. Hidup dalam keadaan aman, tidak serabut dan agak ringkas. Mungkin itu yang mereka cari dan sudah selesa dengan keadaan begitu. Cuma bagiku, mereka agak kurang bernasib baik kerana tinggal di negara ini. Kalau mereka tinggal di negaraku, hidup mereka lebih baik, malah golongan mereka ini adalah "anak angkat" Sultan Johor lagi...




Cuma lagi kecewa aku dengan pemerintah Indonesia, walaupun rumah-rumah di sini agak ringkas (lebih kepada daif sebenarnya), tetapi bangunan yang berdiri kukuh tersergam indah di kampung ini adalah sebuah GEREJA!!! Sebagai sebuah negara yang 90 peratus penduduknya beragama Islam dari 250 juta penduduknya, menjadikan negara paling ramai Islam, orang asalnya tidak didakwahkan untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW!!! Kalau tengok di TV, bersepah program agama, ustaz-ustaz juga banyak, siap beri hukum itu ini. Tetapi mereka utamakan yang kurang utama berbanding yang utama. Sudahlah kampung Islam dan masjid terdekat tak sampai satu kilometer. Semoga Malaysia tidak jadi begini. Barulah kutahu kenapa orang Islam di luar lingkungan Nusantara, malah orang rumpun Melayu seluruh dunia lebih merujuk Malaysia sebagai rujukan berbanding Indonesia yang kononnya "abang". Maaf rakan-rakan bangsa Indonesiaku sekalian, ini pandangan kecilku bukan untuk memperlekehkan negaramu tetapi lebih rasa kecewaku dengan isu agama ini. Tidak hairanlah kamu tidak dapat mengawal penggunaan istilah agama Islam seperti Rumah Allah, nama Allah sendiri di negaramu. Maaf, saya agak sensitif sedikit tentang isu agama Islam ini, lebih-lebih lagi di kalangan orang asli (kerana saya pun ada sedikit kalau tak banyak keturunan Orang Laut ini).



Antara keadaan sekolah di Pulau Kundur di simpang antara jalan besar dengan jalan ke kampung Orang Laut.



Azmi membawa jalan-jalan lagi ke sekitar pulau kediamannya. Istilah kena betul, di Indonesia, istilah pusing-pusing lebih kepada pening kepala. Agak jauh juga. Jalan utama di Pulau Kundur ini agak baik. Agak besar bagi pulau yang kurang kepadatan. Jalan pun agak elok kecuali di beberapa bahagian yang ada pembaikan jambatan. Tapi jalan cabangnya ada usur sidikit atau tiada berturap. Azmi kata jalan-jalan berturap ni pun agak baru sebenarnya.

Tiba di satu deretan gerai (ada dua sahaja, hehehe), beliau menyuruh saya singgah. Dia nak bawa makan makanan unik Pulau Kundur. Hehehe, ini memang kegemaranku, tapi harap bukan macam Ayam Rawit tadi. Tapi Azmi kata benda ini pun pedas... Pedas lagi?

Lendot - Sagu dimasak dengan sayur-sayuran (antaranya pucuk paku), udang laut segar saiz XL & siput sedut (semasa kami makan, tiada siput sedut kerana habis, huhuhu)... Minum pula dengan air kepala muda bergulakan gula melaka... Perkhhh... Jumlah 3 lendot & 3 air kelapa adalah Rp44 000... Lebih kurang RM13 sahaja... Nama kedai pun best, Kedai Cik Qila Intan Payung di Desa Baru Sawang, tak jauh dari pekan Sawang. Alhamdulillah tak ada lah pedas sangat. Macam lain kali nak makan lagi pasal kegemaranku iaitu pucuk paku merah ada di dalam tu. Tak apa, ini alasan untuk ke Pulau Kundur lagi.



Bersambung perjalanan lagi, melewati pekan Sawang. Seperti biasa pekan ini perniagaannya didominasi oleh bangsa Tiongkok (Cina). Pekan ini sebenarnya pertengahan jalan menuju ke Tanjung Batu iaitu pekan utama pulau ini. Feri ke tempat lain terletak di Tanjung Batu.

Baruku sedar di pulau ini tiada stesen minyak. Ingat macam kampung di Malaysia 20 tahun lepas. Atau di Hulu Langat (Batu 15 ke dalam) yang tiada stesen minyak. Azmi mengisi minyak di sebuah kedai minyak. Pakai koleh dan corong saja untuk isi minyak. 4 liter (2 liter setiap motor) dalam Rp46 ribu, bermakna satu liter dalam Rp 11 500 iaitu dalam lebih kurang RM3.45 seliter. Apa saya difahamkan ia adalah petrol (di sini dipanggil benzin) RON 85, huhuhu... Fikir-fikirkan lah sahabat di Malaysia.

Selain kedai minyak, kedai-kedai lain yang jual minyak petrol juga banyak di pulau ini seperti di bawah ini.


Sampai hujung pekan Sawang, kami berpatah balik. Ingatkan boleh ke Tanjung Batu, tapi langit pun makin gelap menuju senja. 


Tapi belum lewat ke perbatasan pekan Sawang menuju kembali ke Prayun, kami belok ke kiri dahulu, menuju ke Pantai Sawang. Melihat pantai waktu matahari terbenam agaknya.

Letak sahaja motor-motor kami, terus menuju ke pantai. Pantainya seperti dibahagi dua. Pasirnya cantik, memutih. Tetapi bila sampai di gigi air, berselut seumpama keadaan pantai di pantai Selangor seperti Bagan Lalang, Morib, Klanang, Pantai Remis Sg Sembilang, Pantai Jeram dan lain-lain. Saya ingatkan ia memang semula jadi akibat sekelilingnya ada paya bakau, namun tidak sebenarnya. Azmi mengatakan asalnya pantai ini bersih memutih (saya agak kan seperti pantai timur Semenanjung), tetapi akibat perlombongan bijih timah di dasar laut pulau, maka keadaan pantai menjadi berselut. Oh begitu... Sayang, pantai cantik-cantik ini menjadi begitu. Mungkin itu bayarannya akibat pembangunan. Tetapi pembangunan yang tidak seimbang. Memang betul, di tengah-tengah laut terdapat kapal korek. Agaknya kalau di Malaysia dibuat begitu, macam mana agaknya keadaannya. Bersyukur Malaysia tidak begitu, sedangkan nak tengok telaga minyak di dataran pun seperti tiada inikan pula melombong bijih. Memang jelas, kerajaan atau sektor Malaysia tidak serakus seperti Indonesia. Semoga orang-orang di Malaysia lebih melestarikan alam sekitar dari menjadi penjarah. Banyak kegiatan ekonomi lain boleh menjana pendapatan.


Di pantai ini ada sebuah jeti atau pelantar usang. Kami pergi ke jeti tersebut dengan hati-hati. Susunan kayunya ada yang berlubang-lubang, kalau terobos ke bawah, mahu sakit juga, tinggi... Ada juga kayu yang uzur dan rapuh. Sampai di hujung jeti, kelihatan lebih jelas kaki langit latar belakangnya. Kapal-kapal dagang persimpang siur, maklumlah di sinikan pintu masuk ke Selat Melaka dari Laut China Selatan, menjadikan ia laluan yang perkapalan tersibuk di dunia. Laluan tu sempit pula. 

Di sini juga jelas kelihatan pulau-pulau dan tanah besar Sumatera. Pulau-pulau tersebut tidak termasuk di dalam provinsi (wilayah) Kepri tetapi termasuk di dalam provinsi Riau (jangan keliru dengan kedua-duanya, kedua-duanya adalah wilayah berbeza, namun sebelum 2004, kedua-dua berada dalam entiti yang satu iaitu provinsi Riau, kira Kepri ini pecahan Riau), juga tanah besar tersebut. Azmi berkata, esok kami akan ke sana, saja seperti mengajak saya mengikuti kembara Pak Nasir. Psiko betul, geram juga nak mengikutinya, tapi apakan daya, tugas menanti di pejabat, sudahlah tidak mohon cuti, ni permohonan ke luar negara pun sebenarnya tak mohon ni. Kalau jadi apa-apa mahu kena surcaj... Huhuhu... Tak ke naya.


Ketika hendak pulang ke motor, baru teringat sebenarnya kami melewati sekumpulan produksi pergambaran. Mungkin iklan di Indonesia kot. Sebelum kami ke hujung jeti, ada nampak seorang ni tutup kepala, tak tahu kenapa. Tapi semasa berpatah kembali, baru tahu yang dia ni modelnya. Agak tinggi orang, tapi saya agak musykil, adakah gerangannya ini wanita sejati atau tiruan bang? Saya tanya pada Azmi yang bersama-sama saya di gigi pasir, agak-agaknya yang ini cewek ka atau banci? Banci atau bencong adalah istilah Indonesia bagi pondan atau transeksual, jadi jangan gunakan istilah banci untuk kajian perangkaan/statistik di Indonesia. Rupanya Azmi pun mempunyai pertanyaan yang sama.

Sedang kami berborak, tersedar, Pak Nasir tidak bersama, mana dia? Rupanya dia sibuk berborak dengan dia... Saya rasa macam tak adil. Terus saya ke tempat mereka berborak. Amboi... Pandai jual minyak juga abang seorang ni... Sampai sahaja saya di situ, terus Pak Nasir minta saya ambilkan gambar. Cheh... Masa tu juga saya terdengar suaranya, huh cewek rupanya. Enak juga suaranya, merdu, hehehe... Tergugat gak gelaran haji ni... Lepas saya ambil 2-3 gambat Pak Nasir bersamanya, saya pun kata, "Eh, tak aci lah Pak Nasir, saya pun nak juga (bergambar)"... Itu yang dapat gambar di atas. Saya tau juga batas, kalau orang lain mahu dipeluk model ni, tapi saya rasa dari saya kena dosa pegang yang haram baik saya pegang isteri saya sahaja. Rupa-rupanya sempat juga Pak Nasir tanya nama dia, Kiki Lova, orang dari pulau Jawa, Jakarta kot teka hati ku. Memang aku tak berani tanya banyak-banyak, takut ada yang menghasut. Pak Nasir je yang banyak tanya.

Gambar ni pun sebenarnya banyak kontroversi semasa saya muat naik di Facebook. Ada lah 1-2 tomahan, mungkin manusia itu tidak mengenali saya juga tidak mengetahui hukum, tahu ambil persepsi tanpa tahu keadaan sebenar. Malah diburukan haji saya sehingga kata tak mabrur kerana gambar ini. Terpulanglah, bukan dia yang tentukan kemabruran atau dosa pahala, tetapi ia hak Allah. Itu masalahnya kalau belajar bukan di tempatnya atau tidak habis, sekadar belajar majlis ilmu dengan orang yang tidak berapa arif (mungkin arif sedikit sahaja) tentang ilmu agama ini. Sebab ini juga saya jarang ikuti majlis ilmu di masjid dan surau di kawasan perumahan kecuali tahu kekaliberan dai'-dai' (pendakwah) yang kendali majlis ilmu tersebut. Maaf, terluah dan terlari dari cerita kembara, tetapi ini berkait.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan, adalah singgah dua buah rumah rakan Azmi yang mana mereka ini pernah berkerja di Malaysia. Mereka kata di Indonesia agak sukar untuk mencari rezeki namun sebaliknya di Malaysia. Setelah bekerja beberapa lama, kini mereka kembali dan boleh berehat di rumah. Begitu mewahnya rezeki mereka di Malaysia dibawa ke Indonesia.





Tak tahulah kenapa Pak Nasir minat rumah ini. Mungkin beliau teringat kisah semasa zaman kecilnya yang agak susah. Saya pun teringat ada juga rumah-rumah seperti ini di kampung ketika kecil dulu di kampung. Dulu agak banyak tapi kini sudah sikit. Mungkin yang ada itu penghuninya agak uzur dan sukar bekerja. Yang lain sudah berganti bati. Itulah bezanya di kampungku & Pak Nasir dengan Pulau Kundur. Bersyukurlah kerana aku jadi anak Malaysia.


Masa pun menunjukan hampir pukul 18:15 (6:15 petang). Hendak masuk waktu maghrib ni... Segera Azmi membawa kami kembali ke kompleks perumahan kakitangan (karyawan kata orang Indonesia) PT Timah Prayun. Kami letakan motorsikal kami di hadapan Masjid Al 'Inayah di kompleks perumahan ini. Sebelum azan berkumandang, Azmi menunjukan dahulu kantor (pejabat dalam Bahasa Melayu Malaysia, kalau di Indonesia, pejabat itu ketua di pejabat itu atau bos. Jadi ibu pejabat adalah isteri bos kalau di Indonesia, tidak ke haru biru maknanya, hahaha) betul-betul di hadapan masjid. Sempatlah bergambar dengan tugu kantornya iaitu salah satu pengorek kapal korek bijih timah. Akhirnya berkumandang azan dan iqamah (agak singkat masa antaranya), dan bersolatlah maghrib (saya & Pak Nasir bersolat jamak dengan Isyak). 


Keadaan di dalam masjid agak ringkas jika dibandingkan dengan masjis-masjid atau surau-surau di Malaysia. Tiada permaidani atau hambal yang tebal di keseluruhan ruang solat, cukup bentangan sejadah panjang di tiga saf hadapan. Selainnya, cukup sekadar jubin-jubin sahaja. Jelas di Malaysia sudah agak mewah. Namun tetap ramai jemaahnya, dengan satu setengah saf, kira-kira lebih kurang 30 orang. Alhamdulillah. 

Setelah solat kami pulang ke rumah Azmi yang kira-kira kurang 1 kilometer dari masjid.



Waktu malamnya Azmi dan keluarga mengajak kami keluar lagi. Asalnya mahu belanja kami makan, tapi lepas kami lihat kedainya agak sempit (Pak Nasir nak ajak mengeteh, ingatkan nak suasana yang meriah, tapi dengan suasana Pulau Kundur ini memang tak berapa nak meriah, saya kata tak apa la), dan disedari oleh Azmi, terus kami dibawa ke satu keramaian, seumpama fun fair. Rasa nak kata fun fair pun tidak, cuma di sini agak meriah dengan jualan makanan dan barang-barangan keperluan dan tidak keperluan. 

Menjadi tumpuan adalah permainan seperti tikam. Kalau di fun fair, hadiahnya seperti mainan dan teddy bear, tapi di sini ia lebih kepada barang keperluan rumah seperti sabun dan ada juga barang makanan seperti beras, minyak masak dan sebagainya. Terkejut saya, dah kira macam judi pula, barang makan pula tu. Betullah, jika dalam kepapaan menjerumus kepada kejahilan. Sewajarnya pemerintah Indonesia perlu menugaskan petugas agama agar dapat membimbing ke jalan yang benar, tapi jangan pula menghukum tapi membimbing.

Banyak istilah Indonesia yang saya belajar yang belum saya ketahui sebelum ini, walaupun saya pernah bertugas seketika di Indonesia. Antaranya somey ikan, bermaksud di dalam Bahasa Melayu, bebola ikan atau fish ball


Selepas itu, Azmi membawa kami ke tempat yanga agak happening untuk makan. Biasa sahaja, cuma saya minta asam pedas ikan senangin, masakan kegemaran saya. Sahaja nak rasa asam pedas di sini. Agak berbeza sedikit, mungkin kerana mereka menggunakan serbuk cili. 


Kali ini Pak Nasir pula yang belanja... Hehehe... Perut kenyang, hati senang, alhamdulillah. Selepas makan, pulanglah kami untuk beradu, zzz...



Insya Allah akan bersambung ke Hari 3.

Atau ingin melihat:



If want to read in English: 


Rabu, 19 Mac 2014

Hari 1 (Pulau Karimun & Pulau Kundur, Kepulauan Riau (Kepri), Indonesia - 28 Februari hingga 02 Mac 2014) - Menaiki Bas ke Pontian.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 




26/02/2014 (Rabu)

Hari ini, ketika sedang melihat News Feed Facebook saya, terbaca pula posting oleh Pak Nasir (id Facebook: Mdnasir Ahmad), salah seorang jurulatih sebuah agensi latihan kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, di mana saya pernah berkhidmat satu ketika dahulu, mengatakan beliau akan berkembara lagi ke beberapa daerah di Sumatera mulai 01/03/2014.



Sebenarnya perkara ini sudah lama beliau utarakan mengenai kembara ini. Saya pun amat berminat untuk mengikutinya. Asalnya beliau merancang untuk melaksanakan pada bulan Mei atau Jun, namun diawalkan, kerana beliau merancang akan mengadakan kembara berbasikal 1Malaysia, mengelilingi Semenanjung Malaysia (yang kembara basikal ini saya tak dapat nak ikut, satu, kerana tiada basikal (bukan alasan sebenarnya), dua, kecederaan kaki akibat kemalangan motosikal 2 tahun lepas (eh, kelmarin (25 Februari) ulangtahun kedua la), masih terasa di bawah lutut, kalau melaksanakan tugas berat seperti mengayuh, akan terasa sakitnya. Jadi, sebab itu beliau mengawalkan kembaranya. Setelah mengetahui beliau hendak mengawalkan kembaranya dan cuti saya pula tak lah banyak (pasal masih awal tahun), maka saya dengan berat hati untuk tidak menyertai beliau.

Namun hari ini tergerak hati pula hendak mengikuti beliau, walaupun sekadar ke Pulau Karimun. Maklumlah, ni pertama kali ke provinsi (macam negeri la kalau di Malaysia) Kepulauan Riau (Kepri), Indonesia. Sudah lama tak ke Indonesia, itu pun dah 12 tahun lepas semasa bertugas di anak syarikat sebuah syarikat oil & gas milik pemerintah (kerajaan) Indonesia (pasal kalau di belakang nama syarikat tu ada Persero, bermakna syarikat pemerintah lah tu). Herannya dulu semasa bertugas di Johor Bahru (JB), tidak pula saya ke Kepri, walau dah dekat. Bila kenang balik rugi la pula, huhuhu... Barang yang lepas janganlah dikenang...


Dahulu sebelum tahun 2004, Kepri ini merupakan sebahagian dari Provinsi Riau di Sumatera, tetapi pada tahun tersebut berpisah. Jadi jika mahu tahu lebih lanjut, boleh rujuk Wikipedia mengenai Provinsi Kepulauan Riau atau Google sahaja untuk maklumat lanjut. Di bawah ini adalah beberapa peta berkaitan dengan kembara ini untuk rujukan...


 Peta Provinsi Kepulauan Riau (Kepri), Indonesia

Peta Pulau Karimun

Memandangkan bila tengok jadual, hujung minggu ini macam saya tiada buat apa, terus saya bagi komen di dalam posting Pak Nasir yang saya nak ikut beliau tapi sampai Karimun sahaja. Dari Karimun, saya beritahu Pak Nasir bahawa saya akan pulang sendiri melalui Singapura dan Johor Bahru terus ke KL. Dia respon, dia setuju dan menyuruh saya tunggu di Kukup, Pontian, Johor di mana terdapatnya Jeti Antarabangsa untuk feri ke Pulau Karimun. Terus saya tempah tiket bas ke Pontian untuk perjalanan malam di laman web Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan (BTS) di TBS eTicketing. Huh, ada pula perkhidmatan jam 23:30 (11:30 malam), apa lagi ambil bas tu la. Pasal biasanya bas akan mengambil masa 6 jam, tapi kalau malam mahu lagi laju! (Pasal masa bertugas di JB dulu kalau naik bas ke KL waktu siang mahu 5 1/2 jam tapi bila naik waktu malam, 3 jam dah sampai!!!). Jadi rasa insya Allah sempat lah sampai. Terus tempah & cetak eTiket dulu, lepas tu nanti kena bawa untuk ditukar kepada tiket sebenar di TBS nanti. Senang sungguh sekarang ni.


Untuk pengetahuan, Pak Nasir ni sebenarnya orang Semerah, Batu Pahat, kira orang kampung saya la, cuma dia dah lama menetap di Alor Gajah... Dah beberapa kali ajak, jadi kali ni, kita terimalah ajakan orang. Nanti dah ajak berkali-kali, tapi tak pergi, muak pula dia... Hehehe...

Macam tak sabar pula nak tunggu malam Sabtu nanti untuk ke Pontian... PONTIAN!!! KAU TUNGGU AKU!!!

Hendak cerita pasal Pulau Karimun dengan Kepri (orang Indonesia suka pendekkan istilah macam Jawa Barat jadi Jabar, Narkotik dan Obatan Berbahaya dipanggil Narkoba (kita kata dadah sahaja), dan dalam kes ini adalah Kepulauan Riau), tak banyak yang tau pasal tak pernah pergi... Rasa rugi pula, pasal dulu kerja di Johor Bahru (JB), dah dekat dah, tapi tak pergi... Amat rugi... Apa yang tahu, orang Kepri ini cara cakap dia macam orang Malaysia (terutama orang Selangor, Melaka & Johor) cakap. Bagi yang memang asal Kepri la, bukan yang emigrasi (berpindah masuk) ke Kepri ni. Tak silap, arwah datuk sebelah ibu saya (orang Johor) kata saya ada saudara di belah-belah sini... Wallahu a'lam...

Sebelum ni dah tukar duit Indonesia (Rupiah atau singkatanya Rp) di pengurup wang member, Zul Khan di Akbar Money Changer Sdn Bhd di Jalan Melaka (depan Bank Muamalat)... Asalnya untuk kembara ke Batam minggu depannya. Tapi dah ada peluang nak ke Karimun ni, guna dulu lah duit ni. Tukar sebanyak RM300 dapat Rp 1 047 000... Jutawan gue!!! Ni antara gambarajah duit-duit Rupiah yang dapat.

Nota Rp 1000 = +- 30 sen Malaysia

Nota Rp 5000 = +- RM1.50

Nota Rp 10 000 (versi tahun 2012) = +- RM3.00

Nota Rp 50 000 (versi tahun 2005) = +- RM15.00

Nota Rp 100 000 (versi tahun 2004) = +- RM30.00

Nota Rp 100 000 (versi tahun 2013) = +- RM30.00

Sambil-sambil tu bawa juga duit SIngapura yang memang ada dalam simpanan (simpan dari duit yang dah tukar dulu tambah duit-duit raya anak-anak (sendiri jadi pengurup wang, ambil duit Singapura ganti duit Malaysia untuk masuk dalam akaun Tabung Haji anak-anak). Kerana perancangan saya, apabila pulang dari Karimun nanti, balik melalui Terminal Bas Larkin, JB melalui Singapura. Disebabkan kekerapan bas ke KL lebih banyak di sana berbanding di Pontian. 

 5 cent Singapura = +- 13 sen Malaysia

10 cent Singapura = +- 26 sen Malaysia

20 cent Singapura = +- 52 sen Malaysia

50 cent Singapura = +- RM 1.30

SG$ 1.00 = +- RM 2.60

SG$ 2.00 (lama (kertas) masih guna) = +- RM 5.20

SG$ 2.00 (baru (polimer)) = +- RM 5.20

SG$ 5.00 (lama (kertas) masih guna) = +- RM 13.00

SG$ 5.00 (baru (polimer)) = +- RM 13.00

SG$ 10.00 (lama (kertas) masih guna) = +- RM 26.00

SG$ 10.00 (baru (polimer)) = +- RM 26.00

SG$ 50.00 (kertas) = +- RM 130.00

Selepas buat temu janji dengan Pak Nasir dan disahkan, maka selama 2 malam saya rasa tak sabar untuk mengembara buat kali ini...



28/02/2014 (Jumaat)

Hari yang dinanti telah tiba... Selepas pulang kerja, sambil-sambil buat kerja lain, sambil-sambil kemas beg Dueler Futura 28 liter yang menjadi teman mengembara selama 2 tahun... Tahan beg ni... Ye lah pasal nak bergerak dari rumah ke TBS nanti pukul 22:30 (10:30 malam) pasal bas pukul 22:30 (11:30 malam).

Tepat jam 22:30 (10:30 malam), selepas saya bersolat Isyak, bersalaman & mohon maaf daripada mak & keluarga, maka bergeraklah motorsikal ke TBS. Walaupun dah nak masuk lewat malam, tetapi kereta di DUKE & MRR2 agak banyak juga. Mungkin kerana malam ini adalah malam Sabtu, ramai nak pulang ke rumah atau ke kampung masing-masing.

Sampai je di TBS, terus naik parking tingkat 4, alhamdulillah ada juga parking. Tak perlu naik ke tingkat 5. Alhamdulillah parking di sini berbumbung. Boleh la berlindung dari berpanas sekarang ni (masa ini dah beberapa hari KL tak hujan). Parking pun free... Alhamdulillah...



(Maklumat terkini - 11 Julai 2014)
Agak tidak adil jika saya tidak meletakkan kadar parkir kereta, manalah tahu jika ada sesiapa yang mahu memakir kereta di sini. Kadarnya adalah RM3.00 per kemasukan per hari. Bermaksud, setiap kemasukan adalah RM3.00, jika anda masuk satu hari 3 kali maka RM3.00 darab 3 sama dengan RM9.00 sahaja. Jika anda parkir kereta sekali masuk tetapi memarkir tiga  hari contohnya, pengiraannya adalah RM3.00 darab 3 hari (walaupun hanya sekali masuk) sama dengan RM9.00 sahaja juga.


Kemudian terus ke tingkat 3 untuk tukar eTiket kepada tiket sebenar di kaunter khas. Tiket sebenar macam di bawah ni.


Memandangkan semasa sampai di TBS tadi baru pukul 23:00 (11:00 malam) maka berpusing dulu sekeliling, ambil gambar dan beli sedikit gula-gula Mentos pudina untuk elak mabuk (jika) atau rasa nak makan. TBS, memang hebat, terminal bas semacam lapangan terbang.



(Maklumat terkini pada 11 Julai 2014)
Kini anda boleh membuat penukaran matawang asing di TBS ini kerana sebuah pengurup wang francaisi Merchantrade iaitu Sumber Jalur Sdn Bhd telah dibuka di lot 17, tingkat 4 (setingkat dengan medan selera, tetapi berlawan dengannya, kiranya atas kaunter tiket TBS). Kadar tukaran (saya ambil kadar jualan iaitu jika kita hendak beli matawang itu) agak kompetitif, lebih kurang kadar di Masjid India atau Ampang Park, iaitu US$1.00 = RM3.21 dan ฿100 = RM10.20 (kadar pada 11 Julai 2014).


Juga anda boleh untuk ke klia2 melalui terminal TBS ini selain di KL Sentral. Dengan hanya RM10.00 sahaja, perkhidmatan bas Jetbus akan berangkat dari TBS setiap jam dari pukul 0300 (3:00 pagi) hingga 2300 (11:00 malam) setiap hari.

Jam 23:15 (11:15 malam) saya turun ke platform di tingkat 2, untuk menunggu bas. Serahkan tiket kepada petugas sebelum menaiki eskelator dan dicop. Pintu pelepasan bas saya di Pintu 1, betul-betul di hadapan eskalator. Ada bas menunggu tetapi bukan bas Mayang Sari ke Pontian. Bas  pukul 23:15 (11:15 malam) rupanya... Selepas bas tersebut beredar, sampailah bas saya... Ooo, bas ni singgah Muar & Batu Pahat rupanya... Tidak mengapalah, janji sampai Pontian jangan awal-awal... Jenuh tunggu pagi-pagi buta...



Ok untuk log perjalanan keesokan harinya, insya Allah akan bersambung ke Hari 2.

Atau ingin melihat:



If want to read in English: