Click here if want to read in English version.
Sebelum ini, saya telah mencuba beberapa bas-bas percuma di sekitar Lembah Klang seperti di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Ampang Jaya (Ulu Klang) dan Kajang. Pada kali ini, saya mencuba bas percuma Bas Selangorku Shah Alam (Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)) pula.
Perkhidmatan ini adala inistiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) MBSA untuk memudahkan perhubungan penduduk di dalam kawasan PBT berkenaan. Perkhidmatan ini dimulakan pada 01 Julai 2015 bersama-sama perkhidmatan yang sama di Subang Jaya dan Klang di bawah jenama Bas Selangorku. Maklumat hebahan mengenai perkhidmatanini terdapat di dalam laman web MBSA di bawah bahagian berita Pelancaran Bas Selangorku Shah Alam dan juga hebahan media Pelancaran Bas Selangorku Shah Alam.
Bas-bas ini sama ada Bas Selangorku atau Bas SMART Selangor sememangnya percuma dan kos operasinya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor.Bagi jenama Bas SMART Selangor yang dimulakan pada 01 Januari 2016, terdapat dua lagi kawasan yang diliputi iaitu Kajang dan Ampang Jaya (Ulu Klang).
Stesen KTM Komuter Shah Alam dari perhentian bas Bas Selangorku Shah Alam.
Pada 10 Februari 2016, saya telah ke Stesen KTM Komuter Shah Alam untuk mencuba perkhidmatan ini. Apabila sampai di hadapan stesen tersebut, kelihatan sederetan bas-bas Bas Selangorku berhenti di perhentian khasnya yang terletak di seberang jalan berhadapan dengan stesen keretapi ini.
Bas-bas Bas Selangorku Shah Alam yang sedang berhenti
di perhentiannya di hadapan Stesen KTM Komuter Shah Alam.
Bas Selangorku Shah Alam pandangan hadapan.
Bas Selangorku Shah Alam pandangan belakang.
Di perhentian ini terdapat tiang perhentian bas khas untuk Bas Selangorku Shah Alam ini yang terdapat carta laluan bas padanya. Cuma di perhentian ini, tidak mempunyai tempat menunggu berbumbung, bermakna ia terbuka kepada cuaca panas dan hujan.
Tiang perhentian bas dan carta laluan Bas Selangorku Shah Alam.
Bas Selangorku Shah Alam ini beroperasi dari pukul 6:00 pagi sehingga 9:00 malam dan mempunyai kekerapan setiap lima belas minit ke dua puluh minit. Terminal atau hub utamanya adalah di Stesen KTM Komuter Shah Alam dan ia akan melalui Seksyen 19, Seksyen 14 (pusat bandaraya Shah Alam, iaitu di Dataran Bandaraya), kemudian akan memasuki kawasan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), seterusnya ke Seksyen 5, 6, 4, 3 dan 2. Bas ini meneruskan perjalanan melalui Jalan Institusi yang mempunyai dua instutusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Selangor (UniSel) untuk ke kawasan Seksyen 7 Shah Alam. Bas ini akan singgah di beberapa tempat utama di Seksyen 7 dengan hentian terakhir di Hospital Shah Alam (HSA). Setelah sampai di HSA, bas ini akan kembali mengikut jalan yang sama untuk kembali ke Stesen KTM Komuter Shah Alam.
Carta laluan Bas Selangorku Shah Alam.
Pelan jajaran laluan Bas Selangorku Shah Alam.
Bas-bas yang digunakan adalah daripada armada bas Prasarana Malaysia Berhad yang mana ia mempunyai konfigurasi yang sama dengan bas-bas RapidKL. Bas yang digunakan adalah dari jenis bas 12 meter dan berjenama MAN.
Keadaan dalaman Bas Selangorku Shah Alam.
Di dalam bas ini juga terdapat perkhidamatan WiFi berinternet percuma yang boleh digunakan semasa menggunakan Bas Selangorku Shah Alam ini. Cuma sepanjang saya menggunakan perkhidmatan ini, ada beberapa tempat di Shah Alam ini, liputan internet melalui WiFi ini tidak begitu stabil. Masa untuk memuat turun kandungan internet juga agak lama.
WiFi percuma Bas Selangorku Shah Alam.
Saya mencuba perkhidmatan bas ini pada pukul 2:00 petang iaitu selepas waktu makan tengahari. Namun agak banyak juga penumpang yang menaiki bas ini pada ketika itu. Hampir penuh semua tempat duduk yang ada di dalam bas ini. Kebetulan pada hari itu, sekolah-sekolah kecuali sekolah agama di Shah Alam (bahkan seluruh Malaysia) ditutup seminggu sempena perayaan Tahun Baru Cina. Jadi tidak banyak didapati pelajar-pelajar menaiki bas ini.
Bangunan Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah atau
Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.
Sepanjang laluan ini, meliputi banyak sekolah-sekolah selain dua institusi pengajian tinggi utama di Shah Alam. Selain itu ia juga melalui pusat bandaraya Shah Alam yang mempunyai beberapa kawasan tumpuan utama seperti Kompleks PKNS, Wisma MBSA dan sebagainya dengan perhentian Dataran Bandaraya menjadi perhentiannya.
Laluan ke kawasan Bangunan SUK hanya akan dilalui pada waktu bekerja biasa iaitu dari pukul 6:30 pagi ke 6:30 petang untuk hari Isnin hingga Jumaat kecuali hari kelepasan am. Selain dari waktu tersebut, bas ini tidak akan memasuki kawasan Bangunan SUK sebalik akan terus ke Seksyen 6 melalui Persiaran Pegawai.
Pemberitahuan masa Bas Selangorku Shah Alam melalui Bangunan SUK.
Peta: Laluan Bas Selangorku Shah Alam.
Bas ini kemudian melalui kawasan Seksyen 7 yang mana kawasan ini agak padat dengan perumahan dan juga kawasan komersil baru Shah Alam. Ia juga agak dekat untuk ke i-City iaitu pusat tarikan utama di bandaraya Shah Alam.
Palinng penting, bas ini meliputi juga Hospital Shah Alam yang baru siap, sekali gus memudahkan warga bandaraya Shah Alam untuk mendapatkan rawatan di situ.
Bunting mengenai perkhidmatan Bas Selangorku Shah Alam
di Stesen Bas Seksyen 2 Shah Alam.
Pemerhatian yang dibuat, tidak seperti perkhidmatan sama di Klang, Kajang dan Ampang Jaya, hampir kebanyakan perhentian Bas Selangorku Shah Alam ini mempunyai pondok menunggu yang berbumbung kecuali di beberapa tempat sahaja yang tidak mempunyainya seperti di Stesen KTM Komuter Shah Alam.
Memandangkan bandaraya Shah Alam ini mempunyai banyak sekolah, perkhidmatan ini juga dapat memudahkan pelajar-pelajar untuk ke sekolah. Selain itu, bas ini melalui pejabat-pejabat kerajaan dan premis swasta, memudahkan bukan sahaja warga Shah Alam tetapi semua orang untuk berurusan.
Perkhidmatan bas ini juga melalui beberapa kawasan tarikan pelancongan seperti i-City dan Taman Tasik Shah Alam serta beberapa tempat-tempat lain, sekali gus dapat mempromosikan Shah Alam sebagai salah satu destinasi perlancongan. Ini amat memudahkan pengunjung-pengunjung datang tanpa perlu membawa kenderaan sendiri.
Sememangnya perkhidmatan Bas Selangorku di Shah Alam ini, selain menjimatkan pengguna-penggunanya kerana ia percuma, malah ia menjadi pemangkin kepada pelbagai kegiatan ekonomu yang dapat memajukan kawasan Shah Alam dan paling penting, sistem pengangkutan di Shah Alam dapat dimajukan lagi.
Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
Click here if want to read in English version.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan