Jumaat, 11 Julai 2014

Petua : Pengurup Wang di Ampang Park, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.


Jika sebelum ini saya berkongsi tentang perkhidmatan pengurup wang yang ada di Masjid India, maka kali ini saya ingin berkongsi pula tentang perkhidmatan pengurup wang yang ada di satu lagi kawasan di Kuala Lumpur ini, yang tidak kurang menarik kadar pertukaran matawang asing, iaitu di dalam kompleks memberli belah Ampang Park, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Setelah membaca beberapa buah blog dan perbincangan di dalam kumpulan (group) Facebook, ramai juga yang mencadangkan untuk membuat pertukaran di pengurup-pengurup wang di Ampang Park. Lalu saya membuat kajian tentang perkara ini, dan sememangnya kadarnya agak lebih kurang sama dengan pengurup-pengurup wang di Masjid India. Malah ada kadar lebih baik darinya.

Berdasarkan senarai penyewa-penyewa yang dipaparkan di ruangan panduan penyewa di ruang legar Ampang Park ini, terdapat empat penyewa yang menyediakan perkhidmatan ini. Ia adalah seperti gambarajah di bawah. Namun sebenarnya ia ada lima pengurup wang di Ampang Park ini.


Pertama sekali saya ke kawasan McDonald's, mengambil lorong di belakangnya. Lorong ini terdapat di sebelah kanannya (jika masuk dari arah Jalan Ampang), sebuah pasaraya. Terdapat sepasang eskalator (tangga bergerak) juga di antara pasaraya ini dan di seberangnya (iaitu sebelah kiri kita) terdapat sebuah pengurup wang iaitu NS Cashpoint Sdn Bhd. Mungkin pengurup wang ini baru kerana ia tidak termasuk di dalam senarai penyewa yang ada di dalam ruangan panduan penyewa Ampang Park seperti di atas. Saya membeli Dolar Amerika Syarikat (US$ (kod USD)) sebanyak US$10.00 dengan harga RM32.05 di sini pada 07 Julai 2014, dengan memberikan RM32.10 namun tiada 5 sen baki diberikan kepada saya.


Kemudian saya teruskan berjalan sehingga di hujung lorong yang terdapat pintu masuk/keluar jalan belakang Ampang Park dan tangga menuju ke tingkat atas. Pengurup wang ini iaitu Antara Duit Agency Sdn Bhdterletak di sebelah kanan sejurus sebelum pintu dan tangga tersebut. Pengurup wang ini yang banyak komen saya dapat, kerana ia memberikan kadar pertukaran terbaik .  Saya membuat pertukaran Baht Thailand (฿ (kod THB) sebanyak ฿1000 dengan hanya RM100.30 sahaja pada 07 Julai 2014, nilai terbaik di sekitar Kuala Lumpur.

 


Kembali semula ke ruangan panduan penyewa Ampang Park, saya pusing ke kanan dan berjalan ke lorong yang ada dan terus tidak jauh dari tempat tersebut, terdapat satu pengurup wang, iaitu Daily Perfect Rate Sdn Bhd. Jika dari luar iaitu dari Jalan Ampang, untuk ke pengurup wang ini, perlu ke lorong antara Maybank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan berjalan melaluinya dan ambil lorong pertama sebelah kanan. Kedai ini tidak jauh dari simpang lorong tadi di sebelah kedai gambar. Kadarnya agak baik. Saya membeli  US$1.00 sahaja pada 10 Julai 2014 untuk persediaan saya untuk ke Vientiane, Laos pada cuti hari Merdeka nanti. Kadarnya adalah RM3.19 iaitu paling murah di Kuala Lumpur pada hari tersebut. Tapi ia dibundarkan kepada RM3.20.

 



Untuk pengurup selanjutnya, Oriental House Sdn Bhd, ia paling mudah untuk dicari kerana ia terletak di bahagian hadapan pusat membeli belah ini. Jika dari Jalan Ampang atau baru naik dari stesen LRT (Aliran Kelana Jaya) Ampang Park, ia terletak di sebelah kedai serbaneka 7-Eleven di sebelah kanan ruang masuk ke ruang legar Ampang Park. Kedai ini adalah yang terbesar dan terlama di Ampang Park ini. Pada 10 Julai 2014, saya membeli US$1.00 dengan harga sama dengan Daily Perfect Rate Sdn Bhd di atas.



 

Pada 10 Julai 2014 juga, saya menaiki eskalator berhadapan dengan pengurup wang NS Cashpoint Sdn Bhd untuk ke tingkat atas (tingkat 1). Sampai di tingkat atas, berpatah ke belakang, akan terlihat satu lagi penurup wang iaitu Subhiyah United Money Sdn Bhd. Pengurup wang ini sebenarnya anak syarikat Subhiyah Travel & Tour Sdn Bhd yang terletak tidak jauh dari situ (dalam beberapa kedai dari simpang lorong sebelah kiri pengurup wang ini). Pada masa itu saya cuba menukarkan RM kepada US$1.00 tapi tiada dalam stok mereka. Kadar jualan pada masa itu adalah US$1.00 = RM3.19. Mungkin akan datang saya akan cuba memberikan kadarnya jika berkesempatan.  (Kemas kini) Saya telah menukar sebanyak ฿1000 untuk RM100.50 pada 18 Julai 2014, kadar terbaik di antara 5 pengurup wang di Ampang Park, 4 pengurup wang di Masjid India dan satu di kawasan Masjid Jamek.

 


Sememangnya jika anda tidak selesa dengan pengurup wang Masjid India kerana kena berjalan sedikit dari stesen LRT Masjid Jamek atau kerana kawasan Masjid India selalu sesak terutama pada musim perayaan, maka pengurup-pengurup wang di Ampang Park ini boleh menjadi pilihan anda terutama mereka dari timur Kuala Lumpur (Ampang, Keramat, Kg Pandan) atau bekerja di sekitar kawasan Ampang Park. Dengan perkhidmatan LRT yang amat dekat tanpa perlu berjalan jauh dan sepanjang jalan terlindung dari panas dan hujan (kerana stesen LRT bersambung dengan Ampang Park), ia lebih selesa dari Masjid India.



Di sini saya ingin ingatkan semula jika kita ingin menukar wang Ringgit Malaysia (RM) kepada matawang asing dikira sebagai membeli matawang tersebut, namun kadarnya apabila melihat di papan paparan kadar tukaran di pengurup wang, perlulah melihat kadar jualan, kerana ia dilihat pada perspektif pengurup wang dan bukan kita. 

Begitu juga sebaliknya, jika anda mahu tukar semula matawang asing kepada RM, anda dikira menjual matawang tersebut, tetapi kadarnya perlu melihat kadar belian di papan paparan kadar tukaran.

Pada pendapat saya, dalam banyak negara, kadar tukaran di Masjid India dan Ampang Park ini antara yang terbaik, malah majoritinya lebih baik dari menukarnya di pengurup wang di negara asal matawang tersebut digunakan contohnya di Thailand, Filipina, Singapura dan Batam, Indonesia. Namun jika anda ke Arab Saudi atau ke selain Batam, Indonesia (seperti Bali, Medan dan sebagainya), kadar tempatan adalah lebih baik. Ini berdasarkan pengalaman saya.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dalam merancang perjalanan percutian dan kembara anda.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Click here if want to read in English version.

Tiada ulasan: