Isnin, 5 Oktober 2015

Narathiwat, Thailand - 02 hingga 03 Oktober 2015 - Menziarah Saudara.

If want to read in English.



02 Oktober 2015 (Jumaat).

Pada hari ini, saya mengambil cuti kecemasan kerana ingin menziarah saudara yang duduk di Tanyongmat (Tanjung Mas) yang juga dikenali sebagai Rangae, Narathiwat, Thailand. Saya dan keluarga bergerak dari rumah pada pukul 10:30 pagi di mana kami singgah ke sekolah anak lelaki saya untuk mengambil dia di sekolah. Jadi dia pulang awallah. Lagipun jerebu di Kuala Lumpur ini menyesakan pernafasan apa lagi permandangan. Jadi, sebenar-benarnya, kami mula bergerak dari kawasan perumahan kami pada pukul 11:30 pagi.


Masjid Keputeraan, Paloh, Gua Musang, Kelantan.

Kami melalui Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak. Di lebuhraya ini, sudah melaksanakan pembayaran elektronik sahaja, iaitu memakai Touch n Go atau SmarTAG sahaja. Kami meneruskan melalui bandar Bentong dan Raub. Kami singgah di Raub untuk makan tengahari. Setelah selesai, kami teruskan perjalanan dan berhenti seketika mengisi minyak di Kuala Lipis, kerana saya tidak mengisinya awal-awal tadi. Seterusnya diteruskan, dah selepas Padang Tengku, alhamdulillah, jalan baru bertaraf lebuhraya telah siap. Jadi selesa sikit perjalanan sehingga Sungai Yu, berhampiran Merapoh. Jadi sudah jimat lebih sejam perjalanan dan 50 km.

Selepas Sungai Yu, diteruskan melalui jalan lama, kerana bahagian ini belum siap lagi. Diteruskan perjalanan melalui Gua Musang dan kemudian berhenti untuk solat di Masjid Keputeraan di Paloh, Gua Musang. Usai solat, kami meneruskan perjalanan kerana tidak mahu sampai di sempadan ketika waktu sudah malam. Kami melalui Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Bukit Panau dan akhirnya sampai di Rantau Panjang pada jam 5:45 petang. Saya mengisi minyak sepenuhnya agar tidak perlu mengisi minyak di Thailand yang harganya lebih setengah kali ganda lebih mahal. Ingatkan selepas mengisi minyak ingin meneruskan perjalanan tetapi anak-anak saya ingin memakan KFC yang terletak di sebelah stesen minyak. Layan sahajalah...

Pintu keluar Malaysia di Kompleks ICQS Rantau Panjang, Kelantan
(selepas pemeriksaan imigresen/kastam).

Jadi pada jam 6:30 petang, barulah kami bergerak menuju ke pintu sempadan. Kami melihat-lihat juga jika ada kedai-kedai yang membolehkan kami menukar duit Bath Thai dan insurans kereta Thailand, tapi semua kedai sudah tutup termasuk di dalam pekan Rantau Panjang. Jadi kami redha sahaja untuk masuk ke sempadan tanpa sebarang duit Baht. Maklumlah, perjalanan ini pun tiada rancangan. Kami pun memasuki kaunter imigresen (pandu lalu), alhamdulillah tiada masalah.

Pintu masuk Thailand di Sungai Kolok, Narathiwat, Thailand
(sebelum pemeriksaan imigresen/kastam).

Orang agak ramai juga di kedua-dua hala, tetapi yang menghala ke Malaysia lebih ramai lagi, malah sehinggakan kenderaan beratur di atas Jambatan Persahabatan Malaysia-Thai. Kami memarkirkan kereta kami di hadapan pejabat pintu sempadan sebelah Thailand untuk urusan imigresen dan kastam.

Hadapan pejabat pos sempadan Thailand di Sungai Kolok, Narathiwat, Thailand.

Huh, keadaan di kawasan pejabat imigresen agak ramai! Saya pun cuba meminta borang imigresen Thailand (biasa dipanggil white form) untuk diisi di kaunter imigresen, namun disuruh untuk pergi ke dalam pejabat kesihatan untuk tujuan tersebut. Rupanya ada "penulis" borang dengan "tauliah oleh pegawai imigresen situ" yang akan menuliskan borang kami. Jadi saya berikan pasport kami. Pasport pun kena beratur. Akhirnya selepas hampir setengah jam menunggu sambil berdiri, selesailah penulisan borang tersebut dengan upah RM9.00 bagi 4 borang!

Kaunter imigresen Thailand.

Setelah itu, kami pun segera beratur di hadapan kaunter imigresen untuk proses yang sepatutunya. Agak berjalan lancar dan cop masuk Thailand pun diberi tanpa sebarang permintaan bayaran walaupun masa tersebut sudah pukul 6:30 petang waktu Thailand (7:30 malam waktu Malaysia).

Cop masuk imigresen Thailand.

Kaunter kastam Thailand.

Selesai urusan di imigresen, kami ke kaunter kastam di sebelah pula untuk urusan membawa masuk kereta ke Thailand. Untuk prosedur bawa kereta ke Thailand boleh rujuk artikel Petua: Bagaimana Untuk Membawa Masuk Kenderaan Ke Thailand Melalui Pintu Masuk Darat di dalam blog ini. Ini pertama kali kereta isteri saya dibawa masuk. Sebelum ini, kami masuk dengan menggunakan kereta saya. Urusannya agak mudah dan cepat juga. Kerani kastam yang bertugas menawarkan untuk membeli insurans kereta Thailand dengannya pada harga RM35 bagi sebulan. Agak mahal sebenarnya, kerana kami hanya masuk dalam dua hari sahaja, cukuplah insurans untuk seminggu (minimum). Tapi tiada dijual untuk seminggu, minimum sebulan, katanya (dalam bahasa Melayu ye). Oleh kerana risau kedai-kedai di sebelah Thai sudah tutup maka isteri saya bersetuju untuk membelinya. Jadi borang membawa masuk kereta dan polisi insurans diberikan kepada kami.

Gambar Insurans Thailand.

Setelah selesai, kami kembali semula ke kereta dan menuju ke kaunter pandu lalu imigresen dan kastam. Di kaunter imigresen (sudah tidak aktif kerana urusan perlu ke pejabat tadi), saya sempat mengambil gambar bayaran "yuran lebih masa" imigresen Thailand untuk rujukan. Cuma nasib baik kali ini kami tidak perlu bayar. Biasanya "yuran" ini tidak mengikut kadar yang disebutkan tetapi kadar tetap antara RM1.00 ke RM2.00. Memang biasa pihak imigresen Thailand di pintu sempadan Malaysia-Thailand ini mengambil "yuran" tidak rasmi ini. Kecuali di pintu masuk Ban Prakob (sebelah Kota Putra (Durian Burung), Kedah), Buketa (sebelah Bukit Bunga, Kelantan) dan di Tak Bai (Pengkalan Kubor, Kelantan), pada pengalaman saya tidak meminta "yuran" ini dan juga dalam kes tertentu macam di Sungai Kolok ini, meminta borang ditulis oleh orang yang "ditauliahkan" sahaja.

Kadar "bayaran yuran lebih masa" imigresen Thailand.

Saya memandu terus sehingga memarkirkan kenderaan selepas kaunter kastam untuk menyerahkan borang membawa masuk kereta kami kepada pegawai kastam untuk disahkan. Nasib baik pegawai tersebut mempunyai mood baik, menyatakan kami tidak perlu bayar "caj lebih masa". Aik, kastam pun dah mula minta. Saya pun ucapkan terima kasih kerana tidak perlu bayar. Setelah disahkan, kami pun beredar dari kawasan pintu sempadan. Kelihatan kenderaan dari Thailand beratur untuk memasuki pejabat pintu sempadan Thailand bagi memasuki Malaysia.

Peringatan kastam Thailand mengenai denda lebih tempoh bawa kenderaan ke Thailand.

Kami pun memasuki bandar Sungai Kolok (Sungai Golok sebenarnya, tapi bahasa Thai tiada huruf G). Kedai-kedai sudah tutup, kecuali kedai 7-Eleven. Walaupun dibuka namun kedai 7-Eleven hanya terima duit Baht sahaja tidak seperti kedai lain yang terima Baht dan RInggit Malaysia. Jadi kami memang gamble meneruskan perjalanan tanpa duit Baht, talian telefon dan internet (bagi tujuan peta di telefon bimbit). Saya pun terlupa untuk memuat naik peta offline Selatan Thai sebelum ini. Cuma hanya bergantung pengalaman saya melalui jalan-jalan tersebut sebelum ini. Destinasi kami adalah untuk ke Rangae. Jadi kami ikutlah papan tanda, mula-mula kami ikut ke Sungai Padi, kemudian ke Narathiwat kerana di tengah-tengah perjalanan, seingat saya terdapat papan tanda ke Rangae.


Semasa dalam perjalanan, terdapat banyak halangan jalan yang tiada staf baik dari polis mahupun tentera. Ada juga banyak juga yang mempunyai staf bertugas. Jika dari polis, memang tidak ditahan untuk ditanya tetapi jika askar, kami ditahan untuk pertanyaan. Memamg betul, di waktu malam, kawalan agak ketat sikit. Malah kami ditahan sebanyak 5 kali di mana 4 kali perlu diberikan pasport untuk pengenalan. Malah diambil gambar kami dan kereta kami. Cuma perlu diingatkan, setiap kali melalui halangan jalan berstaf, perlu matikan lampu hadapan kerata atau menggunakan lampu kecil dan hidupkan lampu dalam kereta. Alhamdulillah, kami berjaya melepasi semuanya dengan selamat walaupun hati ini agak berdebar.

Kami sampai di sebuah kampung dekat Rangae, di mana kami singgah di sebuah kedai. Isteri saya berjumpa dengan pemilik kedai untuk bertanya jalan dan pemilik tersebut menawarkan untuk menggunakan telefon. Alhamdulillah dapat juga, dan terdapat dua orang pelanggan yang sudi menunjukkan jalan dengan motorsikal. Kami dibelanja minum dahulu sebelum dibawa ke kampung saudara itu. Kalau ikutkan kami mahu beli sahaja makanan (nasi kerabu asli) tetapi mereka sudah tidak terima Ringgit Malaysia, jadi simpan sahaja hasrat.

Akhirnya pada pukul 9:00 malam waktu Thailand, sampailah kami ke kampung saudara kami. Dua orang yang membawa kami tidak menerima duit kami kerana mereka ikhlas. Alhamdulillah, selesai misi "sukar" kami. Kami pun berehat dan berbual dengan saudara kami dan menjelang tengah malam, kami pun merehatkan diri.


03 Oktober 2015 (Sabtu)

Tidur di rumah saudara kami ini agak sejuk, maklumlah kawasan kampung dan dekat dengan kawasan bukit pula. Suka betul anak-anak kami duduk kampung. Siap main kejar-kejar dengan ayam itik dan kucing lagi. Cuma kami tidak boleh lama di sana. Kalau ikut hati hendak sahaja duduk lama di kampung tu, tapi kami ada hal lain pada hari Ahad.

Jam 9:30 pagi waktu Thailand, kami meninggalkan kampung saudara kami itu. Destinasi pertama kami adalah bandar Narathiwat. Tidak berapa jauh mana pun, dalam 20 kilometer dari pekan Rangae (30 kilometer jika dari kampung saudara kami). Kami pusing-pusing sahaja di bandar ini.

Seterusnya kami ke Tak Bai pula. Di sini dapat lihat Malaysia di Pengkalan Kubor, Kelantan. Saya pernah ke Tak Bai dari Pengkalan Kubor menaiki feri. Jadi ia terus ke pejabat pos sempadan Thailand. Harga tambang dalam 60 sen sahaja.

Sebelum ini juga saya mencari jeti bot penambang. Cuma jumpa jeti bot pancung sahaja yang tambangnya RM5.00 sehala perjalanan. Kali ini saya dapat mencari jeti bot penambang dari Tak Bai ke Pengkalan Kubor pula. Jumpa juga. Banyak juga orang yang guna perkhidmatan ini. Jeti ini agak terselindung sikit.


Jeti bot penambang Tak Bai.

Kaunter bayaran tambang bot penambang Tak Bai.

Tambang bot penambang ini cuma RM1.20 atau ฿10 sahaja. Biasalah di bandar-bandar sempadan ini boleh sahaja pakai Ringgit Malaysia apatah lagi Baht. Bot penambang ini akan menunggu penumpang sehingga penuh barulah ia berlepas dari jeti.

Bot penambang Tak Bai.

Di Tak Bai atau nama Melayunya Tabal atau dalam dialek Kelantan atau Pattani, Taba, kami membeli belah sedikit kerana harga barang di sini lebih murah dan di sini juga lebih mudah untuk membeli belah berbanding di Sungai Kolok, kerana sukar sikit dalam mencari parkir. Setelah selesai membeli belah, kami pun makan tengahari di sini dengan hidangan tom yam, sup perut tembusu (sup bulat kata orang Tak Bai), kailan ikan masin dan telur dadar. Minuman pula biasalah air teh o beng (teh o ais), memang lebih sedap berbanding Malaysia. Harga pun cuma RM24.00 sahaja.

Selesai makan, kami pun pulang menuju ke Buketa melalui Sungai Kolok. Kiranya kami melalui sipi-sipi dua pos sempadan. Sengaja saya melalui Buketa, pasal nak tahu apa perkembangan pembangunan di sana, di samping melengkapkan keluar dan masuk semua pintu sempadan Malaysia-Thailand. Rupanya di Buketa sudah mula ada kedai-kedai yang menjual barangan sebagaimana jirannya di Malaysia, Bukit Bunga. Cuma Bukit Bunga lebih meriah.

Cop keluar imigresen Thailand

Urusan imigresen dan kastam (pemulangan kembali borang kemasukan kereta) berjalan dengan lancar. Selesai urusan di situ, kami pun melintasi Jambatan Persahabatan Malaysia-Thailand II. Di tengah-tengah jambatan dapat lihat garisan berkembar di tengah jalan bertukar dari kuning (Thailand) kepada putih (Malaysia).

Pintu keluar Thailand / masuk Malaysia 
di Buketa, Narathiwat, Thailand / Bukit Bunga, Kelantan, Malaysia.


Sampai di Malaysia pun macam biasa lagi lancar. Tidak sampai 2 minit semua selesai. Dengan kastam pula kami cuma cakap kami hanya beli sedikit, terus dilepaskan. Lagi bagus Bukit Bunga ini tiada halangan jalan dari pihak Unit Pencegah Penyeludupan (UPP). Jadi selepas keluar dari komplek ICQS Bukit Bunga pada jam 2:00 petang, kami pun terus pulang ke Kuala Lumpur.


Cop masuk imigresen Malaysia

Kami hanya singgah di sebuah stesen minyak di Machang untuk bersolat, di sebuah stesen minyak di R&R Gua Musang untuk mengisi minyak dan singgah makan kari kepala ikan di Restoran Ratha di bandar Raub yang saya tulis aritikelnya di blog SantapanGD. Kami juga singgah di R&R Gombak untuk solat juga.



Akhirnya kami sampai di rumah pada pukul 9:00 malam. Alhamdulillah selesai perjalanan kali ini. Saya memohon maaf kerana posting kali ini saya kurang mengambil gambar. Cuma tujuan posting kali ini adalah untuk berkongsi pengalaman sahaja. Insya Allah selepas ini akan berkongsi dalam perjalanan lain pula.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



If want to read in English.

Khamis, 1 Oktober 2015

Kuala Lumpur, Malaysia - 01 Oktober 2015) - Bas Dua Tingkat RapidKL.

Click here if want to read in English version.

01 Oktober 2015 (Khamis)

Assalamualaikum kepada pembaca semua. Kali ini saya mengambil kesempatan dalam keadaan Kuala Lumpur (KL) yang pulih sedikit dari jerebu. Jerebu pada ketika ini umpama biskut Chipsmore, kejap ada, kejap pulih sikit, tidak lama kemudian jerebu balik. Oleh kerana RapidKL iaitu penyedia pengangkutuan awam utama di KL memperkenalkan semula bas dua tingkat (double decker) ke ibu kota Malaysia ini.

Sudah lama juga bandaraya KL ini tidak mempunyai perkhidmatan bas henti-henti dua tingkat. Boleh ketepikan bas ekspres dua tingkat kerana ia adalah bas ekspres dan bas Hop On Hop Off KL (yang saya naikinya sebelum ini), kerana ia lebih kepada untuk perlancongan. 

Saya masih ingat kali terakhir KL mempunyai bas dua tingkat adalah pada tahun 1990 hingga 1991 dengan syarikat Pengangkutan Bas Sri Jaya Sdn Bhd dengan laluan nombor 2 dari Sentul Pasar ke Kota Raya. Saya sentiasa ingin menaikinya terutama balik dari sekolah agama di Sentul Pasar atau dari sekolah biasa di Sentul untuk balik ke rumah. Setiap kali menaikinya, pasti akan menyanyikan lagu iklan makanan ringan "Double Decker". Kemudian ia ditamatkan perkhidmatan selepas tahun 192, atas pelbagai alasan, antaranya rosak akibat terlanggar ranting/dahan pokok, vandalisme, tidak efektif secara kos dan sebagainya. Jadi kembalikah Kuala Lumpur dengan bas setingkatnya.


Kini, bas-bas di Kuala Lumpur dan juga Lembah Klang (KV - Klang Valley) semakin moden, antara termoden di Asia. Pada akhir tahun 2014, RapidKL menyatakan bahawa mereka ingin membawa kembali perkhidmatan bas dua tingkat kembali semula ke KL dan KV, saya amat teruja. Akhirnya bas dua tingkat RapidKL memulakan perkhidmatan di laluan U80 dari Hub Pasar Seni ke Seksyen 2, Shah Alam pada bulan awal bulan September 2016.

Tidak lama kemudian, saya mendapat tahu laluan U30 dari Lebuh Ampang ke Sri Nilam, Ampang menggunakan bas dua tingkat juga walaupun tidak semua bas-bas laluan tersebut adalah dua tingkat. Jadi pada hari ini, saya mencuba bas laluan U30 ini untuk merasai dan merindui kenangan menaiki bas dua tingkat.


Saya menaiki bas ini dari Lebuh Ampang di mana saya menunggu kira-kira 20 minit, setelah tiga buah bas setingkat laluan U30 melepasi perhentian ini. Apabila bas dua tingkat ini sampai, saya menaikinya dan meminta untuk ke Ampang Park (kerana saya kebetulan ingin memeriksa kadar pertukaran wang asing kerana saya akan ke Macau, Hong Kong dan Wilayah Guangdong (yang terdapat bandaraya Shenzhen dan Guangzhou), China pada awal November 2015 nanti. Lagipun ia hanya berada dalam zon yang sama iaitu zon 1, jadi harga tiket cuma RM1.00 sahaja. Jika saya lajak ke Amp Walk yang ke hadapan sedikit, sudah masuk zon 2, jadi perlu bayar tambang 2 zon (RM1.50).


Bas ini menggunakan badan bas dan enjin dari pembuat bas dari United Kingdom (UK), Alexander Dennis atau biasa dipanggil jenama Dennis sahaja. Memang kebanyakan bas dua tingkat di bandaraya London merupakan dari jenama Dennis. Bas ini memang dibina di sana (CBU - complete built unit) dan dibawa terus ke Malaysia, tapi hanya beberapa unit awal, namun terdapat perjanjian untuk membina unit-unit seterusnya di Malaysia melalui kaedah CKD (complete knock down - komponen-komponen yang terpisah dipasang kemudiannya di kilang Malaysia).


Mungkin kerana bas baru, tapi bagi saya bas ini paling selesa berbanding bas-bas setingkat dari jenama lain (MAN, Scania, Mercedes Benz, Volvo dan beberapa jenama China bagi bas bersaiz midi) yang dikendalikan oleh RapidKL. Terdapat juga bas setingkat berjenama Dennis yang dikendalikan RapidKL cuma saya belum merasainya lagi. Suasana apabila masuk pun sudah agak selesa, malah lebih selesa berbanding menaiki bas HOHO KL tempohari.



Saya menaiki tingkat atas bas ini, dan keadaannya memang sesuai. Terdapat 55 buah tempat duduk di tingkat atas, dan tiada penumpang berdiri disediakan di tingkat atas kerana tiada palang disediakan. untuk penumpang yang berdiri berpegang. Ini kerana peraturan oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), tidak membenarkan penumpang berdiri di tingkat atas. Namun jika berdiri, boleh menampung lagi 25 orang penumpang. Bagus juga berdiri. Jadi keseluruhannya sebanyak 108 penumpang boleh di bawa kerana di tingkat bawah boleh mengisi 23 tempat duduk dan 30 orang berdiri.



Hal-hal keselamatan di tingkat atas juga dititik beratkan di mana terdapat alat pemadam api disediakan dan di tempat duduk paling hadapan terdapat tali pinggang kaledar. 



Terdapat juga di beberapa tempat di kedua-dua tingkat terutama di tingkat atas, skrin paparan yang memberi makluman kepada penumpang. Buat masa ini, paparannya lebih kepada "Selamat Datang" dan bilangan tempat duduk yang masih ada di tingkat atas. Mungkin pihak RapidKL ada rancangannya untuk mengoptimakan penggunaan skrin-skrin ini. 


Dapat dilihat, kedudukan bas yang lebih tinggi, membuat pandangan penumpang lebih tinggi, satu pengalaman yang sudah lama tiada (kecuali yang menaiki bas HOHO KL, namun boleh dibilang warga kota / warganegara Malaysia yang menaiki bas tersebut). Bagi saya, RapidKL boleh menggunakan jaringan perkhidmatan bas yang meliputi hampir 70% kawasan Lembah Klang (jika di kira KL, Ampang Jaya, Petaling Jaya dan Serdang, ia sudah hampir 90%), ia boleh dijadikan produk menarik pelancong terutama adanya bas dua tingkat ini. Mungkin boleh perkenalkan pas khas untuk pelancong terutama pada waktu luar puncak. Lagipun bas-bas RapidKL amat selesa.



Akhirnya saya sampai juga ke Ampang Park setelah 10 minit menaiki bas ini. Jadi sempat saya ambil gambar bas ini dari tepi. Memang lawa. 



Setelah beberapa ketika di Ampang Park dan sempat membeli beberapa keping wang Dollar Hong Kong (HK$) dan  Renmenbi (Yuan) China (RMB), malangnya stok Pataca Macau (MOP) tiada (mereka memang tidak jual MOP kot), saya pun pulang semula ke Lebuh Ampang di mana saya meletak motorsikal saya.



Kali ini saya duduk di tingkat bawah pula. Mungkin kerana ketika saya menaiki ini merupakan luar waktu puncak, jadi tidak ramai orang, dan amat selesa. Tempat duduknya juga amat selesa, kerana bukan kerusi plastik keras semata-mata tetapi terdapat span yang dibaluti fabrik telap air atau kulit (saya pun tidak pasti). Terdapat juga beberapa tempat duduk yang menghala ke belakang bas (seperti gambar bawah). Di tempat duduk- tempat duduk ini disediakan tali pinggang kaledar untuk keselamatan.


Bas-bas jenama Dennis ini agak selesa, namun saya yang tidak ada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang bas ini, agak risau, kerana kemungkinan kos penyelenggaraan bas jenama yang tidak berapa biasa di Malaysia ini akan menjadi lebih mahal terutama alat ganti yang sukar didapati dipasaran selain perlu diimport terus dari pengeluar di UK. Sejarah pun pernah menyatakan pada masala lepas Intrakota dan Naiela pernah menggunakan bas jenama Dennis ini dan mengalami bebas kos tinggi dan kesannya syarikat-syarikat ini rugi dan muflis sehingga terpaksa diselamatkan oleh kerajaan Malaysia (dalam kes Intrakota oleh Prasarana). Lagipun penyedia-penyedia pengangkutan awam di negara berdekatan yang menggunakan bas dua tingkat seperti Singapura dan Hong Kong (dibina di Malaysia oleh Masdef, hairan juga Prasarana boleh beli bas CBU terus dari UK) menggunakan bas dua tingkat jenama Volvo! Manakala bas HOHO KL dan Pulau Pinang serta bas-bas ekspres di Semanjung Malaysia mengunakan bas jenama Scania dan MAN. Tapi mungkin pihak RapidKL atau Prasarana mempunyai kaedah yang sesuai untuk perkara ini (maaf topik serius pula).


Akhirnya sampai juga bas ini ke Lebuh Ampang pada masa sepuluh minit juga. Bas - bas dua tingkat RapidKL ini juga agak kurang berayun seperti mana yang dirasai ketika menaiki bas HOHO KL. Mungkin badan bas Dennis ini agak stabil.


Secara kesimpulannya, saya berharap perkhidmatan bas dua tingkat RapidKL ini dapat diperluaskan. Banyak pembaikan telah dibuat malah bagi saya bas dua tingkat jenama Dennis ini lebih selesa berbanding bas setingkat yang dipunyai RapidKL/Prasarana yang lain. Malah tidak segan saya katakan, ia lebih baik dari bas dua tingkat di Singapura. Jika dibuat pas atau plan khas untuk pelancong, saya pasti ia akan lebih menarik pelancong ke KL dan Lembah Klang, di mana lebih banyak tempat-tempat menarik boleh dilawati. Ini kerana kerana saya anak dan warga kota KL merasakan KL jika sebulan pun tidak cukup untuk melawat semua tempat menarik.


I <3 KL.




Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Click here if want to read in English version.

Sabtu, 26 September 2015

Kuala Lumpur, Malaysia - 23 September 2015) - Bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.

Baru-baru ini, kawan-kawan saya ada memberitahu tentang Bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur (HOHO KL) mengadakan promosi tiket RM5.00 untuk pemegang MyKad (rakyat Malaysia la tu). Saya pun ke laman webnya pada hari tersebut (19 September 2015, Sabtu) dan betullah, promosi itu berlangsung dari 01 September hingga 30 November 2015. Malah promosi ini juga terdapat perkhidmatan Bas Hop On Hop Off Penang.



Langkah untuk dapat harga promosi ini amat mudah. Cuma ke laman web, klik ke link promosi terbabit, dan isikan borang online. Amat mudah. Tiket hanya akan diberikan kepada 200 pemohon pertama setiap hari. Ia boleh digunakan sehingga hari Ahad minggu terbabit. Cuma saya tidak tidak mengisinya pada hari terbabit, kerana hari tersebut dan esoknya (20 September 2015, Ahad), saya mempunyai hal yang lain.




Pada 21 September 2015, hari Isnin, saya segera mengisi borang untuk saya dan isteri. Alhamdulillah, pihak Elang Wah Sdn Bhd, pemilik perkhidmatan ini telah menghantar emel untuk saya cetak, kerana cetakan ini perlu diberikan di dalam bas ketika menaikinya nanti. Jika tiada cetakan ini, tambang harga promosi tidak dapat, jadi kena bayar RM19.00 untuk perkhidmatan ini, huhuhu.




23 September 2015 (Rabu)

Pada 23 September 2015, saya mengambil cuti setelah dua hari cuti sakit akibat sakit kaki. Lagipun esoknya cuti Hari Raya Aidiladha, dan mempunyai perancangan. Jadi saya awalkan percubaan saya untuk menaiki bas ini. Sebelum menaiki bas ini, saya dan isteri makan tengahari Nasi Arab di Suria Restaurant (review di blog SantapanGD). Semasa makan, saya memikirkan, dari mana kami akan bermula dari 23 perhentian yang ditetapkan iaitu:


1. Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC);
2. Menara KL;
3. P. Ramlee;
4. Pusat Konvensyen KL & Aquaria;
5. Karyaneka;
6. Bintang Walk;
7. Tengkat Tong Shin;
8. China Town (Jalan Sultan);
9. Pasar Seni;
10. Little India (Jalan Tun Sambanthan (Brickfields));
11. KL Sentral;
12. Muzium Negara;
13. Istana Negara;
14. Taman Tasik Perdana;
15. Taman Burung KL;
16. Masjid Negara;
17. Dataran Merdeka;
18. Medan MARA;
19. Raja Laut;
20. Bulatan Pahang (Pekeliling/Terminal Titiwangsa);
21. Titiwangsa (Istana Budaya);
22. Citibank;
23. KLCC.


Jadi memandangkan kami hampir dengan MaTiC di Jalan Ampang, maka kami ke sana setelah usai makan. 


Namun, keadaan di situ agak menyukarkan kami untuk memakir motorsikal kami, maka kami mengambil keputusan untuk ke kawasan Bukit Bintang. Setelah tiba dan memakirkan motorsikal kami di Bukit Bintang, kami segera ke perhentian bas Bintang Walk untuk menunggu bas. Dalam masa 10 minit, sampai juga bas Hop On Hop Off ini.



Kami pun naiklah ke dalam bas ini dan bertanya kepada konduktor, yang mana di dalam emel menyatakan bahawa kami akan naik pada 24 September 2015, tapi bolehkah kami naik hari ini? Dia membolehkan kami, jadi alhamdulillah, dapat juga kami naik pada hari tersebut. Jadi kami berikan RM10.00 untuk tambang dua orang, salinan bercetak emel juga diberikan dan kami diberi tiket untuk pemegang MyKad berharga RM19.00. Kiranya kami dapat diskaun RM14.00!



Tiket ini perlu disimpan dan ia boleh digunakan selama 24 jam, iaitu jika menaiki pada jam 4:30 petang, maka ia boleh digunakan sehingga 4:30 petang keesokan harinya. Sepanjang tempoh itu, pengguna boleh menaiki dan turun dari bas ini bila-bila masa semasa perkhidmatannya. Perkhidmatan bas Hop On Hop Off KL ini beroperasi dari pukul 9:00 pagi sehingga 8:00 malam setiap hari. Bas akan sampai selang 20 ke 30 minit. Cuma kami di sini mendapat ekstra sejam kerana kami menaiki pada pukul 3:30 petang dan tiket kami akan laku sehingga 4:30 petang keesokan harinya.


Tempat duduk di tingkat bawah bas HOHO KL.

Tempat duduk di tingkat atas berbumbung HOHO KL.


Kami meneruskan masuk ke tempat duduk. Terdapat dua tingkat tempat duduk. Tingkat bawah, tidak banyak tempat duduknya. Kami terus ke atas, dan di tingkat atas ini, dibahagikan kepada dua ruang, iaitu ruang tertutup berbumbung dan ruang terbuka. Terdapat pintu yang memisahkan ruang tertutup (berbumbung) dengan ruang terbuka di tingkat atas bas HOHO KL. Lupa pula di ruang tertutup di kedua-dua tingkat terdapat pendingin hawa. Jadi ruang terbuka memang tiada pendingin hawalah.

Saya di ruang terbuka tingkat atas bas HOHO KL.


Di ruang terbuka, terdapat skrin di hadapan sekali, jadi bukanlah tiada apa-apa hadangan. Bahaya juga jika tiada hadangan, nanti kalau brek, takut nanti tergolek pula ke hadapan dan ke bawah kemudiannya. Terdapat sistem siar raya yang akan memberikan maklumat tentang tempat yang perhentian-perhentian juga mercu tanda-mercu tanda yang dilalui.





Bas ini bergerak agak perlahan dan berhati-hati, maklumlah bas dua tingkat. Jika dibawa agak tergopoh-gapah, rasanya mahu pening dan bahaya bagi penumpang di tingkat atas bas ini.



Penumpang-penumpang bas ini jika mahu turun dan menaiki bas ini, perlu ke perhentian yang telah diletakan penanda perhentian bas HOHO KL ini seperti di gambar di atas ini, yang menunjukan perhentian nombor 11 iaitu di KL Sentral. Jika ingin menaiki atau turun di tempat lain memang tidak akan dilayan.





Agak ramai juga penumpang-penumpang yang kebanyakannya merupakan pelancong-pelancong asing yang menaiki bas HOHO KL ini. Sampai tingkat bawah pberdiri sampai penuh. Nasib baik tingkat atas tidak boleh berdiri (peraturan oleh Suruhanjaya Pengakutan Awam Darat - SPAD). Ini permandangan dari tingkat atas, di mana penumpang-penumpang di perhentian Muzium Negara ingin menaiki bas ini.




Sepanjang perjalanan bas HOHO KL ini, walaupun jerebu masih menyelubungi angkasa Kuala Lumpur, namun masih dapat dilihat keindahan bandaraya Kuala Lumpur ini. 



Sepanjang perjalanan menaiki bas HOHO KL ini, kami tidak turun, kerana kami merupakan warga kota Kuala Lumpur, jadi kami sudah ke hampir semua tempat yang menjadi persinggahan bas HOHO KL ini. Cuma kami belum pernah ke Istana Negara yang baru sahaja. 



Nasib kami baik, kerana inilah bas terakhir yang akan ke Istana Negara kerana untuk selepas pukul 5:00 petang, bas-bas HOHO KL akan tidak memasuki kawasan Istana Negara ini disebabkan ia akan ditutup untuk lawatan. Namun kami tidak dapat turun kerana jika kami turun, sudah tentu tiada bas akan mengambil kami kecuali kami tunggu keesokan harinya, huhuhu. Jadi bergambarlah dari atas bas sahaja.



Seterusnya ba sini melalui kawasan Taman Tasik Perdana atau nama terkininya Taman Botanikal Perdana yang merupakan sebahagian dari Taman Warisan Tun Abdul Razak yang merangkumi keseluruhan kawasan hijau di sekeliling Taman Tasik Perdana ini.

Semasa bas ini lalu di hadapan Dataran Merdeka, saya terlihat sebuah buggy yang sedang mengambil penumpang di situ. Rupanya pihak DBKL menyediakan juga perkhidmatan buggy bagi perkhidmatan mengelilingi Taman Botanikal Perdana. Harganya RM4.00 bagi sehari. Insya Allah saya akan mencubanya selepas ini.


Seterusnya, bas ini akan melalui Jalan Raja Laut, kawasan Titiwangsa dan kembali ke kawasan KLCC. Jadi sempat juga saya berselfie di hadapan Menara Berkembar KLCC yang mana agak sukar didapati kerana ia berada di atas Jalan Ampang. Jadi inilah gambar yang dapat mengambarkan kebanggaan warga kota Kuala Lumpur. Semasa kami melihat di jalanan, terdapat juga orang yang terkejut kami menaiki bas ini. Mungkin kerana bas ini agak mahal untuk warga kota Kuala Lumpur biasa untuk naik, kerana kami ada pilihan untuk menaiki bas RapidKL atau GoKL juga pengangkutan awam lain. Mereka tidak tahu agaknya yang HOHO KL ini sedang mengadakan promosi.


Ketika hendak hampir sampai ke Bukit Bintang, kami pulang semula ke bahagian tertutup kerana ketika itu, kawasan tersebut sedang mengalami kesesakan jalan raya, maklumlah hari bekerja.


Akhirnya sampai juga kami semula ke Bintang Walk. Jadi inilah pengalaman yang dapat saya kongsikan sepanjang perjalanan menaiki perkhidmatan bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur. Apa lagi, gunakan peluang sementara ada promosi untuk menaiki HOHO KL, pengalaman lain dari yang lain. Tengoklah berapa gembiranya kami, hahaha.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.