Ahad, 16 April 2017

Panduan Kembara - Mauritius (Mauritius - 17 hingga 20 Mac 2017).

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or
  • Travel Guide - Mauritius (this part).

Tugu Pertempuran Grand Port, Mahebourg, Mauritius.


Mauritius, merupakan sebuah negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi. Negara yang mempunyai keluasan 2040 km2, bukan sahaja mempunyai pulau utama tetapi beberapa pulau lain juga ini merupakan sebahagian dari benua Afrika. Penduduknya adalah seramai 1.2 juta orang. Mauritius merupakan sebahagian daripada pertubuhan Komanwel kerana British merupakan penjajah terakhir sebelum ia merdeka pada tahun 1968. 

Walau Bahasa Inggeris menjadi bahasa kerja di perkhidmatan awam, Mauritius yang tiada bahasa rasmi, kebanyakan rakyat menggunakan Bahasa Perancis atau Bahasa Creole Perancis Mauritius. Ini kerana sebelum British, Mauritius dijajah oleh banyak penjajah Eropah yang mana yang paling lama dan berpengaruh adalah Perancis. Asal usul nama Mauritius adalah daripada Putera Maurice dari Nassau, ketua negara bagi negara Belanda pada 1585 hingga 1625, yang mana ketika itu Mauritius berada di dalam jajahan Belanda.


Peta: Mauritius.
WAKTU
Waktu di Mauritius adalah UTC +4 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Saint Louis pula pukul 8:00 pagi.


MATAWANG
Mauritius menggunakan matawang Rupee Mauritius (MUR) dengan singkatan Rs apabila digunakan di Mauritius. Kadar pertukaran semasa boleh dilihat di sini

Sebaiknya, kita tukar wang Ringgit Malaysia kepada matawang utama seperti Dolar Amerika Syarikat (US$) atau Euro (€) di Malaysia, kemudian barulah menukarnya kepada Rupee Mauritius, walaupun sebenarnya Ringgit Malaysia memang boleh ditukar terus di Mauritius, kerana kadarnya tidak menguntungkan jika menukar terus.

Dominasi yang Rupee Mauritius adalah:

Syiling: 

  1. 5 cents;
  2. 20 cents;
  3. 1/2 rupee (50 cents);
  4. 1 rupees;
  5. 5 rupees & 
  6. 10 rupees.

5 cents Mauritius = +- RM0.007 (kurang 1 sen)

20 cents Mauritius = +- RM0.03

Rs.½ Mauritius = +- RM0.07


Rs.1 Mauritius = +- RM0.14

Rs.5 Mauritius = +- RM0.68

Rs.10 Mauritius = +- RM1.35

Nota kertas: 


  1. Rs. 25 (ungu, terdapat juga dalam bentuk polimer);
  2. Rs. 50 (biru, terdapat juga dalam bentuk polimer);
  3. Rs. 100 (merah jambu);
  4. Rs. 200 (hijau);
  5. Rs. 500 (coklat, terdapat juga dalam bentuk polimer);
  6. Rs.1000 (biru kehijauan) &
  7. Rs.2000 (merah).

Rs.25 Mauritius (polimer) = +- RM3.38

Rs.50 Mauritius (polimer) = +- RM6.75

Rs.100 Mauritius = +- RM13.50

Rs.200 Mauritius = +- RM27.00

 Rs.500 Mauritius polimer (depan) = +- RM67.50

Rs.500 Mauritius polimer (belakang) = +- RM67.50

Rs.500 Mauritius kertas (depan)= +- RM67.50

Rs.500 Mauritius kertas (belakang) = +- RM67.50

Rs.1000 Mauritius (depan) = +- RM135.00

Rs.1000 Mauritius (belakang) = +- RM135.00


VISA
Pemegang pasport Malaysia yang ingin ke Mauritius atas tujuan melancong, dikecualikan visa (visa-free) sehingga 90 hari, jadi jika lawatan dalam tempoh itu, tidak perlu mohon visa. 

Jika ingin membuat lawatan lebih dari masa itu, perlu memohon visa sama ada di Suruhanjaya Tinggi Mauritius (di negara-negara Komanwel termasuk Malaysia) atau Kedutaan Mauritius (di negara bukan Komanwel) atau semasa di dalam Mauritius, di Pejabat Pasport dan Imigresen Mauritius. Pemegang pasport negara lain atau ingin memohon visa lain boleh rujuk laman web Kementerian Luar Negara, Hubungan Serantau dan Perdagangan Antarabangsa Mauritius (juga boleh rujuk artikel Wikipedia).


Borang masuk Imigresen Mauritius.

Borang Perisytiharan Kesihatan Mauritius.

Cop masuk imigresen Mauritius.

Cop keluar Imigresen Mauritius.



KETIBAAN

Udara
Di pulau Mauritius ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam yang terletak di Plaisance di tenggara pulau Mauritius ini, adalah satu-satunya lapangan terbang yang ada. Bagi satu-satunya penerbangan domestik iaitu ke pulau Rodrigues (560 kilometer ke timur pulau Mauritius) juga diambil dari lapangan terbang ini. 

Buat masa ini, cuma penerbangan Air Mauritius sahaja yang menjalankan perkhidmatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, manakala AirAsiaX telah menutup perkhidmatannya mulai 27 Mac 2017. Selain itu, kita perlu mengambil penerbangan yang mempunyai transit sebelum ke Mauritius seperti di Dubai atau Paris.

Pengangkutan ke bandar:

  1. Teksi, boleh mengambil teksi di balai ketibaan;
  2. Kereta sewa, terdapat banyak kaunter kereta sewa di balai ketibaan;
  3. Pengangkutan yang disediakan oleh pihak pengurus penginapan atau pakej pelancongan, jika disediakan.
  4. Terdapat perkhidmatan bas di pekan Plaine Magnien (kira-kira 3 kilometer berjalan kaki) ke beberapa destinasi di Mauritius.


TELEKOMUNIKASI

Kad SIM Prabayar
Bagi pengetahuan, syarikat telekomunikasi tidak membuka kaunter khas menjual kad SIM Prabayar di lapangan terbang. Di situ hanya agen yang menjual kad SIM tersebut. Jadi mereka mengambil kesempatan dengan memberikan harga tinggi. Jadi ia boleh dibeli terus dari cawangan syarikat telekomunikasi atau agen-agennya di bandar-bandar utama, yang lebih murah.

Terdapat beberapa syarikat telekomunikasi di Mauritius antaranya:

Orange (dimiliki oleh Mauritius Telecom);
Emtel;
Chili (by MTML - Mahanagar Telephone Mauritius Ltd).

Bagi perjalanan saya pada 17 hingga 20 Mac 2017 ini, saya menggunakan kad SIM Prabayar daripada Emtel yang saya beli di pejabat cawangan Emtel di Mahebourg. Ia boleh dibeli pada harga bernilai Rs.100 (+- RM13.50) yang mana di dalamnya terdapat nilai kredit Rs. 87 (+- RM11.75) setelah ditolak VAT (GST) 15%. Daripada kredit itu, barulah kami boleh memilih plan data internet. Kami memilih plan data 750MB yang sah selama seminggu berharga Rs.99 (+- RM13.37), namun oleh kerana kredit tidak cukup kami menambah kredit Rs. 20 (+- RM 2.70) bagi mencukupkan (kerana Rs. 20 adalah amaun minima tambah nilai kredit Emtel). Jadi jumlah semuanya adalah Rs. 120 (+- RM 16.20). (Sebenarnya tidak perlu tambah nilai Rs. 20 itu, kerana terdapat bonus kredit Rs. 20 untuk kad SIM prabayar baru). Talian akan aktif setelah 15 minit selepas itu. 

Kad SIM Prabayar Emtel.

Internet
Terdapat beberapa tempat yang boleh kita gunakan perkhidmatan WiFi seperti di restoran makanan segera (KFC atau McDonald's atau Subway).


PENGANGKUTAN BANDAR

Pengangkutan Awam

Bas
Terdapat banyak pengangkutan di meliputi pulau Mauritius ini, di mana inilah cara palik ekonomik untuk mengembara ke seluruh pulau Mauritius. Terdapat banyak operator yang beroperasi antaranya:

  1. National Transport Corporation (NTC), +230 426 2938;
  2. United Bus Service (UBS), +230 212 2026;
  3. Mauritius Bus Transport (MTB), Long mountain, +230 245 2539;
  4. Triolet Bus Service (TBS), +230 261 6725.
  5. Operator kecil lain seperti Apollo and Turbo.



Teksi
Seperti tempat lain, teksi amat banyak di Mauritius, malah ia merupakan pengangkutan terbaik untuk mengelilingi pulau Mauritius. Ia juga boleh disewa khas. Cuma pastikan kita berurusan dengan teksi berdaftar sahaja.

Kereta Sewa
Merupakan cara terbaik untuk menjejalahi pulau Mauritius, malah ia cara paling berbaloi jika mengembara secara berkumpulan. Lebih-lebih lagi, pemanduan kenderaan di Mauritius adalah pemanduan sebelah kanan kenderaan (bergerak di sebelah kiri jalan), sama seperti di Malaysia. Kadar yang ditawarkan agak berdaya saing dari semurah Rs. 150 (+- RM115.00). Banyak operator utama seperti Sixt, Budget, Eurocar, Avis dan sebagainya serta yang tempatan. Saya menggunakan perkhidmatan Ola Mauritius kerana kadarnya yang murah tetapi mempunyai kemudahan seperti operator utama.


Bot
Pesisir pantai Mauritius mempunyai banyak pulau-pulau peranginan seperti Pulau Ile aux Cerfs dan sebagainya untuk tujuan island hoping  atau untuk menyelam (snorkeling atau scuba diving). Untuk ke pulau-pulau ini, boleh mengambil bot dari pekan-pekan berdekatan dengan pulau ini seperti di Trou d'Eau Douce atau di Balle Mare untuk ke Ile aux Cerfs, atau di Grand Baie untuk ke pulau-pulau berdekatannya.


PENGINAPAN
Terdapat pelbagai jenis penginapan di Mauritius ini sama ada jenis mewah, sederhana, kos rendah, inap desa (guest house) dan asrama. Kebanyakan penginapan ini berada di kawasan tarikan utama di Mauritius seperti di Port Louis, Grand Baie, Mahebourg dan penempatan-penempatan pesisir pantai.

Ketika dalam perjalanan kami di Mauritius ini, kami tinggal di:
Le Bamboo Guest House
25 Rue Marianne
Mahebourg
CO35ZN
Mauritius


Penginapan kami, Le Bamboo Guest House.

BEKALAN ELEKTRIK
Soket plug elektrik digunakan di Iran adalah dari soket jenis C dan jenis G (sama seperti Malaysia). Bekalan elektrik pula menggunakan voltage 230V 50Hz.

Soket elektrik yang digunakan di Mauritus, jenis G, sama seperti di Malaysia.


TEMPAT MENARIK / LAWATAN

Port Louis.
Merupakan ibu negara Mauritius. Terdapat banyak tarikan seperti Central Market, pelbagai muzium, kota lama Fort Adelaide, Masjid Jumaah dan sebagainya.


Mahebourg.
Antara bandar terdekat dengan lapangan terbang, merupakan ibu kota lama semasa zaman penjajahan Perancis. Terdapat pantai Blue Bay dan juga kawasan Mahebourg Waterfront yang boleh kita bersiar-siar.


Grand Baie.
Kawasan utama pelancong di Mauritius. Terdapat pelbagai kemudahan dan juga merupakan tempat pelancong boleh mengambil bot untuk bersiar-siar di pulau-pulau pesisir.


Le Mourne.
Terkenal dengan pantainya, malah Le Mourne ini juga merupakan imej utama yang dipaparkan jika merujuk kepada Mauritius. Terletak di barat daya Mauritius, di sini juga terdapat juga Tugu Laluan Perhambaan. 


Chamarel.
Terletak di pengunungan di barat laut Mauritius, tarikan utama adalah 7 Colours Earth, dan juga Air Terjun Chamarel.


7 Colours Earth.

Air Terjun Chamarel.

Terdapat  banyak lagi tempat tarikan terutama dari segi keindahan alam sekitar, pulau, pantai, pergunungan dan banyak lagi.


MAKAN / MINUM
Negara Mauritius ini merupakan negara yang majoritinya bukan Islam, namun tidak sukar mencari makanan halal. Malah daging mentah halal amat mudah diperolehi. Difahamkan daripada saudara Islam kita di Mauritius, restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald's adalah boleh di makan dan Subway adalah halal di makan.

Madina Restaurant, Port Louis.
Dalam perjalanan ini, kami makan di restoran ini yang menyediakan makanan seperti nasi goreng, makanan berasaskan mee dan juga ala barat.


BELI-BELAH

Central Market.
Pasar harian utama di Port Louis, pelbagai barangan boleh didapati dari barangan basah, barangan kering, daging mentah, pakaian dan juga cenderahati. Bangunan utama terdapat dua tingkat manakala bangunan lain hanya setingkat. Ia dibuka sepanjang masa kecuali dari pukul 11:30 pagi hari Ahad hingga pukul 5:00 hari Isnin ia ditutup. Cenderahati di sini adalah termurah di Mauritius, terutama jika kita jenis suka tawar menawar.
Pusat bandar Port Louis.


Central Market, Port Louis.

Grand Baie.
Merupakan bandar peranginan utama di Mauritius, kira-kira 20 minit ke utara Port Louis. Jadi tidak hairan jika kita boleh lihat pelbagai premis perniagaan di sini. 

Permandangan di Grand Baie.

Bagatelle - Mall of Mauritius.
Merupakan pusat membeli-belah utama dan terbesar di Mauritius. Terletak betul-betul di sebelah Lebuhraya M2, kira-kira 15 minit ke selatan Port Louis. Di dalam ini terdapat pelbagai kedai-kedai yang menjual barangan berjenama, juga mampunyai tiga buah pasaraya: Intermart, Monoprix dan Food Lovers' Market. Ruang parkir amat luas dan ia adalah percuma
Moka.

Tanda pusat membeli-belah Bagatelle.

Pusat Membeli-belah Bagatelle di Moka, Mauritius.


Makanan / Minuman

Pelbagai pasaraya dan pasar harian.
Pasaraya moden banyak terdapat di sekitar Mauritius ini seperti Super U, Intermart, Monoprix, Super Saves dan sebaganya, yang menyediakan pelbagai barangan makanan yang boleh kita beli. Ini juga boleh didapati juga di pasar-pasar harian di penempatan-penempatan di Mauritius seperti Central Market di Port Louis. Daging mentah halal juga boleh didapati di sini, cuma di beberapa pasaraya, daging tidak halal diletakan bersebelahan dengan daging yang halal.


PATUT TAHU / PETUA

Ladang tebu di Mauritius adalah seluas sejauh mata memandang, namun jangan harap kita berjumpa dengan penjual air tebu di tepi jalan atau di mana-mana. Hanya satu tempat yang saya menjumpainya iaitu di Bagatelle. Tebu digunakan untuk diproses menjadi gula mentah atau pun menjadi minuman keras rum.

Masa operasi tempat-tempat lawatan yang diuruskan oleh kerajaan di Mauritius adalah mengikut masa kerja kerajaan iaitu Isnin hingga Jumaat, pukul 9:00 pagi hingga 4:00 petang dan Sabtu 9:00 hingga 12:30 tengahari. Ia ditutup selain dari masa itu. 

Juga, banyak premis perniagaan ditutup selepas pukul 7:00 malam termasuk kebanyakan stesen minyak. Malah pada hari Ahad, sebahagian besar premis swasta, perniagaan apatahlagi kerajaan ditutup selepas pukul 12:00 tengahari sampai keesokan pagi. Jadi kita perlu merancang perjalanan kita semasa di Mauritius.

Kebanyakan tempat di Mauritius tidak memerlukan kita membayar bayaran parkir, jika parkir di tepi jalan kecuali di pusat bandar Port Louis di mana mengikut masa kerja pejabat kerajaan, Isnin hingga Jumaat, pukul 9:00 pagi hingga 4:00 petang dan Sabtu 9:00 hingga 12:30 tengahari, ia perlu dibayar bayaran parkir dengan kupon yang boleh kita dapati di beberapa premis perniagaan berhampiran dengan petak parkir kita letakan kenderaan kita. Kadarnya adalah Rs. 10 (+- RM1.30) setiap setengah jam. Kupon dijual secara berbuku sepuluh keping dalam dominasi berbuku 10 keping Rs.10 (untuk 10 kali setengah jam) atau berbuku 10 keping Rs.20 (untuk 10 kali sejam).

Pemanduan di Mauritius adalah sama seperti di Malaysia iaitu pemanduan sebelah kanan kenderaan dan memandu di sebelah kiri jalan. Sistem lalu lintas juga agak sama. Di lebuhraya dan beberapa tempat di luar bandar, terdapat banyak bulatan di persimpangannya. 

Perlu berhati-hati, terdapat banyak kamera perangkap had laju berwarna kuning didapati di jalan raya di Mauritius terutama di lebuhraya. Jadi jangan seronok sangat membawa kenderaan sehingga lupa had laju.

Kamera had laju di jalan raya di Mauritius.

Walaupun Mauritius ini agak selamat, namun kita tidak boleh mengambil sambil lewa dengan keselamatan. Jangan tinggalkan barangan berharga yang boleh dilihat di dalam kereta. Kita juga tidak digalakan berjalan berseorangan terutama semasa keadaan gelap. 

Oleh kerana ekonomi Mauritius juga bergantung juga kepada sektor pelancongan, maka scam dan tout adalah satu yang mesti kita berhati-hati dalam berurusan.

Jangan menaiki teksi yang tidak berlesen, di Mauritius masih belum mempunyai perkhidmatan Uber atau Grab atau seumpanya. Ini kerana banyak kes jenayah melibatkan teksi tidak berlesen.


KESIMPULAN

Mauritius ini agak selamat untuk kita mengembara namun perlu juga berhat-hati. Ada banyak tempat menarik dan yang paling penting laut dan pulaunya umpama kita berada di syurga. 



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or
  • Travel Guide - Mauritius (this part).