Sabtu, 21 Januari 2017

Hari 1 (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017) - Tak Hairan Lah Pergi Tehran!.


If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.



Cop pasport masuk Iran.

Petunjuk: Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Tehran pula pukul 7:30 pagi.


Hari 1 (05 Januari 2017 - Khamis).

Hari ini saya bekerja separuh hari dengan meminta kebenaran untuk pulang awal ke rumah. Maklumlah, penerbangan pun pukul 7:10 petang, kalau balik waktu biasa pun tidak sempat untuk sampai klia2 pun.

Setelah selesai segala barang diisi di dalam beg galas-beg galas kami, maka pukul 2:45 petang, kami pun bertolak dari rumah untukke perhentian bas terdekat. Di sini, kami akan menaiki bas Len Seng (nombor 252) yang sudah lama kami tidak naik. Asalnya kami tidak kisah untuk menaiki bas Len Seng atau bas RapidKL (nombor 251), yang mana dahulu. Namun bas Len Seng juga dulu, itu pun setelah lebih setengah jam menunggu, kir-kira pada pukul 3:25 petang baru sampai. Tambang bas ke Chow Kit adalah RM1.90/orang! Sudah naik tambangnya. Nasib baik bas ini berhawa dingin, kalau dulu, biasanya bas Len Seng ini tiada berhawa dingin dan kalau ada pun rasanya lebih kepada berhawa angin!

Sampai di Chow Kit sekitar pukul 3:45 petang, kami turun di perhentian basnya untuk bertukar kepada bas GoKL yang percuma itu. Laluan dari Chow Kit ke KL Sentral adalah Laluan Merah. Dalam sepuluh minit juga menunggu, sambil-sambil itu, bingit juga mendengar lagi dangdut yang sama diulang-ulang yang berkumandang di kawasan perhentian bas itu.

Tiket Bas Len Seng.

Akhirnya pada pukul 4:10 minit, kami pun sampai di KL Sentral. Kami terus ke pusat khidmat pelanggan AirAsia yang terletak berdepan dengan perhentian bas GoKL di KL Sentral ini, untuk mengesahkan tempahan bas shuttle Skybus/Aerobus di dalam penempahan kami. Semasa di situ, ternampak abang Zul yang datang ke arah kami. Selesai sahaja, kami terus ke stesen bas ke KLIA/klia2 yang tertetak di aras paling bawah KL Sentral, yang lif/tangga/eskalatornya terletak di belakang tangga ke Nu Sentral.

Semasa menuruni eskalator ke stesen bas, ternampak Linda yang lama menunggu. Jadi saya terus ke kaunter tiket untuk menunjuk penempahan kami untuk ditukarkan kepada tiket bas sebenar dan membeli tiket bas untuk Linda. Harga pun sudah naik menjadi RM12.00 sehala. Jadi kalau membeli bersama tempahan AirAsia di laman webnya, harga tiket pergi balik baru RM17.60/orang (bermakna baru RM8.80/orang/hala)! Murah RM3.20! Malah kalau beli di laman web Skybus pun baru RM10.50/hala atau RM21.00 untuk pergi balik! Atau di laman web Aerobus pula, RM9.00/hala atau RM18.00 untuk pergi balik.

Kami segera menaiki bas yang ada yang kemudiannya bergerak pada pukul 4:30 petang walaupun sepatutnya ia bergerak hanya sepuluh minit kemudian, kerana penumpang sudah memenuhi bas. Jadual perjalanan bagi bas shuttle KL Sentral ke klia2 ini adalah setiap 20 minit sekali dan perjalanan mengambil masa kira-kira sejam. Bagi saya, saya lebih suka menaiki perkhidmatan bas shuttle ini berbanding dari Puduraya atau Batu 3 Jalan Ipoh kerana perkhidmatannya lebih dipercayai dan menepati masa.

Tiket Bas Shuttle KL Sentral-klia2.


Kami sampai di klia2 pada pukul 5:20 petang. Semasa dalam perjalanan, Najib memberi mesej yang dia terlepas bas pukul 4:00 dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan perlu mengambil bas pukul 5:00 petang. Najib memohon agar kami jangan masuk ke dalam airside terlebih dahulu, kerana dia hendak bersama-sama masuk bersama. Huh, sudah nampak yang kami akan bergegas nanti, maklumlah, pintu pelepasan AirAsiaX kebanyakannya di pintu P atau Q, iaitu di bangunan satelit klia2, jauh tu! Nasib baik kami sudah daftar masuk secara web, maka tidak perlu beratur untuk mendaftar masuk di kaunter lagi. Lagipun kami semua tiada bagasi daftar masuk, semuanya di bawa ke dalam kabin pesawat.

Sambil menunggu Najib, saya pun menyerahkan sijil insurans yang saya belikan untuk ahli kumpulan kembara GTCM (Geng Travel Club Malaysia) yang kebetulan menaiki penerbangan yang sama. Beberapa ahli-ahlinya mempunyai pengalaman mengembara bersama Najib. 

Haji Halig dan Haji Kadir sudah memasuki airside kerana salah faham dengan maklumat yang saya maklumkan. Mereka ingatkan balai berlepas  (yang mempunyai kaunter daftar masuk - departure hall) dengan pintu pelepasan (boarding gate). Agaknya kena guna Bahasa Inggeris rasanya baru tidak keliru, huhuhu.

Setelah Najib sampai pada pukul 6:00 petang, maka bergegaslah kami untuk ke pintu pelepasan P8.  Kami pun sebenarnya belum bersolat Asar sebenarnya. Urusan imigresen dan pemeriksaan kastam tiada masalah, namun apabila sampai di pemeriksaan keselamatan Polis Bantuan Malaysia Airport Berhad, barisan agak panjang! Nasib baik kami, kebetulan terdapat pintu pemeriksaan yang baru dibuka. Jadi kami pun agak cepat juga, dengan saya sudah bersedia membuka semua barang yang dijangka akan melambatkan proses pemeriksaan dan meletakannya di dalam beg saya. Termasuk kasut juga saya sudah siap-siap buka dan meletaknya di dulang untuk diimbas di mesin x-ray. Alhamdulillah lepas.

Namun abang Zul masih tidak dapat begnya lagi. Rupanya, sepasang warganegara China (dilihat pada pasport yang dipegang) telah menarik beg abang Zul dan meletakan beg mereka, yang mana abang Zul telah dahulu berjalan di mesin imbasan badan. Memang kurang ajar betul mereka. Hendak kata mereka dalam tergesa-gesa untuk mengejar panggilan penerbangan tidak juga, siap berjalan berlenggang-lenggang dan singgah di kafe lagi! KURANG AJAR! Jadi saya minta abang Zul patah balik dan menolak begnya ke dalam mesin pengimbas. Selepas itu berjalan lancar. Saya pun berpesan kepada semua, agar pastikan beg masuk ke dalam mesin pengimbas dahulu baru kita melalui mesin imbasan badan, demi mempercepatkan urusan dan juga keselamatan! Mana tahu ada orang ambil kesempatan meletakan barang-barang yang tidak dibenarkan di dalam beg kita.

Kami pun segera ke surau untuk solat. Saya pun berbuat solat jamak qasar bagi mengejar masa, namun agaknya tidak biasa ada rakan pengembara buat solat tamam. Tambahan pula semasa solat, panggilan akhir penerbangan kami berkumandang. Jadi saya dengan telah siap pergi dahulu untuk berbuat apa yang patut (memaklumkan kepada petugas pintu pelepasan untuk menunggu). Lagipun bagi saya masih ada masa kerana baru pukul 6:25 petang.

Alhamdulillah, dalam kekalutan, semua yang ada telah sampai. Kami pun mendapat tempat duduk masing-masing dan bertemu dengan Haji Halig dan Haji Kadir.

Rupa-rupanya ada sebab pihak AirAsiaX membuat panggilan agak awal untuk masuk ke pesawat. Disamping penerbangan yang penuh, rupa-rupanya perangai orang Iran ini yang menyebabkan tindakan ini wajar, walaupun melelahkan kami yang agak lambat. Tidak perlu saya kongsi kesemuanya, namun sampai tempat duduk yang sudah diberikan pun dengan selamba mereka hendak duduk tempat lain. Malah menyuruh kita mencari tempat duduk di tempat lain. Saya pun menyuruh kesemua yang ikut saya jangan mengalah dan bertegas dengan mereka ini. Jadi mereka pun mengalah juga, saya buat begini agar mereka tidak lagi memandang rendah pada orang Malaysia, ini pun berdasarkan pengalaman lepas.

Setelah selesai dengan tempat duduk kami yang kebetulan hampir sebaris, dan kemudian selesai semua hiruk-pikuk, akhirnya pesawat sedia berlepas di mana, pada pukul 7:05 malam, ia meninggalkan pintu pelepasan dan pada pukul 7:15 malam, berlepas pesawat ini di landasan 3 KLIA meninggalkan Malaysia menuju ke Tehran, Iran.



Kami sampai di klia2 (ikon bertema Krismas).

Pesawat 9M-XXZ yang membawa kami ke Tehran.

Kebetulan kami duduk sebaris di dalam penerbangan.


Video: Pesawat AirAsiaX D7 776 berlepas dari klia2 (LCCT KL) ke Tehran.


Setelah dua puluh minit dalam penerbangan, dengan wuduk yang masih ada, saya pun bersolat secara duduk, mengikut rukhsah musafir bagi solat jamak qasar Maghrib & Isyak. Lebih baik awalkan solat dari kita hendak menunggu solat secara sempurna di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, Tehran, Iran (IKA) nanti. Lagipun rukhsah sudah diberikanNya, adalah sebaik solat ditunaikan seawal waktu.

Sejam kemudian, petugas-petugas kabin penerbangan mula mengagihkan makanan-makanan yang telah ditempah dan juga menjual makanan kepada penumpang. Paling seronok, sebagaimana penerbangan ke/dari Sydney yang lepas, agihan/jualan hidangan bermula dari belakang, jadi kami dapat awal. Semasa ini pun, nampak ramai orang Iran yang agak kelam-kabut, mudar-mandir. Kami pun menikmati yang makanan yang kami tempah. Walaupun kami ambil dua hidangan masing-masing, kami minta untuk berikan hidangan kedua pada sesi hidangan kedua nanti.

Setelah makan, lampu pesawat dimalapkan untuk tidur. Namun macam biasa, walaupun penat, tetapi jika boleh tidur pun cuma maksima sejam sahaja. Ini mungkin kerana tempat duduk pesawat Airbus A330 AirAsiaX ini yang tidak membantu saya untuk tidur. Mungkin kerana kelebaran tempat duduk dan lebar ruang kepala yang sangat kecil agaknya. Hendak buat macam mana, kalau hendak murah, kena korbankan keselesaan.  Kalau tidak kerana AirAsiaX ini pun, mungkin saya tidak berpeluang untuk ke pelbagai destinasi termasuk Tehran ini.

Satu lagi, mungkin kerana sikap sebilangan warga Iran ini yang tidak menghormati orang lain. Ada yang berborak agak kuat, malah ada yang duduk ditepi tempat duduk orang lain dengan selamba.

Setelah enam jam berada di udara, maka masa makan kedua pun tiba. Lampu penerbangan tidak diterangkan sepenuhnya. Kami pun mendapat hidangan kami, namun hidangan kami ini agak kering. Mungkin kerana ia telah dihangatkan dua kali atau lebih. Atau terlebih hangat. Ini menyebabkan selepas ini saya akan minta untuk mengambil semua makanan pada sesi hidangan pertama sahaja.

Sambil itu, saya perhatikan, ada ramai penumpang (tidak semua) yang mendapat hidangan sandwich pizza ayam. Saya pun hairan kenapa ramai yang terimanya? Adakah ia hidangan popular ke Tehran. Rupa-rupanya ia adalah hidangan percuma. Saya dan isteri tidak dapat kerana kami ada hidangan kedua ketika itu. Tidak mengapalah, bukan rezeki kami.

Setelah hampir lapan jam setengah penerbangan, penerbangan ini akan mendarat di Tehran. Maka jika tadi terdapat sebilangan wanita Iran yang tidak menutup aurat (malah ada yang pakai singlet sehingga menampakkan tatoo!), mula berkelubung menutupi tubuh mereka. Malah siap ada pengumuman lagi memaklumkan agar menutup sebahagian badan (lebih tepat kerana mereka pun tidak sepenuhnya menutup aurat). Kami pun bersedia dengan memakai pakaian musim sejuk dan saya sempat memakai long john. Lagipun pegawai pertama penerbangan memaklumkan suhu adalah pada 5oC!

Jam 11:00 malam waktu Iran (waktu Malaysia pukul 2:30 pagi), mendaratlah kami di IKA dengan pendaratan paling lembut yang pernah saya rasa. Tidak terasa pun bila masa pesawat ini menjejakan tayar gear mendaratnya di bumi Iran ini. Pesawat di parkir di hujung dan walaupun terminal di IKA ini mempunyai jambatan udara (aerobridge), namun untuk penerbangan AirAsiaX ini, ia tidak digunakan. Apabila terdedah sahaja kami dengan udara terbuka, huh, sejuk betul.

Bas telah menunggu kami dan kami pun masuk ke dalam bas tersebut untuk dibawa ke bangunan terminal. Di sana kami terus mengikut arah aliran orang ramai dan juga mengikut tanda arah yang ada. Kami pun sampai di kawasan kaunter imigresen. Sebelum kami terus ke kaunter imigresen, saya ke arah pegawai di depan kaunter visa dan bertanya keperluan visa (sudah tahu tapi cuma hendak pastikan). Pegawai terbabit menyatakan kami pemegang pasport Malaysia tidak perlu visa dan boleh terus ke kaunter imigresen. 

Terdapat juga ada beberapa orang yang menunggu di depan kaunter. Cuma apa yang saya tahu, untuk memohon Visa-on-Arrival (VoA) Iran ini, perlu ada insurans perjalanan. Jika tiada perlu beli di kaunter berdepan dengan kaunter visa ini. Namun pada ketika itu, kaunter insurans ini dan juga kaunter bank tidak dibuka. Tidak tahulah bila akan dibuka.

Kami pun terus ke kaunter imigresen. Seperti biasa jika saya berjalan dengan isteri (atau dengan anak-anak juga), isteri saya yang akan diperiksa dahulu dan saya akan menunggu di belakang (jika pihak imigresen hanya membenarkan pemeriksaan seorang sahaja setiap masa), bagi memastikan agar semua berjalan lancar.

Masa diperiksa, isteri saya ditanya oleh pegawai imigresen tentang visa, malah rasanya pegawai terbabit minta isteri saya untuk memohon visa. Isteri saya membalas dengan agak sikit marah dan tegas, yang mengatakan tiada visa untuk lawatan kurang 15 hari untuk pemegang pasport Malaysia! Terkejut juga pegawai imigresen Iran itu, dan terus dicop pasport isteri saya. Selepas itu giliran saya, pun berjalan lancar tanpa sebarang pertanyaan, begitu juga semua pemegang pasport Malaysia selepas saya.

Alhamdulillah, secara rasmi, saya telah sampai ke negara ke-21 saya.

Peta Laluan Pesawat AirAsiaX D7 776 05 Januari 2017 daripada FlightRadar24.


Cop pasport masuk Iran.


Selepas selesai urusan imigresen, juga setelah semua selesai, maka kami pun turun ke untuk melepasi pemeriksaan kastam juga. Apabila nampak kami hanya berbeg galas sahaja, pegawai kastam memanggil kami untuk terus melepasi mereka. Maka kami pun sampai ke Balai Ketibaan B di IKA ini. Balai Ketibaan B ini terletak di sebelah timur, manakala Balai Ketibaan A di sebelah barat.

Keluar sahaja, di sebelah kiri, akan terjumpa dua kaunter yang menjual kad SIM. Kami terus mancari bangku untuk kami duduk. Saya menyuruh rakan-rakan kembara untuk berehat dahulu dan saya pula meninjau di sekitar. Saya kembali ke kaunter yang menjual kad SIM prabayar tadi untuk menunjau harga. Huh, pertamanya, tiada sebarang pamplet atau bahan-bahan pemasaran lain yang mempunyai Bahasa Inggeris, semuanya dalam Bahasa Farsi!

Oleh kerana hanya Irancell sahaja yang saya selidiki, yang mesra pelancong, maka saya bertanya kepada penjual pakej Irancell. (Penyedia perkhidmatan telekomunikasi selular lain adalah: Hamrah-e-Aval (MCI) dan RighTel, dengan laman web mereka hanya dalam Baasa Farsi sahaja). Harga yang diberi antaranya harga kad SIM berdata 2GB bersekali dengan panggilan suara dan sms (lupa pula kapasitinya) adalah US$15 (+- RM67.50) manakala pakej sama tetapi datanya 5GB adalah US$25 (+-RM112.50)! Huh, mahalnya, tidak jadi saya hendak mengambilnya. Harap berjumpalah di jalanan nanti.

Seterusnya, saya ke Balai Berlepas yang terletak di tingkat atas (tingkat 1, Balai Ketibaan di tingkat G), setelah dimaklumkan terdapat sebuah pengurup wang di situ. Dilihat terdapat ramai orang di balai ini, menunggu untuk masuk ke kawasan kaunter daftar masuk. Untuk masuk ke kawadan kaunter daftar masuk ini perlu memasuki pemeriksaan keselamatan dan hanya pemegang tiket/tempahan sahaja yang boleh masuk.

Di pengurup wang, saya menukar sikit sahaja iaitu US$20.00 sahaja dengan mendapat 784,000 rial (Kadar tukaran (sila lihat lajur beli) US$1:00 = 39,200 rial). Ini kerana saya dimaklumkan jika guna dollar Amerika Syarikat lebih untung di Iran ini (sebenarnya tidak tepat, sebaliknya menggunakan matawang tempatan lebih untung dan kurang kena manipulasi). Ini satu kesilapan, sepatutnya kita tukar sahaja di sini kerana kadarnya agak baik juga. Lagipun, nanti jika mengikut catatan perjalanan saya, kita agak sukar untuk mencari pengurup wang di jalanan, tidak seperti di Malaysia.

Juga dapat diperhatikan, wang Ringgit Malaysia (RM) juga diterima di pengurup wang ini (dipapar sebagai MR, saya perasan pun pasal dalam tulisan Farsi, jelas nampak bunyi ringgit) dengan kadar RM1.00 = 8400 rial. Memandangkan saya memang tidak bawa banyak RM, namun saya memaklumkan kepada rakan-rakan dan mereka ada menukar RM kepada rial, malah kata mereka RM1.00 kertas pun diterima!


Balai ketibaan B, IKA.

Balai ketibaan B, IKA.

Kad Sim Irancell.

Satu-satunya pengurup wang di IKA, di balai berlepas (aras 1).

Kadar tukaran wang di pengurup wang di IKA (Ringgit Malaysia juga diterima).

Kami menunggu di aras G (aras balai ketibaan).

Teksi yang menunggu di luar aras G.

Kami kemudian bergerak ke bangku berdekatan dengan Balai Berlepas A kerana bangku-bangku di sana tidak mempunyai tempat letak tangan (arm rest), lebih mudah untuk baring dan berehat.

Saya mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan dan menyelidiki kaedah untuk ke Tehran keesokannya. Sempat juga saya ke Stesen Metro yang terletak berdepan dengan terminal dengan akses di tingkat 1, namum ia belum siap lagi. Saya juga dapat melihat kadar teksi di lapangan terbang ini adalah tetap iaitu dari 700,000 rial (teksi biasa) ke 800,000 rial (teksi van) ke Tehran mengikut jenis teksi.

Setelah itu saya kembali ke tempat rehat untuk berehat sementara menantikan sinar fajar pagi di bumi Tehran ini.  Bermulalah misi dari menjadi hairan dengan Tehran menjadi "Dah Tak Hairan Lah Pergi Tehran!".

Bersambung ke Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat: 





If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan; 
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Rabu, 18 Januari 2017

Panduan Kembara Isfahan (Tehran & Isfahan, Iran - 05 hingga 09 Januari 2017).

Jika mahu lihat: 




If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan (this part)
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.

Jambatan Si O Seh Pol, Isfahan.

Isfahan, Iran, terletak kira-kira 350 kilometer ke selatan Tehran, boleh dikatakan ia terletak di tengah-tengah negara Iran. Dahulunya merupakan ibu kota bagi kerajaan Parsi lama. Terdapat banyak senibina yang menarik dan cantik terletak di bandar ini. Bandar ini juga merupakan bandar kembar bagi bandaraya Kuala Lumpur. Dengan keluasan seluas hampir 500 kilometer persegi, ia didiami seramai hampir 2 juta orang
.

Peta: Bandaraya Isfahan, Iran.


WAKTU

Waktu di Iran adalah UTC +3.5 iaitu empat setengah jam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Isfahan pula pukul 7:30 pagi.


MATAWANG

Iran menggunakan matawang Rial Iran (IRR) dengan singkatan ﷼ apabila digunakan di Iran. Namun penduduk tempatan Iran lebih banyak memaparkan harga dalam toman (تومان), kadarnya adalah 10 rial = 1 toman. Jadi sila tanya, harga yang dipaparkan atau dinyatakan dalam rial atau toman. Kadar pertukaran semasa boleh dilihat di sini.

Dominasi yang Rial Iran adalah:

Syiling (jarang diperolehi): 1000 (warna emas), 2000 & 5000 (warna perak);


1000 rial = +-RM0.13

2000 rial (syiling) = +-RM0.25

5000 rial (syiling) = +-RM0.63

Nota kertas: 2000 (merah jambu - jarang diperolehi), 5000 (coklat), 10 000 (hijau muda), 20 000 (biru), 50 000 (kuning), 100 000 (hijau tua) & 500 000 (cek Bank Pusat Iran - ungu).



 2000 rial = +-RM0.25




5000 rial (kertas) = +-RM0.63

10 000 rial = +-RM1.25




20 000 rial = +-RM2.50

 50 000 rial = +-RM6.25

100 000 rial = +-RM12.50


500 000 rial = +-RM62.50


VISA

Pemegang pasport Malaysia yang ingin ke Iran atas tujuan melancong, dikecualikan visa (visa-free) sehingga 15 hari, jadi jika lawatan dalam tempoh itu, tidak perlu mohon visa. Jika ingin membuat lawatan lebih dari masa itu, perlu memohon visa sama ada di Kedutaan Iran atau di Jabatan Imigresen Iran semasa di dalam Iran. Pemegang pasport negara lain atau ingin memohon visa lain boleh rujuk laman web Kementerian Luar Negara Iran (juga boleh rujuk artikel Wikipedia). 

Paling penting, pastikan pasport anda tiada sebarang bukti kemasukan ke Israel, kerana jika ada, anda tidak boleh masuk langsung ke Iran! Bukti kemasukan ke Amerika Syarikat atau mempunyai visa Amerika Syarikat mungkin akan membuatkan proses masuk ke Iran lebih sukar, namun biasanya akan diberikan kebenaran masuk.

Semasa di pintu sempadan terutama yang bukan pintu sempadan utama, kemungkinan pegawai imigresen Iran tidak mengetahui tentang pemegang pasport Malaysia diberikan pengecualian visa. Oleh itu, dapatkan maklumat dan cetak maklumat berkaitan, jika boleh di dalam Bahasa Farsi juga Bahasa Inggeris, sebagai langkah persediaan. Biasanya rakyat Malaysia akan diberikan kebenaran masuk, namun jika tidak dapat membuktikan pengecualian visa, akan diberikan Visa on Arrival dengan bayaran.

INGATAN, selepas anda memasuki Iran, sebolehnya anda jangan cuba memohon visa Amerika Syarikat atau cuba memasuki negara tersebut dengan menggunakan pasport yang sama yang mempunyai cop pasport negara Iran. Kemungkinan besar anda tidak dibenarkan masuk dan data anda akan dimasukan ke dalam pangkalan data imigresen mereka, seterusnya anda tidak boleh masuk ke negara Uncle Sam itu selama-lamanya. Jadi, tunggu sehingga anda menggunakan pasport baru yang tiada bukti kemasukan ke Iran, barulah memohon visa untuk memasuki Amerika Syarikat.


KETIBAAN


Udara
Lapangan Terbang Antarabangsa Isfahan atau Isfahan Shahid Beheshti (IFN) terletak di timur laut bandar Isfahan. Terdapat penerbangan harian ke Tehran dan Mashhad di Iran. Terdapat juga penerbangan ke Damsyik, Dubai, Sharjah, Kuwait dan Istanbul. 

Pengangkutan ke bandar:
Dari Lapangan Terbang anda boleh mengambil teksi untuk sekitar Rial 350,000 (+- RM41.18) ke pusat bandar. Sila ambil perhatian bahawa kerana kebanyakan orang akan ke pusat bandar, jadi kita boleh meminta untuk untuk berkongsi teksi. Pastikan anda bersetuju dengan harga terlebih dahulu atau bertegas untuk menggunakan meter teksi - berhati-hati, kerana beberapa pemandu akan menghidupkan meter dan mematikannya pertengahan perjalanan. Pemandu akan umumnya tidak memberi baki kepada pelancong asing, jadi membawa bil kecil.

Juga:
Kebanyakan pengunjung antarabangsa akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini (IKA) dan kemudian akan ke Isfahan:

  1. Secara terus dengan teksi (4 ke 5 jam) dengan tambang 5,000,000 rial (+- RM588.24); 
  2. Atau transit dengan teksi atau akan datang Metro Tehran (Laluan 1 (Merah)) ke Terminal-e Junoob (Terminal Selatan (Farsi: ترمینال جنوب)) Tehran untuk mengambil bas ekspres jarak jauh sebelum meneruskan ke Isfahan, tambang dari 200,000 rial (+- RM 23.53) bagi kelas biasa (4 tempat duduk sebaris) atau 330,000 rial (+- RM 38.82) bagi kelas VIP (3 tempat duduk sebaris);
  3. Atau ke transit teksi atau akan datang Metro Tehran (Laluan 1 (Merah) dan kemudian transit ke Laluan 4 (Kuning) di Stesen Darvazeh Dowlat (Farsi: ایستگاه مترو دروازه دولت)) untuk ke Lapangan Terbang Mehrabad (THR) (Farsi: فرودگاه مهر آباد), seterusnya mengambil penerbangan domestik ke Isfahan.

Keretapi

Stesen kereta api di Isfahan terletak jauh dari pusat bandar. Ambil bas no. 37 dari stesen kereta api ke terminal bas Sofeh (Farsi: ترمینال صفه;), di mana anda boleh menukar bas no. 91 ke pusat bandar. Untuk maklumat lanjut tentan keretapi Iran, boleh layari laman web Raja Rail Transportation.

Terdapat malam kereta api ke Tehran dan kereta api setiap hari untuk Mashhad. Tiada kereta api ke Shiraz.

Bas

Terdapat pelbagai terminal bas di Isfahan seperti Kaveh, Sofeh, Zayanderud dan Jey. Terdapat bas-bas ke / dari Tehran setiap 15 minit di Terminal Kaveh.  Tempat duduk adalah agak selesa dengan banyak ruang kaki. Snek ringan, air dan jus disediakan. Tiket ke Tehran kos Rial 330,000 bagi bas jenis VIP (3 tempat duduk sebaris) atau Rial 200,000 bagi bas jenis biasa (4 tempat duduk sebaris).


TELEKOMUNIKASI

Terdapat tiga penyedia perkhidmatan telefon mudah alih di Iran iaitu:
  1. Hamrah-e-Aval = 'operator pertama' atau MCI (2G, 3G, 4G)
  2. Irancell (2G, 3G, 4G)
  3. RighTel (3G, 4G)
Namun hanya Irancell yang mesra pengunjung luar termasuk mempunyai laman web berBahasa Inggeris, yang lain laman webnya hanya ada dalam Bahasa Farsi sahaja.

Terdapat kaunter khas Irancell di kedua-dua Balai Ketibaan A dan B di IKA. Ada satu lagi kaunter yang menjual semua kad SIM. Di sebelah Balai Ketibaan A nampaknya dibuka sentiasa.

Kad SIM Prabayar
Untuk kembara, saya tidak membeli kad sim kerana saya ingin membelinya di dalam bandar, lebih tepat cawangan Irancell/MTN yang sebenar, namun agak sukar menjumpainya. Jadi saya kongsikan pengalaman rakan sepengembara yang membelinya.

Ia boleh dibeli di kaunter sebelah Balai Ketibaan A IKA. Harga bagi pakej 2GB data dan panggilan/sms adalah US$15 (555,000 rial atau +- RM65.29) dan 5GB data dan panggilan/sms adalah US$25.00 (950,000 rial atau +- RM111.76).

Kad SIM tidak diaktifkan segera, perlu menunggu sehingga waktu pejabat (Isnin hingga Ahad) kira-kira pukul 9:00 pagi, barulah kad SIM diaktifkan.

Kadar kelajuan agak baik, jika di kawasan Bazaar Besar Tehran dan Dataran Naqsh-e Jahan Isfahan, ia mencapai capaian 4G. Kawasan liputan Irancell juga agak menyeluruh.


Kad Sim Irancell.

Internet
Bagi melayari atau menggunakan aplikasi seperti Facebook, Instragram, Twitter atau beberapa aplikasi Google atau juga beberapa aplikasi lain terutamanya aplikasi media sosial dengan menggunakan penyedia perkhidmatan internet atau perkhidmatan data daripada syarikat telekomunikasi di Iran, memerlukan kita untuk memasang aplikasi VPN (Rangkaian Peribadi Maya - Virtual Private Network). Jadi muat turun aplikasi tersebut terlebih dahulu bagi membolehkan kita menggunakan aplikasi yang kita ingini tanpa sekatan.


PENGANGKUTAN BANDAR

Bas
Ia adalah mudah untuk mendapatkan sekitar Isfahan dengan bas. Tambang perjalanan sehala Riyal 10,000 (+- RM1.18); anda boleh membayar kepadapemandu, atau membeli kad prabayar (EScard) di gerai perhentian bas tertentu. Perhatikan bahawa terdapat tempat duduk berasingan untuk lelaki (depan) dan wanita (belakang) pada setiap bas.

Dari Terminal Bas Kaveh, mengambil bas no. 91 untuk  ke pusat bandar.

Metro
Buat masa ini, hanya fasa 1 Laluan 1 sahaja yang beroperasi di barat laut bandar Isfahan dengan 10 stesen iaitu dari Qods ke Shohada melalui Terminal Bas Kaveh. Laluan 1 ini sedang dibina lanjutannya ke arah selatan bandaraya Isfahan ini.

Selain terdapat dua lagi laluan yang dirancang iaitu Laluan 2 yang akan melalui timur dan barat Isfahan dan Laluan 3 dari timur laut ke barat daya Isfahan.

Teksi
Selain itu, perkhidmatan teksi terdapat di Isfahan.


PENGINAPAN

Tempahan secara dalam talian menggunakan penyedia perkhidmatan tempahan hotel seperti Agoda, Booking.com, Hotels.com juga enjin pencari hotel seperti Trivago dan Hotels Combined agak sukar. Kebanyakannya tiada langsung senarai hotel boleh ditempah atau jika ada pun hanya memaparkan senarai yang sikit (kurang dari 5 buah hotel) yang mana harganya agak mahal RM600++ ke atas. Ini mungkin kerana sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya yang menyebabkan pembayaran secara bukan tunai seperti kad kredit, kad debit dan sebagainya agak mustahil.

Namun jika kita mencari dengan menaip "Iran Hotels Booking", insya Allah, kita akan dapat capaian ke laman web penyedia tempahan hotel dalam talian Iran, dan kita boleh tempah di situ. Biasanya pembayaran adalah di hotel, namun ada juga (agak jarang) yang menerima pembayaran bukan tunai seperti kad kredit, pindahan telegraf dan sebagainya.

Kita juga boleh mencari secara konvesional, iaitu bertanyakan penduduk setempat. Saya kongsikan pengalaman saya untuk penginapan di Iran.


Di Isfahan, terdapat banyak hotel, namun perlu mencari. Namun jika kita datang dengan menaiki bas ekspres jarak jauh, di Terminal Bas Kaveh (Farsi: ترمینال مسافربری کاوه), terdapat sebuah hotel yang agak selesa dengan harga berpatutan.

Hotel Kaveh, Isfahan
Terminal Bas Kaveh, Isfahan
 


Hotel Kaveh di kawasan Terminal Bas Kaveh.

Peta: Hotel Kaveh, Isfahan.

BEKALAN ELEKTRIK

Soket plug elektrik digunakan di Iran adalah dari soket jenis C dan jenis F. Bekalan elektrik pula menggunakan voltage 230V 50Hz.


Soket plug di Iran.



TEMPAT MENARIK / LAWATAN


Dataran Naqsh-e Jahan (Farsi: میدان نقش جهان)
Juga dikenali sebagai Meydan Imam (Farsi: میدان امام) atau Meydan Shah (Farsi: میدان شاه). Siap dibina pada tahun1602. Dataran ini mengandungi Istana Ali Kapu (Farsi: عالی‌ قاپو)Masjid Shah/Masjid Imam (Farsi: مسجد شاه/مسجد امام)Masjid Sheikh Lotfollah (Farsi: مسجد شیخ لطف الله) dan pintu Keisaria yang menuju ke Bazaar Besar (Grand Bazaar) Isfahan. Dataran ini adalah dataran awam sejarah terbesar di dunia selepas Dataran Tiananmen  di Beijing dan ia adalah salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dataran ini dikelilingi oleh bangunan-bangunan dari era Safavid. Ini tempat yang sangat popular bagi penduduk tempatan untuk berkelah pada hari Jumaat dan malam percutian.
Menaiki bas no. 91 dari Terminal Bas Kaveh dan kemudian berjalan kaki.


Jambatan Si-o-Seh Pol (Jambatan of 33 Arca)  (Farsi: سی و سه پل)
Dibina pada 1602. Ia adalah salah satu contoh yang paling terkenal Safavid reka bentuk jambatan. Antara jambatan tertua di Isfahan.
Menaiki bas no. 91 dari Terminal Bas Kaveh dan kemudian berjalan kaki.

Jalan Kualalumpur  (Farsi: خیابان کوالالامپور)
Sebuah jalan yang tidak jauh dari Jambatan Si-o-Seh Pol yang mengambil nama ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Mempunyai kembarnya di Kuala Lumpur yang bernama Jalan Esfahan.
Menaiki bas no. 91 dari Terminal Bas Kaveh dan kemudian berjalan kaki.

Terdapat banyak lagi tempat boleh dilawati di Isfahan, boleh layari Wikitravel untuk maklumat lanjut.



MAKAN / MINUM
Makan dan minum di Iran agak mudah kerana sebagai negara Islam (walaupun majoriti bermahzab Syiah), makanan halal amat mudah diperolehi. (Ingat walaupun Syiah, mereka dari segi fiqh masih Islam dan sembelihan mereka halal di makan, kerana syarat pertama penyembelihan adalah menyebut nama Allah tidak kira mereka Islam (Sunni atau Syiah), Yahudi mahupun Nasrani.).

Biasanya makanan yang utama adalah shish kebab (daging (ayam, lembu atau kambing) yang dilekatkan pada besi seperti pedang dan dipanggang atas bara api) yang dihidangkan dengan roti nan atau kami panggil roti tuala dan juga pelbagai ulam-ulaman dan sayur-sayuran dipanggang serta kobis jeruk dan lemon. Itulah makan malam kami untuk dua malam. Perlu diingat, makanan di timur tengah ini tiada berkuah (cuma orang Melayu Malaysia sahaja yang makan berkuah, sepanjang perjalanan saya ke serata tempat), jadi kita kena biasakan atau mencari alternatif untuk berkuah (saya sudah biasa namun ada kawan-kawan sepengembara yang tidak biasa).


Shish kebab kambing, roti dan makanan sampingan.

Ulam-ulaman untuk dimakan bersama shish kebab.


Kami makan malam shish kebab di sebuah restoran berdekatan dengan Jambatan Si-O-Seh Pol dengan cuaca di bawah paras beku dan angin kuat (kehangatan restoran melegakan kami).


Restoran tempat kami makan malam.

Kad perniagaan restoran di Isfahan.



BELI-BELAH
Walaupun dengan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia, namun di Iran, dengan RM125.00, orang Malaysia sudah jadi jutawan! 1,000,000 rial = RM125.00.


Kebanyakan cenderahati pelancong di Iran ini dari jenis mewah tetapi murah, seperti permaidani, barang-barang tembaga dan sebagainya. Ia agak besar bagi pengembara marhaen seperti saya. Cenderahati moden seperti rantai kunci, magnet peti ais dan sebagainya masih baru lagi dan sukar diperolehi. Jika jumpa pun, harga agak mahal.


Sekitar Dataran Naqsh-e Jahan.
Di sebelah pintu dari Jalan Sepah, akan terjumpa beberapa buah kedai cenderahati, betul-betul sebelum memasuki dataran. Jika boleh beli sahaja rantai kunci atau magnet peti ais di sini yang dijual antara 50,000 ke 100,000 (+- RM 5.88-11.76)!

Saya sarankan jika berminat dengan permaidani, belilah di kedai-kedai sekitar Bazaar Isfahn yang mengelilingi dataran ini. Ada dijual juga permaidani yang berusia beratusan tahun.


PATUT TAHU
Setiap bilik di hotel, di surau atau di masjid akan terjumpa sebiji batu yang biasanya bersama sejadah. Batu ini adalah Batu Karbala, yang digunakan oleh penganut Mahzab Syiah untuk menjadi alas dahi semasa sujud di dalam solat. Sebagai penganut Mahzab Sunnah Wal Jemaah (Sunni), kita tidak memerlukan batu ini, letakkan ke tepi sahaja batu ini. Jangan buang pula kerana nanti orang Syiah tidak boleh beribadat pula.


Batu Karbala yang digunakan oleh penganut Mahzab Syiah untuk sujud semasa solat.

Orang Farsi atau orang Iran ini merupakan orang yang peramah dan cintakan kedamaian. Ini jelas dilihat mereka lebih maju dari pelbagai bidang terutama dari segi ketamadunan berbanding dengan orang Arab. Orang Iran bukanlah orang Arab malah bahasanya juga berbeza walaupun banyak perkataan yang sama juga menggunakan sistem tulisan yang sama (cuma terdapat penambahan huruf di dalam Bahasa Farsi). Mereka juga jarang berperang terutama perang saudara berbanding orang Arab. Jadi mereka ini bukanlah orang yang eksrimis seperti yang disangka. Mungkin benar ada orang Syiah yang berkata darah orang Sunni halal tetapi saya percaya ia dikatakan oleh orang Syiah ekstrim daripada orang Arab atau Hindi (Pakistan). Orang Iran ini amat suka menolong walaupun tidak diminta malah sehingga mengajak datang ke rumah atau juga sekadar minum teh di kedai mereka. Wanita yang datang ke Iran ini amat selamat cuma perlu mengikut kod etika berpakaian dan kehidupan di Iran seperti memakai pakaian menutup aurat, memakai cadur (pakaian tutup litup) di masjid dan berada di kawasan dikhaskan untuk wanita di dalam pengangkutan awam. Iran amat selamat.

Pada musim sejuk, walaupun tiada salji seperti ketika kami ke sana (katanya salji turun sekitar dalam bulan Disember 2016, sebulan sebelum kami hadir), namun cuaca terutama waktu malam agak sejuk. Pernah di Isfahan, pada malam, cuaca mencapai -5oC (negatif 5 bawah paras beku)! Jadi persiapkan diri dengan pakaian sejuk terutama long john yang amat membantu. Baju panas disarankan dari jenis kulit. Pakailah beberapa lapis pun, yang penting dapat kurangkan kesejukan.



PETUA
Walaupun orang Iran ini jenis amat mudah menolong orang, namun sebenarnya mereka agak keras juga peribadi mereka. Ini mungkin kerana persekitaran kehidupan mereka yang tinggal di padang pasir yang tandus. Jadi kita perlu bertegas dan nampak tegas dan keras di dalam segala perkara yang dibuat terutama dalam tawar menawar dan berurusan dengan pihak berkaitan. Ada antara mereka mengetahui sifat orang Malaysia yang lemah lembut dan mengambil  kesempatan ke atas kita. Jadi kita perlu bertegas dalam hal ini. Contohnya, semasa tiba (sudahlah penerbangan 8 jam lebih (menaiki kelas ekonomi AirAsiaX pula tu), sampai waktu lewat malam pula tu, pegawai imigresen menyuruh kita untuk membuat visa, sedangkan pemegang pasport Malaysia tidak perlu visa untuk lawatan kurang 15 hari. Kita perlu bertegas dan jika boleh beri bukti (cetakan internet dan sebagainya). Juga semasa bersesak di Metro, kita kena tetap bertegas dan jangan lembut hati untuk memberikan ruang kita kepada orang lain.

Sebolehnya, kita jangan berbicara tentang berbezaan politik dan juga mahzab. Kebanyakan orang Iran memang tidak suka berbicara namun terdapat beberapa orang yang suka memprovokasi. Jadi apa yang diutarakan kita iakan sahaja. Juga kita pun sama, jangan sesekali mengutuk atau memperlekehkan secara berdepan pendapat kita yang berbeza. Simpan sahaja di hati, sebaik-baik dan sedamai-damai orang Iran, jika kita sentuh titik didih mereka, meletup juga. Jadi hormati kepercayaan dan kebudayaan orang tempatan. Baik kata orang, di mana bumi dipijak, disitu langit dijunjung; ibarat menarik benang dalam tepung, benang tidak putus, tepung tidak berselerak.


KESIMPULAN
Iran tidaklah seteruk yang dikatakan orang. Malah bagi saya ia terbalik 360o! Orang Iran memang baik hati dan sudi menolong orang di dalam kesusahan.

Tempat tarikan perlancongan utama juga agak cantik dan dijaga. Memang jika kita ke sana, umpama kita berada di pusat peradapan dunia.

Di kawasan bandar di Iran, persekitaran amat bersih. Jarang kita berjumpa dengan sampah sarap yang bersepah di jalanan. Malah aliran air sungai/anak sungai amat bersih, sehingga terasa hendak terjun mandi! Tong sampah pun susah hendak jumpa. Namun di sekitar lebuhraya/jalan raya terdapat juga sampah sarap bersepah, mungkin kerana kurang penyelengaraan.

Paling penting, Iran amat selamat untuk dikunjungi. Tiada perang besar yang berlaku, kali terakhir pun berakhir kira-kira 29 tahun lalu itupun dengan jirannya Iraq. Perang saudara atau pergaduhan tidak didengari, saya pun hairan kenapa kebanyakan syarikat insurans dan takaful tidak memberi perlindungan bagi perjalanan ke Iran. Mungkin kerana sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan sekutu agaknya.

Saya kagum dengan kegigihan rakyat Iran mengharungi hidup walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencengkam.

Datanglah ke Iran, banyak perkara yang diselubungi dari pengetahuan umum akan diketahui. Kebenaran akan tersingkap, insya Allah.


Saya di Dataran Nasqh-e Jahan.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat: 




If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Travel Guide Tehran; 
  • Travel Guide Isfahan (this part)
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3;
  • Day 4 Part 1; or
  • Day 4 Part 2 & Day 5.