Jumaat, 2 Disember 2016

Hari 3 (Sydney, Australia - 26 hingga 31 Oktober 2016) - Girang Menyentuh Kangaru!.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney. 


(Harap maaf, catatan perjalanan ini agak kurang gambar, kerana saya terpadamnya ketika sesi menyusun gambar untuk catatan-catatan perjalanan ke Sydney ini. Saya pun terlupa untuk membuat back up. Saya mohon maaf yang amat banyak sangat.).



Saya sedang mengusap seekor kangaroo di Featherdale Wildlife Park, Sydney, Australia.

Hari 3 (29 Oktober 2016 - Sabtu).


Pada pagi ini, sekali lagi saya terbangun awal pagi, kira-kira pukul 1:00 pagi. Jadi saya membuat qiamulail mana yang boleh dan kemudian saya makan baki kebab yang saya tinggalkan semalam. Nasinya sudah habis. Alhamdulillah, kenyang juga sehingga menyebabkan saya tertidur kembali pada pukul 3:00 pagi.

Saya bangun semula pada pukul 4:40 pagi untuk solat Subuh. Usai solat, saya sambung kembali tidur sehingga pukul 7:00 pagi. Saya pun membersihkan bersama-sama dengan rakan sebilik saya di bilik mandi masing-masing.

Kami menunggu rakan-rakan sebilik di bilik umum (common room) penginapan kami, namun pada masa yang dijanjikan iaitu pukul 8:00 pagi, mereka masih belum siap. Setengah jam kemudian baru mereka sampai di bilik umum tersebut. Biasalah, perempuan, hihihi. Tidak mengapa, kami faham dan memahami. Hihihi...

Kami mula bergerak dari penginapan pada pukul 8:30 pagi. Aktiviti kami pada pagi ini adalah berjalan di sekitar kawasan CBD (Central Business District - Daerah Perniagaan Pusat atau Pusat Bandaraya) Sydney ini yang mempunyai banyak tarikan. Saya merujuk artikel Perjalanan Berjalan Kaki di Sydney (Walking Tour of Sydney) di dalam Wikitravel.

Kami berjalan sepanjang George Street menghala ke utara. Setelah sepuluh minit berjalan, kami sampai di hadapan gereja St. Andrew's Cathedral. Gereja ini antara bangunan lama di Sydney, dibina pada 1868. Di sebelahnya merupakan Dewan Bandaran Sydney (Sydney Town Hall), yang siap dibina pada tahun 1889, dahulunya bangunan ini mendominasi langit Sydney, menjadi pejabat utama pentadbiran bandar Sydney. Kini ia menjadi sebuah pusat komuniti dan juga muzium yang boleh dikunjungi. Terdapat beberapa tarikan antaranya organ (sejenis piano) yang terbesar di dunia, di samping kemudahan-kemudahan lama yang menjadi sebahagian sejarahnya.

Di seberang jalan Druitt Street dari Dewan Bandaran adalah Bangunan Ratu Victoria (Queen Victoria Building) atau lebih dikenali sebagai QVB. Bangunan ini dahulunya adalah sebuah pasar, kini ia menjadi sebuah pusat membeli belah bagi barang-barang berjenama mewah. Pada kali ini, kami tidak masuk, cukup sekadar berada di hadapan pintu masuk sebelah Druitt Street, di mana terdapat patung Ratu Victoria yang memegang alat kebesaran DiRaja England.

Kami menyeberang jalan George Street dan saya meminta rakan-rakan untuk singgah di pasaraya Woolworth Town Hall ini, kerana saya hendak membeli makanan untuk sarapan. Saya membeli sashimi iaitu makanan Jepun berupa ikan mentah. Bukan apa, ia nampak begitu segar, walaupun agak mahal iaitu AU$10.00 (+- RM33.00), tetapi kesegarannya (semasa makan ia di hadapan pasaraya ini) amat terasa. 

Selepas itu, kami teruskan perjalanan menyusuri jalan Park Street ke kawasan taman Hyde Park dan terus ke ANZAC Memorial. Memorial ini adalah dibina bagi memperingati pengorbanan tentera-tentera Australia dan juga New Zealand (bagi sebelum Perang Dunia Kedua) yang berjuang di pelbagai peperangan di dunia. Malah pertempuran di Malaya pada 1941-42 semasa awal Perang Dunia Kedua juga diabadikan namanya di dinding memorial ini (disalah tulis sebagai Malaysia yang mana secara teknikalnya, entiti itu belum wujud pada masa itu). Terdapat poskad percuma yang boleh diambil di situ. Di memorial ini terdapat bekas tentera yang bertugas secara sukarela, dan kita boleh memohon untuk mendapatkan maklumat daripada mereka.

Seterusnya, kami berjalan kaki ke Muzium Australia (Australian Museum), yang berada di sebelah timur ANZAC Memorial tadi. Asalnya kami hendak masuk, namun oleh kerana dikenakan tiket sebanyak AU$15.00 (+- RM49.50), maka kami mengembil keputusan untuk tidak memasukinya.

Seterusnya, kami menyeberang jalan William Street, untuk ke gereja St. Mary's Cathedral melalui Pusat Akuatik dan Kecergasan Cook & Phillip (Cook and Phillip Park Aquatic and Fitness Centre), di mana semua ini terletak di kawasan taman Cook & Phillip Park. Pusat akuatik ini sebenarnya dibina di bawah aras tanah, di mana bumbungnya adalah di atas tanah. Terdapat sebuah kolam yang mempunyai pelbagai arca dan berair pancut. Memang cantik rekaannya. Di antara pusat akuatik dan gereja, terdapat taman mini yang mempunyai banyak bungaan yang mekar dan berwarna-warni. Kena pula masa ini adalah musim bunga, maka memang menyegarkan minda.

Kami memasuki ke gereja St. Mary's Cathedral, di mana pada ketika kami masuk itu, terdapat satu upacara penyembahan diadakan. Dengan langkah yang perlahan dan berhati-hati, kami melihat seni bina dalaman gereja ini. Gereja ini adalah gereja terbesar di Sydney dan negeri New South Wales (NSW) dan pusat/pejabat bagi daerah Archdiocese Sydney bagi Kristian bermahzab Roman Katolik. Dalam melihat itu, baru saya perasan, terdapat tangga ke bawah gereja (tidak boleh memasukinya) dan ia menghala ke kawasan perkuburan.

Selepas itu kami keluar dari gereja itu, dan terus menyeberang jalan St Mary Road untuk ke melihat beberapa bangunan lama dan utama di Sydney. Antara bangunan itu yang berada berdekatan adalah Bangunan Maklumat Tanah dan Hartanah NSW (Land and Property Information Bulding), Muzium Berek Hyde Park (Hyde Park Barrack Museum), The Mint (Muzium Matawang), Parlimen Negeri NSW dan Bangunan Perpustaakaan Awam Negeri NSW. Semuanya kami cuma lihat dari luar sahaja. Bangunan-bangunan ini berada di sepanjang jalan Macquarie Street.

Kami kemudiannya, menyeberangi jalan Shakespeare Place untuk memasuki kawasan Taman Botani DiRaja Sydney (Sydney Royal Botanical Garden). Taman ini agak besar juga di mana ia mempunyai banyak bahagian-bahagian antaranya Rose Garden & PavilionThe CalyxLotus PondHSBC Oriental Garden PlantsLawn 39 dan sebagainya. Agak besar sehinggakan kami berjalan hampir sejam di taman botani ini sahaja.

Sebenarnya tujuan kami melalui taman ini adalah untuk ke Mrs Macquarie's Point, di mana di sini merupakan tempat yang paling sesuai untuk mengambil gambar kedua-dua ikon Sydney iaitu Panggung Opera (Opera House) dan Jambatan Pelabuhan (Harbour Bridge). Selain itu, di sini juga permandangan lain juga amat menarik termasuk muara sungai di mana pertemuan Sungai Parramatta dan Lautan Pasifik.

Perjalanan ke Mrs Macquarie's Point memang cantik permandangan tambahan pula cuaca pada pagi ini amat cerah. Malah apabila memandang air di tebing sungai, ternampak airnya yang begitu jernih dan boleh nampak rumpai air yang menghijau di dasar sungai. Kebersihan agak terjaga, walaupun agak ramai yang mengunjungi Taman Botani Diraja ini. Kami melalui tapak di mana Ratu Elizabeth II menjejakkan kaki di bumi Australia, yang mana baginda juga merupakan ketua negara baginya selain United Kingdom dan tujuh negara lain.

Akhirnya sampai juga kami di Mrs Macquarie's Point ini. Memang cantik permandangannya di sini. Selepas mengambil angin di situ, bermulalah sesi bergambar (sayangnya saya tidak dapat berkongsi gambar yang diambil, seperti yang saya maklum pada permulaan catatan ini, cuma ada beberapa sahaja yang dapat dikongsi). Cuma cabaran kami, ketika kami ingin mengambil gambar, terdapat banyak orang di situ, terutama pelancong yang datang dari tanah besar China. Ada masa, saya terasa geram dengan mereka, kerana apabila kami atau orang lain bergambar, siap menghalau untuk mereka mengambil gambar, tetapi bila masa mereka pula, mereka mengambil masa agak lama, malah mengambil sikap tidak tahu sahaja terhadap orang lain. Begitulah sikap mereka. Namun kami sabar dengan sikap mereka itu. Dapat juga beberapa gambar yang diambil.

Berdekatan dengan hujung tanjung Mrs Macquarie's Point ini, terdapat sebuah batu yang berbentuk seperti kerusi, di mana dikatakan dahulu, Elizabeth Macquarie, isteri kepada Lachlan Macquarie yang merupakan Gabenor bagi negeri NSW pada 1810 hingga 1821 selalu duduk di situ melihat pergerakan kapal masuk ke kawasan Pelabuhan Sydney.

Setelah berada di sini lebih sikit dari setengah jam, kami pun menyusuri jalan di tepi tebing Sungai Parramatta di Taman Botani DiRaja ini menuju ke Rumah Kerajaan (Government House) yang kini merupakan Muzium Sydney. Kami cuma lalu sahaja untuk menghala ke Stesen Keretapi Circular Quay. Juga kami melalui Sydney Conservatorium of Music semasa berjalan ini.

Saya berlatar belakang dua ikon Sydney iaitu Opera House 
dan Harbour Bridge diambil dari Mrs Macquarie's Point.

Saya bergambar dengan Jalur Gemilang di Sydney Botanical Garden 
berlatar belakang kedua-dua ikon Sydney.


Peta: Perjalanan kaki sekitar kawasan bandar Sydney.


Akhirnya setelah berjalan kira-kira setengah jam, kami pun sampailah di Stesen Keretapi Circular Quay. Agak meriah juga di kawasan ini ketika hujung minggu. Malah terdapat persembahan khas daripada Aborigine iaitu orang asli Australia. Kami kemudian menaiki keretapi untuk ke Blacktown untuk ke destinasi seterusnya iaitu Taman Haiwan Liar Featherdale (Featherdale Wildlife Park).



Peta: Perjalanan dari Stesen Circular Quay ke Featherdale Wildlife Park.


Perjalanan menaiki keretapi ke Blacktown dari Circular Quay mengambil masa kira-kira hampir sejam juga. Sampai di Stesen Keretapi Blacktown, kami terus ke Stesen Bas Blacktown yang memang bersambung dengan stesen keretapi. Kami perlu ke perhentian E (ikut papan tanda arah yang ada di stesen) untuk mengambil bas bernombor 729 untuk ke Taman Haiwan Liar Featherdale. Kami menunggu 10 minit untuk bas ini, dan bukan kami sahaja yang menunggu, ramai rupanya ke taman haiwan ini.

Sebenarnya, di Sydney ini mempunyai banyak taman haiwan seperti di Darling Harbour (sila baca catatan Hari 1) dan juga zoo yang terkenal di dunia, iaitu Taronga Zoo, yang merupakan tempat bertugas bagi selebriti haiwan liar terkenal, mendiang Steve Irwin. Saya memilih Featherdale kerana ia agak murah dan juga di sini, kita boleh memegang haiwan-haiwan yang boleh dipegang.

Perjalanan dari Stesen Blacktown ke Featherdale mengambil masa kira-kira lima belas minit sahaja. Sampai di sana, kami ke kaunter tiket untuk membeli tiket masuk. Harga tiket masuk ke sini adalah AU$31.00 (+- RM102.00) untuk dewasa, dan semasa menunggu rakan-rakan di penginapan pada sebelah pagi, saya ternampak voucer diskaun 20% untuk tiket masuk ke Featherdale ini pada pamplet yang ada di bilik umum penginapan kami, jadi harganya menjadi AU$24.80 (+- RM81.84) sahaja.Kami masing-masing diberikan pasport yang merupakan tiket masuk ke Featherdale ini.

Memang banyak haiwan-haiwan yang ekslusif terdapat di Australia ini, dari burung-burung, ke wallaby ke emu. Dari mula lagi terdapat haiwan-haiwan yang boleh dipegang di sini, dan ia percuma sahaja. Kemudian kami meneruskan dan terdapat kangaru. Apa lagi bergambarlah kami. Boleh pegang-pegang, belai-belai, memang hati saya amat gembira, semasa kecil memang hendak sangat pegang kangaru ini. Akhirnya dapat juga pegangnya di dalam hidup ini. Girang dan gembira betul hati saya pada masa itu. Pada masa sama, terdapat cop yang boleh kami copkan di pasport kami. Selepas kawasan kangaru, kami memasuki kawasan koala pula, cuma biasala koala ini kerja utamanya adalah tidur, boleh dikatakan 23 jam sehari digunakan untuk tidur. Cuma sesi bergambar dengan koala ini perlu dibayar kira-kira AU$10.00 (+- RM33.00).

Banyak lagi haiwan yang ada cuma tidak semua yang dibuka untuk dipegang. Bahaya pula kalau Tasmanian Devil dan Dingo dibuka, mahu hilang tangan nanti. Jangan dilupa wombat dan buaya air masin serta lain-lain haiwan. Di satu sudut, terdapat juga ruang haiwan reptilia yang habitatnya di kawasan gurun Australia yang meliputi majoriti benua Australia ini.

Pasport (tiket masuk) Featherdale Wildlife Park (luar).

Saya memegang seekor wallaby di Featherdale Wildlife Park, Sydney, Australia.

Saya sedang mengusap seekor kangaroo.

Seekor wombat sedang makan.

Seekor emu sedang minum air.

Sekumpulan kangaroo sedang berehat.

Saya sedang mengusap seekor kangaroo 
(spesis Kangaroo Island).

Dua ekor kangaroo spesis Kangaroo Island bersama anaknya di dalam kantungnya.

Antara Cicak Gurun.

Antara spesis ular gurun yang dipamerkan.

Sepadang Dingo.

Seekor buaya sedang berehat di dalam kolam.

Seekor Tasmanian Devil.

Pasport (tiket masuk) Featherdale Wildlife Park (dalam).


Setelah dekat dua jam, dan cuaca pun seperti hendak hujan, maka kami mengambil keputusan untuk keluar dari taman haiwan ini. Kami melalui kedai cenderahati sebelum keluar. Cenderahati khas Featherdale dijual di sini dengan harga agak murah juga (standard Australia lah).

Kami kemudian menunggu bas bernombor 729 untuk kembali ke Blacktown, cuma kali ini kami berhenti di pusat membeli belah Westpoint Shopping Centre yang terletak bersebelahan dengan stesen keretapi Blacktown. Ini kerana saya ingin membeli air minuman yang telah habis. Di pusat membeli  belah ini terdapat pasaraya Woolworth dan Coles. 

Setelah membeli barang di Woolworth, kami pun ke stesen keretapi, namun apabila keluar, rakan-rakan wanita ternampak jualan promosi bagi minyak wangi di kedai Chemist Warehouse. Sudahlah hujan pun mulai turun (antara pusat membeli belah ini dengan stesen terdapat laluan tertutup sebenarnya), jadi ini menjadi sebab juga mereka membeli belah. Harga minyak wangi berjenama (asli bukan tiruan) agak murah contohnya CK Now yang biasa dijual AU$89.00 (+- RM293.70) (bagi saya masih murah kerana di Malaysia harga biasa dalam RM400.00) dijual pada harga AU$29.99 (+- RM98.97) sahaja. Irda dan Husnul memborong betul, manakala Linda, Jeluwi dan abang Zul ada beli sebotol. Saya kalau ikut murah memang nak memborong, cuma saya fikir minyak wangi saya masih banyak dan risau untuk bawa balik sahaja, takut kena bayar cukai kastam sahaja.

Setelah menunggu rakan-rakan membeli (lebih kepada memborong kot, huhuhu) dekat sejam, akhirnya kami pun menaiki keretapi untuk pulang ke Stesen Central. Sampai di Central, oleh kerana saya belum solat lagi dan pakaian dalam saya terkena najis maka saya mengambil keputusan untuk pulang ke penginapan. Ini diikuti oleh Husnul juga, dan kami sukarela membeli barang makanan di Coles dan memasak makan malam. Rakan-rakan yang lain meneruskan membeli-belah (kerana pada hari ini didapati duit masih banyak, rupa-rupanya Sydney tidaklah semahal yang dikata orang) di Pyrmont atau lebih tepat di Hard Rock Cafe Sydney.

Setelah solat, saya dan Husnul pun ke Coles untuk membeli barang untuk makan malam kami. Setelah itu kami pun pulang. Dalam perjalanan pulang, kami ternampak dua orang wanita, seorang muda dan seorang lagi tua, yang saya rasa orang Malaysia. Kami pun senyum pada mereka, alhamdulillah mereka membalas senyuman. Malah mereka bertanyakan kami (rupanya mereka ingan kami pelajar Malaysia di Sydney, err saya ini ada rupa macam pelajar ke, huhuhu) masjid terdekat di situ. Saya kata apa yang saya tahu masjid terdekat agak jauh dari situ, dan saya lihat, makcik tersebut (mereka adalah anak beranak) seperti penat. Jadi Husnul menawarkan biliknya untuk mereka bersolat. Prinsip kami akan tolong mana yang boleh, insya Allah. Saya terus ke dapur penginapan untuk masak. Husnul menyusul selepas itu, selepas selesai pasangan anak beranak untuk solat.

Akhirnya pada pukul 8:30 malam, rakan-rakan pun balik dan kami pun makan bersama-sama. Pada masa itu, saya terkejut yang saya ditegur oleh seseorang (yang bukan dikalangan kami) dalam Bahasa Melayu Malaysia loghat utara. Rupanya saya ditegur oleh Ina yang tinggal di penginapan kami ini. Ina dan juga sepupunya Aida yang ada sama, merupakan orang Malaysia dari Pulau Pinang yang kini bekerja di Sydney ini. Rupa Ina yang macam orang putih yang mengelirukan saya. Akhirnya kami pun menjadi rakan dan makan bersama-sama. Kenapalah tidak jumpa lebih awal. Kami semua merancang untuk keluar bersama-sama pada keesokan hari, kerana sebenarnya Ina masih belum pernah ke pantai Bondi lagi.

Selepas lama berborak di pantri sehingga sudah macam kami punya, akhirnya kami pulang ke bilik masih-masing pada pukul 10:30 malam. Pada masa ini juga, saya membuka laman web AirAsia untuk menguruskan tempahan kami kerana rakan lain hendak menempah bagasi untuk penerbangan pulang ke Malaysia. Setelah selesai buat apa yang patut, saya pun terlelap pada pukul 11:45 malam.

Bersambung ke Hari 4 5.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney. 

Rabu, 30 November 2016

Hari 2 (Sydney, Australia - 26 hingga 31 Oktober 2016) - Cuba Menyingkap Blue Mountain.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney. 


Salah satu batuan Three Sisters.


Hari 2 (28 Oktober 2016 - Jumaat).

Saya terbangun awal pada pukul 2:00 pagi. Tiba-tiba sahaja, mungkin kerana tidur di katil asing di bumi orang. Bilik kami sebenarnya tiada penghawa dingin tetapi cuaca malam Sydney memang sejuk. Perut pun tiba-tiba lapar (masa ini teringang-ngiang parodi Doraemon pasal perut lapar). Jadi saya makan baki kepak ayam goreng yang dibeli malam tadi. Macam makan sahur la pula. Selepas itu saya buat qiamulalail sikit dan sambung tidur selepas itu.

Saya terbangun pada pukul 5:20 pagi, kira-kira dua jam selepas terlelap. Nasib baik terbangun, kalau tak, terlepas Subuh yang mula masuk pada pukul 4:30 pagi. Pergi membersihkan diri dan segera bersolat Subuh. 

Kami sebenarnya menetapkan untuk bertolak dari penginapan untuk aktiviti kami hari ini pada pukul 7:00 pagi. Jadi, saya, abang Zul dan Jeluwi yang sudah siap pada pukul 6:30 pagi, mengambil masa sikit untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan penginapan. Agak tidak ada banyak kenderaan dan orang pada masa ini. Mungkin pada tahap orang Sydney, masa ini masih awal walaupun terangnya umpama sudah pukul 7:45 pagi di Kuala Lumpur. Mungkin juga kerana George Street ini ditutup sebahagian jalannya untuk dibina sistem tram agaknya.

Kami ke kedai serbaneka 7-Eleven yang terdekat, dan ternampak kiosk membuat kopi di situ. Jadi saya mencuba minuman caffe latte manakala Jeluwi memilih cappuccino. Abang Zul juga memilih cappuccino, cuma tersalah pilih cawan yang ada coklat, jadi bagi saya ia menjadi caffe mocha lah. Harga bagi minuman berasaskan kopi ini adalah AU$1.00 (+-RM3.30) bagi cawan kecil, AU$2.00 (+-RM6.60) bagi cawan sederhana dan AU$3.00 (+-RM9.90) bagi cawan besar, manakala yang mempunyai serbuk coklat hanya ada cawan kecil sahaja (bagi saya ia dah jadi sederhana sebenarnya) dengan tambahan AU$1.00 (+-RM3.30).

Memang sedap kopinya, berkualiti tinggi, agak serupa dengan rasa kedai-kedai fresco kopi seperti Starbucks. Harga pun agak murah bagi standard Australia (kalau cawan kecil, bagi saya, agak murah juga dengan standard Malaysia). Penting sekali dapat memanaskan badan di dalam cuaca Australia yang sejuk ini.


Apabila sampai pukul 7:00 pagi, rupanya geng-geng wanita ni tidak siap lagi. Jadi kami pun sambung jalan-jalan di sekitar kawasan penginapan. Pada masa itu, ternampak, burung-burung liar di Sydney ini mencari makan. Ada yang paruh panjang dan ada yang paruh kecil tapi bising. Burung yang jenis kedua ini, rasanya burung camar, saya teringat, ada dipaparkan dalam cerita Finding Nemo, jika masih ingat, sekumpulan burung yang menyerang ayah Nemo dan kawan-kawannya itu. Memang serupa sahaja perangai burung ini seperti di dalam cerita wayang tersebut.

Burung-burung tersebut mancari makan dengan tinggalan sampah yang diletakan di tepi jalan. Habis juga sampah-sampah tersebut terburai akibat perbuatan burung-burung ini. 


Saya di depan sebuah cawangan 7-Eleven di George Street dengan secawan kopi berharga AUD1.


Akhirnya pada pukul 7:30 pagi, barulah saya menerima panggilan yang geng-geng wanita ini siap. Jadi pukul 7:45 pagi barulah kami bergerak ke Stesen Keretapi Central. Kali ini kami berjalan kaki terus ke situ, kerana apabila kami sampai di Perhentian Tram Century Square, masa menunggu tram seterusnya ada sepuluh minit. Baik kami berjalan kaki sahaja, lagipun udara pagi di Sydney ini menyegarkan. Pada hari ini, aktiviti kami ada ke kawasan Blue Mountains atau lebih tepat, ke Katoomba.

Selepas berjalan kira-kira lima minit, sampailah kami di ruang legar Stesen Keretapi Central ini. Jika diikutkan maklumat daripada Google Maps, keretapi untuk ke Katoomba untuk masa terdekat adalah di platform 8. Namun saya mendapatkan maklumat di kaunter khidmat pelanggan untuk mengesahkan maklumat tersebut, dan ia disahkan benar.

Kami pun melalui pintu hadangan dan terus ke platform 8 yang betul-betul berada di belakang kaunter khidmat pelanggan tadi. Di platform terbabit, kami nampak keretapi yang parkir di situ tetapi dipintunya terdapat papan kenyataan yang pintu ini tidak boleh digunakan. Rupanya bukan keretapi itu yang sebenarnya tetapi terdapat keretapi yang satu lagi di belakang keretapi tersebut. Jadi kami ke belakang lagi dan sampai juga di sana. 

Kebetulan pada masa sama, terdapat sekeluarga orang Melayu Malaysia (atau Singapura, jika berdasarkan loghat percakapan mereka) yang sama-sama menaiki keretapi tersebut. Saya menegur mereka dengan bertanya khabar, malangnya tiada jawapan dari mereka, seolah-olah saya ini tidak wujud di situ. Beginilah jika sebilangan orang kita berada di luar negara terutama di negara maju sikit dari Malaysia. Rasa kecewa pun ada. Akhirnya saya pun tidak meneruskan apa yang saya lakukan tadi, dan membiarkan mereka dengan dunia mereka.

Kali ini, kami mengambil keputusan untuk duduk di tingkat bawah pula kerana boleh banyak tempat duduk di tingkat atas telah dipenuhi. Saya pula kebetulan duduk di bahagian tingkat menghadap ke platform. Sempat juga saya bergurau "Huh, nampak "drumstick"!", bermakna nampak peha orang yang menunggu di platform. Memang rendah juga permandangan di bahagian bawah ini sebenarnya. Jadi ingatan saya, kepada yang pakai skrit pendek tu, kena duduk jauh sikit dari pinggir platform di Sydney ini.

Kira-kira 5 minit selepas kami masuk ke dalam keretapi ini mula bergerak meninggalkan platform 8 Stesen Central ini. Jadi bermulalah perjalanan lebih dari dua jam untuk ke Katoomba ini. Dalam jam pertama, kami dapat melihat permandangan pembangunan kawasan bandar dan pinggir bandar Sydney. Beberapa stesen berhenti dan kemudian berjalan. Kebetulan kami berkongsi koc dengan sekumpulan warga emas Korea Selatan. Itu pun berdasarkan pendengaran kami (saya dan Irda) yang mendengar mereka berkomunikasi menggunakan Bahasa Korea (maklumlah saya ni ada masa layan juga drama Korea). Jadi kami tegur juga beberapa orang, walaupun bahasa Inggeris mereka agak kurang fasih, kami masukan perkataan Korea yang kami tahu sikit.

Apabila melepasi stesen Emu Plain, bermulalah keretapi ini mendaki pergunungan Blue Mountains. Jadi suasana pun sudah mula lain. Keliling kami mula dipenuhi dengan pokok-pokok dan kawasan hutan, namun terdapat juga beberapa kawasan penempatan yang ada. Cuma malangnya, pada masa itu, tidak berapa nampak jika melihat jauh sedikit, kerana agak berkabus. Jadi saya sudah merasakan apa akan kami nampak di Katoomba nanti.

Di dalam kawasan pergunungan ini juga masih terdapat beberapa pekan kecil di sepanjang laluan keretapi ini. Sekali-sekala kami nampak juga lebuhraya yang ada ketika berjajar dengan laluan keretapi. Dalam perjalanan, baru saya tahu terdapat tandas di gerabak ini, kerana pada gerabak keretapi semalam (gerabak keretapi dalam bandar), tiada tandas. Jadi saya pun dan kemudian Jeluwi mengikut saya ke tandas. Alhamdulillah, lega juga setelah lama menahan untuk membuang air kecil.

Akhirnya setelah dua jam dan kira-kira lima belas minit, sampailah kami di Stesen Keretapi Katoomba, iaitu pekan utama di pergunungan Blue Mountain ini.


Ruang legar utama Stesen Central, Sydney, Australia.

Di platform 8 Stesen Central untuk menaiki keretapi ke Katoomba.


Peta: Perjalanan dari penginapan ke Katoomba.

Saya di Stesen Katoomba setelah sampai.


Dari Stesen Keretapi Katoomba, kami terus ke kawasan pekannya. Sempat singgah di beberapa kedai cenderahati untuk melihat harga cenderahati di situ. Kami kemudian berjalan-jalan di sekitar kawasan pekan Katoomba ini. Dalam perjalanan, bunga-bunga berkembang mekar, kerana pada masa ini merupakan musim bunga bagi Hemisfera Selatan. 

Kami juga dapat melihat perkhidmatan bas pelancong Blue Mountains Explore Bus, yang seumpama bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur. Memandang harga perkhidmatan bas ini agak mahal iaitu dari AU$44.00 (+- RM145.20) untuk bas sahaja ke AU$98.00 (+- RM323.40) yang termasuk beberapa tarikan di Katoomba ini, jadi kami tidak ambil. Selain itu terdapat juga perkhidmatan Blue Mountains Trolley yang lebih kurang sahaja dengan Explore Bus, yang lebih murah sikit, iaitu dari AU$15.00 (+- RM49.50) untuk bas sahaja hingga AU$64.00 (+- RM211.20) untuk pakej dengan beberapa tarikan Katoomba.

Lebih baik kami urus sendiri dengan pengangkutan awam iaitu bas Blue Mountains Bus Company (BMBC) yang ada, yang mana mereka juga menerima kad Opal. Huhuhu. Lagipun kami memang tidak akan masuk tarikan yang berbayar seperti Scenic World (ada beberapa perkhidmatan kereta kabel - tiket kira-kira AU$39.00 (+- RM128.70)) atau Waradah Aboriginal Centre (di sini rupanya ada persembahan tarian tradisional Aboriginal, tiket kira-kira AU$20.00 (+- RM66.00)).






Stesen keretapi Katoomba dari pekan Katoomba.

Bunga berkembang mekar di perhentian bas di hadapan Carrington Place.

Bas Hop On Hop Off Blue Mountains.


Kemudian kami berjalan menuju ke Pusat Kebudayaan Blue Mountains (Blue Mountains Cultural Centre).  Apabila kami sampai di Pusat Kebudayaan Blue Mountains, kami ingatkan di situ terletaknya tempat di mana terdapat persembahan tarian tradisional puak Aboriginal (kaum asli Australia), rupanya pusat ini lebih merupakan perpustakaan bagi pekan Katoomba.

Dahulunya Pusat Kebudayaan Blue Mountains ini merupakan sebuah sekolah di pekan Katoomba ini. Namun pihak kerajaan negeri kemudian memindahkan sekolah ke kawasan lain dan membangunkan pusat kebudayaan bagi menarik pelancong ke Katoomba ini, yang merupakan pintu masuk utama ke beberapa tempat pelancongan utama di pergunungan Blue Mountains ini. Saya sempat juga mengambil gambar panorama pekan Katoomba dari atas pusat kebudayaan ini. Memang tidak nampak sangat kerana kabus menyelubungi kawasan Blue Mountains ini.

Di bawah pusat kebudayaan ini, terdapat kompleks membeli-belah yang kecil yang juga terdapat sebuah pasaraya Coles. Ada dari kami yang tidak bersarapan pagi rupanya, jadi kami membelilah sedikit makanan yang boleh dimakan, untuk alas perut sementara menunggu untuk makan tengahari.

Kami seterusnya kembali semula berjalan ke jalan yang kami guna untuk ke pusat kebudyaan ini dan menunggu bas bernombor 686 di hadapan Hotel Carrington Place. Bas ini akan membawa ke beberapa kawasan tumpuan pelancong di Katoomba seperti Scenic World dan destinasi kami, Echo Point.

Pusat Kebudayaan Blue Mountains.

Permandangan kawasan Blue Mountains sekitar Katoomba dari atas Pusat Kebudayaan.
(Cuaca berkabus, jadi tidak nampak apa-apa).

Menunggu bas ke Echo Point di depan hotel Carrington Place.


Peta: Perjalanan dari pekan Katoomba ke Echo Point & Scenic World.


Kami menunggu bas tidak lama, kira-kira lima minit, sampailah bas tersebut di perhentian bas ini. Namun kami perlu menunggu penumpang yang agak ramai (kelihatan mereka juga seperti pelancong juga) turun daripada bas. Setelah itu baru kami menaikinya, dan seperti saya beritahu tadi, bas ini juga menerima malah perlu menggunakan kad Opal.

Jadi bas ini bergeraklah apabila semua penumpang sudah naik. Bas ini membawa mengelilingi pekan Katoomba dan terus ke kawasan pinggir pekan. Selepas lima minit, sampailah kami di Echo Point. Echo Point ini masuk adalah percuma. Itu yang kami suka.

Di Echo Point inilah sebenarnya daya tarikah utama di Katoomba malah Blue Mountains keseluruhannya. Ini kerana di sinilah terdapatnya batuan Three Sisters. Namun apabila kami sampai, yang nampak hanyalah kabus sahaja. Rasa sedih dan kecewa pun ada. 


Sampai di Echo Point.

Kabus menyelebungi Echo Point.

Lompatan di Echo Point.

Papan kenyataan menunjukan permandangan sebenar jika cuaca baik.

Papan kenyataan menunjukan permandangan sebenar jika cuaca baik dari sudut lain.

Papan kenyataan menunjukan permandangan sebenar jika cuaca baik dari sudut satu lagi.

Salah satu batu peringatan di Echo Point.

FB Live: https://www.facebook.com/KembaraGD/videos/1221474251258827/.


Walaupun kami agak sedih dan kecewa tidak dapat melihat apa yang kami hendak lihat di Echo Point ini, namun kami dapat mengubat hati kami dengan mengambil video dan membuat siaran lansung Facebook sebagaimana jaringan yang saya kongsikan di sini. Apabila melihat balik, rasa kelakar pun ada. Sampai terkeluar perkataan berkaitan dengan Katoomba seperti daun ketumbar, ketumbit, ketombe (kelemumur dalam Bahasa Indonesia) dan frasa "Jangan Mengadu Domba di Katoomba". Hahaha.


FB Live: https://www.facebook.com/hadiasad/videos/10210759656811322/.


Video: Di Echo Point, Katoomba (Blue Mountains), New South Wales, Australia.


Setelah itu, kami singgah di pusat pelancong yang ada di sini. Terdapat banyak cenderahati dijual, jadi dari tidak nampak batuan Three Sisters dan permandangan indah pergunungan Blue Mountains, kami belilah cenderahati yang unit sebagai pengubat hati.

Sebenarnya Waradah Aboriginal Centre, berada berdekatan dengan Echo Point. Tapi memandangkan untuk memasukinya berbayar, walaupun cuma AU$20.00 (+- RM66.00) sahaja, namun ini hari kedua kami, takut nanti bajet perbelanjaan kami habis selepas ini (tidak sebenarnya, malah terdapat banyak baki, Sydney bukanlah bandaraya yang berkos tinggi sebagai mana diwar-warkan).

Seterusnya kami ternampak ada denai di sebelah pusat pelancong. Tadi tidak nampak kerana kabus yang agak tebal. Setelah berbincang, kami pun berjalan melalui denai ini, manalah tahu dapat pengalaman yang menarik nanti.

Rupanya, denai ini menuju ke batuan Three Sisters sebenarnya. Nasib baik ikut kata hati untuk ke sini. Cuma perlu menuruni tangga-tangga besi yang curam. Seriau juga kerana ketika itu tangga itu basah. Jadi kami (kecuali abang Zul yang kami nasihatkan agar tidak turun, takut mengganggu kesihatan nanti) pun menuruni tangga tersebut.  Hendak turun pun terseksa juga. Kiranya kalau menggunakan tangga-tangga ini, ia akan menjadi laluan sehala, bagi keselamatan. 

Akhirnya sampai juga kami di batuan Three Sister ini. Cuma dapat pergi sebuah sahaja, kerana bila tengok sambungan laluan, takut ada antara kami tidak mampu sahaja. Tidak dapat tangkap gambar ketiga-tiga batuan, dapat satu pun jadilah. Malah yang lebih bagus, dapat pegang lagi.

Setelah berada kira-kira hampir 20 minit, kami pun naik semula ke atas. Sampai di tempat abang Zul menunggu, rasa macam hendak minta nyawa sahaja. Kami berehat sebentar untuk mengambil nafas, dan seterusnya terus kembali ke perhentian bas Echo Point.

Kali ini, kami menunggu agak lama, kira-kira 20 minit tidak sampai juga bas 686. Bas-bas lain termasuk bas persiaran bersilih ganti. Akhirnya sampai juga bas ini. Apabila sudah sentuh kad Opal, baru tahu yang bas ini bukan menghala ke pekan Katoomba tetapi menghala ke Scenic World terlebih dahulu. Namun kami terus duduk kerana saya menyatakan, bas ini akan kembali semula ke Echo Point juga, dan seterusnya akan ke pekan Katoomba juga. Semasa lalu di Scenic World, seperti menarik juga tempat ini. Insya Allah akan ke sini pada masa lain.

Bas ini berpatah balik dan akhirnya kami sampai juga ke pekan Katoomba di perhentian di hadapan hotel Carrington Place.



"Three Sisters" jadian, hahaha.

Pintu masuk menuju ke denai ke batuan Three Sisters.

Denai ke batuan Three Sisters.

Antara corak batu yang menarik sepanjang denai Three Sisters.

Salah satu batuan Three Sisters.

Perlu menuruni tangga besi yang curam dan licin.

Husnul bergambar di batuan Three Sisters.

Keadaan jurang di batuan Three Sisters.

Permandangan denai dari gua Three Sisters.


Dari hadapan hotel Carrington Place, kami mengambil keputusan untuk ke Pusat Kebudayaan Blue Mountains untuk solat, kerana di situ terdapat banyak ruang kosong bagi memboleh kami bersolat. Setelah selesai, kami pun kembali ke kawasan utama pekan Katoomba.

Oleh kerana pada ketika itu jam menunjukan pukul 1:45 tengahari, maka kami mengambil keputusan untuk makan tengahari sahaja di Katoomba. Makanan yang betul-betul halal agak sukar sikit kami temui. Jadi saya mengatakan agar kami makan sahaja makanan berasaskan makanan laut. Jadi kami ke restoran Greco's yang berdekatan dengan perhentian bas depan hotel Carrington Place.

Di restoran ini, terdapat banyak pilihan makanan. Ada makanan laut, tetapi ada juga makanan berasaskan haiwan darat (masa ini kami tidak tahu yang daging lembu dan ayam di Australia kebanyakannya adalah halal). Malah ada makanan terdapat bacon (sudah pasti kalau bacon ini adalah dari babi). Jadi saya kata tidak mengapa kalau ambil makanan laut kerana kalau ikut cara memasak, bacan tidak digoreng banyak minyak tetapi digoreng tohor (kuali kering). Jadi kami makanlah makan lain di mana saya mengambil set Fish and Chips yang berharga AU$9.50 (+- RM31.35) sahaja.

Apabila dapat, huh, agak besar juga bahagiannya, dengan kentang gorengnya agak besar dan banyak. Ikannya pun agar segar juga, tidak hanyir. Kaum wanita berkongsi satu set Seafood Family Pack dimakan bersama-sama. 


Restoran Greco's di pekan Katoomba.

Antara menu yang ada di restoran Greco's.

Lagi menu yang ada di restoran Greco's.

Fish & Chips di restoran Greco's.

Seafood Family Pack di restoran Greco's.

Resit Greco's di Katoomba.


Selepas makan tengahari selesai, perut pun penuh dan hati gembira, kami membungkus makanan yang tidak habis untuk menjadi bekal. Kami pun kembali ke Stesen Keretapi Katoomba untuk kembali semula ke Sydney. Perjalanan lebih dua jam diharungi semula, cuma pada perjalanan pulang ini, lebih senyap, kerana masing-masing banyak tertidur semasa perjalanan pulang ke Stesen Central ini.



Kembali ke Stesen Keretapi Central, Sydney.


Peta: Perjalanan dari Katoomba ke Circular Quay.


Sampai di Stesen Keretapi Central, cuaca di situ agak cerah dan terang sekali. Berlawanan dengan keadaan pada paginya, atau semalam atau cuaca di Katoomba. Memang berbeza sekali. Jadi kami menukar perancangan asal, di mana, daripada kami ingin pulang ke penginapan, melayan duka lara, kepada mengambil kesempatan atas cuaca yang elok ini untuk ke Panggung Opera Sydney (Sydney Opera House).

Jadi kami segera melihat paparan maklumat untuk mencari keretapi yang tercepat untuk ke sana, terus ke plartform terbabit dan terus ke Circular Quay. Sampai di Circular Quay, ya Allah, masya Allah, cantiknya cuaca. Orang pun seperti berduyun-duyun menghala ke Panggung Opera Sydney. Apabila hendak sampai, memang kami ambil kesempatan untuk bergambar. Memang banyak rasanya gambar diambil sepanjang berada di situ.

Rupanya, terdapat satu majlis seperti malam gala yang diadakan di Panggung Opera Sydney. Ramai yang berpakaian makan malam, bergemerlapan, bak kata orang sekarang, bling-bling gitu. Kami pun berjalan terus menuju terus ke hujung tanjung di Panggung Opera Sydney ini. Burung camar berterbangan, malah ada ketika hanya beberapa sentimeter sahaja dari atas kepala orang-orang yang ada. Kebetulan ada kentang goreng baki makan di Katoomba tadi, saya balik ke udara, dan menariknya, burung camar tadi menyambarnya dengan baik. Saya buat dua kali sahaja, kerana takut kalau balik banyak kali, selepas tidak dibaling lagi, diserang saya macam dibuat dalam cerita Finding Nemo itu.


Permandangan di kawasan Circular Quay.

Saya berlatar belakangkan Sydney Opera House di kawasan Circular Quay.

Burung Camar di Circular Quay.


Apabila sampai di hujung tanjung, saya terlihat terdapat satu tempat yang mempunyai ramai orang yang seperti berkerumun di situ. Saya pun ke sana, huh, rupanya terdapat seekor singa laut sedang berehat di sebuah pelantar di situ. Singa laut ini bukan dibela tetapi yang liar juga. Ini adalah pengalaman pertama kali saya melihat singa laut liar. Sebelum ini cuma melihat singa laut yang duduk di dalam kurungan sahaja.


Seekor singa laut sedang berehat di Sydney Opera House.


Video: Seekor singa laut sedang berehat di Sydney Opera House.


Memang cantik permandangan di sini. Dengan cahaya yang mencukupi, setiap gambar yang diambil memang hampir sempurna sahaja. Jambatan Pelabuhan (Sydney Harbour Bridge) juga amat sempurna gambarnya diambil. Kami berada di situ hampir dua jam juga. Setelah itu, kami pulang ke penginapan dengan hati yang gembira.



Gambar saya menghadap ke Harbour Bridge dari Opera House.

Antara imej Opera House yang diambil saya.

Lagi imej Opera House yang diambil saya.


a
Peta: Perjalanan dari Circular Quay ke penginapan.


Sampai di bawah bangunan penginapan, kami membeli bekalan makanan untuk makan malam. Saya, Irda, Linda dan Jeluwi membeli makanan di Restaurant Oz Kebab, manakala, abang Zul dan Husnul membeli makanan di kedai Just Fry. Saya mengambil hidangan kebab camour (daging lembu & ayam) bersama nasi yang berharga AU$15.00 (+- RM49.50). Bila mendapat hidangan tersebut, rasa banyak pula. Tapi saya rasa ia boleh jadi sarapan pagi juga untuk esok hari.


Makan malam saya, kebab campur (daging lembu dan ayam) 
dengan nasi (AUD15.00 = +- RM49.50)


Selepas selesai membeli, kami semua naik ke atas dan makan di bilik pantri/dapur penginapan kami di tingkat satu. Saya tidak dapat menghabiskan makanan kami. Dalam masa itu, kami berbincang untuk rancangan aktiviti kami keesokan harinya. Jadi kami bersetuju untuk mula keluar dari penginapan pada pukul 8:00 pagi.

Saya membawa baki makanan saya ke bilik agar dapat dimakan pada sebelah pagi esoknya. Setelah itu, saya membersihkan diri dan kemudian saya dan rakan sebilik berborak sehingga hampir pukul 10:00 malam, kami pun tidur.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney.