Jumaat, 26 Ogos 2016

Hari 5 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Meneroka Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Bersambung dari Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or 
  • Day 6. 

Saya dengan papan tanda Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Hari 5 (04 Julai 2016 - Isnin).


Pagi ini kami bangun pukul 4:00 pagi untuk bersahur kerana waktu Subuh di Puerto Princesa adalah pada pukul 4:30 pagi. Setelah itu kami tidur sebentar sebelum bangun kembali pada pukul 6:30 pagi untuk membuat persiapan. Akmal perlu pulang ke Manila dan saya perlu mendaftar keluar sebelum menaiki pengangkutan yang disediakan untuk program lawatan hari ini, iaitu ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa. 

Akmal keluar meninggalkan penginapan pada pukul 6:50 pagi dengan berjalan kaki ke lapangan terbang. Saya perlu menunggu pengangkutan yang disediakan, yang dijanjikan akan tiba pada pukul 7:00 pagi. Jadi saya pun membawa keluar barang-barang saya dan mendaftar keluar. Saya akan menginap di penginapan lain pada malam tersebut. Saya meminta untuk meletakkan beg saya di stor khas supaya saya dapat mengambilnya selepas habis lawatan nanti. Sambil mendaftar keluar, saya membayar air yang telah kami ambil sebanyak kira-kira 16 liter dengan bayaran ₱40 (+- RM3.60).

Pengangkutan dijanjikan iaitu sebuah van, tiba pada pukul 7:35 pagi. Saya pun menaiki van tersebut dan saya merupakan penumpang pertama. Terdapat seorang pemandu pelancong disamping pemandu van di dalam van ini. Maaf saya terlupa nama pemandu pelancong tersebut (seorang wanita) dan pemandu van tersebut (kerana saya mengambil masa lama untuk catatan pengembaraan ini ditulis). Van ini kemudian mengambil penumpang-penumpang di beberapa tempat di sekitar bandar Puerto Princesa ini. 

Van ini akhirnya terdapat 9 orang penumpang dari pelbagai negara, berhenti di Stadium City Coliseum, untuk mendapatkan permit bagi ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa. Bayaran pakej lawatan yang dikenakan adalah komprehensif meliputi permit masuk, pengangkutan dari penginapan dan balik ke penginapan, penggunaan bot (ada dua kali), penggunaan alat pandang dengar dan makan tengahari. Saya dapat diskaun ₱200 (+- RM18.00) kerana meminta untuk ditolak makan.


Banyak juga van yang menunggu di depan stadium ini. Di samping itu terdapat juga pengunjung-pengunjung yang tidak menggunakan pakej mencari pengangkutan untuk ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa ini. Sememangnya tiada pengangkutan awam terus untuk ke pantai Sabang dari bandar Puerto Princesa. Jika ada pun mereka perlu menaiki jipney panjang yang menjadi seperti bas henti-henti dan ambil masa tetapi murah. Jadi mereka perlu mendapat ihsan dan kekosongan van-van yang ada. Bagi saya, lebih baik untuk mencari pakej lawatan untuk ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa ini, kerana ia lengkap dan memudahkan walaupun ia mahal. Tapi apabila dicampurkan, harganya lebih kurang. Saya ada bertanya, jika tidak ambil pakej, pengangkutan sahaja dalam ₱800 (+- RM72.00), paling murah!

Harga permit masuk ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa adalah bagi warga Filipina, ₱100 (+- RM9.00) untuk dewasa, warga emas dan orang kurang upaya, 75 (+- RM6.75) untuk kanak-kanak. Bagi pengunjung luar negara pula, ₱150 (+- RM13.50) untuk dewasa dan ₱100 (+- RM9.00) untuk kanak-kanak. Itu baru permit masuk.

Untuk masuk ke dalam gua sungai bawah tanah pula ada caj permit lain iaitu ₱175 (+- RM15.75) untuk dewasa, ₱100 (+- RM9.00) untuk berumur 15 ke 21 tahun dan 75 (+- RM6.75) untuk kanak-kanak bawah 15 tahun. Bagi pengunjung luar negara pula, ₱250 (+- RM22.50) untuk dewasa dan ₱150 (+- RM13.50) untuk kanak-kanak.

Jadi jika dicampur kedua-dua caj permit saya menjadi ₱400 (+- RM36.00)! Kira agak mahal juga, namun ia termasuk caj penggunaan bot, di mana ada dua jenis bot yang akan digunakan, di mana akan diceritakan nanti. Pada masa ini (dan juga semasa setiap masa di dalam van), saya dan kebanyakan penumpang van akan beramah mesra dengan setiap dari kami. Ada yang merupakan warga Filipina sendiri yang pertama kali ke Palawan, ada dari Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Setelah sejam di sini, akhirnya pada pukul 10:00 pagi, kami meninggalkan Stadium City Coliseum ini untuk ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa. Kami ditambah lagi dua orang pelancong dari Hong Kong.



Stadium City Coliseum Puerto Princesa.

Kaunter permit masuk ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa
di dalam Stadium City Coliseum.

Bunting cara-cara permohonan permit masuk ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Antara maklumat yang ada di kaunter permohonan permit.

Van yang menjadi pengangkutan ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Perjalanan ke pantai Sabang, yang menjadi jeti bagi bot-bot ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa, mengambil masa kira-kira sejam setengah. Ia ditambah lagi masa dalam 45 minit, kerana van ini mengambil dua lagi penumpang (pasangan warga Amerika Syarikat dan Filipina) di simpang jalan utama Pulau Palawan ke El Nido dan ke Sabang, serta berhenti untuk sarapan di sebuah kawasan rehat dan rawat tidak jauh dari simpang tersebut. Menjadikan perjalanan menjadi hampir 2 setengah jam.

Dalam perjalanan, permandangan agak cantik dengan melalui simpang ke kawasan Honda Bay dan permandangan pantai di pulau Palawan ini dari bukit. Perjalanan kami sebenarnya kebanyakan banyak melalui kawasan berbukit juga. Kebanyakan perjalanan kami melalui jalan bengkang-bengkok. Terdapat juga beberapa penempatan orang asli Palawan di sepanjang perjalanan.

Semasa dalam perjalanan ini, banyak juga pemandu pelancong ini memberikan maklumat. Paling utama, adalah nama pulau Palawan diambil dari perkataan Bahasa Melayu, "Pahlawan", kerana dikatakan ramai pahlawan pada zaman dahulu di kawasan sekitar Filipina, Borneo dan Sulawesi, menuntut ilmu bela diri di sini. Juga, di pulau ini juga menjadi tempat persembunyian mereka dari buruan penjajah. Juga dimaklumkan bahawa, Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa telah ditutup selama tiga hari sebelum itu, jadi hari ini adalah hari pertama ia dibuka kembali. Jadi orang agak ramai berkunjung ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa pada hari ini.

 
Peta: Perjalanan dari Ezy Stay Pension ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Setelah sampai di pantai Sabang pada pukul 12:00 tengahari, kami terus di bawa ke restoran untuk makan tengahari. Makan tengahari di sini dijalankan secara bufet, tetapi tidak semua makanan halal. Namun ada satu makanan yang unik dan eksotik di pantai Sabang ini, iaitu tamilok, sejenis ulat kayu bakau. Dijenamakan sebagai tiram panjang (longest oyster), ia dimakan secara terus dengan perahan limau dan potongan cili atau dibuat jeruk seperti cencalok. Nasib baik saya berpuasa, jika tidak pasti akan saya mencubanya.

Oleh kerana saya berpuasa jadi saya berjalan-jalan di sekitar pantai ini. Pantainya agak cantik, dengan nyior (pokok kelapa) melambai dan air laut yang jernih bersih. Rasa tenang sahaja di sini. Jadi saya mengambil wuduk dari air laut dan bersolat di bawah lindungan pokok kelapa (kena lihat dahulu, jika ada buah kelapa tuan atau tidak).

Oleh kerana masa makan adalah sejam, maka saya berjalan-jalan ke hampir ke seluruh kawasan pantai Sabang ini. Terdapat sebuah resort lima bintang iaitu Sheraton Beach dan Spa Resort di sini. Banyak juga gerai-gerai menjual cenderahati di pantai ini. Ketika itu juga, terdapat sebuah jipney panjang yang sedang berhenti. Perkhidmatan jipney ini tidak ke bandar Puerto Princesa tetapi ke Taytay dan El Nido. Perkhidmatannya akan sampai di pantai Sabang sebanyak 3 kali seminggu.


Pantai Sabang, Puerto Princesa.

Keadaan pantai di Pantai Sabang.

Keadaan pantai di Pantai Sabang.

Keadaan pantai di Pantai Sabang.

Keadaan pantai di Pantai Sabang.

Keadaan pantai di Pantai Sabang (panorama).


Sebuah Jipney di Pantai Sabang.


Kira-kira pukul 12:50 tengahari, kami semua dibawa ke jeti bagi menaiki bot untuk ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa. Namun begitu, kami perlu menunggu giliran bagi menaiki bot. Jadi sementara menunggu, saya sempat bersiar-siar sekitar kawasan jeti. Di kawasan itu, terdapat pondok khas untuk orang asli memperlihatkan hasil-hasil kraftangan dan mendemonstrasi cara hidup mereka.

Jeti ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa di Pantai Sabang.

Pejabat pentadbiran pentadbir jeti.

Pondok orang asli.

Saya dan papan tanda Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa di Pantai Sabang.

Dalam masa setengah jam menunggu, barulah giliran kami menaiki bot. Hari ini memang ramai yang ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa. Itu sebab giliran agak panjang. setiap bot dinaiki kira-kira tujuh orang tidak termasuk dua orang pemandu bot dan awak-awaknya. Bot sini memang akan ada seperti "sayap"nya yang diperbuat daripada buluh, bertujuan agar menstabilkan bot dari terhuyung-hayang dan terbalik. Jadi sebaiknya, pakai selipar sahaja dan juga seluar berkaki pendek atau boleh bergulung bagi lawatan ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa ini.

Bot yang membawa kami ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa dari pantai Sabang.

Antara peringatan kepada pengunjung.

Antara peringatan yang menarik.

Saya dan rakan-rakan satu van dan bot ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa

Pemandu bot kami.

Bot kami meluncur ke arah pantai Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa dengan agak laju. Semasa ia berlayar, saya dapat melihat keindahan pantai dan alam sekitar kawasan ini. Memang kawasan ini amat indah sekali dan masih belum tercemar dengan penerokaan dan pencemaran. Keadaan batuan-batuan yang agak unik juga.

Suasana dalam perjalanan bot dari Sabang ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Suasana dalam perjalanan bot dari Sabang ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.


Suasana dalam perjalanan bot dari Sabang ke Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Selepas lima belas minit berlayar, sampailah kami di pantai Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa ini. Apabila mencecah kaki di air di pantai ini, airnya terasa sejuk walaupun waktu itu adalah waktu tengahari yang terik. Ini kerana, di situlah air sungai bawah tanah bertemu dengan air laut, di mana air sungai bawah tanah adalah lebih sejuk.

Keadaan pantai di sini seumpama duduk di pantai yang terasing, memang benar pun, tiada kaedah pengangkutan untuk ke sini melainkan dengan menggunakan bot sahaja. Atau berjalan menerusi hutan yang amat tebal. Perairannya dipenuhi bot-bot yang menunggu pengunjung-pengunjung yang menaikinya. Bot yang ditugaskan membawa pengunjung-pengunjung akan menunggu sehingga selesai, dan bot yang sama akan membawa pengunjung-pengunjung kembali ke pantai Sabang.

Di sini terdapat papan tanda Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa, jadi saya meminta salah seorang rakan sebot untuk mengambilnya, sebagai kenangan.

Keadaan pantai di Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Keadaan pantai di Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Keadaan pantai di Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Papan tanda Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Saya dengan papan tanda Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Di sini kami dibawa ke tempat ruang legar untuk menunggu. Terdapat pondok yang menempatkan beberapa baris bangku untuk menunggu. Nasib baik hari ini tiada hujan, jika tidak, tidak boleh bayang mungkin basah kuyup di sini. Selain itu, terdapat juga kemudahan tandas. Pelbagai papan tanda perisytiharan termasuk perisytiharan sebagai salah satu Tapak Warisan UNESCO dan  New 7Wonders of Nature.

Selain itu, terdapat makluman terdapat biawak, burung merak dan monyet, yang menjadi antara daya tarikan tambahan. Cuma bagi saya, semua itu biasa sahaja di Malaysia, malah boleh melihat lebih besar. Rakan sebot/sevan saya dari Metro Manila berkata, ini pertama kali dalam hidupnya melihat biawak yang besar begitu, jadi saya memancing, jika hendak tengok biawak jenis sama lebih besar, datang ke kampung saya, hahaha.

Kami menunggu giliran di sini, kerana ruang menunggu di jeti bot kecil untuk memasuki gua agak ramai. Lama juga kira-kira dekat sejam lebih juga. Sempat juga saya terlelap di sini. Pemandu pelancong mengejutkan saya apabila tiba giliran untuk ke sana. Kami perlu mengambil alat pandang dengar yang mempunyai pelbagai pilihan bahasa yang menceritakan maklumat di dalam gua nanti. Saya memilih Bahasa Inggeris, pastinya. Jadi kami mengikut sahaja jala denai yang dibina dari kayu-kayu ke jeti bot kecil.

Papan tanda perisytiharan Sungai Bawah Tanah Puerto Pricesa
sebagai Taman Negara Filipina.

Papan tanda perisytiharan Sungai Bawah Tanah Puerto Pricesa
sebagai Tapak Warisan UNESCO.

Papan tanda perisytiharan Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa
sebagai salah satu New 7Wonders of Nature.

Papan tanda makluman adanya biawak.

Kawasan menunggu di Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Antara papan peringatan.

Kaunter alat pandang dengar.

Antara papan tanda makluman.

Papan tanda makluman adanya monyet.

Denai menuju ke jeti bot yang akan memasuki Gua Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Sampai di kawasan jeti bot kecil, ramai juga orang di sini. Jadi kami menunggu lagi. Cantik juga permandangan di sini, jadi saya ambil gambar di beberapa tempat yang saya rasa agak menarik. Antaranya permandangan pintu gua, dan kuala sungai di mana air sungai bertemu dengan air laut. Sebelum giliran menaiki bot kecil yang didayung (kerana demi menjaga keadaan semula jadi di dalam gua, selain mengelakan bunyi bising), kami perlu memakai topi keselamatan, demi menjaga kepala kami dari terlanggar batu dan benda keras lain.

Gua Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Keadaan pantai di Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Keadaan pantai di Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Lagi permandangan Gua Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Antara permandangan Gua Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Antara bot-bot yang akan memasuki Gua Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Setelah menunggu kira-kira 45 minit, maka sampailah digiliran kami. Sebelum bot kami mula didayungi, pemandu pelancong kami sempat bergurau, "See you next morning," , jumpa lagi pagi esok. Ini bukan kerana masa dayungan adalah sampai esok pagi, tetapi keadaan gelap di dalam gua, seperti bermakna kami bermalam di dalam gua, dan apabila keluar semua dari gua, ia dianggap pagi baru.

Saya duduk di hadapan pendayung dan sejurus sebelum mula mendayung, kami diminta untuk meaktifkan alat pandang dengar kami. Pendayung itu juga kini bertindak sebagai pemandu pelancong juga. Jadi kiranya, ada dua penerangan kami boleh dengar, satu dari alat pandang dengar dan satu lagi dari pendayung itu sendiri. Pendayung itu bila mengetahui saya dari Malaysia juga terkejut dan sempat bergurau mengatakan saya orang Malaysia pertama ke sini. Hahaha... Sebenarnya ada orang Malaysia ke sini, cuma tidak ramailah.

Jadi kami mula memasuki gua yang menjadi antara 7 Keajaiban Baru Dunia bagi Alam Sekitar. Bermakna ini adalah New 7Wonders keenam saya dan New 7Wonders of Nature pertama bagi saya.

Di pintu gua, memang kuat bau najis kelawar. Malah apabila sudah masuk sepenuhnya, keadaan amat gelap. Jadi apabila pendayung membuka lampu suluh di kepalanya, barulah kami melihat serba sedikit keadaan di dalamnya. Ada masa, kami berselisih dengan bot yang lain.

Di dalam gua ini, terdapat beberapa segmen (maaf saya terlupa) atau bahagian gua ini, mengikut struktur bentuknya. Antaranya seperti Cathederal (gereja), Dome (kubah) dan sebagainya. Malah terdapat struktur batu-batu yang terbentuk dari staglamit dan staklatit yang unik, malah ada yang mempunyai tema. Contohnya di satu bahagian, terdapat batuan berbentuk dinasour Tyranosaurus Rex atau lebih popular T-Rex dan bersebelahan dengan batuan berbentuk buaya.

Di satu tempat lain, terdapat batuan berbentuk makanan atau tumbuhan asas makanan, seperti jagung, cili dan sebagainya. Ada juga di satu tempat, terdapat batuan berbentuk wajah Nabi Isa (rupa yang dipercayai oleh penganut agama Kristian) dan juga wanita separuh bogel. 

Pelbagai haiwan yang dapat didapati di dalam gua ini. Kelawar sudah pastilah. Selain itu, terdapat juga kala jengking, ikan, ketam pun ada termasuk haiwan reptilia. Tetapi jangan risau, keselamatan akan terjaga jika mengikut arahan diberikan, insya Allah.

Di satu dinding, yang mana agak jauh juga, terdapat satu contengan oleh bekas tentera Amerika Syarikat yang bersembunyi semasa Perang Dunia Kedua. Kagum saya kerana kedudukannya agak jauh juga dari pintu gua.

Jika ikutkan, panjang gua ini adalah sejauh lebih kurang 8 kilometer, namun untuk tujuan pelancong, hanya dibenarkan kurang daripada 1 kilometer sahaja. Tempoh masa lawatan ini biasanya dalam sejam. Jadi dalam tempoh itu juga kami berada di dalam gua ini. Jadi apabila kembali ke pintu juga, kami mendapat kembali nikmat cahaya itu.

Video YouTube: Pengalaman di Sungai Bawah Tanah Puerto Pricesa, Palawan, Filipina.

Di dalam Gua Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Di dalam Gua Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Batu berbentuk T-Rex.

Batu berbentuk buaya.

Antara kelawar-kelawar yang sedang bergantungan.

Contengan oleh bekas tentera Amerika Syarikat 
yang bersembunyi semasa Perang Dunia Kedua.

Batu berbentuk jagung.

Batu berbentuk wanita separuh bogel.

Kembali ke dunia terang.

Keluar dari mulut gua.

Gambar kenang-kenangan bersama geng-geng sebot.

Keadaan pantai di muara Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa.

Sampai sahaja di jeti bot kecil, orang yang menunggu sudah kurang. Lagipun pada masa itu masa menunjukan sekitar pukul 4:00 petang. Jadi kami terus ke pantai dan kemudian menaiki bot berenjin yang sama membawa kami datang, untuk kembali ke pantai Sabang. Semasa bot ini sampai ke jeti pantai Sabang, saya perhatikan, air laut amat jernih sampai batu karang di lantai laut jelas kelihatan. Haiwan yang hidup sekitar batu karang seperti tapak sulaiman, buran, udang, ikan termasuk Clown fish atau lebih kita kenali sebagai Nemo juga kelihatan.

Naik sahaja ke daratan semula, saya terus ke kedai-kedai menjual cenderahati untuk membeli cenderahati untuk keluarga tersayang di rumah. Saya membeli 4 helai kemeja T dan 3 buah magnet peti ais dengan harga ₱550 (+- RM50.00) sahaja. Selepas itu, kami semua menaiki van untuk kembali ke bandar Puerto Prnicesa.

Air laut yang jernih sehingga terlihat batu karang di Pantai Sabang.

Batu karang di Pantai Sabang.

Dasar laut jelas kelihatan.

Kami sampai di bandar Puerto Princesa lebih kurang pukul 6:00 petang. Kami dihantar ke penginapan masing-masing. Ketika ini suasana di bandar ini agak aktif juga. Sempat juga kami melalui pusat bandar dan juga kawasan Baywalk Park.

Kembali ke bandar Puerto Princesa dengan tricycle (beca motorsikal)nya.

Baywalk Park, Puerto Princesa.

Akhirnya, saya merupakan penumpang terakhir dan diturunkan di penginapan saya pada malam sebelumnya iaitu Ezy Stay Pension. Saya mengambil beg dan segera ke penginapan saya untuk malam ini iaitu di Tourissimo Garden Hotel yang hanya beberapa meter dari pintu lapangan terbang. Saya berjalan kaki dari Ezy Stay Pension ke Tourissimo Garden Hotel. Dalam perjalanan, waktu Maghrib dan berbuka bagi Puerto Princesa telah masuk dan saya berbukan  dengan mengigit sedikit buah epal dan sedikit minuman. Hebat juga hari ini, saya berjaya berpuasa penuh, alhamdulillah.

Sampai di Tourissimo Garden Hotel, saya terkejut kerana hotel ini telah ditutup beberapa hari lepas (bermula 01 Julai 2016). Saya tidak dimaklumkan untuk ini. Petugas yang ada pun agak terkejut dengan tempahan ini. Saya agak kecewa dengan pengurusan hotel tidak memaklumkan kepada saya. Oleh itu mereka menawarkan bilik di situ untuk malam itu. Tetapi bagi saya buat apa duduk di hotel yang kosong dan ditambah tiada bekalan elektrik. Jadi saya meminta agar pihak pengurusan hotel untuk memaklumkan kepada pihak Hotels.com atas perkara ini agar saya boleh mendapat wang kembali.

Oleh kerana keadaan kelajuan data internet saya agak perlahan maka saya meminta kata laluan WiFi daripada pihak hotel ini untuk saya tempah hotel lain yang berdekatan, namun oleh kerana bekalan elektrik sudah tiada, maka tiada juga perkhidmatan WiFI. Nasib baik dengan kelajuan data yang ada, saya dapat maklumat terdapat hotel berhampiran iaitu Palawan Village Hotel, menawarkan harga bilik yang hampir sama, maka saya terus ke hotel berkenaan.

Penginapan asal: Tourismo Garden Hotel - tutup.


  
Peta: Perjalanan dari Ezy Stay Pension ke Palawan Village Hotel.


Sampai di Palawan Village Hotel, saya terus bertanyakan kata laluan WiFi hotel ini bagi mendapat kelajuan internet lebih baik. Dengan ini saya boleh menempah bilik hotel melalui aplikasi Hotels.com, kerana kadarnya lebih murah banyak berbanding harga yang ditawarkan oleh hotel. Nasib baik petugas hotel ini betul-betul baik hati. Akhirnya bilik dapat ditempah dan saya dapat tinggal di kemudahan yang lebih selesa.


Kadar pakej pelancongan di Palawan Village Hotel.

Kadar walk in Palawan Village Hotel.

Oleh kerana seharian berpeluh maka saya dapat membersihkan badan saya di bilik hotel ini. Sebenarnya bilik di Palawan Village Hotel adalah lebih baik dari di Ezy Stay Pension. Malah harga saya dapat kurang separuh dari harga kadar di kaunter. Setelah selesai membersihkan diri, saya pun ke dewan makan untuk menyambung makan berbuka puasa yang tertangguh. Dapat habiskan bekalan maggi saya, jadi beg saya mempunyai ruang yang lebih sikit. 

Di sini tiada caj untuk mendapat air sama ada air sejuk atau air panas. Jadi tidak keputusan air bagi saya. Untuk malam ini, saya berehat sambil melayan televisyen di dalam bilik.

Bersambung ke Hari 6.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or 
  • Day 6. 

Jumaat, 19 Ogos 2016

Hari 4 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Terbang Ke Palawan.

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Pintu gerbang Perkampungan Islam Manila.

Hari 4 (03 Julai 2016 - Ahad).


Baru sahaja hendak terlelap, namun lampu masjid terpasang semula pada pukul 3:30 pagi untuk persediaan solat Subuh. Tapi saya rasa seperti bersemangat pula untuk beribadah. Jadi sebaik sahaja saya bersahur dengan buah dan air, saya segera ke tandas untuk membersihkan diri. Walaupun tekanan air di dalam tandas agak kecil, saya membasahkan badan dengan tuala kecil dan setelah selesai, terus mengambil wuduk di tempat ambil wuduk. Seterusnya membuat beberapa solat sunat sementara menunggu solat Subuh.

Habis sahaja solat Subuh berjemaah pada pukul 5:00 pagi, saya pun mengambil peluang ini untuk melangsaikan tidur saya, kerana terasa mengantuk pada ketika ini. Begitu juga dengan Akmal. Namun saya bagun semula pada pukul 7:00 pagi dan tidak boleh tidur semula. Jadi saya pun berjalan-jalan keluar untuk "membunuh" masa. Jadi saya ke kawasan Intramuros yang pernah saya datang dua tahun sebelum itu. Keadaan lebih kurang sama sahaja.

Selepas sejam 15 minit, saya pun kembali semula ke masjid. Betul-betul hari ini dan semalam, umpama waktu berjalan agak lambat. Ada hikmahnya itu. Ketika sampai, Akmal pun dah bangun. Saya berehat dahulu dalam setengah jam dan kemudian mengemas beg saya. Saya sempat melihat sekeliling masjid.

Pada pukul 9:15 pagi, Akmal berbincang dengan saya, dan berkata bahawa kita dah boleh bergerak sekarang. Saya bertanya tiada masalahkah kerana penerbangannya lebih lambat. Lagipun di Terminal 4 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila (MNL) perlu tunggu di luar (lebih tepat berpanas) terminal sebelum waktu daftar masuk. Dia kata tidak kisah. Maka pada pukul 9:30 pagi kami pun keluar menuju ke stesen LRT-1 Carriedo untuk ke stesen LRT-1 Baclaran (9 stesen).



Saya sedang berjalan menuju ke stesen LRT Carriedo.


Pintu gerbang Perkampungan Islam Manila.


Kami meninggalkan perkampungan Islam Manila dan dalam perjalanan, dapat melihat kegiatan harian orang tempatan yang lebih sibuk. Sampai sahaja ke stesen LRT dan membeli tiket, terus ke platform. Sementara menunggu tren sampai, sempat juga saya memerhati kawasan sekitar stesen ini. Kami menaiki tren seterusnya dan terus menuju ke Baclaran iaitu terminal paling selatan bagi sistem LRT-1 Manila.




Ibupejabat Bank of the Philippines Island (BPI).


Pusat membeli-belah Manila City Plaza.

Gedung pakaian Isetann.

Pasar di bawah stesen LRT Carriedo.



Peta: Perjalanan dari Masjid Emas Manila ke 
Terminal 4, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila.


Sampai sahaja di stesen Baclaran pada pukul 10:15 pagi, kami terus ke aras jalan untuk ke Terminal 4 MNL. Di aras jalan ini, terdapat pasar Baclaran yang menjual macam-macam barang keperluan terutamanya pakaian. Jadi sempat juga saya membeli beberapa pasang pakaian peribadi saya di sini. Selanjutnya kami meneruskan perjalanan ke Terminal 4 yang mengambil masa kira-kira 20 minit dari stesen LRT Baclaran.




Suasana dari atas stesen LRT Baclaran.


Tiba di Terminal 4, kami duduk sebentar menghilangkan lelah di tempat duduk di bawah khemah gazebo di depan terminal. Saya melihat, penerbangan saya telah dibuka kaunter daftar masuknya, lalu saya pun masuk. Akmal tinggal di situ kerana penerbangannya lewat 4 jam dari saya punya. Jadi saya pun masuk, sekurang-kurangnya ada penghawa dingin. Rasa bersalah pula pada Akmal, namun nak buat macam mana.

Apabila memasuki Balai Berlepas, semua penumpang perlu menunjukan tiket atau tempahan penerbangan kepada pengawal keselamatan, jika tiada, tidak boleh masuk. Kemudian semua beg perlu diimbas di mesin x-ray dan penumpang perlu melalui mesin pengimbas logam. Di pemeriksaan ini perlu dibuka segala tali pinggang, telefon bimbit dan peralatan logam yang ada di badan kita.

Setelah itu, barulah boleh ke kaunter daftar masuk yang ditetapkan atau mendaftar masuk di kiosk yang disediakan. Seperti saya yang sudah mendaftar masuk secara web, saya terus duduk di tempat duduk yang ada di hujung balai ini. Di sini terdapat stesen mengecaj telefon dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengecaj telefon dan bank kuasa saya. Maklumlah sudah hampir dua hari ia tidak tercaj.

Saya menunggu di situ walaupun sebenarnya saya sudah boleh ke dewan menunggu di pintu pelepasan, kerana saya percaya di sini lebih ramai yang menunggu. Sambil-sambil itu saya melihat kaunter daftar masuk untuk penerbangan saya tidak surut dengan penumpang. Setelah dekat dua jam di situ, saya pun masuk ke dewan menunggu.

Apabila hendak masuk, di sini pun perlu menunjukan pas pelepasan untuk masuk ke dalamnya. Setelah itu terdapat satu lagi pemeriksaan keselamatan. Berapa kali mahu periksa lah. Lagipun inikan penerbangan domestik sahaja. Peraturan sama sahaja, letakan beg yang ada beserta dengan peralatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya serta barang-barang yang mempunyai logam seperti tali pinggang, jam tangan dan sebagainya di mesin pengimbas x-ray. Diri kita pula perlu melalui mesin pengimbas logam. Setelah selesai dan pengawal keselamatan berpuas hati, baru kita boleh masuk.

Hah, kan betul agak ramai. Saya kemudiannya ternampak stesen mengecaj telefon bimbit di hujung seberang dari pintu masuk tadi. Saya pun ke sana untuk mengecaj saki baki yang belum tercaj. Sanggup berdiri bagi memastikan saya dan peralatan yang dicaj tidak jauh. Tidak berapa lama, terdapat tempat duduk kosong, maka saya pun duduklah.

Berhampiran dengan pintu masuk, terdapat juga kaunter menjual kad SIM oleh kedua-dua telco Smart & Globe. Saya ingatkan ketibaan antarabangsa sahaja ada, di pelepasan domestik pun ada. Di belakang dewan menunggu terdapat beberapa kedai makanan dan kedai lain-lain. Cenderahati pun ada cuma agak mahal. Saya perhatikan juga pada skrin paparan penerbangan yang akan berlepas, terdapat beberapa penerbangan yang dilewatkan.

Apabila melihat cuaca di luar, melalui kaca pintu pelepasan di hadapan, semakin gelap hendak hujan. Akhirnya tidak lama kemudian, hujan turun dengan lebatnya. Selepas itu, pengumuman mengatakan penerbangan saya juga dilewatkan. Huh, ambil kau. Setelah beberapa ketika, dimaklumkan masa pelepasan penerbangan baru ditunda dari pukul 1:45 petang ke pukul 4:15 petang. Hah ambil kau. Tapi bukan penerbangan saya, boleh dikatakan majoriti penerbangan di Terminal 4 pada masa itu juga ditunda. 

Tapi di sini, tidak berapa lama kemudian, penumpang-penumpang penerbangan yang saya naiki dipanggil ke hadapan. Rupanya kami diberikan sebuah kota berisi pelbagai makanan dan minuman. Alhamdulillah, semuanya boleh dimakan dan diminum. Rezeki juga penerbangan ditunda ini. Adalah bekalan saya berbuka nanti.

Pada pukul 3:30 petang, hujan sudah teduh. Akhirnya pada pukul 4:15 petang, penumpang penerbangan AirAsia Zest Z2 430 ke Puerto Princesa dipanggil untuk berlepas. Kami beratur di depan pintu pelepasan dan kemudian pintu dibuka dan kami terus menuju mengikut arah yang diarahkan. Kami berjalan di atas apron untuk ke pesawat. Akhirnya pada pukul 4:35 petang, berlepaslah pesawat ini menuju ke destinasinya.


Balai berlepas Terminal 4 MNL.


Kawasan airside Terminal 4 MNL.


Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan AirAsia Z2 430 pada 03 Julai 2016.


Kami sampai di Lapangan Terbang Puerto Princesa (PPS) dalam masa 45 minit dari terikh berlepas. Agak cepat juga. Langit amat cerah ketika penerbangan kami. Setelah selamat mendarat dan pintu pesawat dibuka, kami pun turun ke apron dan terus menuju ke bangunan terminal.



Bangunan terminal PPS dari kawasan apron.


Pesawat RP-C8994 yang menjadi penerbangan AirAsia Z2 430.



Peta: Perjalanan dari Lapangan Terbang Puerto Princesa ke Ezy Stay Pension.


Semasa keluar, terdapat kaunter-kaunter agen pelancongan di luar balai ketibaan. Saya terus sahaja keluar dengan mengambil jalan sebelah kanan. Selepas itu terdapat lorong khas untuk menaiki tricycle (beca motor), yang mana perlu mendapatkan tiket di kaunter sebelah kaunter agen pelancongan tadi. Di luar pagar, terdapat ramai pemandu tricycle persendirian sedang memanggil orang yang keluar dari lapangan terbang untuk mendapatkan khidmat mereka. Ada beza caj kedua-duanya, sudah pastilah caj yang di dalam kawasan lapangan terbang lebih mahal. 

Namun saya tidak mengendahkan kedua-duanya, saya terus berjalan mengikut Google Maps ke penginapan saya yang kurang satu kilometer sahaja dari lapangan terbang. Saya perlu cepat kerana Akmal akan tiba, jika penerbanganya tidak ditunda.



Keadaan penginapan kami: Ezy Stay Pension.


Kad perniagaan Ezy Stay Pension.


Suasana luar dari dalam Ezy Stay Pension.


Sampai di penginapan, iaitu di Ezy Stay Pension, saya terus ke kaunter untuk mendaftar masuk. Pengurusnya iaitu Ray, amat mesra. Dia berborak sambil memproses daftar masuk saya. Banyak juga sambil-sambil itu diborakan. Selepas itu, Ray membawa ke bilik yang diperuntukan kepada kami. Bagi saya ok juga. Saya pun rehat setelah penat seharian.

Oleh kerana waktu berbuka hampir masuk, maka saya pun ke kaunter untuk mengambil air. Cuma di penginapan ini, air minuman diambil dari dispenser dicaj ₱5 (+- RM0.45) bagi setiap botol 1.5 liter. Cuma saya uruskan agar ia dibayar ketika daftar keluar nanti. Jadi adalah air panas untuk saya buat maggi dan air milo, selain buah epal baki sahur pagi tadi. Kira besar sikit berbuka saya pada hari ini.



Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan di Ezy Stay Pension.


Kaunter petugas di Ezy Stay Pension.


Selepas saya berbuka dan bersolat, saya ke bawah untuk bertanyakan kepada Ray tentang pakej lawatan ke Sungai Bawah Tanah. Ray menawarkan ₱1400 (+- RM126.00) untuk pakej lengkap. Saya berkata, saya tidak makan kerana berpuasa, jadi tiada diskaun. Dia kata dia akan berbincang dengan empunya pakej. Saya jadi mengambil dengannya kerana harganya lebih murah berbanding tempat lain yang sempat saya lihat semasa perjalanan ke penginapan tadi.

Pada masa itu juga, Akmal menelefon saya mengatakan bahawa telah sampai di PPS. Rupanya bunyi pesawat mendarat tadi adalah pesawatnya. Jadi saya segera ke PPS dengan menahan tricycle yang ada di depan penginapan kerana Ray kata harga tambangnya kalau di sekitar kawasan bandar adalah ₱10 (+- RM0.90) sahaja. (Sebenarnya ia pun kurang tepat, ia adalah ₱8 (+- RM0.72) sahaja). 

Sampai di lapangan terbang, saya menelefon Akmal untuk ke luar pagar. Akhirnya jumpa juga dengan Akmal, dan terus saya ambil satu pemandu Tricycle untuk membawa kami kembali ke penginapan. Pemandu tersebut bernama Saldi dan agak fasih berbahasa Melayu. Dia siap kata, saya sombong pasal tidak mempedulinya semasa awal-awal saya sampai. Dia siap mencerita yang dia selalu ke Sabah menemui saudara-maranya. Juga dalam perjalanan yang singkat itu, banyak juga saya mengetahuinya. Pakej yang ditawarkan juga agak murah, contohnya untuk ke Sungai Bawah Tanah, cuma ₱1400 (+- RM126.00) sahaja. Tetapi saya tidak boleh ambil kerana saya sudah berjanji dengan Ray. Namun jika ada yang mahukan khidmat Saldi boleh telefon +63 906 104 8808.

Setelah sampai di penginapan, asalnya kami ingin keluar untuk berjalan-jalan di bandar Puerto Princesa, namun dibatalkan kerana kami penat. Kami duduk di dalam bilik, berborak tentang apa yang kami rasai di dalam perjalanan kami dan kami menonton televisyen Malaysia menerusi telefon bimbit kerana kelajuan internet di Ezi Stay Pension ini agak laju. Akhirnya kami pun tidur dengan agak nyenyak juga selepas beberapa hari tidur dalam keadaan kurang selesa.

Bersambung ke Hari 5.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6.