Ahad, 20 Disember 2015

Hari 6 & 7 (Macau, Hong Kong, Shenzhen & Guangzhou, Guangdong, China - 09 hingga 15 November 2015) - Kembali Ke Macau Untuk Pulang Ke Malaysia.

Bersambung dari Hari 5.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6 & 7 (this part). 



Tugu Lima Kambing Gurun di Yuexiu Park, Guangzhou.

14 November 2015 (Sabtu)

Hari ini, setelah solat subuh, pada pukul 6:15 pagi, saya seorang telah keluar dari hotel menuju ke stesen Metro Guangzhou Haizhu Square, untuk ke Yuexiu Park. Ini bukan apa, terdapat satu "hutang" yang perlu saya selesaikan sebelum meninggalkan bumi Guangzhou ini. Saya hendak sangat bergambar di Tugu Lima Kambing Gurun (Five Rams Statue) yang merupakan lambang bagi bandaraya Guangzhou. Ini boleh dilihat dalam banyak lambang, terutama logo Sukan Asia ke-16 di mana Guangzhou merupakan tuan rumahnya.



Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Taisheng Hotel ke stesen Metro Guangzhou Haizhu Square.


Paparan makluman tren seterusnya di stesen Metro Guangzhou Haizhu Square.

Tren pertama dari stesen Metro Guangzhou ini adalah pada pukul 6:30 pagi. Jadi saya sampai awal. Jadi sempatlah saya melihat yang di stesen ini terdapat makluman tentang masa ketibaan tiga tren seterusnya di paparan maklumannya. Sewajarnya ini perlu digunakan gua di sistem pengangkutan rel di Malaysia. Ia memudahkan pengguna. Apabila tren pertama sampai, saya pun menaikinya.

Pameran gambar-gambar lama orang-orang Cina 
di Kanada di stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park.

Perjalanan mengambil masa dalam 15 minit. Sampai di stesen Yuexiu Park, saya tidak keluar terus, sebaliknya, saya singgah melihat pameran gambar-gambar lama orang-orang Cina di Kanada. Melalui gambar-gambar ini, banyak sejarah dapat diceritakan mengenai kedatangan orang-orang Cina ke Kanada dan rentetannya sehingga ke hari ini. Bagus juga pihak Metro Guangzhou ini, mereka menggunakan ruang di platform stesen untuk membuat pameran, lagipun sudah pasti stesen metro ini ramai yang menggunakannya, sekaligus dapat menambah informasi kepada pengguna. Tidaklah ruang yang ada dibazirkan sahaja.

Pameran gambar-gambar lama orang-orang Cina 
di Kanada di stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park.


Peta: Perjalanan Metro Guangzhou dari Haizhu Square ke Yuexiu Park.


Taman Orkid Canton dari pintu masuk utama Yuexiu Park (seberang jalan).


Pintu masuk utama Taman Yuexiu.

Setelah dekat 20 minit asyik mengamati pameran itu, saya pun keluar ke pintu B1 untuk ke pintu masuk utama Taman Yuexiu (Yuexiu Park). Sebenarnya, pintu masuk ke taman ini bertentangan dengan pintu masuk ke Taman Orkid Canton dan Masjid Saad bin Abi Waqqas yang kami singgahi pada hari sebelumnya. Tiada bayaran untuk masuk ke Taman Yuexiu ini, walaupun terdapat kaunter tiket masuk yang kosong sebenarnya.

Masuk percuma ke Taman Yuexiu.


Papan tanda peta Taman Yuexiu.

Setelah saya masuk, saya mencari peta taman ini, menjumpainya di sebelah kanan pintu masuk. Rupa-rupanya, saya memasuki pintu masuk yang salah. Terdapat pintu masuk yang lebih dekat untuk ke Tugu Lima Kambing Gurun, iaitu berhampiran dengan pintu B1 stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park. Boleh sahaja kalau berjalan melalui pintu masuk utama, tetapi agak jauh kerana jalan di dalam taman bukannya lurus tapi bengkang bengkok.

Permandangan sebaik keluar dari pintu B1, stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park.


Permandangan pintu masuk Yuexu Park yang terdekat dengan tugu Lima Kambing Gurun.

Saya kembali ke pintu B1 stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park, dan meneruskan berjalan ke hadapan menuju bangunan terdekat yang mempunyai papan tanda cawangan bank ICBC Bank. Seterusnya jalan ke kiri iaitu jalan belakang bangunan ini. Pada hujung jalan ini, akan menjumpai pintu masuknya.

Tasik sebaik masuk melalui pintu masuk tadi.


Pintu gerbang.

Masuk sahaja melalui pintu masuk ini akan menjumpai sebuah tasik di sebelah kanan pintu masuk. Di sebelah kanan ini juga terdapat sebuah pintu gerbang, saya jalan melalui pintu gerbang tersebut. Tidak jauh dari pintu gerbang tersebut, terdapat sebuah denai tangga yang mempunyai papan tanda petunjuk arah ke tandas. Saya mendaki denai tangga tersebut.

Denai tangga.


Sedikit makluman tentang Tugu Lima Kambing Gurun.


Mural ukiran kisah mengenai Tugu Lima Kambing Gurun.

Sampai di atas denai tangga tersebut, saya tiba di sebuah kawasan lapang, yang mana terdapat batu-batu yang bertemakan kisah lagenda lima kambing gurun. Terdapat plak yang memaklumkan dalam tulisan Cina dan juga terdapat ukiran pada batu yang mengambarkan kisah tersebut.

Tangga menuju ke Tugu Lima Kambing Gurun.


Lif menuju ke Tugu Lima Kambing Gurun.

Saya meneruskan mendaki tangga yang terdapat di celah-celah batu di kawasan lapang tadi. Di hujung tangga tadi terdapat sebuah lif yang membawa dari situ ke aras terdapatnya Tugu Lima Kambing Gurun ini. La, tidak sampai lagi rupanya ke tugu tersebut. Ditambah lagi, lif tersebut tidak dapat digunakan pada masa itu. Jadi saya perlu memanjat lagi tangga untuk ke tugu tersebut. Memang kiranya bersenam juga saya pada pagi tersebut.

Lagi tangga menuju ke Tugu Lima Kambing Gurun.


Tugu Lima Kambing Gurun di Yuexiu Park, Guangzhou.

Akhirnya sampai juga saya ke Tugu Lima Kambing Gurun ini, setelah memanjat tangga yang agak banyak. Mengikut leganda, kira-kira 2000 tahu dahulu, penduduk-penduduk di sekitar kawasan Guangzhou ini menderita kebuluran akibat kemarau yang berpanjangan. Pada satu hari terdapat lima ekor kambing gurun turun dari kayangan, membawa bekalan makanan yang amat banyak dan memberikan bekalan tersebut kepada penduduk-penduduk yang sedang kelaparan. Akhirnya kambing-kambing tersebut menjadi batu dan Guangzhou menjadi aman makmur dan sejahtera serta maju sehingga hari ini. Itu sebabnya Guangzhou ini digelar Bandaraya Kambing. 

Bunga-bunga cantik di sepanjang jalan di Yuexiu Park.

Ini bermakna, saya telah sampai ke tempat-tempat yang ingin saya kunjungi di Guanzhou ini. Saya berada di situ kira-kira 20 minit. Kemudian saya beredar menuju ke pintu selatan pula kerana di sana terdapat Tugu Dr. Sun Yat Sen di Guangzhou pula, dan ia berdekatan dengan stesen Metro Guangzhou Memorial Park.

Warga Guangzhou sedang beriadah di Yuexiu Park.


Papan tanda peta Yuexiu Park.

Semasa saya berjalan, saya dapat lihat taman ini memang indah dengan tanaman-tanaman dan bunga-bungaan.Pokok-pokoknya pun agak besar menyebabkan kawasan taman ini teduh dan nyaman. Disamping itu juga, terdapat banyak warga-warga Guangzhou terutama warga emas bersenam atau bersukan di sepanjang jalan.

Tanda arah di Yuexiu Park.


Tembok kota lama Guangzhou.

Di dalam perjalanan ini juga, saya dapat melihat tinggalan tembok kota lama Guangzhou yang terletak di dalam taman ini. Tembok ini adalah yang masih tinggal dan kelihatan masih utuh dan kukuh.

Lagi warga Guangzhou sedang beriadah di Yuexiu Park.


"Jejantas udara".

Rupa-rupanya, jalan yang saya lalui ini, perlu melalui "jejantas udara" yang melalui bahagian atas tembok kota lama ini. Terasa seperti berjalan di atas jambatan gantung, cuma lebih kukuh dan tidak bergoyang. Kemudian saya dapat berjalan di balik tembok kota lama Guangzhou ini.

Jalan di sebalik tinggalan kota lama Guangzhou.


Tanda arah ke Tugu Dr. Sun Yat Sen.


Tanda arah ke Tugu Dr. Sun Yat Sen.


Tangga menuju ke Tugu Dr. Sun Yat Sen.

Saya meneruskan perjalanan mengikut arah papan tanda ke Tugu Dr. Sun Yat Sen. Alkhirnya sampai juga, namun perlu memanjat tangga lagi. Memang menyihatkan, dan menariknya, pada pagi ini, saya tidak terasa mengah-mengah. Saya mendaki tangga dan sampai ke tugu tersebut. Sebenarnya di Taman Yuexiu ini terdapat banyak tarikan lain, boleh dikatakan seharian baru dapat pergi ke semua tempat ini.

Tugu Dr. Sun Yat Sen.


Menuruni tangga dari Tugu Dr. Sun Yat Sen.


Tugu lama Dr. Sun Yat Sen.

Saya tidak lama di tugu tersebut dan turun ke bawah menuju ke pintu keluar selatan Taman Yuexiu ini. Dalam menuruni tangga ini, terdapat juga sebuah tugu, yang merupakan tugu lama Dr. Sun Yat Sen. Saya singgah sebentar dan meneruskan perjalanan, kerana saya perlu segera pulang.

Pintu keluar/masuk selatan Yuexiu Park.

Saya sampai ke pintu selatan Taman Yuexiu dan terus berjalan ke pintu C stesen Metro Guangzhou Memorial Park. Berdekatan dengan pintu masuk C ini terdapat sebuah bangunan di mana inilah terletaknya bangunan Memorial Dr. Sun Yat Sen. Saya tidak sempat untuk ke situ, insya Allah jika dipanjang umur, akan ke situ pada lawatan mendatang ke Guangzhou.

Memorial Dr. Sun Yat Sen di Guangzhou.

Saya pulang ke hotel penginapan dari stesen Metro Guangzhou Memorial Park ke stesen Haizhu Square dengan tren Metro Guangzhou. Sampai di penginapan, isteri saya sudah menunggu untuk kami ke pasar Mu Pai Tou sekali lagi, bagi membeli beberapa barang untuk dibuat sarapan pagi dan bekalan untuk perjalanan ke Lapangan Terbang Macau nanti. 

Peta: Perjalanan saya di Yuexiu Park.

Setelah itu, kami kembali dan membuat persiapan untuk sarapan. Usai bersarapan, kami mengemas beg-beg kami kerana kami akan daftar keluar pada pukul 11:00 pagi nanti. 



Peta: Perjalanan Metro Guangzhou dari stesen Haizhu Square ke stesen keretapi Guangzhou Selatan.


Pada pukul 10:50 pagi, kami pun ke bawah untuk mendaftar keluar dan tiba di bawah, abang Zainudin dan isterinya sudah ada di sana. Setelah selesai mendaftar keluar, kami pun berjalan kaki ke stesen Metro Guangzhou Haizu Square untuk mengambil tren ke stesen keretapi Guangzhou Selatan.


Stesen keretapi Guangzhou Selatan.


Stesen keretapi Guangzhou Selatan.

Perjalanan ke stesen keretapi Guangzhou Selatan yang melalui 12 stesen mengambil masa kira-kira 35 minit. Akhirnya pada pukul 11:45 pagi sampailah kami di stesen keretapi Guangzhou Selatan ini.  Kami keluar dari stesen Metro dan terus masuk ke dalam stesen keretapi Guangzhou Selatan ini. 

Pemeriksaan keselamatan di stesen keretapi Guangzhou Selatan sebelum balai berlepas.


Balai berlepas di stesen keretapi Guangzhou Selatan.

Stesen keretapi ini agak besar. Kami perlu menaiki 3 tingkat untuk ke balai berlepas. Sampai di balai berlepas, kami perlu melalui kaunter pemeriksaan tiket sebelum boleh masuk ke tempat menunggu. Setelah melepasi pemeriksaan tiket, kami perlu diperiksa beg serta badan baki oleh pihak keselamatan stesen keretapi. Setelah itu, barulah boleh mencari tempat duduk untuk menunggu pintu pelepasan dibuka. Kami memeriksa di papan paparan untuk mengetahui pintu pelepasan kami iaitu di pintu 20. Jadi kami duduk di depan kawasan pintu 20. Sementara menunggu pintu pelepasan dibuka, saya berjalan-jalan, kebetulan berdekatan dengan tenpat duduk, terdapat sebuah mesin runcit membuat jus oren automatik. Bukan apa, mesin ini memaparkan jelas, proses menjadikan jus oren ini daripada sebiji oren kepada jus oren. Menarik.

Mesin runcit membuat jus oren automatik.

Tiket keretapi laju dari Guangzhou Selatan ke Zhuhai Utara.


Pada jam 12:10 tengahari, pintu pelepasan di pintu 20, dibuka untuk pelepasan. Ramai orang yang beratur. Kami diperlukan untuk mengimbas tiket kami untuk masuk. Setelah itu, kami ke platform di bawah untuk menaiki keretapi.


Saya bergambar bersama keretapi laju C7633 ke Zhuhai.


Sempat bergambar "bersama" pelakon China Zhao Wei (Vicky Zhao).

Sampai di bawah, kami terus masuk ke dalam keretapi tersebut untuk mencari tempat duduk. Tepat pukul 12:20 tengahari, keretapi pun bergerak meninggalkan stesen keretapi Guangzhou Selatan.


Peta: Perjalanan keretapi laju China dari stesen Guangzhou Selatan ke stesen Zhuhai.

Permandangan bandar Zhongshan dari dalam keretapi laju.

Perjalanan dari Guangzhou Selatan ke Zhuhai mengambil masa kira-kira satu setengah jam dengan 6 kali berhenti. Pernah satu ketika, keretapi yang kami lalui ini memecut pada kelajuan 200 km/j!

Suasana di dalam koc keretapi laju (nota: kelajuan semasa 196 km/j).


Stesen keretapi laju Zhuhai.

Sampai di stesen keretapi Zhuhai, kami pun ke pintu keluar. Oleh kerana orang ramai, kami tidak ke pintu keluar untuk mengimbas keluar tiket kami, sebaliknya ke pintu yang mana seorang pegawai keretapi membuka pintu tersebut untuk mempercepatkan barisan orang beratur. Isteri saya, abang Zainudin dan isterinya sudah melepasinya, namun tiba giliran saya, pegawai tersebut menahan saya. Saya pun hairan, rupanya, tiket saya hanya sampai ke Zhuhai Utara (Zhuhaibei) yang mana ia adalah dua stesen sebelum stesen Zhuhai. Padanlah harga tiket agak murah (RMB55 (+- RM38.50) untuk ke Zhuhai Utara berbanding RMB70 (+- RM50) untuk ke Zhuhai. Agak kalut juga, jadi saya memaklumkan dalam bahasa Inggeris yang ini, bahawa ini adalah salah kaunter. Namun pegawai tersebut tidak boleh berbahasa Inggeris. Oleh kerana itu, beliau melepaskan saya, alhamdulillah, lega.

Kompleks pemeriksaan Gongbei Port.

Suasana di kaunter imigresen China di Gongbei Port.

Kami kemudian ke kompleks pintu sempadan Gongbei Port yang terletak di sebelah sahaja stesen keretapi Zhuhai ini. Oleh kerana ketika ini merupakan petang hari Sabtu, maka terdapat ramai orang dari Zhuhai ingin menyeberang ke Macau. Jadi kami perlu beratur agak lama. Kami ke kaunter untuk rakyat bukan China, Macau dan Hong Kong di sebelah kanan. Agak lama juga, kira-kira 40 minit beratur sebelum sampai giliran kami. Pemeriksaan agak singkat juga oleh pegawai imigresen ini.

Cop keluar imigresen China (Gongbei)

Setelah selesai, kami perlu mengimbas beg kami di kaunter kastam, ini wajib kepada semua. Namun faham-fahamlah, ini di China, rakyatnya memang jenis selamba. Ketika isteri saya meletakan begnya, terdapat seorang wanita China, meletakan begnya di atas beg isteri saya. Akibatnya, isteri saya ditahan oleh pegawai kastam China kerana katanya terdapat peralatan elektronik yang perlu dibayar cukai. Hairannya, dalam beg isteri saya hanya terdapat pakaian sahaja, semua barangan elektronik berada di dalam beg saya, yang mana ia lepas pemeriksaan kastam. Setelah kami membuka beg untuk pemeriksaan lanjut, dakwaan kami benar dan kami dilepaskan. Jadi berjati-hatilah semasa proses pemeriksaan di China agar tidak terjadi seperti kami.

Memasuki kompleks pemeriksaan Portas de Cerco (Border Gate), Macau.

Seterusnya kami berjalan menuju ke pusat pemeriksaan sempadan Portas de Cerco atau juga dikenali sebagai Border Gate di Macau. Barisannya juga agak panjang. Lebih kurang 30 minit juga kami beratur untuk menunggu giliran pemeriksaan imigresen. 

Suasana di kaunter imigresen Macau di Portas de Cerco.


Pintu gerbang lama Portas de Cerco di hadapan kompleks yang baru.

Selesai sahaja urusan imigresen dan kastam Macau, kami segera keluar dan mencari perhentian bas shuttle percuma hotel Wynn, kerana kami sudah tahu di mana perhentian transitnya di tengah bandar Macau dan prosedurnya. Sebelum kami naik, sempat juga saya mengambil gambar pintu gerbang lama Portas de Cerco ini.

Perhentian bas-bas shuttle hotel-hotel/kasino-kasino.


Bas shuttle Wynn.

Kebetulan ketika kami sampai, bas shuttle Wynn ini sudah dibuka, maka kami semua menaikinya. Tidak lama kemudian, bas ini pun bergerak meninggalkan Portas de Cerco ini. Bas ini menuju ke hotel Wynn Macau, tempat yang kami sampai ketika kami tiba di Macau Hari pertama tempohari. 

Perhentian bas shuttle di hotel Wynn.


Peta: Perjalanan bas shuttle percuma Wynn dari Portas de Cerco 

ke Lapangan Terbang Antarabangsa Macau (MFM).


Ketika tiba di sini, kami menyamar kononnya kami akan menginap di hotel Wynn, dengan memasuki hotel ini. Di dalam hotel ini, dapat kami lihat kemewahanya dan juga suasana di dalam kasino. Kemudian di pintu satu lagi kami keluar dan menunggu bas untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Macau (MFM) pula. Cuma pada ketika itu, bas tidak sampai lagi. Sementara menunggu bas, sempat saya mengambil beberapa gambar untuk rujukan kita semua. Ini termasuk jadual bas-bas shuttle ini di perhentian-perhentian bas tersebut.


Papan tanda perhentian dan jadual bas shuttle percuma Wynn
 ke Terminal Feri Taipa dan MFM.


Papan tanda perhentian dan jadual bas shuttle percuma Wynn 
ke kompleks pemeriksaan Lotus Port.


Papan tanda perhentian dan jadual bas shuttle percuma Wynn 
ke Terminal Feri Macau (Outer Harbour).


Papan tanda perhentian dan jadual bas shuttle percuma Wynn
 ke Portas de Cerco (Border Gate).


Papan tanda ingatan mengenai penggunaan bas shuttle percuma Wynn.

Akhirnya setelah 20 minit menunggu, tibalah bas ini di hentian bas shuttle ini. kami menaikinya dan selepas lima minit, bas bergerak menuju ke lapangan terbang. Dalam perjalanan dapat kami melihat lebih jelas, kawasan yang sedang ditebus guna untuk kompleks jambatan menghubung Macau dan Zhuhai dengan Hong Kong dan Shenzhen.

Kerja-kerja penambakan untuk membuat pulau buatan sedang berlangsung.


Terminal Feri Taipa.

Sebelum ke lapangan terbang, bas ini singgah di Terminal Feri Taipa untuk menurunkan dan mengambil penumpang. Sebenarnya, terminal feri ini bersebelahan sahaja dengan lapangan terbang, jadi dapat melihat keadaan lapangan terbang dari situ. Kami di situ cuma lima minit sahaja. Kemudian kami bergerak menuju ke perhentian bas shuttle lapangan terbang pula.

Permandangan MFM dari Terminal Feri Taipa.


Sebuah arca di bulatan berhampiran MFM.

Kami sampai juga di perhentian bas shuttle lapangan terbang setelah tidak sampai lima minit perjalanan. Kami turun dari bas, dan kelihatan di sebelah kanan kami, stesen LRT Macau yang sedang dalam pembinaan. Insya Allah selepas ini, perjalanan di Macau akan lebih lancar setelah sistem LRTnya siap kelak.

Stesen LRT Macau MFM yang sedang giat dalam pembinaan.


Dewan berlepas MFM.


Plan/Peta Kawasan Awam (landside) Balai Berlepas, MFM.


Kami memasuki bangunan terminal MFM dan terus ke tingkat atas untuk ke balai berlepas. Oleh kerana kami sampai agak awal iaitu pada pukul 5:00 petang, masih lebih dua jam sebelum berlepas, maka kami belum boleh mendaftar masuk. Maka kami pun duduk di hadapan kawasan daftar masuk untuk menunggu masa daftar masuk.

 
Gambar-gambar kenangan khas di MFM.


Dalam masa menunggu itu, kami menggunakan masa untuk menunaikan solat dan juga mengambil gambar kenang-kenangan di kamera khas yang disediakan oleh pihak pengurusan MFM. Saya menukar sedikit wang HK$ dan RMB kepada MOP$ untuk saya belanja sedikit di kedai serbaneka Circle K di MFM ini. Sambil itu saya dapat matawang MOP$ yang belum ada dalam simpanan pengumpulan saya.

Resit tukaran wang asing di MFM.

MOP$1.00 = +- RM0.60


MOP$5.00 = +- RM3.00


MOP$10.00 (Banco Nacional Ultramarinos - terkini) = +- RM6.00

Pada pukul 5:30 petang, kaunter daftar masuk penerbangan kami di buka. Saya cadangkan agar abang Zainudin dan isteri mendaftar dahulu kerana mereka mempunyai bagasi untuk didaftar masuk, dan saya menjaga beg mereka yang dijadikan bagasi kabin. Semasa mereka mendaftar masuk, terdapat masalah, kerana pihak penerbangan tidak membenarkan roda luncur (hoverboard atau mini segway), yang dibeli di Shenzhen (berharga lebih kurang RMB1000 (+- RM700)), untuk di daftar masuk sebagai bagasi juga sebagai bagasi kabin. Ini kerana berat benda tersebut melebihi 7 kilogram yang dibenarkan untuk bagasi kabin (benda tersebut seberat 11 kilogram). Juga, roda luncur ini mempunyai bateri yang tidak boleh ditanggal melebihi 20 000mAh. Hendak tak hendak, terpaksa abang Zainudin mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Sementara abang Zainudin mencari penyelesaian, saya dan isteri saya mendaftar masuk, dan ia berjalan tanpa masalah. Tiada bagasi kabin ditimbang. Alhamdulillah. 

Ketika itu, pejabat pos di MFM ini sudah tutup, jadi setelah saya menunggu abang Zainudin, beliau pun kembali. Penyelesaikan, dia terpaksa memberikan roda luncur ini kepada salah seorang staf lapangan terbang. Untung betul staf itu. Hendak buat macam mana, sudah tiada rezeki abang Zainudin. 

Setelah itu, kami pun masuk ke kaunter imigresen Macau untuk urusan keluar Macau dan kemudian pemeriksaan oleh pihak Kastam Macau. Selesai sahaja kami ke pintu pelepasan untuk menunggu pintu pelepasan di buka.

Kawasan airside MFM.

Sementara kami menunggu pintu pelepasan dibuka, dapat saya lihat pesawat kami mendarat dan parkir di apron lapangan terbang. Ketika itu sudah masuk waktu senja. Dapat juga dilihat bangunan-bangunan terutama hotel-hotel di kawasan Taipa dan Cotai. Agak cantik lampu neon yang terpancar ketika itu.  Di samping itu, sempat juga saya bersolat dan juga berjalan-jalan di kawasan airside MFM ini.

Pesawat 9M-AFW sedang parkir di apron MFM.


Pas pelepasan AirAsia AK 187.

Pada pukul 6:45 malam, pintu pelepasan dibuka dan kami pun dibenarkan untuk ke pesawat. Terdapat dua kali pemeriksaan pas pelepasan iaitu sebelum menuruni tangga / eskalator dan kemudian sebelum pintu keluar ke apron lapangan terbang. Kami berjalan kaki sahaja untuk ke pesawat. Kami menunggu kira-kira 10 minit, dan setelah semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, pada pukul 7:10 malam, penerbangan AirAsia AK187 oleh pesawat 9M-AFW berlepas meninggalkan MFM.

Setengah jam setelah berlepas, makanan dihidangkan, dan kami pun makan makanan yang ditempah. Lega pula dapat makan makanan Malaysia. Selepas itu kami tidur sementara menanti pesawat mendarat di Malaysia.

Namun setelah dua jam berada di udara, tiba-tiba isteri abang Zainudin sesak nafas. Maka pihak pembantu penerbangan pun segera membantu dan memberikan oksigen kepada isteri abang Zainudin. Keadaan beransur baik ketika hendak tiba di klia2.

Carta penerbangan FlightRadar24 penerbangan AK 187 
oleh 9M-AFW pada 14 November 2015.



Akhirnya pada pukul 11:00 malam, mendaratlah pesawat kami di klia2. Sampai di terminal, kami keluar akhir sekali kerana memudahkan proses membawa isteri abang Zainudin ke balai ketibaan klia2. Kami membantu mana yang boleh. Setelah di balai ketibaan, kami pun berpisah disamping mendoakan yang terbaik buat mereka.

Saya dan isteri saya menunggu kakak ipar dan biras saya untuk mengambil kami. Mereka sampai 15 minit dan terus membawa untuk makan malam. Kami belanja mereka sempena hari lahir kak ipar saya itu. Setelah makan malam, kami terus menuju ke rumah mereka untuk berehat.



15 November 2015 (Sabtu)


Pada pukul 10:00 pagi, kami pun bergerak meninggalkan rumah kak ipar saya ke rumah dengan menaiki skuter yang telah diperbaiki. Kami tiba dirumah pada pukul 11:30 pagi.


Begitulah pengalaman kami mengembara ke Macau, Hong Kong dan wilayah Guangzhou, China. Banyak juga pengalaman yang diperolehi. Jika berkesempatan mahu juga kami ke sana lagi, insya Allah.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6 & 7 (this part). 

Sabtu, 19 Disember 2015

Hari 5 (Macau, Hong Kong, Shenzhen & Guangzhou, Guangdong, China - 09 hingga 15 November 2015) - Walaupun Hujan, Kami Redah Juga Canton Ini.

Bersambung dari Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or 
  • Day 6 & 7. 



Pintu depan Masjid Saad bin Abi Waqqas, Guangzhou.

13 November 2015 (Jumaat)


Pagi ini, kami bangun dan keluar, namun cuaca agak mendung. Kami kembali ke pasar Mu Pai Tou yang semalamnya telah kami singgahi. Kali ini kami ingin melihat pasar ini pada waktu siang pula. Di waktu pagi, pasar ini lebih hidup dan lebih jelas. Barulah nampak kegiatan sebenar warga tempatan. Perlu berhati-hati, kerana di sini bukan negara Islam, maka daging babi memang dijual secara terbuka. Kami ada membeli beberapa barang untu dijadikan bekalan makanan.

Kemudian kami ke lorong bersebelahan, iaitu Gao Di Jie, di mana di sini, sepanjang lorong menjual pakaian sahaja. Kebanyakan kedai di sini masih belum buka, kerana awal lagi, namun ada juga yang baru hendak buka. Rata-rata banyak kedai menjual pakaian dalam sebenarnya, tidak kira lelaki, wanita atau kanak-kanak. Banyak jenis dan rupa. Walaupun begitu, jenis-jenis pakaian lain pun ada. Kami lalu sehingga ke hujung jalan dan ada membeli sedikit.


Peta: Kedudukan pasar pakaian Gao Di Jie.

Kami ingin pulang ke hotel penginginapan kerana kami telah berjanji dengan abang Zainudin yang kami akan berjumpa di lobi hotel pada pukul 10:00 pagi. Dalam perjalanan, tidak jauh dari bulatan Haizhu Square (belakang Hotel Guangzhou), kami terjumpa sebuah restoran makanan halal, yang menyajikan mee sup daging. Kami hendak makan, tapi oleh kerana hendak hampir pukul 10:00 pagi, maka kami tidak meneruskan hasrat tersebut. Kami segera pulang ke hotel.

Kedai mee daging halal di Haizhu Square.


Haizhu Square.

Sampai di hotel, abang Zainudin dan isteri sudah menunggu walaupun baru pukul 9:50 pagi. Kami pun berjalan menyusuri Jalan Yide dari hotel ke kompleks membeli-belah Onelink Plaza. Tidak jauh mana pun, kurang 1 kilometer sahaja. Dalam perjalanan, banyak kedai-kedai di sepanjang Jalan Yide ini menjual barangan persiapan sempena Hari Krismas.

Kedai menjual persiapan Krismas di sepanjang Jalan Yide.


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Taisheng Hotel ke Onelink Plaza.

Kami pun sampai di Onelink Plaza ini. Saya mengatakan kepada abang Zainudin, mereka boleh berada di sini sehari suntuk, dan mengikut masing-masing, tidak perlu terikat. Jadi kami pun berpisah mengikut haluan masing-masing pada hari tersebut. Cuma saya maklumkan bahawa kami akan bersama ketika hendak balik pada keesokan harinya iaitu berjumpa di lobi hotel pada jam 11:00 pagi.

Onelink Plaza.

Di Guangzhou ini, setiap kompleks membeli-belah mempunyai tema masing-masing. Seperti di hotel kami duduk, temanya adalah barangan perhiasan diri tiruan, di Onelink Plaza ini pula, temanya adalah alat permainan dan hadiah. Namun terdapat juga barang-barang laon dijual, seperti pakaian, alat telekomunikasi dan sebagainya, tetapi tidak sebanyak tema utamanyalah. Jika hendak membeli barangan cenderahati untuk kenang-kenangan, di sinilah tempatnya terutama di aras bawah. 

Kedai cenderahati Onelink Plaza.

Antara cenderahati yang boeh didapati di sini seperti magnet peti ais, rantai kunci, kemeja T, penyepit (chopsticks) dan banyak lagi. Bukan cenderahati bertemakan Guangzhou dan China sahaja, malah tema Hong Kong, Macau dan Shenzhen boleh didapati di sini. Harganya pun agak murah, lebih murah dari yang boleh diperolehi di Hong Kong dan Macau. Hendak buat macam mana, sudah beli di sana. Contohnya, satu set magnet peti ais (6 keping) hanya berharga RMB10 (+- RM7.00) sahaja. Kemeja T juga sehelai dijual RMB10 juga, malah jika beli banyak, ia boleh dapat kurang. Kami membeli beberapa cenderahati di sini buat kenang-kenangan.

Suasana di dalam Onelink Plaza.

Onelink Plaza ini mempunyai 11 tingkat sebenarnya, iaitu 7 tingkat di atas aras tanah dan 4 tingkat di bawah tanah. Memang rambang mata juga, penat pun ada (biasalah orang lelakikan). Kami berada di sini dalam sejam.

Peta laluan Metro Guangzhou.


 Peta: Perjalanan Metro Guangzhou dari stesen Haizhu Square ke stesen Yuexiu Park.

Selepas itu, kami berjalan ke stesen Metro Guangzhou Haizhu Square untuk ke stesen Yuexiu Park, kerana kami ingin menziarahi sebuah masjid yang berhampirannya terdapat makam seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, iaitu Masjid Abi Waqqas mengambil nama sempena Saad bin Abi Waqqas, sahabat tersebut yang telah sampai ke sini untuk menyiarkan syiar Islam. Di sini ia dieja dengan Aibu Wangesu.

Pintu B2, stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park.

Kami keluar melalui pintu B2 di stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park ini. Pada masa ini, hujan agak dalam gerimis. Sejurus keluar daripada pintu ini, berbaris peminta sedekah-peminta sedekah berada di situ. Kami teruskan perjalanan sehingga berjumpa dengan papan tanda Taman Orkid Canton.

Papan tanda Taman Orkid Canton.


Tanda jalan Jalan Lanpu.

Kami melalui Lanpu Lu (Jalan Lanpu / Lanpu Road), yang terletaknya taman ini. Tidak jauh dari simpang, berulah kami berjumpa dengan pintu masuk ke taman ini. Kami tidak masuk kerana itu bukan tujuan kami, lagipun taman orkid ini dikenakan bayaran untuk masuk ke dalamnya.

Pintu masuk Taman Orkid Canton.


Papan makluman Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Bazar Jumaat di Jalan Lanpu.

Kami meneruskan perjalanan dengan memasuki lagi ke Jalan Lanpu. Terdapat banyak gerai-gerai sementara sedang didirikan di mana gerai ini merupakan sebahagian daripada bazar Jumaat. Di China, boleh dikatakan di setiap masjid utama di bandar-bandar besar utama, terdapat bazar di buat di setiap hari Jumaat. Semasa kami melaluinya, banyak yang masih dalam persediaan. Kami pun meneruskan ke masjid yang berada di hujung jalan.

Pintu masuk ke Masjid Saad bin Abi Waqqas dari Jalan Lanpu.


Batu tanda Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Sampai di hujung jalan adalah pintu masuk ke Masjid Saad bin Abi Waqqas ini. Kami memasukinya dan berjalan melalui jalan yang disediakan.


Jalan menuju ke Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Tanda maklumat tentang Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Tanda peringatan yang amat menarik hati.


Peta kompleks Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Pintu gerbang makam Saad bin Abi Waqqas.

Kami menziarahi makam Saad bin Abi Waqqas ini kerana ia terletak di hujung belakang jalan ini. Lagipun bersebelahan dengan makam ini merupakan ruang solat untuk wanita.

Masjid Saad bin Abi Waqqas.

Selepas itu, saya pun menuju ke bangunan utama Masjid Saad bin Abi Waqqas ini, iaitu ia merupakan ruang solat untuk lelaki. Ketika ini, hujan mulai rintik-rintik. Bangunan ini jika dilihat, tidak seperti masjid, kerana seni binanya lebih berupa seni bina Cina. Cuma terdapat tanda bulan sabit di bumbungnya. 

Ruang wuduk lelaki di Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Ruang solat aras bawah Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Antara seni khat Cina Muslim di dinding Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Pintu depan Masjid Saad bin Abi Waqqas, Guangzhou.


Ruang solat utama di Masjid Saad bin Abi Waqqas.

Selepas mengambil wuduk di tempat mengambil wuduk, saya sempat bersolat sunat di ruang utama masjid ini. Di bangunan ruang solat utama, terdapat dua tingkat, saya bersolat di tingkat atas. Semasa saya hadir di masjid ini, terdapat ramai orang yang hadir di sini. Pihak pengurusan masjid juga sedang membuat persiapan untuk solat Jumaat. 

Pandangan keluar dari dalam Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Petunjuk waktu solat di dalam Masjid Saad bin Abi Waqqas.


Kami menunggu hampir dua jam di masjid (dengan beriktikaf) untuk menunaikan solat Jumaat, kerana walaupun waktu zohor masuk pada pukul 12:15 tengahari, tetapi azan hanya berkemundang pada pukul 1:25 tengahari dan solat pula pada pukul 2:15 petang.


Ayam panggang di Bazar Jumaat di Jalan Lanpu.

Nasi daging di Bazar Jumaat di Jalan Lanpu.

Usai solat, kami pun keluar semula ke Jalan Lanpu. Kelihatan bazar tadi seperti pesta. Banyak makanan halal dijual. Memang menarik perhatian, lagipun kami agak lapar juga. Namun kami sedar yang kami hanya tinggal RMB40 (+- RM28) sahaja pada ketika itu. Jadi terpaksa menahan kemahuan, kami keluar untuk menukar wang, kerana pada masa sama, saya membawa wang RM200 bersama.

Kebab daging sedang dibakar di Bazar Jumaat di Jalan Lanpu.

Lalu kami ke bank yang terdekat iaitu ICBC Bank, Bank of China dan Bank of Construction China. Namun malangnya, bank-bank tersebut tidak menerima Ringgit Malaysia untuk ditukarkan. Pada masa yang sama, saya dimaklumkan, terdapat pengurup wang di Hotel China yang terletak di seberang jalan dan juga di Stesen Keretapi Shanghai, yang terletak satu stesen dari stesen Metro Guangzhou Yuexiu Park.

Mesin tukaran wang asing automatik di dalam 
Hotel China (ahli kumpulan hotel-hotel Marriot).


Pada masa itu, hujan agak lebat juga, namun kami redah juga, demi hendak makan di bazar Jumaat di Masjid Saad bin Abi Waqqas. Apabila sampai di dalam lobi Hotel China (hotel lebih 5 bintang), rupanya pengurup wang tersebut merupakan dua mesin wang asing automatik. Malangnya mesin itu hanya menerima matawang utama dunia seperti Dollar Amerika Syarikat, Euro, Yen Jepun dan sebagainya. Ringgit Malaysia tidak termasuk. Maka terpaksa kami ke Stesen Keretapi Guangzhou pula.



Peta: Perjalanan Metro Guangzhou dari stesen Yuexiu Park ke stesen keretapi Guangzhou.


Kami ke Stesen keretapi Guangzhou dengan menaiki tren Metro Guangzhou. Sampai kami di stesen itu, hujan masih belum reda. Kami mencari juga namun tidak jumpa juga. Lebih sejam juga kami di stesen tersebut. Akhirnya kami pulang ke hotel penginapan dengan perasan hampa.


Stesen keretapi Guangzhou.

Mungkin bukan rezeki kami kerana tidak dapat makan makanan di bazar Jumaat Masjid Saad bin Abi Waqqas. Kami sampai di hotel dalam keadaan basah kuyup, dan makan bekalan makanan yang ada sahaja. Pengajaran buat kami, agar pada masa akan datang, apabila datang ke China, kena tukar wang siap-siap, kerana di jalanan di bandar-bandar di China, pengurup wang agak sukar dicari, jika ada pun banyak yang tidak menerima wang Ringgit Malaysia.

Pada waktu malamnya, kami ke pasar Mu Pai Tou untuk membeli barang-barang untuk makan malam. Setelah itu kami pun berehat secukupnya kerana kami hendak pulang ke Malaysia pada keesokan harinya melalui Macau.

Bersambung ke Hari 6 & 7.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or 
  • Day 6 & 7.