Sabtu, 22 Ogos 2015

Hari 4 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - Wah, Taj Mahal Di Depan Mataku!.

Dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5 & 6. 




03 Mei 2015 (Ahad)

Azan subuh sayup-sayup kedengaran pada pukul 4:50 pagi (lebih kurang). Semasa itu saya sudah setengah jam bangun. Pintu masuk ke Taj Mahal hanya akan bukan pada jam 6:00 pagi di pintu barat & timur manakala di pintu selatan hanya di buka pukul 8:00 pagi.

Pukul 5:45 pagi, setelah membersihkan diri, kami pun turun untuk bertanyakan beberapa soalan kepada petugas kaunter. Pertama, walaupun waktu daftar keluar dipaparkan adalah pukul 10:00 pagi, kami boleh daftar keluar sehingga pukul 2:00 petang, jadi tidak perlu membawa keluar beg kami. Kedua, malangnya, sarapan belum siap lagi, jadi kami terus berjalan ke pintu timur untuk masuk. (Keputusan yang silap, lagi bagus kalau kami ke pintu barat, hendak tahu kenapa, kena teruskan membaca).

Kami berjalan kaki tidak begitu lama, selang 10 minit sudah sampai ke pintu timur Taj Mahal. Namun semasa perjalanan, bau tahi lembu jelas mengiringi perjalanan kami, memang banyak bersepak di atas jalan. Ketika sampai di pintu timur, terdapat sekumpulan pelancong dari Jepun telah beratur dan terdapat tiket masuk di tangan mereka. Saya pun bertanya, di mana hendak beli tiket, dan dijawab oleh salah seorang petugas, perlu membelinya di kaunter kira-kira hampir satu kilometer ke timur pintu ini. 

Memang silap, namun ketika itu terdapat sebuah kereta buggy sampai membawa beberapa orang pengunjung. Saya dimaklumkan kami boleh menaiki kereta tersebut dengan percuma kerana kami pelancong asing. Kalau warganegara India, perlu bayar 25 (=- RM1.50) untuk menaikinya. Kami pun segera naik, jenuh hendak berjalan dekat satu kilometer.

Setelah dalam 3 minit, sampai juga kereta buggy itu ke kaunter. Dalam perjalanan, pemandu kereta buggy itu berkata, pintu masuk timur ini adalah pintu masuk "VIP", kerana pelancong-pelancong pakej yang menaiki bas kebanyakan melalui pintu ini. Ia juga paling kurang sesak di antara ketiga-tiga pintu. Betul juga, kerana sepanjang perjalanan, terdapat banyak rumah-rumah yang besar di kiri-kanan jalan.






Sampai di bangunan yang menempatkan kaunter, kami terus ke kaunter untuk membeli tiket. Di sini sudah mula aktiviti tout yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti mengambil gambar, menjadi pemandu pelancong dan sebagainya. Kami tidak ambil endah, terus ke kaunter. Terdapat pengasingan kaunter untuk pelancong luar negara dan warga negara India. Ini kerana tiket masuk bukan warganegara India adalah sebanyak ₹750 (+- RM45) termasuk sebotol air minuman, sepasang sarung kaki dan kemasukan tandas. Manakala untuk warganegara India hanya ₹20 (+- RM1.20) sahaja, tetapi tiada diberikan air minuman dan sarung kaki serta setiap kali hendak masuk ke tandas perlu bayar sebanyak ₹25 (+- RM1.50)! Masuk ke dalam tandas lagi mahal dari tiket masuk, huhuhu.





Selepas membayar ₹1500 (+- RM90) untuk dua orang dan mendapat tiket masuk, kami segera ke kaunter untuk mengambil sarung kaki dan air minuman botol. Juga diberikan booklet maklumat tentang Taj Mahal. Di tatkala itu, terdapat seorang tout yang sibuk "membantu" kami. Sehinggakan sampai hendak tempat menunggu kereta buggy tadi pun "sibuk" "membantu". Rupa-rupanya dia hendak memancing kami untuk mendapatkan khidmatnya.


Harga asal (standard) bagi pemandu pelancong adalah ₹2000 (+- RM120), namun dia sedia berunding. Biasanya saya akan cekal tidak mahu, namun kali ini kami seolah-olah dipukau. Tout itu menanyakan berapa harga kami boleh bayar. Saya kata, kami bukan orang kaya dan kami ini cuma backpackers sahaja. Dia bertanyakan kepada isteri saya, dan dijawab kalau ₹200 (+- RM12) bolehlah, namun tout itu terus bersetuju. Kami terperangkap. Jadi dia mengikutlah kami menaiki buggy. Namun khidmatnya memang bagus, dilayan kita macam VIP, sampaikan tout yang lain tidak boleh rapat. Macam mafia pun ada, hahaha, gengster Bollywood. Saya bertanyakan nama tout itu, Gulshan Javed namanya, mengaku bahawa dia seorang Islam.


Sampailah kami semula ke pintu masuk timur Taj Mahal. Biasalah di India, ada pemeriksaan keselamatan oleh pihak Polis dengan siap ada alat pengesan logam. Selepas itu diperiksa pula beg kami. Kami memang bersiap-siap tidak membawa barang-barang yang biasa tidak boleh dibawa seperti makanan, alat yang boleh mencetuskan api seperti pemetik api, bahan bacaan dan sebagainya. Masalahnya pihak keselamatan semasa memeriksa beg kami, tidak membenarkan kami membawa selfie stick (monopod) dan kain sejadah. Kalau monopod  itu tidak mengapa tapi sejadah. Kerana saya tahu masjid di India ini bukan bersih (sebagaimana di Jama Masjid di Delhi). Tapi tempat orang, biarlah, ikut sahaja, kalau nak rampas pun tidak mengapa, boleh beli baru. Bukan mahal mana.

Tiba-tiba si Gulshan yang hilang semasa pemeriksaan keselamatan, muncul kembali dan "berbincang" dengan polis terbabit untuk menyimpan barang-barang tersebut di rumahnya yang dekat dengan Taj Mahal. Jadi niat nak "halalkan" barang kami, akhirnya "diselamatkan".



Kami pun berjalan, rupanya belum masuk lagi kawasan Taj Mahal, baru lapisan pertama. Difahamkan, kawasan lapisan pertama ini adalah bilik-bilik untuk isteri-isteri Shah Jahan. Memang banyak. Rata-rata bangunan dan tembok kota yang didirikan berwarna merah, yang batunya adalah dari Agra sendiri. Gulshan memang banyak menceritakan kisah, tapi banyak saya dah tahu dari kajian saya sendiri. Cuma yang baru saya perasan, setelah nampak dengan mata saya sendiri, setiap bangunan yang didirikan mesti ada pasangannya. Contohnya pintu barat dengan pintu timur, pintu selatan dengan pintu masuk ke lapisan kedua, iaitu pintu masuk ke taman laman Taj Mahal.



Kemudian kami pun masuk ke lapisan kedua untuk masuk melihat Taj Mahal yang dinanti-nantikan. Memang menakjubkan, rupanya seni bina kompleks Taj Mahal ini memang diukur dengan tepat dan persis sekali. Bayangkan kalau kita berdiri di petak jubin di tengah-tengah pintu masuk, kita akan nampak Taj Mahal dengan keempat-empat menara. Apabila kita melangkah satu jubin ke kiri atau ke kanan, satu menara akan "hilang" atau tidak kelihatan. Langkah ke satu jubin lagi, satu menara lain akan hilang. (Boleh lihat video di bawah untuk demonstrasi).


Satu lagi keajaiban, dengan jubin yang sama, biasanya jika kita melangkah ke belakang, sesuatu objek akan mengecil, namun tidak Taj Mahal. Sebaliknya ia akan membesar, boleh rujuk video di atas untuk menyaksikannya. Jadi inilah Taj Mahal, apa yang kuimpikan untuk melihatnya, kini di depan mataku. Dengan itu, saya telah mencapat 7Wonders Baru kedua setelah Tembok Besar China pada tahun 2003 dan ketiga jika termasuk Piramid Giza pada tahun 2013. Memang bertuah dan gembira tidak kepalang.





Memang cantik taman laman Taj Mahal ini. Agak terjaga dan bersih. Mungkin kerana ia dikawal dan sentiasa diperhatikan oleh pihak pengurusan. Maklumlah budaya orang India ini, membuang, tidak kira sampah atau bahan buangan sendiri, merata-rata. Di kompleks Taj Mahal ini juga berbeza dengan tempat yang mempunyai ikon Islam yang lain, agak bersih. Jika di tempat lain, agak kurang terjaga. 

Tapi difahamkan, satu ketika dahulu, Taj Mahal ini sebenarnya tidak terjaga juga. Setelah menjadi tempat kunjungan utama di India, barulah ia mula terjaga dan akhirnya tiket masuk pun menjadi mahal. 

Sampaikan ada lawak dalam Bahasa Melayu/Indonesia yang mengatakan setiap tempat yang mempunyai nama Mahal di India, tidak kira Taj Mahal, restoran, hotel atau apa-apa pun, ia mesti mahal. Hahaha...

Memanglah, kerana Mahal dalam bahasa Urdu/Hindi bermaksud Istana. Jadi Taj pula bermaksud Mahkota, jadi Taj Mahal adalah Mahkota Istana.





Aduh, masa ini pula, isteri saya mulai sakit. Katanya perutnya meragam, hairan, apa yang dia makan, saya makan. Saya pula tidak sakit perut. Tidak mengapalah, duduklah kami berehat sambil melihat permandangan Taj Mahal ini.


Sambil isteri saya duduk berehat di atas bangku, saya pun ambil kesempatan untuk mengambil gambar. Saya pun duduk di tengah-tengah kawasan laman yang luas itu dan mengambil gambar seperti di atas dan di bawah ini. Memang betullah, setiap bangunan mempunyai kembar. Termasuk Taj Mahal sendiri. Sila lihat seni arca dan hiasan pintu masuk dan Taj Mahal. Ia sama! 

Sebenarnya, Taj Mahal sepatutnya mempunyai kembar berwarna hitam di seberang Sungai Yamuna, tetapi tidak jadi kerana Shah Jahan digulingkan kuasanya oleh anaknya Aurangzeb.



Jadi mendapat tempat yang baik, Gulshan segera memanggil kami untuk bergambar. Memang Gulshan ini kerjanya pegang telefon saya dan ambil gambar. Nasib baik gambar yang diambilnya cantik. Jadi, seperti pengawal peribadi, dikawal tempat duduk yang pernah mendiang Puteri Diana dari Wales mengambil gambar. Jadi dapat kenangan kami, pasangan romantis kenangan di Taj Mahal.


Ok, inilah muka si Gulshan Javed itu. Kalau lihat ada ala-ala Anil Kapoor pun ada dan kalau pakai cermin mata hitam, seperti Jackie Shroof pun ada, cuma yang dia ni jenis gred rendah la, huhuhu. Isteri saya kembali berehat di bangku, dan saya sempat menambil gambar tupai yang banyak di taman Taj Mahal ini.

Kena pula masa itu Zhafran hendak sampai ke Agra dengan keretapi. Si Ghulshan pula beriya-iya hendak mengambil Zhafran dari luar. Jadi tinggallah kami di dalam kompleks Taj Mahal ini.



Sementara menunggu Gulshan dan Zhafran sampai, isteri saya sudah agak sihat yang setelah beberapa kali masuk tandas, nasib masuk banyak kali pun tidak perlu bayar. Tandas ia agak bersih juga, tidak seperti tandas awam lain di Delhi & Agra. Kami pun berjalan menuju ke bangunan Taj Mahal. Kami pergi ke masjid yang terletak di sebelah timur atau kiri Taj Mahal.


Masjid ini sebenarnya masih aktif di mana akan ada solat berjemaah beserta azan sebanyak 2 kali sehari iaitu semasa Zohor dan Asar sahaja. Waktu lain tidak dibuat kerana bukan waktu operasi lawatan Taj Mahal. Selain itu, masjid ini juga dibuka semasa hari Jumaat untuk solat Jumaat sahaja, walaupun Taj Mahal pada hari tersebut ditutup untuk lawatan. Namun hanya warganegara India yang beragama Islam sahaja boleh masuk pada hari tersebut.


Sayangnya masjid ini agak kotor, malah tiada penjaga ketika kami di situ. Saya pun hairan kenapa polis di pintu masuk cuba merampas sejadah kami. Bukan hendak buat apa-apa pun, lagipun hendak solat. Sudahlah mereka itu bukan Islam. Kami pun solat sunat di masjid itu.

Terdapat pengunjung bukan beragama Islam dengan selamba memakai selipar, walaupun sebenarnya kawasan masjid dan bangunan Taj Mahal sendiri tidak boleh memakai kasut/selipar. Gulshan yang tiba pada masa itu bersama Zhafran, menegur atau lebih kepada marah kepada mereka. Memang kurang ajar. 

Tiket Zhafran berbeza dengan kami, jadi kami mengambil gambar tiket tersebut. Sambil itu terdapat sekumpulan pengunjung-pengunjung dari Malaysia dan kami pun menegur mereka. Kena tegur, jadi tak adalah kata orang Malaysia bila di luar negara, sombong sesama kita.



Seterusnya kami pun ke bangunan Taj Mahal. Untuk masuk ke bangunan ini perlu buka kasut/selipar berkaki ayam atau memakai sarung kasut yang telah dibekalkan. Kami menggunakan sarung kasut itu, malas hendak meninggalkan kasut, takut hilang.


Taj Mahal ini diarah untuk bina oleh Shah Jahan, maharaja kerajaan Mughal yang memerintah kawasan utara India. Ia siap dibina pada tahun 1632 dan ia bukan masjid tetapi makam untuk salah seorang isterinya yang paling dicintai yang digelar Mumtaz Mahal bermaksud Permata Istana. Untuk maklumat lebih lanjut boleh Google atau baca mengenai Taj Mahal di dalam Wikipedia.


Apabila di dalam, memang agak sejuk berbanding luar, dan ia agak gelap. Kamera memang tidak dibenarkan. Namun sempat juga ambil gambar di atas, kerana ingin menunjukan apabila menyuluh batu asal yang menjadi hiasan, ia akan seperti menyala sebagaimana jika kita bekalkan kuasa elektrik kepada lampu neon. Jika disuluh kepada batu yang lebih baru (kerana terdapat batu asal yang hilang akibat kurang penyelenggaran satu ketika dulu atau penjarahan), ia akan gelap.


Terdapat juga ruang yang apabila kita menjerit, ia akan bergema tetapi suara kita akan jadi lebih lunak atau merdu. Kalau kita nyanyi lagu yang sayu, rasanya akan menitis air mata rasanya. Sambil itu, terdapat ruang-ruang jeriji, yang mana kalau ambil gambar ke luar, menjadi gambar yang cantik sebagaimana gambar di atas, yang saya ambil gambar masjid Taj Mahal dari dalam Taj Mahal.


Taj Mahal ini dibuat dari batu marmar yang diambil dari Makrana, kira-kira 400 kilometer ke barat Agra, memasuki negeri Rajasthan. Memang batu itu akan terus sejuk, walaupun matahari terik memancar tegak tinggi di langit. Agaknya bagaimana ia di bawa dari Makrana ke Agra pada zaman ia dibina dulu. Bukannya dekat. Nasib baik marmar Makrana, kalau ia dibina dengan marmar Itali, lagi tidak tercapai dek akalmu, huhuhu...






Seterusnya kami mengambil beberapa gambar kenangan dan terus keluar dari kompleks Taj Mahal ini. Maklumlah, sedar tak sedar sudah lebih sekiit dari pukul 11:00 pagi, lebih 5 jam dalam kompleks Taj Mahal ini.


Namun sebelum keluar, berlaku benda tidak seronok. Si Gulshan ini buat hal. Kami mahu bayar lebih sedikit iaitu ₹500 (+- RM30) dari ₹200 (+- RM12 dari persetujuan awal), namun Gulshan yang kata ikut ikhlas kami nak bayar banyak mana, mula mempertikaikan kerana khidmat diberikan tidak sama dengan diterima. Jadi hilang mood kami sepanjang berada di Taj Mahal ini. Bermakna kami telah kena scam! Siap ugut bahawa dia kenal gengster-gengster Agra. Jadi setelah berbincang, kami akhirnya bersetuju dengan jumlah kami beri dengan tambahan ₹200 (+- RM12 dari Zhafran). 

Tapi memandangkan ia pegang barangan kami serta beg Zhafran (yang ada kamera DCLR di dalamnya), maka Zhafran perlu ikut ke rumahnya. Saya dan isteri terus keluar ke pintu selatan, terus ke hotel untuk daftar keluar dan makan sarapan yang pihak hotel masih simpankan untuk kami.

Setelah menikmati sarapan lewat dengan roti pratha dan beberapa makanan lain serta minuman cai (teh susu), sampailah Zhafran dan Gulshan. La ada lagi dia, ingat dah habis. Memang dah habis, tapi agaknya cuba lagi saat-saat akhir. Akhirnya kami pun mengambil keputusan untuk segera balik ke Delhi secepat mungkin.

Nasib baik saya boleh batalkan tempahan tiket keretapi kami untuk malam itu melalui aplikasi ClearTrip di dalam telefon sahaja. Cuma tidak dapat penuh lah. Jadi kami segera memberitahu pihak hotel untuk menyediakan pengangkutan percuma untuk ke stesen keretapi Agra Cantt. Jadi disediakan auto untuk kami, tetapi...


Si Gulshan ikut naik sama. Kami jadi gabra dan risau. Rupanya dia hendak tumpang untuk ke kawasan tidak jauh dari situ. Setelah dia turun, barulah lega, dan kami minta pemandu auto untuk  segera terus ke stesen keretapi Agra Cantt. Sampai di stesen keretapi, barulah lega hati kami.


Di stesen keretapi, kami bingung untuk membeli tiket. Pergi beratur (atau lebih tepat berebut, kerana orang India tidak beratur, kalau kita beratur, majoriti dengan selamba memotong barisan kita) depan kaunter, sampai giliran kata kaunter lain. Itu satu masalah, satu lagi, ada yang tidak faham Bahasa Inggeris atau sengaja buat tidak faham, tapi saya rasa memang tidak faham. Ada yang faham pun, kami yang tidak faham Bahasa Inggeris mereka, huhuhu. Memang kelam kabut.

Akhirnya dapat juga beli juga di kaunter yang terletak hujung bangunan sebelah kiri (jika kita berada di pintu masuk menghala ke luar stesen) dengan harga ₹90 (+- RM5.40). Tapi kami tidak memahami apa yang tertulis di atas tiket tersebut kecuali tertulis ₹90 sahaja. Bertanyalah banyak orang, namun tiada hasil. Akhirnya terdapat seorang yang agak fasih berbahasa Inggeris memaklumkan bahawa tiket kami ini adalah tiket biasa yang membolehkan kami menaiki mana-mana perkhidmatan keretapi tetapi hanya untuk kelas tiga. 


Kelas tiga, ooo baru faham. Apa kelas tiga, teringat saya apabila menaiki keretapi ke Agra tempohari, kelas tiga memang sesak. Apa nak buat, sudah beli,jadi menunggulah kami keretapi seterusnya ke New Delhi iaitu 12803 Swarna Jayanti Express PT dari Visakhapatnam. Namun ia tidak ke stesen New Delhi tetapi hanya sampai ke Hazrat Nizamudin sahaja, yang akan tiba pada pukul 2:05 petang. Ketika itu sudah pukul 1:30 tengahari. Tidak mengapa, sudah hendak sampai.

Kami menunggu di platform 2, dengan cuaca agak panas, kami pun belilah air minuman berbotol. Sambil-sambil itu melihat sekitar. Terlihat atas landasan, ternampak pelbagai jenis bahan buangan termasuk bahan buangan manusia. Maklumlah, lubang tandas dalam keretapi terus ke tanah, tiada tangki khas. Sempat kami berbual dengan sepasangan dari Amerika Syarikat yang datang melancong.


Akhirnya pada jam 2:00 petang, keretapi tersebut sampai. Pasangan Amerika itu menaiki kelas pertama, cuma kami akan ke kelas tiga. Namun, apabila sampai, mak oi, nak masuk pun tidak boleh, orang agak ramai sampai terkeluar dari gerabak. Boleh ke kita bertahan selama dekat empat jam begini. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk masuk ke sleeper kelas 2, mana tahu sebelah tingkap ada yang sudi berkongsi duduk dengan kami. Kan hukum karma, sekejap je. Nasib baik ada satu tempat yang tiada orang, agaknya. Agaknya kalau saya tidak benarkan orang duduk dengan saya semasa keretapi datang, mungkin kali ini tidak dapat duduk. Kami pun dengan gamblenya dan selambanya duduk di situ. Kena denda pun tidak mengapalah. Janji sampai.

Alhamdulillah perjalanan tiga jam lebih, tiada pemeriksa keretapi datang untuk memeriksa tiket sehingga stesen terakhir di Hazrat Nizamudin. Sepanjang perjalanan, saya dan Zhafran berjalan-jalan ke gerabak ke gerabak lain, dapat melihat keadaan keretapi di India. sambil itu belilah sedikit minuman dan makanan. Akhirnya pada jam 5:15 petang, sampailah kami di stesen Hazrat Nizamudin.


Sampai sahaja ke stesen, kami keluar untuk mencari auto untuk kembali ke Paharganj. Sampai ke sana, kami ke Main Bazar kerana Zhafran ingin menunjukan kedai jahit yang lain dari kami datang tempohari kerana harga kemejanya agak murah sikit dan jahitan lebih berkualiti. Cuma pada esoknya (hari Isnin) kedai ini tutup, jadi kami akan meminta Zhafran untuk mengambilnya, kerana penerbangan pulang ke Malaysianya pada hari Selasa sebelah malam. Tambahan pula, tempahan kami tempohari pun belum siap. Makan dia akan ambil kedua-duanya. Di kedai baru, kami membelanjakan ₹2000 (+- RM120) untuk tiga pasang kemeja (dua pasang untuk isteri saya dan sepasang untuk saya).

Setelah itu, kami pun pulang ke hotel masing-masing untuk daftar masuk semula.


Jam 8:30 malam, setelah kami membersihkan diri dan sebagainya, Zhafran menelefon saya untuk makan malam. Kami pun menunggu di depan hotel dan Zhafran pun sampai. Kami terus menahan auto untuk ke Chadni Chowk. Kali ini makan di Karim's pula. Memang sedap, lebih kurang sama dengan Jawahar. Cuma ada hidangan murah di Karim's ada yang lain murah pula di Jawahar. Tapi memang biryani kambing di Chadni Chowk memang terbaik.


Setelah, selesai makan, kami berjalan-jalan untuk melihat keadaan malam di sini. Memang hidup lagi walaupun sudah pukul 10:00 malam. Kami sempat melihat peniaga-peniaga di sini berniaga terutama di kedai yang menjual sish kebab dan tika. Memang mengasyikkan. Harga pun murah, di mana secucuk sish kebab atau tika adalah ₹10 (+- RM0.60) sahaja. Tika (seperti tandoori cuma dipotong kecil-kecil) di sini bukannya ayam seperti Malaysia tetapi daging lembu. Zhafran membelanja kami beberapa cucuk sish kebab kambing dan tika daging lembu untuk kami bawa balik. Terima kasih Zhaf. Kami pun pulang ke hotel.



Sampai di hotel kami pun merehatkan diri sambil melayan menonton televisyen yang banyak saluran. Kami pun tidak sedar bila kami tidur sambil televisyen menonton kami. Kami kepenatan agaknya.


Bersambung ke Hari 5 & 6.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5 & 6. 

Jumaat, 14 Ogos 2015

Hari 3 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - Keretapi India, Pengalaman Berharga.

Dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3 (this part);
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 




02 Mei 2015 (Sabtu)

Aktiviti utama untuk hari ini adalah untuk menaiki keretapi ke Agra. Perjalanan tidaklah lama sangat, sekitar hampir 5 jam, kerana kami menaiki perkhidmatan 11078 Jhelum Ekspress iaitu perkhidmatan keretapi yang berhenti di perhentian yang terhad. Jika menaiki keretapi ekspres, seperti 12001 NLDS Bhopal Shatabdi Express pula hanya akan ambil masa 2 jam 15 minit sahaja kerana dari New Delhi ke Agra tiada berhenti. 

Jadi pada pagi ini, kami mengemas pakaian dan kelengkapan-kelengkapan yang diperlukan ke Agra ke dalam beg yang lebih kecil, kerana kami berada di sana dua hari satu malam sahaja. Bakinya, kami simpan di dalam beg yang lebih besar dan akan di tinggalkan di hotel, kerana apabila pulang ke New Delhi nanti, saya sudah menempah penginapan di hotel yang sama.



Jam 9:15 pagi, kami mendaftar keluar hotel dan meminta untuk menyimpan beg besar kami di hotel. Alhamdulillah, tiada bayaran diminta. Kami berjalan dari hotel ke Stesen Keretapi New Delhi. Di dalam perjalanan, saya singgah di kedai telefon untuk menambah kredit nombor telefon India saya, sebagai persediaan jika kuota data hampir habis digunakan. Kami sampai di depan pintu barat stesen 20 minit kemudian.



Agak ramai juga orang di stesen ini. Mungkin kerana terdapat banyak keretapi akan berlepas dari stesen ini pada pagi ini. Hendak sampai ke bangunan stesen pun kena meredah parkir kereta dan juga teksi-teksi, auto-auto dan kereta-kereta yang berhenti di hadapan bangunan. Jika mengelak orang-orang yang lalu-lalang.


Sampai di bangunan, ternampak papan tanda arah menunjukan ke International Tourist Bureau di tingkat 1. Amat jelas, jadi tidak perlu ikut rayuan orang yang tidak berkenaan. Namun kami tidak pergi ke situ kerana sudah ada tiket. Tiket yang diberikan ClearTrip oleh boleh digunakan terus tanpa perlu menukar tiket. Semasa kami di sana, tiada pula tout atau ulat yang cuba membuat scam atau penipuan kepada kami. Melainkan kalau berjalan di luar kawasan keretapi, lebih tepat di kawasan Main Bazar, Pahar Ganj. Di sana banyak agensi perlancongan yang terpampang tertulis perkhidmatan mereka diluluskan kerajaan dan pelbagai tektik yang mengelirukan. Tidak perlu menggunakan khidmat mereka, terus sahaja ke International Tourist Bureau di stesen keretapi untuk membeli tiket kuota pelancong asing.


Kami melihat papan kenyataan mengenai jadual perjalanan keretapi dan platformnya. Kena ingat, di Stesen Keretapi New Delhi ini, terdapat 16 platform! Jadi jangan keliru. Di situ, terpapar 11078 Jhelum Express akan berhenti di platform 4. Jadi kami terus ke platform. Dalam perjalanan, dapat kelihatan ramai orang selamba duduk baring di lantai bangunan stesen ini.


Sebelum memasuki platform, pemeriksaan keselamatan akan dibuat oleh pihak polis. Beg kita akan diimbas di mesin pengimbas x-ray, dan kita juga akan diperiksa badan kita. Memang agak ketat juga. Di India ini, banyak tempat ada pemeriksaan sebelum memasuki tempat tersebut. Cuma, polis tersebut tidak memeriksa tiket keretapi. Jadi bermakna, kita boleh gunakan kawasan dalam stesen sebagai jalan pintas untuk ke bangunan sebelah timur stesen ini seterusnya ke luar, di mana stesen MRT New Delhi dan stesen MRT ke lapangan terbang terletak. Cuma waktu malam sahaja ia ditutup sebagaimana ketika kami baru sampai ke New Delhi tempohari.


Setelah itu, kami menaiki jejantas untuk ke platform. Kiranya platform di stesen keretapi ini adalah ruangan terbuka, kecuali terdapat bumbung di platform. Kalau tengok keadaan memang tidak berapa moden walaupun stesen ini merupakan stesen agak baru berbanding stesen-stesen lain di Delhi ini. Kalau kita, nampak seperti kelam-kabut. Di platform, terdapat juga gerai-gerai menjual makanan dan minuman. Juga terdapat juga papan kenyataan untuk menampal senarai nama penumpang bagi perkhidmatan keretapi berkaitan. Cuma bagi Jhelum Express ini, tiada pula senarai tersebut.


Kami pun berdiri di platform 4 sambil melihat gelagat-gelagat orang-orang sekitar platform 4 dan berdekatan. Hendak duduk, kerusi sudah habis digunakan, bukan sahaja untuk duduk, malah baring. Hendak duduk di lantai seperti beberapa orang lain, lantai agak berdebu, hehehe. Jadi berdirilah kami.


Akhirnya pukul 10:00 minit, keretapi 11078 Jhelum Express, sebagaimana diumumkan di pembesar suara (agak kurang jelas) dan paparan di tepi gerabak keretapi sampai dari Shabzi Mandi (perhentian sebelumnya). 11078 Jhelum Express ini sebenarnya bermula dari stesen Jammu Tawi di Jammu Kashmir dan stesen terakhirnya adalah di Pune, berhampiran Mumbai di negeri Maharasta, iaitu perjalanan sejauh 2176 km mengambil masa hampir 2 hari!

Kami mencari gerabak kami dan kemudian tempat duduk kami. Ruangan sebelah atas kosong tetapi ruangan bawah, alamak ada orang duduk. Bagi saya tidak mengapa kerana saya hendak duduk je. Ruangan ini sebenarnya adalah tempat tidur jadi bolehlah tiga orang duduk. Jadi tidak mengapa jika mereka hendak tumpang, saya pun bukan hendak baring.


Ruangan kami adalah sebelah tingkat, hanya ada dua ruangan, atas dan bawah. Terdapat juga jenis lain di sebelah kami di mana terdapat 6 orang duduk dan ruangan baring di atas dan tengah. Yang tengah itu dilipat bagi membolehkan yang bawah dijadikan tempat duduk, di mana ia menjadi alas belakang orang yang duduk. Bermakna dua tingkat bahagian kami dan tiga tingkat bahagian satu lagi.


Gambar di atas adalah keadaan dalam gerabak keretapi komuter di New Delhi yang saya ambil dari tingkap ketika keretapi komuter itu berhenti di platform sebelah. Sudahlah tiada pendingin hawa, gelap pula tu. Lain padang, lain belakang. Bersyukur menjadi rakyat Malaysia. Tepat jam 10.15 pagi, keretapi kami pun berlepas dari stesen.




Akhirnya merasa juga pengalaman menaik keretapi di India. Sebenarnya agak selesa juga, Malah di koc ini terdapat suis elektrik. Jadi dapatlah saya mengecaj telefon bimbit saya. Saya juga dapat melihat suasana sepanjang tepi landasan keretapi. Masih banyak lagi rumah yang agak buruk dan daif. Terdapat juga ladang-ladang yang subur sepanjang perjalanan. Keretapi ini melalui wilayah New Delhi, negeri Haryana dan negeri Uttar Pradesh. Agak laju juga keretapi ini dibawa sehinggakan terasa nyaman. Cuma ketika sampai di sempadan negeri Uttar Pradesh, terasa bahang lebih panas. Memang dimaklumkan bahawa di Uttar Pradesh Barat memang lebih panas dari Delhi.

Orang yang tidak berkenaan yang duduk di tempat duduk saya telah beredar dan isteri saya turun untuk duduk bersama saya. Dia kata duduk di atas agak panas. Tatkala dia sudah di bawah, ada pula orang lain duduk di tempatnya tadi. Sebenarnya kemungkinan mereka ini mempunyai tiket di gerabak lain, kemungkinan besar di kelas 3. Tidak mengapalah, itu budaya mereka. Mana tahu, satu hari nanti kalau kita menolong mereka, kita pula akan ditolongkan. Ada sahaja pemeriksa tiket datang memeriksa bersama polis pula tu, tapi tidak dikuatkuasakan pun sebenarnya. Ada hikmahnya.


Sepanjang perjalanan, terdapat pekerja-pekerja keretapi membawa makanan dan minuman untuk jualan. Harga pun tidak jauh beza dengan di tempat biasa. Kebanyakannya dijual dengan ₹10 (+- RM0.60). Saya pun mencuba kacang kuda dimasak berempah (gambar di atas). Air minuman botol (air mineral) dan ais krim (gambar di bawah) dijual pada ₹20 (+- RM1.20). Cuma kagum dengan mereka yang menjual, tahan tangan mereka membawa makanan & minuman sepanjang gerabak-gerabak yang bukan pendek. Keseronokan itu menyebabkan saya tidak tidur sepanjang perjalanan.



Akhirnya setelah 4 jam setengah iaitu pada pukul 2:45 petang, sampailah keretapi kami ke Stesen Keretapi Agra Cantonment atau biasa ditulis Agra Cantt. Di sini lagi selamba orang-orangnya, boleh baring di tengah-tengah orang lalu lalang. Tiba-tiba kami merasakan orang agak ramai dan sesak di sini. Mungkin masa ini adalah masa puncak di stesen ini. Kami segera mencari jalan keluar dari kawasan stesen. Memang agak kelam kabut. 





Ketemu juga kami dengan pintu masuk/keluar utama stesen ini. Memang terasa bahang panas di sini. Kami mencari auto untuk ke hotel kami yang terletak di pintu selatan Kompleks Taj Mahal. 


Sebenarnya terdapat ramai ulat-ulat teksi dan auto di stesen keretapi Agra Cantt. ini. Cuma untuk langkah selamat agar tidak tertipu, boleh ke kaunter teksi pra bayar yang sebelah kanan setelah keluar dari pintu utama stesen ini. Kaunter ini dikendalikan oleh Polis Uttar Pradesh (negeri di mana Agra terletak). Harga di sini sudah ditetapkan di mana untuk ke pintu selatan Taj Mahal, perlu membayar ₹200 (+- RM12.00) untuk teksi atau ₹120 (+- RM7.20) untuk auto. Kami pun mengambil auto untuk ke hotel kami yang terletak tidak jauh dari pintu selatan Taj Mahal.

(Namun sebenarnya ada cara lebih murah iaitu berjalan ke jalan utama iaitu setelah keluar dari stesen keretapi, ambil arah kiri dan susur jalan sehingga sampai ke jalan utama. Di situ boleh bertanya mana-mana auto atau teksi dan berusaha untuk tawar-menawar. Kawan saya mendapat ₹70 (+- RM4.20) untuk ke pintu selatan Taj Mahal.)


Pemandu auto kami ini baik orangnya. Terus membawa kami ke tempat tujuan tanpa membelok ke arah lain. Mungkin agaknya pasal saya membuka aplikasi Google Maps di telefon saya. Memang saya jenis membeli kad SIM berdata, kerana ini antara penyelamat saya mengelak pelbagai scam dan tout di pelbagai negara sebelum ini. Tapi dia (namanya Devi Singh bernombor telefon +91 80 57519754) memang baik. Siap bagi penerangan bangunan sepanjang jalan. Malah tidak mempromosikan perkhidmatan sampingan sebagai mana pemandu auto di Agra yang kami gunakan selepas itu (menyebabkan kami tidak ambil nombor telefon, walaupun pemandu Islam).


Terdapat banyak tugu-tugu wira-wira zaman silam sepanjang jalan dari stesen keretapi Agra Cantt. Kebanyakannya tugu-tugu pemerintah-pemerintah dan wira-wira Islam dari Dinasti Mughal seperti Aurangzeb, Shah Jahan dan sebagainya.


Selepas 15 minit, maka sampailah kami di kawasan pintu selatan Taj Mahal, membayar ₹120  kepada Devi Singh dan berjalan sedikit untuk sampai ke Hotel Raj Bed & Breakfast. Tidak jauh sebenarnya. Malah kalau jalan lebih sedikit, sudah sampai ke pintu masuk ke Taj Mahal. Suasana pun agak meriah di sini dengan pelbagai jualan cenderahati.



Urusan daftar masuk selesai dan kami terus di bawa ke bilik kami. Bilik kami betul-betul di kawasan hadapat hotel, yang mempunyai akses ke beranda. Kemudahan agak baik dengan tuala, sabun, tisu, tv kabel, peti ais dan penghawa dingin serta kipas. Tapi biasalah, pendingin hawa di India jenis lama, yang sudah kurang dipakai di Malaysia. Bilik agak bersih cuma kurang terjaga dari segi keuzurannya. Jadilah, yang penting kedudukan strategik.


Hotel ini agak baik sebenarnya, tapi kurang selenggaraan, satu yang biasa di India. Walaupun bersih namun perlu pakai selipar kerana berdebu. Setelah meletakan beg dan mengemas apa yang patut, kami pun keluar semula untuk jalan-jalan sekitar kawasan hotel. Hari ini kami tidak mahu masuk lagi ke Taj Mahal.


Kawasan sekitar Tajganj (iaitu kawasan tempat hotel kami) agak berselerak dan tidak teratur, lebih kurang sama sahaja dengan Paharganj dan Chadni Chowk di Delhi. Kemudahan untuk membeli barangan makan agak mudah tetapi jika membeli air berbotol, sila pastikan penutupnya ditutup dengan baik (sealed) oleh kilang. Terdapat juga yang menjual air minuman berbotol berjenama tetapi sebenarnya ia diisi semula sendiri, jadi hati-hati. Sebenarnya kawasan Tajganj ini banyak juga dihuni oleh penduduk Islam.

Setelah berjalan-jalan dalam setengah jam, kami menahan sebuah auto yang kebetulan pemandunya beragama Islam. Saya meminta untuk ke restoran makanan halal, jadi mudahlah dia memahami dan membawanya terus. Saya buat tawaran dan akhirnya dapat membayar ₹100 (+- Rm6.00) untuk perjalanan pergi balik.


Kami di bawa ke restoran Indianan, yang agak popular. Perjalanannya tidaklah jauh mana, tapi jika berjalan kaki agak jauh juga. Saya sudah fikirkan, agak mahal juga restoran ini, tapi apakan daya, saya masih risau hendak makan street food di India, maka masuk sahajalah, perut pun keroncong ni.


Kami memesan nasi putih dua pinggan (beras basmati, tidaklah putih sangat, cuma harga sepinggan ₹50 (+- RM3.00)!), air minuman botol sebotol (walaupun ada air dalam jag yang percuma), 2 keping roti nan kecil dan hidangan utama, Rohan Josh Kambing, sejenis kari yang terkenal di Kashmir. Saya pernah makan Rohan Josh di Malaysia, bagi saya kari terbaik, jadi saya ingin cuba di India pula.


Makanan pun sampai, dan apa lagi, makanlah pasal sudah tidak tahan, huhuhu. Tapi makan dengan tertib ye, kena jaga imej orang Malaysia. Agak sedap juga. Cuma makanan cepat sejuk pasal pendingin hawa yang agak kuat. Perlu juga kuat, pasal di luar amat panas lah katakan, 47 darjah Celsius!

Setelah selesai makan, walaupun tidak banyak, kami pun minta bil. Jumlah kena bayar adalah ₹1010 (+- RM60.60) (walaupun di dalam bil di bawah berjumlah ₹980 (+- RM58.80) kerana jurukira lupa memasukan roti nan kecil yang diminta kemudian). Saya memang dah agak, agak mahal di sini. Tapi memang sesuailah, memang Rohan Josh terbaik pernah saya rasa.



Keluar sahaja, kami terus ke auto kami. Autonya ada tapi pemandunya tiada, nasib baik tiada kunci, kalau tak mahu kami bawa balik auto tu buat cenderahati, hahaha. Sempatlah berposing sikit. Iyalah antara identiti India lah katakan. Hendak cerita pasal auto, rata-rata auto yang digunakan berjenama Bajaj (disebut Bajaj), iaitu jenama India sendiri. Tidak hairanlah kenderaan sama di Indonesia dipanggil Bajaj (disebut Bajai) walaupun di Thailand dipanggil tuktuk (tetapi bukan model Bajaj tapi model Suzuki Jepun). Auto di Agra tiada mempunyai meter.

Jadi saya perlu ke bilik rehat pemandu yang disediakan pemilik restoran. Sabar menanti juga pemandu auto ini kepada kami. Nasib baik kami makan sekejap je. Jadi kami pun pulang kembali ke hotel. 



Dalam perjalanan, ternampaklah pelbagai jenis haiwan menjadi kenderaan di bumi Agra ini. Semua ini berkongsi dengan kenderaan bermotor di jalan raya di Agra. Antaranya, lembu, kerbau, kuda, keldai malah terdapat unta jua (seperti gambar di bawah). Itu belum kata kambing, anjing, ayam, itik, kucing lagi (kucing agak kurang di bumi India sebenarnya berbanding anjing). Sudah jadi masa safari pun ada juga huhuhu...


Cuma yang tidak seronoknya, pemandu itu tidak habis-habis mempromosi macam-macam kepada kami. Huh, tidak sabar hendak sampai ke hotel. Nasib baik dekat sahaja.


Akhirnya kami sampai hotel. Kami pun duduk lepak sahaja di hotel. Taj Mahal tutup pada pukul 6:00 petang iaitu waktu matahari terbenam (sebenarnya pukul 5:45 petang terbenam, tapi mungkin untuk memudahkan pengunjung dan pentadbiran agaknya), namun suasana agak hidup di lorong ke pintu selatan Taj Mahal ini. Sampai pukul 10:00 malam masih ada jualan. Kami pun berehat sementara untuk memasuki Taj Mahal keesokan harinya.

Bersambung ke Hari 4.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3 (this part);
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.