Selasa, 28 Julai 2015

Hari 2 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - नमस्ते दिल्ली (Namastē (Apa Khabar) Delhi).

Dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part);
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 




01 Mei 2015 (Jumaat)

Saya telah set pada telefon bimbit saya waktu solat Subuh di New Delhi, kira-kira pukul 4:30 pagi. Sebenarnya, saya tidak boleh tidur nyenyak. Mungkin kerana teruja sampai ke negara baru. Selepas kami usai solat Subuh (secara berasingan kerana isteri saya terlelap jadi saya bagi dia tidur lama sikit), kami sambung tidur. Namun saya tidak boleh lena. Jadi saya pun mandi dan pakai baru yang segar, turun ke bawah untuk jalan sekitar hotel. Saya menelusuri Jalan D.B. Gupta ini.




Pukul 6:15 pagi, matahari mula menunjukan sinarannya di muka bumi Delhi ini. Namun, jalan-jalannya tidak sesibuk tidak seperti keadaan pagi hari bekerja di Kuala Lumpur. Agaknya masa operasi di Delhi ini agak lambat agaknya. Suasananya agak berdebu, dan agak kelam kabut sedikit susun atur bangunan dan kaki limanya. Gambar di atas adalah gambar hotel kami menginap.


Dapat juga saya melihat suasana pagi dan kerenah penduduk Delhi ini pada pagi hari. Menariknya, di Delhi ini ada banyak pengangkutan awam selain teksi dan bas, terdapat juga auto (kalau di Thailand dipanggil tuktuk) dan juga beca (tricycle). Tenang sikit pada pagi ini. Cuma masih kelihatan orang-orang tidur di kaki lima jalanan.



Setelah kira-kira setengah jam saya berpusing-pusing sekitar hotel, saya kembali ke bilik dan dapat melihat dalam banyak keadaan yang kurang moden di Delhi ini, lif di hotel saya, walaupun sempit (cukup muat untuk 4 orang sahaja), namun sistem paparan butang tingkatnya agak moden. Kalau lif-lif di Malaysia.


Sampai di bilik, saya mengajak isteri saya untuk bersarapan di kafe hotel yang terletak di tingkat paling atas (bumbung) hotel ini. Kafe untuk kami terletak di dalam dan mempunyai pintu pemisah dengan ruangan terbuka. Difahamkan, ruangan tertutup ini untuk pelancong dan golongan kasta tinggi dan ruang makan terbuka adalah untuk kasta rendah sahaja. Pintu hendaklah sentiasa tertutup, walaupun pendingin hawa tidak dibuka. Agak berkuap juga masa itu. Nasib baik bukan waktu tengahari.




Di bumbung hotel ini, dapatlah saya melihat keadaan di kawasan Pahar Ganj, New Delhi yang tidak dapat dilihat dari aras tanah. Malah dapat melihat langit di New Delhi dengan lebih jelas. Pada pagi ini kelihatan langit di sini tiada berawan dan terdapat burung-burung helang berterbangan.



Saya juga dapat melihat bagaimana persiapan memasak bagi golongan kasta rendah. Dapur bagi kafe (yang tertutup) adalah berasingan. Jika dilihat, rasanya ramai yang tidak sanggup untuk makan makanan yang dimasak oleh tukang masak bagi golongan kasta rendah, faham-faham sahaja lah, dari keadaan tempat memasak, dengan memasak dalam keadaan berlenggeng dan sebagainya. Namun bagi saya ia adalah satu perisa kehidupan...




Cuma kami bernasib baik kerana keadaan dapur kafe yang tertutup tidak begitu. Kami pun cuba memesan makanan, namun banyak yang kurang difahami di dalam menu. Jadi kami pun main pesan sahaja. Dalam 15 minit sampailah pesanan makanan kami bersama air teh susu. Rupanya bahagiannya agak sikit, menyebabkan kami menambah pesanan. Pesanan pertama adalah percuma, jadi untuk pesanan tambahan, perlu bayar. Namun saya rasakan bayaran kami tidak berbaloi dengan apa yang kami makan. Jadi esoknya, kalau tak cukup tahan dan makan di tempat lain.




Setelah selesai makan, kami pun pulang ke bilik kami. Kami dimaklumkan bahawa bilik sebenar kami telah siap, dan kami berpindah ke bilik yang sepatutnya kami masuk sejak awal lagi. Huh, bagus juga, malah seperti mewah pula melebihi bayaran yang diberikan. Kemudahan amat baik termasuk bilik airnya. Jadi untuk menghilangkan mengantuk saya, saya pun tidur dan isteri saya layan melihat siaran televisyen kabel yang agak banyak.


Pada pukul 10:45 pagi, setelah bersiap, kami pun keluar dari hotel untuk bersiar-siar di sekitar New Delhi dan Old Delhi. Barulah nampak kehidupan di Delhi ini. Kenderaan mula bersimpang-siur di jalan-jalan. Semua berkongsi jalan yang sama. Auto memang mendominasi, tetapi dalam bandaraya ini, masih terdapat kenderaan kuno masih digunakan seperti kereta lembu (gambar di atas). Menariknya, kereta lembu ini menggunakan laluan tengah, tetapi pemandu-pemandu kenderaan lain tidak pula membunyikan hon untuk memarahinya. Atau mungkin saya keliru, kerana bunyi hon memang seperti irama dan lagu di Delhi ini. Mereka membunyikan hon untuk memberitahu kehadiran mereka, bukan tanda marah macam kita di Malaysia.


Kami berjalan menyusuri jalan-jalan di Pahar Ganj ini. Melalui tepi pintu masuk barat Stesen Keretapi New Delhi, kami terus berjalan menuju ke Connaught Place atau sekarang menggunakan nama Hindi iaitu Rajiv Chowk. Jika tadi di Pahar Ganj, susunan bangunan agak kelam-kabut dan tidak berapa bersih, namun di Connaught Place agak terjaga dan bersih sedikit. Connaught Place ini bukan kawasan baru, tapi peninggalan penjajah British sebenarnya. Memang ia dahulunya dikira kawasan perniagaan kelas tinggi dan eksklusif, peranannya masih agak kekal, cuma tidaklah menjadi eksklusif, cuma kedai-kedai di sini kebanyakannya berjenama terkenal antarabangsa dan tempatan.


Di tengah-tengah kawasan Connaught Place terdapat sebuah taman yang mempunyi bendera besar India. Kami cuba mencari jalan untuk masuk tapi tidak jumpa. Kami cuma jumpa laluan ke stesen Metro di bawah tanah sahaja. Kami meneruskan perjalanan untuk ke India Gate pula. Semasa dalam perjalanan, saya menghubungi Airtel (syarikat telekomukasi yang saya beli kad SIMnya di lapangan terbang semasa tiba ke Delhi) untuk mengaktifkan. Payah juga nak aktifkan, kena hubungi, sahkan maklumat, baru boleh guna. Sudahlah operator yang menjawab panggilan mempunyai slanga Hindi yang pekat. Apa-apa pun alhamdulillah, sudah boleh online.


Kiranya kawasan selepas Connaught Place ini agak teratur susunan bangunan dan infrastrukturnya. Malah agak bersih. Banyak saya lihat rumah dan bangunan adalah milik jabatan  atau agensi kerajaan termasuk tentera. Ada juga yang dimiliki oleh kerajaan atau syarikat asing. Jika ada orang perseorangan, mungkin mereka adalah penjawat awam berpangkat kanan atau orang yang kaya. Dalam perjalanan, saya melihat sebarisan auto tersusun di tepi jalan. Rupanya, mereka ini sedang makan tengahari, dengan ada sebuah gerai kecil yang agak simple (hanya ada dapur masak dan beberapa bekas makanan sahaja). Mungkin di sini murah. Baru teringat, bahawa hari ini hari Jumaat. Saya rasa sudah masuk waktu Jumaat, tapi tidak nampak masjid. Akhirnya saya ambil keputusan untuk berniat jamak sahaja, kerana kamikan bermusafir (nak dekat 4000 km dari rumah kan).



Setelah lebih setengah jam berjalan, akhirnya sampai juga kami di kawasan taman sekitar India Gate. Agak ramai orang juga. Tatkala kami menghampiri ke tugu India Gate ini, terdapat seorang wanita dengan selamba menyucukan secebis kertas kecil di baju saya dan isteri. Rupanya kertas kecil itu adalah bendera lama India (gambar di atas). Dia menyucukan bendera kecil itu pada hampir setiap orang yang dia jumpa. Tidak lama kemudian, dia kembali kepada kami dan meminta sumbangan ikhlas, katanya untuk tabung pendidikan di sebuah sekolah. Nasib baik saya mengasingkan wang mengikut nilai, lalu saya mengambil ₹10 (+- RM0.60) untuk diberikan. Alhamdulillah, diambil tanpa banyak soal.


Agak ramai juga di India Gate ini, walaupun mahatari memancar teruk di tengahari musim panas di New Delhi ini. Langit kelihatan memang tiada awan langsung, yang ada banyak adalah sekawanan burung helang terbang bertebaran.


India Gate ini adalah tuga peringatan untuk tentera India yang gugur di medan perang mempertahankan India. India Gate ini sebenarnya adalah rekaannya diambil dari India Gate yang asal di Mumbai (masih ada lagi di situ), cuma saiz yang di New Delhi ini lebih besar. Terdapat bendera ketiga-tiga perkhidmatan tentera India iaitu bendera Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara. Juga kedapatan pengawal tentera yang menjaga tugu ini berserta sebuah nyalaan api di bawah tugu ini.


Dari India Gate ini, melihat terus ke barat, terdapat jalan besar terus menuju ke arah Istana Presiden India atau dalam bahasa Hindi disebut Rashtrapati Bhavan. Jalan besar ini dinamakan Rajpath di mana setiap tahun pada Hari Republik India iaitu pada 26 Januari, akan ada perarakan di jalan ini. Jarak dari India Gate ke Istana Presiden agak jauh juga untuk berjalan kaki, iaitu dalam 4 km,  lebih kurang jarak hotel kami ke India Gate malah jauh lagi, jadi kami ambil keputusan untuk tidak ke Istana Presiden. Untuk pengetahuan, berhampiran dengan Istana Presiden, terletak juga Parlimen India juga bangunan-bangunan pejabat kerajaan India serta institusi-institusi kerajaan India seperti Muzium dan sebagainya.


Pada masa kami di India Gate, Zhafran Omar, salah seorang pengikut page Facebook KembaraGD, menghubungi saya melalui aplikasi WhatsApp. Kebetulan pada masa ini dia berada di New Delhi. Dia menanyakan kami di mana. Akhirnya kami berjanji untuk berjumpa di pintu 1 (selatan) Jama Masjid iaitu di kawasan Chadni Chowk di Old Delhi, satu kawasan yang agak terkenal. Kami pun keluar dari kawasan India Gate dan mencari auto untuk ke Jama Masjid. Harga permulaan diberikan kepada kami adalah ₹200 (+- RM12.00), saya cuba menawar. Akhir sekali dapat juga pada harga ₹120 (+-RM7.20) walaupun sasaran saya untuk dapat kurang dari ₹100 (+- RM6.00).



Inilah pertama kali saya menggunakan auto di India. Kalau tuktuk ke bajaj ke sudah banyak kali namun untuk isteri saya ini pertama kali untuk kenderaan seangkatannya. Sebenarnya kalau menggunakan meter lebih murah katanya, namun kami tidak tahu jalan di Delhi ini, silap-silap mahu kena tipu dengan di bawa pusing-pusing. Jadi dengan menawar, dapat kami terus ke destinasi. Kelakar juga melihat telatah isteri saya ketika berada di dalam auto ini. Faham-fahamlah, dengan kecil comel, auto ini ligat cilok-mencilok celah-celah kenderaan. Akhirnya sampai juga kami di Chadni Chowk setelah hampir 15 minit berada dalam auto.



Kami tiba betul-betul setelah selesai solat Jumaat. Kalau datang lebih awal, mungkin saya boleh bersolat Jumaat di sini. Memang kawasan ini kawasan muslim, malah makanan di sini kesemuanya halal. Kedai menjual daging dan makanan semua sebelah menyebelah.

Zhafran masih belum sampai, jadi kami ambil kesempatan untuk menunaikan solat Zohor (dan dijamak-qasarkan dengan Asar) di dalam masjid. Terdapat pengawal (atau polis, saya pun tidak pasti) mengawal kemasukan dengan mesin pengesan logam di pintu masuk. Namun ketika itu seperti tiada kawalan sangat. Jadi kami terus masuk tanpa membayar apa-apa. Jika ikutkan maklumat yang diperolehi, perlu membayar sedikit amaun (jika tidak silap dalam ₹100 (+- RM6.00) bagi pengunjung bukan warganegara India, katanya bertujuan untuk tabung masjid. Tapi seperti tiada pula yang memintanya. 

Isteri saya ke tandas untuk membuang hajat tetapi perlu membayar ₹5 (+- RM0.30). Saya terus ke atas kerana difahamkan tempat mengambil wuduk di dalam katanya. Rupanya tempat mengambil wuduk adalah kolah di tengah-tengah kawasan lapang masjid. Walaupun dikatakan masjid ini adalah masjid terbesar di India, namun bahagian tertutupnya kecil sahaja. Ketika saya berada di dalam masjid ini masih ada kain atau permaidani yang menutup lantai ruang terbuka di masjid. Saya ada terpijak lantai yang tiada bertutup, aduh, panasnya, rasa hampir melecur tapak kaki saya. Jadi saya ke kolah dengan memijak kain atau permaidani yang ada. Pada masa sama, kain dan permaidani serta bumbung khemah sedang dalam proses dibuka.


Kolah ini adalah tempat wuduk uniseks, iaitu untuk lelaki dan wanita. Tiada pemisah atau perlindung bagi memisahkan lelaki dan wanita. Jadi jemaah wanita terpaksa mengambil wuduk dengan aurat terdedah di hadapan jemaah lelaki. Warna air dalam kolah pun agak hujau seperti ada lumut atau algae di dalamnya. Isteri saya setelah selesai dari tandas, menemui saya di kawasan kolah, jadi setelah melihat keadaan kolah, dia ambil keputusan untuk mengambil wuduk dengan spray yang kami bawa sahaja. Dia juga mengatakan tandas pun agak kurang bersih dengan lubang tandas terdapat pad wanita yang telah digunakan. Begitulah keadaan Masjid Jama ini.


Kami menunai solat di ruangan tertutup, di mana tiada pemisah antara lelaki dan wanita. Memang tiada kawasan khas untuk wanita bersolat di sini (malah juga di kebanyakan masjid di India yang pernah saya masuki). Setelah usai bersolah, kami pun keluar kembali ke pintu yang kami masuk tadi. Di sini lebih banyak kelihatan di langitnya, burung-burung helang berterbangan.

Jama Masjid ini merupakan masjid yang diperintah bina oleh Shah Jahan, iaitu Maharaja Moghal dari Agra di antara tahun 1644 dan 1656. Shah Jahan ini adalah orang yang sama yang mengarahkan pembinaan Red Fort yang berdekatan, Agra Fort dan Taj Mahal di Agra. Untuk mengetahui lanjut mengenai Jama Masjid ini boleh layari maklumatnya di Wikipedia.


Kebetulan, ketika itu saya menerima panggilan telefon dari Zhafran (saya mengantar mesej nombor telefon India saya kepadanya). Dia mengatakan bahawa dia sudah sampai. Jadi kami terus keluar dan berjumpa dengannya.



Zhafran mengajak kami untuk makan (seperti tahu sahaja yang kami ini lapar, kerana makanan kami di dalam perut, hanyalah pratha semasa sarapan tadi). Tidak jauh dari pintu 1 (selatan) Jama Masjid terdapat beberapa restoran halal yang popular di Delhi (tidak kira di New Delhi atau Old Delhi) antaranya, Karim dan Jawahar. Terdapat banyak cawangan di serata Delhi dan di Chadni Chowk inilah tempat asalnya. Malah di sini terdapat cawangan-cawangannya yang amat berdekatan. Kali ini kami mencuba di Jawahar dahulu.



Kami memesan Biryani Kambing dan Ayam Tandoori. Terdapat air kosong disediakan dengan percuma, namun memandang kami di India, maka kami pesan air minuman berbotol, sebagai langkah berjaga-jaga. Risau jika berlaku sakit perut atau cirit-birit. Ada beberapa hari lagi di India ini. Rasa makanannya amat terbaik. Biryani yang tersedap pernah saya makan. Di Delhi ini, makanan berasaskan kambing lebih murah berbanding ayam. Makanan berasaskan lembu pula amat jarang di lihat. Kambingnya pula tidak berbau. 


Pekerja-pekerja restoran tidak semua mahir berbahasa Inggeris, jadi kena terangkan kepada mereka apa kita mahu. Selepas nampak kami hendak habis makan, salah seorang pekerja menghidangkan sepinggan yang mempunyai penyungkil gigi, jintan putih muda dan gula kuib kecil. Kami hairan juga, dan menanyakan bagaimana hendak makan ini. Pekerja itu tidak faham, lantas saya buat isyarat menunjuk pinggan tersebut dan juga isyarat makan. Lantas dia memberi isyarat ambil jintan putih itu dan gula, dicampurkan dan dimakan. Barulah faham. Rupa-rupanya ini adalah petua untuk mengurangkan rasa dan bau rempah selepas makan. Sedap juga campuran jintan putih muda dan gula ini apabila dikunyah.

Ketika kami hendak bayar, Zhafran kata dia belanja kami. Segan pula kami, sudahlah ambil lebih daripadanya. Terima kasih Zhaf.



Seterusnya, kami berjalan-jalan di sekitar Chadni Chowk ini untuk melihat suasana persekitaran tempatan. Memang seperti kebanyakan tempat di benua India, kawasan muslim memang tempat aktiviti perniagaan. Malah inilah dahulunya pusat bandar Delhi. Tempat ini juga adalah Old Delhi.


Memang segalanya menarik perhatian kami. Terutamanya sistem pendawaian elektrik. Berselirat sehingga tidak tahu yang mana satu hujung pangkal wayar terbabit. Kira paling berselirat sekali berbanding negara-negara lain. Malah ada yang bertiangkan kayu yang lebih layak digelar galah. 


Boleh dikatakan apa sahaja boleh didapati di kawasan Chadni Chowk ini, dan harganya agak murah. Buah-buahan jangan cakaplah, ada saiz lebih besar dari biasa kita nampak di Malaysia seperti mangga dan betik. Masa kami di sini sudah masuk pukul 3.00 petang lebih, dan masih aktif lagi. Difahamkan perniagaan dibuka sehingga lewat malam.


Sedang kami berjalan-jalan, Zhafran hendak cuba minum cai iaitu teh susu. Kami pun samalah hendak merasa, kerana hendak merasa benda tempatan dan dibelanja orang. Teh ini dibuat di depan mata kami. Malah agak lama juga menunggu, dekat 5 minit, kerana air dimasak sehingga mendidih, begitu juga dengan susu. Susu yang digunakan adalah susu kerbau. Kira kalau masak sehingga mendidih tu dan dihidangkan segera kira selamatlah dari keracunan makanan, itulah keyakinan kami, huhuhu. Harga secawan pun murah, ₹10 (+- RM0.60) secawan.


Kami minum sambil berjalan, kerana cai itu agak panas. Maka kena hirup sedikit-sedikit. Kalau teguk, mahu melecur tekak, maklumlah baru sahaja mendidih. Sambil itu dapat melihat persekitaran. Memang menarik kerana kehidupan amat berbeza dengan kehidpan kita. Malah sempat juga saya ambil gambar kambing yang dilayan seperti haiwan peliharan, yang ditambat di tepi sebuah kedai. Manja betul kambing ni. Siap suka betul bila orang mengusap-usapnya.


Asyik kami berjalan, rupanya sudah tembus ke jalan besar. Maka kami pun menanya dari satu ke satu auto untuk tahu bayaran ke Main Bazaar, Pahar Ganj, tempat di mana hotel Zafran duduk. Rupanya tidak berapa jauh hotel Zhafran dengan kami. Kami mengikut Zhafran kerana dia berkata terdapat kedai menjahit pakaian yang boleh membuat suit (kot + seluar) juga kemeja dengan cepat dan murah. Setelah mendapat auto yang sanggup ke sana dengan harga termurah, maka kami pun naik.



Sampailah kami di depan jalan di antara Pahar Ganj dan pintu barat Stesen Keretapi New Delhi, auto itu berhenti dan berkata, hanya hantar sampai situ. Zhafran meminta untuk masuk ke Jalan Main Bazar, tapi ditolak. Hendak tak nak, kenalah jalan sikit ke kedai jahit itu.  Perjalanan ke kedai jahit itu, kami dapat lihat, Main Bazar ini banyak hotel dan kedai-kedai yang menjual banyak barang termasuk pakaian dan cenderahati. Jadi kami sudah jumpa tempat untuk kami beli cenderahati pada hari akhir nanti. Memang meriah juga di sini. Lagipun tidak berapa jauh dari hotel kami, dan memang untuk pergi ke lapangan terbang, kami akan lalu sini.


Sampai di kedai terbabit (maaf, saya terlupa untuk mengambil gambar) memang betul, ia boleh menyiapkan pakaian dalam masa agak cepat iaitu dalam masa 2 hari bagi suit. Lagi menarik, harganya agak murah iaitu cuma dari ₹2500 (+- RM150.00) bagi sepasang suit (kot & seluar). Seluar slack cuma dari ₹1000 (+- RM60.00) dan kemeja juga sama. Kualiti amat bagus, jadi apa lagi saya pun tempahlah. Cuma saya perlu bayar deposit sebanyak ₹7000 (+- RM420.00) kerana jumlah tempahan saya adalah ₹14 000 (+- RM840.00) (2 pasang suit, 2 pasang seluar dan sehelai kemeja), oleh kerana saya hanya mempunyai tunai yang sudah saya bajet, maka saya perlu keluarkan duit  tunai di mesin ATM. 




Terdekat dengan kedai tersebut adalah ATM Citibank. Malangnya jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan adalah ₹4000 (+- RM240.00) sahaja bagi setiap pengeluaran, dengan dicaj RM10 oleh CIMB Malaysia dan ₹20 (+- RM1.20) oleh Citibank India, jadi saya ambil keputusan untuk membayar baki ₹3000 (+- RM180.00) dengan kaedah kad debit.


Setelah selesai, maka kami pun beredar dari kedai itu. Memang berpuas hati, kerana agak murah. Zhafran bertanya, apa perancangan kami untuk hari-hari seterusnya, saya pun berkata kami akan ke Agra esok dan hanya akan masuk Taj Mahal pada hari seterusnya. Saya pun mengajaknya, setelah berfikir sejenak, dia pun berminat turut serta cuma akan sampai di Agra pada hari kami hendak masuk ke Taj Mahal. Dia berkata bagaimana hendak beli tiket, saya berkata, alang-alang hotel kita hampir dengan Stesen Keretapi New Delhi, apa kata ke sana dan pergi ke International Tourist Bureau di tingkat 1, kerana jika pergi ke kaunter biasa, biasa sudah habis. Mungkin ada kuota pelancong di sana. Selepas itu kami pun berpisah, saya dan isteri pun pulang ke hotel.


Apabila kami pulang ke hotel, saya pun semak, rupanya lebih untung mengeluarkan wang di ATM, kemudian menggunakan kad debit/kredit. Menukar wang dari RM ke Rupee India adalah paling kurang untung antara ketiga-tiga kaedah.


Kami pun membersihkan diri, berehat dan melayan televisyen sepanjang malam. Esok hendak guna tenaga sikit untuk menghadapi cabaran pengalaman menaiki keretapi India (huh, macam banyak sangat guna tenaga, huhuhu).

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part);
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 

Khamis, 18 Jun 2015

Hari 1 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - Terbang Ke Benua Kecil India.

Dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 




30 April 2015 (Khamis)

Eh, sudah hari Khamis lah... Sekejap sahaja sudah tiba hari yang dinanti-nantikan ini. Hari ini saya mohon cuti. Asalnya ingat nak separuh hari sahaja, tapi rasa tidak hendak tergesa-gesa, maka saya ambillah cuti. Lagipun cuti rehat tahunan banyak lagi, belum kira cuti gantian lagi (kerana bertugas hari Sabtu dan Ahad). Pagi ini saya dan isteri mengemas-ngemas beg pakaian kami. Namapun kembara backpacking jadi kami kemas beg galas sahaja la. Tiada beg-beg tarik. 

Oleh kerana Malindo Air ada berikan elaun bagasi sebanyak 20 kg seorang (jadi 40 kg jika digabung) maka kami bawa 3 beg galas! Dua buah beg galas saiz besar (20 liter ke atas) dan satu daypack yang akan dijadikan bagasi kabin. Kena ada juga bagasi kabin (yang dibawa naik sendiri ke kabin kapal terbang), pasal biasalah di lapangan terbangkan ada pemeriksaan keselamatan, terutama di klia2, siap kena buka tali pinggang dan kasut (jika pakai kasut berjenama, kerana ada tetulang besi). Jadi senang, satukan semua benda dalam beg, dan tak perlu susah bersepah di dalam dulang.

Kami bergerak dari rumah pada jam 2:30 petang selepas menghantar anak sulung kami ke sekolah agama. Kami ke klia2 dengan menaiki skuter sahaja. Bukan apa, mudah dan tidak renyah. Lagipun bayaran parkir klia2 untuk motorsikal cuma RM1/hari/masuk je. Skuter mudah, beg-beg galas kami diletakan di tempat letak kaki penunggang di depan. Dengan menaiki Lebuhraya MEX dan Lebuhraya ELITE, dalam masa kurang sejam, sudah sampai di klia2. Bahan api pun rasanya baru pakai dalam RM6.00. Nanti pulang baru tahu berapa digunakan.

Semasa di Lebuhraya ELITE, kami singgah dahulu di R&R Dengkil arah selatan, kerana kami hendak alas perut sahulu. Setelah 30 minit, kami sambung perjalanan. Akhirnya sampai juga klia2 pada jam 4:00 petang. Macam biasa, parkir sahaja di parkir motorsikal di Aras 1 bangunan parkir gateway @ klia2, naik ke Aras 4 bangunan parkir gateway @ klia2, untuk ke Aras 2 bangunan terminal klia2 seterusnya ke Balai Berlepas di Aras 3 bangunan terminal klia2.


Masuk sahaja kami ke balai berlepas, kami melihat paparan skrin besar, melihat maklumat yang perlu. Untuk daftar masuk/drop bag kami perlu ke barisan W dan pintu perlepasan kami di L9. Kami ke barisan W untuk drop bag. Alhamdulillah, sudah masuk untuknya, setelah itu kami terus beransur ke pintu masuk ke perlepasan antarabangsa dan membuat prosedur imigresen (imbas pasport) dan kastam. Senang sahaja, guna autogate dan terus ke pemeriksaan kastam.


Selepas itu, kami pun ke sayap L untuk meneruskan perjalanan ke pintu perlepasan L9, namun agak awal lagi. Lagipun mengikut pengalaman saya, ruang di sayap L ini agak membosankan. Terus kami ke kedai farmasi Caring Pharmacy, untuk membeli beberapa ubat-ubat yang tertinggal, terutama pil herba untuk cirit-birit atau sakit perut, maklumlah, India memang dikenali kebanyakan pelancong, setelah kembali, perut mereka akan mengalami ketidak selesaan. Namun baru perasan yang saya terlupa hendak mengeluarkan wang di mesin ATM CIMB. Sepatutnya saya mengeluarkannya di balai berlepas kerana terdapat mesin ATM CIMB di situ, namun tidak boleh ke sana kerana sudah membuat urusan imigresen.

Namun teringat pula saya yang di Bangunan Satelit (di antara sayap P dan Q) terdapat juga banyak mesin ATM termasuk CIMB. Berjalanlah kami ke sana, lagipun lambat lagi, ada sejam lebih lagi. Setelah dapat keluarkan wang, kembali ke sayap L (jauh juga berjalan, bersenam sebelum mengembara).

Apabila sampai ke pintu pelepasan L9, tetapi dimaklumkan bahawa penerbangan OD0205 telah ditangguhkan selama 2 jam. Jadi kami kembali semula ke Bangunan Satelit untuk makan di Popeye Louisiana Kitchen. Selepas itu, untuk mengisi masa, kami ke ruangan wayang gambar (movie lounge), dapatlah tengok sebuah cerita dari awal hingga habis (saya lupa cerita apa). Apabila jam penunjukan pukul 7:15 malam, kami pun perlahan-lahan kembali ke pintu perlepasan L9.



Saya terus ke surau untuk menunaikan solat maghrib dijamakan dengan isyak, risau tidak sempat. Usai solat, kembali ke pintu L9 di mana isteri saya menunggu, dia memaklumkan kepada saya bahawa penerbangan tangguh lagi sejam, pukul 9:05 malam baru berlepas. Pihak Malindo Air ada memberikan segelas kecil air minuman dan sebungkus biskut. Oklah walaupun saya sebenarnya merasakan boleh sahaja dapat lebih baik lagi. Dalam hati saya juga berdoa agar kalau nak tangguh, biar lebih 6 jam, agar dapat pampasan dari pihak syarikat penerbangan dan syarikat takaful, huhuhu. Lagipun kalau bertolak jam 9 malam bermakna kami akan sampai pada tengah malam, agak payah juga logistik pada masa itu.


Maka menunggulah kami menantikan kemasukan kami ke dalam pesawat. Sambil itu, di atas kaunter, terdapat borang imigresen dan kastam India untuk kegunaan kami. Maka saya ambil dan isikan untuk kedua-dua kami.


Pada masa menunggu itu, terdapat kekecohan berlaku sehingga pihak polis bantuan Malaysia Airport Berhad perlu hadir untuk mententeramkan keadaan. Ia dimulakan oleh sebahagian penumpang warga India dan merebak kepada beberapa orang lain (warga India juga), risau pula petugas Malindo Air kerana pada masa itu, petugasnya kesemuanya wanita. Rupa-rupanya mereka tidak berpuas hati atas penangguhan penerbangan ini, menyebabkan mereka terlepas penerbangan sambungan. Bagi saya begitulah risikonya jika hendak cari murah tapi berlainan penempahan. Sebaiknya, kita perlu beli penerbangan sambungan di dalam satu tempahan agar tidak rugi sepenuhnya, biasa pihak penerbangan akan menggantikan penerbangan sambungan terlepas. Kalau ke berbeza tempahan, maka yang terlepas itu kena ucapkan selamat jalanlah, jika ada insurans, bolehlah tuntut, jika tiada maka perlu dihalalkan, kerana ia silap kita. Begitulah, kita tidak perlu cari murah sangat tanpa mengira kesannya. Akhirnya kekecohan itu berakhir tapi tidak sepenuhnya. Dalam hati mereka tetap sentap, agaknya mereka takut masuk penjara. Sewajarnya orang-orang ini perlu belajar peribahasa "Di Mana Bumi Terpijak, Di Situ Langit Di Junjung".


Akhirnya pada jam 8:50 malam, pihak Malindo Air, telah membuka pintu pelepasan untuk penumpang-penumpang masuk. Yang bagusnya, pihak mereka memanggil kami dulu masuk. Yang lagi sukanya, tempat duduk kami di hadapan sekali di kelas ekonomi. Kira luas sedikit. Alhamdulillah. Sementara orang tiada, bolehlah kami ambil gambar kelas perniagaan di depan kami.



Penerbangan ini sebenarnya dipenuhi kira-kira 90 peratus oleh warga India. Boleh kiralah warga Malaysia dan negara lain. Warga India ini agak sombong walaupun beberapa kali saya cuba hendak memulakan perbualan. Cuma hendak dekat-dekat sampai ke Delhi barulah orang sebelah saya ini hendak berbual. 

Nasib baiklah penerbangan ini dibekalkan dengan makanan panas (ia PERCUMA macam penerbangan bukan tambang murah lain, jika AirAsiaX, jangan harap dapat, kena beli). Lega la pasa penerbangan ini lima setengah jam lamanya, mahu kebulur kalau tidak makan. Lagipun tiada pula pilihan makan semasa mengurus itinerari penerbangan di dalam laman sesawang Malindo Air. Namun kali ini seakan tiada pilihan, hanya diberikan makanan jenis vegetarian sahaja. Dapatlah nasi basmathi dengan kuah dal dan sayur bendi, ngap sahaja la. Air dan biskut juga diberikan, tapi saya simpan sahaja, pasal sebenarnya perut agak penuh juga. Saya ini jika mengembara, selera pun kecil (perut pun mengecil hahaha).


Di dalam penerbangan Malindo Air pesawat Boeing 737-800 ini mempunyai sistem hiburan dalam penerbangan (In Flight Entertaiment (IFE) system), jadi boleh la kita dihiburkan dan tidak termenung atau baca majalah sama berulang kali. Cuma pilihan agak terhad kepada beberapa tayangan wayang gambar dan permainan sahaja dan tiada lain-lain seperti lagu, radio dan sebagainya. (Peringatan juga, jangan lupa bawa sendiri earphone  atau headphone untuk menikmati sistem IFE ini. Pada penerbangan ini tiada pula ditawarkan untuk menyewanya, tapi pada sebelum ini, sewaan headphone adalah sebanyak RM15). Tapi ada maklumat dan peta penerbangan sudah baik untuk saya. Setelah keadaan mulai senyap (warga India ini agak kuat bercakap, menyebabkan kita kurang selesa), barulah saya boleh cuba melelapkan mata dengan memadamkan sinar cahaya IFE.


Akhirnya setelah lima jam penerbangan (dan setelah tiga jam tidur), maka pengumuman pramugari mengatakan penerbangan akan tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi, India (DEL) tidak lama lagi. Keadaan agak gelap kerana pada waktu itu adalah pada pukul 11:45 malam waktu India (2:15 pagi waktu Malaysia). Sempatlah berborak dengan jiran sebelah saya. Dia boleh pula ucapkan selamat bercuti kepada kami tapi dengan muka sinis. Tahulah kami datang waktu salah, iaitu waktu panas. Tapi saya rasa ada hikmahnya.



Tepat jam 12:00 tengah malam, maka mendaratlah pesawat kami di landasan DEL. Alhamdulillah. Pesawat ini akhirnya sampai di terminal, dan kami keluar menuju ke aras ketibaan. Agak besar juga Terminal 3 DEL ini, mungkin kerana persediaan untuk Sukan Komanwel pada tahun 2010 yang lepas.


Satu yang menarik hati saya ketika tiba di lapangan terbang DEL ini, adalah tandasnya, memaparkan imej lelaki India untuk tandas lelaki dan wanita India untuk tandas wanit, seperti di bawah ini. Menarik dan kreatif. Menunjukan juga budaya dan identiti India.



Setelah selesai menyelesaikan urusan yang tertangguh di dalam pesawat, maka kami berjalan menuju ke balai pemeriksaan imigresen. Sambil-sambil itu, ambil gambar di tempat yang "wajib" ambil apabila sampai di lapangan terbang New Delhi.


Itu baru di pintu masuk. Selepas itu, semasa menuruni dengan eskalator, maka sampai juga di balai imigresennya. Ternampak hiasan-hiasan berupa tangan di atas kaunter-kaunter imigresen. Tangan-tangan tersebut adalah "mudra" iaitu ekspresi tangan-tangan penari semasa menari tarian India klasik. Setiap satunya mempunyai maksudnya.


Agak ramai juga yang beratur di kaunter-kaunter imigresen ini. Agaknya kerana pada masa ini merupakan masa puncak penerbangan antarabangsa. Kaunter-kaunter untuk rakyat tempatan dipisahkan dengan warga asing. Rupa-rupanya, rakyat tempatan juga perlu mengisi borang untuk masuk kembali ke negaranya, cuma borangnya agak lain. Nasib baik kami telah mengisi borang awal-awal, terus beratur.

Akhirnya dalam lima belas minit beratur dan dalam kurang lima minit di kaunter imigresen (kami suami isteri ke kaunter bersama), maka kami menerima cop pasport imigresen India pada visa India kami, menandakan secara rasmi kami telah masuk ke dalam India secara sah. Cantik juga cop pasport India yang baru ini.


Seterusnya kami terus menuju ke tempat mengambil bagasi-bagasi kami. Di antara kaunter imigresen dan tempat mengambil bagasi, terdapat kedai bebas cukai, tapi kami teruskan perjalanan, takut terbeli pula, huhuhu.


Rupa-rupanya, tali sawat tempat mengambil bagasi telah tidak bergerak dan bagasi-bagasi kami telah diletakan di atas lantai. Kami ambil sahaja beg-beg kami dan terus melalui lorong hijau kastam dan kami telah berada di dewan ketibaan.

Kelihatan keadaan di sini masih hidup walaupun sudah pukul 12:45 tengahmalam. Ini termasuk juga barisan-barisan kiosk-kiosk yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Terdapat tiga kiosk yang menawarkan jualan kad SIM yang iaitu airtel, Aircel dan Vodafone India. Kiosk Aircel dan Vodafone terletak di sebelah kiri manakana airtel terletak di sebelah kanan pintu keluar dari lorong kastam.



Kami menuju ke kiosk airtel dan bertanyakan berapa harga untuk pek permulaan. Harganya 600! Bersamaan RM36.00! Agak mahal juga, walaupun ia termasuk 500Mb data. Tapi macam mana kami terus beli tanpa ke kiosk Aircel dan Vodafone. Mungkin saya mendapat tahu bahawa liputan airtel adalah terbaik di India. Tapi perlu ingat, sistem telefon tanpa wayar di India tertakluk kepada circle atau kawasan-kawasan yang ditetapkan. Jika keluar dari circle dan masuk ke circle  lain, maka dikira sebagai merayau (roaming) dan ada caj perayauan antara circle, tapi tidaklah mahal. Ini hanya tertakluk kepada perkhidmatan suara dan mesej (SMS dan MMS) dan tidak data. Perkhidmatan data dilitupi seluruh India asalkan mengggunakan penyedia perkhidmatan yang sama.

Jadi sediakan pasport anda untuk mereka fotostat (jika boleh bawa siap-siap, mana tahu mereka tiada mesin fotostat atau rosak) dan juga sediakan juga sekeping gambar pasport anda untuk pendaftaran bagi setiap satu talian. Pek prabayar airtel didatangkan dalam format nano SIM iaitu untuk iPhone5 ke atas, tapi terdapat penyuai kad SIM bagi saiz mini (biasa) dan mikro. Mereka amat baik untuk memasukkan kad SIM ke dalam telefon, tapi bagi saya tidak perlu, kerana mereka agak kasar, sehinggakan apabila hendak pulang, pembaca kad SIM isteri saya patah (kerana petugas ini telah memotong kad SIM isteri saya kerana tidak masuk katanya).

Satu lagi, perkhidmatan atau isyarat tidak dapat dengan serta-merta. Ia perlu ditunggu sehingga sehari baru ia boleh diaktifkan. Bagi kes kami, ia akan diaktifkan pada jam 11:00 paginya dengan menelefon nombor 59059 untuk tujuan pengesahan, baru ia diaktifkan. Itu sebab saya kata tidak perlu bagi petugas itu memasukan kad SIM pada masa itu. Lupa saya hendak memaklumkan, bahawa di India ini, anda kena faham maksud Bahasa Inggeris orang-orang di sana, di mana tidak semuanya fasih. Satu lagi, anda jangan berslang orang Amerika atau British sangat. Nanti anda juga yang susah.



Setelah selesai, kami pun keluar dari balai ketibaan ini untuk mencari pengangkutan. Nasib baik saya di kawasan sini terdapat WiFi, maka saya dapat mencari maklumat tentang bas. Perkhidmatan Metro Delhi sudah tamat pada pukul 11:30 malam. Jadi saya perlu mencari di mana bas bernombor Exp 4 untuk ke stesen keretapi New Delhi.


Keadaan suhu di kawasan ini seperti sama sahaja di Kuala Lumpur. Menarik lagi, terdapat anjing-anjing bebas berkeliaran di kawasan luar balai ketibaan ini. Cuma, anjing-anjing di sini jenis tidak kacau orang, malah buat hal sendiri. Kira tengah-tengah antara anjing Malaysia dan Thailand (anjing di Thailand amat mesra orang pula). Akhirnya sampai juga ke tempat menaiki bas setelah bertanya-tanya beberapa orang (tidak semua boleh bercakap Bahasa Inggeris, itu masalahnya). Cuma kami sebenarnya hampir terlepas, dan kami masuk ketika bas hampir penuh. Alhamdulillah, dapat juga naik.



Bas kami meninggalkan lapangan terbang menuju ke destinasi akhir di Kashmere Gate, di mana di situ merupakan stesen bas ke luar New Delhi. Pembayaran perlu dibuat pada konduktor bas. Tambang kami ke stesen keretapi New Delhi adalah sebanyak ₹75 seorang. Jadi pembayaran sebanyak ₹150 bagi dua orang. Pemanduan bas ini umpama roller coaster juga, terutama semasa di bulatan atau di simpang jalan. 


Perjalanan melalui Terminal 1 lapangan terbang DEL, kemudian melalui lebuhraya, Cannaught Place (atau dalam bahasa Hindi, Rajiv Chowk) dan akhirnya sampai ke stesen keretapi New Delhi. 



Namun ia berhenti di sebelah stesen Metro. Saya ingatkan ia berhenti di sebelah Pahar Ganj. Jadi kami cuba melalui jalan pintas melalui jejantas stesen keretapi, namun ia tidak boleh dilalui kerana ditutup. Maka terpaksalah kami mengikut jalan jauh sikit melalui Jalan DB Gupta. Di sini dapat tengok keadaan jalanan di New Delhi pada sebelah malam. Agak teruk juga, dengan jalan agak berdebu, terdapat tandas terbuka di tepi jalan, malah terdapat orang tidur di tengah-tengah ruang pejalan kaki yang tidak berapa nak ada. Nasib baik mereka tidak tidur di tengah-tengah jalan raya. Di atas jambatan terdapat sekatan polis bagi kenderaan. 



Akhirnya pada pukul 2:15 malam, kami sampai ke hotel kami, Hotel Sita International, yang pada mulanya tutup. Namun apabila saya berkata kami telah tempah, dibukakan juga kepada kami. Agak kelam kabut juga, kerana bilik kami sebenarnya telah diberikan kepada orang lain. Namun kami diberikan bilik ganti yang kurang berkualiti sikit. Jadilah, asalkan dapat rehat. Sudah penat sebenarnya. Akhirnya pada jam 3:00 pagi, dapatlah kami berehat dan tidur.

Bersambung ke Hari 2.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.