Isnin, 5 Januari 2015

Hari 1 Bahagian 1 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Pertama Kali Menjejakan Kaki Di Bumi Sumatera.

Bersambung dari Pra Kembara.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 (this part);  
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.


20 Disember 2014 (Sabtu)

Kami sampai di klia2 pada pukul 12:30 tengah malam dan mencari tempat untuk melelapkan mata. Lagipun penerbangan kami adalah pada jam 7:40 pagi, tidaklah awal sangat tapi masih di awal pagi. Dapat tempat yang sesuai, maka kami rehatkan diri, kerana esok pengembaraan akan bermula, mungkin akan kurang tidur. 

Saya membawa Pak Nasir berjalan-jalan ke sekeliling pusat membeli-belah getaway@klia2 dan kemudian ke bangunan terminal klia2 pula. Maklumlah ini pertama kali beliau ke sini. Sudah jalan-jalan dekat sejam, kami ke surau di tingkat 3A di atas pintu pelepasan antarabangsa di balai berlepas. Di klia2 ni agak banyak surau, alhamdulillah. Walaupun di pintu mengatakan surau hanya dibuka pada pukul 5:00 pagi ke atas sehingga pukul 12:00 tengah malam, namun pada masa kami di sana ia masih dibuka dan ramai juga yang menjadikan ia sebagai tempat merehatkan diri. Namun ia agak sejuk sedikit disebabkan pendingin hawa.

Saya mencari tempat untuk merehatkan diri yang mana berdekatan dengan soket elektrik agar dapat mengecaj telefon dan power bank saya. Pak Nasir juga mencari tempat yang beliau rasakan sesuai. Saya cuba melelapkan mata, namun cuma tidur-tidur ayam sahaja. Saya lihat Pak Nasir tidak boleh tidur, mungkin kerana kurang biasa tidur di lapangan terbang agaknya.

Bergambar di depan signage klia2 versi Krismas 2014.

Sejurus jam 4:00 pagi, saya bangun untuk bersolat sunat dan sebelum itu membersihkan diri di tandas berdekatan. Saya lihat Pak Nasir tiada, mungkin berjalan-jalan kot. Selepas usai solat-solat sunat, saya keluar dari surau dan bertemu Pak Nasir. Terus beliau mengajak saya untuk mengeteh (minum teh tarik). Terus saya bawa beliau ke Quizinn by RASA Food Court. Saya rasa di sini adalah lebih baik dari NZ Curry House yang saya ceritakan dalam perjalanan ke Siem Reap pada bulan Oktober 2014 lepas. Dapatlah alas perut sedikit dengan teh tarik dan samosa ayam.

Seterusnya, kami duduk di ruang terbuka di balai berlepas untuk melihat suasana pagi di klia2. Melihat kapal terbang-kapal terbang yang parkir di lotnya dan sayup-sayup kelihatan bangunan KLIA dan pesawat mendarat dan berlepas. Cuma di klia2 kurang sedikit trafiknya pada ketika itu.

Jam 5:30 pagi, saya mengajak Pak Nasir untuk masuk ke kawasan air side kerana solat di kawasan itu lebih selesa dan kurang sesak berbanding di kawasan land side. Saya membawa Pak Nasir ke pintu berlepas dan terus ke pintu autogate untuk prosedur imigresen. Rupanya beliau baru pertama kami menggunakan autogate ini. Selepas saya selesai, saya menunjukan caranya dari luar autogate itu. Kagum juga beliau, katanya lebih mudah. Seterusnya kami ke pemeriksaan kastam dan terus ke jambatan udara menuju ke bangunan satelit. Alhamdulillah, walkalator sudah banyak berbanding sebelum ini, jadi kurang sikit berjalan, dapat simpan tenaga.

Lebih kurang pukul 6:00 pagi, waktu Subuh pun masuk, dan kami bersolat berjemaah di surau di aras 3. Saya suka solat di surau aras 3 kerana ia lebih luas berbanding 2 lagi surau di aras 2 bangunan satelit ini. Usai solat, kami berehat di aras 2 bangunan satelit kerana di situ lebih selesa dan banyak kemudahan. Lagipun penerbangan kami belum dibuka untuk dinaiki lagi.


Saya sempatlah berjalan-jalan di sekitar kawasan bangunan satelit ini. Sebelum ini tidak sempat nak teroka, kerana mengejar masa. Kali ini ada masa lebih sedikit, sambil-sambil nak "bunuh masa" (kata orang putih killing the time), dapatlah tahu tempat yang boleh digunakan untuk masa akan datang. Baru tahu ada kawasan khas untuk menonton saluran wayang (movie) dan saluran sukan. Kawasan ini memang agak sesuai untuk penumpang yang transit dan transfer. Cuma pada ketika itu, premis perniagaan tidak banyak buka lagi kerana operasinya dari pukul 6:00 pagi hingga 12:00 tengah malam. Tapi ada juga yang buka lambat sikit.

Pada jam 7:10 pagi, terpapar di layar makluman penerbangan yang menyatakan penerbangan kami AK396 dibuka untuk boarding di pintu Q11. Saya pun mengejutkan Pak Nasir yang terlelap (mungkin baru rasa nak tidur selepas tidak dapat tidur sebelumnya). Kami terus menuju ke sayap Q (sebelah kanan) dan menjalani pemeriksaan keselamatan oleh pihak Polis Bantuan MAB (Malaysia Airport Berhad). 

Alhamdulillah tidak ramai orang cuma lambat sedikit kerana Pak Nasir terbawa benda yang perlu diimbas bersama-sama badannya disamping terdapat wanita bukan warganegara Malaysia yang tidak bersedia dalam pemeriksaan ini. Ingatan, sebelum melalui pemeriksaan kesalamatan Polis Bantuan MAB ini, perlu membuka segala benda yang mempunyai asas logam seperti tali pinggang, jam tangan dan lain-lain, malah kasut terutama kasih kulit kena buka kerana mungkin ada besi menjadi tulang kepadanya. Rokok pun kena diimbas, kerana mesin pengimbas badan berbunyi jika seseorang membawa rokok bersama. Tambahan, pastikan tiada cecair melebihi 100 ml dalam satu bekas dan jumlah isipadu keseluruhannya tidak lebih 1 liter. Jika tidak ia akan dirampas. Mungkin minyak wangi yang dibeli di kedai bebas cukai akan jadi mangsa. Ini satu kelemahan rekabentuk klia2 di mana pemeriksaan keselamatan dilakukan selepas kawasan bebas cukai, bukan sebelum yang menjadi kebiasaan di lapangan terbang lain. Dulu pemeriksaan tidak seketat ini, namun sejak berpindah ke klia2 atau selepas tragedi MH370, maka pemeriksaan keselamatan oleh pihak MAB jadi makin ketat.


Nasib baik pintu Q11 tidak berapa jauh, dan kami antara yang terawal sampai. Selepas boarding pass kami diperiksa dan dikoyakkan bahagian syarikat penerbangan (separuh kertas dikoyakan, huh), kami menunggu di kawasan menunggu di pintu berlepas Q11 ini. Pada jam 7:35 pagi, pesawat 9M-AQF yang menjadi pesawat bagi penerbangan AK396 pada hari itu dibuka dan kami pun masuk ke dalam perutnya.

Saya dan Pak Nasir di dalam pesawat AK396.

Borang kastam Indonesia.

Jam 7:50 pagi, baru pesawat bergerak meninggalkan terminal, dan 8:00 pagi, barulah ia berlepas dari landasan 3, KLIA. Kira lambat jugalah. Namun penerbangan ini walaupun dijadualkan 55 minit, tapi ia berjaya mengejar dengan hanya 25 minit sahaja sudah mendarat di Bandara Internasional Kualanamu, Medan. Kira kejar balik dan awal 10 minit dari jadual sebenar. Di dalam penerbangan, pembantu penerbangan (pramugara & pramugari) hanya memberikan kami borang kastam sahaja, borang imigresen (lebih dikenali sebagai white card) sudah habis katanya. Kenalah lama sikit di balai imigresen untuk menulis borang tersebut.

Peta Laluan AK396 pada 20 Disember 2014. Ehsan FlightRadar24.


Maka, jejaklah pertama kali saya ke pulau Sumatera ini. Sebelum ini asyik terpandang dari tempat tinggi di pantai barat Semenanjung Malaysia sahaja. Alhamdulillah. Cuma kelakarnya lapangan terbang aka bandara ini, walaupun ada kemudahan jambatan udara (aerobridge), namun ia tidak digunakan, dan penumpang perlu turun ke tarmac untuk ke pintu ketibaan antarabangsa. Kalau hujan macam mana lah. Kami pun mengikut laluan untuk ke balai imigresen.


Kaunter Imigresen di Bandara Kualanamu.


Contoh borang imigresen Indonesia.


Sampai di balai imigresen, kami pun ke meja yang digunakan untuk menulis borang. Namun cuma ada borang fotostat sahaja. Kami pun ambil dan tidak lama kemudian, petugas lapangan terbang mengedarkan borang sebenar. Kami ambil borang ini, takut apa-apa terjadi jika menggunakan borang fotostat. Setelah selesai, kami pun beratur, dan apabila sampai giliran saya, pegawai imigresen yang bernama Yogi ini menanyakan tiket penerbangan balik ke Malaysia. Saya katakan yang kami akan menggunakan feri untuk pulang dan tiket feri hanya boleh diambil di pelabuhan (memang benar pun). Beliau memarahi kami kerana katanya dalam syarat memasuki Indonesia perlu ada tiket pulang. Saya kata saya datang ini untuk mengembara (saya boleh bercakap telor Indonesia sedikit-sedikit kerana pernah bertugas di Jakarta dan kesan sinetron Indonesia, hehehe) bukan untuk bekerja. Juga saya nyatakan kalau di tempat lain seperti di Batam, Tanjung Balai Karimun dan Jakarta, tidak pernah diminta benda-benda ini. Lagipun ini pasport Malaysia dan di dalam ASEAN ia memang dipermudahkan. Saya bercakap dengan nada diplomatik lagi.

Agaknya tidak berpuas hati, terus dibawa pasport kami kepada penyelianya. Saya sudah agak, sudah bermula aktiviti scam di Indonesia. Mereka mencari peluang untuk "duit tambahan" yang haram yang memang tidak dikenakan. Semasa dalam perjalanan, sengaja saya menguatkan suara mengatakan "kami tidak ingin duduk lama-lama di Indonesia, cuma kalau kamu hendak samakan dengan warga kamu yang dihantar pulang, ini kerana mereka menyalahgunakan visa lawatan sosial dengan berkerja, kami orang Malaysia tidak macam orang kamu", sebagai tanda geram. Si Yogi tu buat macam tidak dengar sahaja.

Kami perlu menunggu untuk berjumpa dengan penyelia kerana terdapat beberapa orang yang menunggu di hadapan pejabatnya. Terdapat warganegara China (3 orang), Singapura (seorang) malah warga Indonesia juga ramai (dalam 5 orang). Huh rajin juga cari duit haram ni ya. Saya sempat membuka beg untuk memakai semula jaket saya yang mempunyai Jata Negara, mana tahu ia membantu.

Pada masa menunggu, sempat juga kami menanyakan beberapa orang yang baru keluar dari pejabat penyelia imigresen itu. Rata-rata mereka diminta untuk diberikan duit untuk dilepaskan atau dicop pasport mereka. Saya tanya "berapa kena?", mereka kata "100", saya tanya lagi "100 ribu rupiah ke?". Dijawab mereka "tidak, 100 RINGGIT!". Terkejut saya. Dah lebih Rp300 ribu tu. Malah boleh beli tiket feri balik Malaysia lagi. Tapi saya memang ada simpan duit, boleh cover Pak Nasir, untuk kontigensi.


Setelah beberapa lama, kami masuk ke dalam pejabat penyelia tersebut. Saya sempat membuka aplikasi merekod bunyi di dalam telefon bimbit saya sebelum memasuki pejabatnya. Kami berbicara dengan yakin dan tegas sambil merendah diri, dengan menyatakan kami tidak tahu perkara tersebut. Juga kami menyatakan bahawa kami bertugas di jabatan kerajaan yang agak berkuasa di Malaysia dan tujuan kami datang adalah untuk mengembara dan bertemu sahabat. Akhirnya, dengan beberapa nasihat, kami dilepaskan tanpa perlu bayar apa-apa. Salah satunya, beliau menasihati agar memaklumkan kepada sahabat di Malaysia, jika mahu ke Indonesia (saya rasa ke Bandara Kualanamu sahaja) perlu ada tiket pulang. Kami mengiakan sahaja. Selepas itu, pasport kami pun diimbas dan dicop. 

Alhamdulillah, lepas kami, tanpa perlu bayar apa-apa. Memang betul kata-kata beberapa sahabat pengembara, di Indonesia ini adalah syurga scam. Malah Pak Nasir cakap berulang kali, di Indonesia tidak ada yang percuma, saya betulkan dengan telor Indonesia, di Indonesia nggak ada yang gratis pak, hehehe. Bukan hendak memburukan tapi sebagai peringatan sahaja.


Selepas itu, kami berjalan menuju ke pemeriksaan kastam dan seterusnya keluar ke kawasan land side. Azmi dan bapa saudara isterinya, Pak Darwis telah menunggu kami. Kami bersalaman dan saya berpelukan (over sikit, hehehe, tapi mesra) dengan mereka. 

Tempat menunggu di stesen bas, berlatar belakang bangunan terminal 
Bandara Kualanamu.

Suasana di stesen bas Bandara Kualanamu.
 
Permandangan pintu masuk stesen keretapi Bandara Kualanamu dari stesen bas.

Kami berjalan-jalan sambil berbual-bual dan kenal mengenal terutama Pak Darwis. Rupanya Pak Darwis bersusah payah datang mengambil kami dan pada semalamnya mengambil Azmi dari lapangan terbang. Beliau berkata, ini Medan, agak bahaya tinggal di bandara. Oh, begitu. Kami berjalan-jalan melepasi kawasan land side, kemudian nampak stesen keretapi dan terus ke stesen bas. Agak moden dan sistem agak berbeza berbanding lapangan terbang lain di Indonesia. Ia juga agak moden, namun masuk baik lagi lapangan terbang di Malaysia. Saya andaikan Bandara Kualanamu ini seperti Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, malah ia lebih baik lagi dari Kualanamu ini. Ini pendapat saya sahaja. 


Kami duduk dahulu menunggu bas Damri, kerana ketika kami tiba di stesen bas, bas yang sedia ada cuma kosong lagi dua orang sahaja, kami berempat. Jadi kami menunggulah bas seterusnya. Terdapat juga perkhidmatan bas-bas lain menuju ke pelbagai tempat di sekitar Medan dan Sumatera Utara seperti ke Binjai, Brastagi, Tebing Tinggi dan sebagainya. Damri sendiri pun mempunyai tiga perkhidmatan di Medan ini dari Lapangan Terbang Kualanamu ini, cuma kami ambil yang melalui bandar Medan. 


Tiketnya pun cuma Rp20ribu (+- RM6) setiap orang sehala. Baru sahaja naik kerana kesan harga minyak di Indonesia dinaikan baru-baru ini. Sebelum ini harganya baru Rp15ribu (+- RM4.50) sahaja. Basnya pun kecil, dan pendingin hawanya tidaklah terasa sangat.


Di tengah itu adalah Azmi.

Bergambar dengan tuan rumah, Pak Darwis (tengah menefon).

Bandara Internasional Kualanamu, Medan.


Sistem lalulintas di lapangan terbang di Indonesia ini serupa sahaja. Tidak kisah hendak parkir atau cuma menghantar, semua perlu membayar caj parkir. Kaunter bayaran parkir pun sudah macam plaza tol.



Jalan dari lapangan terbang ke Medan agak baik dan seperti bertaraf lebuhraya, cuma tiada tol. Tapi tidak lama, sampai di simpang Kayu Besar, sudah dilihat betapa kelam kabutnya lalu lintas di Medan ini. Nasib baik bas ini melalui jalan tol Balmera di Sg. Morawa tapi hanya sekejap sahaja, kerana keluar di tol Amplas. Memang sakit kepala, sesak mengalahkan KL. Bayangkan jalan 3 lorong boleh jadi 7 atau 8 lorong!!! Aduh, macam ini rupanya Medan.



Dalam perjalanan, dapat saya ambil harga minyak di Indonesia yang ada di hadapan sebuah stesen minyak Pertamina. Harganya standard di seluruh Indonesia, jika dijual di stesen minyak. Kalau jual botol di tepi jalan, harganya lain. Secara ringkasnya, harga minyak bagi setiap liter  di Indonesia adalah Solar (Diesel) adalah Rp7500 (+-RM2.50), Premium (petrol RON88) adalah Rp8500 (+- RM2.83) dan minyak terbaik di Indonesia Pertamax (petrol RON95) adalah Rp11 500 (+- RM3.83). Sebelum harga minyak naik pada 15 November 2014 sejurus tidak sampai sebulan Presiden Indonesia sekarang, Joko Widodo menjawat jawatan tersebut, atas alasan mengurangkan subsidi, harga minyak atau dalam bahasa popular Indonesia, bahan bakar minyak (BBM) adalah Rp2000 (+-RM0.60) lebih murah bagi setiap liter, bagi semua jenis minyak.


Setelah dekat 2 jam bagi perjalanan hanya 20 km, kami sampai di persimpangan Jl Sisingamangaraja dan Jl Ir. H. Juanda, kerana di situ paling dekat untuk ke Masjid Raya al-Mashun dan Istana Maimun. Dari situ ke Masjid Raya kira-kira hampir 1 km sahaja, namun jalan di sini begitu kurang mesra pejalan kaki. Risau juga pasal kenderaan di Medan ini boleh ambil jalan kami.




Di pertengahan jalan, kami singgah ke sebuah restoran atau lebih popular dalam bahasa Indonesia, rumah makan. Maklumlah, ketika itu sudah jam 10:30 pagi (Waktu Indonesia Barat, WIB) atau di Malaysia sudah jam 11:00 pagi. Kami sarapan pun jam 4:30 pagi tadi. Kurang-kurangnya saya ada makan di dalam pesawat, tapi Pak Nasir? Kira makan di sini kira brunch lah. 




Makanan ini kira ala-ala minang/nasi padang tapi agak berlainan sikit. Ini kerana ia adalah masakan Sibolga, di pantai barat Sumatera Utara, tapi kira tidak berapa jauh dari Sumatera Barat, bumi Minang. Tapi sistemnya sama, mereka hidangkan semua lauk-lauk, cuma yang disentuh/ambil sahaja dikira. Jadi kalau disentuh semua, tapi tidak habis, maka kira semua. Ambil mana hendak makan sahaja. Jumlah yang dikenakan adalah Rp128ribu (+-RM43.00) kira seorang dalam RM11 lah.

 

Setelah makan, kami meneruskan perjalanan. Saya ternampak mesin ATM Bank CIMB Niaga di stesen minyak Pertamina. Apa lagi, kerana saya hanya bawa Rp1 juta sahaja, dan Pak Nasir pun hendak tukar duit. Jadi saya kata, apa kata tukar dengan saya sahaja, di mana Pak Nasir bagi wang Ringgit Malaysia dan saya keluarkan wang Rupiah dan berikan kepada Pak Nasir dengan nilai Rp1juta = RM2.90. Dia pun setuju. Jadi saya pun keluarkan duit di situ. Saya ambil Rp1juta untuk saya dan selebihnya (tidak perlu dimaklumkan) kepada Pak Nasir. Bagus juga sistem CIMB Niaga ini, sejurus saya membuat pengeluaran wang atau di sini disebut tarik wang (macam seriau je dengarnya), saya mendapat SMS (ketika ini, saya masih membuat perayauan antarabangsa dengan kad SIM DiGi saya), yang memaklumkan pengeluaran tersebut. Siap dengan nilai dalam RM lagi. Setelah dikira, kadar tukaran hari itu adalah dengan Rp1juta, kita hanya dicaj RM281.00 sahaja (tiada caj bank dari CIMB Islamic Malaysia dan CIMB Niaga). Kira lebih baik kadarnya dari ditukar di pengurup wang (sila rujuk catatan Pra Kembara).

Jalan di Medan macet (sesak) aja.


Akhirnya kami sampai di Masjid Raya al-Mashun. Di seberang jalan terdapat Kolam Sultan, tempat perkelahan, cuma sekarang ia tutup untuk dibaikpulih.

Di hadapan Masjid Raya al-Mashun, Medan.


Seperti yang dinyatakan, masjid ini mula dibina pada tahun 1906 dan siap dan mula digunakan pada 19 September 1909. Ia dibina oleh Sultan Deli yang memerintah kawasan sekitar Medan pada masa itu, iaitu Sultan Maimun ar-Rashid Perkasa Alamsyah. Tempat wuduknya di luar dan tidak bersambung dengan masjid (rupanya kemudian baru saya tahu, memang kebanyakan masjid di Sumatera Utara dan Aceh sebegitu). Sebab dibuat begitu adalah demi menjaga kemuliaan masjid dan tidak mahu berkongsi rumah Allah dengan tempat kegemaran Syaitan. 

Kasut kita perlu ditinggalkan dan dijaga oleh seorang penjaga kasut (nanti semasa hendak keluar perlu berikan (bukan pilihan tapi kemestian) sekurang-kurangnya Rp1000 kepadanya).

Tempat wuduk Masjid Raya al-Mashun.

Kolah wuduk lama.


Saya solat beberapa solat sunat di Masjid ini. Dapat melihat kegemilangan Kerajaan Kesultanan Deli dari rekabentu masjid ini. Selepas itu, kami berehat untuk menunggu waktu Zohor, kerana anak Pak Darwis akan datang mengambil kami pada masa tersebut.

Kemudian kami disapa oleh Pak Razali, tok siak masjid ini, yang mengatakan, Pak Darwis menyuruhnya menjadi pemandu pelancong, menceritakan serba sedikit tentang masjid ini. Dari telor percakapannya, ia lebih kepada Bahasa Melayu Malaysia berbanding Bahasa Indonesia, cuma terdapat beberapa istilah Bahasa Indonesia digunakannya. Saya menanyakan adakah beliau keturunan Melayu Deli, dan memang ya.

Lalu diceritakan serba sedikit maklumat tentang masjid.

Perkuburan orang kebanyakan terutama orang Melayu Deli.

Permakaman kerabat diRaja Deli termasuk bekas Gabenor Sumatera Utara, 
Raja Inal Siregar yang terbunuh dalam tragedi penerbangan Mandala Airline RI091.

Ruang solat.

Mimbar kedua, untuk Muazin mengulang takbir Imam.

Al-Quran lama tulisan tangan yang terdapat di Masjid Raya al-Mashun.


Ruang beranda di masjid ini agak unik. Jika untuk solat yang melimpah ke sini, jemaah hanya perlu ikut susunan jubin yang senget 45 darjah. Masjid ini keseluruhanya, boleh memuatkan kira-kira 3000 jemaah pasa satu-satu masa tidak termasuk ruang terbuka di luar.

Setelah selesai memberikan maklumat tentang masjid, Pak Razali memohon agar diberikan infak kepada masjid. Saya cuba memberikannya melalui tabung, namun katanya lebih "afdhal" jika diberikan terus kepada beliau. Tidak mengapalah, semoga Allah mengetahui maksud sebenar dan harap keikhlasan saya sampai. Begitu juga dengan Pak Nasir.

Seterusnya apabila tiba masa solat Zohor, kami semua bersolat Zohor secara berjemaah di sini.

Akan bersambung ke Hari 1 Bahagian 2.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 (this part);  
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or  
  • Day 6.