Jumaat, 18 April 2014

Hari 4 (Brunei & Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia (melalui Miri, Sarawak, Malaysia & Labuan, Malaysia) - 21 hingga 25 Mac 2014) - Meneroka Bandaraya KK.

Sambungan dari Hari 3.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.





24 Mac 2014 (Isnin)

Pagi ini rasa agak berbeza, kerana azan Subuh berkumandang lebih kurang pukul 04:50 pagi. Awalnya. Rasa seperti di Makkah pula. Baru teringat bahawa kami kini di Kota Kinabalu (KK).

Pada mulanya kami ingin keluar seawal 06:30 pagi untuk ke Pasar Filipina di pusat bandaraya lama KK, namun biasalah anak-anak agak lambat bangun. Pukul 07:15 pagi baru bergerak ke KK. Tapi jalan dah sesak. Pukul 08:15 pagi baru sampai ke  Pasar Filipina. Terus dapat parkir. Namun tidak banyak kedai buka pada waktu ini. Terus kami berjalan menuju ke Pasar Besar KK.

Perut dah lapar, saya membawa keluarga saya menuju ke tingkat atas pasar ini. Ada sebarisan gerai makanan di atas. Matlamat saya, makanan yang unik di Sabah. Saya dan isteri meninjau dari satu gerai ke satu gerai. Akhirnya kami bersetuju untuk memilih gerai no lapan, pasal makcik tu kurang agresif dalam menarik kami, dan lauk-lauknya seperti bukan kebiasaan kami perolehi di Semenanjung.

Kiranya lauk ini seperti bukan sarapan pagi, tapi lebih kepada makan tengahari. Kami makan nasi putih berlauk umai ikan bilis besar, rumpai laut berwarna putih kecoklatan, rumpai laut berwarna hijau dan pedal ayam seperti masak kicap tapi agak lain rasanya. Untuk anak-anak, kami pilih sosej. Kira makanan berkhasiat kerana kurang minyak. 

Jika tidak tau umai itu apa, umai adalah makanan laut mentah, tidak kira ikan, udang, sotong atau lain-lain lagi yang diperah dengan air asam atau perahan limau yang banyak. Umai yang kami ambil ini ada hirisan bawang dan cili sedikit. Rumpai laut putih pun dibuat dengan cara sama.

Cuma yang paling menarik, adalah rumpai laut hijau yang kami makan. Ia adalah segar, di mana tidak boleh jumpa dalam keadaan kering. Rupanya agak berbiji dan apabila makan, ia seumpama meletup di dalam mulut seperti makan telur ikan salmon atau telur ikan mayong. Makcik empunya kedai ini pun mesra. Dia yang ajar macam mana nak sedapkan rumpai laut itu. Rupa-rupanya ada bahan perisa tambahan seperti garam, gula, cili, limau, cuka, kicap dan sos ikan disediakan di meja ini, bertujuan untuk menambah kesedapan, seperti kedai makan di Thailand pula. Dia memerahkan limau dan menaburkan cili potong ke dalam pinggan untuk digaul dengan rumpa laut hijau itu.Isteri saya pada awalnya macam was-was (seperti hendak masuk Fear Factor pula), sesudah makan, dia puala menghabiskan dan siap tambah lagi satu pinggan. 

 Anak pula hanya tunjuk peace sahaja, bukan nak makan pun.

Antara gerai-gerai makan di tingkat atas Pasar Besar KK.


Permandangan pasar borong ikan diambil dari tingkat atas Pasar Besar KK.

Ezanita kata, kalau nak ikan murah, segar dan jika nasib baik, ikan besar gred A seperti jenahak, merah, kerapu dan pelbagai lagi, boleh ke pasar borong ikan ini seawal 3 atau 4 pagi. Pada masa itu, yang bersama-sama beli adalah towkey-towkey restoran makanan laut. Sekurang-kurangnya ada ikan besar, kalau kat Semenanjung, dah tidak ada, pasal dah kena jual ke Singapura.

Seterusnya kami berjalan-jalan di dalam pasar ini. Dari pasar kering ke pasar basah, dari kawasan sayur-sayuran ke kawasan ikan. Harga lebih kurang atau murah sedikit dari harga di KL. Cuma saya agak rambang mata apabila berada di kawasan pasar ikan dan hidupan laut. Harga agak murah, menyebabkan saya kata, esok kita mesti ke sini sebelum balik kepada isteri saya. Sudahlah tu, ikan gred A yang agak besar juga pun ada dengan harga lebih murah dari di KL. Ada yang separuh harga murahnya. Sebagai contoh ikan jenahak kira-kira dalam 4 ke 5 kilo seekor dijual dalam RM12.00 sekilo sahaja!!! Gambar bawah ini lagilah, kegemaran kami sekeluarga, ketam nipah, dijual dalam RM8.00 ke RM12.00 sekilo mengikut saiz!!! Biasa dapat kat KL dalam RM25.00 ke RM50.00 sekilo!!! Rasa macam nak pindah sini. Rasa hendak beli sahaja.


Kemudian kami sahaja melawat jeti untuk penduduk pulau berhampiran di pasar ini. Tiba-tiba anak lelaki saya meminta nak naik bot. Aduh, ini tidak masuk dalam jadual, kerana kalau nak naik bot, untuk islands hoping ke atau melawat pulau, mahu ambil masa dekat sehari. Lagipun saya kata, semalam pun mabuknya tidak hilang. Namun untuk ambil hatinya, kami bertanyakan harga di jeti ini (sahaja tanya, pasal semasa di Pasar Filipina tadi, ada yang menawarkan khidmat ini, berharga dari RM300.00 ke atas untuk melawat pulau ke RM500.00 untuk islands hoping). Harga yang ditawarkan agak murah di sini, dari RM150.00 untuk melawat 2 buah pulau ke RM300 untuk islands hoping. Huh, murah, cuma masa mencemburui, kami cuma ada sehari penuh ini sahaja untuk melawat KK. Mungkin di lain masa ye anak. Insya Allah.

Seterusnya kami melawat Pasar Filipina yang menjual cenderahati. Namun lagi kami, harga di sini agak mahal. Saya ada cadangan dari seorang kawan Facebook, mengatakan jika mahu beli cenderahati, beli di Pasar Malam Sinsuran, yang dihadapan Pasar Filipina ini ketika waktu malam. Jadi, insya Allah kami akan ke sani lagi malam ini.

Seterusnya, kami berjalan-jalan ke selatan bandaraya ini. Menyurusi tepi laut, kelihatan Sutera Harbour Resort, kemudian Tanjung Aru. Kemudian kami nampak pula landasan Lapangan Terbang Antarabangsa KK (KKIA). Saya mengambil keputusan untuk ke Lok Kawi. Nampaklah di dalam perjalanan itu landasan keretapi Sabah yang sudah agak moden dengan lapik landasannya sudah bertukar dengan konkrit. Seni bina moden KKIA jelas kelihatan selepas itu.


Tujuan kami ke Lok Kawi adalah untuk ke Taman Hidupan Liarnya. Alhamdulillah, parkir tidak penuh, rasa tidak berapa ramai di sana. Kami tiba di sini pada jam 11:15 pagi. Harga tiketnya adalah RM10.00 setiap dewasa dan RM5.00 bagi setiap kanak-kanak berusia 3 hingga 17 tahun. Sebanyak RM25.00 digunakan kami untuk memasuki taman ini. Malangnya, tiket masuk hilang ketika saya mencarinya setelah tiba di homestay kami pada petang itu. Kami muatkan risalah taman ini untuk rujukan. 




Ketika kami sedang berjalan-jalan di dalam taman ini, kedengaran ada keriuhan. Rupanya ada persembahan haiwan rupanya di kawasan theateratte rupanya. Kami singgah sebentar untuk menonton persembahan ini. Antara haiwan yang terbabit dalam persembahan adalah burung-burung kaka tua, orang utan dan ular sawa.



Seterusnya, kami meneruskan lawatan kami mengelilingi taman hidupan liar ini. Haiwan-haiwan di sini agak mesra pengunjung. Tangan saya dijilat oleh anak seladang, kuda padi (seperti gambar di atas) dan rusa. Anak kedua saya juga agak berani untuk memegang haiwan-haiwan ini dan dijilat kuda padi. Isteri dan anak sulung saya agak takut, namun saya cakar mereka, dan gambar di bawah ini antara hasilnya. Huhuhu.


Anak sulung saya bergambar di kandang monyet belanda (ada yang kata orang belanda) . Katanya rupa moden-monyet ini rupanya seperti  Squidward dalam Spongebob Squarepant.

Gambar dengan orang utan sedang tidur.




Setelah selesai melawat Taman Hidupan Liar Lok Kawi, kami kembali ke KK dan singgah ke Masjid Negeri untuk solat jamak qasar Zohor dan Asar. Sambil tu sempat singgah ke pejabat Majlis Agama Islam Sabah untuk membayar zakat di Pusat Zakatnya.




 

Kami kembali ke pusat bandaraya KK dan destinasi seterusnya adalah Menara Jam Atkinson. Boleh layari wikipedia untuk maklumat mengenai menara ini. 



Kemudian kami ke Kawasan Tinjau Bukit Bendera KK, di mana untuk ke sini, perlu teruskan perjalanan dari Menara Atkinson tadi ke atas bukit. Di sini dapat diperhatikan keseluruhan permandangan pusat bandaraya lama KK dan juga pusat bandaraya baru KK. Juga boleh diperhatikan Pulau Gaya, Teluk Likas dan Laut China Selatan yang terbentang luas. Di sini juga terdapat sebuah restoran, bolehlah menghilangkan penat di atas ini. Angin pun menghembus menyejukkan keadaan.



Kami melalui Teluk Likas selepas itu. Ingat nak berhenti untuk duduk di tepi laut, sambil anak-anak nak mandi laut, tetapi kami lupa hendak membawa baju basahan. Jadi saya teruskan perjalanan untuk mengambil gambar kenangan ke mercu tanda bandaraya KK, iaitu Menara Tun Datu Mustafa, yang merupakan ibu pejabat Yayasan Sabah.

Jenuh juga saya nak angkat bangunan ini, hehehe.

Selepas bergambar di Menara Tun Datu Mustafa, kami memasuki kawasan Universiti Malaysia Sabah pula, untuk ke Akuarium dan Muzium Maritim Sabah, yang terletak di dalam kampus ini tidak jauh dari Institut Penyelidikan Biomarin Borneo, namun ketika kami sampai pada pukul 16:05 (4:05 petang), saya terlihat masa operasinya adalah sehingga jam 16:30 (4:30 petang) sahaja. Nampak gaya, lawatan ini terpaksa dibatalkan.



Memandangkan kami belum makan lagi sejak makan di Pasar Besar KK tadi, maka saya membawa kereta kami menuju ke Tuaran kerana Ezanita kata di situ boleh makan lokan panggang yang sedap. Sebenarnya saya agak sesat ke sini, walaupun ada satu ketika memang sudah hendak sampai (di bulatan) namun saya patah balik. Ini kerana, petunjuk yang saya dapat adalah dekat dengan Politeknik Kota Kinabalu. Selepas itu, sempat juga saya mencari maklumat berkaitan di dalam internet, dan akhirnya jumpa juga.


Untuk pengetahuan, ia terletak di jalan menuju Tuaran. Jika dari Politeknik KK, teruskan perjalanan sehingga jumpa bulatan. Ambil jalan pada pukul 9 (iaitu sebelah kiri) bulatan, dan 200 meter selepas bulatan terdapat barisan gerai-gerai yang menjual lokan panggang semua nya. Kami makan di kedai Kak Tini.


Keistimewaan di sini adalah lokan panggang (atau lokan bakar), di makan bersama puding yang ada macam-macam jenis antaranya kepala, jagung dan dua lagi perisa yang saya lupa. Kami memilih puding kelapa. Untuk penghilang dahaga pula, air kelapa yang sejuk (disejukkan sekali dengan kelapanya dan kelapa bakar.



Harga lokan panggang di sini berdasarkan bilangan lokannya. Lokannya pun agak besar, namun semasa kami sampai, cuma ada lokan sederhana sahaja. Stok lokan besar telah "dirampas" oleh pengunjung sebelum kami di hadapan mata kami, huhuhu... Ada RM7.00 bagi pingan kecil, RM10.00 sederhana dan RM12.00.


Mula-mula ambillah pinggan kecil dahulu nak cuba. Hendak tunggu lokan ini masak juga ambil masa lama juga. Dekat 20 minit barulah lokan yang masak dihidangkan di hadapan kami. Memang sedap terutama perapannya. Sosnya pun sedap, cuma agak pedas sedikit. Sudah rasa sedap, kami pesan 2 pinggan besar. Anak kedua kami memang sama-sama menikmati, namun anak sulung kami memang kurang suka makan. Nasib lah. 

Semasa menunggu pesanan lokan panggang pusingan kedua kami sampai, sempat lah kami meninjau bagaimana ia dipanggang. Ia dipanggang sebagaimana gambar di bawah ini.

Akhirnya selepas hampir 30 minit sampailah lokan kami. Kami bertiga makan seenak-enaknya, diperhatikan anak sulung kami. Puas juga kami suruh dia mencuba. Akhirnya ketika tinggal lagi 3 ekor, saya paksa dia mencuba, dia pun merasainya. Emm, sedap la, nak lagi. Maaf kataku, nak tunggu lagi, maknanya hari pun makin gelap lah. Biarkan dia rasa kempunan, sebagai pengajaran.


Kemudian kami kembali semula ke homestay kami untuk membersihkan diri dan bersolat jamak qasar Maghrib dan Isyak.


Jam 21:00 malam, kami kembali ke pusat bandaraya lama KK, kali ini ke Pasar Malam Sinsuran. Di sini ada jual banyak barang terutamanya cenderahati seperti magnet peti ais, pemegang kunci, mutiara pelbagai bentuk (loket, subang, cincin dan sebagainya), barangan bundle dan sebagainya. Harga pun lebih murah berbanding di Pasar Filipina. Sebagi contoh, di Pasar Filipina, pemeganng kunci boleh dapat 3 atau 4 buah dengan RM10.00, di pasar malam ini boleh dapat 8 buah dengan RM10.00. Sama juga dengan barangan lain.

Jesteru, kami borong magnet peti ais dan loket mutiara untuk kami dan cenderahati kami untuk kaum kerabat di KL.


Selepas itu, kami ke Pasar Filipina di hadapan pasar malam ini, kerana gerai makanan dibuka pada waktu malam. Kami ke salah sebuah gerai makanan kerana hendak cuba makan udang kara (lobster) kononnya. Kami ambil seekor udang kara sederhana besar seberat 600 g (RM17/g) untuk di masak 3 rasa. Selain itu, ambil juga udang harimau (RM10/g) untuk dibuat goreng mentega dan kailan ikan masin. Minuman, kami pilih jus alpokat (avokado) yang kami lihat buahnya agak besar semasa berjalan masuk. Saya juga memesan secara asing kepak ayam madu sebanyak 7 keping berharga RM10.00. Kepak ayam dan jus alpokat agak terbaik, cuma yang lain seolah tidak berbaloi. Terutama udang harimau, terasa busuk salah seekor (terdapat 4 ekor). Rasa tidak berbaloi untuk membayar RM170.00 untuk semua ini. Jadi, pada masa akan datang, tidak perlu makan di sini lagi.


Selepas makan, kami ke bahagian makanan kering Pasar Filipina untuk membeli ikan bilis, ikan masin, amplang (keropok ringan orang Sabah, memang sedap) dan lain-lain. Di sini saya dan isteri mengambil keputusan untuk tidak ke Pasar Besar KK lagi pada keesokan untuk membeli ikan, ketam dan lain-lain. Ini kerana, jika bawa pulang pun, sudah kurang segar, malah takut ketam nipah ini mati semasa dalam perjalanan, menyebabkan ia tidak sedap dimakan. Tidak mengapa, KK ini akan menjadi destinasi percutian kami pasa masa akan datang.

Kami pulang ke homestay, untuk mengemas asalnya, namun sampai di sana, terus tertidur...


...Akan bersambung ke Hari 5.


Atau ingin melihat 


If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.

Khamis, 17 April 2014

Hari 3 (Brunei & Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia (melalui Miri, Sarawak, Malaysia & Labuan, Malaysia) - 21 hingga 25 Mac 2014) - Hari Feri, Brunei-Labuan-KK.

Sambungan dari Hari 2.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.





23 Mac 2014 (Ahad)

Saya bangun pagi dan solat subuh. Hari ini hari feri, kata hati saya. Memang pun. Hari ini perjalanan kami agak lama dengan menggunakan feri. Makan pagi percuma disediakan hotel hanya bermula jam 07:00 pagi. Tempahan tiket feri pula jam 09:00 pagi. Saya tidak tahulah kalau ada masa untuk boarding ke macam di feri Singapura. Jadi saya membuat keputusan untuk tidak makan di hotel.


 Gambar di hadapan Palm Garden Hotel, BSB.

Kami pada jam 06:45 pagi dah ke lobi dan daftar keluar. Ingat di Brunei pukul 6 pagi seperti 7 pagi di Semenanjung, jadi bukan awal lagi. Sambil menunggu keluarga Sopek turun, sempatlah kami bergambar di sekitar hotel.



Bergambar gambar kedua-dua Duli Yang Maha Mulia.

Tidak lama kemudian, turunlah Sopek dan keluarga. Dia kata sempat jika makan dulu, kalau ke Muara pun dalam setengah jam sahaja. Maka kami pun makan lah sarapan di hotel ini. Memandangkan ini hotel perniagaan bukan kelas mewah punya hotel, maka barisan makanan agak biasa sahaja. Dalam setengah jam kami pun selesai makan sarapan, kerana anak-anak sudah mula buat restoran hotel ini seperti taman permainan, bagi menjaga keselesaan tetamu lain, kami pun keluarlah.



Jam 07:40, kami mula bergerak dari hotel. Dapat melihat suasana Brunei waktu pagi. Ada kelainan sedikit, perasan sayalah. Sambil tu, semasa berhenti di simpang lampu isyarat, terlihat sebuah van berlogo pisau kukri. Bermakna ini askar Gurkha ini. Askar Gurkha ini merupakan askar yang diambil dari kaum Gurkha di Nepal untuk berkhidmat di unit-unit tentera negara luar Nepal. Antara negara yang mengambil khidmat kaum Gurkha ini adalah British (terdapat tiga rejimen askat Gurkha, salah satunya bertempat di Burnei ini), Singapura (ada sebuah unit khas di dalam Polis Republik Singapura) dan Brunei (sebuah pasukan simpanan (anti rusuhan) di dalam tentera). Boleh Google atau Wikipedia atau lain-lain sumber kalau nak tahu kenapa Gurkha ini diambil sebagai tentera negara selain Nepal. Saya mahu cerita, panjang pula, mungkin pada posting lain.


Ketika sampai di Terminal Feri Serasa di Muara, Syida memberikan saya beberapa keping duit syiling Brunei sebagai koleksi kerana dia tahu saya minat mengumpul duit. Terima kasih Syida. Adalah empat koleksi yang dapat saya simpan, di mana salah satunya duit syiling lama.







Ketika kami sampai di Terminal Serasa ini, jam menunjukkan pukul 08:15 pagi. Kami pergi ke terminal penumpang. Di lihat masih ada feri jam 08:30 ke Labuan. Tapi memandangkan saya sudah tempah feri kenderaan, jadi saya lihat jeti feri kenderaan di sebelah (ketika itu, masih tidak pasti). 


Akhirnya saya ke kaunter feri PKL Jaya Sdn Bhd yang berupa sebuah pejabat kontena sahaja. Oh, ada rupanya tempahan kami, dan  saya membayar BN$ 46.00 (+-RM 120.00) (harga tiket sebanyak BN$15.00 (+-RM 39.00) bagi seorang dewasa, dan BN$8.00 (+- RM 21.00) bagi kanak-kanak antara 3 hingga 12 tahun. Bawah 3 tahun percuma tetapi perlu bayar cukai pelabuhan atau caj perkhidmatan penumpang sebanyak BN$ 2.00 (+- RM 5.20) seorang yang juga dikenakan kepada semua penumpang dewasa dan kanak-kanak. 




Ada baik juga naik feri kenderaan ini. Selain ia merupakan jadual feri terakhir ke Labuan pada pagi itu, (sebelum itu terdapat feri penumpang pada pukul 07:00, 08:00 dan tambahan hari Ahad, 08:30 pagi, manakala sebelah petang pula ada feri penumpang ke Labuan mulai jam 13:00 (1:00 tengahari) dan terakhir jam 16:00 (4:00 petang). Feri kenderaan ini satu-satunya disediakan di sini dan hanya berlepas sekali sehari. Jika feri penumpang, akan mengambil masa sejam untuk tiba di Labuan, tetapi feri kenderaan ini perlu satu setengah jam untuk sampai. Lagipun feri ke Kota Kinabalu (KK) hanya pada pukul 13:00 (1:00 tengahari) jadi buat apa awal-awal. Baru dapat menikmati permandangan dan udara segar, yang mana mungkin tidak diperolehi pada feri penumpang. Juga sebagai pengalaman kepada anak-anak saya yang tidak pernah menaiki feri kenderaan (kecuali semasa usia 2 bulan, anak sulung saya menaiki feri kenderaan Pulau Pinang, tapi ia masih kecil, mungkin tidak dikira).


Terminal feri kenderaan ini agak ringkas. Kaunter imigresennya pun dibuat dengan menggunakan kontena dan disusun seperti pondok tol. 

Sebelum kami berlepas, kami sempat menangkap gambar kenang-kenangan di kawasan jeti feri kenderaan ini. Baru saya perasan, sebelum ini kami tidak ambil gambar bersama-sama. Kami amat berterima kasih kepada mereka kerana sudi menjadi tuan rumah kepada kembara percutian kami. Layanan kamu semua amat mesra dan tidak terbalas oleh kami.


Kemudian kami melambai selamat tinggal kepada mereka, dan menuju ke kaunter imigresen Brunei untuk prosedur imigresen. Kami menggunakan kaunter imigresen untuk kenderaan bagi tujuan tersebut. Pegawai imigresen Brunei amat mesra sekali semasa mengecop pasport-pasport kami.


Selepas itu, kami berjalan kaki ke feri MV Shuttle Hope yang sedang berlabuh. Cuma dalam hati saya, bayangkan kalau dalam keadaan hujan lebat, bagaimana penumpang hendak ke feri itu ya.


Sampai di feri, kami disambut dengan mesra oleh petugas feri dan kami dibawa ke tingkat atas feri, iaitu dek khas untuk penumpang. Amat selesa dan siap ada kedai yang menjual makanan dan minuman di dalam feri ini. Siap ada TV lagi, dan ruangan seperti di gambar bawah ini adalah berhawa dingin. Ada juga tempat duduk di ruangan terbuka jika hendak merasa udara segar.

Setelah meletakan beg, saya keluar untuk melihat kenderaan mulai masuk ke dalam feri. Anak-anak saya juga teruja dengan perkara ini, maklumlah pertama kali merasainya.


Sambil itu juga, saya mengambil gambar jeti feri penumpang dan sempat melihat feri penumpang jam 08:30 pagi berlepas.





Setelah semua kenderaan dan penumpang menaiki feri ini, maka pada jam 09:10 pagi, feri ini berlepas dari jetinya. Permandangan amat indah sekali. Dapat melihat Pelabuhan Muara, Pengkalan Tentera Laut DiRaja Brunei dan suasana sekeliling Muara ini.

Nampak dari dalam feri ini pulau Labuan, yang kelihatan tidak berapa jauh dari Muara, merupakan destinasi feri ini dan destinasi perantara kami sebelum bersambung ke KK pula.


Semasa berlayar, sempat juga saya melihat pelantar-pelantar minyak di perairan Brunei dan juga Malaysia. Kelihatan amat dekat sekali.


Selepas sejam suku pelayaran, kami tiba di perairan Labuan. Mula nampak loji simpanan bahan petroleum berlogo Petronas. Bermakna kami kembali semula ke Malaysia.




Akhirnya jam 10:40 pagi, feri ini sampai ke Terminal Feri Ro-ro (Roll On- Roll Off - bermaksud feri kenderaan) Labuan. Kami penumpang turun feri dahulu dan terus ke kaunter imigresen yang tidak berapa jauh dari jeti.



Pasport kami diimbas, dan tanpa diminta, cop pasport masuk untuk warganegara Malaysia pun diturunkan. Secara rasmi kami kembali ke Malaysia dan secara rasmi inilah pertama kaki kami dijejakkan di bumi Labuan ini. Bermakna setiap negeri dan wilayah di Malaysia, sudah saya jejaki. Alhamdulillah. Di sini, saya menerima sms dan mesej WhatsApp dari Hishamuddin aka Dino. Dia bertanya, saya sudah sampai.Jawapan saya mengatakan saya akan tiba tidak berapa lama lagi.


Jeti Feri Ro-ro Labuan dengan Terminal Feri Antarabangsa Labuan (jeti penumpang) adalah bersebelahan sebenarnya. Jadi tidak lama lagi saya akan berjumpalah dengan Dino.



Sampai sahaja saya di  depan bangunan Terminal Feri Antarabangsa Labuan ini, tiba-tiba kedengaran sayup-sayup, Di! Di!. Cuma dengar hujung, hujung sahaja. Saya lihat ke belakang. Seseorang melambai tangan, berjalan ke arah saya. Sampai di hadapan saya, berliau bertanya, "Ini Abang Hadi kan?". Saya mengiakan dan terus bersalam dengannya. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Hishamuddin (id Facebook Dato Dino). Terus saya tangan sebelah kiri memeluk bahunya, seperti sudah lama kenal. Saya mengajak dia makan. Tetapi dia terpaksa menolak kerana bekerja. Dia menyerahkan tiket-tiket feri dari Labuan ke KK pada tengahari itu. Saya sebenarnya telah membuat pindahan bank sebanyak RM110.00 untuk tiket ini (harga tiket feri tersebut bagi seorang dan sehala adalah RM 34.00 untuk dewasa dan RM 21.00 bagi kanak-kanak). Saya mengucapkan terima kasih kepada dia atas pertolongan ini. Tidak mengapa, di lain masa kita akan berjumpa lagi dan minum ber saya insya Allah, antara kata-kata saya. Alhamdulillah, sudah ada kawan di Labuan. Selepas itu, dia pun terus pergi.


Dalam masa dua jam ini, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan berdekatan jeti ini. Ingat hati nak makan tengahari, tetapi bekalan dari Brunei masih ada dan selepas ini kami akan naik feri lagi, perjalanan selama tiga jam pula tu. Sebagai langkah berjaga-jaga, takut nanti mabuk dan muntah pula. Lagipun perjalanan feri Labuan ke KK ini melalui perairan laut lepas dan ketika ini pula merupakan waktu kuat tiupan angin monsun. Kami sempatlah beli beberapa barangan seperti pakaian dan coklat, kerana di sini adalah kawasan bebas cukai. Harga pun agak murah, malah harga coklat bagi saya lebih murah dari harga coklat di Langkawi.

Kaunter tiket feri di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.


Pukul 12:20 tengahari, kedengaran panggilan untuk menaiki feri Labuan Ekspress Tiga. iaitu feri kami. Kebetulan ketika itu kami telah berada kembali di kawasan umum jeti ini. Jadi nampak gaya kami terpaksa sama ada solat di atas feri atau jamak takhir sahaja. Segera kami memasuki dan menaiki feri. Tepat jam 13:00 (1:00 tengahari), feri pun berlepas dari jeti penumpang Labuan.


Semasa di dalam feri, keluarga saya mulai mabuk ketika selepas dua jam perjalanan. Buat pertama kali, saya pun mengalami mabuk ketika lagi sepuluh minit mahu sampai ke jeti KK. Huh, sampai muntah angin, huhuhu.

Sampai di Jesselton Point, iaitu jeti feri di KK, kami pun keluar dari feri. Huh, mencabar jeti sini, dengan ombak laut yang agak tinggi dan bergelora walaupun angin agak cerah. Jeti yang feri berlabuh, bukanlah jeti yang kekal dari konkrit, tetapi jeti yang terapung. Sudahlah imbangan badan tidak berapa stabil, ditambah pula dengan keadaan jeti juga kurang stabil. Cuma saya risau anak lelaki saya sahaja, jurang antara feri dan jeti agak besar juga, dan titi pun tidak berapa tetap tempatnya. Tapi terkejut pula saya, anak saya melepasinya dan berada di sisi saya. Kami kemudian terus keluar ke jeti. Sebelum kami keluar dari kawasan jeti, dua orang pegawai imigresen, memeriksa dokumen pengenalan setiap penumpang. Saya sudah siap-siap memegang pasport, dan apabila sampai, saya terus serahkan pasport. Tetapi diberikan kembali setelah disemak, tanpa sebarang cop atau imbasan. Alamak, risau pula saya, takut bila hendak keluar Sabah nanti berlaku masalah pula. Saya tanya, tidak mengapa tidak cop atau imbas, pegawai itu kata, tidak mengapa. Padanlah Sopek beritahu awal-awal, di Jesselton Point ni kira bolos masuk ke Sabah. Baru saya faham maksud dia.


Selepas melepasi imigresen tadi, saya menghubungi sahabat sekelas saya dan Syida di Sekolah Menengah Teknik KL (TIKL), Ezanita Syawal (id Facebook Cikgu Ezanita), menanyakan tentang pengangkutan dan tempahan homestay kami di KK. Saya sebenarnya telah berurusan dengan dia di dalam Facebook. Beliau kata suaminya sedang mengambil kereta dan agak lambat sedikit sampai di Jesselton Point. Jadi kami rasa kami perlu makan dahulu.


Semasa memerhatikan kedai mana kami mahu makan, terlihat kegemaran saya, isteri saya dan anak kedua kami, Ketam Nipah. Nampak macam takut dengan kami, saya pun bermain-main dengan ketam ini, mentang-mentanglah sepitnya diikat. Lalu saya memilih ketam yang paling besar dan memilih untuk dimasak manis dan masam. Sementara menunggu ketam siap, saya mengambil gambar petang di Jesselton Point. Gambar di bawah ini menarik perhatian saya, dengan berlatar belakangkan Pulau Gaya.

Semasa ketam kami sedia sampai, Pariman (id Facebook: Pariman Bian), suami kepada Ezanita, menenefon kami. Dia sudah sampai di hadapan Jesselton Point. Saya kata kami baru nak makan, mohon untuk tunggu selama setengah jam. Dia kata tidak mengapa.

Nikmat betul dapat merasakan ketam ni. Saya ingatkan mahal, rupanya dalam RM60.00 sekilo. Oklah, walaupun di Pulau Carey, Banting, Selangor lagi murah. Lepas makan, kami segera menemui Pariman dan kami segera di bawa ke homestay.


Asalnya Ezanita ingin mengikut sekali untuk mengambil kami, tapi anaknya yang baru 3 bulan menangis, seumpama mahu tumbuh gigi. Semasa perjalanan, saya pun berboraklah dengan Pariman. Rupanya dia berasal dari keturunan Dusun, cuma namanya sahaja seumpama orang Jawa. Di sini saya dapat lihat permandangan Teluk Likas, ombaknya agak tinggi. Kalau orang suka meluncur, amat suka keadaan begini. Kemudian kami melalui Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (seingat saya dulu terapung di Teluk Likas, kini berada ke dalam di darat), Menara Tun Mustapha (Yayasan Sabah), Kompleks 1Borneo dan Universiti Malaysia Sabah.


Tidak berapa jauh kemudian, di Sulaman, kami sudah sampai di homestay kami tinggal kami selama dua malam ini. Ia terletak di tingkat 4 (atas sekali) di sebuah apartmen 4 tingkat. Kedai-kedai amat dekat. Kemudahan di dalam rumah ini pun amat lengkap dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik mandi. 




Homestay ini juga siap dengan peti ais dan dapur. Kemudahan pendingin hawa pun ada, sesuai dengan cuaca KK yang agak panas ketika itu. TV juga dilengkapi dengan astro. Kira berbaloilah kami ke sini. Mungkin masa kami akan datang ke KK dengan lebih ramai lagi, boleh kami duduk di homestay ini. Pariman pun memberikan kunci rumah dan kunci kereta sekali untuk kemudahan kami di KK ini. Jika ada masalah, boleh hubungi dia atau Ezanita, katanya. Dia kemudian pulang ke rumahnya.


Kami baru sedar kami belum solat Zohor dan Asar. Masa sudah menunjukan pukul 17:50 (5:50 petang), terus kami solat jamak qasar. Selepas setengah jam kemudian, kami solat jamak qasar Maghrib dan Isyak, setelah masuk waktu azan.

Malam ini kami tidak keluar, kerana sudah kepenatan.



Sementara itu, saya, dengan menggunakan plan data yang ada pada iPhone5 saya, membuat daftar masuk bagi penerbangan pulang kami ke KL di laman web daftar masuk Malindo Air dan menyimpan pas pelepasan untuk tujuan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu nanti. Terbaiknya daftar masuk di Malindo Air ini, kita boleh memilih tempat duduk kita. Selepas selesai proses daftar masuk ini, kami menonton televisyen dan kemudiannya tidur.

... Akan bersambung ke Hari 4.


Atau ingin melihat:


If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2
  • Day 3, 
  • Day 4, 
  • Day 5 or 
  • itinerary.