Ahad, 20 November 2016

Hari -1 (Sydney, Australia - 26 hingga 31 Oktober 2016) - Terbang Menuju Ke Australia.

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1 (this part);
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney.

Hari -1 (26 Oktober 2016 - Rabu).

Hari ini sebenarnya adalah hari terakhir kursus saya. Saya berkursus di sebuah resort di Puchong dan ia hanya akan berakhir pada sebelah petang. Rasanya tidak sempat jika saya pulang ke rumah jika saya ikut sehingga akhir kursus ini, jadi saya minta pelepasan daripada fasilitator kursus saya untuk diberikan pelepasan awal. Alhamdulillah, beliau memberikan pelepasan kepada saya untuk pulang awal selepas sesi pagi.

Jadi selepas makan tengahari, saya pun pulang dengan isteri saya mengambil saya di resort terbabit. Sampai di rumah, saya membuat beberapa persiapan akhir. Jam 6:00 petang, saya pun memandu kereta ditemani isteri saya bertolak dari rumah menuju ke klia2. Kami mengambil abang Zul terlebih dahulu di rumahnya. 

Memandangkan ketika itu, waktu puncak orang ramai pulang dari kerja, maka jalan pun agak sesak. Saya terpaksa melalui beberapa jalan yang bukan kebiasaan saya untuk ke klia2 termasuk menggunakan beberapa lebuharaya bertol. Kebiasaannya, perjalanan saya ke KLIA atau klia2 ketika pergi tidak akan menggunakan tol dan ketika pulang ke rumah hanya membayar RM1.60 sahaja.

Akhirnya pada pukul 7:30 malam, barulah kami sampai ke klia2. Isteri saya membawa pulang kereta ke rumah. Kami seterusnya ke balai berlepas klia2 untuk mendaftar masuk. Di papan layar kelihatan kami perlu ke barisan V untuk pendaftaran masuk dan pintu pelepasan kami pula di pintu Q8. Orang agak kurang semasa kami mendaftar masuk. Hanya kami sahaja yang baru sampai, rakan-rakan lain belum sampai lagi.

Saya dan abang Zul bergambar di depan ikon kila2 bertemakan Deepavali.


Maklumat penerbangan kami (tiga dari atas) di papan makluman utama klia2.


Selepas mendaftar masuk, kami pun ke surau di tingkat 3A (di atas pintu masuk ke kaunter imigresen) untuk bersolat. Selepas itu saya ke Plaza Premium Lounge di tingkat 2 gateway@klia2 untuk berehat sambil makan manakala abang Zul terpaksa duduk di medan selera Quizzin yang berdekatan kerana pas percuma untuk ke Plaza Premium Lounge menggunakan kad kredit AmBanknya telah habis digunakan.

Pas Pelepasan Pesawat AirAsia X D7 222, 26 Oktober 2016 dari klia2 ke Sydney.

Saya dan rakan-rakan pengembara bergambar di depan 
pintu berlepas sebelum proses imigresen.

Selepas hampir sejam setengah berada di lounge dan medan selera, kami pun segera ke balai ketibaan, kerana di dalam kumpulan sembang WhatsApp kami, beberapa rakan pengembara sudah sampai. Jadi, kami pun menunggu di balai ketibaan menantikan mereka. Irda dan Husnul pun tiba, lalu saya memberikan itinerari penerbangan untuk mereka mendaftar masuk. Tidak lama kemudian, Jeluwi yang baru tiba dari Sibu kerana penerbangannya mengalami kelewatan, pun tiba, perkara saya juga saya berikan.

Akhirnya Linda pun sampai pada pukul 9:45 malam bersama keluarganya. Saya memberikan itinerari penerbangan kepada dia untuk digunakan untuk mendaftar masuk. Setelah selesai, saya pun bercakap dengan ibu kepada Linda bagi meminta izin untuk membawa anaknya bersama kami ke Sydney. Setelah itu, kami pun masuk ke dalam airside untuk prosedur imigresen, kastam dan seterusnya keselamatan (di sayap Q, bangunan satelit).

Pintu pelepasan Q8 klia2 sebelum kami berlepas.

Kami pun sampai di di pintu pelepasan Q8. Memang masa ini belum dibuka lagi. Pintu ini hanya dibuka pada pukul 10:10 malam. Barisan agak panjang juga kerana pemeriksaan dibuat di pintu masuk ke tempat menunggu, tambahan pun selepas diperiksa oleh petugas darat AirAsia, kami diperiksa lagi dokumen penerbangan kami oleh petugas keselamatan AirAsia. Bagi saya tidak berapa efisyen sistem ini. Rasanya tidak perlu lagi pihak penerbangan membuat pemeriksaan keselamatan beberapa kali. Satu lagi, bagi saya pihak AirAsia juga perlu membuka pintu masuk ke tempat menunggu ini lebih awal agar tidak sesak di pintu pelepasan berdekatan.

Kami menunggu di tempat menunggu dan tidak berapa lama (dalam kira-kira lima minit sahaja), pintu pelepasan pun dibuka. Kami pun masuk ke tempat duduk masing-masing. Saya, abang Zul, Jeluwi dan Husnul duduk di bahagian belakang sekali, bagi saya ini terbaik, kerana tempat duduk berdekatan dengan tandas, maklumlah penerbangan lebih 7 jam ini, mungkin akan selalu ke tandas, terutama bila saya makan agak banyak (di lounge dan juga di atas penerbangan).

Pintu pelepasan ditutup pada pukul 10:35 malam dan tempat duduk boleh dikatakan penuh diisi. Tepat jam 10:45 malam, pesawat kami berlepas dari terminal dan sepuluh minit kemudian ia berlepas meninggalkan landasan tiga KLIA.

Bersambung ke Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1 (this part);
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney. 

Tiada ulasan: