If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2; or
- Day 3 (this part).
Pesawat 9M-AJB yang parkir di pintu L18, klia2.
Hari 3 - 16 Januari 2016 (Sabtu).
Memandang pada malam sebelumnya, kami (saya dan dan isteri saya) tidur agak awal iaitu dalam pukul 10:00 malam, maka pagi ini, saya bangun agak awal. Jadi kami mengambil kesempatan untuk mengemas barang-barang kami. Oleh kerana barang kami melebihi 14 kilogram yang dihadkan untuk bagasi kabin, maka saya membeli bagasi yang akan didaftar masuk tambahan sebanyak 25 kilogram yang dicaj sebanyak RM50.00 di dalam laman web AirAsia. Ini gerak hari sebenarnya, kerana ia cuma beza RM5.00 sahaja dari caj bagasi tambahan 20 kilogram yang dicaj RM45.00. Tapi rasanya tidaklah sampai perlu beli 30 kilogram (dicaj RM90.00) atau 40 kilogram (RM180.00).
Memandangkan di hotel kami terdapat alat penimbang, maka saya ke bawah untuk meminjam alat tersebut bagi dibawa ke bilik kami. Memang betul bagasi tambahan (terdiri dari barang-barang dibeli isteri saya dan beg-beg Deuter yang akan saya jual) kami yang kami buat dua bungkusan, berjumlah 24 kilogram. Beg galas kami yang akan jadi bagasi kabin pula, masing-masing mempunyai berat lebih sikit dari 7 kilogram. Ini perlu diurus, kerana pengalaman saya, di Lapangan Terbang SGN nanti, semua bagasi tidak kira bagasi daftar masuk atau bagasi kabin akan ditimbang. Kami tidak mahu membayar lebih pada benda-benda yang tidak sepatutnya kami bayar.
Setelah selesai, kami berehat, bersolat dan menunggu untuk sarapan pagi yang hanya akan dibuka pada pukul 6:30 pagi. Tepat pukul 6:30 pagi, kami ke bangunan sebelah untuk bersarapan pagi. Kebetulan semasa kami bersarapan, kakak-kakak ipar saya pun bersarapan sama.
Habis bersarapan, isteri saya bersalam-salaman dengan kakak-kakaknya kerana perlu pulang ke Malaysia pada sebelah pagi. Selepas itu, mereka meneruskan "misi" mereka di Pasar Ben Thanh dan kami berjalan ke perhentian bas terdekat untuk ke lapangan terbang SGN.
Papan tanda perhentian bas no. 152 berhampiran Mifuki Inn Hotel.
Memang untung kami menginap di Mifuki Inn ini kerana perhentian bas untuk bas nombor 152 hanya 50 meter sahaja dari hotel. Perhentian ini merupakan satu perhentian selepas Stesen Bas Ben Thanh menuju ke lapangan terbang. Ia terletak di sebelah stesen minyak Petrolimex, berhampiran Hotel New World. Memang dekat sangat. Kami menunggu bas tidak lama, tidak sampai lima minit sudah sampai. Maka saya bayarkan tambang sebanyak ₫10 000 (+- RM2.00) untuk dua orang.
Selepas 20 minit, maka sampailah kami di perhentian bas di balai ketibaan terminal antarabangsa SGN. Kami pun ke lif untuk ke tingkat 3 untuk ke balai berlepas.
Tanda arah ke tangga dan lif menuju ke balai berlepas (tingkat 3) dari tingkat 1 SGN.
Dahulunya kalau hendak masuk ke balai berlepas bagi tujuan mendaftar masuk, hanya penumpang sahaja dibenarkan. Kini saya mencuba untuk masuk bersama isteri saya bagi membantu dia mendaftar masuk, maklumlah ini pertama kali dia menaiki kapal terbang seorang diri. Alhamdulillah dapat juga kami masuk bersama. Pihak keselamatan lapangan terbang tidak berapa hendak memeriksa sangat itinerari penerbangan. Sejurus masuk ke balai berlepas, saya dapat melihat dua kaunter perkhidmatan membungkus bagasi bagi setiap pintu masuk (terdapat dua pintu masuk ke balai berlepas SGN ini). Harga bagi kotak kecil ₫80 000 (+- RM16.00) dan besar sikit ₫100 000 (+- RM20.00). Bagi pembungkusan plastik Secure Pack yang bertujuan untuk mengelakan bungkusan/bagasi dari diceroboh/dibuka, bayarannya adalah ₫80 000 (+- RM16.00).
Perkhidmatan pembungkusan bagasi di terminal antarabangsa SGN.
Memandangkan isteri saya tiada bagasi, maka kami terus ke kaunter daftar masuk yang sudah dibuka. Saya terus ke kaunter penumpang tanpa bagasi daftar masuk untuk mendaftar masuk semula isteri saya. Sebenarnya kami telah awal lagi mendaftar masuk secara web, namun di SGN ini, kita perlu mendaftar masuk sekali lagi untuk pengesahan. Lagipun setiap beg termasuk bagasi kabin perlu ditimbang. Alhamdulillah lepas.
Setelah selesai urusan, saya menghantar masuk isteri saya untuk pemeriksaan keselamatan dan kastam. Kemudian saya memerhati sahaja dari jauh semasa dia menjalani pemeriksaan imigresen untuk keluar dari Vietnam. Saya mula beredar setelah dia selesai prosedur imigresen tersebut, menuju ke pintu pelepasan.
Semasa keluar dari balai berlepas, kebetulan terdapat penggambaran drama atau filem Vietnam, dan saya termasuk ke dalam penggambaran tersebut secara tidak sengaja. Agaknya lepas ini, saya termasuk ke dalam layar wayang atau layar televisyen kot, huhuhu.
Saya kembali ke bawah dan tidak terus menaiki bas, sebaliknya saya ke terminal domestik SGN ini. Dapatlah saya melihat keadaan dan suasana terminal domestik SGN pula.
Suasana terminal domestik SGN.
Dalam masa saya berjalan-jalan di terminal domestik ini, saya terlihat kaunter perkhidmatan pembungkusan bagasi di terminal ini lebih murah, iaitu hanya ₫50 000 (+- RM10.00) sahaja bagi kotak dan pembungkusan plastik Secure Pack. Lebih murah berbanding di terminal antarabangsa. Jadi nanti apabila saya kembali ke SGN ini untuk penerbangan saya, akan saya ke sini untuk perkhidmatan tersebut.
Setelah itu saya pun kembali ke hotel dengan menaiki bas. Semasa sampai di stesen Ben Thanh, saya terjumpa seorang sahabat saya di Saigon yang merupakan warga Saigon, orang Vietnam. Rasa bersalah pula tidak memaklum kehadiran saya di Saigon. Bukan apa, tidak hendak menyusahkannya kerana saya hanya sekejap sahaja di Saigon. Akhirnya kami duduk berborak di Restoran Hajah Basiroh di Malaysian Street.
Kami berborak kira-kira hampir sejam, hanya minum sahaja, walaupun ditawarkan untuk makan. Saya memaklumkan saya perlu untuk mendaftar keluar hotel dan mengejar penerbangan. Lalu kami berpisah. Saya segera ke hotel dan membuat persiapan terakhir. Sempat juga saya masak dan makan Maggi yang masih ada dalam beg saya.
Tepat pukul 12:00 tengahari, saya dengan membawa bagasi-bagasi saya turun untuk mendaftar keluar hotel. Seterusnya, saya terus ke perhentian bas tadi untuk menunggu bas. Kebetulan terjumpa sekali kakak-kakak ipar saya, yang mana mereka ingat saya sudah lebih awal ke lapangan terbang. Bas datang tidak lama kemudian, dan Idah membelanja kami tambang ke lapangan terbang. Kali ini, setiap orang dikenakan tambang ₫10 000 (+- RM2.00) iaitu ₫5000 untuk tambang biasa dan tambahan ₫5000 untuk bagasi. Saya walaupun mempunyai bagasi yang banyak, tetapi dikenakan tambang yang sama.
Perkhidmatan pembungkusan bagasi di terminal domestik SGN.
Setelah 25 minit, kami sampai di lapangan terbang dan terus ke terminal domestik untuk perkhidmatan bungkusan. Memang banyak boleh dijimatkan. Setelah selesai, kami ke tingkat 2 terminal antarabangsa kerana kaunter daftar masuk penerbangan masih belum dibuka. Di tingkat 2 ini terdapat kerusi dan meja, yang paling penting ada penghawa dingin, sejuk sikit kami. Kalau tunggu di tingkat 3, kami perlu tunggu di ruang tanpa penghawa dingin.
Di tingkat 2, kami sempatlah untuk bersolat dan mengecaj telefon bimbit kami, kerana banyak soket elektrik. Terdapat juga medan selera cuma kami tidak makan kerana hidangannya tidak halal.
Setelah mendapat makluman pintu pelepasan dibuka, maka kami ke tingkat 3 untuk ke balai pelepasan bagi proses daftar masuk di kaunter daftar masuk. Alhamdulillah, proses daftar masuk berjalan lancar.
Setelah itu, kami menuju ke pusat pemeriksaan keselamatan dan kastam. Bagus, kerana kali ini kedua-dua proses itu disatukan. Sebelum ini, ia adalah proses berbeza di mana proses keselamatan dijalankan sebelum prosedur imigresen dan pemeriksaan kastam pula selepas imigresen. Agak makan masa, terutama bagi yang mengejar penerbangan. Alhamdulillah kini ia dapat disingkatkan.
Seterusnya, kami menjalani proses prosedur imigresen keluar Vietnam. Oleh kerana kemungkinan masa kami menjalani proses ini merupakan masa puncak agaknya, jadi proses beratur agak lama. Kena pula banyak kaunter ditutup, mungkin kerana makan tengahari. Setelah dekat setengah jam, semasa hampir tiba giliran saya, banyak pula dibuka. Proses imigresen agak lancar dan cepat juga. Tiada masalah salah faham seperti saya alami pada kunjungan tahun 2014 lepas.
Cop imigresen keluar dari Vietnam melalui
Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.
Selepas usai urusan imigresen, kami ke pintu pelepasan 9 untuk menunggu penerbangan kami. Agak lama juga kerana penerbangan kami hanya akan berlepas lagi dua jam lagi. Maka sempat juga saya tidur di pintu pelepasan sambil mengecaj telefon bimbit saya. Selepas itu saya bangun dan masih banyak masa lagi, lalu saya berjalan-jalan di kawasan airside terminal antarabangsa SGN ini. Hendak beli barang pun, kedai-kedai di sini hanya terima bayaran dan Dollar Amerika Syarikat (US$) sahaja. Selamat sikit duit saya.
Akhirnya pada pukul 3:45 petang, pintu pelepasan dibuka untuk penerbangan kami. Pesawat kami berlepas dari SGN pada pukul 4:45 petang, terlewat dari masa sebenar kerana terdapat banyak pesawat perlu berlepas pada waktu sama dengan pesawat kami. Jadi kena tunggu giliranlah.
Pas pelepasan penerbangan AK 523 pada 16 Januari 2016.
Carta perjalanan penerbangan AK 523 pada 16 Januari 2016 (daripada FlightRadar24).
Penerbangan kami mengambil masa hampir sejam 45 minit juga. Dalam penerbangan, saya menahan diri untuk makan, agar rasa nikmat apabila makan makanan Malaysia apabila tida di klia2 nanti. Pada pukul 7:20 malam waktu Malaysia (UTC +8, sejam awal dari waktu Vietnam), akhirnya pesawat 9M-AJB AirAsia pernerbangan AK 523 tiba di klia2 dan parkir di pintu L18.
Pesawat 9M-AJB yang parkir di pintu L18, klia2.
Kami terus ke kawasan mengambil bagasi dan bersolat dahulu kerana bagasi akan tiba lambat. Jadi saya mengucapkan selamat kepada kakak-kakak ipar saya dan terus bersolat. Usai solat, terus ke tempat mengambil bagasi dan terus menjumpai bagasi-bagasi saya. Saya terus menelefon isteri saya untuk mengambil saya di tempat mengambil penumpang di balai ketibaan. Sampai di sana, terus jumpa kereta isteri saya dan kami terus ke restoran makanan Thai yang biasa kami makan di pekan Salak.
Sampai di sana, malangnya, restoran tersebut ditutup kerana proses ubah suai, maka kami terus pulang ke rumah. Kami singgah untuk makan di Restoran Asam Pedas Sejati di Kampung Pandan, Ampang, Selangor. Setelah kenyang, alhamdulillah, kami pun pulang ke rumah dan sampai pada pukul 10:00 malam.
Jadi itulah catatan perjalanan pendek saya ke Saigon, Vietnam. Insya Allah, saya akan kembali membuat catatan kembara pada kembara akan datang. Insya Allah akan ke Korea pula pada bulan Mac 2016 ini.
Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
Jika mahu lihat catatan: