Khamis, 7 April 2016

Hari 2 (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - Sonata Musim Salju Di Pulau Nami.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.  


Saya berselfie di barisan pokok yang menjadi ikon "Winter Sonata" di Pulau Nami.

Hari 2 (07 Mac 2016 - Isnin).

Pagi ini kami bersarapan dengan bekalann yang dibawa dari tanah air. Sebenarnya penginapan kami mengatakan ada sarapan, tetapi macam tiada, perlu buat sendiri di ruang masak. Keadaan dapur yang tidak seberapa menyebabkan kami mengambil keputusan untuk makan sahaja bekalan yang ada. Sebenarnya agak mewah juga, saya sendiri membawa dua bungkus besar Maggi (yang mempunyai 5 bungkus + 1 bungkus percuma) yang berperisa asam laksa dan tomyam. Kawan-kawan pula ada yang membawa nasi lemak pelbagai jenama lah, nasi goreng lah, sup cendawan dan lain-lain lagi makanan segera. Pendek kata rasa tidak perlu beli makanan untuk sarapanlah katakan. Siap minuman panas seperti Milo, Nescafe, teh dan sebagainya.

Setelah selesai sarapan dan membersihkan diri, saya mengemas beg saya agar mudah nanti untuk berpindah bilik. Petugas penginapan kami berkata hari ini kami akan dapat bilik satu lagi seperti dijanjikan.

Jam 8:00 pagi, kami bergerak dari penginapan kami menuju ke Stesen Metro Seoul rasmi kami iaitu Stesen Eujiro 3(sam)-ga. Keadaan agak sejuk juga pagi ini, sampai berasap mulut. Kami mengambil tren di laluan 2 (hijau) untuk ke Stesen Seoul Station di mana kami perlu berpindah laluan setelah 2 stesen di Stesen City Hall untuk ke laluan 1 (biru) yang mana Stesen Seoul Station adalah stesen selepas Stesen City Hall. Cuma waktu kami menaiki tren ini merupakan waktu puncak, di mana hendak masuk ke dalam tren ini pun agak susah kerana tren agak padat.


Suasana di dalam Metro Seoul pada waktu puncak (pagi).

Ketika di atas platform sementara menunggu tren tiba, pasti akan terdapat satu lagu seragam yang mana rentaknya sama sahaja di mana-mana stesen. Dengan rentak itu, kalau kita berjalan rasanya akan automatik berlari. Rasa macam negara ini memang bersedia untuk berperang sahaja.


Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Euljiro 3(sam)-ga ke Seoul Station.

Akhirnya setelah hampir 20 minit menaiki tren Metro Seoul, kami pun tiba ke Stesen Seoul Station, yang mana ini merupakan stesen keretapi utama di Seoul. Kami keluar melalui pintu keluar nombor 1 dan terus berada di ruang laman utama Stesen Keretapi Seoul. Sebelum itu, semasa keluar dari kawasan berbayar, kami menambah nilai kad T-Money kami sebanyak ₩10 000 (+-RM35.00) lagi, mana tahu kalau kena berjalan lebih jauh ke untuk hari ini.

Stesen Keretapi Seoul.

Di seberang jalan terdapat pejabat polis, di atasnya terdapat ikon sedang mengangkat bas.

Kami berehat dahulu mengambil permandangan sebelum masuk ke dalam stesen untuk urusan selanjutnya. Bukan apa, ada kawan-kawan hendak mengambil gambar dan sebagainya. Kebetulan di seberang jalan terdapat pejabat Polis Metropolitan Seoul, di mana di atas bumbungnya terdapat sebuah patung manusia (ikon) sedang mengangkat bas! Patung tersebut memakai pakaian seragam polis trafik. Huh, memang ada maksud tersirat yang tinggi makna perkara tersebut.

Ruang legar di dalam Stesen Seoul.

Setelah seberapa ketika, kami pun masuk dan termasuk lagi ke kedai serbaneka Storyline, yang dipunyai oleh syarikat keretapi Korail sendiri. Apa lagi, membeli susu pisang la. Sampai seorang kawan bertanya, "Kau tak pishang (bosan) ke asyik minum susu pisang je". Alah bukan saya sahaja, dia pun sama sebenarnya.

Kaunter informasi Stesen Seoul.

Stesen Keretapi Seoul ini agak besar juga. Lebih kurang KL Sentral juga dengan kaunter menjual tiket agak banyak tersusun. Saya agak keliru, ke mana perlu kami pergi untuk menebus voucer tiket keretapi pelancong KoRail yang diperolehi di pameran KTX di Nu Sentral, tempoh hari. Saya cuba mencari kaunter informasi dan menjumpainya di tengah-tengah ruang legar. Kalau dari arah kami datang (arah timur) memang tidak nampak kerana kaunter ini dilindungi oleh sebuah kedai buku.

Voucer tiket keretapi pelancong KoRail.

Setelah bertanyakan mengenai perkara tersebut, rupanya kami boleh menukar tiket itu di situ. Terdapat banyak perkhidmatan keretapi pelancong, ada A-Train, O-Train, V-Train dan macam-macam lagi. Tapi kebanyakan perkhidmatan keretapi ini keluar agak jauh dari Seoul dan melihat permandangan dalaman biasa. Saya akak tertarik dengan satu lagi perkhidmatan iaitu DMZ, di mana keretapi ini akan membawa kami ke Zon Tanpa Tentera (DeMilitarized Zone - DMZ) yang menjadi zon sempandan antara Korea Selatan dan Korea Utara.

Tiket keretapi DMZ dari Stesen Seoul ke Dorasan.


Kami meminta untuk tiket keretapi pelancong ke DMZ ini untuk hari ini, cuma malangnya, tiada perkhidmatan untuk hari Isnin. Agak hampa, kemudian saya tanya untuk hari esok, alhamdulillah ada, yeay. Saya kumpulkan semua voucer dan terdapat enam sahaja. Rupanya, Mior terlupa membawa voucer. Saya tanya dia hendak ikut kah? Dia tidak kisah hendak mengikuti walaupun kena bayar tunai. Saya menyerahkan voucer-voucer seraya bertanyakan sama ada boleh beli menggunakan wang tunai kepada petugas kaunter (yang boleh berbahasa Inggeris cuma agak kurang menguasainya). Dia membolehkan dan meminta ₩17 800 (+-RM62.65) untuk perjalanan pergi balik di mana tiket tambang perjalan sehala adalah ₩8900 (+- RM31.33). Huh, agak mahal juga voucer ini. Terima kasih KoRail dan KTX.


Tiket keretapi DMZ dari Stesen Dorasan ke Seoul.

Kebetulan di atas kaunter informasi, terdapat sebuah cop berserta dengan lapik dakwatnya. Saya tidak tahu apa fungsinya, lalu saya bertanya dengan petugas kaunter. Rupa-rupanya ia adalah cop kenangan-kenangan. Ingatkan ada pertandingan cari harta karun ke. Saya menyeluk poket untuk mengambil buku nota kecil saya lalu mengecop cop ini pada salah satu helaian muka suratnya.


Cop kenangan-kenangan Stesen Keretapi Seoul.


Bangunan Stesen Seoul yang lama.

Setelah selesai urusan menebus voucer keretapi, kami pun keluar dari stesen keretapi kerana saya merangka untuk ke Namiseom (Pulau Nami) sebagai ganti tidak dapat ke DMZ. 


Pintu masuk Stesen Seoul yang lama.

Kami tidak terus ke pintu masuk/keluar yang kami guna semasa kami datang, sebaliknya saya berjalan-jalan sehingga ke satu dataran berhampiran. Rupa-rupanya dataran itu merupakan dataran yang menempatkan bangunan Stesen Keretapi Seoul yang lama. Kini bangunan tersebut menjadi sebuah muzium seni.

Papan maklumat mengenai Stesen Seoul yang lama.

Terdapat aktiviti pemberian sumbangan oleh mubaligh Kristian 
di depan Stesen Seoul yang lama.

Di dataran ini juga terdapat sebuah tugu seorang pahlawan Korea yang saya terlupa namanya. Semasa kami di sana, terdapat banyak juga aktiviti di sana, terutama terdapat ramai orang terutama golongan warga emas sibuk beratur. Rupanya mereka sedang menunggu sumbangan dari sebuah bada mubaligh Kristian.


Salah seorang pahlawan Korea (lupa namanya).

Sambil itu juga kami dapat melihat bahawa terdapat sebuah perhentian bas di hadapan Stesen Keretapi Seoul ini. Banyak juga bas yang ada ke sini malahan sehingga perlu beratur di simpang masuk ke dalam perhentian bas. Perhentian bas ini juga agak besar sehingga beberapa lorong. Pengguna-penggunanya pula jangan cakaplah, memang banyak yang turun naik.


Bas-bas beratur di stesen bas bandar Seoul Station.

Seterusnya kami menuruni ke stesen Metro Seoul di bawah tanah untuk ke Pulau Nami. Kami menaiki tren Laluan 1 dari Stesen Seoul Station sehingga sembilan stesen. Kemudian, di Stesen Cheongnyangni, kami berpindah ke tren Laluan Gyeongui-Jungang (hijau) pula untuk ke Stesen Sambong iaitu selepas 3 stesen. Di Stesen Sangbong, kami berpindah ke Laluan Gyeongchun (hijau juga) untuk ke Stesen Gapyeong iaitu pekan di mana Pulau Nami terletak, sebanyak 14 stesen. Jumlah tambang yang dikenakan cuma ₩2250 (+- RM7.90) sahaja. Perjalanan mengambil masa dekat dua jam juga dari Stesen Seoul Station.


 
 Rajah perjalanan Metro Seoul Laluan Gyeongchun.


Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Seoul Station ke Gapyeong.

Sebenarnya perkhidmatan Metro Seoul Laluan Gyeongchun ini berkongsi perkhidmatan ITX oleh KoRail. Cuma Laluan Gyeongchun ini lebih kepada khidmat henti-henti dengan berhenti lebih banyak stesen berbanding ITX yang lebih kepada ekspres yang menumpukan pekan-pekan utama di laluannya.

Kami sampai di Stesen Gapyeong pada pukul 11:30 pagi. Macam biasa sampai di stesen, kami akan ke tandas dahulu kerana tren Metro Seoul tiada tandas di dalamnya, kena pula perjalanan agak lama. Selepas itu, terus masuk ke kedai serbaneka Storyline yang ada, asalnya hendak beli banana soyu (susu pisang) Binggrae, tapi harga pula ₩1800 (+- RM6.30)! Lalu saya keluar, kemudian ternampak mesin runcit automatik, di situ juga ada menjual banana soyu dan harga adalah harga biasa (₩1300 (+- RM4.50))!

 Stesen Keretapi Gapyeong.

 Dataran di hadapan Stesen Gapyeong, terdapat 
Bas Perlancongan Bandar Gapyeong sedang menunggu.

Selepas membeli susu pisang itu (di sini yang kena tegur dengan kawan saya, "Kau tak pishang ke asyik beli susu pisang je", saya pun menjawab, "Habis kau tu pun sama je, huhuhu"), ternampak Bas Pelancongan Bandar Gapyeong (Gapyeong Tour Bus) yang sedang berhenti di perhentian bas di hadapan Stesen Keretapi Gapyeong. Apa lagi, kami pun bergegas lah. Akhirnya sempat juga kami menaiki bas ini. Kami memberikan voucer bas ini kepada pemandu dan dia mengembalikan keratan bahagian penumpang semula kepada kami. Kami kena simpan kerana dengan keratan ini, kami boleh menggunakan banyak kali bas ini untuk hari tersebut. Dengan adanya voucer ini, kami tidak perlu membayar 6000 (+- RM21.00) untuk perkhidmatan ini.


Voucer tiket Bas Pelancongan Bandar Gapyeong (Gapyeong Tour Bus).

Bas ini kemudian bergerak meninggalkan Stesen Gapyeong melalui pekan Gapyeong. Perhentian pertama adalah Jaraseoum (Pulau Jara) di mana di sini terdapat stesen bagi perkhidmatan keretapi kayuh (cycle rail) yang terletak di tebing Sungai Han (aliran utara). Kami tidak turun di sini, walaupun hati saya sebenarnya nak cuba, maklumlah dah berapa episod Running Man dilakukan di tarikan ini. Tidak mengapa, mungkin di lain masa bersama keluarga.

Bas Pelancongan Bandar Gapyeong


Peta: Perjalanan bas dari Stesen Gapyeong ke perhentian Pulau Nami.

Kami hanya turun di perhentian seterusnya yang hanya mengambil masa kira-kira lima belas minit dari Stesen Gapyeong tadi, iaitu perhentian Pulau Nami. Dari perhentian sudah nampak dua buah menara, di mana salah satunya merupakan menara untuk bunggy jumping di mana betul-betul saya menontonnya di dalam Running Man di mana beberapa ahli Running Man bermain badminton di atasnya. Satu lagi menara adalah untuk aktiviti flying fox dari situ ke Pulau Nami, malangnya, tarikan ini ditutup kerana sedang dalam pengubahsuaian.


Menuju ke kaunter tiket Pulau Nami.


Pintu masuk ke Pulau Nami.

Kami terus ke pintu utama dan saya mengumpulkan wang setiap seorang ₩8000 (+- RM28.00) untuk bayaran "visa" masuk. Kononnya Pulau Nami ini merupakan sebuah negara lain yang dinamakan Republik Naminara. Kononnya. Untungnya di sini, pelancong asing dikenakan ₩8000 (+- RM28.00) manakala bagi pelancong orang Korea Selatan dikenakan ₩10 000 (+- RM35.00). Memang ramai juga pengunjung-pengunjung ke Pulau Nami ini.


Kaunter tiket Pulau Nami.


Kadar bayaran untuk masuk ke Pulau Nami.


"Visa" (tiket sebenarnya) kemasukan ke Pulau Nami.


Selepas membeli "visa" atau tiket sebenarnya, kami terus ke tempat menunggu feri yang tidak jauh dari situ. Malangnya, kami tertinggal feri dan perlu menunggu feri seterusnya.


Menuju ke tempat menunggu feri.

Feri dari Pulau Nami baru tiba.

Namun feri seterusnya tiba tidak berapa lama kemudian. Kami pun segera menaiki feri tersebut setelah penumpang yang ada di dalamnya selesai keluar dari feri ini. Feri ini menunggu lebih kurang lima minit untuk menunggu pengunjung-pengunjung yang hendak ke Pulau Nami. Setelah tiba masanya, feri ini pun bergerak meninggalkan daratan, membelahi Sungai Han yang mana di kawasan ini ia memisahkan dua wilayah Korea Selatan iaitu wilayah Gyeonggi yang mana pekan Gapyeong terletak dan wilayah Gangwon yang terletak di seberang sungai. Feri ini menuju ke Pulau Nami di mana ia hanya mengambil masa lima minit sahaja untuk sampai.

Rumah-rumah yang futuristik yang sedang di bina di tebing sungai.

Sampailah feri di Pulau Nami.

Apabila feri ini mendarat di Pulau Nami, kami ternampak warna putih di sebelah kiri di mana feri ini mendarat. Rupa-rupanya masih terdapat salji lagi di sini. Alhamdulillah, ingat sudah hancur harapan hendak rasa salji. Sebenarnya saya sudah beberapa kali merasai salji, malah musim sejuk bukanlah kegemaran saya antara empat musim yang ada di negara musim sederhana ini. Ini pun kawan-kawan yang hendak rasa, kalau ikutkan saya ingin merasai musim bunga pasal itu sahaja musim yang belum sempai saya rasai.

Sebenarnya, Pulau Nami yang terletak di Gapyeong ini terletak di kawasan pergunungan. Sungai-sungainya pun agak cetek menandakan ia adalah kawasan hulu sungai. Semasa menaiki Metro Seoul tadi, beberapa kali juga masuk keluar terowong yang ditebuk menerusi banjaran gunung. Jadi tidak hairanlah kenapa di Pulau Nami ini masih ada salji. Jadi sebelum meneruskan perjalanan lebih lanjut di Pulau Nami, kami semua bermain dan bergambar kenangan dengan salji dahulu.

Bergambar dengan salji di Pulau Nami.

Pengunjung-pengunjung sedang memanaskan diri di unggun api yang disediakan.

Di Pulau Nami ini sebenarnya tiada apa sangat. Pulau ini sebenarnya adalah tempat pasangan muda bermadu asmara, kerana asalnya ia agak sunyi dan jauh dari hiruk pikuk laluan orang ramai. Namun sejak drama Korea Winter Sonata yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon Korea Selatan, aktor Bae Yong-joon yang memegang dua watak iaitu Kang Joon-sang dan Lee Min-hyeong dan aktres Choi Ji-woo sebagai Jeong Yoo-jin, menjadi pencetus K-wave, Pulau Nami yang menjadi lokasi ciuman pertama watak-watak utama Winter Sonata ini, menjadi tempat tumpua utama pelancong-pelancong di Korea Selatan.

Salah satu arca yang ada di kawasan terbuka di pintu masuk Pulau Nami.

Di pulau ini banyak tarikannya adalah untuk mengabadikan cinta. Terasa salah pula saya bersama kawan-kawan untuk ke sini. Sepatutnya kena membaw isteri saya untuk berjalan-jalan di pulau ini. Baru lah terasa romantis. 

Walaupun terasa suasana romantis, tapi ketika ini orang sudah ramai datang ke sini tidak kira peringkat umur. Seolah-olah tidak sah hadir di bumi Korea Selatan ini kalau tidak ke Pulau Nami. Itu sebab banyak pelancong dari pelbagai negara boleh di dapati semasa kami di sini.

Terowong "Cinta" Pulau Nami.

Barisan pokok yang menjadi ikon "Winter Sonata" Pulau Nami.

Paling utama sekali di Pulau Nami ini sudah tentu barisan pokok-pokok pain yang menjadi ikon drama Winter Sonata, terutama di poster promosi drama ini (boleh cari atau google sendiri gambarnya). Cuma saat kami sampai, pokok-pokok ini sudah berdaun, dan salji pun sudah tiada, jadi rasa dan semangat Winter Sonata ini sudah kurang sikit. Alangkah bagusnya dapat berjalan-jalan berpimpinan tangan dengan orang tersayang. Cuma dalam fikiran nakal saya, terbayang juga kalau berjalan-jalan dengan gadis Korea, huhuhu. Fikiran sahaja, bukan realiti. Tidak sanggup nak berpeluk-peluk depan orang ramai terutama dalam tren Metro, huhuhu. Romantis la sangat.

Saya berselfie di barisan pokok yang menjadi ikon "Winter Sonata" di Pulau Nami.

Lagi barisan pokok.


Burung unta di Pulau Nami.

Ucapan Selamat Datang dalam Bahasa Melayu.

Di Pulau Nami ini juga, terdapat banyak haiwan-haiwan sama ada di pelihara atau yang hidup liar lepas di sini. Terdapat sebuah ladang yang memelihara burung unta di sini. Pengunjung-pengunjung bebas untuk memberi makan dengan makan yang disediakan di sini, di samping bergambar dengan burung untu terbabit. 

Tidak jauh dari ladang burung unta ini terdapat tapak di mana Lee Min-hyeong  Jeong Yoo-jin (watak utama Winter Sonata) bercium buat kali pertama. (Maaf saya lupa hendak kongsi gambarnya, walaupun ada mengambil gambarnya).

Dalam bersiar-siaran di pulau ini, terdapat banyak papan tanda pelbagai bahasa didapati di sepanjang laluan. Tetapi boleh dikatakan, Bahasa Melayu/Indonesia banyak terdapat terpapar. Rasanya, pengunjung yang agak ramai datang dari negara-negara pengguna Bahasa Melayu/Indonesia seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Kiranya kuat juga pengaruh K-wave di negara-negara ini antaranya adalah seperti saya. Huhuhu. 사랑해 ! (Saranghae!).

Ucapan Selamat Datang dalam pelbagai bahasa.

Tasik yang masih beku.

Sepanjang persiaran kami di Pulau Nami ini, kami menjumpai juga padang-padang yang masih mempunyai saki baki salji yang ada. Cuma salji-salji yang ada sudah tidak putih tetapi lebih kepada kecoklatan kerana dipijak oleh pengunjung-pengunjung. Salji pada lewat musim sejuk ini juga lebih kepada ais yang berbentuk bulat berbanding kalau masa salji yang lebat, salji lebih berbentuk kepingan (seperti bertih beras yang dilenyek).

Selain itu, kolam-kolam di dalam Pulau Nami ini juga masih ada yang beku lagi di lapisan atasnya. Namun ada sebahagian kolam ini sudah hendak cair. Jadi rasa was-was juga hendak berjalan atas ais ini, nanti kami terjatuh pula, kami yang "membeku", huhuhu. Dapat lihat juga riak-riak ikan-ikan yang berenang di kolam separa beku ini.

Kelihatan ikan-ikan sedang berenang di bawah ais separa cair.

Kiosk menjual pau kacang panas.

Pau kacang Pulau Nami.

Memang suhu di Pulau Nami ini lebih sejuk berbanding di Seoul, jadi kalau dapat makanan panas memang sedap sahaja di makan. Jadi terdapat di beberapa tempat, didirikan beberapa kiosk makanan panas-panas. Antaranya kiosk yang menjual pau kacang. Harga jualan pau kacang ini juga agak murah iaitu 1000 (+- RM3.50) sebiji. Bagi saya agak murah, kerana biasanya makanan di tempat tumuan pelancong dijual lebih mahal, tetapi di Pulau Nami ini, harga makanan jalanan adalah lebih murah berbanding di tempat lain.

Berjalan di depan sedikit terdapat kiosk menjual pancake pula. Harga pancake ini juga 1000 (+- RM3.50) sekeping. Di kiosk ini juga ada menjual kopi o panas. Memamg cantik menarik tertarik terutama di suhu sejuk ini. Semua hendak di beli. Malah tidak jauh dari kiosk ini terdapat kiosk menjual jagung kukus Korea dengan harga  ₩2000 (+- RM7.00) setongkol. Cuma saya tidak beli kerana jagung di sini terasa seperti makan pulut, agak melekit sedikit.

Kiosk pancake pula.

Pancake Pulau Nami.

Berdekatan dengan kiosk pancake terdapat satu tugu berupa poster promosi drama Winter Sonata.  Jadi di sini juga adalah tempat utama untuk mengambil gambar. Banyak posisi juga boleh dibuat, boleh ganti Lee Min-hyeong dan kononnya sedang ber"cinta" Jeong Yoo-jin, atau jadi orang ketiga macam gambar saya di bawah ini.

Saya bergambar dengan poster promo drama Winter Sonata.

Pelbagai patung seperti orang telanjang.

Seterusnya, di satu kawasan, kami melalui kawasan yang banyak memamerkan patung orang telanjang! Tidak kira kecil dan besar. Katanya patung-patung ini adalah hasil kraf orang asli tempatan.

Arca besar orang telanjang.

Restoran Halal Asian Family Restaurant.

Pulau Nami ini, walau nampak kecil tapi agak besar juga. Banyak juga tempat-tempat yang belum kami jelajahi, kerana akibat kesejukan dan kaki yang sudah mula sakit (saya salah pilih kasut untuk ke Korea ini), tambahan pula, ada rakan-rakan sepengembara asyik hendak bergambar sakan.

Perut pun sudah mula lapar, maka kami ke Halal Asian Family Restaurant yang berdekatan yang mana restoran ini menghidangkan makanan Korea dan serata Asia yang halal. Jadi kami makan tengahari di sini. Harga lebih kurang sahaja dengan Restoran Makan Halal semalam. 

Jadi saya memilih makan Bulgogi iaitu hirisan daging yang diperam dengan rempah tempatan dan ditumis. Ia dihidangkan dengan nasi. Kawan-kawan lain banyak memilih makan nasi goreng dan ada juga hidangan lain. Setiap makanan akan dihidangkan sup, kali ini merupakan sup lobak putih dan air suam/kosong. Sebelum  makanan dihidangkan, seperti biasa kudapan pembuka selera seperti kimchi, odeng (makanan berasaskan ikan) dan sayur-sayuran di hidangkan. Secara purata makanan kami berharga  10 000 (+- RM35.00).

Pintu masuk ke Perpustakaan di sebelah Restoran Halal Asian Family Restaurant.

Tanda arah ke surau.

Usai makan tengahari, kami ke tingkat atas restoran ini kerana terdapat sebuah surau disediakan. Alhamdulillah, dapat juga kami menunaikan kewajipan kami walaupun di bumi bukan muslim. Surau ini agak bagus fasilitinya cuma mungkin boleh diperbaiki seperti sepatutnya surau lelaki di hadapan surau wanita, dan pintu masuk hendaklah bukan mengadap kiblat. Bagi surau lelaki, maksima boleh dimasuki adlah sebanyak 8 orang jemaah.

Pintu masuk ke surau.

Keadaan surau.

Burung merak bebas berkeliaran di Pulau Nami.

Tupai yang comel Pulau Nami.

Selesai bersolat, kami pun meneruskan perjalanan. Kami dapat menjumpai beberapa haiwan yang hidup bebas di Pulau Nami ini seperti burung merak dan tupai yang comel yang memang berbeza rupanya berbanding tupai yang biasa saya lihat. Kami singgah di sebuah kedai menjual cenderahati untuk membeli sedikit cenderahati. Harga boleh tahan juga mahal, jadi saya beli yang murah sahaja iaitu tiga keping magnet peti ais berharga 5000 (+- RM17.50).

Kubur Jeneral Nami.

Seterusnya kami menjumpai kawasan yang dikatakan kubur Jeneral Nami, seorang pahlawan perang Korea pada masa dahulu, yang dikatakan telah meninggal dunia di pulau ini. Mengikut lagenda, Jeneral Nami merupakan pejuang yang telah memenangi banyak pertempuran bagi pihak kerajaan yang menauinginya. Tetapi pada satu hari, beliau telah difitnah dan beliau membawa diri ke pulau ini dan meninggal dunia pada usia 29 tahun. Sebagai membalas jasa, pemerintah pada masa itu menamakan pulau ini sebagai Namiseum (Pulau Nami), juga sebagai tanda memohon kemaafan.

Kubur Jeneral Nami.

Bergambar beramai-ramai sebelum meninggalkan Pulau Nami.

Setelah hampir tiga jam lebih berada di Pulau Nami, kami pun meninggalkan pulau ini pada hampir pukul 3:30 petang dengan menaiki feri untuk kembali semula ke tanah besar dan kemudian menaiki Gapyeong Tour Bus untuk kembali ke Stesen Gapyeong. Dari situ, kami menaiki Metro Seoul Laluan Gyeongchun ke Stesen Sangbong.


Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Gapyeong ke Jamsil.

Di Stesen Sangbong, semasa menuruni tangga (kerana eskalator amat padat dengan orang), saya perasan bahawa tangga ini berbunyi setiap kami kita meletakan kaki. Seperti kita menekan kekunci piano. Jadi saya sempat "bermain" dengan piano tangga ini. Gelagat saya diperhatikan. Tidak taulah sama ada mereka melihat kerana gelagat saya atau baru tahu tangga ini ada fungsi piano ini.

Kami berpindah ke Laluan 7 (hijau tua) untuk ke Stesen Konkuk Univeristy (selepas 7 stesen) untuk berpindah laluan sekali lagi ke Laluan 2 (hijau) untuk ke Stesen Jamsil (selepas 4 stesen) dengan harga ₩2250 (+- RM7.90). Ini kerana ada beberapa kawan saya ingin ke Hard Rock Cafe Seoul yang terletak di Lotte World Mall.

Bangunan Lotte World yang sedang dalam pembinaan.

Keluar dari bawah tanah, tersergam bangunan Lotte World Tower yang masih dalam pembinaan , namun akan siap tidak lama lagi. Apabila siap nanti, ia akan menjadi bangunan tertinggi di Seoul, di Korea Selatan dan di kalangan negara-negara maju di dunia ini dengan 123 tingkat setinggi 555 meter. Mendongak la juga. 

Di seberang jalan terdapat bangunan taman tema Lotte World, iaitu taman tema dalam bangunan terbesar di dunia. Taman tema Lotte World ini mempunyai taman tema luar bangunan.

Hard Rock Cafe Seoul terletak di dalam pusat membeli belah Lotte World Mall yang terletak di bawah Lotte World Tower. Kami memasuki pusat membeli belah namun rupanya semua cawangan perniagaan Lotte termasuk di Lotte World Mall ini ditutup kerana terdapat acara khas untuk ahli Lotte sahaja. Jadi tidak dapatlah untuk ke Hard Rock Cafe.

Pusat membeli belah Lotte World Mall.


A
Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Jamsil ke Myeongdong.

Oleh kerana itu dan hari pun sudah hendak memasuki malam, maka kami kembali menaiki Metro Seoul untuk ke pasar malam Myeondong. Dari Stesen Jamsil, kami menaiki tren Laluan 2 dengan melepasi 11 stesen sehingga ke Stesen Dongdaemun History and Culture Park. Kemudian di stesen tersebut kami berpindah laluan ke Laluan 4 (biru tua) dan melalui dua buah stesen untuk tiba di Stesen Myeondong. Tambang berharga ₩1250 (+- RM4.40).

Suasana Pasar Malam Myeongdong.

Kami keluar ke pintu 7 dan terus sampai di hadapan kedai Uniqlo. Pasar malam Myeongdong bermula di jalan sebelah Uniqlo (Jalan Myeongdong 8(pal)-gil), sebaik sahaja melepasinya. 


Demonstrasi membuat gula-gula tarik Korea di pasar malam Myeondong.

Pasar malam ini menjual pelbagai barangan dari pakaian, makanan, cenderahati dan berbagai-bagai lagi. Memang rambang mata. Makanan yang dijaul tidak semua halal. Tapi ada juga yang boleh dimakan kerana tiada unsur-unsur makanan tidak halal. Jadi kalau yang menggunakan telur atau makanan laut, bolehlah cuba makan. Macam biasa terdapat pelbagai demonstrasi antaranya demonstrasi membuat gula-gula tarik. 

Videonya boleh dilihat di atas untuk maklumat lanjut seperti asal gula-gula ini adalah dari madu. Menariknya, sebahagianya menggunakan bahasa Melayu. Terdapat tiga perisa yang mana setiapnya dicampur dengan kacang tanah hancur iaitu kacang badam, buah-buahan kering dan madu.. Saya pun terbeli lah gula-gula ini (dijual sekotak (ada 10 ketul gula-gula) ₩7000 (+- RM24.50) dan tiga kotak berharga ₩15 000 (+- RM52.50)), sebanyak tiga kotak.


Buih ban telur yang panas-panas.

Pasar malam ini agak jauh juga, harga-harganya juga agak murah, namun tidak semua di sini adalah termurah di Seoul. Memandangkan Myeondong ini juga dikenali sebagai Cosme Street, jadi barang kosmetik agak murah. Jenama seperti Natural Republic , Leneige (내가 송혜교 사랑 - I love Song Hye-kyo, hahaha!) dan sebagainya boleh didapati agak murah di sini. Jangan lupa simpat resit untuk menebus kembali cukai jualan yang telah dibayar.

Pelbagai makanan laut goreng.

Saya juga sempat membeli magnet peti ais kecil berharga ₩10 000 (+- RM35.00) untuk 12 keping. Ingat Korea Selatan ini, bukan budaya mereka untuk tawar menawar, jadi kalau hendak tawar pun dibolehkan hanya kalau dah beli banyak iaitu lebih dari 10 unit. Itu pun hanya dapat diskaun ₩1000 (+- RM3.50) sahaja, huhuhu. Memang sebahagian besar harga adalah harga tetap. Jadi janganlah hendak tawar lebih-lebihan seperti di negara lain (tidak hairanlah, di Malaysia atau negara-negara lain, saya perhatikan, pelancong Korea Selatan tidak berapa reti nak tawar menawar). Kalau cuba menawar pun, akan tidak dilayan punya (antara kepakaran saya adalah tawar menawar, huhuhu.

Oleh kerana berada di pasar malam ini lebih dua jam juga, maka kaki pun penat. Dalam perjalanan balik, kami singgah makan di beberapa gerai makan. Ada yang membeli udang goreng, ketam goreng dan sebagainya. Saya membeli sotong besar gorang yang berharga ₩5000 (+- RM17.50). Sedap juga. 

Kemudian kami menjumpai gerai kebab yang dipunyai seorang lelaki dari Kashmir, India. Jadi kami pun membeli kebab ini. Harga kebab adalah ₩5500 (+- RM19.30) untuk kebab ayam dan ₩7000 (+- RM24.50) untuk kebab kambing atau lembu. Saya memilih kebab kambing. Sempat juga berborang dengan pempunya kedai. Kebabnya pun sedap juga, tapi tidak boleh menang dengan Syawarma Raihani di depan pawagam Coliseum di Kuala Lumpur, bagi saya terbaik, kebab (syawarma sebenarnya) arab dan turki yang pernha saya saya pun tak sesedapnya.


A
Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Myeongdong Euljiro (3)sam-ga.

Setelah selesai berjalan-jalan di pasar malam Myeondong, kami pun pulang ke penginapan dengan menaiki Metro Seoul dari Stesen Myeongdong dengan Laluan 4, berpindah di Stesen Chungmuro (selepas 1 stesen), kemudian berpindah ke Laluan 3 (oren) untuk ke Stesen Eujiro 3(sam)-ga (selepas 1 stesen). Selesai perjalanan hari kedua. Kami berehat untuk hari ketiga pula. Cuma di penginapan, kami mendapat mesej bahawa kami semua perlu kekal di bilik sedia ada. Belum boleh berpindah ke bilik sepatutnya lagi. Tidak mengapalah, kami pun dah penat.

Bersambung ke Hari 3 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.