Ahad, 24 Januari 2016

Hari 2 (Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 14 hingga 16 Januari 2016) - Kali Pertama Bersolat Jumaat Di Bumi Vietnam.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)or 
  • Day 3. 


Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman.


Hari 2 - 15 Januari 2016 (Jumaat).

Pagi di Saigon ini agak awal. Subuh pun masuk pada pukul 4:45 pagi. Pukul 6 pagi sudah mula hendak terang. Tetapi di hotel kami dan juga hotel-hotel lain, waktu sarapan pagi adalah pada pukul 6:30 atau 7:00 pagi. Agak lewatlah juga, kerana suasana ketika itu seperti pukul 8:00 atau 8:30 pagi di Malaysia. Tapi masih awal berbanding di Indonesia, pukul 8:00 pagi baru hendak buka sarapan pagi.

Kuil Sri Mahariaman di Jalan Trudong Dinh, Saigon.

Jadi, sebelum bersarapan, saya keluar berjalan-jalan untuk mengambil angin pagi, di kawasan sekitar hotel.  Dalam berjalan-jalan itu, saya melalui sebuah kuil Hindu, iaitu Kuil Sri Mahariaman, yang hanya satu blok dari hotel kami. Rupa-rupanya, ada juga kuil Hindu di Saigon ini. Selain itu, dapat dilihat orang-orang di Saigon lepak dan bersarapan di tepi kaki lima jalan. Mereka duduk di atas bangku kecil yang mempunyai meja kecil juga. Saya berjalan sampai ke pasar Ben Thant. Ketika ini, kebanyakan pekedai di dalam pasar ini baru sedang membuka kedai masing-masing. Kemudian saya kembali ke hotel untuk bersarapan. Kami bersarapan di Mifuki Hotel iaitu sebelah hotel penginapan kami.


Orang-orang Saigon sedang bersarapan pagi di kaki lima jalan.

Matahari terbit di Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon).

Orang-orang Saigon sedang bersarapan pagi di kaki lima jalan.

Usai bersarapan, saya membawa kami semua ke pasar Ben Thanh untuk mereka menyesuaikan diri mereka di sana. Bukan apa, saya hendak mereka tahu mana hendak pergi bila ke situ selepas ini. Di pasar Ben Thanh tidak lama, sekitar setengah jam sahaja, kerana saya ingin membawa mereka ke tempat membeli-belah barangan borong di Saigon, iaitu di pasar Binh Tay atau yang tidak biasa, memanggilnya Chinatown, di Daerah (District) 6 Saigon.

Pintu masuk selatan pasar Ben Thanh.

Bulatan Ben Thanh.

Kami berjalan menuju ke stesen bas Ben Thanh yang bertentangan pasar Ben Thanh melalui Bulatan Ben Thanh. Macam biasa, cabaran di Saigon ini adalah menyeberang jalan, kerana motorsikal agak banyak. Petuanya, bila motorsikal agak sikit sahaja (agak sukar nak tunggu saat ini), seberang sahaja. Jika motorsikal tidak surut, bermakna kita perlu seberang dengan selamba, terus berjalan dengan kadar kelajuan yang sama, kerana motorsikal akan cuba mengelak kita. Jangan tiba-tiba hendak berhenti ke apa, teruskan perjalanan, tahulah motorsikal-motorsikal ini hendak mengelak. Penunggang motorsikal wanita di Saigon ini lebih profesional bawa motorsikal berbanding "rakan sejawat" di Malaysia, huhuhu.


Pasar Ben Thanh dan Bulatan Ben Thanh.

Isteri saya dan kakak-kakaknya sedang menunggu bas di stesen bas Ben Thanh.

Di Stesen Bas Ben Thanh, kami menunggu bas nombor 1 yang akan membawa kami ke Stesen Bas Cho Lon yang tidak berapa jauh dari Pasar Binh Tay. Kami tunggu tidak lama, dalam masa tidak sampai lima minit, sudah sampai bas ini.

Bas nombor 1 Saigon.

Tiket bas nombor 1 Saigon.

Kadar tambang bas ini dari Stesen Bas Ben Thanh ke Stesen Bas Cho Lon adalah cuma 5000 (+- RM1.00) sahaja, kerana ia berada dalam kawasan bandaraya Saigon. Tambang bas henti-henti di Saigon ini, jika perjalanan kurang 18 kilometer, hanya 5000 (+- RM1.00), kalau antara 18 ke 30 kilometer, ₫6000 (+- RM1.20) dan ₫7000 (+- RM1.40) jika antara 30 ke 40 kilometer. Saya tidak pasti, ada bas henti-henti Saigon mempunyai trip perjalanan lebih 40 kilometer. Bas nombor satu ini perlu membayar tambang di pemandu bas, sebagaimana bas RapidKL di Kuala Lumpur, tiada konduktor. Tiketnya pun dicetak melalui pencetak termal pada masa itu juga. Warna bas ini pada masa kami menaikinya adalah warna biru, tidak seperti laluan lain, berwarna hijau (juga bas nombor 152, sebelum ini pada perjalanan ke Saigon pada Oktober 2014, ia berwarna biru).

Suasana bas nombor 1 Saigon.

Stesen bas henti-henti Cho Lon, Saigon.

Setelah hampir setengah jam, kami sampai juga ke ke Stesen Bas Henti-henti Cho Lon di Daerah 6 Saigon. Sebelah stesen bas henti-henti adalah stesen bas antara bandar, di mana bas antara bandar ke luar bandaraya Saigon boleh diambil di sini. Ia adalah slaah satu dari beberapa stesen bas antara bandar di Saigon. Kami berjalan kaki ke Pasar Binh Tay. 


Stesen bas antara bandar Cho Lon, Saigon.

Peta: Perjalanan dari stesen bas Ben Thanh ke stesen bas Cho Lon.

Peta: Perjalanan berjalan kaki dari stesen bas henti-henti Cho Lon ke pasar Binh Tay.

Ramai orang Malaysia yang tidak kenal dengan nama Pasar Binh Tay (Chợ Bình Tây - Bahasa Vietnam), kerana ramai yang memanggilnya Chinatown. Ini sebahagian benar, kerana pasar ini berada di dalam kawasan Chinatown Saigon, iaitu Zon 1 (Phường 1 - Bahasa Vietnam), Daerah 6, Saigon, satu kawasan lebih besar. Pasar ini menjual banyak barang dari barangan basah ke kain-kain baju, kasut, beg dan sebagainya. Di sini terdapat zon-zon khas bagi barang-barang tersebut, ia tidak bercampur. Kebanyakan barang lebih murah beli di sini berbanding Pasar Ben Thanh. Biasanya di Pasar Binh Tay ini, barang dibeli borong, tetapi kalau hendak beli runcit-runcit (sikit-sikit) pun boleh juga.

Pasar Binh Tay di Chinatown, Saigon.

Setelah menunjuk tempat dan cara untuk balik ke hotel kepada isteri saya dan kakak-kakaknya, saya pun meminta diri untuk pulang. Sempat juga saya membeli kacang gajus panggang (yang pecah) berharga cuma ₫120 000 (+- RM24.00) sekilogram, kerana murah. Kalau jenis biasa harganya dua kali ganda, harga yang biasa didapati, malah ada tempat lebih murah, cuma di sini sahaja saya jumpa yang pecah dijual begitu murah, biasa dijual tidak jauh berbeza dari jenis biasa. Jadi adalah kudapan sambil-sambil berjalan.

Saya berehat sekejap di hotel untuk menghilangkan penat, kerana cuaca di Saigon ini agak panas, dan ia memenatkan badan. 


Bangunan kaunter tiket Istana Kemerdekaan Saigon.

Pada pukul 11:00 pagi, saya berjalan kaki dari hotel menuju ke Istana Kemerdekaan (Independence/Reunification Palace) yang tidak saya masuki pada kunjungan lepas, namun ketika saya sampai, kaunter tiket yang telah diubahsuai ditutup sementara. Harga masuk ke sini masih sama iaitu ₫30 000 (+- RM6.00), namun oleh kerana hari ini hari Jumaat, saya hendak berkejar untuk solat Jumaat, jadi saya malas hendak tunggu.

Pejabat Pos Besar Saigon.

Suasana di dalam Pejabat Pos Besar Saigon.

Seterusnya, saya ke kawasan Gereja Notre Dame Saigon dan Pejabat Pos Besar Saigon. Sahaja untuk mengimbau kembali kunjungan ke sini sebelum ini. Selain itu, sebenarnya, saya ingin mencari pejabat cawangan syarikat telekomunikasi selular untuk membeli kad SIM, bagi memudahkan perhubungan saya dengan isteri saya. Selain itu, boleh melanggan perkhidmatan data internet, kerana saya agak berjalan, bukan duduk setempat, malas hendak minta kata laluan WiFi. Memang melambak hotspot WiFi di Saigon ini, yang percuma boleh dikira. Kalau duduk area Malaysia Street itu lainlah cerita.


Gereja Notre Dame Saigon.

Pejabat cawangan Mobifone di sebelah Pejabat Pos Besar Saigon.

Masuk keluar pejabat pos tidak jumpa, akhirnya jumpa juga pejabat cawangan Mobifone dan VNPT (yang mempunyai perkhidmatan selular VinaPhone) di sebelah pejabat pos ini (perlu berjalan menuju selatan kemudian belok ke kiri di Jalan Nguyen Du apabila berjumpa kedai serbaguna Shop & Go). 


Pejabat cawangan VNPT dan VinaPhone di sebelah Pejabat Pos Besar Saigon.

Kad SIM prabayar MAX SIM VinaPhone.

Saya bertanyakan harga kad SIM prabayar, di Mobifone diberikan harga permulaan ₫100 000 (+- RM20.00) dengan nilai kredit ₫50 000 (+-RM10.00). Saya ke sebelah untuk mengetahui harga VinaPhone pula, dan ia berharga ₫35 000 (+- RM7.00) tanpa sebarang kredit. Jadi saya mengambil kad SIM prabayar VinaPhone MAX SIM tersebut, dan menambah ₫100 000 (+- RM20.00) untuk bayaran data 600MB sebanyak ₫70 000 (+- RM14.00)  dan bakinya untuk nilai kredit. Saya membeli satu lagi kat SIM untuk isteri saya dengan menambah nilai ₫10 000 (+- RM2.00) untuk nilai kreditnya.

Kupon tambah nilai ₫10 000 VinaPhone.

Kupon tambah nilai ₫100 000 VinaPhone.


Panggung Opera Saigon.

Saya kemudian berjalan kaki menuju ke Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman untuk bersolat Jumaat. Dalam perjalanan, dapat melihat banyak bangunan termsuk banginan Panggung Opera Saigon.


Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman.

Sampai di masjid, masih belum dikumandang azan lagi, walaupun pada telefon bimbit saya sudah menunjukan waktu Zohor sudah masuk. Jemaah ada dan semakin bertambah. Saya pun beriktikaf di masjid ini sementara menunggu azan dan khutbah.


Jemaah sedang menunggu solat Jumaat.

Setelah setengah jam menunggu, pada pukul 12:45 tengahari, azan Jumaat pun berkumandang. Kemudian lima belas minit kemudian, khutbah di berikan oleh khatib dalam bahasa Arab, kemudiannya dalam bahasa Inggeris dan akhir sekali dalam bahasa Vietnam. Pertama kali saya mendengar khutbah dalam tiga bahasa sekali. Usai khutbah, khatib tadi tidak mengimamkan solat Jumaat, ia berpindah kepada seorang lelaki yang memperingatkan jemaah dalam bahasa Melayu pula. Memang antarabangsa betul masjid ini, dapat mendengar empat bahasa dalam satu waktu. Akhirnya solat Jumaat ini selesai pada pukul 1:45 tengahari. 


Khutbah sedang diperdengarkan.

Dataran Bandaraya Ho Chi Minh.

Keluar dari masjid, terdapat beberapa pengemis yang saya kira majoritinya adalah bukan Islam berada di depan pintu masuk. Juga terdapat juga penjual makanan halal jalanan menjual makanan. Saya membeli popia Vietnam satu bungkus yang terdapat 4 gulung berharga ₫30 000 (+- RM6.00) untuk saya makan di hotel nanti. 

Dewan Bandaraya & Dataran Bandaraya Ho Chi Minh.

Tugu Ho Chi Minh di depan Dewan Bandaraya Saigon.

Saya pun berjalan pulang ke hotel, melalui Dataran Bandaraya Saigon. Kali ini saya mengambil gambar lagi kerana ia lebih terang dan nampak pada waktu siang. Juga gambar tugu Ho Chi Minh dan bangunan Dewan Bandaraya Saigon juga. Sampai di hotel saya berehat sampai waktu petang dengan menonton televisyen dan melayari internet.


Saya berselfie di depan tugu Ho Chi Minh.

Peta: Perjalanan berjalan kaki saya sekitar pusat bandaraya Saigon.

Restoran Halal Amin.

Pada waktu malam, isteri saya dan kakak-kakaknya pulang ke hotel. Kemudian mereka mengajak saya untuk makan malam, jadi saya membawa mereka ke Restoran Halal Amin yang sudah berubah tempat (bertentangan dengan kedudukan asal mereka ketika kunjukan saya sebelum ini). Restoran ini antara yang termurah di Malaysian Street dan ia sudah naik taraf berbanding sebelum ini. Namun harga makanannya masih sama. Di sini, saya memesan pho iaitu makanan utama orang Vietnam. Isteri saya dan kakak-kakaknya pun sama. Suka juga mereka dengan makanan ini. Harga semangkuk pho ini hanya ₫50 000 (+- RM10.00) berbanding dua atau tiga kali ganda di restoran halal sekitarnya. Kali ini, Kak Yah membelanja sekali lagi dan Idah belanja air kopi ais selepas makan. 

Pho Ayam Kuayteow.

Pho Daging Kuayteow.

Setelah usai makan, kakak-kakak ipar saya meneruskan usaha membeli belah mereka di pasar malam Ben Thanh pula. Saya dan isteri juga membeli belah, cuma kami ada sasaran, untuk membeli kasut untuk ibu dan anak-anak kami, juga beg-beg galas Deuter untuk jualan saya. Jika berminat boleh hubungi saya. Setelah selesai, kami pun pulang untuk merehatkan diri. Ingat hendak berkemas untuk pulang ditangguhkan kerana kepenatan.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)or 
  • Day 3. 

Rabu, 20 Januari 2016

Hari 1 (Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 14 hingga 16 Januari 2016) - Chào mừng Trở lại Sài Gòn (Selamat Kembali Ke Saigon).

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; or 
  • Day 3.


Dewan Bandaraya Saigon pada waktu malam.


Hari 1 - 14 Januari 2016 (Khamis).

Pada hari ini, saya mengambil kerja separuh hari. Saya sampai di rumah pada pukul 12:00 tengahari, saya segera pulang ke rumah dan segera menyiapkan diri untuk pergi. Isteri saya dan salah seorang kakaknya, yang kami panggil Kak Yah, sudah siap. Cuma menunggu saya sahaja.

Setelah selesai bersiap, di samping menyiarkan catatan pra kembara bagi perjalanan ini, maka kami pun bergerak dari rumah dengan menaiki kereta ke rumah mertua Kak Yah yang terletak di Putrajaya di mana seorang lagi kakak ipar saya, Idah, menunggu di sana. Sampai di sana, saya meletakan kereta kami di rumah mertua Kak Yah dan menukar kereta ke kereta bapa mertua Kak Yah yang mana beliau akan menghantar kami ke klia2.

Akhirnya beberapa minit sebelum pukul 2:00 petang, tibalah kami di balai berlepas klia2. Nasib baik kami telah mendaftar masuk melalui web dengan lebih awal. Jadi kami segera melalui pintu berlepas untuk membuat prosedur imigresen keluar Malaysia melalui auto-gate dan kemudian imbasan kastam. Kami melalui jambatan udara klia2 yang terkenal itu, kerana pintu pelepasan kami adalah di pintu Q9. Sampai di sayap Q klia2, kami diperiksa oleh polis bantuan Malaysia Airport Berhad, seterusnya kami ke surau untuk solat dahulu.

Usai solat kami ke pintu pelepasan dan kebetulan, ia baru dibuka untuk masuk ke dalam pesawat. Kami masuk ke dalam pesawat. Setelah berada di dalam pesawat, penerbangan terpaksa dilewatkan kerana terdapat penumpang yang telah mendaftar masuk tetapi tidak melapor diri untuk masuk ke pesawat. Jadi perlu mengeluarkan bagasinya. Akhirnya pada pukul 3:10 petang, barulah penerbangan AirAsia AK522 yang menggunakan pesawat 9M-AHJ berlepas meninggalkan klia2 menuju ke Bandaraya Ho Chi Minh yang juga dikenali sebagai Saigon.

Carta perjalanan penerbangan AK 522 pada 14 Januari 2016 (daripada FlightRadar24).

Pesawat kami mendarat di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, Saigon (SGN) pada pukul 4:30 petang waktu Vietnam (UTC +7, sejam lewat dari waktu Malaysia). Kami keluar dari pesawat dan terus menuju ke kaunter imigresen Vietnam untuk prosedur masuk ke Vietnam.


Cop imigresen masuk ke Vietnam melalui 
Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.


Agen teksi, kad SIM dan sebagainya sebaik selepas pemeriksaan kastam Vietnam.

Selepas kami semua selesai prosedur imigresen, kami menuruni untuk melalui kawasan pengambilan bagasi dan kaunter kastam untuk ke balai ketibaan. Selepas kaunter kastam, terdapat beberapa kaunter yang menjadi ejen kepada teksi atau pelbagai perkhidmatan pelancongan serta menjual kad SIM. Melangkah keluar ke balai ketibaan, terdapat ramai yang menunggu di sini. Balai ketibaan di SGN ini merupakan kawasan terbuka tanpa penghawa dingin.


Ramai yang menunggu di balai ketibaan SGN.

Terdapat sebuah kaunter menjual kad SIM dan alat telekomunikasi di sebelah kanan pintu ketibaan.

Kami mengambil ke arah kanan untuk ke perhentian bas. Sebelum itu terdapat juga sebuah kaunter yang menjual alat komunikasi dan juga kad SIM. Harga di sini lebih baik dari kaunter-kaunter di dalam. Cuma di SGN ini tidak terdapat kaunter yang dikendalikan terus oleh syarikat tekomunikasi. Sebenarnya, lebih baik beli terus dengan syarikat telikomunikasi di Vietnam ini untuk harga lebih baik. Jadi saya tidak membelinya di situ.

Kami terus menuju perhentian bas yang tidak jauh dari tempat kami keluar dari pintu balai berlepas tadi. Dari situ, sudah nampak bas-bas bandar yang sedang parkir. Kita perlu menyeberang untuk ke "pulau" bagi ke perhentian bas ini.


Bas henti-henti nombor 152 Saigon.

Kami menaiki bas yang parkir di hadapan dan duduk di tempat duduk di dalam bas ini. Tidak lama kemudian, bas ini mula untuk bergerak. Sambil bas ini bergerak menuju ke terminal domestik dan seterusnya ke pusat bandar, konduktor bas ini bergerak kepada setiap penumpang untuk mengambil wang bagi bayaran tambang. Tambang bagi bas ini adalah 5000 (+- RM1.00) bagi setiap orang. Memandangkan kami cuma membawa beg galas (backpack) maka tiada bayaran tambahan. Terdapat juga penumpang yang membawa beg tarik atau beg besar, mereka ini dikenakan tambang tambahan dari 5000 mengikut saiz beg. Jadi sebaik-baiknya bawa beg galas sahaja. Majoriti yang menaiki bas ini merupakan penumpang penerbangan yang tiba di SGN.


Tiket bas nombor 152 dari SGN ke pasar Ben Thanh (5000 (+- RM1.00)).

Jalan raya menuju ke arah pusat bandaraya agak sesak juga, penuh dengan kenderaan terutamanya motorsikal. Maklumlah, ketika ini adalah waktu orang pulang dari kerja. Atau sebenarnya, memang Saigon ini memang sentiasa sesak pada waktu siang. Juga, bandaraya Saigon ini memang terkenal dengan motorsikalnya, sehingga dikenali sebagai Bandaraya Motorsikal. Setelah hampir 40 minit perjalanan, akhirnya sampai juga kami di stesen bas Ben Thanh.


Peta: Perjalanan dari SGN ke pasar Ben Thanh.

Peta: Berjalan kaki dari stesen bas Ben Thanh ke hotel Mifuki Inn.

Dari stesen bas Ben Thanh, kami berjalan kaki kira-kira hampir 300 meter untuk ke hotel kami. Hotel kami iaitu Mifuki Inn terletak tidak jauh dari pasar Ben Thanh. Asalnya kami masuk ke hotel sebelahnya iaitu Mifuki Hotel untuk mendaftar masuk, rupanya salah hotel. Kami perlu ke sebelahnya. Walaupun pemilik yang sama, tetapi tempat penyambut tetamunya berlainan, maklumlah standard yang berbeza. Mifuki Hotel lebih kepada taraf sederhana, manakala Mifuki Inn lebih kepada penginap bajet.



Pandangan hadapan Mifuki Inn.


Kaunter penyambut tetamu Mufuki Inn Hotel.


Bizcard Mufuki Inn Hotel.

Di kaunter penyambut tetamu Mifuki Inn, saya menyerahkan cetakan emel tempahan Hotels.com saya. Diminta pasport kami semua untuk diambil gambar bahagian maklumat diri dan cop masuk imigresen Vietnam, kemudian diserahkan kepada kami semula. Seterusnya, kami diberikan kunci bilik kami. Dapat dilihat kadar walk in ke hotel ini lebih mahal berbanding tempahan melalui internet. Juga di lobi hotel ini, terdapat juga kaunter khas untuk perkhidmatan perlancongan. Paling bagus, terdapat alat timbang dan tempat pembungkusan barang juga di lobi hotel. Bagus sekali.



Kadar walk in di Mufuki Inn Hotel.


Senarai kadar bayaran perkhidmatan pelancongan di Mufuki Inn Hotel.

Kami menaiki lif yang agak kecil, cukup-cukup kami berempat dan beg galas kami. Bilik diberikan berada di tingkat 8 iaitu tingkat atas sekali. Kami dapat 2 bilik yang bersebelahan, mudah bagi kami untuk bertemu. Bilik yang diberikan agak selesa juga dan mempunyai kemudahan yang agak lengkap. Terdapat juga peti ais kecil, jag pemanas ais dan televisyen yang lengkap televisyen kabel. Terdapat lebih 70 buah saluran, namun majoritinya adalah saluran teristarial Vietnam (berbahasa Vietnam). Nasib baik saluran antarabangsa tidak "bercakap" dalam bahasa Vietnam.


Keadaan bilik saya di Mufuki Inn Hotel.


Permandangan dari tingkap bilik kami di Mufuki Inn Hotel.

Permandangan di bilik kami agak baik juga. Terdapat tingkap yang membolehkan kami melihat suasana luar. Namun bagi bilik kakak-kakak ipar saya, tiada tingkap pula. Ada pro dan kontranya. Jika ada tingkat, agak bising juga kerana kami berada berhampiran dengan pusat bandar iaitu kawasan bulatan Ben Thanh.

Satu lagi, plug soket elektrik di Vietnam berbeza berbanding di Malaysia. Seperti biasa, saya membawa penyuai soket yang dibawa dari Malaysia. Jika tiada, mungkin kena cari penyuai di kawasan sekitar. 

Soket plug di Saigon.

   
Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Mufuki Inn Hotel 
ke Jalan Nguyen An Ninh (Malaysian Street).

Seterusnya, setelah solat, kami pun ke Jalan Nguyen An Ninh yang juga biasa disebut sebagai Malaysian Street untuk makan malam. Rupanya sudah terdapat restoran bertemakan Malaysia yang halal. Malah Hajah Basiroh juga mempunyai beberapa kedai makan, yang mempunyai standard yang berbeza. Kami ke kedai yang di hadapan restoran yang asal yang harganya paling murah. Kedai Makan Hajah Basiroh yang kami makan ini tiada mempunyai penghawa dingin. Kami makan set nasi dengan ayam atau ikan atau telur sahaja, kerana faham-fahamlah, walaupun paling murah, makanan halal di Saigon ini agak mahal. Jumlah harga makanan kami adalah ₫220 000 (+- RM44.00), bermakna setiap orang harga makanannya adalah RM11. Terima kasih Kak Yah kerana belanja kami.

Selepas makan malam, kami berjalan-jalan sekitar namun pasar malam belum buka lagi. Sambil itu Idah membelanja kami air kopi ais yang berharga RM3.00 setiap satu. Boleh bayar dengan Ringgit Malaysia, malah lebih baik, kerana jika bayar dengan Dollar Amerika Syarikat, ia berharga US$1.00 (+- RM4.20) dan dengan Dong Vietnam, ia berharga ₫20 000 (+- RM4.00). Jadi kami pulang ke hotel sehingga kami datang semula ke tempat yang sama pada pukul 8:00 malam setelah pasar malam Ben Thanh dibuka sepenuhnya. Semasa perjalanan pulang  sempat saya beli air mineral botol untuk bekalan minuman.
Resit belian barang di Circle K.

Susunan kelapa muda di pasar malam Ben Thanh.

Pada pukul 8:00 malam, kami pun pergi semula ke kawasan pasar Ben Thanh dan pasar malam sudah dibuka. Saya tidak membeli apa-apa barang-barang pada malam ini, kerana saya akan membelinya pada malam terakhir. Sebaliknya kakak-kakak ipar saya mula membeli-belah dengan giatnya. Biasalah wanita. Jadi saya tinggalkan mereka, kerana mereka sudah tahu jalan untuk ke hotel. Bukan jauh mana. Jadi sempat saya berpusing-pusing sekitar pasar malam. Banyak juga perkara yang menarik perhatian, terutama kelapa muda yang dikupas seperti kubah masjid dan disusun cantik.

Dewan Bandaraya Saigon pada waktu malam.

Dataran Bandaraya Saigon pada waktu malam.

Untuk mengisi masa, saya berjalan menuju ke Dewan Bandaraya Saigon, yang kena berjalan jauh sedikit. Semasa kunjungan saya sebelum ini pada Oktober 2014, kawasan Dataran Bandaraya Saigon di hadapan Dewan Bandaraya ini ditutup kerana proses pengubahsuaian. Kali ini ia sudah siap. Sebenarnya tujuan saya adalah untuk membeli kad SIM, kerana terdapat pejabat cawangan sebuah syarikat telekomunikasi, Mobifone, di kawasan dataran ini, namun saya tidak menjumpainya. Lagipun sudah malam, rasanya sudah tutup. Sambil-sambil itu, saya ambil kesempatan untuk mengambil gambar dan bersiar-siar. Dapatlah saya menangkap tugu "Pakcik Ho" iaitu Ho Chi Minh, presiden pertama Vietnam. Ramai juga orang pada waktu malam di dataran ini. Suasana pun agak meriah. Memang sesuai untuk bersantai pada waktu malam di sini.

Setelah itu, saya pulang ke hotel untuk berehat dan kemudian tidur...

Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; or 
  • Day 3.