Ahad, 30 Ogos 2015

Hari 5 & 6 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - अलविदा इंडिया (Alavidā (Selamat Tinggal) India).

Dari Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6 (this part). 




04 Mei 2015 (Isnin)

Pagi ini kami hampir terlepas solat subuh. Mungkin kerana kepenatan semalam atau keadaan bilik yang diberikan lebih selesa dari diberikan tempohari. Juga bilik kami kali ini tidak mempunyai tingkap. Jadi mungkin kami tidak sedar keadaan luar juga tidak kedengaran azan Subuh. Nasib baik saya ada tepuk bantal.

Pagi ini tidak ada aktiviti sangat, cuma kami akan mengemas beg kerana kami perlu daftar keluar pada pukul 12:00 tengahari ini. Isteri saya memanggil untuk sarapan percuma kami dan saya keluar sebentar untuk membeli jus buah yang pekat di kedai berhampiran. Sambil itu mengambil surat khabar percuma yang dibekalkan pihak hotel (yang mana perlu diambil di kaunter). Sambil-sambil itu, menonton televisyen.

Hampir pukul 12:00 tengahari, kami pun mendaftar keluar dan kemudian menuju ke hotel Zhafran untuk menumpang beg, kerana penerbangan pulang ke tanah air adalah pada pukul 10:30 malam, banyak masa. Kalau nak galas beg untuk sepuluh jam tu mahu roboh bahu, huhuhu.




Zhafran kemudian mengajak kami untuk minum-minum di kafe berhampiran. Kafe ini agak unik kerana ia terletak di tingkat atas bangunan, jadi dapat melihat aktiviti sekitar Main Bazar, Paharganj ini.


Memang sibuk suasana di Main Bazar ini. Waktu tengahari pun agak ramai yang mundar-mandir di kawasan ini. Oleh kerana ketinggian kafe ini, saya dapat lihat sarang burung helang di atas tiang lampu berhampiran kafe ini.



Setelah itu, Zhafran pulang ke biliknya dan kami pula meneruskan jalan-jalan di Main Bazar ini untuk membeli beberapa barang untuk dijadikan cenderahati. Walaupun panas namun perlu juga kerana inilah masa yang ada. Harga barangan di sini agak murah, maklumlah kawasan tumpuan pelancong terutama backpackers. Kami sempat membeli beberapa barangan sebagai tanda kenangan.





Kami kemudian pulang ke bilik Zhafran untuk memasukan barangan yang telah dibeli ke dalam beg. Kami rehat kira-kira sejam setengah.

Zhafran kemudian mengajak kami ke Chadni Chowk untuk makan buat kali terakhir di sana. Sampai di sana, kedai utama Jawahar dan semua kedai Karim's telah tutup. Cuma yang dibuka adalah kedai lama Jawahar. Jadilah, dapat kami makan untuk alas perut sehingga sampai tanah air.




Setelah selesai makan, kami pun ke hotel Zhafran kerana masa sudah masuk pukul 7:00 malam. Kami bersolat dahulu dan kemudian kami meminta diri untuk ke lapangan terbang. Terima kasih kepada Zhafran atas semua bantuan yang diberikan. 


Kami berjalan ke stesen Metro Delhi Airport Express yang berasingan dengan stesen Metro Delhi yang biasa. Untuk ke sana, kami dengan selamba memasuki stesen keretapi New Delhi walaupun kami tiada tiket keretapi mahupun tiket platform. Dengan melepasi tapisan keselamatan polis, akhirnya kami berjaya melalui jalan pintas ini alhamdulillah.




Stesen Metro ini agak bersih, agak besar tetapi agak kurang orang. Macam biasa, untuk memasuki kawasan awam di New Delhi ini, akan ada kawalan keselamatan dahulu. Diri kita dan beg akan diimbas, baru boleh masuk. Seterusnya kami ke kaunter tiket untuk membeli tiket. Tiket berharga ₹100 (+- RM6.00) untuk setiap orang. Agak murah juga.





Setelah berjaya membeli tiket Metro ini, kami terus ke bawah menuju ke platform. Kami baru sahaja terlepas tren, namun tren seterusnya akan bertolak sepuluh minit lagi. Tidak mengapa masih banyak masa.


Tujuh minit kemudian, tren pun sampai dari arah lapangan terbang. Kami masuk, boleh tahan moden dan bersih tren ini. Berbeza dengan gerabak keretapi dan bas di Delhi. Selesa pun selesa. Lebih kurang seperti ERL di Kuala Lumpur juga. Alangkah bagus kalau suasana infrastruktur di Delhi dan seluruh India seperti ini.


Selepas bergerak kira-kira 25 minit dan melepasi 4 stesen, maka sampailah kami di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi, India. Lebih cepat dan selesa berbanding kalau kami menggunakan mod pengangkutan lain seperti bas atau teksi atau auto. Mungkin lebih mahal dan mungkin lambat sampai ke terminal.



Dari stesen ke balai perlepasan perjalanan agak mengambil masa kira-kira hampir sepuluh minit. Bukan kerana jauh, tetapi perlu berjalan berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Sebelum masuk ke balai pelepasan pun kena siap-siapkan itinerari penerbangan bagi dibenarkan masuk. Agak besar dan selesa serta bersih balai pelepasan ini. Kami segera ke barisan B untuk mendaftar masuk, kerana kaunter telah dibuka ketika itu.


Saya kongsikan wang-wang Rupee India (₹) yang telah saya perolehi disamping yang telah saya perolehi pada awal pengembaraan.


Syiling ₹1 (keluaran tahun 2000) = (+- RM0.06)


Syiling ₹1 (keluaran tahun 2009) = (+- RM0.06)


Syiling ₹2 (keluaran tahun 2013) = (+- RM0.12)


Syiling ₹5 (keluaran tahun 2015) = (+- RM0.30)


Wang Kertas ₹5  = (+- RM0.30)


Wang Kertas ₹20  = (+- RM1.20)



Wang Kertas ₹500  = (+- RM30.00)

Kami mendaftar masuk beg-beg besar kami dan membawa bersama kami beg galas kecil. Kami diberikan teg untuk beg galas kami bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.


Selesai sahaja mendaftar masuk, kami terus masuk ke balai imigresen untuk prosedur imigresen. Pemeriksaan imigresen agak efisyen, dan tidak lama. Sejurus selepas pemeriksaan imigresen, adalah pemeriksaan keselamatan. Di sini agak ketat, sampai saya diperiksa beberapa kami. Malah beg saya yang telah diimbas melalui mesin pengimbas x-ray, dibuka, kerana saya terlupa mengeluarkan laptop. Setelah dikeluarkan, beg tersebut diimbas semula. Akhirnya lepas dan teg pada beg saya serta pas pelepasan dicop sahkan. Untuk isteri saya pula, diperiksa oleh polis wanita di dalam ruang tertutup. Alangkah bagus kalau di Malaysia dibuat begini, kurang masalah terlihat aurat. 



Setelah selesai, kami pun meneruskan dan melalui pelbagai kedai-kedai bebas cukai. Tapi agak tidak menarik, mungkin kerana harganya agak mahal. Murah lagi di Malaysia. Kami teruskan perjalanan untuk ke surau. Terdapat surau yang terletak di kawasan contact pier




Surau ini agak besar dan selesa. Kemudahan yang diberikan agak lengkap. Ruang solat lelaki dan wanita dipisahkan. Cuma tempat ambil wuduk wanita tiada dilindungi pandangannya daripada pandangan orang lelaki. 



Setelah selesai, kami segera ke pintu 8B untuk menunggu untuk pelepasan memasuki pesawat. Ketika itu pesawat telah ada di ruang parkir pesawat. Alhamdulillah, tiada penangguhan perjalanan akan dialami. Tepat pukul 10:00 malam (setelah 15 minit menunggu), pintu pelepasan dibuka, dan kami pun memasuki pesawat.


Masuk sahaja pesawat, rupa-rupanya baru sedar bahawa tempat duduk kami adalah di belakang sekali. Masa datang di depan sekali, balik di belakang sekali. Macam ada maksud sahaja, huhuhu. Insya Allah akan datang lagi ke benua kecil ini. Pesawat Malindo Air OD206 akhirnya tepat masa meninggalkan bumi Delhi ini. Alavidā India!


Sepanjang perjalanan, suasana agak bising. Maklumlah, rasanya kami sahaja orang bukan warganegara India di alam pesawat itu selain krew pesawat. Nasib baik layanan pramugari Malindo Air ini baik. Kami pun dapat memilih makanan dan dapat hidangan daging, alhamdulillah. Selepas 45 minit penerbangan, kami pun dapat tidur.


05 Mei 2016 (Selasa)


Kami terbangun ketika sejam sebelum pesawat tiba di KLIA2. Kelihatan langit pun sudah nampak sinaran matahari. Akhirnya pada jam 6:00 pagi, pesawat selamat mendarat di landasan ketiga KLIA.


Pesawat diparkir di pier L, alhamdulillah dekat sahaja dengan tempat mengambil beg. Kami berjalan dan membuat prosedur imigresen di auto gate. Semasa sampai di tempat mengambil beg, beg belum sampai lagi, jadi kami bersolat Subuh di surau berada di situ. Tepat apabila saya usai solat, dan kembali ke tempat ambil beg, barulah sampai beg kami. Jadi saya menunggu isteri saya, yang selesai tidak lama kemudian dan terus ke parkir motorsikal untuk mengambil motorsikal kami. Bayaran parkir cuma RM5.00 sahaja untuk 5 hari parkir.



Seterusnya kami menunggang pulang ke rumah. Keadaan sepanjang perjalanan agak kurang sesak, kerana kami sampai sebelum waktu puncak. Sebelum sampai ke rumah, kami singgah ke Jalan Dua, Sungai Besi untuk makan soto di gerai Sinarnor. Akhirnya kami sampai ke rumah pada jam 8:30 pagi.

Begitulah sedikit pengalaman perjalanan kami untuk melihat Taj Mahal. Diharapkan ia dapat menjadi insirasi dan rujukan anda untuk ke situ. Saya sebenarnya berharap untuk ke India lagi pada masa akan datang. Insya Allah saya akan mencoretkan perjalanan saya dan sahabat-sahabat saya ke Yangon, Myanmar pada bulan Ogos 2015.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6 (this part). 

Sabtu, 22 Ogos 2015

Hari 4 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - Wah, Taj Mahal Di Depan Mataku!.

Dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5 & 6. 




03 Mei 2015 (Ahad)

Azan subuh sayup-sayup kedengaran pada pukul 4:50 pagi (lebih kurang). Semasa itu saya sudah setengah jam bangun. Pintu masuk ke Taj Mahal hanya akan bukan pada jam 6:00 pagi di pintu barat & timur manakala di pintu selatan hanya di buka pukul 8:00 pagi.

Pukul 5:45 pagi, setelah membersihkan diri, kami pun turun untuk bertanyakan beberapa soalan kepada petugas kaunter. Pertama, walaupun waktu daftar keluar dipaparkan adalah pukul 10:00 pagi, kami boleh daftar keluar sehingga pukul 2:00 petang, jadi tidak perlu membawa keluar beg kami. Kedua, malangnya, sarapan belum siap lagi, jadi kami terus berjalan ke pintu timur untuk masuk. (Keputusan yang silap, lagi bagus kalau kami ke pintu barat, hendak tahu kenapa, kena teruskan membaca).

Kami berjalan kaki tidak begitu lama, selang 10 minit sudah sampai ke pintu timur Taj Mahal. Namun semasa perjalanan, bau tahi lembu jelas mengiringi perjalanan kami, memang banyak bersepak di atas jalan. Ketika sampai di pintu timur, terdapat sekumpulan pelancong dari Jepun telah beratur dan terdapat tiket masuk di tangan mereka. Saya pun bertanya, di mana hendak beli tiket, dan dijawab oleh salah seorang petugas, perlu membelinya di kaunter kira-kira hampir satu kilometer ke timur pintu ini. 

Memang silap, namun ketika itu terdapat sebuah kereta buggy sampai membawa beberapa orang pengunjung. Saya dimaklumkan kami boleh menaiki kereta tersebut dengan percuma kerana kami pelancong asing. Kalau warganegara India, perlu bayar 25 (=- RM1.50) untuk menaikinya. Kami pun segera naik, jenuh hendak berjalan dekat satu kilometer.

Setelah dalam 3 minit, sampai juga kereta buggy itu ke kaunter. Dalam perjalanan, pemandu kereta buggy itu berkata, pintu masuk timur ini adalah pintu masuk "VIP", kerana pelancong-pelancong pakej yang menaiki bas kebanyakan melalui pintu ini. Ia juga paling kurang sesak di antara ketiga-tiga pintu. Betul juga, kerana sepanjang perjalanan, terdapat banyak rumah-rumah yang besar di kiri-kanan jalan.






Sampai di bangunan yang menempatkan kaunter, kami terus ke kaunter untuk membeli tiket. Di sini sudah mula aktiviti tout yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti mengambil gambar, menjadi pemandu pelancong dan sebagainya. Kami tidak ambil endah, terus ke kaunter. Terdapat pengasingan kaunter untuk pelancong luar negara dan warga negara India. Ini kerana tiket masuk bukan warganegara India adalah sebanyak ₹750 (+- RM45) termasuk sebotol air minuman, sepasang sarung kaki dan kemasukan tandas. Manakala untuk warganegara India hanya ₹20 (+- RM1.20) sahaja, tetapi tiada diberikan air minuman dan sarung kaki serta setiap kali hendak masuk ke tandas perlu bayar sebanyak ₹25 (+- RM1.50)! Masuk ke dalam tandas lagi mahal dari tiket masuk, huhuhu.





Selepas membayar ₹1500 (+- RM90) untuk dua orang dan mendapat tiket masuk, kami segera ke kaunter untuk mengambil sarung kaki dan air minuman botol. Juga diberikan booklet maklumat tentang Taj Mahal. Di tatkala itu, terdapat seorang tout yang sibuk "membantu" kami. Sehinggakan sampai hendak tempat menunggu kereta buggy tadi pun "sibuk" "membantu". Rupa-rupanya dia hendak memancing kami untuk mendapatkan khidmatnya.


Harga asal (standard) bagi pemandu pelancong adalah ₹2000 (+- RM120), namun dia sedia berunding. Biasanya saya akan cekal tidak mahu, namun kali ini kami seolah-olah dipukau. Tout itu menanyakan berapa harga kami boleh bayar. Saya kata, kami bukan orang kaya dan kami ini cuma backpackers sahaja. Dia bertanyakan kepada isteri saya, dan dijawab kalau ₹200 (+- RM12) bolehlah, namun tout itu terus bersetuju. Kami terperangkap. Jadi dia mengikutlah kami menaiki buggy. Namun khidmatnya memang bagus, dilayan kita macam VIP, sampaikan tout yang lain tidak boleh rapat. Macam mafia pun ada, hahaha, gengster Bollywood. Saya bertanyakan nama tout itu, Gulshan Javed namanya, mengaku bahawa dia seorang Islam.


Sampailah kami semula ke pintu masuk timur Taj Mahal. Biasalah di India, ada pemeriksaan keselamatan oleh pihak Polis dengan siap ada alat pengesan logam. Selepas itu diperiksa pula beg kami. Kami memang bersiap-siap tidak membawa barang-barang yang biasa tidak boleh dibawa seperti makanan, alat yang boleh mencetuskan api seperti pemetik api, bahan bacaan dan sebagainya. Masalahnya pihak keselamatan semasa memeriksa beg kami, tidak membenarkan kami membawa selfie stick (monopod) dan kain sejadah. Kalau monopod  itu tidak mengapa tapi sejadah. Kerana saya tahu masjid di India ini bukan bersih (sebagaimana di Jama Masjid di Delhi). Tapi tempat orang, biarlah, ikut sahaja, kalau nak rampas pun tidak mengapa, boleh beli baru. Bukan mahal mana.

Tiba-tiba si Gulshan yang hilang semasa pemeriksaan keselamatan, muncul kembali dan "berbincang" dengan polis terbabit untuk menyimpan barang-barang tersebut di rumahnya yang dekat dengan Taj Mahal. Jadi niat nak "halalkan" barang kami, akhirnya "diselamatkan".



Kami pun berjalan, rupanya belum masuk lagi kawasan Taj Mahal, baru lapisan pertama. Difahamkan, kawasan lapisan pertama ini adalah bilik-bilik untuk isteri-isteri Shah Jahan. Memang banyak. Rata-rata bangunan dan tembok kota yang didirikan berwarna merah, yang batunya adalah dari Agra sendiri. Gulshan memang banyak menceritakan kisah, tapi banyak saya dah tahu dari kajian saya sendiri. Cuma yang baru saya perasan, setelah nampak dengan mata saya sendiri, setiap bangunan yang didirikan mesti ada pasangannya. Contohnya pintu barat dengan pintu timur, pintu selatan dengan pintu masuk ke lapisan kedua, iaitu pintu masuk ke taman laman Taj Mahal.



Kemudian kami pun masuk ke lapisan kedua untuk masuk melihat Taj Mahal yang dinanti-nantikan. Memang menakjubkan, rupanya seni bina kompleks Taj Mahal ini memang diukur dengan tepat dan persis sekali. Bayangkan kalau kita berdiri di petak jubin di tengah-tengah pintu masuk, kita akan nampak Taj Mahal dengan keempat-empat menara. Apabila kita melangkah satu jubin ke kiri atau ke kanan, satu menara akan "hilang" atau tidak kelihatan. Langkah ke satu jubin lagi, satu menara lain akan hilang. (Boleh lihat video di bawah untuk demonstrasi).


Satu lagi keajaiban, dengan jubin yang sama, biasanya jika kita melangkah ke belakang, sesuatu objek akan mengecil, namun tidak Taj Mahal. Sebaliknya ia akan membesar, boleh rujuk video di atas untuk menyaksikannya. Jadi inilah Taj Mahal, apa yang kuimpikan untuk melihatnya, kini di depan mataku. Dengan itu, saya telah mencapat 7Wonders Baru kedua setelah Tembok Besar China pada tahun 2003 dan ketiga jika termasuk Piramid Giza pada tahun 2013. Memang bertuah dan gembira tidak kepalang.





Memang cantik taman laman Taj Mahal ini. Agak terjaga dan bersih. Mungkin kerana ia dikawal dan sentiasa diperhatikan oleh pihak pengurusan. Maklumlah budaya orang India ini, membuang, tidak kira sampah atau bahan buangan sendiri, merata-rata. Di kompleks Taj Mahal ini juga berbeza dengan tempat yang mempunyai ikon Islam yang lain, agak bersih. Jika di tempat lain, agak kurang terjaga. 

Tapi difahamkan, satu ketika dahulu, Taj Mahal ini sebenarnya tidak terjaga juga. Setelah menjadi tempat kunjungan utama di India, barulah ia mula terjaga dan akhirnya tiket masuk pun menjadi mahal. 

Sampaikan ada lawak dalam Bahasa Melayu/Indonesia yang mengatakan setiap tempat yang mempunyai nama Mahal di India, tidak kira Taj Mahal, restoran, hotel atau apa-apa pun, ia mesti mahal. Hahaha...

Memanglah, kerana Mahal dalam bahasa Urdu/Hindi bermaksud Istana. Jadi Taj pula bermaksud Mahkota, jadi Taj Mahal adalah Mahkota Istana.





Aduh, masa ini pula, isteri saya mulai sakit. Katanya perutnya meragam, hairan, apa yang dia makan, saya makan. Saya pula tidak sakit perut. Tidak mengapalah, duduklah kami berehat sambil melihat permandangan Taj Mahal ini.


Sambil isteri saya duduk berehat di atas bangku, saya pun ambil kesempatan untuk mengambil gambar. Saya pun duduk di tengah-tengah kawasan laman yang luas itu dan mengambil gambar seperti di atas dan di bawah ini. Memang betullah, setiap bangunan mempunyai kembar. Termasuk Taj Mahal sendiri. Sila lihat seni arca dan hiasan pintu masuk dan Taj Mahal. Ia sama! 

Sebenarnya, Taj Mahal sepatutnya mempunyai kembar berwarna hitam di seberang Sungai Yamuna, tetapi tidak jadi kerana Shah Jahan digulingkan kuasanya oleh anaknya Aurangzeb.



Jadi mendapat tempat yang baik, Gulshan segera memanggil kami untuk bergambar. Memang Gulshan ini kerjanya pegang telefon saya dan ambil gambar. Nasib baik gambar yang diambilnya cantik. Jadi, seperti pengawal peribadi, dikawal tempat duduk yang pernah mendiang Puteri Diana dari Wales mengambil gambar. Jadi dapat kenangan kami, pasangan romantis kenangan di Taj Mahal.


Ok, inilah muka si Gulshan Javed itu. Kalau lihat ada ala-ala Anil Kapoor pun ada dan kalau pakai cermin mata hitam, seperti Jackie Shroof pun ada, cuma yang dia ni jenis gred rendah la, huhuhu. Isteri saya kembali berehat di bangku, dan saya sempat menambil gambar tupai yang banyak di taman Taj Mahal ini.

Kena pula masa itu Zhafran hendak sampai ke Agra dengan keretapi. Si Ghulshan pula beriya-iya hendak mengambil Zhafran dari luar. Jadi tinggallah kami di dalam kompleks Taj Mahal ini.



Sementara menunggu Gulshan dan Zhafran sampai, isteri saya sudah agak sihat yang setelah beberapa kali masuk tandas, nasib masuk banyak kali pun tidak perlu bayar. Tandas ia agak bersih juga, tidak seperti tandas awam lain di Delhi & Agra. Kami pun berjalan menuju ke bangunan Taj Mahal. Kami pergi ke masjid yang terletak di sebelah timur atau kiri Taj Mahal.


Masjid ini sebenarnya masih aktif di mana akan ada solat berjemaah beserta azan sebanyak 2 kali sehari iaitu semasa Zohor dan Asar sahaja. Waktu lain tidak dibuat kerana bukan waktu operasi lawatan Taj Mahal. Selain itu, masjid ini juga dibuka semasa hari Jumaat untuk solat Jumaat sahaja, walaupun Taj Mahal pada hari tersebut ditutup untuk lawatan. Namun hanya warganegara India yang beragama Islam sahaja boleh masuk pada hari tersebut.


Sayangnya masjid ini agak kotor, malah tiada penjaga ketika kami di situ. Saya pun hairan kenapa polis di pintu masuk cuba merampas sejadah kami. Bukan hendak buat apa-apa pun, lagipun hendak solat. Sudahlah mereka itu bukan Islam. Kami pun solat sunat di masjid itu.

Terdapat pengunjung bukan beragama Islam dengan selamba memakai selipar, walaupun sebenarnya kawasan masjid dan bangunan Taj Mahal sendiri tidak boleh memakai kasut/selipar. Gulshan yang tiba pada masa itu bersama Zhafran, menegur atau lebih kepada marah kepada mereka. Memang kurang ajar. 

Tiket Zhafran berbeza dengan kami, jadi kami mengambil gambar tiket tersebut. Sambil itu terdapat sekumpulan pengunjung-pengunjung dari Malaysia dan kami pun menegur mereka. Kena tegur, jadi tak adalah kata orang Malaysia bila di luar negara, sombong sesama kita.



Seterusnya kami pun ke bangunan Taj Mahal. Untuk masuk ke bangunan ini perlu buka kasut/selipar berkaki ayam atau memakai sarung kasut yang telah dibekalkan. Kami menggunakan sarung kasut itu, malas hendak meninggalkan kasut, takut hilang.


Taj Mahal ini diarah untuk bina oleh Shah Jahan, maharaja kerajaan Mughal yang memerintah kawasan utara India. Ia siap dibina pada tahun 1632 dan ia bukan masjid tetapi makam untuk salah seorang isterinya yang paling dicintai yang digelar Mumtaz Mahal bermaksud Permata Istana. Untuk maklumat lebih lanjut boleh Google atau baca mengenai Taj Mahal di dalam Wikipedia.


Apabila di dalam, memang agak sejuk berbanding luar, dan ia agak gelap. Kamera memang tidak dibenarkan. Namun sempat juga ambil gambar di atas, kerana ingin menunjukan apabila menyuluh batu asal yang menjadi hiasan, ia akan seperti menyala sebagaimana jika kita bekalkan kuasa elektrik kepada lampu neon. Jika disuluh kepada batu yang lebih baru (kerana terdapat batu asal yang hilang akibat kurang penyelenggaran satu ketika dulu atau penjarahan), ia akan gelap.


Terdapat juga ruang yang apabila kita menjerit, ia akan bergema tetapi suara kita akan jadi lebih lunak atau merdu. Kalau kita nyanyi lagu yang sayu, rasanya akan menitis air mata rasanya. Sambil itu, terdapat ruang-ruang jeriji, yang mana kalau ambil gambar ke luar, menjadi gambar yang cantik sebagaimana gambar di atas, yang saya ambil gambar masjid Taj Mahal dari dalam Taj Mahal.


Taj Mahal ini dibuat dari batu marmar yang diambil dari Makrana, kira-kira 400 kilometer ke barat Agra, memasuki negeri Rajasthan. Memang batu itu akan terus sejuk, walaupun matahari terik memancar tegak tinggi di langit. Agaknya bagaimana ia di bawa dari Makrana ke Agra pada zaman ia dibina dulu. Bukannya dekat. Nasib baik marmar Makrana, kalau ia dibina dengan marmar Itali, lagi tidak tercapai dek akalmu, huhuhu...






Seterusnya kami mengambil beberapa gambar kenangan dan terus keluar dari kompleks Taj Mahal ini. Maklumlah, sedar tak sedar sudah lebih sekiit dari pukul 11:00 pagi, lebih 5 jam dalam kompleks Taj Mahal ini.


Namun sebelum keluar, berlaku benda tidak seronok. Si Gulshan ini buat hal. Kami mahu bayar lebih sedikit iaitu ₹500 (+- RM30) dari ₹200 (+- RM12 dari persetujuan awal), namun Gulshan yang kata ikut ikhlas kami nak bayar banyak mana, mula mempertikaikan kerana khidmat diberikan tidak sama dengan diterima. Jadi hilang mood kami sepanjang berada di Taj Mahal ini. Bermakna kami telah kena scam! Siap ugut bahawa dia kenal gengster-gengster Agra. Jadi setelah berbincang, kami akhirnya bersetuju dengan jumlah kami beri dengan tambahan ₹200 (+- RM12 dari Zhafran). 

Tapi memandangkan ia pegang barangan kami serta beg Zhafran (yang ada kamera DCLR di dalamnya), maka Zhafran perlu ikut ke rumahnya. Saya dan isteri terus keluar ke pintu selatan, terus ke hotel untuk daftar keluar dan makan sarapan yang pihak hotel masih simpankan untuk kami.

Setelah menikmati sarapan lewat dengan roti pratha dan beberapa makanan lain serta minuman cai (teh susu), sampailah Zhafran dan Gulshan. La ada lagi dia, ingat dah habis. Memang dah habis, tapi agaknya cuba lagi saat-saat akhir. Akhirnya kami pun mengambil keputusan untuk segera balik ke Delhi secepat mungkin.

Nasib baik saya boleh batalkan tempahan tiket keretapi kami untuk malam itu melalui aplikasi ClearTrip di dalam telefon sahaja. Cuma tidak dapat penuh lah. Jadi kami segera memberitahu pihak hotel untuk menyediakan pengangkutan percuma untuk ke stesen keretapi Agra Cantt. Jadi disediakan auto untuk kami, tetapi...


Si Gulshan ikut naik sama. Kami jadi gabra dan risau. Rupanya dia hendak tumpang untuk ke kawasan tidak jauh dari situ. Setelah dia turun, barulah lega, dan kami minta pemandu auto untuk  segera terus ke stesen keretapi Agra Cantt. Sampai di stesen keretapi, barulah lega hati kami.


Di stesen keretapi, kami bingung untuk membeli tiket. Pergi beratur (atau lebih tepat berebut, kerana orang India tidak beratur, kalau kita beratur, majoriti dengan selamba memotong barisan kita) depan kaunter, sampai giliran kata kaunter lain. Itu satu masalah, satu lagi, ada yang tidak faham Bahasa Inggeris atau sengaja buat tidak faham, tapi saya rasa memang tidak faham. Ada yang faham pun, kami yang tidak faham Bahasa Inggeris mereka, huhuhu. Memang kelam kabut.

Akhirnya dapat juga beli juga di kaunter yang terletak hujung bangunan sebelah kiri (jika kita berada di pintu masuk menghala ke luar stesen) dengan harga ₹90 (+- RM5.40). Tapi kami tidak memahami apa yang tertulis di atas tiket tersebut kecuali tertulis ₹90 sahaja. Bertanyalah banyak orang, namun tiada hasil. Akhirnya terdapat seorang yang agak fasih berbahasa Inggeris memaklumkan bahawa tiket kami ini adalah tiket biasa yang membolehkan kami menaiki mana-mana perkhidmatan keretapi tetapi hanya untuk kelas tiga. 


Kelas tiga, ooo baru faham. Apa kelas tiga, teringat saya apabila menaiki keretapi ke Agra tempohari, kelas tiga memang sesak. Apa nak buat, sudah beli,jadi menunggulah kami keretapi seterusnya ke New Delhi iaitu 12803 Swarna Jayanti Express PT dari Visakhapatnam. Namun ia tidak ke stesen New Delhi tetapi hanya sampai ke Hazrat Nizamudin sahaja, yang akan tiba pada pukul 2:05 petang. Ketika itu sudah pukul 1:30 tengahari. Tidak mengapa, sudah hendak sampai.

Kami menunggu di platform 2, dengan cuaca agak panas, kami pun belilah air minuman berbotol. Sambil-sambil itu melihat sekitar. Terlihat atas landasan, ternampak pelbagai jenis bahan buangan termasuk bahan buangan manusia. Maklumlah, lubang tandas dalam keretapi terus ke tanah, tiada tangki khas. Sempat kami berbual dengan sepasangan dari Amerika Syarikat yang datang melancong.


Akhirnya pada jam 2:00 petang, keretapi tersebut sampai. Pasangan Amerika itu menaiki kelas pertama, cuma kami akan ke kelas tiga. Namun, apabila sampai, mak oi, nak masuk pun tidak boleh, orang agak ramai sampai terkeluar dari gerabak. Boleh ke kita bertahan selama dekat empat jam begini. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk masuk ke sleeper kelas 2, mana tahu sebelah tingkap ada yang sudi berkongsi duduk dengan kami. Kan hukum karma, sekejap je. Nasib baik ada satu tempat yang tiada orang, agaknya. Agaknya kalau saya tidak benarkan orang duduk dengan saya semasa keretapi datang, mungkin kali ini tidak dapat duduk. Kami pun dengan gamblenya dan selambanya duduk di situ. Kena denda pun tidak mengapalah. Janji sampai.

Alhamdulillah perjalanan tiga jam lebih, tiada pemeriksa keretapi datang untuk memeriksa tiket sehingga stesen terakhir di Hazrat Nizamudin. Sepanjang perjalanan, saya dan Zhafran berjalan-jalan ke gerabak ke gerabak lain, dapat melihat keadaan keretapi di India. sambil itu belilah sedikit minuman dan makanan. Akhirnya pada jam 5:15 petang, sampailah kami di stesen Hazrat Nizamudin.


Sampai sahaja ke stesen, kami keluar untuk mencari auto untuk kembali ke Paharganj. Sampai ke sana, kami ke Main Bazar kerana Zhafran ingin menunjukan kedai jahit yang lain dari kami datang tempohari kerana harga kemejanya agak murah sikit dan jahitan lebih berkualiti. Cuma pada esoknya (hari Isnin) kedai ini tutup, jadi kami akan meminta Zhafran untuk mengambilnya, kerana penerbangan pulang ke Malaysianya pada hari Selasa sebelah malam. Tambahan pula, tempahan kami tempohari pun belum siap. Makan dia akan ambil kedua-duanya. Di kedai baru, kami membelanjakan ₹2000 (+- RM120) untuk tiga pasang kemeja (dua pasang untuk isteri saya dan sepasang untuk saya).

Setelah itu, kami pun pulang ke hotel masing-masing untuk daftar masuk semula.


Jam 8:30 malam, setelah kami membersihkan diri dan sebagainya, Zhafran menelefon saya untuk makan malam. Kami pun menunggu di depan hotel dan Zhafran pun sampai. Kami terus menahan auto untuk ke Chadni Chowk. Kali ini makan di Karim's pula. Memang sedap, lebih kurang sama dengan Jawahar. Cuma ada hidangan murah di Karim's ada yang lain murah pula di Jawahar. Tapi memang biryani kambing di Chadni Chowk memang terbaik.


Setelah, selesai makan, kami berjalan-jalan untuk melihat keadaan malam di sini. Memang hidup lagi walaupun sudah pukul 10:00 malam. Kami sempat melihat peniaga-peniaga di sini berniaga terutama di kedai yang menjual sish kebab dan tika. Memang mengasyikkan. Harga pun murah, di mana secucuk sish kebab atau tika adalah ₹10 (+- RM0.60) sahaja. Tika (seperti tandoori cuma dipotong kecil-kecil) di sini bukannya ayam seperti Malaysia tetapi daging lembu. Zhafran membelanja kami beberapa cucuk sish kebab kambing dan tika daging lembu untuk kami bawa balik. Terima kasih Zhaf. Kami pun pulang ke hotel.



Sampai di hotel kami pun merehatkan diri sambil melayan menonton televisyen yang banyak saluran. Kami pun tidak sedar bila kami tidur sambil televisyen menonton kami. Kami kepenatan agaknya.


Bersambung ke Hari 5 & 6.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5 & 6.