Khamis, 12 Februari 2015

Hari 4 (Jakarta & Bandung, Indonesia - 29 Januari hingga 03 Februari 2015) - Meninggalkan Bumi Parahyangan, Menjejaki Bumi Betawi.

Dari Hari 3.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6.




Hari 4 - 01 Februari 2015 (Ahad).

Pagi ini kami bersiap untuk ke Jakarta pula. Kami mengemas kembali beg-beg galas kami dan memasukan segala pakaian dan barang-barang yang telah kami beli sepanjang di Bandung ini. Jadi beg galas 90 liter saya pun menampakan bentuknya. Huh, agak berat juga.


Pada jam 9:45 pagi, kami pun mendaftar keluar dari hotel menuju ke stesen keretapi Bandung sayap selatan. Perjalanan melalui kembali hadapan gedung membeli belah Pasar Baru Trade Center. Suasana agak meriah juga. Perjalanan diteruskan sehingga ke bahagian hadapan sayap selatan stesen keretapi Bandung. Jalan menuju ke stesen ini terhad kepada kenderaan yang mahu ke stesen sahaja.




Di hadapan stesen ini terdapat sebuah lokomotif keretapi lama yang dijadikan tugu. Jadi saya mengambil kesempatan mengabadikan gambar-gambar kenangan di sini antaranya gambar di atas ini.


Kami terus ke memasuki premis stesen pada jam 10:15 minit dan pintu masuk telah dibuka untuk penumpang keretapi Argo Parahyahan ke Jakarta bagi perjalanan pukul 11:00 pagi. Juga pada masa yang sama pengumuman tentang pembukaan pintu itu kedengaran di segenap stesen. Kami ke pintu masuk B, memberikan tiket dan pasport kami untuk diperiksa.



Keretapi kami terletak di platform 6, yang mana ia terletak di bahagian utara stesen ini. Kenalah kami melintas beberapa platform dan landasan keretapi untuk ke sana. Platform di stesen ini agak rendah jadi kemungkinan perlu juga memanjat tangga jika mahu menaiki keretapinya. Akhirnya kami sampai juga koc kami yang terletak di hadapan sekali (koc 1). 



Sementara keretapi belum bergerak lagi, saya segera ke sayap utara stesen ini untuk ke ATM CIMB Niaga untuk mengeluarkan wang saya lagi. Kemudian masuk balik dan kembali ke koc kami. Sempat juga ambil beberapa keping gambar dari sayap utara pula.



Akhirnya tepat pada jam 11:00 pagi, keretapi ini pun bergerak meninggalkan stesen Bandung dan bumi Parahyangan menuju ke stesen Gambir di Jakarta, bumi Betawi pula


Keretapi ini mempunyai dua kelas iaitu eksekutif yang berhawa dingin dan bisnes yang tiada berhawa dingin. Tempat duduk kelas eksekutif keretapi ini memang selesa. Ruang kaki juga luas dan mempunyai tempat rehat kaki. Malah terdapat soket elektrik, jadi bolehlah caj peralatan elektronik yang mana perlu. Terdapat bantal kecil disediakan.





Perumahan di Bandung berlatar belakangkan Gunung Tangkuban Parahu.



Perjalanan menaiki keretapi ini memang memberikan pengalaman yang berbeza. Pada kali ini saya dapat melihat keadaan luar banda pulau Jawa dengan lebih dekat. Satu jam pertama, keretapi ini melalui sawah-sawah padi yang ditanam di lereng bukit. Sawah-sawah padi ini bukan padi bukit atau padi huma tetapi padi sawah biasa yang ditanam di tanah pamah atau tanah dataran. Dengan landasan keretapi melalui celah-celah lereng bukit, iajuga melalui beberapa buah jambatan besi menghubungkan antara satu lurah dengan lurah yang lain. Malah di bawah jambatan ini juga kelihatan sawah padi dan juga anak-anak sungai mengalir. Sambil-sambil itu juga kelihatan lebuhraya bertol yang dibina berdekatan dengan landasan keretapi ini. Jadi saya belanja beberapa gambar permandangan yang saya ambil dari dalam keretapi.








Semasa di dalam perjalanan ini, terdapat kakitangan PT Kereta Api akan memeriksa tiket para penumpang. Juga semasa di tengah-tengah perjalanan, terdapat juga kakitangan lain ada datang untuk bertanya penumpang untuk makan apa. Cuma makanan ini bukan percuma, jadi jika tidak mahu makan, tidak perlu pesan.












Satu ketika selepas sejam setengah di dalam keretapi, hujan mulai turun dan saya pun tidak sedar bila saya tertidur. Apabila saya terjaga, kami telah berada di tanah dataran. Di sini terdapat sawah padi yang sayup jauh mata memandang. Juga kampung-kampung, pekan-pekan kecil di tepi landasan keretapi.






Akhirnya setelah tiga jam, kami sampai di pinggir bandaraya Jakarta atau lebih tepat di kota Bekasi. Jadi nampaklah keretapi ini lalu di kawasan yang padat dengan penduduk. Kelihatan rumah-rumah yang dibina betul-betul selepas pagar landasan keretapi. Teringat suasana Kuala Lumpur pada 25 tahun lalu. Akhirnya pada pukul 2:20 petang, keretapi Argo Parahyangan daripada PT Kereta Api Indonesia sampai juga di stesen Gambir di Jakarta. Stesen ini terletak di sebelah kawasan Monumen Nasional atau Monas. Ia merupakan stesen terakhir Argo Parahyangan namun bukanlah terminal terakhir landasan keretapi ini. Landasan keretapi di sini juga merupakan dibina di atas jejambat bermaksud landasan bertingkat seperti LRT di Kuala Lumpur juga.




Kami meneruskan perjalanan untuk ke hotel kami iaitu ibis Jakarta Kemayoran yang terletak di Jalan Bungur Besar dengan berjalan ke perhentian atau dipanggil di sini sebagai halte perkhidmatan busway Transjakarta Gambir 2 yang hanya terletak di luar pagar selatan stesen keretapi Gambir.


Sistem busway atau BRT Transjakarta merupakan sistem bas yang mempunyai laluan tetap dan terdapat lorong khas di kebanyakan laluan bas ini. Ia umpama sistem tram tapi menggunakan bas. Terdapat perhentian atau halte khas yang mana perlu melalui turnstile yang ada untuk memasukinya. Caj penggunaan adalah Rp2000 (+- 60 sen Malaysia) untuk penggunaan antara 5:00 pagi ke 7:00 pagi dan dari 7:00 pagi ke 11:00 malam, cajnya adalah Rp3500 (+- RM1.05). Selagi tidak keluar kawasan busway  ini maka kita hanya dicaj sekali. Biasanya untuk bertukar laluan, seseorang akan turun di halte dan menunggu bas laluan lain jika menggunakan halte yang sama atau jika perlu transit di halte berdekatan, biasanya terdapat jalan khas bagi mengelakan kita perlu keluar dari kawasan berbayar, agar sentiasa berada di dalam kawasan berbayar, bermakna tidak perlu membayar caj yang lain.





Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pengguna kini perlu memberi kad pintar kerana sejak bulan November 2014 pihak Transjakarta telah memansuhkan tiket manual biasa. Kad ini boleh dibeli di setiap halte dengan harga Rp40 ribu (+- RM12) dengan yuran kad sebanyak Rp20 ribu (+- RM6.00) dan bakinya adalah nilai yang ada di dalam kad ini. Kad ini berkonsepkan prabayar. Sebenarnya kad-kad ini adalah kad prabayar yang dikeluarkan oleh bank-bank utama Indonesia seperti Bank Mandiri, Bank BNI, Bank BTN, Bank BRI dan BCA. Kad ini mempunyai RFID yang mana ia perlu disentuh pada pintu turnstile yang ada. Jika kita ada ramai, cukup satu kad sahaja, tidak perlu beli kad yang banyak. Kad ini boleh ditambah nilai di halte Transjakarta, di mesin ATM jika ada kad ATM bank-bank utama Indonesia atau di kedai-kedai serbaneka Indomaret, Alfamart atau 7Eleven. Malah kad ini boleh menjadi medium pembayaran di kedai-kedai serbaneka ini.





Kami dari halte Gambir 2 mengambil bas laluan 2 untuk ke halte Senen dan transit ke laluan 5 untuk ke halte Budi Hartono atau Pasar Baru Timur. Namun perlu berhati-hati untuk menaiki Transjakarta ini. Apabila bas sampai, pastikan berhati-hati semasa melangkah dari atas platform ke dalam bas kerana platform halte agak tinggi dari aras jalan dan ruang antara platform dan bas biasanya agak jauh. Jika terjatuh antara ruang itu agak bahaya. Selain itu, pemanduan bas agak kasar dan ganas, semasa saya menaikinya, beberapa kali kami hampir terjatuh. Selain itu, Transjakarta ini sentiasa penuh dengan orang mungkin kerana perkhidmatannya lebih dipercayai (reliable) tapi bagi saya tidak juga, jadualnya tidak ikut sangat masanya. Mungkin ia lebih baik dari perkhidmatan bas henti-henti biasa. Lagipun Transjakarta semuanya ada penghawa dingin, manakana bas henti-henti kebanyakannya tiada hawa dingin. Kami sampai di halte Budi Hartono dan kemudian berjalan kaki kira-kira 300 meter dan akhirnya sampailah kami ke penginapan kami sepanjang di Jakarta ini iaitu ibis Jakarta Kemayoran.




Kami berehat kira-kira 2 jam dan kemudian kami keluar menuju ke pusat membeli belah Mal Golden Truly yang terletak di Jalan Gunung Sahari, berdepan dengan halte Transjakarta Pasar Baru Timur. Gedung ini tidaklah besar, tapi agak lengkap dengan restora, dan pasaraya Giant. Dapatlah kami membeli barang-barang perlu kerana penginapan kami di tidak ibis Jakarta Kemayoran dipakejkan dengan sarapan pagi.




Setelah selesai membeli apa yang perlu, kami kembali semula ke hotel, namun ternampak sebuah restoran nasi padang iaitu Rumah Makan Surya yang terletak sebelah dengan Mal Golden Truly. Dapatlah kami mengisi perut kami. Setelah selesai kami pun pulang ke hotel.


Akan bersambung ke Hari 5.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6.

Tiada ulasan: