Ahad, 7 Disember 2014

Petua: Bagaimana Untuk Membawa Masuk Kenderaan Ke Thailand Melalui Pintu Masuk Darat.

Click here if want to read in English version.


Ramai yang risau hendak membawa kereta atau kenderaan mereka memasuki ke Thailand. Malah ada yang sanggup menyewa kenderaan Thailand untuk ke sana. Ini mungkin kerana mereka tidak tahu prosedur atau kaedahnya yang mudah. Malah ia amat murah sebenarnya. Di sini saya kongsikan pengalaman saya dalam prosedur membawa masuk kereta ke Thailand.

Pengalaman saya tidaklah banyak, tetapi saya pernah membawa masuk kereta saya untuk bersiar-siar di Thailand melalui pintu-pintu sempadan di Khuan Don/Wang Prachan, Satun (Wang Klian, Perlis), Padang Besar, Songkhla (Padang Besar, Perlis), Sadao/Dannok, Songkhla (Bukit Kayu Hitam, Kedah), Ban Prakob, Songkhla (Kota Putra/Durian Burung, Kedah), Betong, Yala (Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, Perak), Buketa, Narathiwat (Bukit Bunga, Kelantan), Sungai Kolok, Narathiwat (Rantau Panjang, Kelantan) dan Tak Bai, Narathiwat (Pengkalan Kubor, Kelantan). Jadi mungkin ia boleh membantu anda, insya Allah.

Dalam catatan ini, saya gunakan contoh di Buketa, Narathiwat (Bukit Bunga, Kelantan) kerana ini adalah pintu masuk ke Thailand yang terkini sebelum catatan ini ditulis (pada bulan September 2014 yang lepas).


Sebelum perjalanan, anda perlu menyiapkan beberapa dokumen agar urusan anda dapat dimudahkan. Dokumen yang perlu ada adalah:

1. Pasport pemandu yang akan digunakan (ia perlu ditunjuk untuk diperiksa oleh pihak kastam Thailand, pastikan ia sudah diperiksa dan dicop masuk semasa dikemukakan kepada pihak kastam Thailand);
2. Geran kenderaan anda asal (sebaik-baiknya), jika tiada boleh juga salinan geran tetapi perlu disahkan dan dicop oleh balai polis sebaik-baiknya paling dekat dengan pintu sempadan;
3. Surat kebenaran menggunakan kenderaan tersebut (di dalam Bahasa Inggeris atau/dan Thai), jika pemandu bukan pemilik kenderaan tersebut. Contoh Surat Kebenaran Pemilik Kenderaan adalah seperti berikut:

Owner Name: (nama pemilik)
Owner Address: (alamat pemilik)
Owner ID or Passport No.: (nombor MyKad atau pasport pemilik)
Owner ID or Passport No.: (nombor telefon pemilik)

Driver Name: (nama pembawa)
Driver Address: (alamat pembawa)
Driver ID or Passport No.: (nombor MyKad & pasport pembawa)
Driver ID or Passport No.: (nombor telefon pembawa)

Vehicle Type: (jenis kenderaan)
Brand: (jenama kenderaan)
Colour: (warna kenderaan)
Registration No.: (nombor pendaftaran kenderaan)

AUTHORISATION LETTER 

I, (nama & nombor pasport atau MyKad pemilik), owner of vehicle of (nombor pendaftaran kenderaan), has authorised (nama & nombor pasport & nombor MyKad pembawa), to use my vehicle to enter The States of Thailand.


(tandatangan pemilik)                                                     (tandatangan pembawa) 
.................................................                                      ................................................. 
Name: (nama pemilik)                                                    Name: (nama pembawa) 
Passport/ID no.: (no. pasport/MyKad pemilik)               Passport no.: (no. pasport pembawa) 
Tel.: (nombor telefon pemilik)                                         Tel.: (no. telefon pembawa)   

* sila isi ruangan (warna) dengan menukarnya mengikut butiran sebenar.

Tiga dokumen sahaja yang diperlukan sebenarnya. Setelah itu, anda bolehlah melalui mana-mana kompleks ICQS Malaysia yang bersempadan dengan Thailand. Selesaikan prosedur imigresen (wajib) dan kastam (jika ada). Kemudian sebelum melepasi pagar Malaysia, akan ada pemeriksaan oleh pihak Polis Diraja Malaysia. Di sini biasanya akan diminta geran atau salinan geran kenderaan anda bagi memastikan bahawa kenderaan anda bawa itu bukan kenderaan curi atau yang terbabit dengan jenayah. Itu sebabnya kalau salinan geran, perlu ada cop pengesahan balai polis. Pastikan ia ada, kalau geran asli, tidaklah perlu cop, dah sah-sah ia dokumen sebenar.

Apabila sampai ke Custom House Thailand (istilah yang digunakan untuk pusat pemeriksaan sebelah Thailand), pertama kali parkirkan kenderaan anda di kawasan parkir. Semua penumpang hendaklah keluar, kalau ikut prosedur, perlu bawa barang-barang sekali, tapi pengalaman saya, tidak perlu kecuali jika menaiki bas.Kemudian, dapatkan borang imigresen Thailand (TM6) atau biasa dipanggil white card jika menggunakan pasport. Jika menggunakan pas sempadan jenis kertas, borang ini tidak perlu, namun bagi jenis buku, ia tetap perlu menulis borang ini. 

Biasanya borang TM6 ini boleh didapati di kaunter secara percuma, namun seperti kes di Sadao (Dannok) dan Betong serta kadang-kala di Sungai Kolok, pegawai imigresen akan meminta kita mengambil borang pada penulis borang tidak rasmi, di mana perlu membayar dari RM2.00/helai (setiap pasport atau pas sempadan perlu untuk menulis sehelai borang ini, boleh bayar dengan menggunakan Ringgit Malaysia), kepada mereka, yang mana mereka ini akan menulisnya untuk kita sekali. Terutama bagi kes yang akan melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam - Sadao (Dannok), boleh juga menggunakan khidmat beberapa premis sebelum sempadan (terutama di pekan Changloon, Kedah, kira-kira 5 kilometer sebelum Bukit Kayu Hitam atau beberapa premis restoran di antaranya atau di pekan Bukit Kayu Hitam sendiri) untuk mendapatkan dan juga menulis borang TM6, TM2 dan TM3 dengan harga dari RM1 untuk TM6 dan RM10 untuk TM2 dan TM3). 

Untuk kes pintu sempadan Padang Besar, Bukit Kayu Hitam - Sadao (Dannok) dan Bukit Berapit (juga dikenali sebagai Pengkalan Hulu) - Betong, pegawai imigresen biasanya akan meminta wang dari RM2.00 untuk setiap pasport atas alasan kerja lebih masa (untuk kemasukan dalam pukul 5:00 hingga 8:30 pagi, 12:00 hingga 1:00 tengahari dan selepas pukul 4:30 petang (semua dalam waktu Thailand, sila tambah sejam untuk waktu Malaysia). Tetapi dilihat,di dalam waktu tersebut, ada yang masih meminta. Jadi sebaiknya kita jangan selit duit tersebut awal-awal dalam pasport, tetapi hanya bagi bila diminta. Kalau hendak berhujah (argue) seperti pelancong Eropah pun boleh jika berani. Ingat, penjara di Thailand umpama negara di dunia, dan budaya undang-undang di Thailand, tidak serupa seperti di Malaysia, iaitu pesalah dianggap bersalah sehingga dibukti sebaliknya.

Bagi yang menggunakan pintu sempadan Wang Kelian - Khuan Don (juga dikenali sebagai Wang Prachan), borang TM2, TM3 dan TM6 boleh didapati dari salah sebuah kaunter dengan bayaran RM2.00 bagi setiap borang.

(Kemaskini 20 Julai 2018) Setiap kenderaan yang melalui pintu sempadan Thailand, perlu juga melengkapkan borang Imigresen Thailand TM2 dan TM3 dan serahkan borang-borang ini bersama-sama pasport di kaunter/pondok Imigresen Thailand. Sila isi setiap borang sebanyak 2 salinan (ingat borang TM2 terdapat dua muka surat, ia perlu dicetak secara depan belakang). Nanti, salah satu salinan birang-borang ini akan dikembalikan kepada kita, untuk disimpan bagi diserahkan kembali ketika hendak keluar dari Thailand nanti. Borang tersebut boleh dimuat turun dengan mengklik pautan.

Isikan borang-borang tersebut, dan kemudian kembali beratur (jika perlu) ke kaunter untuk urusan pemeriksaan pasport. Berikan pasport semua ahli rombongan kepada pegawai imgresen. Setiap orang perlu ada kerana sistem kemasukan imigresen Thailand, memerlukan imbasan muka setiap orang yang hendak masuk ke Thailand. Setelah pasport-pasport lengkap dicop (kena pastikan ini, jika tidak lengkap atau tiada cop, mungkin masalah akan timbul kemudiannya),penumpang boleh kembali ke kereta, namun pemandu perlu ke pejabat kastam Thailand untuk urusan kemasukan kenderaan ke Thailand. 

(Kemaskini 20 Julai 2018) Mulai 01 November 2017, pintu sempadan Bukit Kayu Hitam - Sadao, juga dikenali sebagai Dannok), masing-masing berpindah ke bangunan baru. Bagi yang membawa kereta, di sebelah pintu sempadan Thailand sudah tidak perlu turun dan memakir kereta untuk urusan imigresen. Terus membawa kereta melalui pondok imigresen sebagaimana urusan imigresen di Malaysia. Namun selepas pondok ini, perlu juga untuk memarkir kereta untuk urusan kastam (pemandu sahaja) seperti di bawah ini.




Pemandu perlu menyerahkan pasportnya, geran/salinan geran kenderaan yang ingin dibawa dan surat kebenaran menggunakan kenderaan jika pemandu bukan pemilik kenderaan kepada pegawai kastam untuk diproses. Insurans kenderaan Thailand tidak perlu diserahkan kerana ia bukan dokumen penting, namun ia wajib ada, akan saya bincangkan di bawah nanti.

Setelah diproses, jika ia diluluskan, maka satu borang akan diberikan kepada pemandu yang mana beliau akan menandatangani borang ini, selepas kita menandatangani dua kali pada borang tersebut. Satu salinan akan diambil oleh pegawai kastam dan satu lagi akan diserahkan kepada pemandu dan ia perlu disimpan untuk diserahkan kembali ketika keluar dari Thailand. 


Maka selesai sudah urusan di pejabat kastam, dan kini anda boleh membawa masuk kenderaan anda. Mudah bukan. Tapi ingat borang kemasukan kenderaan perlu disimpan dan ditunjuk kita ada pihak berkuasa Thailand memintanya untuk diperiksa. Pastikan ia diserah kembali ketika hendak keluar ke Thailand sebelum masuk ke Malaysia di pejabat kastam Thailand selepas urusan imigresen Thailand. Kegagalan untuk menyerahkan kembali borang ini (perlu ditandatangani di satu ruangan lagi, ini juga wajib), maka denda akan dikenakan ketika anda membawa masuk kembali kenderaan terbabit ke Thailand dengan kadar ฿1000 (+- RM100) setiap hari!!! Biasanya, penyerahan borang ini memerlukan anda mengisi satu lagi borang (saya lupa tajuk borang tersebut).


Insurans kenderaan Thailand boleh dibeli sebelum atau selepas anda membawa masuk kenderaan ada ke Thailand. Ejen insurans agak banyak di pekan-pekan sempadan ini tidak kira di Malaysia atau Thailand. Ia pun bukan dokumen yang diperlukan semasa permohonan membawa masuk kenderaan ke Thailand. Namun ia wajib ada.

Biasanya orang Malaysia (termasuk saya) akan membeli insurans semurah kurang daripada ฿200 (+- RM20) yang memberikan perlindungan dari 7 ke 9 hari. Ia juga boleh dibeli untuk 2 minggu atau 1, 2, 3 atau 6 bulan malah setahun. Kalau setahun semurah ฿750 (+- RM75), tapi ingat ia hanya memberikan perlindungan kepada mangsa yang maut sahaja. Ia tidak melindungi kita terhadap mangsa yang cedera, atau kerosakan kenderaan-kenderaan yang terbabit termasuk kenderaan kita. Bermakna ia lebih teruk dari perlindungan third party di Malaysia.

Jadi jika anda ingin melindungi lebih lagi, perlu tanya dengan ejen insurans terbabit untuk plan yang anda mahu.


(Kemaskini (pada 09 Mac 2014) mengenai insurans bawa kereta ke Thailand). 

Kalau anda hendak pergi Thailand bawa kereta atau motorsikal melalui Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Wang Klian, Durian Burung, anda boleh membeli insurans di kedai dalam Caltex R&R Gurun. Mudah dan murah berbanding beli di sempadan (kalau pergi melalui Wang Klian & Durian Burung perlu beli sini pasal di sempadan biasanya agak susah cari wakil insurans). Insurans kereta Proton Gen-2 1.6 saya cuma RM15 sahaja untuk 9 hari.




Jangan lupa juga masa operasi pintu sempadan. Nanti bila sampai di luar waktu, kena tunggu pula. Ini kerana pintu sempadan Malaysia-Thailand tidak dibuka 24 jam sebagaimana pintu sempadan Malaysia-Singapura yang memang dibuka 24 jam. Di bawah saya kongsikan masa operasi pintu sempadan Malaysia-Thailand:

Pintu Sempadan
Masa Buka
Masa Tutup
Malaysia
Thailand
Waktu Malaysia (UTC +8)
Waktu Thailand (UTC +7)
Waktu Malaysia (UTC +8)
Waktu Thailand (UTC +7)
Wang Klian (Perlis)
Khuan Don (Satun) (juga dikenali sebagai Wang Prachan)
8:00 pagi
7:00 pagi
7:00 malam
6:00 petang
Padang Besar (Perlis)
Padang Besar (Songkhla)
6:00 pagi
5:00 pagi
10:00 malam
9:00 malam
Bukit Kayu Hitam (Kedah)
Sadao (Songkhla) (juga dikenali sebagai Dannok)
6:00 pagi
5:00 pagi
12:00 tengah malam
11:00 malam
Kota Putra (Kedah) (juga dikenali sebagai Durian Burung)
Ban Prakob (Songkhla)
8:00 pagi
7:00 pagi
6:00 petang
5:00 petang
Bukit Berapit (Perak) (juga dikenali sebagai Pengkalan Hulu)
Betong (Yala)
6:00 pagi
5:00 pagi
11:00 malam
10:00 malam
Bukit Bunga (Kelantan)
Buketa (Narathiwat)
6:00 pagi
5:00 pagi
7:00 malam
6:00 petang
Rantau Panjang (Kelantan)
Sungai Kolok (Narathiwat)
6:00 pagi
5:00 pagi
10:00 malam
9:00 malam
Pengkalan Kubor (Kelantan)
Tak Bai (Narathiwat)
6:00 pagi
5:00 pagi
7:00 malam
6:00 petang

Jadi itulah perkongsian yang boleh digunakan anda untuk membawa kenderaan anda ke Thailand. Ia sebenarnya mudah. Selamat memandu dan berhati-hati di jalan raya. Jalan raya di Thailand memang sedap untuk kita pandu.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Clichere if want to read in English version.

Tiada ulasan: